Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 21 September 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 4): Orang Melayu Mekah

S etelah dua hari berada di kota Mekah, kami sudah banyak makan makanan Arab. Puas. Kami juga terima undangan tidak putus-putus dari penduduk Mekah. Mereka orang Melayu yang dilahirkan di Mekah. Ibubapa mereka telah berhijrah ke Mekah bertahun-tahun lamanya dan menetap di situ. Walaupun mereka dilahirkan dan dibesarkan di Mekah tetapi masih pandai bertutur dalam bahasa Melayu. 

Salah seorang daripada mereka ialah Mashitah. Mashitah tinggal di atas bukit betul-betul di hadapan Masjid al-Haram yang menghala ke Babus Salam, juga tidak berjauhan dari rumah kelahiran Rasulullah SAW. Rumah mereka adalah rumah tradisional Arab yang dibuat  daripada batu-batu kasar. Mashitah adalah kawan Liza yang dikenali semasa Mashitah berkunjung ke Malaysia.


Rumah-rumah tradisional Arab di atas bukit berhadapan Masjid al-Haram. Gambar ini diambil dari pintu berdekatan Babus Salam



Mendaki Anak-anak Tangga ke Rumah Tradisional Arab


Untuk ke rumah Mashitah kami perlu mendaki bukit yang tinggi. Kami terpaksa mendaki puluh-puluh anak tangga kecil dan kasar. Kami tercungap-cungap menaiki anak-anak tangga itu. Peluh meleleh-leleh di badan kami. Kami kagum dengan kegigihan Mashitah yang setiap hari naik-turun tangga ini. Mashitah menjalankan perniagaan makanan (catering) di rumahnya dengan memasak untuk jemaah haji dan umrah. Disamping itu Mashitah menjahit pakaian dan telekung untuk dijual.

Mendaki anak-anak tangga ke rumah tradisional Arab. Gambar diambil dengan menggunakan telefon bimbit.


Ketika melalui rumah tradisional Arab ini, saya teringatkan kawan saya semasa saya menuntut di Amerika Syarikat dahulu. Dia seorang Melayu-Patani tetapi dilahirkan di Mekah. Menurutnya dia tinggal berdekatan dengan Masjid al-Haram. Saya mencari kawan saya itu, tetapi menurut Mashitah mereka sudah berpindah ke tempat yang lain jauh dari kota Mekah. Ini disebabkan oleh semua orang yang tinggal di rumah tradisional berdekatan dengan kawasan Masjid al-Haram diminta pindah dan rumah mereka ini akan dirobohkan. Tidak lama lagi rumah Mashitah ini juga akan dirobohkan. (Ketika  ini tahun 2010).

Pada kunjungan saya pada tahun 2013, semua rumah tradisional Arab di atas bukit ini habis dirobohkan. Terasa sayang dan sayu kerana saya pernah mengunjungi rumah ini tetapi kini ia hanya tinggal debu.

Setiap pagi kami mendaki anak-anak tangga ini untuk bersarapan cara Melayu di rumah Mashitah orang Melayu Mekah. Gambar diambil menggunakan telefon bimbit.



Sarapan Nasi Lemak di Rumah Tradisional Arab Milik Orang Melayu Mekah


Apabila sampai di rumah Mashitah, kami dihidangkan dengan masakan Melayu yang enak: nasi lemak, timun, sambal, telur rebus, kacang goreng dan ikan bilis goreng. Saya tidak lupa akan keenakan masakannya. Sejak itu kami ke rumah Mashitah setiap pagi untuk menikmati sarapan nasi lemak Melayu di rumah tradisional Arab Mekah.

Teringat pula saya pada salah satu daripada peristiwa ketika bersarapan di situ. Ketika itu saya berada di dalam ihram. Saya memasuki tandas di rumah Mashitah. Ketika itu saya nampak terlalu banyak semut dalam tandas itu. Saya lalu menjirus air supaya semut-semut itu jatuh ke dalam lubang tandas dan mudahlah saya untuk buang air. Setelah saya keluar, saya teringat yang saya berada dalam ihram. "Alamak! Saya dah buatkan semut-semut itu lemas dan mati! Saya dah bunuh semut! Saya dalam ihram." Saya mula menyesal dan risau. Membunuh binatang adalah larangan dalam ihram. Saya fikir saya sudah melanggar pantang larang dalam ihram dan berdosa. Saya bertanya kepada Zahari dan Liza. Ketika itu semua tidak pasti. Lalu Zahari menelefon pensyarahnya yang berada di Universiti Madinah. Tetapi pensyarah Zahari tidak menjawab telefon ketika itu. Ini membuatkan saya bertambah risau. Seharian saya risau.

