Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 12 Oktober 2012

Backpack Ke Mongolia Dalam (1): Permulaan Kembara Yang Amat Mengujakan


M ongolia Dalam atau Inner Mongolia adalah destinasi kembar sya berikutnya di China. Saya backpack ke sana. Perancangannya singkat. Terus ambil beg galas dan naik keretapi. Hotel akan dicari apabila sampai nanti. Tempat-tempat yang dijelajahi akan dicari sendiri - DIY (do it yourself). Beraninya tanggung risiko!

Kembara yang berani ini bukan saya lakukan secara solo. Tapi ada teman. Bukan berdua. Bukan bertiga. Tapi berlima.

Marilah berkenalan dengan 4 backpackers yang lain itu: Syafiqa, Asrul, Adi Putra dan Najibah. Syafiqa dan Asrul saya kenal semasa beraya di Masjid Niu Jie baru-baru ini. Melalui perkenalan di hari yang mulia dan di tempat yang mulia itu melahirkan bibit-bibit persahabatan yang mulia. Kental. Sekental perjalanan ke Mongolia Dalam yang adventurous, audacious dan lain dari yang lain.





Syafiqa dan Asrul siswa Universiti Malaya. Syafiqa ambil Sains. Asrul pula ambil Kejuruteraan. Datang ke Beijing untuk belajar bahasa China 3 bulan dan menjalani latihan amali 3 bulan. Mereka memperkenalkan saya dengan Adi Putra, seorang siswa Universiti Peking dalam bidang Kesusasteraan. Najibah siswa Multimedia dari UPSI, datang ke Beijing juga untuk belajar bahasa China dan menjalani latihan amali. Mereka semua adalah remaja aktif. Saya pula OTAI, dah nak masuk kategori warga emas, kura-kurapun boleh menang kalau lumba jalan kaki dengan saya he... he... he...Tapi apa salahnya kan? Kalau sudah serasi, usia tidak mengenal erti persahabatan.

Persediaan Sebelum Backpacking


Singkat tapi penuh persediaan, backpacking kami itu diatur dan disusun 'itinerary'nya oleh Adi Putra. Itinerary itu diedarkan melalui emel masing-masing. Kalau ada cadangan atau bangkangan dipersilakan. Pertemuan dan mesyuarat diadakan di Universiti Peking.

Kami beli tiket bersama-sama di pejabat tiket di Universiti Peking. Untuk membeli tiket kali ini tidak ada masalah langsung, tidak seperti ketika saya ke Xian tempoh hari. Tiket kali ini ada banyak. Kami terus boleh dapat tiket untuk esok hari, 27 Ogos 2012. Semua urusan pertanyaan tiket dibuat oleh Adi Putra yang fasih berbahasa China (Mandrin Beijing). Kami terus dapat tiket pergi-balik. Tiket dari Beijing ke Hohhot berharga 92.00 yuan  (RM46) dan dari Hohhot ke Beijing pula 73.00 yuan (RM36.50). Bila dah dapat tiket di tangan, rasa macam tak percaya pula kami akan berangkat petang esok.


Universiti Peking, universiti pertama di China

Sempat juga kami membuat lawatan ke kampus Universiti Peking iaitu universiti tertua di China. Adi Putra bawa kami ke muzium sejarah di situ. Dia yang menjawab semua pertanyaan kami. Dengan melawat muziumnya membuat kami faham sejarah universiti itu yang telah melahirkan para cendiakawan yang tersohor.

Habis melawat muzium dan kampus Universiti Peking, kami kemudian membeli makanan halal seperti roti dan frankfurter di pasaraya di Universiti Peking untuk bekalan dalam kembara kami itu.

Kami duduk berbincang dan merancang backpacking kami itu di meja makan di sebuah restoren halal yang ada di Universiti Peking. Banyak tempat menarik yang ingin kami terjah. Banyak budaya yang kami ingin pelajari. Banyak pengalaman menarik menanti kami! Menunggang kuda di padang rumput, menunggang unta di padang pasir, berkhemah cara nomad Mongol, menyaksikan matahari terbenam di ufuk Barat, menerjah kota Muslim Hohhot adalah highlight dalam eskursi kami!

Niu ro lam mien halal adalah menu kegemaran kami di China. Restoren halal ini terdapat dalam kampus Universiti Peking.

Masa makan dan berbincang itu kami diberitahu bahawa Duta Besar Malaysia ke Beijing menjemput rakyat Malaysia di Beijing untuk makan malam sempena hari raya pada malam itu. Kami semua bercadang untuk ke situ malam itu lepas habis berbincang nanti.

