E
ntri sulong untuk tahun 2014 ini ingin menceritakan kisah kembara saya ke Sabang. Letaknya di Pulau Weh, pulau paling barat di Indonesia. Pulau ini juga dikenali dengan Pulau Sabang.
|
Peta ini terdapat di Pelabuhan Balohan, Sabang, Pulau Weh |
Sebagaimana tahun lepas, saya bersama keluarga saya pergi ke Acheh
bersama kawan saya Hajah Salwa. 5 hari kami di Acheh. Hajah Salwa yang kaki jalan macam saya
kini mengembangkan sayap baru iaitu menubuhkan syarikat pelancongan
sendiri bernama Wilayah Utara Travel Sdn Bhd. Jadi kami pergi dengan syarikatnya. 30 orang semuanya.
Untuk mengetahui kembara saya ke Acheh pada tahun 2012 sila klik
di sini.
Konvoi Bemo (Beca Motor) ke Pelabuhan Ulee Lheue
Pagi tanggal 24 Disember 2013 itu sungguh nyaman. Langit dikabuti kabus yang putih kelabu.
Awal-awal pagi lagi saya bersama rombongan Wilayah Utara Travel keluar dari Sulthan Hotel, tempat penginapan kami. Kami akan ke Pelabuhan Ulee Lheue. Cara menyebut Ulee Lheue ni agak susah. Kita kena juih-juihkan bibir bawah kita untuk menyebutnya dengan betul.
"Kita naik beca!" kata suami Salwa pada kami.
"Naik beca? Ramai-ramai ni?" soal saya dengan tidak percaya.
"Kita naik beca!" ulang suami Salwa lagi.
"Ye ke ni? Macam tipu je!" kata saya kerana sangkakan dia bergurau.
"Broom...broom...broom."
Tiba-tiba 15 buah bemo datang ke depan hotel. Saya masih rasa tak percaya.
Semua ahli rombongan bergegas menaiki bemo itu. Rupa-rupanya Hajah Salwa dan suaminya telah membuat surprise - kami naik bemo secara konvoi untuk ke Pelabuhan Ulee Lheue.
Oleh kerana terkejut saya terlambat naik. Jadi saya dapat bemo yang corot.
Seronoknya dapat konvoi beramai-ramai dengan bemo dan melalui jalan-jalan utama Banda Acheh. Bemo itu pada mulanya dipandu perlahan, tetapi ia kemudiannya dipandu semakin laju dan laju. Ini membuatkan kami menyeringai dan menjerit kerana seronok. Weee.... macam naik roller coaster!
Sekejap saja rasanya naik bemo. Tak lama lepas itu kamipun sampai ke Pelabuhan Ulee Lheue.
Dari situ kami menaiki feri ke Pulau Weh. Orang agak ramai juga.
|
Konvoi dengan bemo melalui jalan-jalan di Banda Acheh |
Menaiki Feri dari Pelabuhan Ulee Lheue ke Balohan, Sabang
Sabang tidak sepopular Bali, ini disebabkan kurangnya promosi. Tetapi keindahannya mengasyikkan dan saya rasa amat bertuah kerana dapat melaksanakan impian saya ke pulau kemegahan Acheh yang tersembunyi ini.
Feri ke Sabang berharga IDR 65,000 untuk kelas ekonomi, IDR75,000 untuk kelas pertengahan dan IDR 95,000 untuk kelas VIP. Tapi kami cuma memilih kelas ekonomi sahaja.
Perjalanan memakan masa 45 minit. Saya telah menelan penawar muntah terlebih dahulu. Plastik untuk membuang muntah juga disediakan oleh anak-anak kapal. Alhamdulillah ombak ketika itu amat tenang. Jadi kedua-duanya gagal membuatkan saya muntah.
Apabila sampai di Sabang, Pulau Weh kami melihat papantanda
di jeti menyambut kedatangan kami. Van juga sudah sedia menanti untuk
membawa kami makan angin di pulau itu.
|
Jeti di Sabang, Pulau Weh. |
|
Inilah feri yang kami naiki. Feri Express Bahari 3B membawa penulis dari Pelabuhan Ulee Lheue (Banda Acheh) ke Balohan (Sabang). |
Apa Ada di Sabang?
