Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 30 April 2012

Perkara Lain Yang Patut Anda Tahu Tentang Melbourne

Terdapat perkara-perkara berguna lain yang perlu anda ketahui apabila berada di Melbourne. Soalan-soalan berikut sering ditanyakan kepada saya apabila ada yang hendak datang belajar, menjalani latihan perubatan atau melancong di Melbourne:

1. Bilakah waktu yang sesuai melawat Melbourne?


Waktu yang sesuai untuk melawat Melbourne ialah pada:

Musim bunga (Ogos-November), pada musim ini cuaca tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas. Suhunya kira-kira 16-20ºC. Namun begitu cuaca di Melbourne agak pelik. Ini disebabkan cuaca di Melbourne tidak boleh dijangka (unpredictable). Cuaca pada waktu pagi yang terlalu sejuk tiba-tiba bertukar menjadi panas pada waktu tengahhari dan tidak semena-mena bertukar menjadi sejuk kembali. Orang mengatakan bahawa dalam sehari ada 4 musim di Melbourne. Oleh itu sentiasalah membawa pakaian yang sesuai. Bawalah jaket selalu kerana cuaca yang panas boleh bertukar menjadi sejuk dengan tiba-tiba.

Bunga kembang dengan mudah di mana-mana sahaja di Victoria ketika musim bunga

Suasana musim bunga di sebuah taman di Victoria

Bunga-bunga berkembangan di dalam cuaca yang nyaman pada musim bunga


Dalam musim bunga banyak acara menarik diadakan. Biasanya pertunjukan fesyen dan pertunjukan bunga antarabangsa diadakan pada musim bunga. Bagi peminat seni dan muzik, festival seni banyak dibuat pada musim ini.

Daun-daun pokok yang segar menghijau pada musim bunga

Pelbagai warna bunga pada musim bunga di Melbourne

Bird of Paradise mudah dilihat di sekitar Melbourne pada musim bunga


Musim panas (Disember-March), tidak begitu sesuai kerana cuacanya kadang-kadang terlampau panas sehingga mencecah 48ºC. Kebiasaannya suhu musim panas adalah di antara 24ºC-38ºC .

Dalam musim panas terdapat banyak lalat bersaiz besar datang migrasi ke Melbourne. Lalat-lalat ini sangat banyak dan SENTIASA terbang di sekeliling kita.  Kita berasa runsing dengan kehadiran lalat-lalat ini kerana kita sentiasa kena menepis dengan tangan lalat-lalat ini yang terbang mengelilingi muka kita. Kita kena selalu tutup tingkap rumah kita untuk mengelakkan lalat masuk dan mengelakkan bahang panas masuk ke dalam rumah. Di dalam laman web rasmi, tidak diceritakan hal ini, tetapi yang pernah tinggal di sana, faham maksud saya ini.

Belukar dan hutan juga mudah terbakar pada musim panas dan bahangnya mengganggu keselesaan kita. Badan kita terasa melekit-lekit dengan cuaca yang panas kering itu. Waktu siang hari pada musim panas adalah panjang.  Kalau berpuasa dalam musim panas, perlu banyak bersabar.

Pada musim panas ramai orang (mat salleh) berjemur di pantai. Itu mat salleh, kulit mereka tebal dan tahan panas. Kulit Melayu tak tahan panas begitu. Kulit kita akan rasa pedih kalau terkena panas di Melbourne.

Pada musim panas di Melbourne biasanya  diadakan "wayang pacak" pada waktu malam, orang datang beramai-ramai menonton "wayang pacak" ini sambil lepak-lepak di atas padang. Pada waktu malam biasanya suhu menurun dan ada angin sejuk.

Keadaan panas yang melampau dan kering berlaku bukan sepanjang musim panas, ia kadang-kadang berlaku 2-3 kali seminggu. Ada masanya cuaca menurun sehingga 10ºC dan sejuk seperti dalam musim sejuk walaupun  ia sebenarnya dalam musim panas.