Oleh kerana sudah petang dan perjalanan pulang ke rumah saya di Chaoyang agak jauh, saya terus mengikut Syafiqa ke asramanya di Universiti Sukan untuk bersiap dan bertolak dari sana. Menerima jemputan 'tergempak-tetiba' tu memanglah tak bersedia. Najibah beri saya pinjam baju kurungnya untuk ke majlis makan malam itu. Malam itu saya ke Rumah Duta Besar Malaysia itu dengan baju kurung pinjam he he he.. syyy jangan habaq kat orang no..?

Kenapa pulak saya tetiba cerita pasal baju kurung pinjam ni? Tak ada kena mengena dengan topik. Ada. Sebenarnya ada. Baju kurung pinjam ni ada hikmahnya. Ada kebaikan pada pemberi pinjamnya. Hikmah itu  tidak nampak pada hari itu. Tapi terserlah di hari lain dan akan diceritakan nanti dalam episod "Backpacking ke Mongolia Dalam (2)" akan datang.

Majlis makan malam sempena hari raya di Rumah Duta Besar Malaysia di Beijing




Mongolia Dalam Itu Di Mana?


Eeeee....kami rasa super excited dan tak sabar untuk backpack esok hari ke Mongolia Dalam.

Mongolia Dalam (Inner Mongolia) ini di mana? Maklumlah China ni negara yang besar. Saya pun sendiri baru mengenalinya. Kalau saya tak ke sini mungkin sampai mati saya tidak kenal Mongolia Dalam. Baiklah murid-murid, ini "cikgu Geografi" yang baru grad nak tunjukkan petanya...he..he..he.

Yang warna merah jambu tu ialah Mongolia Dalam. Peta ini diambil dari www.chinamaps.org




Secara ringkasnya Mongolia Dalam adalah wilayah Autonomi. Ia bersempadan dengan Rusia dan Mongolia (Luar). Ia terletak di utara China, tidak berjauhan dari Beijing dan berjiran dengan provinsi Gansu, Ningxia, Shaanxi, Shanxi, Hebei, Xinjiang, Liaoning dan Jilin.

Seperti provinsi China, sesebuah wilayah Autonomi mempunyai kerajaan sendiri. Secara teorinya mempunyai rang undang-undang sendiri. Sesebuah wilayah Autonomi mempunyai entiti golongan etnik minoriti yang ramai. Terdapat lima wilayah Autonomi di China: etnik Uyghur di Xinjiang, etnik Mongol di Mongolia Dalam, etnik Tibet di Tibet, etnik Hui di Ningxia dan etnik Zhuang di Guangxi.

Haipp! Jangan tidur murid-murid! Nampak tak rotan kat tangan cikgu ni?


Beijing dan Hohhot dalam peta. Peta ini pun saya kidnap dari www.chinamaps.org


Untuk lebih terperinci sila lihat peta ini:



Pertemuan di Stesen Keretapi Beijing Barat (Beijing Xi)


Esok petangnya kami bertemu di Stesen keretapi Beijing Barat (Beijing Xi). Keretapi bertolak pada pukul 8.48 malam dan kami sudah sedia berada sebelum waktunya walaupun terpaksa melalui dugaan tukar-tukar keretapi bawah tanah (subway) dan bas dan menempuh kesesakan jalanraya sebelum sampai.

5 backpackers bergambar di hadapan stesen keretapi Beijing Xi dengan perasaan "super excited"

Di stesen keretapi kami beratur di dewan menunggu. Sedang kami menunggu kami lihat ada 3 orang lelaki yang turut menunggu di satu barisan lain. Mereka memakai kopiah putih. Wajah mereka suci, sesuci lebaran. Sudah pasti mereka itu Islam. Mereka kelihatan tertarik melihat kami lalu mereka menggamit-gamit kami untuk berbaris bersama. Kamipun pergi ke tempat mereka.

Maka perkenalan pun terjalin. Tukar menukar nombor telefon pun dilakukan. Asrul ambil nombor mereka. Tidak kurang juga mereka memberi kami makan buah tamar China yang segar dan enak. Rupa-rupanya mereka juga mahu ke destinasi yang sama: Hohhot iaitu ibu kota Mongolia Dalam.

Kami kata, "Kami akan ke Masjid Besar di Hohhot."
"Kamipun." kata lelaki bertiga (Trio-bro) itu.
"Kalau gitu telefon kami bila sampai di Hohhot nanti. Kami akan bawa awak semua ke masjid itu," pesan Trio-bro itu.

