Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 11 September 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 3): Baitullah Oh Baitullah, Ku Sampai Jua

P emanduan kereta kami dari Madinah lancar. Kami sampai di sebuah bandar. Saya yakin ini ialah Mekah. "Dah sampai Mekah ke?" tanya saya. Liza angguk. Hati saya amat berdebar-debar apabila melihat kota Mekah. Bangunannya tinggi-tinggi dan rapat-rapat. Perasaan gembira berbaur dengan degupan jantung yang kencang tidak dapat dirungkaikan dengan kata-kata. Saya dan Liza pun menadah tangan membaca doa tatkala melihat kota Mekah al-Mukarramah.

Kota Mekah


Zahari terus memandu kereta milik Syeikh Toriq ahli perniagaan Jeddah. Kami tidak perlu membayar apa-apa kepada Syeikh Toriq kerana menggunakan keretanya itu. Kemudian kami melalui terowong dan flyover serta kesesakan jalanraya. Kami melalui perkuburan Ma'la. "Di sinilah bersemadinya Siti Khadijah isteri Rasulullah SAW," beritahu Liza. Kami menuju ke tempat penginapan. Letaknya di atas sebuah bukit.


Menginap di Apartment Milik Syeikh Toriq


Tidak lama kemudian kami pun sampai ke tempat penginapan kami. Ia adalah sebuah apartment yang tingginya kira-kira 20 tingkat. Kawasan apartment itu amat sunyi. Jarang sekali kami nampak orang di kawasan apartment itu. Cuma ada seorang pengawal keselamatan yang tinggal di tingkat bawah. Apartment ini milik Syeikh Toriq. Syeikh Toriq memberi kami tinggal di apartmentnya ini dengan percuma selama kami berada di Mekah. Menurut Liza, "Pada musim haji apartment ini disewakan dengan harga 1,000 rial (lebih kurang RM840-900) sehari." Sungguh mulia hati Syeikh Toriq kerana segala perbelanjaan pengangkutan dan penginapan yang mahal di Mekah itu dibiayai olehnya.

Kami masuk dan melihat di dalam apartment itu. Ada tiga bilik, dua bilik mandi dan dapur berserta dengan peti sejuk. Tiada ruang tamu. Saya ambil bilik di tengah yang mempunyai dua buah katil bujang. Bilik ini mempunyai tingkap dan dari tingkap ini saya dapat melihat menara Masjid al-Haram.

Menara Masjid al-Haram dari tingkap apartment Syeikh Toriq


Oleh kerana kami sampai dari Madinah sudah hampir tengah malam kamipun tidur. Kami masih lagi dalam ihram. Kami bercadang untuk melakukan tawaf pada keesokan paginya.



Ke Masjid al-Haram


Menara Masjid al-Haram yang bercahaya  menggamit saya ke sana. Gambar diambil dari tingkap apartment Syeikh Toriq



Kira-kira pukul 3.30 pagi saya bangun, mandi dan mengambil wudhu. Saya ingat saya masih dalam ihram. Saya sentiasa memerhati bantal dan lantai untuk melihat rambut saya yang gugur. "Tetapi kalau rambut itu gugur dengan sengaja secara semulajadi tidak mengapa, jangan sengaja menarik rambut," kata Liza.

Sebentar lagi subuh akan masuk. Saya teruja untuk ke masjid. Tetapi yang lainnya kepenatan kerana perjalanan yang jauh semalam. Kaki Zahari kebas-kebas. Liza pula rasa nak demam. Alhamdulillah saya rasa ok. Tapi hendak ke masjid bersendirian adalah merbahaya bagi orang perempuan. Mahu tidak mahu saya perlu menunggu semua orang segar semula. Solat subuh di bilik sahaja.

Menuruni Bukit ke Masjid al-Haram


Menara Masjid al-Haram dan kota Mekah pada waktu pagi dari tingkap apartment yang diduduki penulis

Setelah hari siang dan pagi masih awal kami semua bersiap untuk mengerjakan tawaf dan saie. Kami menuruni bukit dan melalui terowong untuk ke Masjid al-Haram.

