Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 4 Disember 2018

Terbang dengan Thai Airways

S ebelum ini ke Bangkok saya naik MAS atau Air Asia. Tapi kali ini perjalanan saya berlainan sebab saya naik penerbangan rasmi Thai iaitu Thai Airways. Bukan senang untuk dapat peluang ini. Ini disebabkan saya diundang untuk urusan rasmi oleh sebuah universiti di Bangkok iaitu Silpakorn University. Polisi universiti ini mensyaratkan mereka membiaya penerbangan tetamunya hanya dengan menggunakan penerbangan rasmi negara.

Penerbangan saya bermula dari Pulau Pinang pada 8.00 pagi.

"Swadeekap"

"Swadeekap" sapa pramugari yang berpakaian jingga sedondon ketika saya melangkah masuk ke pesawat yang berlogokan kelopak bunga magnolia itu. Dengan tagline "Smile", mereka sentiasa tersenyum lalu memberi tempat duduk menghadap tingkap kepada saya. Dapatlah saya melihat pemandangan Pulau Mutiara dan Selat Melaka di bawah sana sambil mendengar pengumuman dari ketua pramugara.

Pemandangan Pulau Pinang dan Selat Melaka dari jendela Thai Airways pada awal pagi

Saya mulakan sarapan dengan memakan sepotong tembikai, nenas dan honeydew. Sepotong tuna sandwich dan lasagna yang ringkas terasa sangat nikmat apabila disantap di atas ketinggian. Saya tak perlu risau kerana ini adalah special menu untuk orang Islam. Untuk makanan halal ini saya sudah pesan awal-awal semasa pihak Silpakorn University membuat tempahan tiket saya. Saya menghirup kedinginan jus oren sambil melihat langit biru dan awan putih berkepul-kepul di luar jendela.

Muslim Meal (MOML) yang dihidangkan oleh Thai Airways

Oh..belum sempat sendawa, ketua pramugara mengumumkan yang kapal terbang akan mendarat tak lama lagi. Bukan jauh perjalanan saya ini, cuma 1 jam 40 minit sahaja. Waktu ketika itu di Bangkok ialah 9.00 pagi, lewat 1 jam dari waktu Malaysia.

Lapangan terbang Suvarnabhumi di Bangkok

Sebaik-baik mendarat sahaja di lapangan terbang Suvarnabhumi saya terus ke ruang pengumpulan bagasi. Proses imigrasi tidak memakan masa yang lama. Orang ramai di lapangan terbang. Ada banyak kedai-kedai, bank, mesin ATM, pengurup wang, pusat perubatan dan urut tradisional Thai di dalam bangunan yang beringkat-tingkat ini.

Bilik solat dengan tempat mengambil wuduk disediakan di tingkat 3. Sangat mudah mencarinya kerana terdapat papan tanda "Prayer Room" yang jelas. Medan selera pula di tingkat paling bawah. Di hujungnya ada gerai makanan halal.

Hidangan halal ini boleh didapati di medan makanan di Suvarnabhumi Airport

Pelbagai hidangan halal terdapat di medan selera di Suvarnabhumi Airport, Bangkok dengan harga di antara 35 -75 baht.

Surau yang  luas ini terdapat  bersebelahan dengan dewan perlepasan di Suvarnabhumi Airport

Don Meung Airport lapangan terbang untuk penerbangan kos rendah

Satu lagi lapangan terbangan di Bangkok ialah Don Mueang. Kalau menaiki Air Asia, inilah tempat mendarat dan berlepasnya. Lapangan terbang ini tidak menyediakan tempat solat dan tidak ada restoren halal.

Suvarnabhumi Airport


Di antara kedua-dua lapangan terbang ini Suvarnabhumi ialah lapangan terbang yang paling besar dan menyediakan banyak kemudahan. Jaraknya dari pusat bandar ialah 25 km.


Lapangan terbang Suvarnabhumi menyediakan laluan keretapi laju untuk ke pusat bandar

Di luar pintu mendarat saya disambut dengan "Swadeekrub" oleh pelajar saya bernama Piak. Piak ialah pelajar saya yang mengambil PhD di bawah seliaan saya. Dialah yang mengurus kunjungan rasmi saya di Bangkok.

...bersambung

2 ulasan:

  1. Naik penerbangan premium memang best sebab semuanya dah termasuk dalam tambang... tak payah nak top up bagai... tapi kalau di sponsor lagilah best...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau nak top up pun mungkin beli souvenir item yang dijual oleh syarikat kapal terbang tu.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...