Yang berkopiah putih itulah Trio-bro yang kami jumpa di stesen keretapi Beijing Barat semasa menunggu untuk ke Hohhot, Mongolia Dalam


Dalam Keretapi-sesak-penumpang


Di dalam keretapi kami dapat duduk setempat. Tetapi brother bertiga (trio-bro) tadi tu duduk di gerabak lain. Kami terpisah.

"Subhanallazi saqorolana haza wama kunnalahu mukrini nawainna ila robbina lamun qalibun", kami menadah tangan berdoa secara jemaah sebaik sahaja kami melabuhkan punggung di kerusi gerabak keretapi kelas marhaen itu.

Di luar jendela keretapi saya dapat lihat Tembok Besar Negeri China yang berliku-liku, naik-turun serta tersergam di atas gunung-ganang.


Tembok Besar Negeri China tersenarai sebagai salah satu keajaiban dunia tapi telah mengorbankan ribuan nyawa

Tetapi, ya Allah, keadaan dalam keretapi itu amatlah sesak! Penumpang ada yang berdiri, tidak dapat tempat duduk. Kesian.

Oleh kerana kami ini barangkali nampak ganjil dari kacamata orang China, maka kehadiran kami yang janggal itu mendapat perhatian orang ramai. Ramai penumpang asyik tengok-tengok kami. Mereka nak tegur tapi malu agaknya.

Tiba-tiba, brother bertiga (trio-bro) tadi tu datang mencari kami. Gembiranya kami bila mereka datang mencari kami. Penumpang yang lain hairan melihat ada orang yang kenal kami. Brother tu cakap China, tapi apakan dayaku, kelu lidah untuk berkata, saya senyum saja. Tetapi 4 backpackers yang lain tu bukan main rancak berbual sebab mereka tahu cakap China. Lebih-lebih lagi Adi Putra yang dahulunya belajar di sekolah Cina di Malaysia. Untunglah...Saya saja yang ketinggalan hu.. hu hu...Kalau saya boleh cakap China tentu banyak topik yang boleh saya bualkan, kan?

Lepas seorang demi seorang penumpang datang ke kerusi kami, mengerumuni kami, turut tumpang sekaki menyertai perbualan kami.  Ramai yang bertanya macam-macam soalan pada kami.

Soalan lazim (FAQ): "Mengapa pakai tudung?"

Maka Trio-bro tu beritahulah yang kami semua orang Islam. Sempat juga brother bertiga tu berdakwah dan menyampaikan ceramah agama kepada penumpang keretapi kelas marhaen itu. Semasa kami solat dalam keretapi, mereka semua perhatikan kami tanpa mengelipkan mata sesaatpun. Agaknya apa ada dalam minda mereka ya?


Ada penumpang yang tidak dapat tempat duduk walaupun bayarannya sama dengan penumpang yang dapat tempat duduk


Di dalam keretapi kami makan makanan yang kami bawa dari rumah. Saya dah masak nasi goreng petang tadi. Ada mee segera halal yang dibeli Asrul di stesen keretapi Beijing Barat petang tadi lalu direndamnya dalam periuk rice cooker paling murah yang pernah saya beli. RM25 je rice cooker itu saya beli di Chaoyang, pasar dekat rumah saya. Asrul guna air panas yang tersedia dalam keretapi untuk rendam mee segera keras itu. Inilah habuan kami. Walaupun mee segera keras yang pertama kali dicuba itu tidak kembang dan tidak menjadi, kami balun juga kerana keenakan makanan ini lebih terasa bila makan secara berjemaah.

Perjalanan memakan masa 10 jam untuk sampai ke Hohhot, ibu kota Mongolia Dalam. Keadaan keretapi yang sesak dan tandas yang dot dot dot .....tak sanggup saya cerita.... menjadi mimpi ngeri kami. Namun kami tutupkan mata dan hidung memasukinya. Kata nak hidup cara China marhaen, macam inilah kan. Kesian pada kaum Hawa yang datang bulan... hu hu hu....

Hai nasib baiklah saya tak tahu cakap China. Kalau tidak lama dah berdensing telinga rakyat China pengguna tandas keretapi kelas marhaen tu dek leteran saya.

