Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 12 April 2012

Melbourne (Luar CBD): 12 Tempat Membeli-belah Sakan

Tempat membeli-belah di luar kotaraya Melbourne banyak sudah disarankan dalam buku pelancongan atau laman web rasmi. Tetapi itu dari perspektif Barat. Sebenarnya ada lagi tempat membeli-belah yang tidak ditulis oleh buku/laman web itu. Di sini saya cadangkan 12 tempat membeli-belah sakan di luar CBD (kotaraya) Melbourne yang sesuai untuk orang kita:

# 1. Direct Factory Outlet (DFO): Membeli-belah Sakan Dengan Harga Kilang


DFO ialah kompleks membeli-belah factory outlet yang terbesar di Australia. Terdapat lebih 120 buah factory outlet di bawah satu bumbung. Terdapat banyak outlet berjenama terkenal di dalam DFO dari pakaian wanita, lelaki, kanak-kanak, perabut, barangan kemas, beg sehinggalah ke  bingkai gambar.

Mutu stok barangan di DFO adalah pada kadar sederhana berbanding dengan factory outlet yang lain. Barangannya terdiri daripada barangan stok musim lepas, stok lebihan, stok yang diberhentikan pengeluarannya dan jualan istimewa atau sampel. Diskaun kadang-kadang sehingga 70 peratus daripada harga retail.

Kalau anda "gila" pinggan mangkuk Corelle, Pyrex, Visions, Ekco dan Snapware pergilah ke World Kitchen di dalam DFO. Di sini anda boleh berbelanja sakan dengan harga kilang.





Kedai-kedai factory outlet yang lain di DFO adalah kedai pakaian dari jenama Guess, Levis, Portmans dan Witchery. Kasut dari Wittner, Nine West dan Sandler.

Alamat: Sudut Centre Dandenong dan Grange Road, Cheltenham. Namun begitu ada DFO di tempat-tempat lain termasuklah Essendon dan Spencer Street (CBD).

Waktu Perniagaan: Setiap hari, 10 pagi hingga 6 petang.

Cara ke sana: 
1. Naik keretapi Frankston line dari mana-mana stesen keretapi di kotaraya Melbourne. Turun di stesen Cheltenham. Ambil bas di stesen bas yang letaknya di  Station Road dan Charman Road. Nombor basnya ialah 827 & 828 (Hampton ke Berwick). Minta pemandu bas berhenti di DFO atau Cheltelham.

Perjalanan menaiki bas mengambil masa 10 minit dari stesen keretapi Cheltelham ke DFO. Bas bergerak setiap 20 minit dari Isnin hingga Jumaat, 1 jam sekali pada hari Sabtu dan Ahad. Pada cuti umum tiada perkhidmatan bas

2. Berjalan kaki dari stesen keretapi Cheltenham sepanjang Centre Dandenong Road mengambil masa 30-40 minit. Ada teksi ke DFO dari stesen keretapi Cheltenham.

 # 2. Williamstown Craft Market: Membeli-belah Sakan Gaya Santai  & Mesra Alam


Williamstown Craft Market pula adalah tempat membeli-belah barangan kraftangan. Dibuat sendiri oleh penjualnya. Amat sesuai untuk dibawa pulang sebagai buah tangan atau hadiah.

Selain daripada itu terdapat juga kek, pastri dan jem yang dimasak di rumah oleh penjualnya. Namun begitu kita tidak mengetahui ia halal atau tidak kerana bahan-bahan membuatnya tidak ditulis pada bungkusannya dan tiada juga logo halal padanya.

Terdapat lebih kurang 50 buah gerai di Williamstown Craft Market ini yang menjual pelbagai barangan. Anda juga boleh ke gerai solekan yang boleh mengubah wajah anda menjadi harimau, badut, burung atau hantu sesuai untuk ke pesta "haloween" atau  majlis makan malam.


Yang menariknya, Williamstown Craft Market ini diadakan di dalam taman dan taman ini letaknya di tepi laut. Sambil membeli-belah bolehlah melihat pemandangan marina yang cantik dan kapal berlayar. Williamstown adalah tempat bersejarah. Inilah pelabuh pertama di Melbourne. Pelabuhan ini sudah ada sejak 1837. Ada sebuah muzium marina di sini untuk dilawati.

