Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label CYPRUS - Limassol. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CYPRUS - Limassol. Papar semua catatan

Sabtu, 25 Februari 2012

Cyprus: Seni Fridge Magnet yang Tersendiri

Dalam entri saya yang terakhir dalam siri kembara saya di Cyprus ini saya ingin ceritakan satu daripada barang kenang-kenangan yang saya beli di Cyprus. Sebenarnya ada barang-barang lain yang saya beli seperti beg, mug, kipas, penyangkut kunci dan tempat letak nota/bil tetapi saya lebih berminat untuk menulis tentang fridge magnet kerana ramai blogger yang gemar mengumpul fridge magnet.  

Di Cypruslah saya mula menanam minat mengumpul fridge magnet. Fridge Magnet dari Cyprus mempunyai keunikan dan seni yang tersendiri. Pada permulaannya saya membeli fridge magnet Cyprus ini kerana kawan-kawan saya meminta saya membelikan untuk mereka. 

Di Cyprus, saya ke kedai cendermata yang berdekatan dengan hotel penginapan saya. Saya dapati banyak yang cantik dan unik. Saya beli banyak untuk kawan-kawan saya. Kerana keunikannya saya juga turut membelikan untuk diri saya. Sejak itu saya mula menanam minat menjadi pengumpul fridge magnet

Lihatlah antara fridge magnet Cyprus yang menjadi kegemaran saya.

Fridge magnet berbentuk pasu iaitu kraftangan orang Cyprus

Oleh kerana Cyprus adalah sebuah pulau yang terletak di Laut Mediterranean maka fridge magnetnya dibuat bagi menggambarkan suasana pulau, lautan dan karakter Cyprus. Fridge magnet yang di atas ini dibentukkan menjadi pasu. Perusahaan pasu (tembikar) adalah perusahaan kraftangan yang penting di Cyprus. Villa-villa indah tepi pantai, burung-burung laut dan kapal-kapal berlayar terserlah pada fridge magnet berbentuk tembikar ini. 

Peta Cyprus sering dibadikan sebagaimana yang terlihat pada fridge magnet yang kedua dan ketiga. Fridge magnet ini dibuat daripada polyresin dan batu. 

Fridge magnet yang paling kanan mengabadikan Kota/Kubu Pafos yang telah diiktirafkan oleh UNESCO sebagai Warisan Dunia. Ia dibuat berbentuk pasu terracotta yang digunakan untuk menyimpan wain. Cyprus terkenal sebagai tempat penanaman anggur dan pengeluaran wain sejak berabad-abad lamanya. Fridge magnet ini dibuat daripada campuran terracotta dan batu.  

Frdige magnet yang menggambarkan peta Cyprus dan runtuhan bangunan purba

Fridge magnet yang kiri ini pula dibuat dalam bentuk pinggan seramik yang kecil dan mengabadikan peta pulau Cyprus. Ia dibuat daripada seramik yang licin dan berkilat.

Manakala fridge magnet yang paling kanan pula mengabadikan bangunan-bangunan purba yang menjadi tarikan pelancong ke Cyprus. Apabila disentuh terasa lorekan batu-bata bangunan ini, kerana ia dibuatkan timbul (3 Dimensi). Taman-taman bunga juga kelihatan pada fridge magnet ini. Fridge magnet ini dibuat daripada batu.

Harga setiap fridge magnet ini adalah di antara RM8.00 hingga RM10.00.

Matawang Euro digunakan di sini.


Khamis, 9 Februari 2012

Limassol | 3: Ada Sungai Tapi Tiada Air

Berdebar dan gemuruh adalah perasaan saya hari itu. Apa tidaknya, kertas kerja saya akan dibentangkan pagi itu sebaik sahaja majlis perasmian selesai. Saya tidak dapat bayangkan apakah reaksi mereka yang hadir nanti. Apakah soalan yang akan mereka tanya? 

Persidangan antarabangsa di Cyprus ini mempertemukan saya dengan cendiakawan dan penyelidik dari seluruh dunia. Mereka hadir untuk membentangkan hasil penyelidikan mereka. Kebanyakannya dari Eropah. Persidangan ini bertemakan pemuliharaan sumber air. Iaitu mengenengahkan isu-isu air dan penyelesaian kepada masalah sumber air. Ia dianjurkan oleh European Water Resources Association yang berpusat di Itali dengan kerjasama Faculty of Civil  & Environmental Engineering, University of Cyprus.  Persidangan ini diadakan selama tiga hari (25-27 Jun 2009), di Elias Beach Hotel, Limassol, Cyprus.

