Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 15 Julai 2013

Mencandat Sotong di Seberang Takir

 
D ua minggu yang lalu...

 


"Jom mencandat sotong!" ajak Salwa.


"Mencandat?" saya mengerutkan dahi kerana pertama kali mendengar perkataan itu.


"Kat Terengganu. Jumaat pergi, Ahad balik."



Ajakan Salwa itu pada mulanya tidak memancing minat saya sangat. Ini disebabkan saya ini orang yang mudah mabuk laut. Saya pernah mabuk semasa menaiki kapal dari Penang ke Medan. Naik bukit pun mabuk. Dua kali ke Cameron Highland, dua kali saya mabuk! SERIK! Macam mana ni? Keinginan untuk mencandat sotong membuak-buak tapi soal mabuk amat merisaukan saya. Kalau mabuk apa pun tak jadi. 



Setelah bertanya kawan-kawan. Ada yang memberi macam-macam petua.

Petua supaya tidak mabuk laut:
1. Kulum asam jawa,
2. Telan ubat mabuk sebelum naik kapal,
3. Makan nasi awal-awal. Biar perut tu kosong sebelum bertolak.
4. Tidur biar cukup.

Dengan petua-petua ini saya pun pergi ikut Salwa dan kawan-kawan ke Kuala Terengganu. Kami pergi pada 28 Jun dan balik pada 30 Jun 2013.

Empat buah kereta pergi bersama. Kami memandu secara konvoi dari Penang ke Terengganu melalui jalan Gerik-Jeli. 5 buah negeri kami rentas: Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu. Dalam jarak lebih 500 km itu kami menemui sebuah kemalangan yang melibatkan dua buah lori dan dua buah kereta. Kemalangan itu berlaku  di jalan berdekatan dengan Hutan Belum.

Sebenarnya ada lagi kawan-kawan yang turut serta mencandat sotong tetapi mereka datang dari Pahang. Jadi jumlah kereta semuanya 6 buah. Bilangan orang pula 30. Kami bertemu di Terengganu.  



Menginap di Chalet Barakah

 



Kami menginap di Chalet Barakah yang letaknya di Teluk Ketapang, Kuala Terengganu.  5 buah chalet kami sewa untuk 30 orang.  Rumah kampung! Tepi pantai!




Membeli-belah di Pasar Payang


 

Menaiki bot penambang dari Seberang Takir ke Kuala Terengganu


Pada pagi Sabtu  keesokan harinya itu kami mengambil bot penambang di Seberang Takir untuk ke bandar Kuala Terengganu. Tambang botnya murah sangat iaitu cuma seringgit satu hala.

Apabila sampai di seberang, kami dapat melihat terdapat Bazar Warisan berdekatan dengan jeti. Kami berjalan kaki di bandar itu dan merayau-rayu melihat bandar itu.

Kami kemudiannya pergi ke Pasar Payang. Di Pasar Payang ini terdapat macam-macam jualan: keropok, kuih-muih, serunding, telur penyu, sayur-sayuran, buah-buahan, rempah kerutup, pakaian batik, songket dan cenderamata. Saya beli buah asam jawa, kain batik, kain pelekat, rempah kerutup dan magnet peti sejuk.


Di hadapan Bazar Warisan
Kampung Cina
Dalam Pasar Payang
Bot dari Kuala Terengganu ke Seberang Takir



Perkampungan Nelayan Seberang Takir


Yang menyeronokkan di Pantai Timur ini ialah mencuba makanan tradisional mereka. Antara makanan yang tidak lepas kami makan ialah laksam, nasi dagang dan keropok lekor.

Di Seberang Takir terdapat banyak aktiviti nelayan yang kami saksikan. Antara yang menarik ialah pembuatan keropok lekor. Kami dapat melihat keropok lekor dibuat. Terdapat juga perusahaan membuat belacan dan batik di situ.

Keropok lekor di Seberang Takir ini amat laris.


Mencandat Sotong di Laut China Selatan



Aktivti utama kami ialah mencandat sotong.

