Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 9 Disember 2020

Slow Traveler: Perjalanan Lambat Sebagai Satu Cara Mengembara


M ungkin anda seorang pengembara dalam kategori pengembara lambat atau slow traveler

Apakah pengembara lambat atau slow traveler

Sekiranya anda pernah mengalami keletihan semasa perjalanan atau pulang dari perjalanan yang benar-benar meletihkan, anda mungkin tidak melakukan perjalanan yang cukup perlahan.

Pengembara lambat ini ialah mereka yang suka mengembara berlambat-lambat, berlama-lama, mengembara dengan penuh perhatian dan tanpa perlu tergesa-gesa. Ini disengajakan - membolehkan mereka mengetahui lebih mendalam perkara yang paling penting bagi mereka semasa mengembara. 

Perjalanan yang perlahan sangat ideal bagi mereka yang sukakan kesederhanaan dan jadual yang seimbangDengan menjadi slow traveler anda bebas daripada tekanan 'nak tengok semuanya' dan menghilangkan tekanan untuk bergegas-gegas. Anda sebenarnya dapat berehat sedikit dan menikmati perjalanan anda. Terdapat peluang yang lebih baik untuk bertemu dengan penduduk tempatan, melihat pemandangan yang di luar kawasan pelancongan tradisional dan menghargai cara hidup masyarakat tempatan dengan perspektif yang berbeza. 

Saya pernah menginap di log cabin dalam kawasan camp ground di Boston yang memberi peluang kepada saya untuk memahami  traveling culture masyarakat Amerika..

Saya pernah menjadi slow traveler yang mana saya menghabiskan masa selama dua minggu hingga berbulan-bulan hanya di satu tempat. Di tempat ini, saya hanya bertumpu pada satu pekan atau satu kampung dengan tinggal di rumah penduduk tempatan, menginap di youth hostel, backpackers hostel atau di camp ground.

Saya pernah jadi slow traveler di Jakarta dan Medan Indonesia. Di sini saya menginap di rumah penduduk tempatan. Masa banyak dihabiskan bersama penduduk tempatan, menghadiri majlis perkahwinan, menyertai perayaan tempatan, melakukan kerja-kerja sukarela, menerima undangan makan, mengunjungi universiti, menghadiri seminar dan melawat tempat-tempat bedekatan yang tidak termasuk dalam senarai lawatan pelancong.

Semasa di Medan, pengangkutan yang saya gunakan adalah beca dan feri. Walaupun menaiki kapal terbang dari Pulau Pinang ke Medan lebih menjimatkan masa iatu cuma 45 minit, saya memilih menaiki feri yang memakan masa 5 jam.

Berpeluang membuat aktiviti sukarela bersama anak-anak yatim di Acheh, Indonesia


Saya pernah menjadi slow traveler semasa saya berada di China, yang mana saya menyewa rumah di Beijing selama 9 bulan. Banyak yang saya dapat lakukan dan alami seperti menghadiri majlis makan, menghadiri festival, menonton persembahan, menghadiri kuliah di universiti, solat terawih di masjid, menyambut hari raya, membeli-belah di pasar basah, menunggang basikal, menaiki bas mini, beng-beng, keretapi, bergaul dengan penduduk tempatan dan menikmati keempat-empat musim di China. Pengalaman berharga ini pernah saya kongsikan dengan anda di blog ini. Baca kisahnya di SINI.

Beng-beng ialah pengangkutan yang sering saya gunakan di China

Saya juga pernah menjadi slow traveler semasa mengembara di Kanada pada tahun 1990an yang mana saya mengembara dengan memandu sendiri. 

Begitu juga saya pernah menginap di sebuah rumah penduduk tempatan ketika saya ke Pulau Victoria, Kanada. Saya hanya berada di pulau itu selama seminggu. Perjalanan ini pernah saya ceritakan di dalam blog ini. Baca kisahnya di SINI.

Boleh dikatakan tidak banyak negara yang telah saya lawati tetapi pengalaman saya menyelam bersama masyarakat tempatannya boleh dikatakan sangat lumayan. Ini memberi keseronokan dan membuka minda saya

Tinggal bersama orang asli di Tasik Banding dan bermain catur dengan mereka 


Perjalanan yang perlahan mendorong ke
bebasan dan menghargai pengalaman luar biasa berbanding pelancongan yang banyak dikomersialkan. Apabila kita dapat menyelam di dalam budaya tempatan kita mengumpulkan pengalaman yang bermakna dan kaya seolah-olah itu adalah harta berharga. Ia lebih kepada perjalanan peribadi.

Itulah sebabnya sangat penting untuk tidak hanya melihat sahaja, tetapi untuk menemui, menjelajah, memahami dan tenggelam di dalam budaya dan kehidupan masyarakat yang dilawati.

Jadi, adakah anda pentingkan bilangan berapa banyak negara yang anda sudah pergi tetapi hanya melihat penduduk tempatannya dari jendela bas pelancongan ATAU anda pentingkan pengalaman yang anda habisi menyelam dan berendam dengan budaya penduduk tempatan yang hanya berada di sebuah kampung/pekan sahaja?