Kira-kira 15 minit kami berjalan kaki kamipun sampai di kawasan Masjid al-Haram. Itulah pertama kali saya melihat Masjid al-Haram yang selama ini saya dengar dan lihat di dalam gambar sahaja. Ia kelihatan sangat besar dan bersih. Hati saya sangat gembira tetapi masih berdebar-debar kerana saya belum lagi masuk ke dalam dan melihat Kaabah. Saya pernah mendengar ada orang yang tidak dapat melihat Kaabah walaupun sudah berada di hadapannya. Saya memohon kepada Allah supaya Allah membenarkan saya berada di hadapan Kaabah dan melihatnya. "Ya Allah, izinkanlah aku melihat rumah-Mu. Izinkanlah."

Masjid al-Haram dari arah bukit menghala ke Babus Salam


Masjidil Haram dari luar


Kamipun masuk ke dalam masjid mengikut pintu Babus Salam lalu meletakkan kasut di dalam rak kasut. Orang ramai di dalam masjid. Kemudian saya bergerak ke hadapan. Terus saya nampak Kaabah. Kaabah! Ia adalah sebuah binaan empat segi yang dibaluti dengan kelambu berwarna hitam pekat dan disulami dengan benang emas. Bersih. Kukuh. "Allahu Akbar. Allahu Akbar!" Alhamdulillah saya telah dapat melihat Kaabah. Saya dan Liza terus menadah tangan membaca doa melihat Kaabah.



Manusia tidak putus-putus mendekati Baitullah



Tawaf Keliling Kaabah


"Ibadah utama ketika masuk ke dalam Masjid al-Haram ialah mengerjakan tawaf. Bukan solat sunat tahyatul masjid." Saya teringat kembali pesanan guru tajwid saya ini ketika mengajar saya cara-cara mengerjakan umrah seminggu sebelum saya berangkat ke tanah suci.

Kamipun berniat mengerjakan tawaf tujuh keliling lalu segera bertawaf. Liza memegang tangan saya dan memastikan saya tidak terlalu hampir dengan Kaabah kerana kalau tersentuh saya perlu bayar dam. Ini disebabkan kelambu Kaabah telah disapu minyak wangi. Memakai bau-bauan adalah salah satu daripada pantang larang dalam ihram.

Dalam kesesakan orang ramai itu kami berjalan perlahan-lahan mengelilingi Kaabah, berzikir dan berdoa sambil memastikan wudhu terpelihara dan bilangan mengelilingi Kaabah cukup 7. Sambil tawaf itu saya dapat melihat pintu Kaabah, makam Nabi Ibrahim dan bekas tapak kakinya. Saya beristilam setiap kali sampai di penjuru Hajarul Aswad. Namun sepanjang saya bertawaf itu saya tidak nampak batu Hajarul Aswad itu. Orang terlalu ramai.

Kami berjalan dengan langkah yang kecil dan perlahan disebabkan kawasan tawaf itu sudah penuh dan berhimpit-himpit dengan jemaah dari pelbagai pelusuk dunia. Pelbagai saiz dan warna kulit. Ada yang berdua-duaan. Ada juga yang bersendirian. Ada yang menjunjung anak di bahu. Ada yang berkerusi roda. Tidak kurang juga yang berpimpin tangan, memaut bahu pasangan dan mencangkuk lengan masing-masing. Ada yang berzikir perlahan-lahan. Ada yang berkumpulan dan membaca zikir dengan kuat dan serentak. Kadang-kadang membuat saya tersasul-sasul membaca doa dalam bahasa Arab. Walau apapun ragam mereka, mereka tetap tawaf mengikut arah lawan jam. Bertahlil. Bertahmid. Saya memuji kebesaran Allah. Memohon keampunan dan kebebasan dari azab api neraka.