Rumput-rumput dan daun-daun pokok kering pada musim panas di Melbourne




Musim luruh (April-Jun) juga sesuai untuk melawat Melbourne. Cuacanya agak selesa, tetapi lembab. Suhunya di antara 12-18ºC. Pada waktu malam ia boleh menurun hingga  2ºC. Angin amat kuat pada musim ini dan kadang-kadang berlaku hujan air batu. Pada musim luruh siangnya agak pendek dan waktu solat juga terlalu rapat/pendek jaraknya di antara satu waktu dengan waktu yang lain. Perlu sentiasa beringat tentang waktu zohor dan asar, takut terlepas. Zohor biasanya masuk dalam 12.19 dan asar pula pukul 3.17 petang.

Festival komedi sering diadakan pada musim luruh.

Musim luruh di Melbourne



Musim sejuk (Julai-September) juga sesuai kalau anda tahan sejuk. Cuaca musim sejuk di Melbourne adalah di antara  6-12ºC. Angin kuat juga sering berlaku disertai dengan guruh dan kilat. Hujan renyai-renyai selalu berlaku dalam musim ini. Kadang-kadang ada frost, kabus dan langit berawan tebal. Di kawasan pergunungan ada salji nipis. Namun begitu cuaca di Melbourne adalah pelik. Dalam musim sejuk kadang-kadang cuacanya tiba-tiba panas seperti musim panas. Jadi kita perlu sentiasa peka dengan cuaca dan semak cuaca setiap hari melalui radio, tv atau internet.


Kawasan pergunungan diliputi salji ketika musim sejuk Melbourne


2. Benarkah makanan tidak boleh dibawa masuk ke Melbourne?


Makanan yang belum diproses, produk daripada binatang atau tumbuh-tumbuhan tidak dibenarkan di bawa masuk ke Australia seperti telur, ayam, daging, sayur-sayuran, ubat-ubatan, tanah, pasir, kayu, bahan-bahan larangan (dadah, bahan mudah terbakar), buah-buahan dan kekacang. Barang-barang kraf yang dibuat daripada kayu, tumbuh-tumbuhan (seperti bunga kering) dan bahagian tubuh bintang (bulu, gigi, tulang) tidak dibenarkan. Sila pastikan anda tidak membawa debu atau tanah di kasut anda ketika anda masuk ke Australia.

Sekiranya anda tidak pasti, isytiharkan ia dengan mengisi maklumat ke dalam borang ketika memasuki Australia. Sekiranyanya anda hendak membawa makanan sila pastikan makanan itu sudah diproses di kilang seperti rempah kari yang masih dibungkus dengan rapi dan bahan-bahan kandungannya tertulis pada bungkusan. Sekiranya anda tidak mengisytiharkan barang-barang ini, atau membuat pengisytiharan palsu anda boleh disoal siasat oleh pihak imigresen Australia, ditahan dan didenda dengan jumlah yang banyak. Ada yang perlu membayar sehingga AUD220,000.00 (on the spot) sebagaimana yang dipertontonkan dalam rancangan Boder Security kerana membawa daging panggang itik atau anak pokok bunga. Atau anda mungkin ditahan dan didenda AUD66,000 atau 10 tahun penjara.

Sekiranya undang-undang tidak diperketatkan ketika masuk ke Australia, koala mungkin tidak akan dapat dilihat oleh generasi akan datang.


Australia mempunyai undang-undang yang ketat dalam soal membawa produk dari luar kerana mereka mahu mengurangkan risiko kepada alam semulajadi dan binatang-binatang di Australia.

Untuk membawa ubat ke Australia sila lihat laman web ini: http://www.tga.gov.au/consumers/travellers-entering.htm

Anda juga dikehendaki mengisytiharkan wang yang anda bawa ditangan sekiranya ia berjumlah AUD10,000 atau lebih.

Daun-daun ivy menjalar segar pada musim bunga. Alam semulajadi ini dipelihara baik oleh Australia, maka  undang-undang ketat dikenakan kepada pendatang yang masuk membawa produk yang berisiko mencemarkannya

3. Bagaimanakah cara menaiki kenderaan awam dari lapangan terbang Melbourne?


Dari lapangan terbang ke pusat bandar anda hanya perlu menaiki Skybus. Pergilah ke terminal 1 dan 3, carilah kaunter Skybus dan belilah tiket di situ. Bas ini membawa anda ke stesen keretapi Spencer Street. Kira-kira 20 minit perjalanan. Dari Spencer Street anda boleh menaiki keretapi ke destinasi seterusnya.