Jika anda mahukan pengalaman perjalanan perlahan maka anda harus memikirkan bahawa kualiti adalah lebih penting daripada kuantiti. Jangan berlumba untuk menyelesaikan semuanya dalam masa yang singkat, dan tidaklah mengapa kalau anda menempah perjalanan lain pada masa akan datang jika anda benar-benar menyukainya! 

Jadi pernahkah anda menjadi slow traveler? Jika pernah, di mana, bagaimana dan berapa lama?

 

Jumaat, 14 Ogos 2020

Umrah 2019 (Bhg. 6) | Rehat di Jeddah, Berangkat Pulang


J  eddah terletak lebih kurang 66 km dari Mekah. Apabila selesai ibadat haji atau umrah, jemaah biasanya di bawa ke Jeddah untuk mengambil penerbangan pulang ke tanahair. Sebelum lapangan terbang Madinah dibuka, Jeddah adalah pintu masuk (gerbang) kepada dua tanah Haram (Madinah  & Mekah).

Masjid Terapung Ar-Rahmah


Masjid Terapung Ar-Rahmah di Laut Merah Jeddah.


Di Jeddah terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Terapung Ar Rahmah. Masjid ini dibina di atas tepian tebing di dalam Laut Merah yang kelihatan terapung di atas laut.  Sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia menghadap Laut Merah yang luas dan kita boleh menyaksikan pemandangan indah, batu-batuan laut dan menghirup bayu sambil melihat suasana matahari terbit atau terbenam. Senibina masjid ini juga indah kerana ia campuran sebina lama dan baru.


Di Laut Merah inilah kisah Nabi Musa A.S membelahnya menggunakan tongkat dan menyeberanginya apabila tentera Firaun mengejarnya. 


Kota Metropolitan Jeddah


Berbeza dengan kota Mekah dan Madinah. Jeddah adalah tempat yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama.  Ramai warga dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Afrika dan Cina berada di kota ini.  Di sini kita dapat melihat pemakaian orang di sini. Kalau di Mekah dan Madinah, kita sentiasa melihat wanita memakai hijab dan abaya, namun di sini kita boleh melihat ramai wanita tidak memakai tudung dan mendedahkan aurat.  Jeddah lebih keduniaan berbanding dengan dua kota Haram di Arab Saudi yang sangat dipelihara kesuciannya. 





Laluan di bandar Jeddah


Pusat membeli-belah juga banyak dan peluang untuk menabur duit di sini amat mudah. Antara barang-barang yang boleh di beli ialah pakaian, barangan elektronik, minyak wangi, kudapan dan minuman.


Kedai-kedai di dalam pusat beli-belah di Jeddah


Di kompleks beli-belah ini terdapat surau


Makan Tengahari di Hotel


Sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, kami dibawa TH Travel ke Hotel (lupa namanya) untuk menikmati makan tengahari. Menu yang disajikan ialah masakan Arab seperti nasi Mandy, kambing bakar, salad, pemanis mulut dan buah-buahan. Kami juga berehat di situ lebih kurang dua jam.




Nasi Arab berlaukkan kambing

Corn salad

Lapangan Terbang Jeddah & Terminal Haji


Lapangan Terbang Jeddah adalah lapangan terbang yang paling sibuk di dunia ketika Musim Haji. Ini disebabkan Jeddah adalah pintu masuk penerbangan antarabangsa. Semasa musim haji ia menerima sehingga 17 juta penumpang sehari. Saya pernah menggunakan lapangan terbang Jeddah ini beberapa kali ketika melakukan umrah. Lihat cerita saya di link INI. Oleh kerana jumlah penumpang yang ramai, kami terpaksa beratur lama untuk melepasi kerenah imigresen yang sangat tidak mesra.

Selain itu terdapat Terminal Haji untuk jemaah haji mendarat dan berlepas. Kami dibawakan oleh TH Travel menggunakan terminal haji ini. Sebelum masuk ke dalam kawasan check-in, kami menunggu dahulu di bahagian luar yang berpayung/berkhemah terbuka. Di situ terdapat tempat menunggu, tandas, ruang solat dan kafe. Oleh kerana terminal ini kebanyakannya digunakan pada musim haji, maka keadaannya agak sunyi sedikit dan kurang dijaga dengan rapi. Ada tandas yang kotor dan ruang solat yang dipenuhi tahi burung. Ketika ini kami diberi air zam-zam oleh TH Travel sebanyak 5 kg seorang.

Apabila sudah sampai masanya, kami semua masuk ke terminal. Terminalnya tidak begitu sibuk dan kami dapat check in dan berlepas dengan tidak perlu menunggu lama. Pegawai yang berurusan dengan kami juga mesra berbanding dengan pegawai di lapangan terbang Jeddah. 

Di ruang menunggu sebelum berlepas, terdapat juga kedai-kedai yang menjual cokolat, air minuman, snek dan cenderamata. Kalau nak habiskan duit riyal yang berbaki itu, bolehlah berbelanja di sini.


Tempat menunggu di bahagian luar Terminal Haji Jeddah ini seperti khemah. Terdapat tandas dan ruang solat. 

Menunggu panggilan untuk chek-in

Check-in bagasi di kaunter

Kamipun pulang ke tanahair dengan selamat. Alhamdulillah.