Kalau ingin berehat, boleh lepak di bawah pokok dan menonton persembahan "live band" oleh seniman tempatan

Berdekatan dengan pasar ini terdapat banyak kedai dan cafe yang senibina bangunannya nampak klasik. Sungguh seronok minum espresso late secawan sambil melihat burung-burung seagull terbang dengan kapal layar menyusuri laut. Duduk-duduk di cafe yang bersenibina purba ini rasa macam dalam filem yang disetkan di Venice dan wajah kita terasa nyaman dibelai angin laut. Tambahan pula telinga kita didendangkan dengan kemerduan muzik tempatan.



Alamat: Nelson Place, Williamstown.

Waktu Perniagaan: Ahad ke-3 dalam setiap bulan, 10.00 pagi hingga 4.00 petang.

Cara ke sana:
  1. Menaiki feri dari Southbank ke Williamstown, atau
  2. Ambil keretapi dari stesen Flinders Street ke Williamstown Line. Tukar keretapi di stesen Footscray atau Newport. Kemudian ambil bas dari Footscray ke Williamstown.

 

# 3. Camberwell Market: Membeli-belah Sakan Gaya Cari Harta Tersembunyi


Camberwell Market menyediakan gerai-gerai yang banyak menjual barang-barang terpakai daripada bunga, CD, buku, pakaian, kraftangan dan macam-macam lagi. Pembeli datang awal-awal pagi untuk mendapatkan khazanah tersembunyi ini. Ini disebabkan ia terlalu banyak dan memerlukan masa untuk memilih seperti mencari harta tersembunyi. Terdapat lebih kurang 300 buah gerai.


Alamat: Station Street, Camberwell.
Waktu Perniagaan: Ahad, 6.00 pagi - 5.00 petang
Cara ke sana: Naik keretapi Alamein Line atau Lilydale Line atau Belgrave Line dari mana-mana stesen di kotaraya Melbourne, turun di stesen Camberwell.

 

# 4. Caribbean Garden and Market: Membeli-belah Sakan Gaya Sempoi Bersama Keluarga


Caribbean Garden and Market adalah pasar yang menjual buah-buahan, sayur-sayuran, kacang, barang-barang kenangan (souvenir), bunga-bunga tiruan, pakaian, permainan kanak-kanak, barangan "maternity" dan barangan IT.

Pasar ini juga ada sebuah taman yang luas untuk keluarga berkelah dan barbeku. Anak-anak boleh bermain di padang permainan, menaiki chair lift, bot dan keretapi mengelilingi tasik.

Untuk maklumat lanjut klik sini

Kawan saya Ira gembira memborong bunga di Caribbean Market. Yang di bawah, fridge magnet yang aku beli. Fridge magnet ini berbentuk boomerang dengan ikon popular Melbourne.

Alamat: 1280 Ferntree Gully Road, Scoresby.

Waktu Perniagaan: 8.30 pagi-3.00 ptg, setiap Rabu, Jumaat dan Ahad.

Cara ke sana:
1.  Naik kereta pandu sendiri.

2. Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen keretapi di kotaraya, turun di stesen Oakleigh. Ambil bas Invicta 693 dari stesen Oakleigh ke Belgrave dan turun di Borg Cres/Ferntree Gully Rd (Scoresby). Kemudian jalan kaki kira-kira 260 meter ke Caribbean Gardens and Market.

# 5. Springvale Market: Membeli-belah Sakan Gaya Asia Tenggara


Springvale Market ini adalah seperti Little Vietnam. Peniaga di sini semua orang Vietnam. Semasa kita ke pasar ini kita pasti menyaksikan suasana yang riuh kerana peniaga menguatkan suara mereka untuk menarik perhatian pelanggan. Kedai barang-barang Vietnam dan produk Malaysia "berlambak" di sini. Ada pasaraya khas untuk produk Asia Tenggara di salah sebuah kompleks membeli-belah di sini.

Selain itu pasar basahnya menjual pelbagai jenis ikan segar, ketam dan daging. Buah-buahan pun banyak termasuklah buah kelapa, rambutan, manggis, mempelam, durian dan durian belanda.

Membeli-belah sakanlah di sini kalau hendak masak resepi asli nenda di kampung.

