Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 24 Ogos 2017

Umrah 2017 (Bhg. 5) | Apa Yang Patut Dibeli Di Madinah?



S  ambil beribadat di Madinah, tentu ada sedikit masa untuk keluar membeli-belah. Tetapi apakah yang patut dibeli di Madinah?

Sejadah 


Memilih sejadah yang dijual di hadapan Masjid Nabawi


Sejadah boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai atau pun di gerai-gerai tepi jalan sekitar Masjid Nabawi. 

Pelbagai corak boleh dilihat pada sejadah, ada yang mempunyai gambar masjid, kaabah, motif abstrak, Islamik dan tumbuh-tumbuhan. Ada yang dibuat dengan kain kapas, kain baldu, kain berbulu seperti permaidani dan ada yang dibuat daripada sutera. Kebanyakan sejadah itu diimport dari Turki dan ada juga yang dihasilkan di Madinah.

Bagi sejadah yang berukuran  70 cm x 110 cm, dan ketebalan  5mm, harganya di antara 10 rial hingga 50 rial. Bagi sejadah kecil (mini) ia boleh didapati dengan harga 5-8 rial. Namun sejadah yang dibuat di Madinah yang diinspirasi dari Al Raudah lebih mahal harganya.


Perhiasan Dinding (Wall Hanging)



Kedai berdekatan dengan Masjid Nabawi ini menjual macam-macam perhiasan dinding, sejadah dan gegantung


Kain yang digantung sebagai perhiasan dinding pula terdapat di kedai-kedai dan di gerai-gerai yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Pelbagai corak: ada yang mempunyai gambar Masjid Nabawi, Masjidl Haram, Masjidl Aqsa dan Kaabah. Terdapat juga tulisan-tulisan khat yang dipetik dari ayat-ayat Al-Quran. Ada yang disulam dengan mesin, dijahit silang pangkah, ditekat dengan benang emas, dicap, dilukis tangan dan diambil gambar. 

Harganya berbeza-beza mengikut saiz, bahan dan corak. Hiasan ini diimport dari Pakistan, China dan Timur Tengah.




Tasbih 


Pelbagai jenis, warna dan bahan buatan tasbih di dapati di kaki Bukit Uhud


Tasbih pula adalah pilihan yang baik untuk dibeli. Terdapat macam-macam jenis tasbih, ada yang dibuat dari kayu, biji kurma, batu permata dan plastik. Ia didapati dengan mudah di kedai-kedai dan kaki lima di sekitar Masjdi Nabawi, di kawasan Bukit Uhud dan Masjid Quba.

Ia biasanya dijual dalam ikatan. Seikat mempunyai 10 utas tasbih dan harganya diantara 10 rial hingga 20 rial seikat bergantung kepada bahannya. Kalau tasbih itu dibuat daripada batu permata seperti zamrud dan fairuz ia boleh mencecah sehingga 100 rial seutas.


Al Quran



Al Quran cetakan Madinah


Al Quran cetakan Madinah patutlah dibeli kerana ia diiktirafkan oleh kerjaan Arab Saudi. Kertas dan kulitnya bermutu tinggi. Sekiranya anda hendak mewakafkan Quran di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, hanya Quran cetakan Madinah ini sahaja yang diterima. Untuk mengetahui ia cetakan Madinah atau tidak, sila lihat chop cetakan Madinah yang terdapat pada halaman akhir Al Quran tersebut.

Harga Quran ini berbeza mengikut saiz, dari 35 rial hingga 100 rial.


Kayu Sugi



Kayu sugi yang berbungkus dan tanpa berbungkus


Kayu sugi berguna untuk menggosok gigi dan gusi dan mendapat ganjaran menggunakannya kerana Rasulullah S.A.W menggunakan sugi. Ia mudah didapati di kaki-kaki lima dan tempat-tempat ziarah utama di Madinah. Ia biasanya  siap dipotong-potong dan dijual seikat.  Harganya 5-10 rial seikat.



Genggam Fatimah


Genggam Fatimah yang banyak dijual di kaki Bukit Uhud


Genggam Fatimah adalah sejenis herba gurun dan ia terkenal kerana keupayaannya tumbuh dalam cuaca panas dan kekeringan. Tumbuhan ini berbentuk akar kering yang merengkok menjadi bebola ketat  dan akan mengembang apabila direndam di dalam air. Ia berguna untuk kesihatan rahim wanita, memudahkan bersalin dan mengimbangkan perjalanan haid.

Genggam Fatimah dijual dengan banyak di kaki Bukit Uhud. Harga sebungkus (3 pokok) cuma 2 rial sahaja.

Jadi, belilah untuk dibawa pulang terutama sebagai air selusuh bagi wanita yang hendak bersalin.  Ia digunakan dengan merendamnya di dalam air selama semalam atau sehingga kembang lalu diminum. Setelah digunakan, keringkan dengan menggantungkannya dan boleh digunakan lagi berkali-kali.



Beg


Kedai beg ini terdapat di belakang hotel-hotel utama berdekatan Masjidil Nabawi Madinah


Untuk mengisi barang-barang yang dibeli di Madinah,  belilah beg yang mudah didapati di kedai-kedai yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Ada beg pakaian, beg sandang dan beg bertroli yang dibuat dari kulit dan PVC. Harganya juga murah dan masih boleh ditawar.



Jubah 


Suami saya memilih abaya berwarna coklat, ungu, merah jambu dan biru untuk saya


Jubah amat banyak dijual di sekitar Madinah.