Perbelanjaan Untuk Umrah


Tentu ada yang mahu mengetahui berapakah perbelanjaan untuk mengerjakan umrah ini?

Terdapat pakej yang berharga RM7,000, ada yang RM8,000 dan ada yang RM9,000 yang ditawarkan oleh TH Travel. Kami memilih pakej berharga RM8,000. Pakej ini termasuk penginapan hotel yang berjarak 300 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, makan 3 kali sehari, ziarah di tempat-tempat bersejarah di Madinah, ke pasar kurma, ke Masjid quba, ziarah di Mekah dan 2 kali tambahan umrah.

Bagi pakej yang lebih mahal, jarak hotelnya lebih dekat dengan masjid dan bagi pakej yang lebih murah, jarak masjidnya lebih jauh dari hotel.

Manakala perbelanjaan untuk membeli-belah dan perbelanjaan lainnya kami peruntukkan RM1,000-RM2,000 seorang. Jumlah ini boleh dikurangkan mengikut kemampuan dan keperluan membeli-belah atau wang yang lebih itu disedekahkan.



Baca kisah sebelumnya di sini: 
Umrah 2019 (Bhg. 5) | Bersalam dengan Imam Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan
Umrah 2019 (Bhg. 3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel &  Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk
Umrah 2019 (Bhg. 1) | Pengalaman Menaiki Kapalterbang Khas ke Madinah


Selasa, 28 Julai 2020

Umrah 2019 (Bhg. 5) | Bersalam dengan Imam Masjidil Haram



S  udah berkali-kali solat berjemaah di Masjil Haram, tapi belum lagi dapat bertemu dengan imamnya. Memang susah untuk berjumpa dengan Imam yang bertauliah dan disegani ini. Imam ini masuk ke dalam masjidpun mengikut waktu yang ditetapkan, berjalan keluar masukpun dengan pantas dan sentiasa dikawal rapi oleh pengawal-pengawal.

Namun tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu? Inilah cerita menarik untuk dikongsikan dalam blog saya kali ini. Anak-anak saya, suami dan abang ipar saya sangat gembira kerana dapat melihat dengan dekat wajah imam Masjidil Haram, malahan dapat bersalaman dengannya.

Ceritanya begini..... Ketika sedang tawaf berdekatan dengan Rukun Yamani,  tiba-tiba azan berkumandangan menandakan masuk waktu solat asar. Keluarga kami yang lelaki terus menuju ke arah penjuru Hajarul Aswad untuk mengambil tempat solat. Imam yang diiringi dengan pengawal keselamatan lalu hampir dengan mereka. Bilal yang mengiringi Imam juga ada di situ. Bilal itu nampak suami saya yang berpakaian ihram. Dia pula siap membetulkan kain ihram suami saya supaya menutup bahunya sebelum memulakan solat.

"Bercahaya-cahaya mukanya. Handsome!" kata anak-anak saya.

"Imam itu namanya Syeikh Bandar Al Baleela," beritahu anak saya lagi.

Anak saya lalu menunjukkan video imam itu yang lalu di hadapannya yang sempat dirakamkannya.


Imam Masjidil Haram petang itu Sheikh Bandar Al  Baleela lalu hampir dengan suami dan anak-anak saya dan bersalaman dengan mereka.  Gambar ini sempat dirakam oleh anak saya sejurus selepas Imam bersalaman dengan mereka.



Solat Jumaat

Yang seronoknya pada umrah kali ini, kami dapat 2 Jumaat, iaitu semasa di Madinah dan di Mekah. Jadi dapatlah kami solat Jumaat di kedua-dua tanah haram ini.

Pada hari Jumaat bilangan jemaah meningkat di Masjidil Haram. Untuk mendapat tempat solat di dalam Masjidil Haram, jemaah perlu datang awal. Jadi anak-anak dan suami saya sudah keluar awal dan dapat spot di hadapan Kaabah.

Saya dan kakak saya memilih untuk solat Jumaat di kaki lima hotel kami sahaja. Ini disebabkan tempat solat wanita sangat terhad.

Disebabkan jemaah terlalu ramai, saya pernah solat Jumaat di atas jalan, di sebelah kedai dan di tepi longkang semasa Musim Haji 2010. Lihat gambar dan ceritanya dalam entri lepas yang saya tulis  DI SINI.

Kaum wanita menunggu solat Jumaat di kaki lima 

Bersedekah

Perkara tak diduga.

Saya mengambil tempat solat bahagian wanita. Tempatnya dikepung oleh rak-rak Quran. Bahagian solat lelaki di hadapan saya. Nampak jemaah lelaki melalui celah-celah rak tersebut. Sambil menunggu azan dilaungkan, saya solat, membaca Quran dan berzikir. Dari jauh saya nampak seorang lelaki sedang memberi sejadah kepada jemaah di Masjidil Haram. Ramai orang ucap terima kasih kepadanya.

Apabila saya bertemu semula dengan suami saya, saya menceritakan perkara ini kepada suami saya. Rupa-rupanya orang itu ialah suami saya sendiri. Katanya dia keluar masjid apabila melihat  ramai jemaah solat di atas simen yang berabuk kerana tidak ada karpet disebabkan masjid masih lagi direnovasi. Oleh kerana Islam mementingkan kebersihan suami saya sedekahkan sejadah itu kepada mereka. Pahala itu disedekah kepada isteri, anak-anak, keluarga, muslimin dan muslimat.