Ketika itu musim panas. Suhu boleh mencecah sehingga 48 darjah celsius. Suhu ini dapat saya saksikan di sebuah jangkasuhu besar yang diletakkan tidak jauh dari tempat menginap saya. Walaupun hari masih pagi, bahang matahari sudah mula terasa. Matahari panas terik. Orang pula penuh sesak. Tapi ajaibnya, saya tidak rasa kepanasan itu. Di suatu penjuru di Rukun Iraqi, saya terasa sejuk. Angin meniup-niup ke arah saya. Saya perhatikan di langit dan meninjau dari mana datangnya angin itu. Langit terang dengan cahaya matahari. Saya renung ke masjid. Saya renung ke Kaabah. Dari manakah datangnya angin segar itu? Cuaca panas terik, tapi anginnya sejuk. Kedinginannya amat menyenangkan. Nyaman sekali rasanya. Kenyamanan ini saya rasai setiap kali saya lalu di situ. Subhanallah.

Saya amat terharu. Allah masih menerima saya di sana dan memberi peluang kepada saya walaupun saya adalah seorang manusia yang penuh dosa. Air mata menitis membasahi pipi tanpa saya sedari.



Kaabah sentiasa dikerumuni manusia


Solat Sunat Tawaf dan Minum Air Zam-zam


Selesai bertawaf kami solat sunat tawaf dua rakaat di belakang makam Nabi Ibrahim a.s. dan berdoa. Setelah itu kami minum air zam-zam yang terdapat dengan banyak di tepi tangga masjid. "Sebelum minum mohon doa supaya kita tidak dahaga di padang mahsyar nanti, disembuhkan penyakit dan dibersihkan hati," pesan Liza.

Tekak saya amat sejuk dan nyaman setelah meminum air zam-zam iaitu air yang terbaik sekali yang telah dijadikan Allah di mukabumi ini.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“Air zam zam itu penuh berkat. Ia makanan yang mengenyangkan (dan ubat bagi merawat penyakit).” (Hadis riwayat Muslim)

Kenangan di hadapan Kaabah



Saie


Kami kemudiannya menuju ke Bukit Safa yang tidak jauh dari situ untuk mengerjakan saie. Kami menghadap Kabaah yang kelihatan dari Bukit Safa lalu berniat dan berdoa untuk mengerjakan saie.

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah. Maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau melaksanakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara kedua-duanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebaikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 158)

Dari Safa saya berjalan ke Marwa. Apabila nampak lampu hijau saya berdoa. Sampai di Marwa saya berdoa dan kembali semula ke Safa. Begitulah saya ulang sehingga 7 kali. Terasa penat kerana ia agak jauh. Kira-kira 3 km. Liza berjalan lebih pantas daripada saya dan telah meninggalkan saya. Saya terus berjalan dengan perlahan-lahan. Ketika inilah saya membayangkan kepayahan yang dialami oleh Siti Hajar semasa mencari air di tengah ketandusan padang pasir untuk anaknya Nabi Ismail a.s. yang menangis kehausan. Hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang menangis kehausan itu akhirnya menyebabkan air terpancut keluar dari dalam bumi. Air ini dikenali dengan air zam-zam yang tidak kering-kering sehingga ke hari ini. Teladan yang saya pelajari dari kisah ini ialah kegigihan seorang wanita solehah dan melambangkan martabat wanita adalah tinggi dalam Islam.

Saya selesai saie di Marwa. Saya berdoa memohon Allah menerima ibadat umrah saya. Dengan berhati-hati saya menggunting sedikit rambut saya di balik tudung saya tanpa dilihat rambut saya oleh sesiapa. Selesailah umrah pertama saya. Gembiranya saya.

Menuruni Bukit Marwa ke Safa


Berjalan ke Bukit Safa

Lorong untuk kerusi roda di  kawsan Saie

Sunat untuk berlari-lari anak bagi kaum lelaki ketika melalui lampu hijau

Air zam-zam disediakan di kawasan saie

Solat dan berdoa di Marwa



Bertahalul (Bergunting/Bercukur)



Wanita-wanita bertahalul di Bukit Marwa selepas selesai saie
Ada juga kaum lelaki bertahalul di kawasan lapang di luar kawasan Saie

Penulis (paling kiri) bersama Liza duduk berehat di Bukit Marwa selepas kepenatan mengerjakan saie.


