Kotaraya Melbourne adalah tempat tumpuan ramai. Ia adalah kotaraya yang paling ramai penduduk di Victoria dan kotaraya yang kedua teramai penduduknya di Australia. Melbourne juga mempunyai masyarakat yang berbilang kaum. Maka tidak hairanlah kalau melihat pelbagai warna kulit di sini. Pelancong juga suka datang ke Melbourne.
Melbourne mempunyai bangunan-bangunan yang indah. Senibinanya unik. Kotaraya Melbourne dikenali oleh penduduk di sini sebagai Melbourne CBD. Apabila mereka menyebut CBD, ini merujuk kepada Centre of Business District - pusat perniagaan. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh kita lawati di Melbourne CBD.
Antara tempat-tempat menarik di sekitar kota ini ialah:
Stesen Flinders Street adalah pusat utama hentian keretapi dan kawasan paling sibuk di Melbourne. Bangunan stesen ini telah siap pada tahun 1910 dan ia adalah stesen keretapi yang tertua di Melbourne. Saya selalu pergi ke Flinders Street ini. Di hadapan stesen ini, di bawah jam besarnya. ada saja seniman jalanan bermain muzik. Ada juga orang menjual bunga-bunga segar. Di sini juga tempat pertemuan orang ramai. Dari sini saya ambil bas atau tram. Berjalan kaki dari stesen ini ke kawasan berdekatan juga amat sesuai. Saya selalu lihat ramai orang berpusu-pusu berjalan kaki.
Di bawah (basement) stesen Flinders Street ini ada ruang galeri untuk seniman memamerkan lukisan-lukisan dan bahan seni mereka.
Melbourne mempunyai bangunan-bangunan yang indah. Senibinanya unik. Kotaraya Melbourne dikenali oleh penduduk di sini sebagai Melbourne CBD. Apabila mereka menyebut CBD, ini merujuk kepada Centre of Business District - pusat perniagaan. Banyak tempat-tempat menarik yang boleh kita lawati di Melbourne CBD.
Antara tempat-tempat menarik di sekitar kota ini ialah:
1. Flinders Street Station (Stesen Jalan Flinders)
Stesen Flinders Street adalah pusat utama hentian keretapi dan kawasan paling sibuk di Melbourne. Bangunan stesen ini telah siap pada tahun 1910 dan ia adalah stesen keretapi yang tertua di Melbourne. Saya selalu pergi ke Flinders Street ini. Di hadapan stesen ini, di bawah jam besarnya. ada saja seniman jalanan bermain muzik. Ada juga orang menjual bunga-bunga segar. Di sini juga tempat pertemuan orang ramai. Dari sini saya ambil bas atau tram. Berjalan kaki dari stesen ini ke kawasan berdekatan juga amat sesuai. Saya selalu lihat ramai orang berpusu-pusu berjalan kaki.
Di bawah (basement) stesen Flinders Street ini ada ruang galeri untuk seniman memamerkan lukisan-lukisan dan bahan seni mereka.
Stesen keretapi Flinders Street tempat pertemuan yang popular. |
2. Port Philip Arcade (Arked Pelabuhan Philip)
Apabila kita keluar dari pintu depan stesen ini, kita akan nampak Port Philip Arcade di sebelah kiri seberang jalan. Saya selalu ke tempat ini. Boleh dikatakan setiap minggu kerana saya pergi belajar buat Sugar Flower. Sungar Flower ialah bunga yang dibuat daripada gula untuk hiasan kek, terutama sekali untuk kek kahwin (wedding cake). Kelas buat Sugar Flower ini letaknya di basement Port Philip Arcade ini, betul-betul di depan Flinders Street Station. Setelah tamat belajar saya diberi sijil Wilton Cake Decorating and Baking School of Melbourne. Guru yang mengajar saya sugar flower ini seorang lelaki. Dia penghias kek yang profesional. Dia selalu menang pertandingan menghias kek.
Di Port Philip Arcade ini terdapat pelbagai kedai. Kedai untuk mendapatkan bahan-bahan membuat kek juga terdapat di sini, iaitu di tingkat satu. Berdekatan dengannya pula ada McDonald, kedai pakaian terpakai, kedai buku terpakai, backpacker's hotel, bank dan pelbagai urusan perniagaan. Kalau hendak beli barang kenang-kenangan yang murah, belilah di Arthur's Dailey, letaknya di basement bahagian kanan bangunan ini iaitu di Swanston Street.
Inilah bangunan kelas Sugar Flower dan hiasan kek yang saya hadiri. Masuk ikut pintu ini, terus turun ke bawah tangga, jumpalah kelas itu di sebelah kanannya. |
Di bawah ini ingin saya kongsi dengan anda antara gambar bunga-bunga gula yang saya hasilkan dari kelas Sugar Flower ini.
3. Pusat Informasi
Berhadapan dengan stesen Flinders Street terdapat Pusat Informasi. Pergilah ke Pusat Informasi ini yang akan membantu merancang kembara anda. Boleh juga dapatkan brosur, buku dan pamphlet tentang tempat-tempat menarik di Melbourne dan cara-cara untuk ke tempat-tempat itu. Pusat Informasi ini sebenarnya berhadapan dengan Federation Square. Saya pernah ke sini untuk mendapatkan buku melawat Victoria yang terbaru. Buku ini diterbitkan setiap musim. Dalam buku itu ada juga baucer percuma yang boleh kita gunakan. Saya pernah gunakan baucer dari buku ini untuk dapatkan diskaun memasuki muzium, aquarium dan membeli barang dengan harga diskaun.
Pusat informasi yang bersedia membantu merancang kembara anda. |
4. Federation Square
Tidak sah berada di Melbourne CBD tanpa memijakkan kaki di Federation Square. Federation Square ini mempunyai senibina yang unik. Bentuknya kelihatan pelik. Kawasan ini adalah pusat awam yang amat "happening". Konsert-konsert, pesta muzik, festival budaya, pameran, forum, tayangan filem, pertunjukan fesyen, pelancaran acara, dll sering diadakan di sini. Di sini juga ada restoren, cafe dan bar yang menghidangkan makanan barat, Australia, China, dll.
Saya selalu juga datang ke sini. Kadang-kadang apabila lalu di situ, kebetulan ada konsert saya dan keluarga saya duduk sekejap depan pentas. Pernah dahulu kami tonton persembahan budaya dari Indonesia. Anak sulung sayapun pernah buat persembahan di sini. Di sini dia masuk pertandingan Beatbox (salah satu genre hip hop). Masa itu dia baru berumur 16 tahun. Dia menang pertandingan Beatbox itu. Lepas menang dia ditawarkan oleh syarikat rakaman Kingdom Wise Record, Melbourne untuk buat single dan tandatangan kontrak selama 5 tahun. Dia berganding dengan Madison dalam single itu. Kalau anda peminat Beatbox anda mungkin perasan anak saya ini. Dia pun selalu muncul di Tv Malaysia.
Senibina Federation Square yang pelik. |
Federation Square sentiasa menjadi tumpuan ramai |
Tidak berjauhan dengan Federation Square ini terdapat Australian Centre for the Moving Image (ACMI) iaitu tempat meraikan filem dan video digital. Ian Potter Centre iaitu galeri seni kontemporari Australia juga terdapat di kawasan ini. Di sini juga kita boleh membeli-belah barang-barang seni, filem dan barang kenang-kenangan.