Solat di kaki lima adalah perkara biasa di Mekah



Meninggalkan Mekah

Hari terakhir di Mekah, kami melakukan tawaf wada'. Sangat sedih untuk meninggalkan kota suci ini. Kabaah kami kunjungi buat penghabisan kali. Kami menitiskan air mata kesedihan. Kami berdoa semoga ini bukan kunjungan kami yang terakhir. Semoga Allah menjemput kami lagi.

Kami pulang ke hotel, mengangkat beg dan terus menaiki bas.

Kami pun ke Jeddah. Kami akan berehat di Jeddah sebelum berangkat pulang ke Malaysia. Apakah yang kami lihat di Jeddah? Ikutilah catatan nota kembara saya di Jeddah pula.


Jemaah di bahagian pintu masuk Masjidil Haram


...bersambung

Baca sambungannya di sini:
Umrah 2019 (Bhg 6) | Berehat di Jeddah

Baca kisah sebelumnya di sini: 
Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan
Umrah 2019 (Bhg. 3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel &  Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk
Umrah 2019 (Bhg. 1) | Pengalaman Menaiki Kapalterbang Khas ke Madinah

Baca juga:

Pengalaman Naik Haji Di SINI

Isnin, 1 Jun 2020

10 tips untuk tidur lena ketika mengembara


B 
agaimana dapatkan tidur yang lena di hotel ketika mengembara?

Ada yang berpendapat bahawa mereka tidak boleh tidur malam kerana berubah tempat tidur. Kebanyakan orang lebih selesa di katil sendiri daripada katil hotel 5 bintang. Keadaan cuaca yang terlalu panas atau terlalu sejuk juga menganggu tidur. Suasana bising juga membuatkan ramai orang tidak boleh tidur. Malahan suasana sunyi sepi juga membuatkan orang tidak dapat tidur.



10 cara mendapatkan tidur yang lena di hotel ketika mengembara:



1. Tempahlah hotel yang dapat memenuhi keperluan tidur anda. Sekiranya anda tidak sukakan bunyi bising ketika tidur, pastikan anda membuat tempahan bilik hotel jauh dari jalan raya yang sibuk dan jauh dari tempat-tempat yang menyebabkan kebisingan. Ada hotel yang menyediakan kelab di tingkat bawah dan muzik kuat yang dimainkan mungkin menganggu tidur anda. Pilihlah bilik suite atau concierge level yang kebiasaannya di tingkat paling atas dan lebih senyap.


Kebisingan dan kesibukan persekitaran boleh menganggu tidur


2. Lakukan persediaan awal seminggu sebelum keluar mengembara iaitu mencuba mengesuaikan diri dengan zon masa di negara yang bakal anda tuju. Misalnya kalau negara itu lewat 5 jam dari waktu Malaysia, lewatkan jam anda 30 minit setiap hari. Ini memudahkan anda beralih kepada zon masa yang baru dan mengurangkan jetlag. Lakukan kebiasaan makan mengikut masa di zon baru itu.

3. Setelah check in di hotel tempahan anda, pastikan hotel itu memenuhi keperluan anda. Sekiranya tidak, maklumkan kepada perkhidmatan bilik hotel dan minta mereka memenuhi permintaan anda. Anda boleh minta tukar bilik sekiranya perlu.

4. Mandilah selepas balik dari berjalan-jalan, seelok-eloknya sebelum masuk waktu maghrib. 

5. Elakkan makan berlebihan dan makan lewat malam kerana ia menyebabkan ketidakhadaman dan sukar untuk tidur. 





6. Minum susu panas atau madu sebelum tidur. Jangan minum air terlalu banyak kerana ia membuatkan anda terbangun malam untuk membuang air terutama ketika musim sejuk.

7. Sekiranya kebiasaan anda menggunakan telefon pintar,  iPad, komputer atau menonton tv sebelum tidur elakkan menggunakan barang-barang elektronik ini sejam sebelum tidur kerana barangan ini menghasilkan pencahayaan daylight-spectrum yang membuatkan susah untuk tidur lena. 

8. Sediakan tempat tidur yang seakan-akan sama dengan bilik tidur di rumah. Mungkin perlu bawa selimut sendiri atau bantal busuk atau barang-barang peribadi bersaiz kecil atau bau-bauan yang mengingatkan anda pada bilik tidur di rumah. Setkan suhu bilik hotel dan cahaya lampu sama dengan bilik tidur anda di rumah.

9. Sekiranya anda mempunyai bedtime ritual seperti mendengar muzik, membaca novel, minum teh herba, menggentel bantal busuk, jangan tinggalkan kebiasaan ini kerana ini merupakan body cue untuk waktu tidur anda.

10. Sekiranya suasana terlalu sepi dan anda merasa takut, pasangkan bacaan ayat-ayat Al-Quran atau berzikir sebanyak-banyaknya sehingga terlena.


Sabtu, 1 Februari 2020

Godaan Rantau Panjang


S empadan Malaysia dan Thailand sangat luas. Satu lagi sempadannya yang utama ialah Rantau Panjang-Sungai Golok. 


