Dari Aisyah, Rasullah SAW bersabda: "Tidak ada satu hari yang Allah lebih banyak membebaskan seorang hamba dari api neraka melainkan hari Arafah. Sesungguhnya Allah amat hampir dan membanggakan mereka di hadapan malaikatNya seraya berkata, "Apa yang mereka inginkan? (tentu Aku kabulkan)." (Hadis riwayat Muslim)
Saya pernah berada di Arafah pada tahun 2010. Ketika itu saya mengerjakan haji Ifrad dan sudah berada di Mekah selama seminggu. Saya juga sudah melakukan Tawaf Qudum dan Saie Haji.
Pada 8 Zulhijjah saya bertolak dari Mekah bersama jemaah haji yang lain. Kami menaiki bas rombongan yang telah disediakan oleh ejen pakej haji kami. Kami membawa hanya sebuah beg pakaian yang kecil. Di dalamnya terdapat pakaian yang hendak digunakan selama 3-5 hari. Kami akan ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Saya menyelitkan sebuah bantal angin yang saya beli di Mekah ke dalam beg. Beberapa bungkus makanan dan minuman untuk bekalan di sana diberikan oleh pihak ejen membuatkan beg saya bertambah.
Perjalanan ke Arafah tidaklah jauh,
lebih kurang 20 km. Kami boleh sampai dalam masa 20 minit. Tetapi
disebabkan terlalu banyak bas maka jalan menjadi sesak dan tidaklah
dapat kami sampai dalam jangkamasa begitu. Saya sudah lupa berapa lama, tetapi lebih kurang sejam barulah kami sampai di Arafah.
Kami diberhentikan di sebuah kawasan luas. Inilah Arafah. Terdapat khemah-khemah didirikan di situ. Kami sampai waktu tengahari. Saya mengangkat beg pakaian saya dan berjalan mengikuti lorong-lorong di kawasan berkhemah menuju ke khemah kami. Khemah yang dibuat daripada plastik tebal saya masuki. Di dalamnya sudah siap dilapikkan plastik untuk kami duduk. Di ruang atas khemah terdapat lubang udara. Saya duduk betul-betul di bawah lubang udara itu. Saya lihat langit biru di atas dan cahaya matahari menembusi lubang itu. Jemaah haji yang lain duduk di tempat yang mereka pilih dan telahpun memenuhi ruang dalam khemah. Saya tersenyum gembira dengan suasana di dalamnya. Terasa amat lapang sekali jiwa saya ketika itu.
Di khemah kami berzikir dan beribadat. Terdengar suara jemaah lelaki berzikir dengan kuat dari khemah bersebelahan. Mereka menggunakan pembesar suara. Kadang-kadang saya ikut mereka berzikir. Suara orang yang mengetuai zikir itu sering saya dengar di televisyen - Ustaz Zulkarnain dan Ustaz Asraf Imam Muda. Pada mulanya saya sangka itu adalah rakaman CD. Tetapi rupa-rupanya bukan. Live. Salah seorang jemaah kami ternampak Ustaz Zulkarnain lalu di sebuah lorong.
Apabila hendak buang air dan mengambil wudhu saya ke tandas yang dibina di sebuah kawasan tidak jauh dari khemah kami. Tandas itu diletakkan di kawasan yang berpagar kayu, berbumbungkan langit dan hanya berlantaikan tanah. Tandas tidaklah banyak. Lebih kurang 10 buah tandas. Ada cuma 5 batang paip air untuk mengambil wudhu. Bilangan tandas dan paip yang sedikit ini terpaksa dikongsi bersama dengan beratus-ratus jemaah. Sudah tentulah kami kena beratur panjang-panjang sehingga 45 minit untuk memasuki tandas dan menggunakan paip air itu. Dengan keadaan panas matahari dan tiada satupun bangku di situ membuatkan kami terpaksa keluar dari zon selesa yang selama ini kami kecapi. Untuk membuka dan memakai tudung, stokin dan pakaian memerlukan kesabaran. Inilah masalah utama ketika di Arafah. Tandas dan tempat ambil wudhu yang sedikit perlu dikongsi beramai-ramai!