5. Yarra River (Sungai Yarra)
Di belakang Federation Square terdapat Sungai Yarra. Kadang-kadang di tebing sungai ini ada pesta makanan antarabangsa. Ada perkhidmatan bot/feri untuk menyusuri Sungai Yarra ini. Saya sendiri tak pernah naik bot ini tetapi kawan-kawan saya kata seronok juga naik bot ini. Dapat lihat pinggir bandar Melbourne, taman-taman dan kedai-kedai di pinggir Sungai Yarra. Kalau hendak membuat majlis perkahwinan juga boleh dilakukan di sini.
Sungai Yarra yang bersih dan mesra alam. |
Saya sering lalu di tebing Sungai Yarra ini. Berdekatan dengan Sungai Yarra ada taman-taman yang indah seperti Birrarung Marr Park, Batman Park, Riverside Park dan Olympic Park. Melbourne Aquarium juga letaknya di pinggir Sungai Yarra ini. Sungai Yarra ini mengalir sehingga ke pelabuhan Philip dan nama asal sungai Yarra ini ialah Birrarung Marr.
6. Melbourne Aquarium (Akuarium Melbourne)
Melbourne Aquarium adalah tempat yang menarik untuk dilawati terutama kanak-kanak. Di sini saya dapat melihat clownfish dan obor-obor berenang dekat dengan saya - "Upclose and personal". Kadang-kadang saya berada di atas ikan dan ada masa di bawah ikan. Ikan-ikan di sini pelbagai saiz dan bentuk dari sekecil kuda laut hinggalah sebesar ikan yu. Aquarium ini bertingkat-tingkat dan eskulator disediakan. Semasa saya berjalan di dalam terowong saya lihat ikan pari yang besar berenang di atas saya sambil mengepak-ngepak siripnya. Masa ini saya rasa saya tengok ikan dan ikanpun tengok saya. Rasa 'best' sangat.
Obor-obor yang lembut menari-nari di dalam akuarium. |
Ikan pari ini merenung aku dari atas. |
Tempat duduk juga disediakan untuk berehat-rehat sambil menonton pekerja akuarium memberi makan penguin. Kemudian melihat penyelam-penyelam berenang bersama-sama dengan ikan yu. Anak saya yang bongsu berulang-ulangkali menaiki roller-coaster yang juga ada di tingkat bawah. Ketika anak-anak saya berumur sekitar 10 tahun hingga 13 tahun, mereka suka ke sini. Mereka seronok sekali memasukkan kepala ke dalam tangki akuarium, dari lubang bawah dan melihat dari dalam akuarium ke luar, dari sudut pandangan seekor ikan. Seolah-olah mereka adalah ikan.
Manusia pun boleh menjadi ikan di Akuarium Melbourne. |
Akuarium ini dekat sangat dengan stesen Flinders Street. Ia terletak di sudut di antara Flinders Street dan King Street. Kami jalan kaki saja dari stesen Flinders Street. Kadang-kadang kami naik tram ikut route 70 atau 75. Ia juga terletak di tebing Sungai Yarra dan berhadapan dengan Crown Entertainment Complex.
Tiket masuk berharga AUD34.90 untuk dewasa, kanak-kanak 3-15 tahun AUD21.50. Tetapi ada diskaun untuk pelajar dan keluarga. Ia dibuka pada pukul 9.30 hingga 6 ptg setiap hari. Bayaran ini berbaloi kerana masa boleh dihabiskan seharian di sini. Kalau nak tahu dengan lebih terperinci sila klik:
http://www.melbourneaquarium.com.au
7. Crown Entertainment Complex (Kompleks Hiburan Mahkota)
Tidak jauh dari Melbourne Aquarium ini terdapat Crown Entertainment Complex. Letaknya di Clarendon Street, iaitu di seberang Sungai Yarra. Crown Entertainment Complex ini ada Casino. Tapi kami sekeluarga tidak pernah masuk sebab tak minat. Dalam komples ini juga ada restoren dan kedai-kedai. Boleh naik tram 96 atau109 untuk ke sini.
8. Royal Exhibition Building (Bangunan Pameran Diraja)
Bangunan Royal Exhibition terletak di Carlton Gardens, Carlton. Kawasan sekeliling dan lanskap di Royal Exhibition ini cantik. Bangunan Royal Exhibition ini mendapat pengiktirafan Warisan Dunia. Ia adalah bangunan lama yang masih kekal dengan lanskapnya yang asal dan masih beroperasi dengan baik. Bangunannya telah dibina pada 1880. Bangunan ini adalah tempat pameran pelbagai acara termasuklah Halal Expo. Aku pernah ke bangunan ini melihat Pertunjukan Bunga Antarabangsa.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Royal Exhibition ini sila klik:
http://museumvictoria.com.au/reb/history/the-building/display/
Bangunan Royal Exhibition yang megah sebagai salah satu Warisan Dunia. |
Anak-anak dan burung-burung riang bermain di Carlton Garden di hadapan Bangunan Royal Exhibition. Di Carlton Garden kita boleh melihat pokok-pokok English Oak, Elm, Cedar, Conifer dan White Poplar. |
Berehat sambil melihat itik berenang-renang di dalam kolam di Carlton Garden amat menyeronokkan. |
a
a
a
9. Melbourne Museum (Muzium Melbourne) dan IMAX Theatre (Teater IMAX)
Kalau anda minat dengan sejarah dan warisan Melbourne masuklah Muzium Melbourne. Muzium ini letaknya bersebelahan dengan bangunan Royal Exhibition. Kami sekeluarga pernah masuk. Ada labah-labah tarantula dan rangka dinasour di sini. Kami sempat menjelajah Taman Bunjilaka dan Galeri Birrarung iaitu taman dan pamera kesenian orang asli Australia.
Ada perpustakaan dan pusat penyelidikan. Ada pameran sains dan teknologi. Ia dibuka jam 10 pagi hingga 5 petang setiap hari kecuali hari Good Friday dan Krismas. Di situ juga ada pameran tetap dan pameran bergerak, persembahan, cafe, panggung IMAX dan kedai cenderamata. Pendek kata, kita perlu menghabiskan masa sehari suntuk untuk melawat semua tempat-tempat ini. Muzium Melbourne pernah memenangi Anugerah Pelancongan Australia 2011.
Kami pernah menonton filem dokumentari 3-D di IMAX Theatre ini. Menonton filem 3-D memang menyeronokkan kerana ia terasa nyata dan benar-benar hidup. Tiketnya mahal! Sekali itu saja kami tengok filem di IMAX. Lesaplah dalam RM300.00 sekeluarga! Saja nak bagi anak-anak merasa.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang muzium ini sila klik:
http://www.melbourne.museum.vic.gov.au atau http://museumvictoria.com.au/
Labah-labah dan beruang yang diawetkan dalam Muzium Melbourne |
Rangka Dinosaur di ruang pameran di Muzium Melbourne. |
10. Melbourne City Museum (Muzium Kotaraya Melbourne)
Kalau menaiki tram City Circle, City Museum di Collins Street dan Spring Street amat mudah dilihat. Muzium ini adalah bangunan lama (stail Renaissance Revival) yang dibina antara 1858 dan 1862. Ia telah dibina oleh akitek muda berusia 19 tahun yang kemudiannya merekacipta bangunan di Australia dan New Zealand. Di dalamnya kita dapat menjejak kembali sejarah Melbourne dari John Batman, ke zaman melombong emas, hinggalah Melbourne menjadi bandar raya pada hari ini.
