Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 25 April 2012

Islam di Melbourne


Ingatkah anda bahawa saya pernah memberitahu bahawa saya selalu memasukkan kaki saya ke dalam sinki basuh tangan semasa mengambil wudhu di tandas awam di Melbourne? Dan saya katakan bahawa ini nampak macam tak senonoh? Kalau lupa sila klik di sini.

Memang tak senonoh pun! Saya pernah di'cekup' seorang perempuan Aussie ketika saya sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam.

"Di luar sana tu memang kotorlah. Memang patut awak basuh macam tu!" kata perempuan Aussie itu sambil ketawa.

Saya senyum sahaja. Tetapi sebenarnya kelakuan tak senonoh saya itu bukan perkara luarbiasa di Australia. Boleh dikatakan hampir setiap orang Islam Melbourne melakukannya.

Ha...ha...ha...saya ketawa kuat-kuat apabila ini diceritakan di televisyen semasa saya menonton rancangan Salam Cafe yang disiarkan di Channel 31 di Melbourne. Rancangan untuk orang Islam Melbourne (terutama golongan muda) dan disiarkan setiap minggu ini menyenaraikan 6 alasan paling tinggi (top) diberikan apabila di'cekup' sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam.

Berikut adalah 6 alasan yang diberikan oleh orang Islam Melbourne apabila di'cekup' sedang memasukkan kaki ke dalam sinki basuh tangan di tandas awam:
6. "Pancuran hujan (shower) saya rosak!"
5. "Saya baru lepas bersukan jalan kaki"
4.  Sengaja ubah topik: "Eh, zip seluar awak terbukalah"
3.  Buat-buat bodoh: "Oh, ini sinki ke? Terima kasihlah ya."
2.  Tipu tak tahu bahasa Inggeris: "I no spikka da Engleesh todai," dan
1.  Ayat bijak: "Saya basuh kaki saya lima kali sehari, jadi ia lebih bersih dari muka awak."
He..he..he...maknanya bukan saya seorang saja yang buat macam ini. Ini menunjukkan bahawa terdapat ramai orang Islam di Melbourne tetapi kemudahan untuk mereka beribadat amat kurang. Mencari tempat solat juga adalah satu masalah. Di Melbourne saya sering solat di bawah tangga bangunan, di tempat letak kereta, di taman, di bawah pokok, di dalam keretapi, tepi jalan, malah di man-mana sahaja yang saya rasakan bersih.

Ketiadaan tempat solat memaksa umat Islam di Melbourne solat di tempat letak kereta

Terdapat 300,000 orang Islam yang menyatakan Australia adalah negara dan tanah tumpah darah mereka. Kebanyakan mereka adalah imigran dan ada yang datang semasa masih kecil. Kewujudan mereka ini membentuk identiti dan komuniti tersendiri di Australia - Arab, Bosnia, Pakistan, Turki, India, Somali, Melayu, Indonesia dan lain-lain lagi. Malahan ramai juga yang sedang mempelajari bahasa Inggeris dan tidak fasih berbahasa Inggeris. Mereka ini mahu jadikan Melbourne sebagai kampung halaman mereka. Ramai juga yang mendapati mengamalkan Islam di sini lebih baik daripada negara asal mereka.

Pasaraya dan kedai baranganTimur Tengah di Dandenong

79 peratus orang Islam di Australia telah memperolehi kewarganegaraan Australia. Orang Islam telah mula bermigrasi ke Australia sejak lama. Sebelum 1981 lebih kurang 41,000 orang Islam telah menetap di Australia dan bilangan ini bertambah  antara tahun 1996  hingga 2000.

Orang Islam Melbourne daripada pelbagai keturunan menyambut hari raya Aidil Fitri 2008.


Kebanyakan orang Islam di Melbourne terdiri daripada orang Lebonan, diikuti oleh Turki, Afganistan, Bosnia-Hezegovina dan Pakistan. Pelbagai mazhab diamalkan daripada Hanafi, Hanbali, Maliki hinggalah Shafie. Selain itu terdapat juga golongan Shiah dan Salafiin.

Ada yang konservatif, ada yang sekular, ada yang berpegang teguh dengan sunnah, ada yang mengambil ringan, malah macam-macam tahap amalan mereka.