Di sinilah tempat saya membeli-belah sakan setiap minggu. Yang selalu saya beli ialah ikan segar, sayur-sayuran, pisang abu, santan, kelapa, rempah ratus dan segala bahan untuk masak masakan tradisional negeri Perak seperti gulai tempoyak, rendang tok, laksa kuala, apam dan tapai ubi.




Peniaga ikan di Springvale Central terdiri daripada keturunan Vietnam

Kedai cermin mata ini milik peniaga Vietnam

Alamat: Bersebelahan stesen keretapi Springvale.

Waktu Perniagaan: Setiap hari:  8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Cara ke sana: Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen di CBD dan turun di stesen Springvale.


# 6. Dandenong Market: Membeli-belah Sakan Gaya Pengusaha Restoren


Dandenong Market ialah pasar yang menjual buah-buahan dan sayur-sayuran segar dengan harga yang murah. Sayur/buahnya sesuai dibeli dalam kuantiti yang banyak seperti satu karton kerana harganya jauh lebih murah. Kalau hendak harga yang lebih murah lagi belilah pada masa pasar hendak ditutup. Sayur-sayuran dan buah-buahan dilelong dengan harga runtuh, separuh daripada harga waktu pagi.

Selain daripada itu pasar ini juga menjual souvenir, pakaian, kacang, daging, barangan IT, kasut, jam tangan, barangan kemas, keju dan macam-macam lagi. Dandenong Market ini adalah seperti Queen Victoria Market. Ia telah dibuka sejak 1866.

Yang selalu saya beli ialah sayur, buah-buahan, kentang dan bawang besar. Murah. Satu karton buah ceri, boleh dapat AUD5.00-10.00. Kalau di pasaraya Coles buah ceri begini 3-5 kali ganda mahalnya.

Mangga di sini sangat sedap. Saiznya besar. Rasanya manis. Aromanya wangi. Ia ditanam di bahagian utara Australia seperti Queensland.

Sayur-sayuran dan buah-buahan boleh dibeli dengan murah di Dandenong Market
Alamat: Sudut Cleeland Street dan Clow Street, Dandenong

Waktu Perniagaan:  Selasa 7.00 pg - 4.00 ptg, Jumaat 7.00 pg - 5.00 ptg, Sabtu 7.00pg - 3.00 ptg

Cara ke sana: Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen kotaraya, turun di Stesen Dandenong, kemudian naik bas ke pasar ini. Bas beroperasi setiap setengah jam. Naik bas nombor 665, 802, 804, 811, 843, 845, 849, 850 861.
 
  

# 7. Pekan Dandenong: Membeli-belah Sakan Gaya Asia Barat, Asia Selatan dan Islami


Pekan Dandenong adalah pekan yang seronok untuk membeli-belah daging halal dan makanan halal. Kedai-kedai Asia Barat, Asia Selatan banyak terdapat di sekitar pekan ini. Komuniti di sini terdiri daripada orang Arab, India dan Afganistan.  


Ada 3 buah kedai jual daging halal di sini iaitu:
  1. Savs Halal Butcher (Langhorne Street, Dandenong, sederet dengan L.J. Hooker Real Estate),
  2. Al-Ameen (Foster Street, hadapan stesen keretapi Dandenong),
  3. Mar Mara  (Lonsdale St/Langhorne Steet, sederet dengan Dimmeys & Dandenong Arcade). 

Kedai daging dan makanan halal di Dandenong

Tidak jauh dari Dandenong Market terdapat sebuah masjid besar iaitu Emir Sultan Mosque. Letaknya di 139 Cleeland St, Dandenong.


Di hadapan Dandenong Market terdapat Supermarket Timur Tengah & Asia Selatan.

Kedai kebab halal, pizza halal dan ayam panggang halal juga terdapat di sekitar pekan ini.