Muzium kotaraya Melbourne mudah dikunjungi. |
11. Immigration Museum (Muzium Imigrasi)
Satu lagi muzium ialah Immigration Museum. Letaknya di 400 Flinders Street. Kalau keluar dari stesen Flinders Street, terus ikut kiri dan jalan kaki dalam 5-10 minit. Di dalamnya ada sejarah imigrasi penduduk ke Melbourne. Kita dapat mengetahui sebab-sebab mereka datang ke Australia, asal usul mereka dan cara mereka memulakan penghidupan baru di sini. Budaya dan aktiviti komuniti Melbourne juga turut diadakan di sini. Saya tak pernah masuk, lalu depan sahaja, tetapi anak saya yang kedua pernah masuk. Dia pergi ikut rombongan sekolah. Dia tidak seronok ke situ. "Boring," katanya. Apa tidaknya pergi ke situ macam masuk kelas Sejarah.
Melbourne CBD dari tram bergerak. Berlatardepan bumbung stesen keretapi. |
12. Queen Victoria Market (Pasar Permaisuri Victoria)
Pasar Queen Victoria adalah pasar terbuka yang besar di kotaraya Melbourne. Ia terletak di 513 Elizabeth Street. Terdapat banyak barang-barang dijual di sini seperti barang kenang-kenangan, pakaian, makanan, keju, daging, ayam, makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan dan lain-lain lagi.
Boomerang, didgeridoo (alat tiupan orang asli Australia), patung koala, posum, wombat, kangaroo, enchidna, platypus, rantai kunci, fridge magnet dan lain-lain ada dijual di sini. Tapi saya dengar bahawa boomerang dan didgerdioo yang diukir dan dijual di sini sebenarnya dibuat di Indonesia. Kawan saya Rubi, orang Jakarta, memaklumkan bahawa membuat boomerang dan didgeridoo adalah punca pendapatan tetangganya di Jakarta. Boomerang dan didgeridoo yang telah siap dihantar ke Australia.
Peniaga-peniaga di sini ada juga yang tahu bahasa Melayu dan Indonesia. Tetapi barang-barang di sini agak mahal. Kalau hendak berjimat belilah di kedai-kedai Cina yang terletak di pekan-pekan kecil seperti di Oakleigh, Springvale, dll. Ada sesetengah-sesetangah peniaga boleh beri harga diskaun tetapi ada yang tidak.
Selain itu kita juga boleh melihat persembahan seniman jalanan di sini. Kelas masakan pun ada di sini.
Ada bahagian sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga-bungaan segar di pasar Permaisuri Victoria |
Didgeridoo dan patung-patung binatang Australia banyak terdapat di pasar Permaisuri Victoria. |
Persembahan muzik orang asli Australia. |
13. Fitzroy Gardens (Taman-taman Fitzroy)
Fitzroy Gardens adalah taman-taman yang cantik di kotaraya Melbourne. Kita boleh melihat pelbagai pokok, bunga-bungaan, itik-itik berenang di dalam kolam dan rumah-rumah lama di sini. Dalam taman ini juga ada sebuah rumah hijau (conservatory) yang banyak di tanam bunga-bunga orkid.
Fitzroy Gardens yang hijau dan mesra alam. |
Tandas, bunga poppy, tumbuh-tumbuhan dan itik di Fitzroy Gardens. |
Cooks' Cottage iaitu rumah ibubapa Kapten Cook yang dibina di Yokshire England pada tahun 1755 telah dipindahkan ke sini. Ia telah dirasmikan pembukaannya di Fitzroy Garden pada tahun 1934. Melawat Cooks' Cottage membawa kita kembali pada kehidupan keluarga Inggeris pada abad ke 18.
Cooks' Cottage yang boleh dimasuki tanpa bayaran. |
Untuk sampai ke sini kita hanya perlu menaiki tram City Circle dan turun di Spring Street. Jalan kaki saja ke selatan Spring Street, lintasi Treasury Gardens dan seberangi Lansdowne Street.
Kalau menaiki keretapi kita boleh turun di Parliament Station. Cari exit Spring Street, lintasi Treasury Gardens dan seberangi Lansdowne Street.
Kalau menaiki Yarra Tram, ambillah tram nombor 48 atau 75. Boleh naik dari Flinders Street/Swanson Street ke hentian 9 di Wellington Parade.
14. Flagstaff Garden (Taman Flagstaff)
Selain daripada Fitzroy Gardens, ada satu lagi taman yang bersih dan cantik. Iaitu Flagstaff Garden. Flagstaff Garden terletak berdekatan dengan pusat bandar iaitu di antara penjuru King Street dan La Trobe Street. Juga di penjuru La Trobe Street dan William Street. Oleh kerana kedudukannya berdekatan pusat bandar yang sibuk, maka orang suka berehat di sini. Kalau naik keretapi boleh turun di stesen bawah tanah Flagstaff.
Flagstaff Garden berdekatan pusat bandar. |
15. Tempat-tempat Solat (Masjid dan Musalla/Surau)
Kalau hendak berhenti solat, ada banyak tempat. Berdekatan dengan Taman Flagstaff (depan King Street) terdapat sebuah masjid. Ia dikenali dengan City Mosque atau Jeffcot Mosque. Letaknya di 66-68 Jeffcott Street. Saya dan keluarga saya pernah solat di sini. Masjid ini dua tingkat. Di pintu masuk ada kedai jual kurma.
Masjid Jeffcot Street adalah bangunan dua tingkat. Gambar ini diambil selepas solat Jumaat. |
Ruang solat wanita di tingkat atas Masjid Jeffcot Street. Gambar ini diambil ketika kaum hawa menanti solat Jumaat. |
Selain daripada masjid Jeffcot Street ada juga musalla (surau) di tengah-tengah kota raya ini. Musalla-musalla ini letaknya di bangunan universiti yang terdapat di tengah-tengah kota ini seperti di RMIT, Melbourne University dan Victoria University. Musalla ini berasingan antara lelaki dan perempuan. Sangat bersih dan tempat wudhu pun selesa. Telekong (mukena) TIDAK disediakan di musalla-musalla ini.
Musalla di RMIT letaknya di Bangunan 11, Swanston Street, tingkat 3. Tempat wudhu lelaki di bilik 401, tempat solatnya di bilik 3. Tempat wudhu perempuan di bilik 402, tempat solatnya di bilik 16.
Kalau berada di CBD tempat solat di RMIT adalah yang paling dekat |
RMIT adalah universiti yang letaknya di celah-celah kotaraya Melbourne. |
Ini ada peta untuk panduan ke lokasi musalla di RMIT:
http://img62.imageshack.us/img62/1989/rmitprayermaps.jpg
Kalau kebetulan berada di Bourke Street, boleh solat di RMIT Business School. Tanyalah pengawal di situ di mana "Muslim Prayer Room".
Di Melbourne University, musallanya terletak di Little Pelham Street. Boleh masuk ikut Leicester St atau Bouveriee St. Kad pelajar diperlukan untuk ke musalla ini. Tetapi boleh minta tolong pelajar Islam temankan/bawakan anda. Itulah yang saya lakukan. Saya dah lupa tingkat berapa. Kalau tak silap saya surau ini di tingkat paling atas (bumbung bangunan). Kalau saya silap tolong beritahu saya. Tetapi musalla ini dibuka waktu pejabat sahaja, jadi kalau datang di luar waktu pejabat perlu minta kebenaran pegawai keselamatan. Masa saya datang dulu, musalla itu belum buka lagi, sebab belum masuk waktu zohor, tetapi saya tunggu dalam 10 minit. Apabila hendak masuk waktu zohor, imam pun datang barulah dibuka sebab dia yang pegang kunci.