Apabila tiba waktu solat kami solat jamak berjemaah. Kami makan nasi, air kotak dan limau yang diberikan dalam kotak. Pada waktu malam kami tidur di dalam khemah. Saya meniup bantal yang saya beli semalam dan merebahkan kepala saya ke bantal itu. Tetapi bantal yang mula-mula kembung berisi angin itu lama kelamaan mengecut kerana anginya meresap keluar. Saya tiup lagi dan ia berangin semula tetapi kembali mengecut dalam masa kurang 10 minit. Saya ulang lagi. Tetapi ia tetap kecut. Lama-lama saya mengalah dan menggunakan beg pakaian saya sebagai bantal. Rugilah sudah sepuluh ringgit saya. Oleh kerana saya berbaring betul-betul di lubang udara khemah, saya dapat lihat langit dan bintang-bintang. Angin menghembus masuk ke dalam khemah itu melalui lubang itu dan membuatkan badan saya terasa nyaman. Saya tersenyum gembira kerana saya sudah sampai ke situ. Saya bersyukur dan tanpa saya sedari saya sudah hanyut dibuai mimpi.
Keesokan harinya - 9 Zulhijjah - selepas matahari tergelincir, kami solat jamak zohor dan asar secara berjemaah. Sesudah itu kami keluar beramai-ramai menuju ke kawasan luas untuk berdoa. Ustaz Mat yang merupakan ustaz yang mengiringi kami sudah berpesan awal-awal supaya berdoa di Arafah di kawasan lapang. Inilah tempat mustajab doa. Kami keluar dan mencari tempat lapang itu. Tetapi semua kawasan lapang itu sudah penuh. Jadi kami hanya duduk di luar khemah dan duduk berdoa.
Selama berada di Arafah, kami hanya berzikir, bertakbir, bertahmid, beristighfar, solat, berdoa, membaca quran, bersalawat dan mengerjakan ibadat lain.
Ke Muzdalifah
Selepas waktu maghrib kami semua mengangkat beg kami lalu meninggalkan khemah itu menuju ke Muzdalifah pula. Tiba-tiba saya dapati beg saya sudah hilang. Saya mula panik kerana semua orang sedang berangkat menuju ke bas. Saya mencari ke sana sini beg saya dan bertanya-tanya jemaah lain. Tetapi tidak berjumpa. Maklumlah beg kami semuanya sama. Beg itu diberikan oleh ejen pakej haji kami. Tetapi yang membezakannya cuma riben dan tag nama saja. Jemaah lain sudah mula meninggalkan khemah. Saya mula risau. Saya memberitahu kehilangan beg saya ini kepada Ustaz Mat. Tapi Ustaz Mat selamba saja mukanya sedangkan saya panik. Tetapi setelah mencari-cari beberapa kali barulah saya terjumpa beg saya. Ia telah dialihkan ke tempat lain di dalam khemah itu. Saya hairan mengapa beg itu diletakkan jauh dari tempat saya duduk tadi. Alhamdulillah saya dapat menemui beg saya dan berangkat bersama-sama dengan kumpulan saya. Kami diagih-agihkan mengikut nombor bas masing-masing yang telah ditetapkan sebelum berangkat dari Pulau Pinang lagi.
Kami sampai di Muzdalifah pada waktu malam. Ia adalah sebuah kawasan tanah kosong yang luas. Ketika kami sampai orang tidaklah ramai. Kami mengambil tempat masing-masing lalu membentangkan tikar yang telah diberikan oleh pihak Tabung Haji Pulau Pinang dan meletakkan beg.
Selepas itu kami mengutip batu-batu kecil di tanah lapang itu. Kawasannya agak gelap tetapi cahaya lampu jalan menerangi kawasan itu. Ada juga yang membawa lampu suluh. Sayapun mengutip batu-batu sebesar kacang kuda sebagaimana diberitahu Ustaz Mat. Batu-batu ini akan saya gunakan untuk melontar di Jamrah di Mina esok, lusa dan tulat.