Perkhidmatan bas ini diadakan setiap 15 minit dari 6 pagi hingga tengah malam, dan selepas tengah malam ia begerak setiap 30 minit. Dari Spencer Street ke lapangan terbang pula perkhidmatannya setiap 30 minit dari 6 pagi hingga 12 malam. Selepas tengah malam ianya sejam sekali.

Mereka juga boleh mengambil anda berdekatan dengan hotel anda, tetapi perlu buat tempahan 3 hari sebelumnya.

Tetapi kalau anda datang bertiga atau lebih, lebih baik naik teksi.

 

4. Apakah bank yang sesuai digunakan di Victoria, Australia?


Bank-bank yang sering terdapat di Melbourne ialah Commonwealth Bank dan ANZ Bank. Walaupun ada bank-bank yang lain namun kedua-dua bank ini terdapat dengan banyak di mana-mana sahaja di Melbourne. Mesin ATM juga terdapat dengan banyak terutama sekali Commonwealth Bank. Bank-bank ini juga mengeluarkan kad debit dan kad kredit. Transaksi ke/dari Malaysia juga mudah dilakukan melalui bank ini.

Untuk makluman anda saving account di sini berbeza dengan di Malaysia. Saving account di sini tidak memberi interest/faedah kepada penyimpan sebagaimana di Malaysia. Sila minta bank anda menjelaskannya kepada anda sebelum anda membuka akaun.

Untuk urusan mengeluarkan wang dan membuat transaksi telegrafik di kaunter bank amatlah mudah, tiada borang yang perlu diisi, cuma tunjukkan kad pengenalan (ID) atau pasport sahaja dan beritahu kepada kerani di kaunter nombor akaun yang berkaitan. Anda akan berasa selesa kerana tidak perlu beratur panjang.

 

5. Apakah EFTPOS?


EFTPOS adakah sistem bayaran melalui kad debit. Kad debit ini boleh digunakan di kebanyakan kedai. Anda tidak perlu membawa wang tunai yang banyak kerana kad debit ini diterima di pasaraya, stesen minyak, dan di mana sahaja yang terdapat logo EFTPOS. Anda boleh tunaikan wang daripada kad ini di kaunter di kedai. Ini bermakna apabila anda membayar harga barangan dengan menggunakan kad debit ini, anda minta cashier untuk berikan tunai kepada anda. Kadang-kadang cashier sendiri bertanyakan anda, "Any cash out?" Anda nyatakan berapa tunai yang anda mahu dan cashier itu akan tolak dari debit anda dan berikan duit tunai kepada anda. Sistem pembayaran EFTPOS adalah sistem yang meluas digunakan di Australia. Anda hanya tekan CHQ atau SAV dan nombor PIN.

Kedai-kedai di Clayton



6. Apakah lay-by?


'Lay-by' adalah kontrak pembelian barangan, iaitu anda membayar penjual dengan sejumlah wang tertentu secara beransur-ansur (sekurang-kurangnya dua kali ansuran) dalam tempoh tertentu. Setelah bayaran habis dibayar barulah anda mendapat barangan itu.


7. Bagaimanakah untuk memilih universiti di Australia?


Pilihlah universiti yang termasuk dalam Group of Eight kerana ia lebih berprestij, institusi yang menerajui pendidikan di Australia -'Australia's Leading Universities' - intensif dalam penyelidikan, komprehensif secara umum dan berpendidikan profesional. The Group of Eight (go8)  memasarkan pendidikan mereka berdasarkan statistik berkaitan dengan hasil penyelidikan, hubungan dengan industri, bilangan graduan dan kopetensi staf akademiknya.  Ahli-ahli The Group of 8 ialah:
  • The University of Adelaide
  • The Australian National University
  • The University of Melbourne
  • Monash University
  • The University of New South Wales
  • The University of Queensland
  • The University of Sydney
  • The University of Western Australia

Hadiri Australia Education Fair yang sering diadakan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan negeri-negeri tertentu di Malaysia. Di sini anda berpeluang berbincang dengan wakil-wakil universiti di Australia. Memohon kemasukan ke universiti dengan mengisi borang di pameran ini lebih mudah dan cepat. 