Di Victoria University pula, musallanya terletak di Flinders Street, tingkat 12, bilik 12.07.
16. Restoren Makanan Halal
Restoren makanan halal banyak terdapat di kotaraya ini. Daripada makanan halal Malaysia, Indonesia, India sehinggalah ke Lebanon. Dahulu restoren yang sering saya kunjungi bersama keluarga dan rakan-rakan ialah Changi Village Nasi Lemak di La Trobe Street, tidak berjauhan dengan RMIT dan stesen Melbourne Central. Nasi lemaknya sedap. Selain daripada ikan bilis dan sambal, ada rendang daging, ayam goreng, lontong, kari, dll. Sepinggan nasi lemak dengan lauk ayam beranggaran AUD8.00 (RM24.00). Tapi sayang restoren ini dah tutup pada tahun 2009. Tuan punya restoren ini orang Melayu Singapura.
Satu lagi restoren halal ialah Norsiah's Kitchen. Dulu letaknya di Prahran, agak jauh sedikit, perlu naik Yarra Tram atau keretapi. Saya dan kawan-kawan Malaysia yang belajar di Melbourne selalu buat pertemuan di Norsiah's Kitchen. Antara masakan istimewa di restoren ini ialah tahu telur, rendang daging, lontong, ayam goreng dan gado-gado - campuran masakan Malaysia, Indonesia dan Singapura. Sedap!
Tuan punya restoren ini ialah Kak Norsiah, orang Melayu Singapura yang telah menjadi residen tetap di Australia. Dia yang masak. Tetapi sekarang Norsiah's Kitchen berpindah ke pusat bandar iaitu di 604 Swanston Street dekat dengan Melbourne University. Jadi lebih mudah untuk dikunjungi. Sepinggan nasi dengan dua jenis lauk, satu jenis sayur dalam AUD6.50 (RM19.50). Harga ini dianggap murah di kotaraya Melbourne.
Selain daripada itu ada juga restoren makanan halal yang lain iaitu masakan Indonesia seperti Nelayan Indonesian Restaurant (di 265-267 Swanston Street), Es Teler 77 (di 319 Swanston Street) dan Minang Nasi Padang (di sudut Pelham Street dan Swanston Street).
Untuk citarasa India, Malaysia dan Singapura boleh cuba di Zam Zam Cafe Restaurant (di 364 Lonsdale Street). Semasa saya jadi juruhebah radio dahulu saya selalu putarkan iklan Zam Zam Cafe ini di Radio 3ZZZ sebab Zam Zam taja rancangan radio kami. Tetapi saya sendiri tak pernah makan di situ. Jadi saya tak boleh komen apa-apa. Tapi kalau hendak cuba, bolehlah.
Secret Recipe pula sudah buka cawangan franchisenya di Melbourne. Iaitu di tingkat 3, pusat membeli-belah Melbourne Central, 211 La trobe Street.
Pastikan ada sijil halal dipamerkan di semua restoren-restoren ini. Kebiasaannya sijil halal di Victoria ini ada chop Islamic Co-ordinating Council of Victoria (ICCV) dengan bulan sabit berwarna kuning. Ada juga yang guna sijil halal dari Australian Federation of Islamic Councils (AFIC).
17. Royal Arcade (Arked Diraja)
Royal Arcade ini letaknya di Bourke Street. Bangunannya mempunyai senibina yang indah dan klasik. Di bumbung bangunan ini terdapat lampu-lampu dan ukiran awan larat yang menarik. Di sini terdapat pelbagai kedai untuk membeli-belah. Orang sentiasa ramai di sini. Kalau suka 'window shopping' sahaja macam saya ni, bolehlah masuk tengok-tengok.
Selain itu, boleh juga 'window shopping' di Melbourne Central dan Chinatown.
Royal Arcade yang berseni |
Selain daripada tempat-tempat yang saya nyatakan di atas tadi, terdapat tempat-tempat lain yang tidak kurang menariknya untuk kita lawati. Antaranya ialah Melbourne Gaol (penjara lama) dan Exhibition Deck (menara tinjau). Tapi saya tak dapat nak ceritakan, sebab saya sendiri tak pernah pergi. He he he... Saya dengar cerita orang saja.
Bagaimana hendak ke tempat-tempat menarik ini?
a) Tram City Circle (Bulatan Trem Kota)
Untuk sampai kesemua tempat ini anda hanya perlu menaiki tram City Cirlce. Tram ini percuma. Tram ini adalah pengangkutan paling klasik yang masih dipelihara di sini. Tram klasik/sejarah ini mengelilingi jalan-jalan utama di kota Melbourne dan berhenti sebentar di setiap perhentian. Anda boleh turun dan naik semula tram ini. Di dalam tram anda boleh dapatkan pamphlet tentang kotaraya Melbourne dan mendengar penerangan/komentari tentang kota raya Melbourne yang telah dirakamkan dalam bentuk audio.
Naiklah tram ini di mana-mana perhentian yang terdapat di sekitar kota Melbourne seperti di Flinders Street, Habour Esplanade, Docklands Drive, La Trobe Street atau Spring Street. Tram ini beroperasi setiap 12 minit dari pukul 10 pagi sehingga 6 petang dari Ahad sehingga Rabu dan dari Khamis ke Sabtu sehingga pukul 9 mlm.
Tram City Circle bergerak secara bulatan mengelilingi hentian utama di kota raya Melbourne. |
Perkhidmatan tram ini percuma. Brosur tentang kota raya ini disediakan di dalam tram ini. Tram ini sentiasa penuh dengan penumpang. |
b) Jalan kaki
Selain daripada menaiki tram City Circle ini, kita juga boleh melihat-lihat kota raya Melbourne dengan berjalan kaki. Di sini kita boleh lihat ramai orang berjalan kaki. Mereka jalan pantas-pantas.
Dengan berjalan kaki kita boleh membeli-belah di Melbourne Central, Chinatown, Collins Street dan Bourke Street Mall. Kita juga boleh singgah minum-minum di kerusi yang diletakkan di luar cafe dan melihat burung-burung mematuk-matuk di padang, di hadapan State Library, di sudut Swanston Street dan La Trobe Street.
Dengan berjalan kaki juga baru kita perasan ada banyak lukisan grafitti di atas tembok-tembok di lorong-lorong belakang sekitar Melbourne.
Berjalan kaki di CBD menyeronokkan terutama ketika cuaca nyaman. |
Grafitti di tembok-tembok kotaraya Melbourne. |
c) Berbasikal
Selain daripada itu boleh juga mengayuh basikal. Tempat letak basikal terdapat di merata-rata tempat di kota raya ini. Basikal juga boleh dibawa bersama kita naik keretapi dengan percuma. Perlu pakai topi keledar semasa menunggang basikal. Terdapat trek basikal dan tempat letak basikal disediakan. Saya dan kawan-kawan saya juga berbasikal dan kadang-kadang kami bawa basikal masuk dalam keretapi.
Penggunaan basikal mengurangkan pencemaran udara, menjimatkan wang dan menyihatkan badan.