Kedai rempah ratus dari India, CD Bollywood, kedai Afghan dan kedai yang menjual pakaian dari India juga banyak terdapat di sini.  
Yang Selalu Saya Beli: Daging halal di Savs dan Al-Ameen. Pemilik Savs adalah orang Melayu Afrika. Mereka sangat peramah. Kalau lama tak datang, mereka tanya, "Kenapa lama tak datang?" Tukang sembelih daging halal Savs dan Al-Ameen juga saya kenal. Menurutnya, jemaah dari Malaysia (JAWI) sering datang memeriksa cara beliau menyembelih untuk memastikan kehalalannya kerana daging sembelihannya juga dieksport ke Malaysia.
          Alamat: Dandenong, Victoria

          Waktu Perniagaan Savs  & Al-Ameen: Setiap hari 9.00 pagi-5.00 petang
Cara ke sana: Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen di CBD, turun di Stesen Dandenong, kemudian naik bas ke pasar ini. Bas beroperasi setiap setengah jam. Naik bas nombor 665, 802, 804, 811, 843, 845, 849, 850 861.
Tetapi kalau ke Al-Ameen Halal Meats, jalan kaki sahaja dari stesen keretapi Dandenong. Ia terletak di seberang stesen itu.
  

# 8. Chadstone Mall: Membeli-belah Sakan Gaya Anak Hartawan


Chadstone Mall menyediakan pelbagai pilihan yang eksklusif bagi anda yang gemar berbelanja secara mewah. Ini adalah pusat membeli-belah terbesar di Victoria. Ada 400 outlet! Jadi kalau anda hendak mengempiskan beg duit, inilah syurganya, terutama sekali pada yang gemar berfesyen. Nama-nama retailer yang besar ialah Myer dan David Jones. Butik seperti Alanna Hill dan Bettina Liano juga ada di sini.



Alamat: Dandenong Road, Chadstone. 
Waktu Perniagaan:
Isnin:                                        9.00 pagi hingga 7.00 malam.
Selasa, Rabu, Khamis, Ahad:     9.00 pagi hingga 10.45 mlm
Jumaat,  Sabtu  :                       9.00 pagi hingga 11.45 mlm
* Kedai-kedai lain ada waktu perniagaan yang berbeza. Untuk mengetahui waktu perniagaan di Mall ini sila klik sini





Cara ke sana:
  1. Ada banyak bas, termasuklah shuttle ke situ setiap hari. Perlu buat tempahan. Nombor telefon: 1300 558 686. Tempat ambil bas ialah di pejabat SBS, Federation Square.   Atau:
  2. Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen di CBD, turun di stesen Oakleigh atau Dandenong. Kemudian ambil bas Grenda Bus Service nombor: 802 & 804.
  3. Kalau anak hartawan, naik limo.

# 9. Chapel Street, Prahran : Membeli-belah Sakan Gaya Bintang Filem


Di Chapel Street anda boleh membeli-belah sakan ala Julia Roberts dalam filem "Pretty Woman". Di sini anda boleh membeli pakaian, beg tangan, sarung tangan, topi dan kasut dari designer boutique. Sambil-sambil itu dongakkan kepala melihat bangunan cantik dibina pada zaman dahulu. Kalau penat berjalan, singgahlah minum lassi atau espresso di cafe yang banyak di sini. Kalau ada masa pergilah ke Dewan Malaysia dan Swinburne University yang tidak jauh dari sini.

Kedai dan tram di Chapel Street

Alamat: Chapel Street dan High Street Prahran

Waktu Perniagaan: 
Isnin- Khamis: 10.00 pagi - 6.00 ptg
Jumaat: 10.00 pagi -  8.30 mlm
Sabtu: 10.00 pagi - 6.00 ptg
Ahad: 1.00 pagi - 5.30 ptg
* Tetapi ada sesetengah kedai mempunyai waktu perniagaan yang berbeza.
Cara  ke sana:
1. Naik keretapi Sandringham Line dari mana-mana stesen keretapi di CBD (city loop/lingkaran kota) iaitu Parliament, Melbourne Central, Flagstaff dan Southern Cross dari pukul 4.30 pagi hingga 12.00 tgh malam, turun di stesen South Yarra atau Windsor, atau Prahran.

Kalau menaiki keretapi melalui Pakenham Line, Cranbourne Line anda boleh turun di South Yarra. Semak  perkhidmatan keretapi & tram di sini
          Kalau menaiki keretapi melalui Frankston Line boleh turun di Toorak

2. Ambil Yarra Tram 78 & 79 dari North Richmond ke Prahran/St Kilda. Tram beroperasi dari 5.30 pagi hingga 12 tgh malam. Untuk jadual bas ke Chapel Street, klik di sini
Boleh juga  menggunakan  Yarra Tram:
  • 72 (Camberwell) ke Commercial Road dan Chapel Street 
  • 6 (Glen Iris) ke High Street dan Chapel Street
  • 8  (Toorak) ke Toorak Road dan Chapel Street
  • 5 atau 64  (Malvern atau East Brighton) ke Dandenong Road dan Chapel Street.