Rupa-rupanya Pulau Weh ni berbukit-bukau. Jadi jalannya agak berliku-liku tetapi tidaklah securam Cameron Highland. Kami semakin menaik. Ingatkan van kami tidak mampu menaiki bukit-bukau itu. Tapi sangkaan kami meleset. Kami disinggahkan di atas bukit, di tebing tingggi dan menghadap teluk. Mungkin inilah Telok Balohan. Keindahan teluk ini membuatkan saya terpukau dan lupa hendak bertanya nama teluk ini pada Mahlizar, pemandu pelancong kami sejak tahun lepas.
Kami kemudiannya meneruskan perjalanan ke pekan Sabang. Dalam perjalananan kami menyaksikan hutan rimba yang malar segar, kampung-kampung terpencil dan pemandangan laut yang memukau.
|
Pemandangan Lautan India di Balohan |
Benteng Pertahanan Jepun, di Anoi Itam
Seterusnya kami ke Benteng Pertahanan Jepun yang telah dibina pada tahun 1942. Benteng ini terletak di atas tebing tinggi di pinggir laut Anoi Itam. Jadi, untuk melihatnya kami kena naik anak-anak tangga. Penat juga.
Di atas tebing terdapat kira-kira tiga buah kubu pertahanan tentera Jepun di sini. Terdapat juga meriam lama yang menghadap laut lepas.
Pemandangan di atas tebing yang menghadap Selat Melaka itu amat cantik. Pohon-pohon kelapa menari-nari di tiup angin segar. Rumput-rumput pula menghijau dan tumbuh pendek bagaikan baru sahaja dipotong. Asyiknya saya dengan suasana indah dan damai ini, terasa amat berat kaki meninggalkan tempat ini.
|
Benteng Pertahanan Jepun, dibina pada 1942. |
|
Rumput hijau tumbuh segar dan pendek seperti baru dipotong |
|
Pemandangan Selat Melaka dari tebing Benteng Pertahanan Jepun, di Anoi Itam. |
Menginap di Sabang Hill
Kami menginap di Sabang Hill yang letaknya di atas bukit yang tinggi dan menghadap Lautan India.
|
Sabang Hill hanya satu tingkat dan letaknya di atas bukit menghadap Lautan India |
|
Bilik ini muat untuk dua orang dan saiznya agak kecil. Bilik airnya mempunyai pili untuk beristinjak. Shower disediakan, tetapi sinki dan paip tidak disediakan. Susah sikit nak ambil wudhuk. Flat screen tv dan penghawa dingin disediakan. |
|
Pemandangan Lautan India dari atas bukit di hadapan hotel Sabang Hill |
Makan dan Membeli-belah
Di Pulau Weh ada sebuah pekan kecil bernama Sabang. Kami ke pekan Sabang selepas berehat di Sabang Hill.
Makanan yang enak sesuai dengan selera orang Melayu disajikan di restoren Perkasa Utama, pekan Sabang. Hidangan utama mereka ialah ayam tangkap, gulai ikan Acheh, sambal kemamah, telur dadar, gulai kacang panjang, sup sayur dan macam-macam lagi.
Kedai-kedai runcit dan
souvenir juga terdapat di sini. Kami sempat membeli beg,
fridge magnet,
pop ice (serbuk minuman untuk ice blended), dendeng Acheh dan bakpia iaitu kuih asli Sabang.
|
Pekan Sabang. Rumah dua tingkat itu ialah restoren Perkasa Utama |
|
Ayam Tangkap ialah ayam kampung yang digoreng rangup dengan daun kari |
|
Bakpia Sabang ~ Bakpia ialah kuih tradisional Sabang. Ia berintikan kacang hijau. Ia mempunyai 3 perasa: biasa, pandan dan kopi. Ia dijual dalam kotak yang mengandungi 10 biji. Sekotak berharga IDR10,000.00 |
|
Yang perlu dibawa balik dari Sabang |
|
Fridge magnet Sabang berharga IDR10,000.00 |
Kilometer Nol
Selepas makan, kami menaiki van dan melalui hutan-hutan yang terdapat di Sabang. Jalan berliku-liku dan berbukit-bukit. Kadang-kadang kami ternampak monyet melintas jalan.
Kira-kira 15 km perjalanan kami sampai ke Tugu Kilometer Nol yang letaknya di hujung Pulau Weh. Di Kilometer Nol inilah jarak Indonesia mula diukur dari 0 km sehinggalah ke Meuroke, Papua.