Teksi yang menghantar saya ke persidangan pada hari itu datang tepat pada waktunya, lalu menghantar saya ke Hotel Elias. Pemandu teksi itu pula meminta saya jangan ambil teksi lain selepas persidangan. Dia akan mengambil saya.

Elias Beach Hotel di Limassol, Cyprus

Inilah keadaan hotel tempat Persidangan Konservasi Sumber Air itu diadakan. Bunga-bunga dan pohon palma menghiasi taman. Oleh kerana Cyprus beriklim subtropika maka saya boleh lihat pokok pisang dan petai belalang di sini.

Belakang Hotel Elias Beach  menghadap laut 


Hotel Elias ini terletak di tepi pantai. Ini ialah gambar di belakang hotel Elias yang saya ambil pada waktu pagi. Suasananya agak sunyi. Orang ramai datang ke tepi pantai untuk berjemur pada waktu petang.

Paderi membaca doa majlis

Orang Cyprus kebanyakannya beragama Kristian Ortodoks. Lihatlah di dalam majlis perasmian persidangan ini, orang lelaki (paderi) yang berjubah dan bertopi hitam ini membacakan doa majlis mengikut cara agama mereka.

Kertas kerja saya dibentangkan di dewan luas ini, di tempat majlis perasmian diadakan. Walaupun saya telah banyak membentangkan kertas kerja, namun saya masih gementar. Setelah membaca doa menghilangkan gemuruh sayapun membentangkan hasil penyelidikan saya.

Alamak! Mikrofon dan podium di hadapan saya terlalu tinggi buat saya. Saya tenggelam daripada pandangan orang ramai. Laptop yang diletakkan di atas podium itu sudah tentulah tak tercapai oleh tangan saya. Saya mohon pertolongan.

Tapi tidak ada seorang teknisyen pun yang bantu. Staf yang adapun buta teknikal. Tak tahu nak buat apa. Saya sendiri bersusah payah mengubah kedudukan saya dan merendahkan mikrofon. Lalu mencari alat kawalan jauh untuk saya klik slaid powepoint saya di atas skrin projeksi.

Kesian saya :( Sungguh mereka tidak prihatin bahawa orang Asia ini tidak tinggi macam orang Eropah.  Mengapa tidak mereka sediakan podium yang lebih rendah? Atau letakkan meja biasa. Sudah.

Topik yang saya bentangkan lebih menumpu kepada peranan NGO air dalam menangani masalah air di Malaysia. Selesai membentangkan kertas kerja saya, maka tugas saya dianggap selesai. Sesi soal jawab pun tidak memerlukan saya memeras otak. Hilang sudah debaran saya. Kerta kerja saya itu telahpun diterbitkan dalam prosiding persidangan tersebut. Alhamdulillah.

Daripada pembentangan kertas kerja penyelidik lain di persidangan ini, barulah saya tahu bahawa Cyprus mengalami masalah air yang serius. Cyprus ada sungai tetapi tiada air. Sungai-sungai di Cyprus semuanya kering pada musim panas. Air sungai hanya ada pada musim sejuk (winter). Itupun ketika salji cair. Tetapi cara begini tentulah sukar kerana air yang dihasilkan tentu sedikit.

Barulah saya rasa amat bertuah tinggal di Malaysia yang kaya dengan sumber air dan banyak sungai. Sungai-sungai kita pula tidak pernah kering. Syukur alhamdulillah kita tidak mengalami masalah air sebagaimana yang berlaku di Cyprus. Mengenangkan ini marilah kita sama-sama menghargai air. Jangan bazirkan air.

Persidangan pemeliharaan dan pemuliharaan sumber air  di Cyprus yang saya hadiri

Setelah minum petang di hotel itu saya menelefon Profesor Norman yang berada di Cyprus Utara. Limassol dengan Nicosia berjarak 63 km. Saya cuma dapat meninggalkan pesanan suara sahaja di telefon Profesor Norman. Barangkali dia sibuk.

Ketika menelefon saya terlihat iklan bahawa hotel itu menyediakan pakej lawatan ke tempat-tempat utama di Cyprus. Saya pun mengambil peluang ini kerana persidangan ini tidak menyediakan lawatan di dalam programnya. "Kalau lawatan kita singkat, pilihlah pakej begini." Itulah yang selalu dinasihatkan orang.