# 10. Pink Lady Chocolate, Huntingdale: Authentic Aussie Home Made Chocolate


Kalau hendak chocolate yang asli dari Australia, pergilah beli di Pink Lady Chocolate. Tidak ramai yang tahu tentang kedai ini. Tetapi penduduk tempatan yang berdekatan suka ke sini. Pink Lady Chocolate ini buatan tangan (home made chocolate). Dimasak di situ juga. Yang ini memang tidak ada dalam senarai tempat popular untuk membeli-belah, tetapi disebabkan aku tinggal berdekatan dan disyorkan oleh penduduk di sini aku sering beli cokolat di sini.

Cokolatnya sedap, dan bahan-bahannya saya lihat tidak meragukan. Tiada bahan-bahan binatang dimasukkan. Tiada kod E dalam produknya. Bentuk-bentuk cokolatnya menarik. Kalau musim Easter, ada cokolat bentuk arnab, koala, kangaroo, wombat, telur dan katak sesuai untuk beri hadiah. Harganya murah dan lebih sedap daripada cokolat Cadbury. Kita boleh cuba makan dahulu cokolat ini sebelum beli. Untuk lihat produk Pink Lady sila kliki di sini




Yang Selalu Saya Beli: Cokolat berintikan biji kopi (coffee bean) dan Easter Chocolate bentuk telur.

Alamat:13 Hume Street, Huntingdale.
Waktu Perniagaan: Isnin- Jumaat:10.00 pagi - 5.00 petang, Sabtu: 10.00 pagi - 1.00 ptg

Cara ke sana: Naik sahaja keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen keretapi di CBD dan turun di stesen Huntingdale, jalan kaki kira-kira 10 minit ke Hume Street. Hume Street ini di belakang Masjid Huntingdale (Australia Bangladesh Islamic Council). Di Hungtingdale juga ada kedai jual produk halal - Bengal Traders Halal Supermarket.
          Untuk lihat gambar kedai/factory outlet Pink Lady Chocolate  klik di sini


# 11. Savers Dandenong: Membeli-belah Sakan Gaya Ciput I


Savers ialah pasaraya untuk membelih-belah sakan gaya ciput macam saya ni. Di sini kita boleh beli barang-barang terpakai yang 70% lebih murah daripada harga barang baru. Di kedai-kedai begini kita boleh membuat pilihan dari permainan, buku, pinggan mangkuk, barang perhiasan, pakaian, kasut, beg, perabut dan macam-macam lagi.

Pelajar dapat harga diskaun 20 peratus pada hari Ahad. Warga Emas dapat harga diskaun 20 peratus pada hari Isnin.


Seramik yang saya beli di Saver dan Salvos. Berharga antara AUD1.00 - AUD5.00. Seramik ini saya gunakan untuk hiasan sahaja


Yang Selalu Saya Beli: Buku memasak, buku hiasan kek, kraftangan dan seramik.


Alamat: 210 Lonsdale St Dandenong, Victoria
Terdapat juga di Brunswick, Footscray, Frankston, dll.

Waktu Perniagaan: 
Isnin - Rabu:            9.00 pg– 6.00 ptg
Khamis - Jumaat:     9.00 pg – 9.00 ptg
Sabtu:                     9.00 pg – 6.00 ptg
Ahad:                     10.00 pg – 6.00 ptg

Cara ke sana: Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen di CBD, turun di stesen Oakleigh dan naik Grenda Bus Service nombor 802 & 804 ke Dandenong South.

# 12. Noble Park Salvos: Membeli-belah Sakan Gaya Ciput II


Milik Salvation Army, Noble Park Salvos menjual barang-barang terpakai yang masih elok tetapi amat murah. Dari kasut, buku, pinggan mangkuk, perabut, pakaian, perhiasan, permainan dan macam-macam lagi. Setiap kali pergi barang-barangnya berubah, kerana kalau kita tidak beli orang lain beli. Barang-barang di kedai ini adalah sumbangan orang ramai. Terdapat tong besar di hadapan kedai dan di kebanyakan stesen petrol untuk sesiapa sahaja menderma barang-barang untuk Salvos. Sebahagian keuntungan yang diperolehi oleh Salvos didermakan kepada NGO.