Setelah mendaki Tugu Kilometer Nol, kami diberikan sijil penghargaan dari Pemerintah Acheh! Sijil itu mencatatkan nama kami, tarikh dan pengunjung yang ke berapa.
|
Kedai-kedai cendermata yang terdapat di Kilometer Nol. |
|
|
Kiraan Kilometer Nol bermula di sini |
|
Tanda Kilometer 0 sedang dibina di hadapan tugu KMO |
|
Sijil ini diberikan kepada saya selepas mendaki Tugu Kilometer Nol. Mutu kertas dan cetakannya amat bagus. Lihat saya pengunjung ke 84,684. Nama saya, saya padamkan untuk memelihara kerahsiaan. |
Melihat Pemeliharaan Terumbu Karang dan Ikan di Taman Dasar Laut Iboih
Kami kemudiannya ke Iboih. Kami akan melihat terumbung karang dan ragam ikan dalam bot kaca. Seronoknya. Kami dapat bayangkan yang ikan-ikan itu berenang di atas kami dan kami mendonggakkan kepala melalui kaca bot. Saya terbayangkan
underwater world seperti di Melbourne Aquarium.
Apabila sampai di Iboih kami berehat di tepi pantai sambil menunggu bot kaca sampai. Di sini terdapat ramai orang bersantai dan berniaga. Chalet yang dipanggil bungalow oleh orang pulau ini banyak didirikan di atas tebing. Saya lihat ramai Mat Salleh menginap di situ. Dianggarkan sewa bungalow ini semalam adalah RM100 dan boleh ditempah secara online.
Setelah menunggu, sebuah bot kecil sampai. Kami menaiki bot kecil itu. Ia boleh memuatkan kira-kira sepuluh orang. Kami duduk di bangku mengelilingi kotak kayu yang diletakkan di tengah-tengah bot yang telah ditebuk lubangnya. Kaca akuarium telah siap dipasang pada kotak itu untuk kami meninjau dasar laut. Rupa-rupanya inilah bot kaca yang dimaksudkan. Sangkaan kami meleset. Kami kena merenung ke bawah melalui lubang yang ditebuk di tengah-tengah perut bot. Lubang itu pula telah diletakkan kaca akuarium supaya kami boleh nampak dasar laut dengan jelas.
Pemandu yang menerajui bot kami menjelaskan tentang pemeliharaan batu karang dan ikan itu yang telah musnah dihanyutkan oleh ombak tsunami pada tahun 2004. Kini mereka mememeliharanya semula.
Kami dapat melihat ikan-ikan berenang dan terumbu karang yang baru tumbuh di dasar laut yang jernih airnya.
Di hadapan kami ada Pulau Rubiah. Kami boleh memilih untuk berehat di
Pulau Rubiah sekiranya mahu, tapi kami sepakat tidak berbuat demikian,
cuma melihatnya dari jauh.
|
Pantai Iboih |
|
Penjaja di Iboih |
|
Iklan snorkling |
|
Chalet tepi pantai Sabang |
|
Bungalow di tebing Iboih |
|
Bungalow di gigi laut Iboih yang boleh disewakan. Bungalow di atas tebing |
|
Bot untuk melihat batu karang dan ikan di Iboih. |
|
Batu karang dan ikan yang dipelihara di dasar laut ini dapat dilihat melalui kaca yang ditebuk lubangnya di tengah-tengah bot |
|
Bot di Pulau Sabang |
|
Bot yang kami naiki tadi kami tinggalkan ketika hampir senja. Di belakang sana ialah Pulau Rubiah. |
Pesona Senja di Sukakarya
Saya, keluarga saya dan rakan Wilayah Utara Travel Sdn Bhd berkesempatan
menikmati indahnya senja di salah satu tebing laut di Sabang
ini. Letaknya di Taman Wisata Kuliner, Gampong Kuta Bara, Kecamatan Sukakarya.
Kami bersantai-santai sambil minum jus alpokat dan duduk di bangku menghadap laut lepas, menanti matahari beradu. Senja petang itu di Pulau Weh terasa begitu damai.
Sinaran matahari seolah-olah membakar kaki langit bahkan sebahagian
cahaya jingganya tumpah di permukaan air Lautan India. Ombak Lautan India ini berbuai lembut. Ia tidak pernah
beristirehat barang sejenak pun. Di kejauhan bot-bot kecil mudik menghiasi kedamaian senja.
|
Senja di Sukakarya |
|
Menikmati jus alpokat di tepi pantai ketika senja di Sukakarya |
...bersambung