Rantau Panjang telah menambat hati ramai orang. Apakah yang menarik di Rantau Panjang?

Rantau Panjang-Sungai Golok (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)

Makanan malam

Cubalah makan ‘lokcing.' ‘Lokcing’ merupakan sejenis makanan beku yang dicucuk kepada lidi dan dibakar. Setelah itu dimasukkan ke dalam sos yang menggiurkan sebelum dihidangkan. Sos lokcing inilah yang membuatkan ianya sedap dimakan. 

Kalau anda hendak makan  lokcing, datanglah ke Rantau Panjang di malam hari untuk mendapatkannya. 

Temui Abe Mat di hadapan kedai Bebas Cukai Rantau Panjang
 8.00 mlm-2.00 (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)


Mee Celup Kube Cenok

Mee Celup (Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)
Satu lagi makanan istimewa Rantau Panjang ialah Mee Celup. Bahan-bahan asli yang dibeli di sempadan Siam menjadikan keaslian rasa masakan tersebut tiada bezanya dengan negara asal masakan tersebut, Thailand. Jika anda berada di Rantau Panjang, cubalah ke kedai makan berhadapan Masjid Jamek Kube Cenok untuk menikmatinya.



Aiskrim Baba


Basahkan tekak anda dengan Ais Krim Baba
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)
Aiskrim Baba terkenal di Rantau Panjang kerana keunikan bahan yang ada di dalam hidangan aiskrim tersebut. Dengan RM 2.00 pelanggan boleh menikmati kemewahan rasa dalam aiskrim tersebut. 








Jualan Bebas Cukai


Rantau Panjang dikenali dengan zon Bebas Cukai yang menjadi tarikan kepada kaki membeli-belah. Terdapat pelbagai jenis barangan dan produk yang dijual di sini.

Bermula dengan makanan, pakaian, aksesori bahkan perhiasan rumah turut didagangkan di Rantau Panjang. Dengan RM150.00 pengunjung boleh membeli pakaian wanita dan aksesori sebelum meninggalkan Rantau Panjang.

Di bazar Bebas Cukai Rantau Panjang
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)



Kedai-kedai di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)

Pastikan anda banyak minum air kerana anda akan berjalan dalam jarak yang jauh untuk memilih barangan impian anda di situ. Pastikan juga, poket anda cukup tebal untuk ke sana kerana barang-barang yang dijual susah untuk didapati di tempat-tempat lain terutamanya perhiasan rumah dan set pinggan mangkuk ekslusif.





Kemudahan

Terdapat hotel-hotel, rumah tumpangan serta motel bajet yang ada di sekitar pekan Rantau Panjang dan semuanya berhampiran dengan bazaar-bazar jualan di pekan tersebut. 

Terdapat banyak surau di sekitar bangunan rumah-rumah kedai. Di Rantau Panjang terdapat sebuah  masjid yang diaspirasikan daripada seni bina Islam di China dan menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara.


Masjid Beijing Rantau Panjang 
(Gambar ihsan Nur Hasliza Mohd Salleh)


Namun, pembaca disarankan untuk tidak melawat Rantau Panjang sekitar bulan Disember kerana dikhuatiri berlaku banjir dan akan menyukarkan pergerakan pengunjung. Seeloknya, pilihlah waktu yang sesuai. 

Nota: Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Nur Hasliza Mohd Salleh yang mengirimkan gambar-gambar di ruangan ini dan tips menarik untuk mengunjungi Rantau Panjang.

Ahad, 13 Oktober 2019

Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan


A  pakah yang dilakukan selama berada di Mekah? Selain melakukan solat, berzikir dan beriktikaf di masjidil Haram, kami  mengerjakan umrah lagi, menziarahi kota Mekah dan membeli-belah.




Ziarah Mekah


Kami menziarahi Jabal Thur, Jabal Rahmah, Arafah dan Mina. Dalam perjalanan kami dapat melihat bangunan dan pemandangan kota Mekah. Kali ini, tanah di Mekah nampak hijau dan kurang gersang.


Kehijauan di sekitar Mekah

Bangunan yang dibina sepanjang jalan di Mekah


Arafah dan Mina

Bas kami melalui Arafah yang padangnya terbentang luas. Kelihatan banyak khemah-khemah dibina di atas padang Arafah. Tetapi tiada sesiapapun di situ. Ia sunyi kerana khemah-khemah ini digunakan pada musim haji sahaja. 

Ketika ini saya teringatkan sembilan tahun lalu, saya pernah berada di sini ketika mengerjakan haji tahun 2010.  Pada 9 Zulhijjah tahun itu saya sudahpun berada di sini bersama jemaah-jemaah lain. Kami berkumpul di sini dan bermalam di dalam khemah. Aktiviti ini dipanggil berwukuf. Di sini kami melakukan ibadat seperti solat, berdoa dan berzikir. 


Khemah di Mina.  Kawasan khemah ini akan dibanjiri manusia pada Musim Haji

Mina adalah tempat jemaah haji melontar jamrah pada 10 Zulhijjah hingga 13 Zulhijjah.

"Pada musim haji, tempat ini penuh dengan manusia. Tempat ini hanya sesak 3 hari sahaja dalam setahun," cerita saya pada anak-anak saya.