Setelah mengutip batu dengan cukup saya menyimpannya di dalam uncang kain dan masukkannya ke dalam beg pakaian saya. Kemudian saya ke tandas, duduk berehat dan tidur berbantalkan beg dan berbumbungkan langit. Saya tidur dengan lena. Apabila saya terjaga saya terkejut kerana saya dapati ramai orang di sekeliling saya. Tiba-tiba sahaja orang sudah ramai sedangkan tadi tidak.
Setelah lepas tengah malam kamipun berangkat ke Mina pula. Kami beratur dan menunggu bas kami untuk ke Mina.
...bersambung
cik-anne pun lama idamkan nak jejak kaki ke Mekah & madinah...insyaallah one day....aminnn
BalasPadam//seronok baca experience u kat sana...
Cik-Anne,
PadamSemoga Allah mengabulkan permintaan Cik-Anne dan menjadi tetamuNya. Amin.
Salam Prof.
BalasPadamSeronok bila membaca entri -entri prof di mana prof dapat menunaikan Umrah buat pertama kali pada bulan jun 2010 dengan bermahramkamkan Liza dan pada entri ini pula sudah dapat mengerjakan haji. Tentu umrah sudah di lakukan setiap tahun oleh prof selepas umrah pertama dulu. Bertuahnya prof dapat naik haji sebelum tempoh 10 tahun yg prof cerita sebelum ini. Ada tak laluan cepat yg prof dapat itu boleh di kongsikan sama.
pada enti ini menunjukan prof melakukan haji pada tahun 2013 dan ada sedikit ayat di permulaan yang saya faham bahawa pada tahun 2010, prof telah mengerjakan haji ifrad "'Saya pernah berada di Arafah pada tahun 2010"".
kalau di ikutkan tulisan prof yg awal "Tetapi panggilan untuk mengerjakan ibadat haji belum lagi diterima. Giliran saya selepas mendaftar pada tahun 2006 mengambil masa sepuluh tahun lagi." sudah tentu belum sampai lagi sebab prof daftar 2006. Saya ingin bertanya prof, bagaimanakah prof boleh percepatkan panggilan haji prof kepada 2010 dan 2013 dah ulang haji lagi. Berkemungkinan juga ada antara tahun 2010 ke 2013 juga prof dah buat haji. kalaulah boleh, minta pencerapan untuk saya dan pembaca lain contohi bagi mempercepatan tempoh menunggu haji ini.
Sekian, terima kasih.
Salam kembali Abdullah Ahmad,
PadamMaafkan saya kerana tidak menulis dengan jelas cara saya dijemput Allah mengerjakan haji, ini disebabkan saya tidak mahu entri saya berjela-jela (dragging). Tetapi rupa-rupanya saya telah silap, kerana cara saya menulis begini membuatkan pembaca keliru. Sebenarnya saya mengerjakan umrah pada Jun 2010 secara backpack, kemudian dijemput Allah mengerjakan haji pada Nov 2010 dan pada 2013 mengerjakan umrah lagi. Saya sangat bersyukur kerana telah dijemput Allah. Panggilan untuk mengerjakan haji itu pula sebenarnya saya terima pada saat-saat akhir, iaitu 7 hari sebelum kapalterbang terakhir ke Mekah dari Pulau Pinang berangkat barulah saya dapat berita saya dijemput. Itu adalah jemputan yang amat saya tidak sangka. Banyak dugaan yang saya tempuhi dalam masa 7 hari sbelum berangkat itu, antaranya ialah masalah mendapatkan suntikan dan keputusan ujian yang dilakukan pula memakan masa disebabkan alatan di klinik rosak dan macam-macam lagilah. Semasa hari berangkat dan berada di Tabung Haji Pulau Pinang, nama saya tiada dalam senarai dan saya tidak dapat name tag dan gelang Tbg Hj. Walau bagaimanapun. semuanya tidak begitu penting, sebab nama saya ada dalam sistem komputer.