Pemandangan dari jendela keretapi di waktu matahari terbit dalam perjalanan ke Hohhot

Kami tidur di dalam keretapi sehingga waktu subuh. Di pagi hari, apabila saya sedar, saya menjenguk ke ruang persegi jendela keretapi kelas marhaen itu. Gunung-ganang berbanjar teguh diselimuti kabus di kejauhan. Sang Suria mengintai-intai dengan tersipu-sipu dari balik gunung. Sungai-sungai mengalir lesu enggan menyelak selimut kabus bagaikan bayi yang tidak puas tidur. Pepohon jagung yang melar, bebunga matahari yang membengkar dan bebatang gandum yang merimbun meliang-lintuk dibuai bayu pagi yang dingin, mengembalikan nostalgiaku pada padang rumput prairie di Amerika Syarikat. Rumah batu-bata dan bangsal kuda milik petani nampak sayup, halus, terpencil tapi tenang di ladang yang melaut luas itu. Subhanallah. Cantik!

"Tidak lama lagi keretapi akan tiba di Hohhot," saya menduga.

Banyak tempat yang akan kami rejah: menunggang kuda dan bermalam di khemah yurt ala normad Mongol, menyaksikan matahari terbenam dan terbit di padang rumput Xilamuren, bermandikan peluh dengan kepanasan siangnya tetapi terpaksa berbaju tebal menahan kedinginan malam yang mendadak, menunggang unta dan berlemos dengan debu pasir di gurun Kubuchi....aah banyak lagi yang ingin dinikmati. Super excited! Teruja amat!

Sampaikah kami ke Hohhot? Ikutilah kembara 5 backpackers ke Mongolia (Dalam) dalam entri yang akan datang.

...bersambung

22 ulasan:

  1. Salam Yong Prof

    Wow.....best nyer.....

    tandas dalam keretapi kelas marhaen
    yer..mmm...samalah masa keme kat egypt...dari Cairo ke Aswan 13 jam...begitu lah keadaaannya yang tak mampu nak diceritakan....
    kena sabor bebanyak...kan......tobat tak mau naik dah...hahaha....

    kali ni mesti best pengembaraan Prof sebab ada translator dan senang nak berkomunikasi dengan penduduk dan rakyat china....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Walaikumusalam Yong Aku Seorang Pengembara,
      Bab tandas tu memang paling tak best. Kena sentiasa buat persedian dengan peralatan beristinjak. Dema mana ada semua tu. Ayo pun tak mandang. Sabor je le.

      Oh di Mesir pun macam tu jugak ek?

      Alhamdulillah kali ini ada translator bergerak nyemedang he he he tak ada dema payahlah sikit. Tak ada dema backpacking ni tak semenarik ini.

      Padam
  2. Wahhh! Naik keretapi ni boleh tgk Tembok Besar China? Kena duduk sebelah mana dpt pemandangan tu? Tempat duduk boleh tempah atau kira siapa cepat dia dapat?

    I'm excited already to read more about this trip.

    BalasPadam
    Balasan
    1. @R.a.W,
      Naik keretapi ni dapat tengok Tembok Besar sebab dia lalu di kawasan situ. Duduk di sebelah mana-manapun boleh sebab Tembok Besar ada di kiri kanan, tapi paling best duduk sebelah kiri.

      Masa kami beli tiket tu ada tempat duduk, dah tanya siap-siap. Mungkin kalau kami lambat beli hari tu, tak ada tempat duduk. Tiket tu pula tak boleh tempah awal-awal. Biasanya 7-10 hari sebelum pergi tu baru buka untuk tempahan.

      Excited? He he he...tunggu ya...coming soon :)

      Padam
  3. Salam Kak, saya tak sabar nk tunggu entry ni, sebab saya sendiri dh study pasal inner mongolia ni, saya sangat2 teruja untuk entry ni.

    Argggh toilet train kotor sgt ke? saya memang fobia toilet kotor2 ni, xkisah la kt mana skali pun..haihhhhhhh

    (akak cepat update ye!!)

    BalasPadam
    Balasan
    1. @BlueEwoke,
      Salam kembali. Wahh BlueEwoke pun nak pergi Inner Mongolia? :) Ok nanti bacalah entri-entri akan datang ni ya. Kot kot bermanafaat utk ke sana nanti.

      Toilet memang sangat sangat kotor. Eeee...Phobia! BlueEwoke kena bawa toilet paper sendiri, air sendiri, cebuk sendiri, etc.

      Tapi kalau tak sanggup toilet macam tu, BlueEwoke boleh naik train yang ada bilik (soft sleeper). Yang itu rasanya ok kot...Yang Akak naik ni 3rd class/low class punya he he he.

      Padam
  4. Wah bestnya. seronok kan kalau jumpe geng sama kepala. Tak sabar nak tau sambungan seterusnya. Sila ..sila..