Saya pernah berada di Mina pada tahun 2010 mengerjakan haji. Ketika itu terlalu ramai jemaah membanjiri Mina untuk melontar jamrah. Saya tidak lupa berjalan kaki melalui terowong-terowong di waktu malam menuju ke Jamrah yang berada kira-kira 3 km jauhnya. BACA kisah saya itu di entri yang lalu DI SINI.

Ketika kami melalui Mina pada musim sejuk 2019 ini, kami lihat khemah itu masih berdiri kukuh. Khemah-khemah itu kosong dan tiada sesiapa pun di situ kerana di luar musim haji.



Jabal Rahmah 


Sebuah lagi tempat yang kami pergi ialah Jabal Rahmah. Jabal Rahmah adalah sebahagian daripada tanah Arafah.

Jabal Rahmah adalah tempat pertemuan Nabi Adam A.S dan Siti Hawa. Ramai orang menaiki Jabal Rahmah melalui anak-anak tangga yang dibina ke puncak. Ramai juga yang mengambil kesempatan untuk memohon kepada Allah mendapat jodoh yang baik di sini.


Jabal Rahmah 




Membeli-belah di kaki Jabal Rahmah


Di kaki bukit terdapat ramai peniaga berniaga pakaian, tudung, sejadah dan tasbih. Harganya amat murah berbanding dengan tempat lain. Suami saya membeli 40 helai sejadah di sini dengan harga 10SR. Sejadah itu kemudiannya dihadiahkan kepada semua jemaah yang ada di dalam bas rombongan kami. Semua jemaah sangat gembira mendapat hadiah yang tak diduga itu.


Pembeli mengerumuni penjual di kaki Jabal Rahmah untuk membeli tudung yang dilambakkan

Miqat


Sebagai jemaah kami boleh melakukan umrah berulang kali. Untuk melakukannya, kami perlu keluar dari tanah haram (kota Mekah) dan pergi ke kawasan miqat yang terletak di tanah halal untuk berniat umrah. Kemudian masuk semula ke tanah haram (kota Mekah) dan mengerjakan tawaf, saie dan tahalul. Antara miqat itu ialah Bir Ali (Zul Hulaifah), Tanaim, Hudaibiyah, Jaaranah, Qanul Manazil, Yalamlam dan Al Juhfah.

Sebagaimana tahun lalu, pakej umrah TH Travel memberi dua tambahan umrah kepada jemaah. Untuk melakukan umrah tambahan ini TH Travel membawa kami ke dua miqat: Jaaranah dan Hudaibiyah untuk memasang niat umrah.


Miqat 1- Jaaranah


Jaaranah terletak kira-kira 26  km dari kota Mekah dan memakan masa 30-60 minit perjalanan bas.

Di Jaaranah terdapat sebuah masjid yang berwarna putih. Di situ jemaah mengambil wudhu, memakai ihram, solat sunat ihram dan berniat ihram. Ketika musim Haji, jemaah terlalu ramai, jadi perlu kesabaran untuk menunggu giliran menggunakan bilik air dan solat. Tetapi ketika musim umrah, jemaah tidaklah terlalu ramai.


Di luar Masjid Jaaranah

Membeli-belah di Jaaranah


Di luar kawasan masjid terdapat ramai peniaga yang berniaga pakaian, buah-buahan segar, buah-buahan kering, kekacang dan peralatan sembahyang. Harga di sini jauh lebih murah berbanding dengan harga di kota Mekah atau yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Jadi saya mengambil peluang ini untuk membeli buah kurma segar sebanyak satu karton besar dengan harga 25 SR. Kalau di Mekah, harganya dua kali ganda.


Kurma banyak dijual di luar Masjid Jaranaah. Di sinilah kami membeli kurma segar yang murah harganya

Kekacang, buah-buahan kering dan segar di perkarangan Masjid Jaaranah lebih murah harganya berbanding di Mekah


Miqat 2- Hudaibiyah


Untuk umrah tambahan kedua, TH Travel membawa kami ke Hudaibiyah. Di sini, jemaah boleh memakai ihram, solat sunat ihram dan berniat ihram untuk mengerjakan umrah. Ia terletak lebih jauh dari Jaaranah.  Lebih kurang 45 minit menaiki bas.

Hudaibiyah mempunyai sejarah yang mana Rasulullah S A W. Melakukan perjanjian Hudibiyah dengan kaum Quraish. Dalam perjanjian itu Rasulullah tidak dibenarkan mengerjakan umrah pada tahun itu dan banyak syarat- syarat ke atas umat Islam dikenakan yang menunjukkan Rasulullah lebih banyak mengalah. Walaubagaimanapun perjanjian itu membawa kebaikan kepada umat Islam selepas itu kerana genjatan senjata yang dikenakan kepada kaum Muslimin menyebabkan ramai orang memeluk agama Islam.

Di Hudaibiyah kami dapat melihat bangunan lama yang didirikan semasa perjanjian Hudaibiyah.