Berbasikal amat digalakkan di Melbourne. |
d) Yarra Tram (Metlink) (Trem Yarra)
Yarra Tram ini membawa penumpang ke destinasi utama. |
e) Keretapi (Metlink)
Keretapi boleh juga dinaiki untuk mengelilingi kota raya Melbourne. Ia berhenti di setiap stesen utama seperti di Melbourne Central, Flagstaff, Parliament, Spencer Street dan Flinders Street. Untuk jarak jauh menaiki keretapi lebih baik kerana ia laju dan selalunya tepat, walaupun ada ketikanya berlaku kelewatan. Ia berhenti setiap stesen di bandar-bandar utama.
Keretapi Metlink yang bergerak pantas. |
Tiket ini boleh digunakan untuk menaiki Yarra Tram, keretapi dan bas. Ini ialah tiket Penjimatan Hari Ahad (Sunday Saver). Ia digunakan untuk zon 1, 2 dan 3. |
f) Bas (Metlink)
Bas juga boleh dinaiki dan tiketnya sama dengan tiket keretapi. Bentuk basnya sama dengan bas Rapid Penang atau Rapid KL. Tidak boleh merokok, makan atau minum di dalam bas. Pada hari Ahad bas hanya bergerak 1 jam sekali dan selepas pukul 4.00 petang biasanya perkhidmatan bas ditamatkan.
Ruang dalam bas Metlink yang bersih dan selesa. |
g) Teksi
Teksi agak mahal di sini. Saya pernah guna sekali, dari airport Melbourne ke rumah saya di Springvale sebab barang-barang banyak lagipun kami sekeluarga naik, jadi berbaloi sebab dikira satu teksi. Kami bayar lebih kurang AUD100.00 (RM300.00). Perjalanannya lebih kurang 45 minit.
Teksi dalam CBD. |
h) Kereta sewa
Kalau hendak menyewa kereta perlu ada kad kredit. Deposit dikenakan ketika menyewa kereta dan akan dipulangkan sekiranya tiada kerosakan. Kereta yang disewa perlulah diisi penuh petrolnya semasa memulangkannya. Sekiranya sipenyewa melanggar undang-undang jalanraya, denda atau bayaran akan dikenakan melalui kad kredit.
Pemandu memandu di sebelah kanan. |
i) Kereta sendiri
Kalau tinggal lama di sini, bolehlah beli kereta kerana jarak dari satu tempat ke satu tempat di Melbourne agak jauh. Perkhidmatan bas amat kurang pada hari minggu dan ada juga kawasan yang bas tidak beroperasi langsung pada hari Ahad. Keretapi pula kadang-kadang tidak beroperasi atau lewat. Keadaan ini berlaku kalau ada mogok pekerja, berlaku kerosakan keretapi/jalan keretapi atau tiada bekalan elektrik. Saya sendiri pernah terkena. Aduh!
Harga kereta terpakai murah berbanding dengan harga kereta di Malaysia. Saya hanya mampu beli kereta terpakai di kedai kereta terpakai. Harganya lebih kurang AUD3,000.00 (RM9,000.00). Jenama Ford Telstra. Automatik, guna petrol. Ada juga yang gunakan gas. Gas lebih jimat. Gas boleh didapati di kebanyakan stesen gas & petrol. Tapi pada masa saya beli itu tak ada kereta yang gunakan gas. Jadi beli jugalah.
Kereta ini elok enjinnnya dan tidak pernah rosak. Alhamdulillah. Tetapi kereta saya ni pernah kena langgar. Kejadian itu berlaku ketika saya lalu di hadapan syarikat Robert Bosch. Tiba-tiba datang satu kereta dari tepi kanan saya lalu melanggar pintu kanan kereta saya. Remuklah pintu kanan kereta dan bahagian depan kereta saya. Orang itu meminta maaf pada saya. Dia lalu memberikan lesen dan kad namanya pada saya. Rupa-rupanya dia CEO Robert Bosch itu. Dia berjanji akan bayar gantirugi kereta saya. Setelah diperiksa kereta saya itu, pihak insuran menganggarkan kos pembaikannya ialah AUD5,000.00. Diapun bayarlah pada saya melalui insurannya. Kiranya saya dah untung AUD2,000.00 sebab saya beli AUD3,000.00. Suami kawan saya pandai repair kereta, jadi dia yang ketuk dan cat serta cari spare part. Jadi kos pembaikannya hanya AUD1,000 saja bukannya AUD5,000.00. Apabila saya nak balik Malaysia, saya jual balik kereta itu. Orang yang beli kereta saya itu sanggup bayar AUD2,500.00. Jadi saya tak rugi langsung beli kereta itu malahan memperolehi keuntungan pulak. Alhamdulillah.
Ketika membeli kereta terpakai di kedai kereta terpakai di Dandenong. |
Untuk memandu di sini, guna sahaja lesen memandu Malaysia. Cuma lesen itu perlu diterjemahkan ke bahasa Inggeris. Dapatkan terjemahan ini daripada pegawai Kedutaan Malaysia di Canberra. Poskan maklumat seperti salinan kad pengenalan dan lesen memandu. Kadang-kadang pegawai ini datang ke Melbourne dan menginap di Dewan Malaysia. Semasa dia berkunjung ke sini, bolehlah jumpa beliau dan berikan butir-butir ini kepada beliau. Ada sedikit bayaran untuk mendapatkan pengesahan ini, tetapi tidaklah mahal. Lesen memandu Malaysia dan surat terjemahan itu hendaklah sentiasa dibawa ketika memandu.
Sebelum kereta itu boleh digunakan di atas jalanraya, dapatkan kelulusan keselamatan jalanraya dan mestilah didaftarkan. Eloklah beli kereta yang sudah ada RWC (roadworthy certificate) dan Rego terlebih dahulu.
j) Ejen Pelancongan
Terdapat banyak ejen pelancongan di Melbourne. Pilihlah yang berkenan. Ejen-ejen ini terdapat di sekitar tempat. Sekiranya masa anda terhad di Melbourne, eloklah gunakan perkhidmatan agensi pelancongan ini. Walaupun bayarannya agak mahal, namun anda telah menjimatkan masa dan dapat melihat banyak tempat dalam masa yang singkat.
Lebuhraya di Melbourne. |
Universiti-universiti juga ada menyediakan perkhidmatan pelancongan ini. Di Monash University, terdapat Family Support Group, iaitu persatuan yang menyediakan perkhidmatan pelancongan untuk siswa pasca siswazah dan keluarga mereka. Saya dan keluarga saya sering menggunakan perkhidmatan ini. Mereka iklankan melalui emel. Sekiranya ada, saya cepat-cepat beri nama dan bayar, kalau lambat akan terlepas. Ini disebabkan, bayarannya murah sangat-sangat. Boleh jimat 70%. Ada lawatan yang saya terlepas banyak kali sebab baru 3-4 jam emel itu dihantar, sudah "fully booked"! Antara yang saya terlepas ialah melawat Tesselar Tulip Festival! Sampai sekarang saya tak pernah pergi ladang tanaman tulip yang cantik itu!
Sebenarnya banyak aktiviti menarik boleh dilakukan di Melbourne. Banyak lagi tempat-tempat menarik di Melbourne (luar Melbourne CBD) yang boleh kita lawati. Tapi akan saya ceritakan di lain entri. Teruskan bersama saya di Melbourne dalam entri yang akan datang. Terima kasih kerana setia bersama saya.
Wahhhh, byknya tmpt menarik. Kalo nak cover smua sure sy kena stay 2 minggu. Rumah puan dr melbourne jauh x? Anak puan yg artis nama apa ek?
