Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 1 Mei 2012

Canberra: Tempat Kangaroo Mati Dilanggar, Dagingnya Dimakan

Papan tanda seekor kangaroo melompat terpampang di tepi-tepi jalan dalam kembara saya ke Sydney dari Melbourne. Kembara saya ke Sydney itu perlu melalui Canberra, ikut jalan darat. Papan tanda kangaroo melompat inilah yang membuat Canberra lain daripada yang lain. Papan tanda ini menggambarkan bahawa kangaroo ada di mana-mana di sepanjang jalan. Wah, tentu seronok bersafari dengan kangaroo yang lepas bebas, bukan?

Sebut sahaja kangaroo saya terbayangkan seekor binatang yang berdiri dengan dua kaki dan menggendong anak di dalam kantung di hadapannya. Melihat papan tanda kangaroo di sepanjang jalan itu melantun keinginan saya untuk melihat kangaroo yang sebenarnya. Pada tanggapan saya sudah tentu peluang untuk melihat kangaroo lepas bebas amat besar. Tentu ia akan menjadi kenangan yang paling indah.


Papan tanda kangaroo di sepanjang jalan di Canberra, ACT


Canberra adalah ibu negeri Australia dan letaknya di negeri Australian Capital Territory (ACT). Canberra sering dilabelkan sebagai kota pendtadbiran. Rumah Parlimen letaknya di sini. Kota ini kelihatan bersih, kemas dan cantik. Kedutaan Malaysia letaknya di sini. Negerinya besar tapi penduduknya tidaklah ramai. Sebenarnya populasi penduduk Australia adalah sedikit, malahan jauh lebih rendah daripada Malaysia. Negeri ACT ini mempunyai paling banyak kangaroo. Barangkali jumlah kangaroonya hampir sama dengan penduduknya.

Lake Burley Griffinn, Canberra, ACT di musim panas 2004
Kami berehat dan makan tengahari di tasik Burley Griffinn, Canberra.
Memorial Perang  (War Memorial) Canberra
Rumah Parlimen Australia (Australia Parliament House) di Canberra


Pemanduan dari Melbourne ke Sydney memakan masa 10-12 jam atau 900-1000km. Itupun kalau tidak singgah-singgah. Perjalanan itu memberi saya peluang memandu pertama kali di lebuh raya di bumi kangaroo. Ia amatlah mendebarkan dada saya. Apatah lagi pertama kali memandu pacuan empat roda. Jadi bumi kangaroo telah mejadi saksi saya merodai jalan-jalannya. 

Itulah pertama kali saya ke Sydney. Tahun 2004. Saya ke sana setelah diajak Abang Amza dan Kak Mimi pasangan suami isteri yang rapat dengan saya. Mereka berdua berasal dari Singapura, telah berpindah menjadi residen tetap Australia lebih daripada 20 tahun.

Saya amat kagum dengan pasangan ini kerana walaupun mereka telah lama menjadi penduduk tetap Australia namun mereka masih mengekalkan adat dan budaya Melayu dan menggunakan bahasa Melayu. Beliau adalah antara orang Australia yang mahu memartabatkan bahasa Melayu di bumi kangaroo ini sehingga beliau menubuhkan Persatuan Melayu Victoria dan menjadi presidennya. Sebenarnya ramai kenalan saya orang Singapura yang memperjuangkan bahasa Melayu di Australia dan bersikap seperti keluarga Abang Amza dan Kak Mimi.

Antara sebab kami ke Sydney itu ialah untuk menjalin hubungan di antara Persatuan Melayu Victoria dengan Persatuan Melayu New South Wales. Apabila kami sampai nanti kami akan terus ke rumah presiden Persatuan Melayu New South Wales dan akan menginap di sana. Semasa itu saya juga adalah ahli Persatuan Melayu Victoria dan bergerak aktif dalam aktiviti persatuan ini. Sekiranya anda berminat untuk mengetahui persatuan ini sila klik di sini

Pacuan empat roda itu adalah milik Abang Amza dan kami bergilir-gilir memandu. Sepanjang jalan saya dapat melihat pemandangan, rumah-rumah, ladang-ladang dan hutan-hutan. Namun saya selalu diperingati oleh Abang Amza supaya sentiasa memerhati kalau-kalau ada kangaroo melintas.

Saya ingin sekali melihat kangaroo lepas bebas. Ingin sekali saya bersafari dengan binatang asli down under ini. Hasrat saya itu tercapai apabila saya dapat melihat kangaroo itu di pinggir jalan. Tetapi bukan yang melompat dan menggendong anak di kantungnya sebagaimana yang saya bayangkan. Yang saya lihat adalah kangaroo yang sudah mati dilanggar. Kangaroo itu barangkali tiba-tiba melompat keluar dari belukar tanpa mengetahui bahaya yang akan menimpanya. Lalu digilis tayar kereta atau trak. Hanya tinggal bangkai bergelimpangan di atas jalanraya.

Amat sayang melihatkan spesis haiwan yang menjadi kebangaan bumi down under ini tumbang di atas jalan satu per satu dan digilis kereta. Ramai yang tidak perasan bahawa ibu kangaroo mati bersama anaknya yang ada dalam kantungnya.