Masjid di Hudaibiyah

Membeli-belah di Hudaibiyah


Terdapat sebuah masjid di situ dan peniaga berniaga di situ. Antara barangan yang dijual ialah hiasan dinding, sejadah, tasbih, key chain, fridge magnet dan lain-lain lagi. Saya sempat membeli 10 helai sejadah yang tebal dan berkualiti dengan harga 15 SR sehelai. Yang menggembirakan saya ialah saya dapat membeli sejadah kosong, yang tidak ada gambar atau corak. Sejadah kosong ini sudah lama saya cari. Baru kini saya menjumpainya.

Saya dapati banyak kawasan solat di Masjidil Haram yang tidak berkarpet, masih bersimen kerana masih direnovasi. Ramai juga jemaah yang solat atas simen. Memandangkan Islam menggalakkan kebersihan ketika solat  sejadah-sejadah itu saya sedekahkan kepada jemaah yang solat di Masjidil Haram tanpa sejadah.

Suami saya pula sempat merembat 2 dozen key chain unta yang comel dan beg isi pensil bergambar bangunan di Mekah untuk diberikan hadiah kepada cucu-cucu saudara. Harganya jauh lebih murah berbanding dengan Mekah.

Peniaga di perkarangan Masjid Hudaibiyah tersenyum apabila saya membeli 10 helai sejadah daripadanya.


Makan-makan di Mekah


Kami sekeluarga memang suka makan. Ketika di Mekah kami gemar makan buah-buahan segar, jus manga, jus delima, laban, kerepek kentang, gula-gula, ais krim dan nasi Arab. Kami membelinya di kedai-kedai yang berdekatan dengan hotel atau di gedung beli-belah di hadapan Masjidil Haram.

Kami berhenti makan di sebuah medan selera yang terletak di sebuah Mall di hadapan Masjidil Haram. Kami makan nasi  berlaukkan daging kofta, ikan dan satu- sayuran. Sangat sedap rasanya, sehinggakan habis semuanya.

Kebab dimakan dengan nasi

...bersambung.
Baca sambungannya:  (akan disiarkan tak lama lagi)


Selasa, 30 Julai 2019

Umrah 2019 (Bhg.3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel & Masjidil Haram


A  pabila sampai di Mekah dari Madinah, hari sudah malam. Sudah masuk waktu isyak.  Ada yang sudah solat jamak dalam perjalanan tadi, tapi ada juga yang menjamakkannya di Mekah.

Tarikh kami sampai di Mekah ialah 28 Januari 2019. 

Cuaca di Mekah ketika itu sangat baik. Walaupun masih dalam Musim Sejuk, ia tak panas, tak sejuk. Waktu tengaharinya macam cuaca petang di Malaysia. Jadi kalau anda sukakan cuaca begini, eloklah buat umrah pada hujung bulan Januari hingga awal bulan Februari.


Hotel Al Shohadah


Hotel Al Shohadah adalah pilihan TH Travel kali ini. Pada umrah 2017 mereka beri kami Hotel Ramada yang letaknya di seberang jalan, belakang sedikit dari Al Shohada. 

Semua jemaah dalam rombongan telah diberi kunci bilik. Beg masing-masing dihantar terus ke bilik oleh pekerja hotel. Setiap ahli keluarga kami duduk sebilik berdua.

Bilik saya dan suami mempunyai dua katil, menghadap jalan dan mempunyai tingkap yang boleh dibuka. Kalau menjenguk keluar memang nampak jemaah berjalan ulang alik ke Masjidil Haram. Nampak jelas, setesen bas dan Menara Jam yang berdiri kukuh di seberang jalan. Azan dari Masjidil Haram teramat jelas kedengaran di dalam bilik.

Televisyen, kerusi, meja, cerek elektrik, peti sejuk, pengering rambut dan kemudahan lain disediakan. Lantainya berkarpet dan bersih.


Bilik Al Shohada Hotel untuk dua orang


Tandas dalam bilik Al Shohada Hotel berlantaikan marmar dan mangkuk tandasnya ada dua. Bersih, luas dan selesa.  Di sebelah kirinya adalah bilik mandi hujan.


Sarapan pagi, tengahari dan malam disediakan di dewan makan dengan menu masakan Melayu, Indonesia dan Arab. Menunya sama setiap hari. Rasanya sederhana sedap.

Hotel Al Shohada menyediakan teh Arab dan kurma percuma kepada penghuninya di pintu masuk


Teh Arab dan kurma  ini diberi percuma kepada saya. Saya menikmatinya di lobi hotel. Campuran teh yang sedikit kelat dan kurma yang manis menjadikannya enak diminum.



Setelah berehat sebentar di hotel kami sekeluarga pun berjalan menuju ke Masjidil Haram. Kami sudah beritahu mutawwif kami supaya tidak menunggu kami kerana kami hendak melakukan umrah sekeluarga bersendirian. Ini disebabkan kami sudah berulang kali mengerjakan umrah sebelum ini, jadi tak perlu perkhidmatam mutawwif untuk itu.

Hotel Al Shohada letaknya 300 meter dari Masjidil Haram. Berjalan kaki ke Masjidil Haram memakan masa lebih kurang 20 minit, bagi orang yang berjalan perlahan. Tetapi kalau orang muda, berjalan lebih laju, mungkin boleh sampai dalam 10 minit. Sepanjang jalan menuju ke Masjidil Haram terdapat hotel, kedai, stesen bas dan sekolah.

