Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 14 Ogos 2020

Umrah 2019 (Bhg. 6) | Rehat di Jeddah, Berangkat Pulang


J  eddah terletak lebih kurang 66 km dari Mekah. Apabila selesai ibadat haji atau umrah, jemaah biasanya di bawa ke Jeddah untuk mengambil penerbangan pulang ke tanahair. Sebelum lapangan terbang Madinah dibuka, Jeddah adalah pintu masuk (gerbang) kepada dua tanah Haram (Madinah  & Mekah).

Masjid Terapung Ar-Rahmah


Masjid Terapung Ar-Rahmah di Laut Merah Jeddah.


Di Jeddah terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Terapung Ar Rahmah. Masjid ini dibina di atas tepian tebing di dalam Laut Merah yang kelihatan terapung di atas laut.  Sangat menarik untuk dikunjungi kerana ia menghadap Laut Merah yang luas dan kita boleh menyaksikan pemandangan indah, batu-batuan laut dan menghirup bayu sambil melihat suasana matahari terbit atau terbenam. Senibina masjid ini juga indah kerana ia campuran sebina lama dan baru.


Di Laut Merah inilah kisah Nabi Musa A.S membelahnya menggunakan tongkat dan menyeberanginya apabila tentera Firaun mengejarnya. 


Kota Metropolitan Jeddah


Berbeza dengan kota Mekah dan Madinah. Jeddah adalah tempat yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan agama.  Ramai warga dari Filipina, Indonesia, Pakistan, Afrika dan Cina berada di kota ini.  Di sini kita dapat melihat pemakaian orang di sini. Kalau di Mekah dan Madinah, kita sentiasa melihat wanita memakai hijab dan abaya, namun di sini kita boleh melihat ramai wanita tidak memakai tudung dan mendedahkan aurat.  Jeddah lebih keduniaan berbanding dengan dua kota Haram di Arab Saudi yang sangat dipelihara kesuciannya. 





Laluan di bandar Jeddah


Pusat membeli-belah juga banyak dan peluang untuk menabur duit di sini amat mudah. Antara barang-barang yang boleh di beli ialah pakaian, barangan elektronik, minyak wangi, kudapan dan minuman.


Kedai-kedai di dalam pusat beli-belah di Jeddah


Di kompleks beli-belah ini terdapat surau


Makan Tengahari di Hotel


Sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia, kami dibawa TH Travel ke Hotel (lupa namanya) untuk menikmati makan tengahari. Menu yang disajikan ialah masakan Arab seperti nasi Mandy, kambing bakar, salad, pemanis mulut dan buah-buahan. Kami juga berehat di situ lebih kurang dua jam.




Nasi Arab berlaukkan kambing

Corn salad

Lapangan Terbang Jeddah & Terminal Haji


Lapangan Terbang Jeddah adalah lapangan terbang yang paling sibuk di dunia ketika Musim Haji. Ini disebabkan Jeddah adalah pintu masuk penerbangan antarabangsa. Semasa musim haji ia menerima sehingga 17 juta penumpang sehari. Saya pernah menggunakan lapangan terbang Jeddah ini beberapa kali ketika melakukan umrah. Lihat cerita saya di link INI. Oleh kerana jumlah penumpang yang ramai, kami terpaksa beratur lama untuk melepasi kerenah imigresen yang sangat tidak mesra.

Selain itu terdapat Terminal Haji untuk jemaah haji mendarat dan berlepas. Kami dibawakan oleh TH Travel menggunakan terminal haji ini. Sebelum masuk ke dalam kawasan check-in, kami menunggu dahulu di bahagian luar yang berpayung/berkhemah terbuka. Di situ terdapat tempat menunggu, tandas, ruang solat dan kafe. Oleh kerana terminal ini kebanyakannya digunakan pada musim haji, maka keadaannya agak sunyi sedikit dan kurang dijaga dengan rapi. Ada tandas yang kotor dan ruang solat yang dipenuhi tahi burung. Ketika ini kami diberi air zam-zam oleh TH Travel sebanyak 5 kg seorang.

Apabila sudah sampai masanya, kami semua masuk ke terminal. Terminalnya tidak begitu sibuk dan kami dapat check in dan berlepas dengan tidak perlu menunggu lama. Pegawai yang berurusan dengan kami juga mesra berbanding dengan pegawai di lapangan terbang Jeddah. 

Di ruang menunggu sebelum berlepas, terdapat juga kedai-kedai yang menjual cokolat, air minuman, snek dan cenderamata. Kalau nak habiskan duit riyal yang berbaki itu, bolehlah berbelanja di sini.


Tempat menunggu di bahagian luar Terminal Haji Jeddah ini seperti khemah. Terdapat tandas dan ruang solat. 

Menunggu panggilan untuk chek-in

Check-in bagasi di kaunter

Kamipun pulang ke tanahair dengan selamat. Alhamdulillah.

Perbelanjaan Untuk Umrah


Tentu ada yang mahu mengetahui berapakah perbelanjaan untuk mengerjakan umrah ini?

Terdapat pakej yang berharga RM7,000, ada yang RM8,000 dan ada yang RM9,000 yang ditawarkan oleh TH Travel. Kami memilih pakej berharga RM8,000. Pakej ini termasuk penginapan hotel yang berjarak 300 meter dari Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, makan 3 kali sehari, ziarah di tempat-tempat bersejarah di Madinah, ke pasar kurma, ke Masjid quba, ziarah di Mekah dan 2 kali tambahan umrah.

Bagi pakej yang lebih mahal, jarak hotelnya lebih dekat dengan masjid dan bagi pakej yang lebih murah, jarak masjidnya lebih jauh dari hotel.

Manakala perbelanjaan untuk membeli-belah dan perbelanjaan lainnya kami peruntukkan RM1,000-RM2,000 seorang. Jumlah ini boleh dikurangkan mengikut kemampuan dan keperluan membeli-belah atau wang yang lebih itu disedekahkan.



Baca kisah sebelumnya di sini: 
Umrah 2019 (Bhg. 5) | Bersalam dengan Imam Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 4) | Ziarah Mekah, Membeli-belah dan Makan-makan
Umrah 2019 (Bhg. 3) | Mekah Musim Sejuk, Hotel &  Masjidil Haram
Umrah 2019 (Bhg. 2) | Ziarah Madinah Musim Sejuk
Umrah 2019 (Bhg. 1) | Pengalaman Menaiki Kapalterbang Khas ke Madinah


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.