Jemaah lelaki bersiap-siap untuk solat sunat Aidil Fitri (2008) di padang Monash University

Kumpulan etnik ini berkelompok di tempat-tempat tertentu dan membiak serta berkembang. Ini dapat dilihat di sekitar Melbourne. Orang Islam Arab, India dan Afgan boleh dilihat berkelompok di Dandenong. Manakala orang Lebonan di Brunswick. Penduduk Islam yang paling ramai di Melbourne ialah di Dallas iaitu 39 peratus daripada penduduk Melbourne, walaubagaimanapun residen di sini tidaklah ramai iaitu cuma 6,346 orang sahaja.

Disamping itu Meadow Heights juga mempunyai bilangan orang Islam melebihi 33 peratus. Kumpulan Islam ini membentuk kelompok mereka dan masih mengekalkan budaya yang dibawa dari tanah asal mereka, walaupun ada yang masih memegang dua kewarganegaraan, misalnya orang Lebanon. 

Orang Islam dari keturunan Melayu juga tidak kurang ramainya. Mereka berasal dari Singapura, Malaysia, Afrika dan Sri Lanka. Mereka terdiri daripada imigran yang berpindah ke Australia ketika Australia menawarkan pekerjaan kemahiran (skill worker), menaja mereka dan menawarkan kewarganegaraan. Ini berlaku pada awal tahun 1980an.

Kebanyakan orang Melayu Singapura menyatakan bahawa di tanah air sendiri mereka adalah golongan minoriti dan mereka tidak mendapat hak yang sepatutnya. Mereka adalah orang asing di tanahair sendiri. Tetapi di Australia walaupun mereka golongan minoriti mereka diberikan hak yang jauh lebih baik daripada di Singapura.

Orang Malaysia pula ramai yang terdiri daripada mereka yang berkahwin dengan penduduk Australia, datang menuntut ilmu dan mendapat pekerjaan yang baik di Australia.

Oleh kerana bilangan orang Melayu yang ramai ini maka Persatuan Melayu Victoria telah ditubuhkan. Persatuan ini memperjuangkan bahasa Melayu, agama Islam dan adat budaya orang Melayu di Australia. Saya juga turut menjadi ahli, ahli jawatankuasa dan melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti Persatuan ini. Antara aktiviti yang saya turut serta ialah menerbit, menulis skrip, menjadi juruhebah dan mengelola rancangan Melayu di Radio 3ZZZ di Melbourne. Sila klik di sini sekiranya anda berminat untuk mengetahuinya radio ini. Selain itu saya turut menulis untuk buletin yang diterbitkan iaitu "Iqra", melaksanakan aktiviti sambutan Hari Raya, melaksanakan pertandingan menulis jawi dan lain-lain lagi. 

Sekarang ini terdapat sebuah persatuan yang bernama MECCA atau Malay Education and Cultural of Australia Inc. Mereka sedang mengumpulkan dana untuk membina masjid khas untuk komuniti Melayu. Kalau anda berminat untuk menyumbangkan kewangan bagi membina masjid itu sila lawati http://meccainc.wordpress.com/ atau http://www.binamasjid.com.au/


Masjid di Cleeland Road, Dandenong

Di setiap surburb sekitar Melbourne ada dibina masjid dan pemerintah Australia telah menetapkan dalam rang undang-undang mereka bahawa penganut Islam boleh mengamalkan agama mereka di bumi kangaroo ini. Mereka diberi hak untuk bercuti ketika menyambut hari perayaan keagaamaan. Pihak majikan pula harus membenarkan mereka melakukan ibadat di tempat kerja. Itulah sebabnya anda dapat melihat bahawa di setiap universiti di Victoria disediakan Prayer Room

Monash University mempunyai persatuan Islam yang kukuh. Monash University menyediakan masjid dan  musalla yang lengkap dengan tempat mengambil wudhu dan bilik solat yang berasingan. Pada bulan Ramadhan masjid ini mengadakan solat tarawikh yang diimami oeh seorang hafiz. Seminggu sekali dalam bulan Ramadhan, Persatuan Islam Monash University mengadakan majlis iftar beramai-ramai dan menjalankan kelas-kelas agama dan tazkirah.