Kangaroo kuat. Kenderaan kita akan remuk kerana seekor kangaroo. Ramai yang tercedera. Banyak kereta yang perlu dibaiki. Ramai orang Australia mengatakan apabila kita melihat kangaroo melintas di hadapan kenderaan kita dan kita tahu kita akan melanggarnya, hendaklah kita jangan menekan brek tetapi teruskan dan langgarlah kangaroo itu, kerana itu lebih baik daripada mencederakan diri kita sendiri. Dalam saat genting begini, mengelak daripada melanggar kangaroo akan membuat kita lebih teruk. Mungkin kita akan terbabas. Mungkin juga akan melanggar pokok. Malahan lebih memburukkan orang dan kenderaan lain.

Canberra adalah hot spot bagi pelanggaran kenderaan dengan kangaroo. Walaupun rangers di Canberra merekodkan bahawa ada lebih daripada 1,000 pembantu kangaroo pinggir jalan disediakan setiap tahun, namun pelanggaran berlaku dua kali ganda daripada jumlah pembantu. Pelanggaran ini tidak mengurangkan populasi kangaroo. Dalam laporan tinjauan pada tahun 2008 yang dibuat melalui telefon ke atas 600 orang residen Canberra yang memiliki kenderaan berdaftar, 17 peratus menyatakan bahawa kenderaan mereka pernah melanggar kangaroo.

Seorang pemandu trak menyatakan bahawa amat jarang sekali baginya tidak melanggar kangaroo ketika memandu di Canberra dalam seminggu. Jadi kita dapat bayangkan dalam sebulan 3-4 ekor kangaroo telah dilanggarnya. Dalam setahun.......?

Sebuah trak di lebuhraya

Kejadian kangaroo dilanggar banyak berlaku pada waktu subuh, rembang petang dan waktu malam. Ini disebabkan kangaroo keluar pada waktu itu untuk mencari makanan. Kangaroo akan terkejut melihat lampu kenderaan, panik dan hilang hala tujuan. "Terkejut kangaroo" (bukan terkejut beruk ya! he he he)..."Terkejut kangaroo" ini menyebabkan pelanggaran berlaku.

Kawasan yang lebih banyak kangaroo adalah tanah terbuka. Jadi berhati-hatilah semasa memandu di Canberra. Lebih baik pandu perlahan dan elakkan memandu pada waktu malam (waktu kangaroo keluar), terutama pada musim sejuk atau waktu bulan mengambang.

Barangkali kangaroo yang mati  digilis itu dikutip dan dimakan. Barangkali. Ada restoren yang menjual daging kangaroo yang sudah siap dimasak. Ingin juga saya mencubanya, mungkin sedap. Tapi restoren itu pastinya tidak menjual daging kangaroo yang halal. Saya pernah melihat buku resepi khas memasak daging kangaroo di down under ini. (Malahan resepi masak buayapun ada). Saya selalu tertanya-tanya apakah rasanya kangaroo kalau dibuat rendang tok?  Bagaimana kalau anda memasakkannya untuk saya?

Tengoklah populasi kangroo yang banyak dan melintas jalan di Canberra dalam video "Kangroo Mob" ini.

Di sini pula ada video aktiviti orang Aussie yang membunuh kangaroo dengan kejam. Video ini mungkin menggangu emosi anda dan amat sensitif bagi kalian. Tetapi kalau ingin tahu, kliklah video itu di sini.

Maaf, saya tidak sempat mengambil gambar kangaroo yang mati dilanggar kenderaan dan digilis, jadi saya harap kalian melihatnya dalam dua pautan di atas.


3 ulasan:

  1. Ramai yang akan sangka Sydney ibu negeri Aus kan, saya pun dulu sering tersalah anggap. Canberra sebenarnya ibunegeri bagi Aus. Perjalanan seperti ini memang seronok melihat pemandangan kiri kanan walau pun tak da apa tapi bagi kita yang orang Msia tentu akan rasa kelainan suasana perjalanan yang memakan masa hampir 10 jam seperti ini.

    Hmmm kenapa ya, negara lain tak boleh kah mrk biakkan Kanggaroo? Kenapa hanya Aus aje yang banyak. Contoh kenapa tidak negara China biak kan kanggarooo banyak2 so tak payah lah nak jauh kita berjalan untuk lihat segerombolan kanggaroo tu. Cuaca di China pun tentu ada tempat2nya yang sesuai kan... kut. Maybe kanggarooo tak sama cam lembu yang senang nak dibiakkan di mana2 negara sekali pun kan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Terima kasih kerana sudi membaca nota kembara saya di Canberra dan memberi komen. Maaf lambat respons kerana saya ke luar kota bertugas. Ya, ramai orang sangka Sydney ibu negeri Australia. Tapi Canberra yang nampak macam tak ada apa itu sebenarnya ibu negeri Australia.

      Soalan AndaQue pasal kangaroo tu bagus. Tak pastilah pula apa sebabnya. Di negara lain kita cuma boleh nampak kangaroo di zoo sahaja. Saya berpendapat mungkin Australia tidak membenarkan binatang kebangaan mereka itu menjadi binatang milik semua. Kalau negara lain ada kangaroo, rasanya industri pelancongan Australia akan mengalami kerugian. New Zealand pun tak ada kangaroo kan, cuma di zoo aje :(

      Padam
  2. Salam... hampir menitis air mata menonton video kanggaro diperlaku begitu. kejam sungguh. anak dlm kantung dikeluarkan & dipijak hingga mati...Allahu...

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.