Setelah menghadiri beberapa pembentangan kertas kerja di persidangan itu saya pun pulang ke Navarria Hotel. Teksi yang mengambil saya pagi tadi sudah sedia menunggu saya, lalu menghantar saya pulang. Dia juga menawarkan dirinya untuk membawa saya ke mana-mana saja yang saya kehendaki.

"Tinggal di pekan kecil ini kurang penumpang," katanya.

Jadi dia amat-amat mengharapkan saya menaiki teksinya. Dia juga menawarkan dirinya untuk menghantar saya ke lapangan terbang di hari terakhir saya di sini. Senangkan!

Ada kisah menarik dan unik ingin saya ceritakan kepada anda. Saya ingin mengajak anda kembali ke zaman purba. Ikutilah kisah menarik ini dalam entri yang akan datang.

...bersambung

Sabtu, 4 Februari 2012

Limasso | 2l: Pesta Bogel dan Pesta Arak

Musim panas di Cyprus jadi tumpuan pelancong. Salah satu tempatnya ialah Limassol atau Lemesos.

Petang itu saya bersiar-siar melihat pantai Limassol. Ia hanya di seberang jalan saja dari hotel saya. Pantainya landai. Kelihatan ramai orang kulit putih berjalan-jalan dan berjemur. Mereka semua separuh bogel. Tetapi bagi saya mereka ini berbogel. Kadang-kadang saya terpaksa mengalihkan mata saya kerana terlihat payu dara-payu dara yang sengaja didedahkan oleh yang empunyanya dan ponggong-ponggong yang terkeluar. 

Saya mundar-mandir melihat laut biru. Sungguh biru. Memang cantik. Tetapi melihatkan pesta bogel di sepanjang pantai bukanlah menenangkan jiwa malahan menyesakkan. Hairan dengan kejahilan manusia. Tak malunya! Cawat mereka hanya menutupi bahagian depan kemaluan. Yang lainnya terdedah. Mereka berjemuran berama-ramai untuk menggelapkan kulit  yang kekurangan ultra violet

Saya lihat kulit saya. Warnanya hampir sawo matang. Saya rasa amat bertuah dilahirkan sebagai orang Melayu yang berkulit hampir sawo matang ini. Saya tak perlu berjemur seperti mereka.

Di sini saya hanya memilih gambar-gambar yang bersesuaian sahaja. Bogel yang saya maksudkan tidak saya pamerkan.

Saya rasa saya tidak sesuai berada di tempat ini. Ini bukan tempat saya. Mereka mengadakan pesta bogel sedang saya berkelubung. Teringat saya pada hadis tentang larangan mendedahkan aurat daripada Muawiyah bin Haidah RA. yang menceritakan; 
Aku [Muawiyah] telah bertanya Rasulullah s.a.w.; "Ya Rasulullah! Bilakah masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?" Jawab baginda, "Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki." Aku [Muawiyah] bertanya lagi, "Bagaimanakah jika sekiranya seseorang daripada kami sedang bersendirian?" Nabi s.a.w menjawab, "Allah lebih layak untuk kamu malu daripada manusia." (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tarmizi; hadis ini hasan)
Sedang saya mundar-mandir, ada seseorang memerhati saya. Dia menegur saya. Sangkanya saya orang Arab. Mungkin kerana penampilanku yang berhijab. Apabila saya beritahu bahawa saya orang Malaysia, dia terkejut. Dia memberitahu saya bahawa dia seorang penjual daging dan beragama Kristian Ortodoks. Tapi namanya Islam - Adil.  Saya tanya mengapa namanya Islam. Katanya bapanya menyukai nama itu. 

Sesungguhnya Cyprus terletak di antara dua dunia: Asia Barat dan Barat. Satu dunia Islam dan satu dunia Kristian. Ini dapat dilihat dari sudut sejarahnya. Cyprus pernah ditakluki dan diperangi oleh tentera-tentera Islam. Islam pernah bertapak di sini. Ketika zaman Umayyah, Abbasiah dan Usman. 

Di Cyprus kepercayaan kepada mitos amat kuat. Orang Cyprus mempercayai dewa-dewa sebagaimana  orang-orang Greek. Pada setiap bulan Ogos-September pesta Arak diadakan di Limassol. (Maklumat ini saya ketahui daripada pemandu pelancong saya). Pesta Arak ini diadakan selama sepuluh hari demi mengagungkan Dewa Wain (Arak) yang bernama Dionysus dan Dewi Cinta dan Kecantikan yang bernama Aphrodite. Pesta wain ini sudah diadakan sejak 1961 dan dihadiri oleh ratusan orang dari seluruh Cyprus. "Drink wine, for better life!" Itulah motto pesta ini.