Monash University adalah ahli The Group of 8


8. Bolehkah bekerja di Melbourne dengan visa pelajar?


Boleh berkerja. Hendaklah meminta kebenaran Imigresen untuk bekerja dahulu. Di Monash University, kebenarana itu boleh dilakukan di Bahagian International Office. Daftarlah dahulu sebagai pelajar Master atau PhD sebelum memohon kebenaran  bekerja. Setelah mendaftar sebagai pelajar universiti dan mendapat kebenaran bekerja barulah anda boleh bekerja tanpa had.

Ada yang berjaya mendapatkan pekerjaan dalam bidang profesional seperti jurutera, doktor, tutor universiti dan pekerja IT/komputer. Namun ia bukanlah mudah. Kebanyakan pelajar yang datang ke Melbourne bekerja sambilan sebagai buruh, pekerja kilang, pembantu kedai, pencuci bangunan, carer (penjaga warga emas atau orang kurang upaya), babysitter, pemandu, penghantar barangan dan pekerja ladang (bermusim). Ada juga suami yang menemani isteri belajar di Melbourne dan mendapat pekerjaan sebagaimana yang disebutkan tadi.

Gaji dibayar sebanyak AUD8.00 hingga AUD24.00 sejam. Gaji dibayar setiap minggu. Kebiasaannya anda dikehendaki mempunyai lesen memandu dan memilki kenderaan sendiri.


Bekerja sebagai pemetik buah-buahan di ladang Victoria


Ada juga yang datang bekerja di Melbourne melalui agen pekerjaan yang beroperasi di Malaysia dan Singapura. Anda perlu membayar sejumlah wang kepada agen ini untuk mendapatkan pekerjaan (lebih kurang AUD6,000.00). Agen ini mendapatkan permit kerja untuk anda, membawa anda ke Melbourne, memberikan tempat tinggal, menyediakan pengangkutan dan mencarikan pekerjaan untuk anda. Biasanya sebagai buruh di ladang. (Misalnya memetik anggur). Mereka sentiasa bergerak dalam kumpulan yang sama.

Bagi orang Islam, sila pastikan tujuan anggur itu dipetik kerana kebanyakan anggur ditanam untuk dijadikan wain. Adalah haram bagi orang Islam bekerja sebagai pemetik anggur yang digunakan untuk membuat wain.


9. Bagaimanakah menghantar anak ke sekolah di Victoria?


Menghantar anak ke sekolah mesti mendapat kelulusan dari guru besar sekolah dan Department of Education yang letaknya di Spring Street. Kemukakan kad laporan sekolah lepas, surat sokongan dari pengetua sekolah lepas, salinan pasport dan gambar. Kalau anak anda di sekolah rendah perlu tunjukkan kad imunisasi yang pernah dilakukan.


10. Berapakah bayaran yuran sekolah anak di Victoria?


Menghantar anak ke sekolah dibawah kelolaan kerajaan atau pemerintah Victoria tidak dikenakan sebarang yuran sekiranya anda memegang visa subclass 574, iaitu visa pelajar Master atau PhD yang mempunyai tanggungan. Sekiranya tiada visa ini, yuran untuk pelajar antarabangsa dikenakan kepada anak anda. Yurannya mahal iaitu lebih kurang AUD9,100 untuk satu tahun persekolahan sekolah rendah dan AUD18,400 untuk sekolah menengah tinggi.
Untuk ke sekolah swasta (misalnya sekolah Islam) yurannya lebih mahal. Ini disebabkan anak anda adalah pelajar antarabangsa. Satu penggal dikenakan bayaran dalam RM12,000-20,000. Ada 4 penggal dalam setahun. Jadi setahun anda perlu ada RM48,000-80,000.