Kedai-kedai dan hotel-hotel yang berdekatan dengan Hotel Al Shohada


Sebagaimana sebelum ini, hati tetap berdebar-debar dan teruja untuk melihat Kaabah lagi. Lebih-lebih lagi anak bongsu saya yang baru pertama kali ke tanah suci.


Masjidil Haram dan Kaabah


Kawasan muslimah di dalam Masjidil Haram

Jemaah lelaki sedang beriktikaf di dalam Masjidil Haram


Syukur alhamdulillah kami dipanggil lagi dan dapat melihat Kaabah dan beribadat. Kami mengangkat tangan berdoa melihat Kaabah.

Orang terlalu ramai mengelilingi Kaabah. Saya menunjukkan kepada anak bongsu saya bahagian-bahagian Kaabah seperti tempat permulaan tawaf, Hajarul Aswad, Hijr Ismail dan Rukun Yamani supaya dia dapat melakukan tawaf dengan betul.


Kami berjanji untuk berjumpa di bawah lampu hijau tempat permulaan tawaf sekiranya terpisah dalam jemaah yang ramai. Kami pun berniat tawaf, bergerak menghampiri Kaabah menuju penjuru Hajarul Aswad yang sentiasa dikerumuni manusia, beristilam dan memulakan tawaf. Kami sekeluarga berjalan rapat-rapat dan memegang di antara satu sama lain supaya tak terpisah. 


Zikir, doa dan ayat-ayat Al-Quran dibaca semasa tawaf. Zikir, doa dan ayat-ayat yang dibaca telah dirancang oleh suami saya sejak di tanahair lagi dan kami sama-sama bersetuju membaca zikir yang sama pada setiap pusingan. Antaranya "Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar," "Robbana atina fi dunia hasanah wa fil akhirati hasanah wakina azabannar," dan "3 Qul."


Pelbagai bangsa, warna kulit dan usia berkumpul di sini mengelilingi Kaabah. Di sebelah kiri kami, kami nampak seorang lelaki buta menggunakan tongkat tawaf bersendirian dan seorang lelaki yang tidak berkaki tawaf bersendirian tanpa menggunakan kerusi roda tapi hanya menggunakan tangannya sebagai ganti kakinya yang tiada. Kami kagum dengan kegigihan mereka mengelilingi Kaabah walaupun tidak sempurna anggota badan serta deria.


Kawasan yang sesuai untuk solat sunat selepas tawaf ialah di belakang makam Nabi Ibrahim A.S.

Setelah habis mengelilingi Kaabah 7 kali, kami solat sunat di belakang Makam Nabi Ibrahim dan  menghadap Kaabah.  Kami solat berdekatan. 

Setelah solat, kami minum air zam-zam yang terdapat di dalam tong air di dalam masjid menuju jalan ke Bukit Safa.


Bukit Safa dan Marwa



Jemaah sedang Saie, iaitu berulang-alik dari Bukit Safa ke Bukit Marwa

Setelah itu kami mengerjakan saie dengan berulang-alik dari Safa ke Marwa. Bacaan kami juga sama.

Cabaran dihadapi setiap kali mengerjakan umrah dan saie. Kali ini ada yang terbatal wudhu. Ada yang tiba-tiba semput dan terpaksa berjalan perlahan-lahan. Maklumlah ahli keluarga kami ada yang muda remaja, ada yang sudah mencecah 6 series. Jadi terpaksalah menunggu dan mengikut rentak setiap ahli supaya dapat melakukannya bersama-sama.

Setelah selesai saie, kamipun menggunting sendiri rambut di Bukit Marwa. Maka, selesailah umrah kami. Kami sangat bersyukur kerana telah dapat menyelesaikan satu umrah. Umrah yang seterusnya akan kami lakukan pada hari lain. 

Pakej TH Travel menyediakan 2 kali umrah tambahan dengan bermiqatkan Hudaibiyah dan Jaaranah.  Manakala untuk menambah umrah lagi, kami perlu pergi sendiri ke miqat dengan menaiki teksi atau bas. Miqat yang terdekat ialah Tanaim.



Kami singgah makan ais krim setelah selesai umrah dan saie

Renovasi Masjidil Haram




Orang terlalu ramai. Masjidil Haram pula masih melakukan renovasi dan banyak laluan disekat dan laluan sehala. Jadi kalau masuk satu haluan belum tentu dapat keluar mengikut laluan yang sama. Kadang-kadang terpaksa mengikut laluan 'maze' yang jauh. Ini sangat memenatkan.

Renovasi di dalam Masjidil Haram masih dilakukan

Belalang dan Cengkerik Hitam


Oleh kerana musim sejuk, banyak belalang dan cengkerik hitam migrasi ke Mekah. Cengkerik dan belalang itu datang dalam kumpulan yang banyak. Penuh di luar Masjidil Haram itu dengan serangga ini. Oleh kerana jemaah juga terlalu ramai, maka tak kurang juga serangga ini mati terpijak.  Cengkerik yang berterbangan dan merayap pula tidaklah membahayakan jemaah, lagipun pekerja di masjdil Haram sentiasa menyapu bersih serangga itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...