BalasPadamZila, mmg byk tmpt menarik..ada lagi ni.Nanti sy update lg. Tp baru2 ni Zila dah kira cover semua tempat yg menarik2 di Melbourne. Rumah sy di Melbourne, kalau naik train dr CBD ke Springvale lbh kurang 30-45 minit...Anak sy yg artis tu nama Shazet...taip Shazet Beatbox di search engine, pasti jumpa..tp dia bukan artis main stream, indie je :)
PadamOk! Sy dah sampai Melbourne lepas baca catatan Dr yang ni..seperti mimpi yang menjadi kenyataan pulak =)
BalasPadamFishah, Ya ke? Wah cepatnya..Kiranya berkesan jugalah tulisan saya ni ya? Kongsilah pengalaman itu..pergi tak ke tempat2 yg saya katakan ini?
PadamSaya pegi dalam mimpi jela Dr. Rasa mcm kenyataan mimpi tu, walhal belum menjadi kenyataan lagi..
BalasPadamFishah, dapat mengembara dgn saya dlm mimpi pun dah cukup bermakna bg saya. Alhamdulilah. InsyaAllah akan jadi kenyataan pd suatu hari nanti.
Padamwah...bestnyer baca post ni, banyak info..manalah tau satu hari nanti ada rezeki nak ke sana :)
BalasPadam@Honeybee Gabriel,
PadamInsyaAllah Honeybee akan sampai ke sana :) Terima kasih kerana memanfaatkan blog ini.
Salam Pn. Yg terjemahan lesen tu perlu sgt2 ke? Apa jadi kalau kita tak de terjemahan tersebut?
BalasPadamSalam kembali Atoi,
PadamTerima kasih kerana bertanya soalan itu. Perlu terjemahan pd lesen sebab ia dari luar Australia. Kalau tak ada terjemahan, kebetulan pula ditahan polis (cth: road block), kemungkinan kena bayar saman kerana dianggap lesen itu tidak sah. Terjemahan itu senang sahaja untuk dibuat. Taip sendiri maklumat yang ada pada lesen memandu itu dan hantarkan kepada Kedutaan Malaysia di Canberra untuk disahkan. Masa saya buat dulu saya bayar dalam AUD10 gitu.
Salam pn.. saya sudah 5 kali ke CBD, nak bertanya adakah susah hendak mendapatkan pekerjaan disana? CBD adalah tmpt yg plg menarik dan sekiranya dpt bekerja disana mmg best!!
BalasPadamSalam ed ezzane,
PadamTerima kasih kerana membaca blog saya ini dan tanyakan soalan itu. Untuk mendapatkan pekerjaan di Melbourne memerlukan permit kerja. Sekiranya ed ezzane seorang pelajar di Melbourne, ed ezzane boleh bekerja. Untuk penjelasan lanjut tentang kerja ini sila baca entri saya ini, lihat perkara 8: http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/perkara-lain-yang-patut-anda-tahu.html
Salam puan, terima kasih for the tips, alhamdulillah itinerary saya dah cover semua so rasa lega la jugak. Sy & fmly fly 9 Nov dan stay @swanston st until 14th lepas tu roadtrip until 18th. Doakan perjalanan kami lancar ye. And also thx sbb mention pasal Arthurs Daley's.
BalasPadamTranslation driving license tu, saya pernah sewa kereta di GC & Brisbane via Hertz, wlopon ada mention about that tp diorg takde pulak mintak masa nak collect, ke different rules in Melbourne ? or it is for the police not the car rental co ? Thx puan..
Tukang Campak,
PadamSaya doakan puan & keluarga selamat dalam perjalanan dan dipermudahkan segala urusan.
Car rental tak minta translation untuk lesen memandu tu. Terjemahan itu untuk polis sahaja.
Assalammualaikum Dr,
BalasPadamNama saya Nazifah. 7-9 dis nanti saya dan seorang kawan akan singgah di melbourne selepas attend conference di adelaide.. Boleh cadangkan kan area mana patut kami book hotel yang mudah untuk kami jalan2 dan makan? Tq
Walaikumusalam cikgu pah,
BalasPadamSemoga selamat berkonferen dan sampai di Melbourne.
Kalau hendak mudah, cari hotel yang berdekatan dengan stesen keretapi utama di Melbourne CBD seperti di Flinders Street. Selain dapat naik tram city circle percuma, banyak tempat menarik dan happening di CBD dan restoren halal mudah dicari.
Untuk maklumat lanjut tentang pemilihan hotel ini sila lihat entri saya mengenainya di:
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-tips-memilih-hotel.html
As salam sy izan.sy akan pergi melbourne pd 11 hgga 16 jun.nk tnya selain di melbourne city sy boleh pergi kemana lg dgn masa yg amat terhad ini.terima kasih.
BalasPadamWaalaikumusalam Izan,
PadamBanyak tempat menarik untuk diteroka di Melbourne. Selain daripada Melbourne City, Izan boleh pergi ke Chesterfield Farm untuk melihat ladang ternakan dari dekat. Selain daripada itu Izan boleh pergi ke Great Ocean Road untuk menyaksikan keindahan alam semulajadi pinggir pantai yang memukau. Selain daripada itu Izan juga boleh pergi melombong emas, berenang di laut, memetik strawberi, berkelah di Mornington Peninsula, mendaki Dandenong Ranges dan macam-macam lagi. Ada saya ceritakan dalam blog ini, ini linknya:
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/03/chesterfield-farm-jadi-koboi-aussie-di.html
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/great-ocean-road-keajaiban-alam-yang.html
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-9-aktiviti-lasak-seronok-yang.html
As salam..saya akan kemelbourne dlm april ni tp belum decide nak stay kat mana? need 2 rm apartment with kitchen appl.any idea tak? area dekat dgn city..tram..halal food. Harap boleh tolong ye.
BalasPadamTkasih
Waalaikumusalam Rozita,
PadamAda banyak hotel & youth/backpacker's hostel di city centre, tetapi apartment yang Rozita inginkan tu saya tak pastilah ada tak untuk disewa. Tetapi di mana-mana saja di CBD (city centre) adalah mudah untuk mendapatkan restoren makanan halal. Ada banyak. Kesemuanya mudah dikunjungi dengan tram. Tram adalah percuma dan bergerak secara bulatan (city circle), jadi mudah saja untuk mencari restoren halal dan hotel.
assalamualaikum kak....seronok membaca blog akak..insyaallah bulan jun saya dan family akan kesana,...harap akak dapat membantu kami
BalasPadamWaalaikumusalam Nazvin,
PadamTerima kasih kerana sudi membaca blog saya.
Sekiranya ada pertanyaan tentang Melbourne, jangan malu untuk bertanya saya.
Assalamualaikum puan.
BalasPadamTerima ksh sbb pn byk kongsikn maklumat dan pengalamn sepnjg pengembaraan puan.
cuma sy ingin menanyakan kpd pn mengenai perkhidmatan pelancongan di monash university dan melbourne university. bagaimna sy blh menghubungi dan berurusan perkhidmatan pelancongan ini?
Waalaikumusalam Shahida,
PadamPerkhidmatan Pelancongan Monash University letaknya di Student Centre. Manakala Monash Support Group letaknya di kaunter International Office. Perlu pergi sendiri ke tempat ini. Monash Support Group hanya untuk pelajar pasca siswazah Monash University sahaja.