11. Bagaimanakah jagaan kanak-kanak/bayi ketika saya bekerja atau ke kuliah?


Pusat jagaan kanak-kanak terdapat di banyak tempat. Anda boleh menghantar anak anda ke pusat jagaan kanak-kanak itu. Terdapat juga agen yang menyediakan babysitter. Ada juga yang menjaga kanak-kanak di rumah dengan kebenaran agen. Bayaran kepada babysitter bergantung kepada faktor seperti umur, pengalaman, masa jagaan, kekerapan penjagaannya, dsb. Sekiranya anda menggunakan agensi, yuran tempahan dikenakan, biasanya dalam AUD15-AUD33 bagi setiap tempahan. Anda juga akan dikenakan cas sekiranyanya membatalakan tempahan. Sekiranya anda berjumpa dengan babysitter itu sendiri, biasanya bayarannya ialah antara AUD10 hingga AUD25 sejam.


12. Bagaimanakah saya menghantar anak saya ke sekolah di Australia sedangkan saya berada di Malaysia?


Hubungi pengetua sekolah anak anda. Minta pengetua carikan penjaga anak anda. Kebiasaanya pengetua sekolah mempunyai senarai penjaga (guardian) dan asrama atau homestead/board. Penjaga ini tiada rekod jenayah dan telah membuat pemeriksaan polis. Anda boleh meminta penjaga ini menjaga anak anda dan tinggal bersama mereka. Kebiasaanya mereka mempunyai bilik persendirian untuk anak anda, menyediakan pengangkutan ke sekolah dan makanan. Bayaran homestead ini boleh dirundingkan dengan penjaga.


26 ulasan:

  1. Salam,
    Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada puan kerana dari nota kembara ini saya telah mendapat maklumat untuk dijadikan panduan semasa saya melawat Melbourne 2 minggu lepas. Saya dapat mencari makanan halal di Norsiah Kitchen dan Melbourne Central . Saya juga dapat menaiki City Circle tram yang percuma itu. Saya akan mengikuti catatan puan selanjutnya terutama kembara ke China.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Tun,
      Terima kasih diatas kesudian Tun membaca blog ini dan memanafaatkannya. Saya gembira mendengar Tun dapat makan makanan halal di Melbourne dan menaiki City Circle Tram yang percuma itu. Silalah baca catatan kembara saya di China sekiranya ingin ke China pula. Mudah-mudahan ia dapat membantu Tun ke sana.

      Padam
  2. Dah lama ni tp nk tanya gak.. makanan mcm brahims, megi tu pn kene declare gak ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kena declare sebab ia makanan...apa sahaja makanan yang berbungkus di kilang atau tak berbungkus perlu dimaklumkan kepada imigresen.

      Padam
  3. salam,
    nice blog. sangat membantu.info yang best
    tapi kat cni ada sikit pertanyaan... ubat ubatan tak boleh bawa? mcm mana dengan ubat yang common mcm panadol,piriton,ural,cirit birit pya ubat.boleh bawa ke? ada contoh declaration form yang boleh dishare ?
    semoga Allah memberi kemudahan dan rezeki sebagai mana awk membantu n memudahkan urusan orang lain

    BalasPadam
    Balasan
    1. Myanomy,
      Ubat-ubatan seperti yang Myanomy senaraikan itu perlu disytiharkan (declare) dengan mengisi borang. Borangnya amat simple, bagi setiap soalan yang ditanya, hanya tandakan pada ruangan Yes atau No. Borang ini diisi di dalam kapal terbang sebelum mendarat. Ubat-ubat itu perlu ditunjukkan kepada pegawai imigresen ketika pemeriksaan di lapangan terbang Melbourne.

      Aamiin :)

      Padam
  4. Assalam tuan....sy ada sedikit kemusykilan....sy nk bwk maggi dan sikit ubat2an(panadol,multi vitamin,etc)...tp sy nk hand carry....sy x bwk beg luggage.mcm mana tuan,bleh ka?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam.
      Boleh bawa Maggie dan ubat-ubat tersebut dengan hand carry tetapi mesti isi borang declaration. Semasa mendarat di Melbourne berbarislah di barisan 'declare' dan tunjukkan barang-barang ini pada pihak imigresen. Lebih baik declare daripada menyembunyikannya. Sekiranya kita menyembunyikan sesuatu dan mereka mengetahuinya, mereka akan curiga. Keadaan bertambah buruk sekiranya mereka curiga terhadap kita.

