Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 4 Disember 2018

Terbang dengan Thai Airways

S ebelum ini ke Bangkok saya naik MAS atau Air Asia. Tapi kali ini perjalanan saya berlainan sebab saya naik penerbangan rasmi Thai iaitu Thai Airways. Bukan senang untuk dapat peluang ini. Ini disebabkan saya diundang untuk urusan rasmi oleh sebuah universiti di Bangkok iaitu Silpakorn University. Polisi universiti ini mensyaratkan mereka membiaya penerbangan tetamunya hanya dengan menggunakan penerbangan rasmi negara.

Penerbangan saya bermula dari Pulau Pinang pada 8.00 pagi.

"Swadeekap"

"Swadeekap" sapa pramugari yang berpakaian jingga sedondon ketika saya melangkah masuk ke pesawat yang berlogokan kelopak bunga magnolia itu. Dengan tagline "Smile", mereka sentiasa tersenyum lalu memberi tempat duduk menghadap tingkap kepada saya. Dapatlah saya melihat pemandangan Pulau Mutiara dan Selat Melaka di bawah sana sambil mendengar pengumuman dari ketua pramugara.

Pemandangan Pulau Pinang dan Selat Melaka dari jendela Thai Airways pada awal pagi

Saya mulakan sarapan dengan memakan sepotong tembikai, nenas dan honeydew. Sepotong tuna sandwich dan lasagna yang ringkas terasa sangat nikmat apabila disantap di atas ketinggian. Saya tak perlu risau kerana ini adalah special menu untuk orang Islam. Untuk makanan halal ini saya sudah pesan awal-awal semasa pihak Silpakorn University membuat tempahan tiket saya. Saya menghirup kedinginan jus oren sambil melihat langit biru dan awan putih berkepul-kepul di luar jendela.

Muslim Meal (MOML) yang dihidangkan oleh Thai Airways

Oh..belum sempat sendawa, ketua pramugara mengumumkan yang kapal terbang akan mendarat tak lama lagi. Bukan jauh perjalanan saya ini, cuma 1 jam 40 minit sahaja. Waktu ketika itu di Bangkok ialah 9.00 pagi, lewat 1 jam dari waktu Malaysia.

Lapangan terbang Suvarnabhumi di Bangkok

Sebaik-baik mendarat sahaja di lapangan terbang Suvarnabhumi saya terus ke ruang pengumpulan bagasi. Proses imigrasi tidak memakan masa yang lama. Orang ramai di lapangan terbang. Ada banyak kedai-kedai, bank, mesin ATM, pengurup wang, pusat perubatan dan urut tradisional Thai di dalam bangunan yang beringkat-tingkat ini.

Bilik solat dengan tempat mengambil wuduk disediakan di tingkat 3. Sangat mudah mencarinya kerana terdapat papan tanda "Prayer Room" yang jelas. Medan selera pula di tingkat paling bawah. Di hujungnya ada gerai makanan halal.

Hidangan halal ini boleh didapati di medan makanan di Suvarnabhumi Airport

Pelbagai hidangan halal terdapat di medan selera di Suvarnabhumi Airport, Bangkok dengan harga di antara 35 -75 baht.

Surau yang  luas ini terdapat  bersebelahan dengan dewan perlepasan di Suvarnabhumi Airport

Don Meung Airport lapangan terbang untuk penerbangan kos rendah

Satu lagi lapangan terbangan di Bangkok ialah Don Mueang. Kalau menaiki Air Asia, inilah tempat mendarat dan berlepasnya. Lapangan terbang ini tidak menyediakan tempat solat dan tidak ada restoren halal.

Suvarnabhumi Airport


Di antara kedua-dua lapangan terbang ini Suvarnabhumi ialah lapangan terbang yang paling besar dan menyediakan banyak kemudahan. Jaraknya dari pusat bandar ialah 25 km.