Salvos seringkali mengadakan jualan diskaun sehingga 70 peratus.


Buku-buku ini aku beli di Salvos. Berharga cuma 50 sen sebuah


Yang Selalu Saya Beli: Buku memasak, buku hiasan kek, kraftangan dan seramik.


Alamat: 400 Princess Highway, Noble Park

Waktu Perniagaan: Isnin - Jumaat: 9.30 pg -5.30 ptg, Sabtu: 9.00 pg-5.00 ptg

Cara ke sana: Naik keretapi Pakenham Line dari mana-mana stesen di CBD, turun di stesen Oakleigh dan naik bas Grenda 800 ke Dandenong South.

Itulah saja 12 tempat membeli-belah sakan yang saya cadangkan. Jumpa lagi di lain ketika dalam Nota Kembara.












16 ulasan:

  1. Assalamualaikum akak.

    ni first time komen kat sini. Menarik sungguh tip2 akak kat melbourne. amatlah berguna utk sy yng akan pegi ke sana bulan6 nnt. insyaALLAH. so far, masih clueless ape yg nk buat kat sana. Yg pasti GOR mesti pegi. hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Danny/John,
      Terima kasih kerana membaca dan mengikuti Nota Kembara saya ini. Alhamdulillah Danny dapat memanafaatkan catatan saya ini. Saya harap apa yang saya tulis ini dapat membantu Danny ke Melbourne nanti dan dapat pergi ke GOR yg cantik itu.

      Padam
  2. Shopping guide yang lengkap. Peluang ke sana saja yang belum ada lagi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Begitulah yang diharapkan. Tapi saya rasa masih tidak lengkap lagi. Ini cuma guideline sahaja. Saya harap guideline ini sedikit sebanyak dapat membantu sesiapa yang hendak ke Melbourne. Kalau mereka tidak jelas, saya harap mereka tanyakan saya.

      InsyaAllah Mie dan keluarga berpeluang ke sana. Perjalanannya pun tidaklah jauh sangat. Tiket kapalterbangpun dah murah sekarang.

      Padam
  3. Dalam banyak-banyak tempat saya suka Camberwell Market, suka tengok barangan terpakai dan kebanyakan barangan antik pun tentu ada disinikan. Sesiapa kaki shopping memang boleh guna info dalam entry inikan.

    BalasPadam
  4. AndaQue,
    Ya, di Camberwell ada macam-macam. Sudah pasti AndaQue boleh jumpa barangan antik dan barang lama yang unik/pelik yg orang dah lupa. Yang penting kena rajin menggeledah dan rajin datang, kerana ia juga bergantung kepada rezeki. Kalau lambat orang lain kebas.

    Di Salvos juga begitu. Kalau ada rezeki akan jumpa barang-barang antik dan yang berkenan di hati.

    Ya, saya harap info ini berguna kepada Shopping Queen & Shopping King!

    BalasPadam
  5. Info yang sangat berguna untuk saya.Inshaallah saya nak ke sana August depan.Saya tertarik dengan DFO (DIRECT FACTORY OUTLET).Niat di hati nak cari corelle.Mesti murah kan?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cik-Anne @ Arjuna,
      Terima kasih kerana sudi membaca blog ini. Di DFO ada banyak barang-barang, termasuklah Corelle. Harganya berpatutan dan ada diskaun sehingga 70 % pada hari-hari tertentu. Happy shopping :)

      Padam
  6. Best...plan nak g disember ni jika ada rezki... tq 4 info

    BalasPadam
  7. Balasan
    1. Semua DFO sama saja harganya..pilihlah yang lebih dekat atau yang menjual banyak pilihan barangan dan berkenan di hati.

      Padam
  8. Boleh kongsikan cara yg mudah dn selamat utk bw pulang pinngan mangkuk Corell ke Malaysia? Ni email saya hawanimustafa@gmail.com

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bawa sendiri dengan tangan menaiki kapalterbang atau kalau ada banyak barang yang hendak di bawa, gunakan khidmat kapal laut yang hantar hingga ke rumah.

      Padam
  9. thank you! sgt helpful ttg nk beli daging halal tu :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dengan panduan ini harap Cahaya Nur tak sukar mencarinya.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.