      Padam
  5. Saya sangat teruja membaca catatan pengalaman yang sungguh bermanfaat kepada pembaca. semoga usaha murni ini mendapat keberkatan dari Allah jua. aamin. Terima kasih.

    BalasPadam
  6. Sangat bermanfaat tulisan puan. Sangat hargainya. InshaaAllah bln depan june sy dan suami akan ke sana. Mohon doanya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Semoga Diya dan suami selamat, bergembira dan memperolehi banyak ilmu di sana. Aaamin.

      Padam
  7. Puan...bolehkah anak saya bekerja sebagai babysitter..sambil suami bekerja di ladang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Shahrul,
      Untuk bekerja sebagai babysitter (carer) di Melbourne, carer itu perlulah mendaftar dengan agensi yang berkaitan dengan penjagaan kanak-kanak. Untuk itu carer tersebut perlulah mendapat pemeriksaan polis (Police Clearance Check) terlebih dahulu, mempunyai kad First Aid & Working with Children. Selain itu, carer mestilah mempunyai sijil Children's Service, mempunyai kereta dan pengalaman dalam Childcare. Selain itu mestilah ada rekomendasi dari 2 orang referee.

      Padam
  8. Tulisan yg sgt berinformasi Dan ditulis dgn penuh professionalism...Saya suka...Terima kasih

    BalasPadam
  9. assalammualaikum puan,
    saya amat tertarik dengan perkongsian puan tentang di negara australia.
    boleh saya tahu, saya berminat untuk bekerja di ladang, iaitu petik buah dan sbg nya. jadi, di mana saya perlu rujuk dgn mana-mana agen yg sah dan boleh di percayaai. kerana, sy ingin cuba nasib di sana. terima kasih puan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Muhammad Yasser,
      Terima kasih kerana membaca blog saya.
      Saya mohon maaf kerana saya tidak tahu tentang agen mana yang sah dan boleh dipercayai.

      Padam
  10. Salam kak,

    Nak tanya, kalau kita pergi sebagai sabbatical attachment, bukan di kira sebagai student kan? Jadi yuran sekolah anak2 kena bayar berapa yer?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Boleh tak bagi nama?
      Kalau sabbatical kerana diberi cuti utk buat research & tuan/puan adalah pensyarah, visa yg diperolehi bukan bertaraf student, jadi anak tuan/puan berstatus international student & yuran sekolah anak berbeza.Tuan/puan boleh ke Education Office di Spring Street utk bertanya lebih lanjut.

      Padam
  11. Salam kak, sy plan nak sambung phd di rmit melbourne australia. Dlm perancangan 2019. Anak saya berumur 6 & 9 tahun. Bagaimana dengan persekolahan disana? Bolehkah kita menghantar anak2 ke sekolah kerajaan di sana instead of private school? Bagaimana dari segi bayaran persekolahan dan yuran2 tahunan.


    Really need ur advise on this matter. If u dont mind, pls whatsapp me @017-6910023.

    Thanks.
    Syarifah
    Klang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Fari,
      Sejak tahun 2006, pelajar dari Malaysia yg belajar di Melbourne boleh hantar anak ke sekolah kerajaan dgn yuran yg rendah sama dgn local student. Walau bagaimanapun Fari mesti semak dengan guru besar sekolah tersebut sebelum berangkat dan dapatkan surat kebenaran untuk permohonan visa anak-anak.
      Saya akan call Fari, insyaAllah.

      Padam
  12. Assalamualaikum. Untuk makluman, suami saya dapat tawaran bekerja di Australia. saya baca di atas, hanya yang sambung belajar masters atau phd sahaja dapat menghantar anak ke sekolah kerajaan secara tanpa bayaran. Jadi jika bekerja di sana maksudnya tidak boleh ke sekolah kerajaan secara percuma?

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.