Lapangan terbang Suvarnabhumi menyediakan laluan keretapi laju untuk ke pusat bandar

Di luar pintu mendarat saya disambut dengan "Swadeekrub" oleh pelajar saya bernama Piak. Piak ialah pelajar saya yang mengambil PhD di bawah seliaan saya. Dialah yang mengurus kunjungan rasmi saya di Bangkok.

...bersambung

Rabu, 5 September 2018

Merentas Sempadan Thailand Melalui Betong: Hari 2 ~ Dari Yala ke Pattani


P 
ada waktu pagi esoknya, masih memakai baju yang sama yang dipakai semalam kerana sehelai sepinggang sahaja, kami pun cari sarapan di pekan Yala. Jalan kaki dari hotel ke kedai makan tidaklah jauh. Belum sempat berpeluh, kami sudah sampai di kedai makan itu. Kedai itu letaknya di seberang jalan setesen keretapi. Terdapat banyak songthaew iaitu sejenis pick-up truck yang membawa penumpang.


Pekan Yala di waktu pagi



Stesen keretapi  Yala di seberang jalan


Sarapan di Yala


Saya perasan beberapa pasang mata memerhati kami apabila kami menjenguk masuk kedai makan itu. Mungkin mereka tahu kami orang luar. Barangkali jarang orang kita berada di situ. Setelah meninjau-ninjau apa yang ada di situ saya terus order. Tidak susah berkomunikasi di sini kerana mereka semua cakap Melayu loghat Kelate.

“Boi nasi dage so”, pinta saya.
"Lauk?" tanya Makcik ambil order.
"Ike aya so. Telur rebus sebutir," kata saya.
“Minum?” Tanya makcik yang ambil order itu.
“Milo kosong, sue” kata saya dengan yakin yang situ pun ada Milo.
“Sakor?” Tanya makcik ambil order itu
Terkebil-kebil mata saya, tidak faham.
"Nak taghoh sakor?"
??????? Terkebil-kebil lagi saya.
Menyedari saya tak faham, dia sendiri tukar perkataan tu kepada 
"Gulo. Gulo" kata Makcik tu.
“Oh…tak sir” kata saya.

Tak lama kemudian makanan yang diorder pun mendarat di meja. Dari bawah bumbung kedai tepi jalan itu saya menikmati pagi dengan nasi dagang berlaukkan ikan tongkol, telur rebus dengan berteman secangkir Milo O yang nikmat.  Abang Hubby pula makan roti canai dengan kopi O pekat.


Nasi dagang untuk sarapan di Yala


Pekan Yala dan Orang Melayu


Yala lebih besar pekannya berbanding dengan Betong. Banyak pasaraya, bank dan hotel di situ. Kebanyakan penduduk di sini orang Melayu (68%) dan beragama Islam. Menurut Kak Nah anak-anaknya yang bersekolah di situ mempelajari bahasa Melayu, Thai, Inggeris dan bahasa asing lain. Untuk mempelajari bahasa Melayu mereka perlu ke sekolah persendirian. Bahasa Melayu tidak dibenarkan di sekolah-sekolah kerajaan. Ramai generasi Melayu di selatan Thailand sudah tidak tahu berbahasa Melayu.

Mengikut sejarahnya Yala adalah sebahagian daripada empayar Tanah Melayu tetapi telah jatuh ke tangan kerajaan Siam pada tahun 1909 melalui Perjanjian Bangkok. Yala dan Pattani adalah wilayah Melayu yang telah hilang akibat penjajahan.


Yala dulunya milik Tanah Melayu


Kampong Mabae, Pattani  dan Baba (Tok Guru)


Kami telah berjanji dengan pemandu kami dan dia datang tepat pada waktunya malahan lebih awal. Waktu di situ lambat sejam.

Kami menaiki kereta menuju ke rumah Kak Nah di sebuah kampung. di daerah Pattani. Lupa dah saya nama kampungnya itu. Kak Nah sudah tersenyum menanti. Dia lalu duduk di sebelah saya dalam kereta. Kak Nah menunjukkan arah jalan yang mana patut kami pergi.

