Saya selalu lihat ladang-ladang yang luas dan banyak apabila saya lalu di "country side" di negeri Victoria, Australia. Lembu-lembu meragut rumput di padang yang luas terbentang. Kambing biri-biri yang bergerak berkumpulan pula sentiasa tunduk meragut-ragut rumput seolah-olah tidak pernah kenyang. Kuda-kuda berdiri megah dengan tubuh yang tegap. Rumah-rumah peladang kukuh di atas tanah luas berbukit-bukau.
Pertanian dan penternakan adalah antara punca pendapatan penduduk Victoria, Australia. 60 peratus daripada keluasan tanah di negeri Victoria ini digunakan untuk pertanian. Victoria adalah pusat tenusu di Australia, maka tidak hairanlah lembu-lembu banyak di sini.
Ingin sekali saya berada di ladang komersial ini, melihat secara dekat, "up close and personal", cara penghidupan peladang dan penternak komersial ini. Ingin sekali saya menjadi koboi Aussie, bergelumang dengan bau rumput ladang dan bau binatang ternakannya.
Impian saya akhirnya tercapai apabila saya mengikuti Monash Support Group ke Chesterfield Farm. Monash Support Group adalah persatuan di Monash University
yang selalu membuat lawatan untuk pelajar-pelajar pasca siswazah dan
keluarga mereka. Pada hari kami sampai ke ladang Chesterfield itu, barulah saya tahu yang ladang Chesterfield itu terlalu dekat dengan rumah saya. Letaknya di Ferntree Gully, kira-kira 10 minit memandu dari rumah saya.
Menjadi koboi Aussie di Chesterfield Farm memang terbaik. Banyak aktiviti menarik yang saya dan anak-anak saya alami. Anak-anak saya amat senang bermain dengan binatang ternakan itu. Kami boleh menyentuh dan memberi makan kangaroo. Kami boleh peluk, cium dan dukung kambing biri-biri. Kami boleh menepuk-nepuk kepala llama dan keldai yang berbulu lembut. Poni dan rusa pula gembira dan berlari meluru ke arah kami apabila kami datang. Kami boleh memicit puting ibu lembu yang bunting dan memerah susunya.
Melihat peladang mencukur bulu biri-biri pula tidak kami lepasi. Anjing yang cerdik dan rajin juga dapat kami lihat mengembala kambing biri-biri. Pengalaman menjadi koboi Aussie adalah pengalaman bernilai. Sejak itu kami pergi sendiri ke sana, berulang-ulang kali. Tidak
jemu-jemu. Setakat ini kami sekeluaga sudah pergi 5 kali.
|
Rumah lama di ladang |
|
Inilah lembu tenusu yang meragut rumput di Chesterfield Farm. Pemandangan seperti ini sering saya lihat dalam iklan-iklan susu tetapi sekarang sudah berada di hadapan mata. |
|
Tempat membayar tiket masuk |
|
Jalan masuk ke Chesterfield Farm |
|
Anjing ini menyuruh kambing biri-biri ini keluar dari kandang |
|
Anjing ini membantu penternak mengembala kambing biri-biri
|
|
Persekitaran Chesterfield Farm yang luas menghijau |
|
Lembu bunting di ladang yang subur ini. |
|
Kerbau meragut rumput di ladang Chesterfield |
|
Pemilik ladang menunjukkan cara memerah susu lembu dengan tangan |
|
Pemilik ladang menunjukkan cara memerah susu lembu dengan mesin |
|
Giliran kami pula memerah susu lembu |
|
Keldai, biri-biri dan kambing gembira melihat kami datang. |
|
Kangaroo ini sangat mesra |
|
Kangaroo menanti-nanti kami menyuapkan makanan
Comelnya...
|
Rusa ini sungguh comel dan manja dengan kami |
|
|
Pertama kali melihat llama dan memberinya makan pula memang mengasyikkan |
|
Kuda poni yang gebu senang pula mesra dan suka dibelai. Asyiknya! |
|
Menyusukan biri-biri amat menyeronokkan |
|
Kambing yang berbulu tebal membuatkan tangan tidak segan silu mengusapnya |
|
Penternak menunjukkan cara bulu biri-biri dari baka Merino dicukur |
|
Memandu trektor merah di ladang luas ini membuatkan kami perasan ladang ini kami yang punya |
|
Burung unta bermain kejar-kejar dengan anak-anak saya |
Kebiasaannya kami menghabiskan masa seharian di sini. Kami juga seronok menaiki trektor mengelilingi ladang ini. Bermain kejar-kejar dengan burung unta juga menggelikan hati.