Buku panduan khas untuk orang Islam yang dipanggil Salam Monash juga disediakan. Sekiranya anda berminat untuk membaca Salam Monash dan mengetahui tentang tempat-tempat ibadat orang Islam, kedai makanan halal, sekolah-sekolah Islam dan aktiviti berkaitan dengan orang Islam di Melbourne anda boleh klik di sini:

Masjid Monash University di Beddoe Avenue

Orang Islam semakin berkembang dan kukuh dengan tertubuhkannya Islamic Council of Victoria yang mewakili 90,000 orang Islam di seluruh Victoria. Ramai juga pejuang-pejuang Islam yang menuntut perbankan Islam, undang-undang Syariah, kolam renang untuk wanita Islam, premis makanan halal di sekolah-sekolah, dsb.

Terdapat banyak sekolah-sekolah Islam dibuka di sekitar Melbourne. Sekolah-sekolah ini dibuka oleh individu atau pertubuhan swasta. Sekolah-sekolah Islam ini menggunakan silibus VCE (Sijil Pendidikan Victoria), disamping memasukan subjek-subjek bahasa Arab, pengajian Al-Quran, pengajian Islam dan sebagainya di dalam kurikulum mereka.

Berikut ada sekolah-sekolah Islam yang terdapat di sekitar Melbourne:

1. Minaret College (Springvale) http://www.minaret.vic.edu.au/
Ia menawarkan kelas prep (tadika) hingga VCE (pra-universiti). Di sinilah anak-anak saya bersekolah. Semasa perhimpunan setiap pagi mereka dikehendaki membaca surah-surah tertentu seperti Al-Fatihah dan Al-Fajr. Pada waktu zohor mereka solat berjemaah di masjid yang ada di kawasan sekolah ini. Mereka juga mempelajari Sirah, Fiqh, bahasa Arab, pengajian Islam, Al-Quran dan subjek-subjek lain seperti Sejarah, Geografi, bahasa Inggeris, Matematik, komputer, dll. Pelajar perempuan diwajibkan memakai hijab.

Murid-murid Minaret College ketika melakukan ekskursi di luar kawasan sekolah


2. Werribbee Islamic College (Werribbee)
Ia menawarkan kelas prep (tadika) hingga VCE (pra-u). Sekolah ini letaknya di suburb barat Werribbee. Anak mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, belajar di sini. Mantan Timbalan Perdana Menteri kita ini selalu datang melawat anaknya dan memberi ceramah di sini. 

3. Darul Ulum College of Victoria (Fawkner) www.dulum.vic.edu.au
Darul Ulum letaknya di 17 Baird Street, Fawkner, Victoria. Sebagaimana Minaret College dan Werribee Islamic College, Darul Ulum juga mempunyai silibus yang sama. 

4. Ilim College of Australia (Dallas) www.ilimcollege.vic.edu.au
Ilim College terletak di suburb utara (Dallas). Sebagaimana sekolah yang tersenarai di atas tadi ia juga menawarkan prep hingga VCE. Sekolah ini letaknya di 30 Inverloch Crescent, Dallas.

Untuk lain-lain sekolah Islam yang terdapat di sekitar Melbourne sila klik sini atau sini

Bauchar Houli, hanya satu-satunya pemain AFL yang beragama Islam, menuntut disediakan musalla di stadium MCG


Isu ketiadaan musalla di tempat-tempat tumpuan ramai di Melbourne telah diperjuangkan oleh seorang pemain bola Australia (AFL), Bachar Houli. Beliau menuntut supaya musalla disediakan di MCG (Melbourne Cricket Ground) iaitu tempat perlawan bola atau footy diadakan. Untuk menuntut hak itu beliau solat di atas padang MCG sebelum dan selepas pertandingan footy di situ. Saya bangga dengan usaha yang dilakukan oleh beliau. Saya juga mempunyai masalah untuk solat ketika saya menonton footy di sini dahulu. Saya terpaksa solat di atas tangga di bahagian belakang tempat duduk penonton. Tetapi hari ini kalau saya ke MCG saya tidak bimbang, kerana musalla sudahpun disediakan. Lihatlah laporan berita tv tentang hal ini di sini