Kami pergi ke rumah Tok Guru kepada Kak Nah di Kampong Mabae.  Mereka gelar dia Baba. Baba adalah panggilan hormat kepada Tok Guru yang tinggi ilmu agamanya dan beramal soleh. Di situ terdapat banyak sekolah pondok untuk orang mengaji agama dan ada juga orang Malaysia yang menyumbangkan derma untuk pengajian pondok di situ.


Rumah Baba di Kampong Mabae, Pattani


Pekan Pattani


Setelah berbual dengan Baba dan keluarganya, kamipun pergi ke pekan Pattani. Sama seperti dari Betong ke Yala sepanjang jalan ke pekan Pattani ada sekatan jalan raya yang dilakukan oleh tentera. Kereta kami berhenti pada setiap sekatan itu. Tetapi tentera itu melepaskan kami pergi. Papantanda dengan gambar "penjenayah-penjenayah" yang dicari terpampang di tepi jalan. Mereka ini tidak sepatutnya dilabelkan sebagai penjenayah kerana mereka memperjuangkan hak Melayu dan Islam dari tangan Siam-Buddha. 

Kami sampai di pekan Pattani hampir tengahari. Pekan Pattani tidaklah besar sangat. Tetapi lebih besar dari pekan Yala.



Kedai-kedai di pekan Pattani

Kami melihat-lihat masjid, sekolah-sekolah, kawasan perumahan dan sungai yang terdapat di Pattani. Sambil itu Kak Nah bercerita tentang kejadian-kejadian ajaib yang berlaku di situ. Antaranya ialah ikan lumba-lumba yang berenang di sungai, keistimewaan wali-wali dan kekuatan masyarakat Pattani yang mempertahankan Islam walaupun dalam keadaan susah.


Masjid Sentral di pekan Pattani


Kedai kain di pekan Pattani


Kebanyakan papan tanda di Pekan Pattani menggunakan tulisan Thai



Pasar Tetwiwat


Kami dapat tahu yang sup perut/daging sedap di Pattani. Kak Nah membawa kami ke Pasar Tetwiwat. Pasat Tetwiwat ini mirip pasar Siti Khadijah di Kota Baru Kelantan kerana peniaganya ramai wanita. Untuk menuju ke tempat makan di Pasar Tetwiwat ini kami melalui gerai-gerai buah-buahan, makanan dan pakaian.




Pasar Tetwiwat  di pekan Pattani

Ramai peniaga wanita berniaga di Pasar Tetwiwat


Kami makan sup daging yang sangat sedap di situ. Makanannya sangat simple, tetapi rasanya sungguh NIKMAT.



Gerai sup daging/perut di Pasat Tetwiwat di pekan Pattani


Sup daging dimakan dengan nasi putih untuk makan tengahari


Lepas makan kami jalan-jalan di pasar. 


Kak Nah membeli buah limau di Pasar Tetwiwat


Keropok lekor yang dijual di gerai di Pasar Tetwiwat



Pejuangan Melayu di Selatan Thailand



Setelah seharian di Pattani, kamipun kembali semula ke Betong dengan pemandu yang sama. Kami rasa sangat bertuah kerana pemandu kami orang yang jujur dan sentiasa bersabar menemani kami.

Sepanjang jalan kami sentiasa menemui tentera yang membuat sekatan dan pada setiap sekatan kami berhenti untuk diperiksa. Tapi tentera itu cuma bercakap dengan pemandu kami lalu melepaskan kami pergi. Oleh kerana telah melalui terlalu banyak sekatan dan semuanya clear, perasaan bimbang dan takut tidak ada lagi. 

Saya masih tertanya-tanya sampai bilakah mereka akan melakukan sekatan ini? Adakah pejuang-pejuang Melayu di selatan Thailand akan mendapatkan kembali hak tanah dan ketuanan mereka yang telah hilang akibat penjajahan setelah berkurun lamanya? Adakah pemisahan wilayah-wilayah selatan Thailand ini akan berjaya?


Sempadan Thailand-Malaysia


Setelah sampai di sempadan Malaysia, kami ambil semula kereta kami yang ditinggalkan semalaman di situ. Kami cuma membayar RM100 untuk meletakkan kereta di situ. Kami senyum sebab kereta kami ok.