Jubah untuk wanita yang dikenali dengan abaya kebanyakannya berwarna hitam polos dan dijual lengkap dengan selendang (tudung panjang). Namun terdapat juga jubah yang berwarna selain hitam tetapi amat terhad.

Jubah-jubah ini diimport dari Pakistan, India, Timur Tengah dan China. Harganya diantara 40 rial hingga 150 rial, bergantung kepada jenis kain dan sulaman. Jubah yang sama yang dijual di Malaysia berharga dua kali ganda.

Jubah untuk lelaki pula biasanya berwarna putih atau cerah dan dibuat daripada kain kapas dan polyester. Harganya juga murah dan masih boleh ditawar.

Kedai-kedai menjual pakaian di Madinah


Kurma



Peniaga kurma di sini sangat peramah dan boleh berbahasa Melayu


Kurma yang baik ditanam di Madinah. Ada macam-macam jenis kurma: Ajwah, Anbarah, Safawim, Baydh, Helwah, Khalas, Khudry, Madjool, Mabroom, Tomoor dan Rabiah. 

Kurma Ajwa (kurma nabi) patutlah dibeli di Madinah. Kurma ini kaya dengan fiber dan pottasium. Ia disebut di dalam al-Quran dan menjadi makanan sunnah.

Kurma Ajwa adalah kurma yang paling mahal. Harganya di antara 40 rial hingga 100 rial sekilo bergantung kepada grednya. Harga kurma di Madinah lebih murah berbanding dengan harga di Mekah. Kurma Madinah lembut dan lembab, manakala di Mekah kurmanya kering. Jadi disarankan, membeli kurma di Madinah.

Kurma yang baru dipetik juga dijual


Kurma boleh didapati di pasar kurma yang terletak tidak berjauhan dengan Masjid Quba dan di kedai-kedai di sekitar Madinah. Terdapat juga kurma yang dijual di kebun kurma, tetapi harganya sangat mahal berbanding dengan yang dijual di pasar dan kaki lima. Ada juga yang menjual kurma segar/muda bertangkai.


Kurma yang dicampur dengan madu atau kekacang dibungkus di dalam kotak


Kurma diperlbagaikan cara memakannya, ada yang berbiji, ada yang tanpa biji, ada yang berinti kacang, ada yang dijadikan pes dan jus. Kurma dibungkus dengan macam-macam cara: berkotak, bertin, berbakul, bertalam dan dikrafkan dengan tangan yang mahir.



Buah-buahan Kering dan Kekacang



Kismis


Buah-buahan kering seperti buah tin, aprikot dan kismis pula menjadi kegemaran pembeli ketika berada di pasar kurma di Madinah.

Buah tin ialah buah yang disebutkan di dalam Al-Quran dan terdapat sebuah surah yang bernama At-Tin.

Kismis pula menjadi kegemaran kerana ia makanan sunnah dan berkhasiat untuk otak. Ia bersaiz besar, warnanya kuning/hitam dan lembut.

Kesemua buah tin, aprikot dan kismis ini berharga di antara 15 rial hingga 26 rial sebungkus.


Kacang kuda dan  biji gajus


Kekacang seperti pistachio, badam, biji gajus dan kacang kuda juga boleh didapati di pasar kurma. Pistachio (kacang cerdik)  menjadi kacang yang paling digemari jemaah untuk dibawa pulang. Ianya rangup dan mempunyai dua rasa samada manis atau masin. Harganya di antara 35-40 rial sekilo. Kacang ini mengandungi zat besi, kalium, niasin, riboflavin, folat dan zing yang boleh menurunkan kadar kolesterol. Kacang ini juga bagus untuk otak.

Buah-buahan kering dan kekacang ini menjadi kegemaran jemaah untuk dibawa pulang dan dijamu kepada tetamu yang menziarahi mereka.



Cokolat


Cokolat Arab


Jadikan cokolat Arab sebagai ole-ole yang diberikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi orang dewasa apabila pulang nanti. Malahan ia boleh dijadikan hadiah yang istimewa. Pilihlah cokolat susu, coklat gelap, atau cokolat dengan inti kacang, kurma atau kismis. 

Ia dijual secara 'loose' dan ada juga yang sudah siap dibungkus dengan kertas timah dan aluminium berwarna-warni. Cokolat ini boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai atau di gerai-gerai kaki lima sekitar Madinah.

Ia dijual secara timbangan di antara 25 rial sekilo hingga 40 rial sekilo. Pembeli boleh cuba merasa cokolat ini sebelum membelinya. Peniaga biasanya akan menyebut "halal" yang bermaksud boleh "cuba rasa."

7 ulasan:

  1. Rugi kalau tak membeli=belah di Madinah kerana harga kebanyakan harangannya lebih murah berbanding di Mekah...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Mie. Lebih-lebih lagi kurmanya, lebih segar.

      Padam
  2. Mmg mcm2 buah tngn dijual di madinah ni kan... kacang2 tu murah2.... masa shopping time di madinah, sya turun di satu hentian kedai kurma je.. lps tu, pasar dn hentian2 lain saya x turun. ... tp org ckp kt pasar jauh lg murah dr kedai2 kurma.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, betul tu Farikica. Pasar kurma lebih murah. Tetapi kalau kita ikut rombongan/pakej, kita pergi saja ke mana mereka bawa kita.

      Padam
  3. suka chocolate depa ni. memang menarik. ingat pernah beli berkilo2 masa nak kawin adik dulu..
    tetiba teringin pulak.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedap juga cokolatnya, kan? Buat hantaran kawin ke?

      Padam
  4. Jubah di Madinah lbh berkualiti n design lbh menarik...boleh tawar menawar hingga 100 rial 5 jubah

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.