Hak-hak yang dituntut orang Islam dan perkembangan pesat Islam hari ini membimbangkan golongan agama lain sehingga ada laman sosial yang dibina menyatakan penentangan dan keraguan mereka. Mereka membuat kempen memulau Islam, seperti dalam pautan ini. Begitu juga dengan menteri yang tidak senang hati dengan perjuangan hak orang Islam di sini. Sekiranya anda ingin tahu dengan lebih lanjut sila klik di sini

18 ulasan:

  1. Di Malaysia berlambak2 masjid tapi hanya dua tiga kerat aje yang datang. Biasanya bila kita berpengalaman hidup dibumi asing ketika itu baru kita tahu negara kita sebenarnya jauh lebih baik drp negara orang kan.

    Mudah-mudahan orang Islam di sana terus kuat berjuang untuk dapat hidup dengan sempurna dan dapat melakukan amal ibadat tanpa masaalah. Amin

    Selalu dengar cerita tentang orang Aus yang sangat anti dengan orang asia.

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Betul kata AndaQue tu, di Malaysia kemudahan untuk umat Islam beribadat amat banyak dan selesa. Namun ramai pula umat Islam kita yang enggan melakukan ibadat, solat terutamanya. Seringkali saya melihat orang Islam kita sibuk berniaga di seberang jalan masjid ketika umat Islam lain sedang solat Jumaat di masjid itu.

      Memang ada juga orang Australia yang anti orang Asia. Saya sendiri pernah mengalaminya. Sekiranya kita berurusan dengan mereka, mereka berlagak sombong dan tidak mesra langsung. Pada hal mereka lupa bahawa Australia juga adalah sebahagian dari Asia, tetapi mereka tidak mahu menerima Australia sebagai negara Asia. Di Australia saya suka berurusan dengan orang Asia seperti orang keturunan China, Vietnam, Indonesia, dll.

      Padam
  2. Haa ah tu yang saya dengar mereka memang tak suka jadi sebahagian drp Asia.. ia orang nak jd barat kan... tak pa lah., dalam taknak dan tak suka tu pun ada juga menteri mereka dari Sabah kan.... betoi tak... maaf kalau saya salah tu yang saya terbaca dulu... ingat2 lupa lak

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mereka kata mereka Barat. Tapi pertandingan bolasepak antarabangsa seperti Socceroos masuk dalam pasukan Asia.

      Padam
  3. sedang survey uni di aussie untuk phd...plan apply melbourne university.jauh ke melbourne university dengan tempat tinggal atau sekolah agama mcm minaret ni?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Ealy Luv OranGe,
      Melbourne Uni terletak di Melbourne CBD (kotaraya), manakala Minaret College terletak di Springvale iaitu suburb yg berlainan. Jaraknya agak jauh. Menaiki keretapi dari Springvale ke Melbourne CBD memakan masa kira-kira 45-50 minit. Namun begitu ada kawan-kawan saya (orang Malaysia) yang ambil PhD di Melbourne Uni dan RMIT (juga di Melbourne CBD) tetapi tinggal di Springvale. Mereka menaiki keretapi ke uni. Ini disebabkan rumah sewa jauh lebih murah di kawasan Springvale dan anak-anak ke Minaret College berjalan kaki sahaja. Rumah jenis unit atau house dengan back yard & front yard terdapat dengan banyak di sekitar Minaret College. Oleh kerana Minaret College adalah sekolah swasta maka yurannya amat tinggi. Namun begitu yuran sekolah boleh dirundingkan dengan pengetua.