Betong selalu menawarkan ceritanya. Berkali-kali mengunjunginya, rasanya tak pernah bosan. Selalu ada cerita baru dalam setiap perjalanan saya di sempadan yang ada di hulu Perak ini.

Isnin, 16 Julai 2018

Merentas Sempadan Thailand Melalui Betong: Hari 1~ Dari Betong ke Yala


H   ujung tahun lepas saya ikut suami saya. Naik kereta, jalan-jalan, makan angin. Bukannya jauh, cuma di tempat sendiri – Kuala Kangsar ke Taiping. Selalu juga kami buat begini.

“Kita ke Betong?” ajak suami saya tiba-tiba.

Walaupun terkejut kerana tidak membuat persediaan apa-apa, saya setuju. Sehelai sepinggang sahaja saya.  

Pasport ada dalam kereta. Cuma passport suami saya akan tamat tempoh kurang dari 6 bulan. Tapi itu tidak menjadi masalah kalau masuk ke Thailand melalui Betong. Imigresen tak kisah soal itu.

Betong, kalau menyebut tempat ini orang akan membayangkan sebuah pekan di sempadan Thailand-Perak bersebelahan dengan Pengkalan Hulu (Gerik).

Perjalanan ke sempadan memakan masa tidak sampai 2 jam kerana kami bertolak dari Kuala Kangsar. Ketika itu sudah 6 petang.

Kereta kami letakkan di sebuah tempat letak kereta yang berdekatan dengan kawasan imigresen bahagian Malaysia. Lalu kami masuk ke sempadan Thailand dengan menaiki sebuah kereta sapu milik orang Malaysia. Kereta sapu ini kemudian berpatah balik ke sempadan Malaysia setelah selesai menghantar kami ke imigresen pandu lalu Malaysia.


Kereta sapu yang membawa kami ke imigresen 

Kemudian kami berjalan kaki sedikit menuju kompleks imigresen Thailand. Di kawasan imigresen itu tiada ramai orang. Kami sahaja orang yang beratur di kaunter untuk mengecop pasport. Jadi urusan mengecop pasport dibuat sekelip mata sahaja.

Kami singgah sebentar untuk buang air di tandas dalam kompleks imigresen Thailand itu. Tapi malangnya, bekalan air tiada. Susah juga kami hendak mencari air untuk beristinjak. Mujurlah ada sedikit titisan air dari paip sebelah tandas lelaki. Kami pun kongsi air yang tak sampai setengah botol dengan beberapa orang di situ.





Laluan masuk kompleks Imigresen Betong


Setelah mengecop passport, kami pun melepasi sempadan Thailand dengan mudah. Pemandu-pemandu kereta sapu Thai sudah menunggu di sempadan. Kami memberitahu mereka yang kami hendak ke Betong kemudian ke Yala dan Pattani. Seorang lelaki Melayu Thai yang muda menerima kami dan membawa kami ke destinasi kami setelah berunding dengan harganya. Harga yang dirunding ialah RM350 untuk perjalanan pergi dan balik: Betong - Yala - Pattani.


Dua kali mengunjungi Betong, belum lagi saya bosan. Ada saja hal baru yang saya dapat dalam setiap perjalanan. Sepuluh tahun dulu, saya  dengan 4 keluarga saya ke Betong untuk bercuti. Kami menginap di chalet di Pengkalan Hulu. Salah satu agendanya adalah mandi air panas dan shopping di sempadan Thai. Pada masa itu sempadan Thai di sini ada kawasan bebas cukai yang seronok untuk membeli-belah, tetapi siapa sangka sekarang tidak lagi. Sunyi. Inilah yang saya rasakan apabila melalui kompleks beli-belah itu di sebelah sempadan Siam.


Kawasan beli-belah bebas cukai di sempadan Thailand yang sunyi


Kereta yang kami naiki itu bukanlah kereta baru, cermin tingkapnya pun gelap dan tintednya sedikit tercalar, jadi tak dapat saya tengok pemandangan dengan jelas. Tetapi kereta itu ada air-cond, jadi tidaklah lemas kami di dalamnya. 