Oleh kerana terdapat banyak ejen pelancongan di Melbourne CBD, Shahida boleh cari di sana seperti di Flinders Street. Oleh kerana kedudukannya di tengah bandar ia lebih mudah dicari. Monash Uni agak jauh dari CBD.
terima kasih =)
PadamAssalamualaikum sis,
BalasPadamsaya seronok membaca maklumat dalam blog sis ni. saya dan kawan2 akan ke Melbourne bulan ogos nanti. saya sedang mencari info tempat solat, tempat yang menarik yang boleh dilawati, makanan halal, dsb. selain tu saya travel dgn kawan2, jadi saya perlu lebih hati2 jika mengalami sebarang masalah nanti. so, harapnya maklumat dari blog sis ni dapat membantu saya ketika disana nanti. in shaa Allah..
Waalaikumsalam Nadia,
PadamTempat makan halal dan tempat solat di Melbourne kini mungkin telah bertambah atau berubah sebab informasi yang saya tulis ini pd tahun 2012. Saya harap maklumat ini dapat memudahkan perjalanan Nadia dan kawan-kawan di Melbourne nanti.
Tetapi menurut seorang pembaca blog ini, dia sangat gembira dengan panduan dalam entri ini dan telah berjaya menaiki tram city circle di Melbourne dan makan di Norsiah's Kitchen. :)
Nanti Nadia 'update' saya tentang Melbourne selepas balik dari Melbourne nanti ya. Mungkin Nadia ada maklumat baru.
Assalamualaikum..saya akan ke sana pada bulan depan. Saya berharap sangat puan dapat memberi pendapat. Saya rasa bergerak dalam kawasan bandar dengan tram sangat menarik. tetapi sekiranya hendak keluar dari bandar adakah lebih bagus sekiranya saya sewa kereta dan redah sahaja atau mengambil pakej pelancongan yang ada?
BalasPadamNor Afraliza,
BalasPadamWaalaikumusalam. Kalau hendak keluar dari bandar yang jauh jaraknya seperti Great Ocean Road, Nor Afraliza boleh gunakan perkhidmatan ejen pelancongan tetapi sekiranya ia dekat, naiklah keretapi. Boleh juga sewa kereta sekiranya mempunyai lesen memandu antarabangsa atau mempunyai lesen Malaysia yang diterjemahkan oleh kedutaan Malaysia di Canberra. Memandu di Melbourne haruslah berhati-hati kerana gaya memandu di sana ada sedikit perbezaan terutama sekali ketika memandu di CBD, terdapat gaya memandu yang hanya dipraktikkan di Melbourne sahaja iaitu "Melbourne hook turn". Tambahan pula tram di CBD boleh mengelirukan pemandu yang belum lagi biasa memandu di Melbourne dan mengakibatkan kemalangan.
Sy ingin ke sane hjg bln ni...apakah cara dan paling mudah untuk mengelilingi bdr melborne..
BalasPadamNur El,
PadamNaik tram City Circle. Ada banyak, mudah dinaiki, percuma, keliling bandar dan boleh naik turun di hentian ikut suka hati.
saya dan keluarga akan kesana hujung bulan mac ini, bila Baca blog puan ini Ada banyan tempt boleh dilawati. saya bercadang nah guna kereta sew utk jln2 disana. Bolen puan bagi cadangan,saya akan gunakan tram masa dicbd kecuali keluar dari Bandar guna kereta sewa.
BalasPadamRaman Ismail
kajang,selangor
Encik Raman Ismail,
PadamUntuk lawat CBD naik tram atau jalan kaki saja. Tapi kalau ke luar CBD elok sewa kereta sebab tempat-tempat menarik banyak juga terdapat di luar CBD dan jauh-jauh. Bolehlah sdra ke Great Ocean Road, Ballarat, Chesterfield Farm, Mornington Peninsula, Philip Island dan Dandenong Ranges.
wow ...fantastic info...very helpful and details... moga owner blog ini di rahmati allah . Mu memang tak kedekut ilmu lah..terbaaaaaaiiiiiikkkkkk.... caya lah..
BalasPadamTerima kasih Kembarakemboja. Aamiin. Ilmu bukannya seperti harta, ilmu makin diguna makin bertambah, tapi harta makin diguna makin habis, kan?
PadamSalam...puan boleh tak saya tahu di mana nak beli tiket SUNDAY SAVER TU??dekat 7ELEVEN ada jual juga ke?
BalasPadamSalam Cik Nun,
PadamSunday Saver boleh didapati di setiap stesen keretapi atau bas terutamanya pada hari Ahad. Tiket bas atau keretapi tidak dijual di 7 ELEVEN.
Sunday Saver lebih jimat.
Terima kasih ya.
PadamSama-sama.
Padamnak Tanya lagi satu soalan.. SUNDAY SAVER boleh guna zone mana?semua ke?terima kasih
PadamSunday Saver boleh digunakan untuk semua zon (tanpa had), seharian. Sebagaimana contoh di dalam entri di atas, Sunday Saver ketika itu berharga 2.50 Aussie dollar, tetapi boleh digunakan untuk zon 1,2,3. Sekarang harga tentu telah naik, mungkin melebihi 3.00 dollar. Lebih baik bertanya pada penjual tiket di kaunter yang terdapat di stesen keretapi utama seperti di Flinders Street.
PadamSalam..saya baru saja pulang dari Melbourne.Alhamdulillah..seronok sangat.trima kasih sebab tunjuk ajar.tapi SUNDAY SAVER dah tak ada di sana.Puan boleh tak beri alamat rumah?nanti pm dekat email saya.
PadamBainun0609@gmail.com
Salam. Syukur Cik Nun seronok di Melbourne. Apa yang seronoknya? Tentu ada banyak pembaharuan di sana. Terima kasih kerana up date saya pasal Sunday Saver tu. Ok, nanti saya email Cik Nun, ya.
PadamTerima kasih untuk N3 yg pada hemat sy amat bermanfaat...tgh baca sbb nak transit 1 hari di melbourne...ada tk cdgan number or contact person if nak guna khidmat pemandu pelancong..sbb kami akan singgah sehari jer sebelum ke NZ...tq tq
BalasPadamKalau transit sehari di Melbourne, saya rasa cukup sekadar berjalan di sekeliling Melbourne CBD dengan menaiki Tram City Circle yang percuma itu. Boleh turun dan naik semula, ikut suka kita. MamaBisya boleh pergi ke kesemua tempat yang saya senaraikan dalam entri di atas hanya dengan menaiki Tram City Circle atau jalan kaki atau naik basikal. Tak perlu guna khidmat pemandu pelancong kerana dalam Tram City Circle itu ada penerangan tentang tempat-tempat menarik di Melbourne CBD melalui rakaman & speaker. Brosur dan tempat-tempat menarik itu juga ada disediakan dalam tram itu. Sekiranya ingin mendapatkan khidmat pelancong, pergilah ke pejabat Information Centre yang terdapat di Federation Square dan tanyakan mereka.
PadamAssalamualaikum puan. Saya juga berpengalaman melawat Melbourne pd hujung feb 2013 lalu. Memang menarik berada di Melbourne. Tak puas rasanya 5hari disana. Saya berazam utk kesana lagi. Insyaallah. Anyway puan masih menetap disana?
BalasPadamWaalaikumusalam En Abu,
PadamTentu En Abu gembira di sana. Apa agaknya yang menarik sangat di Melbourne sampai nak ulang lagi? Boleh cerita sikit? :)
Kenangan saya di Melbourne amat berharga dan tak akan dilupakan. Ini disebabkan saya pernah belajar dan bekerja di sana.