Kami semua sudah mengosongkan perut sebelum bertolak. Kami pergi selepas Asar. Semua orang yang mudah mabuk telah menelan ubat mabuk. Tekong pun dah pesan awal-awal supaya telan ubat sebelum naik kapal.


Kami sewa 3 buah kapal nelayan. Setiap kapal kami muatkan 10 orang. Kami bayar seribu ringgit satu hari untuk sebuah kapal. Tapi bila dikongsi ramai-ramai kami cuma bayar RM150 termasuk chalet dan makan minum untuk 3 hari itu. Murah, kan?

Menaiki bot nelayan di Seberang Takir
Alat mencandat sotong

Di dalam kapal kami melihat tekong menyediakan peralatan mencandat dan memasang lampu. Ini disebabkan sotong amat tertarik dengan cahaya pada waktu malam. Sambil itu kami kulum asam jawa yang saya beli di Pasar Payang pagi tadi.


 Kami memilih sebuah tempat di tengah laut.  Dalamnya  laut itu menurut Tekong ialah 10 depa.


Sauh dilabuhkan apabila sampai ke tempat yang ada banyak sotong.

Setelah menaiki kapal dan meninggalkan pelabuhan kira-kira 30 minit semua orang bertanya saya, "Mabuk tak?"

"Alhamdulillah. Tak mabuk pun!!!"

Tidak seorangpun yang di dalam kapal kami itu mabuk. Tapi kami dapat tahu kemudiannya di kapal yang lain ada dua tiga orang yang mabuk. Tidak kira lelaki atau perempuan. Mereka muntah-muntah dan tidur saja.


Cara-cara Mencandat Sotong


Setelah berada di tengah laut tekong kamipun menunjukkan cara-cara mencandat sotong. Maklumlah kebanyakan kami baru pertama kali mencandat. Tetapi Salwa sudah pernah mencandat sotong pada tahun lepas.

"Tengok saya buat dulu, Kak Salwa. Kita longgarkan tali kail ni"

Jatuhkan mata kail ini ke dalam laut sehingga mencecah dasar laut

"Tarik tali kail ke atas sikit dua tiga kali. Berhenti sekejap. Lepas 3-4 saat tarik balik dua tiga kali."
"Kalau terasa berat bermakna sotong sudah melekat pada mata kail."
 


Cabaran Bermula



"Siapa dapat dulu, dia dapat hadiah!" cabar salah seorang dari kami.


Teruja benar kami ketika itu. Menjadi nelayan Pantai Timur!



Setelah itu kami ambil spot masing-masing.


Masing-masing ambil spot yang strategik
"Saya nak dekat lampu. Sotong suka lampu."
"Hah tengok saya dah dapat!"
Labuhkan kail lagi
3 minit kemudian......"Hah tengok dapat lagi!!!
"Kasi tengok dekat-dekat"
Sesaat kemudian....Salwa menjerit, "Hey saya pun dapat!"
"Tengok sotong yang saya dapat ni. Warna sotong ni perlahan-lahan berubah warna daripada putih kepada merah."
Tak lama kemudian...."Hey! Dapat! Dapat!Dapat!"


Rami kawan-kawan saya sudah dapat sotong. Mereka berteriak kegembiraan apabila berjaya mendapatkan sotong. Walau bagaimanapun saya masih tidak dapat sotong. 

 

Mencandat Sehingga Senja

 

Hari semakin petang, aktiviti mencandat sotong diteruskan
Hari dah senja ni, tapi kawan saya ini pun masih tak dapat-dapat sotong
Mencandat diteruskan walaupun hari sudah senja. Saya memilih tempat yang ada lampu. Dan duduk di atas kotak ikan. Saya menjatuhkan mata kail ke dalam laut dan menarik tali kail tidak jemu-jemu. Tapi kail saya masih tidak diminati oleh sotong. Saya menunggu dan menunggu tetapi tidak berhasil. Saya mula sedih. Saya tanya Tekong,

"Teknik saya tak betul ke?"