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Janggel/Rain,
      Alhamdulillah dapat jumpa geng satu kepala. Kalau tidak tak menjadi trip ni he he he...terperok kat rumah jelah. Insya-Allah akan sambung cerita ni dlm masa terdekat. Terima kasih ya sebab tunggu. :)

      Padam
  5. omg!!! bestnyaaaa!!! tak sabar nak baca! #untungla duk kat china, besar sunnguuh kat cover negara2 kat kawasan sekeliling tuh! stay safe akak! ;)

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Danny/John,
      OMG alhamdulillah memang BEST! Ada lagi best akan menyusul nanti. Akak naik kuda, unta, macam-macam yang lain dari yang lain. Danny kena baca nanti tau :D

      Padam
    2. InsyaALLAH... untungnya akak ni ye. mcm2 dah naik. ni baru nampak gambar. kat ofis tak kuar pulak gmbr. akak upload gmbr kat photobucket ye? bukan kat blogger?

      Padam
    3. @Danny/John,
      Ya, akak upload gambar dari photobucket. Danny tak dapat tengok gambar ini kalau buka di ofis? Tapi kalau buka di rumah boleh ya?

      Akak tak tahu macam mana caranya nak bagi keluar gambar ini walau di mana Danny berada...boleh tolong akak tak?

      Padam
    4. akak upload dari blogspot saja pun boleh, senang org nk tgk gambar hehehe..cer try cer try..mest danny boleh tgk pas nih hehehhe

      Padam
    5. @BlueEwoke,
      Thanks for the suggestion :). Maksud BlueEwoke dari blogspot guna Picasa ke? Kalau guna Picasa, saya punya dah penuh. Jadi tak boleh upload cara tu. Tapi kalau cara saya ni salah, tolonglah beritahu. Cer kabor cer kabor. Akak bukannya pandei sangat, tengah belajor-belajor ni :)

      Padam
  6. Wow kak NA..i can't wait to read the continuation of yr journey.. menarik sesangat.. boleh dijadikkan panduan kalau nak ke sana... anyway, i just knew that we can send undergrads for short courses there... is it under a sponsorship or own expenses?

    BalasPadam
  7. @Farikica,
    Thanks for stopping by and left your valuable comments.

    Ya, kita boleh datang belajar di sini untuk short courses 3 bulan, 9 bulan, 1 tahun, 4 tahun. Ada yang ditaja oleh KPM, Yayasan Al-Bukhary, ada yg duit sendiri. Bila saya datang sini baru saya tahu semua ini. Sebenarnya belajar bahasa China di sini baru saja digalakkan oleh kerajaan kita.

    BalasPadam
  8. Salam Kak Naramas Aman,

    Saya berminat nak buat short courses tu. Boleh saya dapat email akak atau kawan-kawan akak dari Msia untuk saya tanya soalan-soalan pasal courses tu.

    thatsofarah

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Unknown/thatsofarah,
      Salam kembali.

      Ramai pelajar Malaysia ke BLCU untuk belajar bahasa China. Ada yang ambil kursus pendek (3 bulan), ada yg setahun dan ada yang 4 tahun.

      Sila lihat laman web ini untuk penjelasan lanjut dan untuk memohon: http://www.blcu-china.org/

      Email saya : notakembara@yahoo.com

      Padam
  9. OOOOOOOOOOOOmmmmmmmmmmmmmGGGGGGGGGG

    lame nyer tak blog hopping then terjumpe entry yg saye rase nak bace sambil makan pop corn..ye la dah lame asyik balek rumah tido esok g keje.. pathetic live skang ni..

    salute care jumpe travel buddies tuh.. akak memang berjiwa muda. hehe

    ok nak sambung bace lagi.. dari dulu teringin nak cross china ke mangolia tapi apekan daya dulu duit takde. skang mase plak takde..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Dr shah_rule,
      Terima kasihhhhhhhhhhhhhhhh kerana sudi singgah, blog hopping dan meninggalkan ulasan di sini. Terima kasih juga kerana Dr awal-awal lagi dah menjadi rakan kembara saya dalam blog ini :).

      Memang seronok dan saya rasa bertuah Allah pertemukan saya dengan travel buddies yang sejiwa. Tanpa mereka tentu pengalaman di Innger Mongolia tak semeriah ini. Jiwa muda? he he he, OTAI dah saya ni :)

      Memang begitu resmi manusia ni, kalau ada masa, duit pulak tak ada, kalau ada duit, masa pulak tak ada, kan gitu? Sayapun begitu.

      Padam
  10. Balasan
    1. Waalaikumusalam Zainal Tobiaq,
      Teruskan mengikuti kisah backpacking saya ke Inner Mongolia dalam entri berikutnya. Banyak lagi yang menarik :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...