Akhirnya sampai juga saya di tanah suci Mekah untuk mengerjakan Haji Ifrad. Bagaimana saya boleh mempercepatkan jemputan itu? Ini semua adalah kerja Allah. Cuma sebab lain yang boleh saya agak jawapannya adalah disebabkan kesungguhan saya ingin ke sana. Semasa saya mengerjakan umrah saya sentiasa berdoa di hadapan Kaabah terutama di Hijir Ismail, di hadapan Multazam dan Raudhah supaya Allah menjemput saya untuk mengerjakan Haji. Semasa di sana saya solat taubat, solat hajat, tahajud, solat tasbih dan solat sunat yang lain memohon dijemput Allah. Setelah kembali daripada mengerjakan umrah pada Jun 2010, saya terlalu rindukan tanah suci dan tidurpun bermimpikan tawaf, Kaabah dan saie. Setiap malam saya solat taubat, solat tahajud dan solat hajat serta merintih pada Allah supaya mengampuni dosa-dosa saya yang lalu dan menjemput saya walaupun saya ini orang yang penuh dosa. Saya juga menghalalkan segala hutang-hutang orang terhadap saya, memaafkan orang, bersedekah, melayan tetamu dengan baik, melakukan kerja suka rela dan berbuat baik dengan manusia dan binatang. Saya yakin kerana itu Allah mempercepatkan tempoh menunggu itu dan menjemput saya walaupun pada saat-saat akhir. Saya harap cara saya ini menjadi contoh kepada orang lain dan bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.
Salam.
BalasPadamMohon lalui segera untuk makluman
JOM KITA BERUMRAH
Sekarang ini sehingga 2 march 2013, Penerbangan Airasia ada offer untuk sektor KUL-Jeddah bagi perjalanan 1 dec 2014 hingga akhir april 2015 dengan harga asas RM1069 untuk pergi dan balik.
Kepada sesiapa yg bercadang nak buat umrah persendirian atau backpack seperti tuan blog ini ceritakan di entri terdahulu eloklah mmbeli tiket AA'x itu terutama di musim cuti sekolah dec 2014. Buatlah kumpulan kecil sendiri dan selepas itu bergabung dengan kump lain yg sama tarikh pergi atau kekal dengan kumpulan sendiri. Setelah beli tiket, tentu kita akan berusaha dan saya pasti Allah akan perkenaankan permohonan umatNya yang telah bersungguh2 terutama dalam perkara permohonan VISA. Bagi wanita yg belum melepasi 45T pada tarikh hendak pergi perlu ada mahram, kalau belum ada mahram tapi hendak beli tiket juga atau sudah beli tiket, kita usahakan cari mahram di kalangan yg ingin pergi cara persendirian ini pada tarikh yg sama, insyaalah bila kita nak dirikan masjid, Allah akan perkenankan. Amin.
Berbalik pasal tiket, kita beli yg asas dulu, bila masa dah nak sampai, tambahlah kargo terutama masa balik, makanan.
JOM KITA BERUMRAH.
Terima kasih tuan rumah, moga berjaya dan kita dapat tuai hasil berama di alam lain.
Salam Abdullah Ahmad,
PadamBagus! Informasi yang amat berguna. Cara-cara yang tuan nyatakan di sini juga betul dan patutlah diikuti oleh mereka yang ingin backpack ke Mekah yang tak perlu guna travel agent. Saya dah lakukannya, mungkin anda pula lepas ini :)
Tetapi untuk bab mahram itu pula, bagi wanita yang berumur melebihi 45 tahun, Kedutaan Arab Saudi masih mahukan mahram disebabkan pengurangan quota jemaah umrah akibat renovasi di Masjidil Haram.
Assalaimulaukum Prof dan Pelawat blog prof yang budiman.
PadamPembetulan tentang Offer AA ke Jeddah.
Saya masuk semula ke entri ini bagi menjelaskan tentang promosi AA kl-Jeddah. Tiket harga murah yg saya nyatakan di atas hanya berlaku kurang 24 jam. Saya tak pasti sebabnya mungkin habis di tempah atau apa-apa kemungkinan.
Sekian , harap maklum
Waalaikumusalam Abdullah,
PadamTerima kasih atas makluman itu.