Limassol terkenal dengan pembuatan wain dan penanaman anggur. Pada Pesta Arak ini pelbagai acara hiburan diadakan: tari-menari, makan-makan, persembahan teater dan minum arak secara percuma - ditaja oleh syarikat-syarikat wain terbesar di sini. 

Pesta ini dimulai dengan upacara memijak anggur dengan kaki untuk dijadikan wain. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana mereka meminum air hasil dari kotoran-kotoran kaki, cekam-cekam kuku, lelehan air peluh dan bulu-bulu mereka yang gugur bercampaur baur dalam anggur-anggur yang dipijak itu menjadi arak yang digilai. Memang benarlah ia air syaitan. Cara penghasilannya sahaja dimulakan dengan pijakan kaki yang mungkin bercekam, bercagu dan mungkin baru sahaja keluar dari tandas. Uweak!! Ini lebih jijik daripada nasi tangas atau nasi kangkang. Tapi inilah cara wain dibuat sebelum ia diperam. Inilah yang menjadi kebanggaan Cyprus.

Anggur dipijak untuk dijadikan wain. Sumber: http://www.marcopolo-exp.es, flickr.com/photos/wallyg, mnn.com, sipofspokane.com 
Hukum arak sudah jelas di dalam al-Quran. Firman Allah Ta’ala : 
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Surah al-Ma’idah : 90)

Ada lagi kisah menarik saya di Cyprus. Ingin tahu kisah persidangan yang saya hadiri? Teruskan mengembara bersama saya dalam pos yang akan datang.

...bersambung

Rabu, 1 Februari 2012

Limassol | 1: Hotel, Makan dan Pengangkutan

Kali ini saya ingin ceritakan pengalaman saya di Cyprus. Lawatan saya ke Cyprus ini adalah yang julung-julung kali. Lawatan ini kerana membentangkan kertas kerja hasil penyelidikan saya dalam bidang alam sekitar. Disamping itu saya dapat melihat-lihat Cyprus. Kunjungan ini amat bermakna.

Di manakah Cyprus?


Cyprus adalah sebuah pulau yang letaknya di Lautan Mediteranean. Di utaranya ialah Turki, di selatannya ialah Mesir, di baratnya ialah Greece dan di timurnya ialah Syria.

Pernah dahulu saya menyeberangi Laut Mediteranean pada tahun 1986 dari Greece ke Italy melalui kapal selama 2 hari. Pengalaman menaiki kapal merentasi Laut Mediterranean yang biru itu amat bermakna bagi diri saya. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan. Lebih-lebih lagi cuaca Mediteranean amat bersahabat dengan saya.

Cyprus adalah sebuah pulau yang terletak di Lautan Mediterranean. Sumber: geographicguide.net

Sebelum ke Cyprus saya telah membuat sedikit penyelidikan mengenai hotel, pengangkutan dan perkara-perkara lain. Saya tidak kenal sesiapa di Cyprus. Cuma ada seorang yang saya kenali tetapi beliau tinggal di Cyprus Utara. Beliau ialah Profesor Norman yang saya kenali semasa saya menuntut di Amerika Syarikat.


Siapakah Profesor Norman?


Profesor Norman adalah seorang Afrika Amerika. Dia sangat baik dengan saya. Saya pernah mengembara bersamanya di Amerika Syarikat.

Kami pernah ke makmal cetakan filem di Baltimore dan Virginia di Amerika Syarikat. Saya juga pernah menjadi orang kanan beliau dalam beberapa produksi filem di Amerika Syarikat.

Profesor Norman adalah Profesor filem. Disamping itu dia adalah pembikin filem "indie" dan juga jurukamera filem yang berpengalaman. Beliau pernah mengambil saya bekerja dengannya sebagai Penolong Jurukamera Kanan (First Camera Assistant) beliau dalam beberapa produksi filem di Amerika. Beliau juga banyak mencurahkan ilmunya kepada saya. Saya banyak belajar daripadanya.

Sekarang Profesor Norman berpindah ke Cyprus Utara dan menjadi Profesor di Eastern Mediterranean University.