Mencari Sarapan


Penulis (di belakang sekali) berjalan menuju ke kedai makan di kota Mekah


Selesai mengerjakan umrah kami rasa lapar kerana belum bersarapan. Kamipun berjalan kaki menuju ke kedai makan. Kedai makan ini menyediakan roti Arab dengan kari kambing.  Kamipun makan dengan penuh berselera.

Setelah mengisi perut kami pulang semula ke aparment Syeikh Toriq berjalan kaki. Sepanjang berjalan kaki kami dapat melihat bukit-bukit batu pejal dan rumah tradisional Arab. Kami melalui rumah kelahiran Rasulullah SAW untuk sampai ke apartment Syeikh Toriq. Di belakang rumah kelahiran Rasulullah SAW ada terowong. Kami pun lalui terowong itu ke apartment. Di apartment kami berehat.

Bangunan putih di tengah-tengah itu adalah rumah kelahiran Rasulullah SAW. Rumah kelahiran Rasulullah SAW ini kami lalui untuk pulang ke apartment.

Berjalan melalui terowong pulang ke apartment

Apartment milik Syeikh Toriq di sebelah kiri jalan


Setelah berehat di siang hari, kami ke Masjid al-Haram lagi untuk solat zohor dan asar. Begitulah seterusnya kami pulang ke apartment berehat, kemudian datang semula ke Masjid al-Haram untuk solat maghrib dan isyak.


Masjid al-Haram dari Safwan Mall pada waktu malam



Hati saya amat tenang apabila berada di Masjid al-Haram. Pasrah di hadapan Kaabah adalah satu keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata saya menitis setitis demi setitis mengenangkan dosa yang telah banyak saya lakukan."Astaghfirullah al-azim.Ya Allah ampunilah dosa-dosaku. Aku bertaubat padaMu."

...bersambung

18 ulasan:

  1. bila baca post ni rasa sayu plak..teringat kali pertama masuk ke masjidilharam...kami masuk dr pintu di marwah..so kena jalan jauh sket br nampak kaabah..masa tu debarnya, Allah je tahu...dlm hati duk tertanya2 mana kaabah ni..mana kaabah ni....takut tak nampak mcm cerita2 yg didengar...huhuhu bila dah nampak di celah2 tiang batu, tetiba speechless...takut+excited semua ada... =D

    BalasPadam
    Balasan
    1. DJ,
      Sayapun mempunyai pengalaman dan perasaan yang hampir sama dengan DJ pertama kali melihat Kaabah. Sukar sekali kita hendak ceritakan perasaan itu, kan?

      Padam
  2. Salam prof..

    mcm boleh bygkan bgaimana perasaan prof..syahdu pulak dalam diri saya ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum Zila,
      Saya cuba untuk menyampaikan perasaan saya di tanah suci, tapi ia memang sukar untuk diceritakan. Ia tempat yang istimewa.

      Hanya pada Allah yang Esa tempat kita bergantung.

      Padam
  3. Dulu semasa saya ke sini bersama keluarga tempat saie tidak secantik seperti sekarang. Agak berhabuk dan bising disebabkan kerja-kerja pembinaan di bahagian luarnya...

    Tempat penginapan pun hanya lebih kurang 200m sahaja dari Masjid... syukur sangat...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,

      Ya, betul tu Mie. Sebelum ni hotel jaraknya dekat dengan Masjid al-Haram.


      Cerita dalam entri ini ialah semasa saya ke Mekah pada tahun 2010, kawasan berdekatan Masjid al-Haram memang berhabuk sebab banyak bangunan diruntuhkan. Tetapi semasa kunjungan saya pada 2013 baru-baru ini habuk itu sudah berkurangan tetapi jarak hotel pula bertambah jauh dari masjid.