      Padam
  4. Assalamualaikum , wah. Menariknya australia ni . Actually , after SPM this yr maybe akan travel ke sana nak melawat aunty , Insya'Allah . Semoga keselamatan di sana terjamin .. Tak sabar tak sabar :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Musafir Cinta,
      Waalaikumusalam. Ya, menarik Australia ni. Saya yakin Musafir Cinta akan setuju dengan saya setelah berada di sana nanti. Lebih-lebih lagi aunty MC tinggal di sana. Saya doakan MC selamat dan gembira di sana. :)

      Padam
  5. Assalamualaikum....penulisan Puan banyak membantu..Insyallah tahun depan sy akan ke OZ untuk menyambung pelajaran di peringkat Sarjana. Terima Kasih.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Azura,
      Terima kasih kerana sudi merujuk blog ini. Semoga Azura selamat menjalani kehidupan baru di sana, menimba ilmu yang berguna dan berjaya dalam memperolehi ijazah yang diidam-idamkan.

      Padam
  6. Assalamualaikum..terima kasih pada Puan, saya dapat banyak info berguna tentang Melbourne.Cuma nak tahu sekolah Minaret College tu, yurannya agak mahal dan kalau di beri diskaun berapa agaknya bagi anak yang berumur 7 dan 9 tahun? Terima Kasih...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam,
      Tentang persekolahan dan yuran anak-anak telah saya bincangkan di dalam entri ini: http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/perkara-lain-yang-patut-anda-tahu.html

      Tentang diskaun di Minaret College, bergantung kepada rundingan Puan Alishah dengan pengetua sekolahnya. Saya tidak pasti berapa diskaunnya - mungkin di antara 20-50 peratus, bergantung kepada budi bicara pengetua itu. .

      Padam
  7. Assalamualaikum puan..
    Saya dari cheras, selangor, malaysia.. Saya tiada kenalan di melbourne..
    Saya akan ke Melbourne Convention & Event Center (MCEC) pada 11 - 17 Mei 2014..
    Saya nk mohon bantuan atau cadangan..
    Saya memerlukan penginapan area MCEC.. Boleh saya tahu dengan siapa sy boleh rujuk dan bertanya? Puan ada cadangan?
    Saya perlu penginapan yg paling murah jika ada..
    Untuk saya seorang..
    Saya harapkan maklum balas dari pihak puan.
    Terima kasih puan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Muhammad Kamil,
      MCEC letaknya di Melbourne CBD. Penginapan paling murah ialah Dewan Malaysia di High Street dan ia tidak jauh dari MCEC. Sila baca entri saya tentang tips memilih hotel di sini: http://nota-kembara.blogspot.com/2012/04/melbourne-tips-memilih-hotel.html
      Jika Dewan Malaysia penuh, boleh menginap di backpackers hostel yang banyak terdapat di CBD dan St Kilda atau Prahran yang tidak jauh dari sini. St Kilda, Prahran dan High Street adalah 5 km saja dari CBD.

      Padam
  8. as salam puan, saya dan rakan2 akan mengadakan lawatan antarabangsa ke melbourne.
    saya ingin meminta pendapat puan mengenai komuniti islam yang mudah saya hubungi bagi saya
    mengadakan aktivit kemasyarakatan di sana,, hal ini bagi memenuhi syarat kami untuk melakukan lawatan
    antarabangsa. harap puan dapat memberi sedikit pandangan.. terima kasih.. :)

    BalasPadam
  9. Anda mempunyai pengetahuan yang luas tentang melbourne. Nak tanya pasal parking di bandar melbourne? Tempat mana nak parking supaya kosnya rendah. Kata depa mahal kalau parking di city melbourne.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya tinggal lama di Melbourne.

      Memang parking di CBD mahal. Susah nak cari yang murah. Saya selalu naik keretapi ke CBD dan jalan kaki. Ini lebih mudah. Orang suka berjalan kaki di CBD. Saya ada tulis tentang memandu di CBD di dalam blog ini, silalah bacanya di bawah tajuk "Melbourne: Tips Memilih Hotel"

      Tetapi kalau memandu sendiri, terdapat on-street parking atau public parking seperti City Square parking untuk Encik Khairuddin Lim letakkan kereta. Kadar bayarannya juga berbeza mengikut jalan, di antara $10 hingga $23 sejam. Sila kilik di sini untuk melihat kadar bayaran parking http://au.parkopedia.com/parking/melbourne/.Kalau Encik Khairuddin guna on-street parking yang berpapantanda 1P, ia hanya untuk sejam dan apabila cukup masa perlulah beredar untuk mengelakkan denda. Mereka 'strict'.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.