Saya hantar emel kepada beliau dan menyatakan bahawa saya akan berada di Cyprus. Beliau amat gembira menerima emel saya dan ingin sekali bertemu dengan saya di Cyprus. Sudah lebih tujuh belas tahun kami tidak bertemu. Ketika itu saya sangkakan Cyprus Utara dengan Cyprus adalah sebuah negara yang sama. Setelah diberitahu oleh Profesor Norman, barulah saya mendapat tahu bahawa ia adalah dua buah negara yang terpisah dan berkerajaan sendiri. Ketika ini barulah saya sedar yang saya ini "buta" geografi, "buta" politik dunia.

Profesor Norman memaklumkan kepada saya bahawa dia tidak boleh masuk ke Cyprus atas masalah politik negara itu dan masalah kewarganegaraan. Dia menyuruh saya ke Nicosia dan bertemu dengannya di sempadan Cyprus Utara. Inilah antara isi kandungan emel beliau kepada saya: 
"As you, no doubt, know, Cyprus is a divided country: the Turkish north and the Greek south. As an employee of the Eastern Mediterranean University in the north, with a work permit and residency status for the Turkish Republic of Northern Cyprus, I'm ... and consequently cannot enter the Republic of Cyprus. ...If you have time to make a tour of the north, contact me and we can arrange to meet in Lefkosa/Nicosia for tea or a nice meal. It would be nice to chat about yesterday and today."
Inilah emel beliau yang begitu mesra. Masalah Profesor Norman ialah permit kerjanya dan taraf kependudukannya tidak membenarkan dia melepasi sempadan Cyprus Utara. Jadi saya yang harus melepasi sempadan dan bertemu dengannya di sana. Saya cuba untuk berbuat demikian sekiranya saya berada di sana. Itulah harapan saya. Dapatkah saya bertemu dengan Profesor Norman di sempadan Cyprus? Ikutilah kisah saya seterusnya.


Siapakah Profesor AR?


Saya juga telah menghubungi Profesor AR di Emirat Arab Bersatu. Ingat tak dalam pos yang lepas, saya mengenali Profesor AR ketika menghadiri persidangan di Abu Dhabi? Dia juga menyambut kedatangan saya di Dubai? Dia selalu suruh saya menghubungi dia sekiranya saya ke Dubai. Oleh kerana perjalanan saya ke Cyprus akan melalui Dubai, maka saya maklumkan perkara ini kepadanya.

Saya akan transit di Dubai selama 4 jam dalam perjalanan pulang. Beliau amat gembira dengan kedatangan saya dan bersedia menemui saya di Dubai. Dapatkan saya bertemu dengan Profesor AR di Dubai? Ikutilah kisah perjalananku seterusnya.


Ke Cyprus


Saya ke Cyprus pada 24 Jun 2009. Ketika itu musim panas. Ketika ini juga wabak H1N1 sedang melanda seluruh dunia. Tetapi oleh kerana perancangan ini telah dibuat awal dan kertas kerja saya sudah diterima maka saya teruskan niat saya untuk ke Cyprus.

Sepanjang perjalanan dari Malaysia ke Cyprus saya memakai topeng muka tanpa membukanya. Alangkah rimasnya. Tapi apa boleh buat.


Transit di Dubai


Ketika transit di Dubai seorang lelaki Melayu menegur saya. Kami berbual, dia memberitahu saya yang dia bekerja dalam sektor pembinaan di kepulauan Malta tidak jauh dari pulau Cyprus. Kami menaiki kapalterbang yang sama, tapi kapalterbang itu singgah di Larnaka sebentar dan kemudian ke Malta. Di dalam kapalterbang cuma kami berdua orang Asia, yang lain adalah orang kulit putih.

Kedua-dua pulau ini bukanlah destinasi yang popular dalam kalangan orang Malaysia. Ramai orang Malaysia tidak tahu di mana Cyprus dan Malta. Pegawai kastam yang menyemak pasport saya di lapangan terbang Pulau Pinang pun tidak mengetahui di mana tempat ini. Mereka sendiri bertanyakan di mana tempat ini kepada saya.

Sampai di Larnaka


Sesampainya saya di Larnaka saya terus mengambil shuttle bus sebagaimana yang dimaklumkan dalam sumber-sumber rujukan saya. Tiada sesiapa yang menyambut kedatangan saya. Tidak seperti persidangan yang pernah saya hadiri di Thailand atau New Zealand. Di Thailand dan New Zealand saya disambut baik oleh delegasi persidangan di lapangan terbang. Tetapi di Cyprus semuanya "sendirian berhad". Jadi tak berapa 'syok' bab ni.