Saya sudah tak tinggal di Melbourne lagi. Dah balik Malaya lama dah.
sy dah mula terjebak dgn blog sis.
BalasPadamtima kasih atas perkongsian yg sgt bermakna!
Terima kasih cikgu Hana kerana sudi singgah di sini. Semoga tulisan saya memudahkan perjalanan cikgu.
Padamdari bandar Melbourne ke Philip Island,
BalasPadam1-apakah public transport yang available?
2-yg manakah harganya berpatutan?
The President,
PadamPengangkutan awam yang ada ialah bas, keretapi, teksi dan feri.
Cara 1: Naik bas VLine. Namun perlu ambil di Dandenong. Ini bermakna sdra perlu ambil keretapi dari Melbourne dahulu dan kemudian turun di Dandenong dan ambil bas VLine. Untuk melihat jadualnya sila lihat di laman web ini:
http://www.railmaps.com.au/routedetails.php?RouteSelect=340
Cara 2 ialah menaiki keretapi V/Line dari Flinders Street Station di Melbourne CBD dan berhenti di Frankston. Kemudian tukar keretapi dan turun di Stony Point. Kemudian naik feri untuk menyeberangi ke Philip Island. Kemudian ambil teksi ke Cowes, Philip Island. Untuk petanya, harga dan masa sila lihat sini:
http://www.rome2rio.com/s/Melbourne/Phillip-Island
Namun begitu menaiki pengangkutan awam amat memakan masa dan tidak praktikal sebab banyak berhenti-berhenti. Kemudian ia tidak sampai terus ke destinasi, sebaliknya perlu pula jalan kaki jauh atau mengambil teksi. Lebih baik sewa kereta dan memandu atau ambil bas pelancongan (pakej). Philip Island bukan tempat yang mesra pengangkutan awam.
http://www.railmaps.com.au/routedetails.php?RouteSelect=340
Assalam Dr, mengenai translation license tu, boleh ke kita buat online? Selalu ke ada road block di sana? Sy pernah ke cbd 2x (2013,2014) n setakat ni blum ada yg minta translation tu n blogger2 lain pun xde sebut mengenainya. Insyaallah sy akn kesana lg bln jun thn ni
BalasPadamWaalaikumusalam Umi. Saya tidak pasti tentang buat lesen itu melalui online atau tidak. Umi perlu tanya pada pihak Kedutaan Malaysia di Canberra. Ya, selalu ada road block di sana. Tetapi terjemahan lesen ke Bahasa Inggeris adalah syarat untuk memandu di Australia. Saya dan kawan-kawan ketika tinggal/belajar di sana semuanya ada terjemahan lesen memandu itu.
PadamMaksudnya,kita tak perlu memohon lesen memandu antarabangsa utk memandu di australia,memadai dengan hanya memohon lesen utk dierjemah ke bahasa inggeris..begitu? terima kasih :) nk datang mac ni .. :D
PadamYa, betul tu. Bawa lesen memandu Malaysia ke Australia dan terjemahkan ke Bahasa Inggeris dan minta Kedutaan Malaysia Canberra sahkan.
Padamassalamualaikum puan,
BalasPadamKami nak ke Melbourne bulan march nanti. cuma patut ke kami ke yarra valley.
adakah ia dibuka. Tempat tue menarik ke pada bulan march
Waalaikumusalam Adisma.
PadamKalau berminat melihat alam semulajadi dan ladang bolehlah pergi. Tetapi saya tidak pasti bila ia dibuka. Tempat ini menarik dilawati pada bila-bila masa.
Tetapi kalau tak mahu ke Yarra Valley pun tidak mengapa, ini disebabkan di luar Melbourne CBD terdapat banyak ladang dan hutan.
Assalamualaikum puan... Saya dan suami berminat untuk bekerja dan tinggal di Australia.. Dalam perancangan, kami akan pergi selepas saya bersalin anak kedua selepas habis berpantang 3 bulan.. kira-kira dalam bulan November 2015. Apakah nasihat puan untuk kami? Terima kasih. Jazakallahukhairan untuk perhatian puan.
BalasPadamWaalaikumusalam Puan Aini,
PadamDapatkan dokument penting seperti visa dan permit bekerja di Australia. Untuk mendapatkan tempat bagi anak bersekolah, sediakan surat guru besar dari sekolah lama, surat kebenaran guru besar di Australia yang menerima anak puan, surat imunisasi sekiranya anak bersekolah rendah dan lain-lain dokumen penting. Sila baca semua entri saya tentang Melbourne - ada 11 entri - yang boleh menjawab pertanyaan puan.
Sila baca di sini
http://nota-kembara.blogspot.com/p/kembara-asia.html
Salam. Puan saya azian merancang bercuti ke Melbourne 3/6 hingga 9/6. Kami pergi sekeluarga dgn mertua seramai 8 org.. suami saya tak dpt join last minit sbb tak dpt cuti so kami tak tahu nak bergantung pada siapa utk jadi tour guide di Melbourne nanti. Adakah puan ada kenalan yg boleh membantu kami di sana nanti supaya percutian kami di sana lebih bermakna utk melawat tmpt 2 menarik disana...
BalasPadamSalam Puan Azian. Maaf, kerana saya tak ada kawan yang bekerja membawa pelancong. Sila hubungi agen pelancongan yang boleh didapati dengan mudah di merata-rata tempat di Melbourne. Ataupun tak perlu guna khidmat mereka kerana untuk berjalan-jalan di Melbourne adalah mudah -- tak perlu guna tourist guide. Ikutilah panduan yang telah saya berikan di atas.
PadamLesen memandu yang terkini (warna Pink 2015) tidak perlu diterjemahkan. Sedia maklum ada dwibahasa. bahasa Inggeris dan Melayu. Tq.
BalasPadamBaguslah kalau Malaysia telah membuat dwibahasa pada lesen memandu baru. Tak perlu susah-susah lagi terjemah dan minta kebenaran Kedutaan.
PadamTerima kasih kerana memaklumkan perkara ini. :)
Assalamualaiukum...
BalasPadamTerima kasih atas info yang diberikan. Saya ingin bertanya adakah possible untuk ke sana secara backpacker? Rasa macam untuk ke sana cuma tiada pengalaman.. :-)
Waalaikumusalam i-nie Sempoi.
PadamYa, sudah pasti boleh backpack ke sana kerana kemudahan yang disediakan untuk backpacker amat baik dan bandarnya selamat.
Ikutlah panduan yang saya berikan dalam blog ini, insyaAllah berguna untuk i-nie walaupun tiada pengalaman.
Hi. Saya baru baca pasal melbourne. So interesting. Mcmana nak dptkan permit utk kerja dekat sana?
BalasPadamRysa kena baca entri saya tentang Perkara Lain Yang Patut Anda Tahu Tentang Melbourne. Di sini ada jawapannya: http://nota-kembara.blogspot.my/2012/04/perkara-lain-yang-patut-anda-tahu.html
Padamsaya akan ke melbourne may 2016 ini tnpa ikut mana2 travel guide. blog ini sdikit sbyk mbantu sy.. sy stay di MH ..cuma sy teringin ke great ocean road.. tp tak tahu cara mana lebih mudah dan murah.. boleh tlg suggest? terima kasih
BalasPadamCara lebih mudah dan murah ialah menaiki bas yang disediakan oleh travel agent yang banyak terdapat di sekitar Melbourne CBD.
Padam