Selain daripada menjadi koboi Aussie, kami juga duduk berkelah di tempat
yang disediakan. Kami juga nampak ada orang menyambut majlis harijadi di sini.
Sesudah habis menyuapkan makanan binatang-binatang ini, kami masuk ke dalam kandang tempat biri-biri dilahirkan. Dapatlah kami mendukung, memeluk dan mencium anak biri-biri yang comel.
|
Anak biri-biri yang comel membuatkan sesiapa sahaja geram padanya |
|
Gembiranya jadi koboi Aussie. "G'day Mate! |
Kalau anda berminat hendak ke sini, ladang Chesterfield ini letaknya di 1221 Ferntree Gully Road, Scoresby, di antara Jells Road dan Stud Road, bersebelahan dengan Jells Park.
Bayaran masuk dikenakan. Untuk satu keluarga kami bayar AUD35.00.
Makanan untuk binatang-binatang ini juga dijual di kaunter pembayaran masuk. Harganya AUD1.50 sebungkus.
Ladang ini memang berbaloi untuk dikunjungi. Setiap kali kawan-kawan
yang tinggal berjauhan atau saudara-mara dari Malaysia datang berkunjung
ke rumah kami, kami membawa
mereka ke ladang ini. Ternyata mereka semua membawa pulang kenangan
manis lagi berharga. Mereka gembira menjadi koboi Aussie
sementara di ladang ini.
Sila lihat laman web Chesterfield Farm ini
http://www.chesterfieldfarm.com.au/index.html untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Royal Melbourne Show (Pertunjukan Diraja Melbourne)
Sekiranya anda tidak berpeluang ke Chesterfield Farm, ada satu lagi cara untuk melihat penternak bekerja di ladang. Iaitu di Royal Melbourne Show yang diadakan pada September setiap tahun, anjuran The Royal Agricultural Society of Victoria.
Royal Melbourne Show adalah satu pameran besar tentang ternakan, pertanian dan mesin. Inilah masanya peladang dari 'country side' membawa ternakan mereka ke bandar untuk diperlihatkan. Di sini anda berpeluang melihat beribu-ribu binatang ternakan Australia, pertandingan binatang ternakan, pertunjukan anjing, pertandingan menghias kek, persembahan hiburan dan 'fun fair'. Di sini juga anda tidak akan terlepas daripada melihat cara koboi Aussie mencukur bulu kambing biri-biri.
Di bawah ini adalah gambar yang aku ambil ketika ke acara tersebut pada tahun 2006 di Melbourne Showgrounds, Epsom Road, Ascot Vale.
|
Royal Melbourne Show juga ada fun fair. |
|
Cara mencukur bulu biri-biri ditunjukan di Royal Melbourne Show |
|
Beratus-ratus kambing dipertunjukkan |
|
Biri-biri juga dipertujukkan |
|
Alpacas juga menjadi binatang ternakan |
|
Kek yang memenangi pertandingan hiasan kek di Royal Melbourne Show |
|
Demonstrasi membuat bunga ros untuk hiasan kek |
|
Pengunjung Royal Melbourne Show |
Setelah menjadi koboi Aussie di ladang dan bergelumang dengan bau binatang ternakan, saya hendak mandi sekarang. Jangan lupa mengikuti kembara saya di bumi kangaroo dalam entri akan datang. Ada nota kembara yang menarik akan saya sajikan. Saya akhiri entri kali ini dengan ucapan popular Aussie - "G'day Mate!" (cara menyebutnya:
gud dai maik).
macam mana nak kesini klo dari Melbourne... saya tengah plan nak ke melbourne, maybe next year.
BalasPadamPerlu memandu sendiri ke sini kerana ia agak jauh dari stesen keretapi atau bas.
Padam