Tak lama kemudian kami sampai di pekan Betong. Pekan Betong ini kecil.  Terdapat juga kereta Myvi di situ. Komuniti di sini bercampur di antara orang Melayu, Cina dan Siam.

Kedai-kedai di pekan Betong


Kami hendak tukar ringgit ke Bhat. Pemandu itu membawa kami ke sebuah kedai runcit untuk menukar wang. Tuan punya kedai  itu orang Cina dan dia bercakap dialek Hokkien. Apabila kami masuk ke dalam kedai, kedai itu gelap ~  tidak berlampu. Kenapa? 

Black-out rupa-rupanya! Tiada bekalan elektrik pada hari itu. Kami mendapat tahu bahawa ada kejadian pengeboman sebuah bas di Betong pada hari itu.  Pengeboman itu membuatkan seluruh Betong ketiadaan bekalan elektrik. Jadi mereka sudah bergelap sejak semalam. Salah timing, rupanya kami ni. Kejadian pengemboman sering berlaku di Selatan Thailand, pengeboman paling muktahir baru sahaja berlaku semalam!

Duit seribu ringgit jadi 7500 baht bila dah ditukar! Terasa sangat ringgit jatuh merundum! Tak bolehlah nak shopping sakan di sini sebab harga barang-barang pun saya tengok lebih kurang sama dengan harga di Malaysia.


Pekan Betong yang black out hari ini. Kelihatan peti pos lama berusia 90 tahun di simpang jalan


Setelah melepasi pekan Betong, kami menuju ke Yala. Perjalanan kami melalui jalan-jalan yang berliku-liku dan  turun-naik kerana banyak gunung. Banyak kampung-kampung, hutan-hutan kecil dan kebun-kebun getah. Kadang-kadang melalui pekan-pekan kecil. 

Terdapat tentera-tentera beruniform di pos kawalan tepi jalan dan membuat sekatan. Mereka memegang rifle M-16 dengan berpakaian celoreng. Menengokkan mereka berpakaian begitu, perasaan takut pun ada, nak tangkap gambar mereka apa lagi.  Kereta kami berhenti pada sekatan itu. Perasaan bimbang menghantui saya. Adakah kami orang luar akan disoal siasat? Tentera yang menahan bertanya pada pemandu kami dalam bahasa Thai dan kemudian membenarkan kami meneruskan perjalanan. Saya dan suami langsung tak disoal siasat. Pasport kami pun langsung tak diminta tengok. 

Banyak juga sekatan tentera ini sepanjang perjalanan dari Betong ke Yala. Boleh dikatakan pada setiap 6-10 km terdapat pos kawalan dan sekatan ini. Berpuluh-puluh pos kawalan  kami lalui sehingga membuat kami tertanya-tanya. Menurut pemandu kami, mereka sedang mencari penjenayah. Gambar penjenayah itu terpampang di tepi-tepi jalan. Penjenayah itu orang Islam, orang Melayu Thai. Mungkin mereka ini gerakan pemisah Pattani yang telah beroperasi lama sejak 2004.
.
Kami berbua-bual dengan pemandu kami itu. Katanya dia berasal dari Pattani, bekerja sebagai pemandu kereta dan menurutnya ramai orang Melayu Siam di situ dicari oleh tentera kerana dianggap penjenayah. Tetapi penjenayah itu sukar ditemui kerana mereka bersembunyi di kampung-kampung dan dilindungi oleh orang kampung.

Kami melalui jalan yang dikatakan tempat bas dibakar itu iaitu di jalan Ban Kasod di daerah Banang Sata (Benang Setar). Jalannya agak sunyi, besebelahan dengan kebun-kebun getah.

Di pekan Benang Setar kami melihat ada beberapa sekolah. 

"Inilah sekolah saya," kata pemandu kereta kami sambil menunding jarinya ke arah sebuah sekolah Tahfiz. 


