Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 26 April 2013

Percutian Percuma di Surabaya (1): Mengenal Budi Orang Jawa

A pakah perasaan anda sekiranya dapat mengembara dengan tenang bersama-sama orang tersayang, tanpa masalah kewangan? Ditambah pula dengan segala perbelanjaan makan minum, pengangkutan dan tempat tinggal telah disediakan dengan percuma? Tentu ia mengembirakan, bukan? Saya pernah mengalaminya. Ia sangat membahagiakan saya dan keluarga saya. Ini berlaku sepanjang pengembaraan saya ke Pulau Jawa: Surabaya, Madura, Bandung, Jogjakarta, Bali dan Lombok. (Jakarta pula masih belum lagi. InsyaAllah akan dilaksanakan pada suatu hari nanti). Pengembaraan ke Pulau Jawa ini saya lakukan berulang kali. Dan kembara ke kesemua tempat-tempat yang saya nyatakan ini berlaku di antara November 2012 sehingga Februari 2013. Bagaimanakah saya dan keluarga saya dapat ke kesemua tempat-tempat ini dengan percuma?

Saya mempunyai ramai "anak murid" (pelajar) di merata dunia. Disamping Malaysia, pelajar saya ramai berasal dari Indonesia. Mereka sering mengajak saya ke sana. Setelah berkali-kali dan bertahun-tahun lamanya mereka mengajak saya, hanya baru-baru ini saya dapat menunaikan hasrat mereka.

Salah seorang pelajar saya ini ialah Yan. Yan adalah seorang dosen (pensyarah) di Universitas Airlangga Surabaya dan dia juga mempunyai ramai anak-anak murid di serata Indonesia. Jadinya semasa eskursi saya di Pulau Jawa saya disambut olehnya dan anak-anak muridnya. Jadi saya tidak ada masalah langsung sepanjang kembara saya di Pulau Jawa. Di mana-mana saja saya pergi pasti ada sahaja yang menyambut saya, membawa saya jalan-jalan, makan-makan dan menyediakan tempat penginapan percuma untuk saya dan keluarga. Daripada anak murid saya sehinggalah ke "cucu murid" saya he he he.

Sesungguhnya orang Jawa ini amatlah memuliakan gurunya dan mengenang budi. Ketika ini saya rasa sangat beruntung menjadi seorang pensyarah. (Sebelum ini saya ingatkan saya ini hanyalah pensyarah cabuk). Ketika ini saya rasakan tidak perlu kekayaan melimpah ruah di dalam hidup ini, cukup sekadar anak-anak murid mengenang saya.

Lapangan Terbang Surabaya ketika kami sampai. Waktu sudah malam walaupun baru 6.30 petang.


Sampai di Surabaya


Kami sampai di Surabaya pada 5.30 petang selepas 3 jam perjalanan menaiki Air Asia dari Pulau Pinang. Setelah menganjakkan jarum jam dari pukul 5.30 ke 6.30 petang yang lewat 1 jam dari waktu Malaysia, Yan (anak murid saya) dan Rudy (anak murid Yan) membawa kami terus ke  Hotel Elmi di Jalan Sudirman yang amat digemari oleh Yan. Disamping menjadi dosen, Yan juga adalah seorang konsultan dan pakar motivasi. Beliau sering mengadakan event di hotel ini lalu beliau dilayani dengan istimewa di situ. Ternyata kakitangan dan pelayan di hotel itu amat segan dan menghormati anak murid saya itu. Jadi saya pun turut dihormati dan disegani.


Hotel Elmi, Jalan Sudirman, Surabaya


Rojak Cingur Resepi Khas Surabaya

 

Rojak Cingur di Hotel Elmi


Hotel Elmi di Jalan Sudirman ini menyajikan menu yang enak seperti Rojak Cingur dan Sop Bontot (Sup Ekor). Memang sedap!. Rojak Cingur ialah sejenis rojak khas dari Surabaya.  Ia adalah campuran rebusan 'cingur' (mulut lembu), tauge, kangkong, kacang panjang, hirisan nenas, kedondong dan sengkuang. Ia dicampurkan denga kuah rojak khas yang dibuat daripada sejenis pisang yang dilecek, petis, kacang tanah, cili, gula, garam dan asam jawa. Ia dihidang di atas daun pisang dan dimakan bersama keropok. Amat sedap.

Sejak memakannya di Hotel Elmi ini, saya sering memesan Rojak Cingur setiap kali saya berkunjung ke Surabaya. Jadi sekiranya anda suka makan makanan tradisional atau masakan kampung, jangan ketinggalan menikmati Rojak Cingur iaitu masakan khas Surabaya.

Hotel Elmi


Waktu malam cepat gelapnya dan waktu subuh pula lebih awal dan cepat cerahnya. Pada malam itu kami jalan-jalan makan angin di kota Surabaya yang bersih dan teratur.

Esok kami mempunyai tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Besoknya kami akan ke Muzium Sempoerna, Masjid Cheng Ho (1) dan Pulau Madura.

...bersambung

14 ulasan:

  1. seronoknya... kalau i dapat sure suka gak.. bestnyaaaa..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang best...orang Surabaya memang amat berbudi :)

      Padam
  2. Rojak cingur tu memang dari mulut lembu ke? Bahan-bahan penyediaannya ampak seakan-akan pecal...

    Bestnya kalau percutian di sponsor... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rojak Cingur memang dari mulut lembu yang dihiris dan direbus. Tapi sedap. Ya macam pecal sedikit, cuma bezanya kuahnya dibuat dari sejenis pisang dan bahan campuran yang lain sama macam kuah pecal.

      Memang BEST...:) Alhmadulillah.

      Padam
  3. Jangan lupa singgah di sunan sunannya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Nekcik,
      Kami ke makam salah seorang wali. Dalam entri akan datang insyaAllah akan saya ceritakan.

      Padam
  4. Salam Yong

    Wow....bestnye jjcm di Surabaya...* ish..mana jaket kulit made in Surabaya ni...tak sampai2 lagik...hehe*

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Jaket kulit? Kulit buaya ke he he he :) Sebab Surabaya tu namanya asal dari perkataan Sura (ikan yu) Baya (Buaya).

      Padam
  5. wahh..makan rojak cingur..pelik memula baca ..hihi..apapun mmg best kalau dapat free jenjalan ni..:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ciku,
      Namanya pelik. Bahan-bahan membuatnya pun pelik. Tapi rasa sekali, nak lagi. Jenjalan free memang best :)

      Padam
  6. untunglah akak, berjalan jer ada orang sponsor, hehe...baiknyer diorang, tak lupa jasa guru yang pernah mengajar diorang...

    menu rojak cingur tu macam pelik jer, tapi akak cakap sedap, lagilah pelik...mau kena try kalau pergi surabaya nanti :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Memang mereka orang baik-baik: memuliakan tetamu, memuliakan guru. Sikap mereka ini amat patut kita contohi.

      Rojak Cingur ini namanya pelik, resepinya pun pelik, tapi Orga kena try kalau ke Surabaya. Barulah tahu sedap ke tak sedap :). Tapi bagi saya ia sedap ya amat.

      Padam
  7. Rebusan mulut lembu?? waduh buk..hahahha.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mulut lembu itu yang menyedapkan rojak ini. Tapi kalau tak suka mulut lembu tu, minta chef jangan bubuh. Waduh buk....pokoknya ia harus dicoba :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...