Keesokan harinya barulah kami dapat jawapan dari pensyarah Zahari bahawa ia bukan satu kesalahan. "Membunuh serangga seperti semut dibolehkan dalam ihram kerana kita tidak makan semut. Cuma kita dilarang membunuh bintang yang boleh dimakan seperti ayam atau kambing, " kata Zahari menyampaikan penjelasan pensyarahnya. Fuhh! Barulah saya lega. Maklumlah saya belum biasa mengerjakan umrah, ilmu tentang umrah belum cukup lagi.


Di hadapan pintu rumah Mashitah. Gambar diambil menggunakan telefon bimbit

Menerima Undangan Makan Malam di Rumah Orang Melayu Mekah 


Kami juga banyak menerima undangan makan di rumah orang Melayu Mekah. Semasa kami di Mekah ini musim panas. Cuaca sangat panas di siang hari dan sejuk pada waktu malam. Orang Mekah kurang menjalankan aktiviti mereka di luar rumah pada siang hari tetapi lebih aktif pada malam hari.

Kami dilayan oleh orang Melayu Mekah di rumah mereka


Undangan makan malam di Mekah biasanya dilakukan selepas solat isyak iaitu selepas 10 malam. Apabila kami sampai di rumah mereka, jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Setelah duduk, berbual-bual dan minum-minum dahulu barulah kami diajak menyantap makan malam yang enak. Ketika itu sudah pukul 12.00 tengah malam.  Pada pukul 1.00 pagi barulah kami pulang ke apartment kami. Keadaan begini agak ganjil bagi kita di Malaysia, tetapi ia adalah perkara biasa bagi penduduk Mekah.

Makan malam di rumah orang Melayu Mekah pada pukul 12 malam.


Orang Melayu Mekah kebiasaannya tinggal sekeluarga beramai-ramai. Mereka berhijrah ke Mekah pada tahun 1970-an dan menetap di sana. Anak-anak mereka dilahirkan di Mekah, bersekolah di sana dan berpakaian seperti orang Arab. Namun mereka masih mengamalkan budaya Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu di rumah. Walaupun begitu ada juga orang Melayu yang dilahirkan di Mekah yang tidak tahu berbahasa Melayu. 

Kebanyakan orang Melayu Mekah menjalankan perniagaan dan bekerja di pejabat kerajaan Arab. Wanita tidak dibenarkan bekerja, memandu kereta dan keluar rumah bersendirian. Sekiranya seorang wanita itu menjadi ibu tunggal pergerakannya agak sukar kerana ia harus menunggu saudara lelakinya menemaninya. Sekiranya dia mempunyai anak lelaki, anak lelakinya dibenarkan memandu kereta untuk membawa ibunya walaupun ketika itu anak lelakinya itu baru berumur 10 tahun. Saya pernah melihat kanak-kanak lelaki yang berusia kira-kira 10-12 tahun memandu kereta di kota Mekah. 

Orang Melayu Mekah kebiasaannya mencari pasangan hidup dari kalangan orang Melayu juga dan kurang berminat untuk memilih orang Arab. "Orang Melayu lebih bersifat lemah lembut berbanding dengan orang Arab," kata sepupu Liza yang dilahirkan dan dibesarkan di Mekah.

Ikutilah kisah Naramas Aman Backpack ke Madinah dan Mekah dalam entri akan datang. Ada lagi kisah menarik yang bakal menanti.

...bersambung


15 ulasan:

  1. Saya sangat curious dengan masyarakat Melayu Arab ni, masa study di UIA dulu selalu jumpa kumpulan student2 yg macam Melayu tapi cakap Arab sesama mereka! BTW teringin nak backpack macam ni jugak untuk umrah :) Masa saya berada di Mekah dulu (Hajj 2008) rasa teringin nak panjat bukit2 yang penuh dengan rumah orang tu.. tapi tak ada peluang sebab tak kenal orang local.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ilyani,
      Menarik juga info ini.

      Saya rasa bertuah sebab berpeluang masuk ke rumah di atas bukit itu. Sayang seribu kali sayang, kini rumah itu dah tiada lagi sebab diruntuhkan untuk pembangunan Mekah yang lebih modern.

      Padam
  2. Waktu saya bekerja di Jeddah dulu ada beberapa kawan yg berketurunan Melayu Patani yg memang lahir dan membesar di sana. Kebanyakan mereka adalah generasi ketiga Melayu Petani di Makkah. Seronok berborak dengan mereka kerana mereka suka bertutur dalam Bahasa Melayu yg bunyinya seperti loghat Kelantan. Tapi kadang-kadang ada juga miscommunication sebab ada perkataan yg sama tapi maksudnya berlainan. Salah satu contohnya ada saya blog di sini:

    http://www.rambleandwander.com/2013/07/ramblings-from-saudi-what-about.html

    Aiseh! Rindu nak kembali ke sana...