Saya membayar harga tambang shuttle bus di kaunter lapangan terbang. Kemudian saya mencari shuttle bus itu untuk membawaku ke hotel Navarria yang telah saya tempah secara on-line. Sangka saya bas besar tetapi hanyalah sebuah van.

Pemandangan musim panas dari Larnaka ke Limassol dari dalam van

Dalam perjalanan menuju ke Limassol saya hanya melihat kawasan tanah gersang berbukit-bukau yang tidak berpohon. Pohon yang ada hanyalah pohon-pohon renek dan batu-batu. Cuacanya panas dan terang benderang. Perjalanan melalui lebuh raya ini memakan masa kira-kira 1 jam, jaraknya kira-kira 58.43 km. 

Menyaksikan hutan batu dan pohon renek sahaja di sepanjang jalan amat membosankan. Di saat ini saya terasa amat sangat yang Malaysia jauh lebih indah. Di Malaysia pohon-pohon hijau ada di mana-mana saja.

Hutan batu dan pokok-pokok renek sahaja yang saya lihat di sepanjang jalan

Sampai di Limassol


Saya pun sampai di Navarria Hotel, Limassol dengan selamat. Tetapi apabila saya "check in" saya dapati nama saya tiada dalam senarai tempahan. Alamak! Saya hairan kerana surat menyurat sudah dilakukan. Balasan emel dari hotel itupun sudah saya terima. Lalu saya serahkan salinan surat-surat emel kepadanya. Rupa-rupanya emel terakhir yang saya hantar kepadanya tidak diterima. Namun tiada masalah selepas itu, saya terus diberi bilik.

Hotel Navarria ini bukanlah hotel mewah, biasa-biasa aje. 3 bintang. Harganya pun tidak mahal. Dalam RM160.00 satu malam. Hotel ini dengan Hotel Elias, iaitu tempat persidangan diadakan itu, tidaklah jauh sangat. Pegawai di kaunter hotel itu kemudiannya terus menempah teksi untuk saya untuk esok pagi. Kertas kerja saya akan dibentangkan esok iaitu pada hari pertama, selepas perasmian persidangan itu.

Hotel Navarria yang saya inapi

Inilah gambar hotel Navarria di Limasol, Cyprus. Ada balkoni. Kolam renang di bawah/depan balkoni. Di hadapan balkoni ini saya dapat lihat  apartment dan laut Mediterranean yang terbentang luas.

Persekitaran Navarria Hotel yang terletak berdekatan kawasan perumahan

Di waktu petang saya bersiar-siar di kawasan sekeliling Hotel. Hotel Navarria ini letaknya di kawasan perumahan.


Villa-villa di sekitar Navarria Hotel

Villa-villa tepi pantai tersergam indah. Senibinanya begitu unik. Mewah. Bunga-bunga dan anggur ditanam sebagai penghias halaman. Kucing-kucing agak banyak di sini. Kelihatan berkeliaran di tepi pantai, di ruang makan restoren dan di tepi jalan.

Dikatakan kucing dibawa masuk ke Cyprus pada abad ke-4 untuk menghapuskan ular. Kucing juga telah lama menjadi binatang peliharaan manusia. Ini dibuktikan melalui penemuan rangka kucing bersebelahan dengan manusia Neolitic di Cyprus. Menurut kajian ahli arkeologi kucing ini dari Mesir dan dianggarkan hidup 4,000 tahun dahulu.

Kedai-kedai dan rumah-rumah di Limassol

Di sekeliling hotel Navarria terdapat banyak kedai-kedai cendermata, kedai runcit dan restoren. Bagi mendapatkan makanan halal, saya perlu mengambil teksi ke pekan Limassol. Tetapi saya tidak berbuat demikian, saya cuma makan di dalam bilik hotel. Makanan itu saya bawa dari Malaysia. Makanan segera seperti mee, bubur nasi dan roti.

Hotel ini menyediakan sarapan pagi percuma tetapi saya hanya boleh makan telur rebus, pasta (tanpa sos) dan buah-buahan. Roti dan jem ada, tapi saya tidak makan kerana ia mengandungi gelatin dan E471. Kedua-dua bahan ini mungkin dari sumber haiwan. Kebiasaannya saya tidak makan makanan yang mengandungi bahan-bahan ini sekiranya tiada logo halal atau tiada sumber tumbuh-tumbuhan tertulis pada bungkusannya.

...bersambung