Tempat mengisi petrol dalam perjalanan dari Betong ke Yala


Perjalanan 140 km dari Betong ke Yala itu mengambil masa hampir 3 jam. Kami sampai di Yala pada pukul 9 malam. Terus kami check-in hotel. Hotel Yala Rama yang kami pilih. Kami berjanji dengan pemandu kami untuk ke Pattani pagi esoknya. Dia lalu mencari bilik kawannya untuk menginap yang tidak berjauhan dari situ.

Hotel kami ini berharga 180 ringgit semalam. Hotel itu ok ok saja. Sempoi sangat. Keadaan dalam hotel tu bagi saya tak padan dengan harganya.



Yala Rama Hotel di pekan Yala



Bilik yang sempoi, tapi mahal



Harga bilik hotel di Yala yang tidak padan dengan kemudahan yang diberikan


Sebenarnya kami ada seorang kenalan orang Thailand yang sudah berkahwin dengan orang Kuala Kangsar, tetapi pulang sebentar ke Yala untuk melihat ibunya yang sakit. Kami panggil dia Kak Nah. Kak Nah kemudiannya datang dengan anak lelakinya menaiki motorsikalnya mencari kami di hotel. Kak Nah menganggap kami berani kerana datang ke Yala ketika kejadian pengemboman.  "Berani betul datang Betong time ni," katanya.




Pekan Yala


Kami kemudiannya keluar makan bersama. Oleh kerana sudah malam, kedai sudah tutup. Cuma terdapat beberapa buah kedai makan sahaja yang buka.

Kamipun menjamu selera dengan masakan asli Thailand: Tomyam putih, telur dadar, sambal belacan dengan timun, dan masak petai. Sungguh enak masakannya. 



Makan malam kami di Yala



Kami makan malam dengan masakan Thai bersama Kak Nah di sebuah kedai makan di Yala

Setelah berbual-bual panjang dengan Kak Nah dan anak lelakinya, kamipun pulang ke hotel. Kak Nah pula pulang ke rumahnya di Pattani. Esok pagi dia hendak bawa kami jalan-jalan di Pattani.

...bersambung

Baca juga:
Merentas Sempadan Thailand ke Danok

Khamis, 7 Jun 2018

Umrah 2017| Apa Yang Patut Dibeli Di Mekah?

Sudah lama blog ini bersawang. Kisah di tanah sucipun masih ada yang belum diceritakan.  Mungkin ada yang sudah lupakan saya. Janganlah begitu ya. Disebabkan terlalu sibuk, saya terpaksa menumpukan perhatian pada tugas saya itu. Tapi hari ini saya rasa nak kembali menulis, nak  sambung balik kisah di  Tanah Suci.

Kali ini saya nak beri panduan kepada yang hendak membeli-belah di Mekah.

Kedai-kedai yang terdapat di hadapan hotel-hotel sejarak 400 km dari Masjidil Haram


D  i Mekah terdapat banyak kedai dan banyak pilihan. Kedai-kedai itu terdapat di sekeliling Masjidil Haram dan sepanjang jalan menuju hotel-hotel yang berdekatan.

Janganlah anda risau kalau tidak tahu berbahasa Arab. Tawar menawar bukanlah menjadi masalah kerana kebanyakan peniaga-peniaga di sini sudah mahir berbahasa Melayu.

Jadi, apakah yang patut anda beli di Mekah?


Sejadah


Sejadah patutlah anda beli. Ia boleh dijadikan hadiah, hantaran perkahwinan atau kegunaan sendiri. Kebanyakan sejadah ini dibuat di Turki. Ada juga dari Pakistan dan China. Ada macam-macam corak dan warna. Ada yang berbunga. Ada juga yang mempunyai corak bangunan seperti menara, kubah dan gerbang.  Ada yang dibuat daripada polyester, sutera dan kain baldu.

Harganya dari 20 rial hingga 120 rial bergantung kepada bahan buatannya.