      Padam
  4. Assalamualaikum kak,
    Alhamdulillah ciku pernah sampai ke mekah dan madinah dulu.Memang tak dapat digambarkan semasa dapat berada di sana.Terasa sangat bersyukur.Mengalir airmata baca akaknya penulisan..teringat kenangan di sana.Semoga kita akan dijemput(NYA)lagi untuk ke mekah berkali kali bersama keluarga mengerjakan ibadat.amin

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Ciku,
      Saya rasa ramai orang mengalirkan airmata, terharu dan bersyukur berada di hadapan Kaabah. Bukan semua orang dapat sampai ke sini sekiranya tidak dijemput Allah. Teruslah kita berdoa semoga Allah menjemput kita lagi. Amin.

      Padam
  5. terharu baca entry akak ni...tapi takut pulak bila akak cakap orang yang tak dapat tengok kaabah walaupun dah berdiri dekat depan kaabah, huhu...insyaallah, one day saya akan jejak kaki ke sini jugak, amin...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Kisah orang yang sudah berada betul-betul di hadapan Kaabah tetapi tidak nampak langsung Kaabah itu saya baca dalam buku Travelog Haji. Allah memberi keizinan kepada hambaNya menurut kehendakNya. Mekah adalah tanah yang suci dan banyak keajaiban serta keanehan berlaku di sini. Semoga Allah menjemput Orga ke sana nanti, melihat Kaabah dan dapat beribadat dengan sempurna. Amin.

      Padam
  6. Tiap kali baca blog pasal Makkah dan Madinah, hati memang rasa meronta-ronta nak kembali ke sana. Moga diizinkanNya lagi suatu hari nanti.

    BalasPadam
    Balasan
    1. R.a.W,
      Mudah-mudahan Allah menjemput R.a.W lagi ke sana :). Semoga perjalanan R.a.W di sana lebih mudah lagi kerana sudah biasa di Arab Saudi.

      Padam
    2. Asalaimulaikum

      R.a.W . Boleh cuba pergi cara backpack yang prof ceritakan ini. Pergi bersama keluarga dengan bil bawah 8 orang dan boleh guna kenderaan GMC sewa seperti prof guna di bhg 1.
      Belanja tidak mahal sangat asalkan bukan musim peak seperti cuti sekolah di Malaysia atau bulan Ramadham. Saya juga baru pergi bulan jan 2014 selama 13H11M secara separuh backpack dengan belanja tak sampai 3k per pax. Tiket penerbangan AA masa offer RM800++.

      Kepada saudara muslimin yang lain yg baca entri ini, JOM Umrah cara DIY atau backpack.

      Terima kasih

      Padam
    3. Waalaikumusalam,
      R.a.W juga sudah biasa di Jeddah, Mekah dan Madinah. Dia selalu pergi sendiri malahan amat arif tentang selok belok di sana. R.a.W pernah tinggal di sana :)

      Padam
  7. Salam perkenalan,

    Saya suka blog puan terutamanya entry eropah. membuatkan saya rindu nak berjalan lagi. tapi sebelum itu saya ada memasang niat untuk menjejakkan kaki di tanah suci.
    Saya teringin nak baca nota kembara puan ke Pompeii (sebab saya juga dah pernah pegi cuma teringin nak baca catatan orang lain)
    Teruskan menulis!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat berkenalan Ernie Khairina,
      Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini dan meninggalkan ulasan. Kembara ke Pompeii tu telah lama saya lakukan, tetapi ia tetap meninggalkan kenangan yang indah. Saya harap saya dapat menulis tentangnya di sini. InsyaAllah.

      Semoga Ernie dapat menjejakkan kaki di tanah suci.

      Padam
  8. Subahanallah.. Walhamdulillah.. Ya Allah seronok nyer baca pengembaraam backpacker ke baitullah nie.. Moga Allah Taaa memilih saya juga untuk menjadi tetamu ke Baitullah..

    Terima kasih sebab kongsi cerita yang penuh info yang berguna nie.. sejuk hati tgk gambar2 di Mekah.. target sebelum 2020 akan sampai ke sana .. amin

    Salam Kenal..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Time Traveller,
      Dapat berada di kota suci Mekah memang seronok dan saya sangat bersyukur.

      Semoga Time Traveller pun dapat sampai ke Mekah suatu hari nanti.

      Selamat berkenalan dan terima kasih kerana sudi membaca entri ini.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.