Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 14 Januari 2014

Acheh Lagi (3): Anehnya Kubah Masjid di Banda Acheh

S aya sempat melawat banyak masjid di Banda Acheh pada kunjungan 23 Disember - 27 Disember 2013. Selain daripada masjid-masjid yang terselamat dari bencana tsunami 2004, yang pernah saya ceritakan sebelum ini, ada dua buah masjid lagi yang menarik hati saya untuk diceritakan dalam blog ini.

Kedua-dua masjid ini agak aneh. Anehnya masjid ini terletak pada kubahnya. Kedua-dua masjid ini ialah Masjid Gampong Lamteungoh dan Masjid Teuku Umar.


Kubah Masjid Lamteungoh di Tengah Sawah Gampong Gurah


Kubah masjid di tengah sawah Gampong Gurah

Saya ke Gampong Gurah. Di Gampong Gurah ada sawah yang terbentang luas. Sangat hijau. Sangat damai. Di latar belakang sawah terdapat gunung-ganang yang teguh.  Indahnya seperti sebuah lukisan yang telah dibingkaikan. Untuk ke sawah ini saya perlu meniti batas-batas yang sempit. Tetapi di tengah-tengah sawah Gampong Gurah terdapat sebuah kubah masjid. Hanya kubah, tanpa bangunan masjid untuk saya solat. Bagaimana kubah itu terdampar di tengah sawah? Mengapa ia berada di situ?

Sebenarnya kubah itu telah diangkat oleh ombak tsunami 2004 dari Gampong Lamteungoh yang letaknya 2.5 km dari situ.
 
Kubah di tengah sawah dari syot yang ditangkap lebih  dekat. Kubah masjid ini telah dihanyutkan oleh ombak tsunami dari kampung lain sejauh 2.5km.

Apabila saya melihat sendiri kubah itu, saya rasa kagum dengan kehebatan Allah kerana kubah itu dibuat daripada batu dan simen yang amat berat. Mustahil bagi sesiapa mengangkatnya dan meletakkannya di tengah-tengah sawah yang hanya boleh dituju melalui batas-batas sawah yang halus.


Quran yang tidak berganjak dari atas tiang di dalam kubah Masjid Gampong Lamteungoh


Di dalam kubah itu masih terdapat beberapa naskah Al-Quran yang tidak diusik atau dihanyutkan air. Malahan tiada satupun bahan di dalam kubah itu diubahsuai.

Kejadian ini menginsafkan saya bahawa ia satu lagi bukti kehebatan dan kekuasaan Allah. Ombak tsunami yang tinggi dan kuat itu mampu membawa kubah masjid yang berat jauh ke tempat lain tetapi tetap memelihara kitab suci Al-Quran daripada musnah.


 

Kubah Masjid Teuku Umar Satu-satunya Kubah Masjid Berbentuk Kupiah


Anehnya kubah masjid Teuku Umar!  Apakah yang anehnya? 

Sekali imbas kubahnya berbentuk loceng atau candi tetapi ....

Kubah Masjid Baitul Musyahadan atau Masjid Teuku Umar yang aneh.


Nama asal masjid ini ialah Masjid Baitul Musyahadan. Tetapi disebabkan keanehan kubahnya maka ia lebih dikenali dengan Masjid Teuku Umar.  

Masjid Baitul Musyahadah mempunyai beberapa konsep dan falsafah di sebaliknya. Ia diilhamkan oleh seorang cendiakwan Acheh Profesor Ali Hasjmy. Ketika itu Ali Hasjmy menjabat Gabenor Aceh, 1957-1964. 

Dilihat dari segi bangunannya masjid ini berbentuk segi lima yang melambangkan pancasila dan lima rukun Islam. Kubahnya berbentuk kupiah Teuku Umar sebagai lambang kepahlawanan Acheh semasa Perang Acheh dahulu.

Pahlawan dan Srikandi Acheh di Muzium Tsunami, Banda Acheh

Perang Aceh ialah perang Kesultanan Aceh melawan Belanda dimulai pada 1873 sampai 1904. Teuku Umar ialah pahlawan Acheh yang menentang Belanda daripada menjajah Acheh. Teuku Umar berjuang bersama dengan Panglima Polim. Perang ini disytiharkan sebagai fisabilillah. Teuku Umar terkorban dalam peperangan ini. Isterinya iaitu Cut Nyak Dhien kemudiannya meneruskan perjuangannya sehingga beliau ditangkap dan mati dalam buangan di Sumedang.

Kupiah Teuku Umar di bahagian mihrab. Ukiran pintu Acheh menghiasi kiri kanan dinding.

Jadi, bentuk kubah itu diilhamkan dari kupiah Teuku Umar sebagai lambang kepahlawanan Acheh yang berjihad mempertanahkan pertiwi daripada jatuh ke tangan kafir. 

Bentuk kupiah Teuku Umar ini bukan sahaja terdapat pada kubah masjid tetapi pada bahagian mihrab dan gerbang masuk kawasan masjid. 

Masjid Teuku Umar ini letaknya di Jalan Teuku Umar (Seutui), Banda Aceh. Saya sempat solat di masjid ini dan melihat persekitarannya yang unik dan indah. Satu lagi  senibina masjid yang unik dan kreatif. 

Gerbang masuk kawasan Masjid Teuku Umar juga dihiasi dengan kupiah Teuku Umar.


5 ulasan:

  1. Satu senibina yang menarik dan lari dari kebiasaan, tapi menarik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul tu Mie. Senibina yang unik membuatkan kita terfikir bahawa kubah masjid boleh berbentuk berlainan dari kebiasaan. "Thinking out of the box."

      Padam
  2. Wow tak sangka dihanyutkan oleh tsunami sejauh 2.5km kubah ni..sgt menakjubkan..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang sangat menakjubkan. Menunjukkan kekuasaan Allah, kan?

      Tiada siapa yang setara dengan-Nya.

      Padam
  3. Assalamualaikum,,,,
    salam sejahtera buat semua yang membaca salam puan / tuan mohon maaf kami numpang promotion

    KERETA SEWA BANDA ACHEH & SABANG

    Salam...Ingin Datang Melancong ke Acheh dan Zero Kilometer Indonesia (Pulau Weh) Kami menyediakan perkhidmatan kereta sewa di Bandar Acheh, Sabang, Airport & lain2 tempat. Kami juga menyediakan perkhidmatan sewa kereta dgn pemandu ke tempat Shopping, Melancong dan Situs Tsunami Acheh dan sebagainya sekitar Banda Aceh dan Sabang. Utk booking
    Call. +6281263979828
    Whatsapp +6281263979828
    Review Facebook: Muchsin Bin Mustafa Yatim
    Instagram: muchsinmustafayatim

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.