Perhiasan dinding


Kedai ini menjual sejadah dan perhiasan dinding dari 20 rial hingga 100 rial




























Perhiasan dinding atau gegantung yang dibuat daripada kain juga boleh dibeli. Ada yang bergambar masjid, Kaabah dan bertulis ayat-ayat Al-Quran. Harganya antara 25 rial hingga 120 rial bergantung kepada saiz dan bahan buatannya.



Minyak wangi



Minyak wangi mudah didapati di kedai-kedai di hadapan Masjidil Haram


Minyak wangi juga digemari oleh jemaah untuk dibawa pulang.

Kosmetik seperti bedak Arab, celak dan inai juga menjadi kegemaran jemaah wanita.


Tasbih


Tasbih dan batu permata yang dilonggokkan di atas meja di luar Masjid Hudaibiyah


Tasbih daripada pelbagai bahan kayu, biji kurma hingga ke batu permata juga banyak terdapat di kedai-kedai di sekitar Masjidil Haram. Harganya juga berbeza-beza mengikut bilangan biji dan bahan buatannya dari 1 rial hinggalah 100 rial seutas.



Cincin Permata



Cincin dan barang kemas


Cincin dari suasa, perak, emas dan berlian juga boleh didapati di kedai-kedai  di Mekah.



Gum Arabic


Gum Arabic dijual di sini

Gum Arabic digunakan untuk kesihatan dan ia dijual dikedai-kedai yang terdapat di sekitar Masjidil Haram. Ada yang siap dibungkus dan ada juga yang diceduk lalu ditimbang mengikut permintaan. Yang dibungkus berharga 25 rial untuk 100 gram dan yang ditimbang berharga 50 rial sekilogram.



Selipar


Selipar yang dipamerkan di kaki lima kedai

Selipar amat perlu dipakai ketika berjalan kaki di Mekah. Terdapat banyak jenis selipar yang dijual di Mekah dan anda boleh pilih mengikut kesukaan.


Jubah


Pelbagai jenis jubah di pusat membeli-belah di hadapan Masjidil Haram



Jubah juga banyak dijual di Mekah dan kualitinya baik dan harganya juga berbeza-beza mengikut bahannya. Ia berharga di antara 60 rial hingga 2,000 rial.



Kekacang



Buah-buahan kering dan kekacang dijual di atas lori kecil di halaman Masjid Jaaranah

Kalau anda tidak tahu apakah judahan untuk dihidangkan kepada tetamu yang menziarahi anda sebaik-baik sahaja pulang dari Tanah Suci, belilah kacang. Kacang pistachios, kacang kuda, walnut, badam dan biji gajus boleh didapati dengan mudah di Mekah.

Kudapan seperti muruku 


Pelbagai pilihan kacang dan kudapan


Buah-buahan kering


Buah Tin boleh membantu mengurangkan tekanan darah tinggi. Di dalam Al-Quran terdapat sebuah surah yang dinamakan dengan nama buah ini, iaitu Surah At-Tin.

Ramai ulamak menggalakkan pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya ingatan

Kurma kering boleh didapati dengan banyak di pasar Kakiah

Sejak dari dulu jemaah yang pulang dari Mekah, biasanya membawa pulang buah-buahan kering seperti buah tin, kismis dan kurma. Tidak lengkap rasanya kalau pulang ke tanahair tanpa membawa buah-buah yang menjadi makanan sunnah ini.


Buah-buahan segar



Buah delima dijual di tepi masjid Jaaranah. Buah delima boleh memberi zat dan menyegarkan badan


Buah-buahan segar dan berkhasiat yang patut anda beli ialah delima, peach, anggur, pisang, mangga, ceri, strawberi dan epal.


Gerai buah-buahan di Pasar Kakiah


Pengurup Wang


Kaunter pengurup wang ini terdapat di Kompleks membeli-belah di hadapan pintu No 1 Masjidil Haram


Sekiranya ingin menukar wang ringgit kepada rial anda boleh lakukan di kedai-kedai Money Changer yang terdapat di kompleks membeli-belah di hadapan Masjidil Haram.



...bersambung


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...