    BalasPadam
    Balasan
    1. R.a.W,
      Ya, telor orang Melayu-Patani-Mekah ini macam dialek Kelantan. Nampaknya agak ramai juga orang Melayu Mekah ini. Kebanyakan mereka datang dari bahagian utara Semenanjung Malaysia seperti Kelantan, Kedah dan Perlis.

      Saya dah baca entri R.a.W tentang persamaan perkataan tetapi berlainan makna. Kadang-kadang rasa kelakar dengan gangguan semantik ni. "Kakak" di daerah tertentu Indonesia juga mempunyai maksud "abang." Kalau di Kelantan "Tok" itu untuk nenek, tetapi bagi orang Perak "Tok" itu untuk datok (lelaki).

      Padam
  3. Saya ada seorang sahabat orang Melayu Mekah. Polisi kerajaan Arab Saudi tidak lagi membenarkan orang Melayu mendapat kerakyatan secara otomatik walaupun dilahirkan di sana menyebabkan dia terpaksa ke Malaysia. Walaupun dia berpendidikan tinggi tetapi tiada peluang untuk mendapat pekerjaan tetap. Alhamdulillah sekarang ni dia bertugas di Universiti Selangor sebagai pensyarah dan berkahwin dengan orang tempatan iaitu saudara ibubapanya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Mungkin imigran atau pendatang tanpa izin terlalu ramai masuk membuatkan kerajaan Arab Saudi mengenakan peraturan ketat ini.

      Padam
  4. Salam Yong

    lama tak menjengah ke sini.
    Masa saya lalu-lalang di bawah bukit ni, selalu dongak ke atas, tapi macam Yong bagitau, rumah2 tu dah kosong....tinggi sungguh bukit tu nak didaki...tengok jer pun dah mongah dan sosak dado den...hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Yong ASP,
      Amboi lamanya tak dengar khabar dari Yong. Terima kasih kerana sudi singgah lagi di blog ini.

      Memang tinggi bukit itu nak didaki tapi bila teringatkan nasi lomak yang sodap tu, gigih memanjatnya.

      Padam
  5. assalam.....rumahnya cantik di dlm berbanding rupa di luar.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Nieda,
      Dua gambar dalam rumah itu bukan rumah Arab tradisional. Ia rumah modern. Tapi gambar luar rumah modern ini, yang saya tangkap agak gelap sebab ambil waktu malam, jadi saya tidak letakkan di sini.

      Gambar rumah Arab tradisional di atas bukit itu ialah rumah orang Melayu yang lain. Kedua-dua gambar di dalam dan di luar rumah itu adalah di lokasi yang berbeza.

      Padam
  6. Salam Naramas,

    Lama saya tak berblog, dah beberapa bulan tak buka blog, belum terlambat rasanya nak ucap selamat hari raya heeee dah sebulan berlalu kan

    Entri ni yang seronoknya, bertuahnya orang macam Mashita bermastautin di kota Mekah, beruntungnya dia dan orang melayu lain yang tinggal disana. Mereka antara insan yang terpilih untuk hidup mati disana...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum AndaQue,
      Terima kasih masih ingatkan saya dan tak lupa mengunjungi blog saya ni. Sama-samalah kita mengucapkan selamat hari raya walaupun dah sebulan berlalu. Tak lama lagi hari raya haji pula :)

      Ya, orang yang dapat tinggal dan mati di tanah suci adalah orang yang terpilih. Bagusnya.

      Padam
  7. asalamu alaikom..sya hj kamal arab adalah salah sorng dari penduduk di atas bukit yg naramas aman melawat nama tmpat tu bukit shiab ali sekarng kami sudah pindah ke tempat lain agak jauh sikit dari masjid haram sya bertrima kasih banyak2 kpda tuan punya blog dan juga kepada smua yg baca blog ini keran ambel tahu tentng kami orng melayu penduduk tanah cuci mekkah ..sya juga harap sesiapa pon kalau datng ke mekkah ziarah lah rumah kami sana kami penduduk melayu mekkah satu keluarga ahlan wasahlan ...maaf kalau tulisan saya ni tak berap keran saya tak belajar di sekolah melayu kami anak melayu sini sekolah dri kecil smpai besar sekolah di mekkah ...t.k

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Tuan Haji Kamal Arab. Terima kasih kerana memberi maklumat tentang nama bukit perkampungan Melayu yang saya pernah kunjungi itu. Sayangnya, rumah-rumah di atas bukit itu sudah tiada lagi. Semua telah berpindah ke tempat lain. Apakah nama tempat itu?
      Sungguh beruntung Tuan Haji dapat membesar di Mekah. Tuan Haji Kamal juga boleh menulis dan bertutur bahasa Melayu dengan fasih :)

      Padam
    2. Assalamualaikum tn hj kamal.terima kasih atas maklumat

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.