" Betul dah tu!" kata Tekong.

"Saya nak ubah tempatlah," kata saya dengan harapan saya akan dapat sotong.

"Tak payah. Di situ ada lampu. Sotong suka lampu, " kata Tekong.

Jadi saya tidak jadi menukar tempat.

Mencandat sotong sehingga matahari terbenam
Matahari sudah terbenam


Mencandat Diteruskan Sehingga Malam


Kami mencandat tanpa henti-henti sepanjang malam itu. Sotong lebih banyak selepas waktu tengah malam. Musim mencandat sotong di sini adalah pada bulan Jun, Julai dan Ogos.


Setelah berjam-jam lamanya di lautan, barulah saya dapat sotong saya yang pertama. Saya sangat gembira. 
 
Semakin malam semakin banyak sotong kami dapat. Sotong-sotong yang masih segar itu kami goreng dan makan di atas bot. Sangat manis dan sedap rasanya.

Apabila  kail yang ditahan tidak lagi dipagut sotong, tekong  menyuruh kami mengangkat kail dan berpindah ke tempat lain. Bagi mengesan sotong-sotong itu tekong melihatnya pada radar. Jadi kami berpindah sebanyak 3-4 kali pada malam itu.



Adakalanya kami dapat ikan. Ada juga kami dapat belut. Ada juga kami dapat ular air! 


Hanya bunyi ombak, injin kapal dan tiupan angin menemani di lautan pada tengah malam.
Lagi tengah malam lagi banyak sotong

Ketenangan laut pada waktu malam


Ketenangan malam membuatkan saya berfikir tentang warna air laut. Ada tempat-tempat yang permukaannya kelihatan biru. Ada pula hijau. Dari mata kasar laut ini kelihatan sama tetapi sebenarnya ia berbeza. Ia mempunyai perbezaan dari segi tahap kejernihan, kemasinan, suhu dan isipadu. Sangat hebat dan ajaibnya ciptaan Allah ini.  Saya terfikir bahawa laut ini luas dan pastinya bertemu dengan laut yang lain. Air laut yang masin ini juga ada yang bertemu dengan air tawar. Namun yang ajaibnya ia mempunyai pemisah.

Allah SWT menerangkan fenomena ini di dalam Al-Quran yang bermaksud:

"Ia biarkan air dua laut mengalir sedang kedua-duanya bertemu. Di antara kedua-duanya ada penyekat yang memisahkannya, masing-masing tidak melampaui sempadan." (Ar-Rahman: 19-20)

"Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), yang ini tawar lagi segar dan yang lain masin lagi pahit, dan Dia jadikan di antara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi." (Al-Furqan: 53)


Selesai Mencandat

 

Pulang ke pantai pada waktu subuh.
Hasil tangkapan...sotong, sotong, sotong
Ikan pun dapat

Kami habis mencadat sotong setelah masuk waktu subuh. Semua kawan-kawan di dalam bot saya dapat sotong dengan banyak. Hanya saya saja yang dapat paling sedikit sotong. Saya dapat nombor corot! Nampak gayanya saya kena selalu-selalulah mencandat supaya lebih mahir.



"Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan menyempitkan (siapa yang dikehendakiNya)." Dan barang apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah Pemberi rezeki yang sebaik-baiknya." (Surah Saba’: 39)

Salwa nak bawa balik Penang sotong ni
 

Apabila pulang kami tidak henti-henti bercerita tentang pengalaman kami yang menyeronokkan ini.

23 ulasan:

  1. bestnya mencandat...jgn sedih, saya hari tu pun dpt sikit je...hehehe tp sbb pakcik tekong dpt byk, so dia bg kat kami n siap tlg masak kan utk kami lg..rezeki...Alhamdulillah...teringat2 kesedapan sotong fresh...hehehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. DJ,
      Sedap sotong tu kan makan semasa ia masih segar. Kapal kami dapat banyak sotong pada malam tu. Kami kongsi sotong-sotong itu bersama-sama. Jadi saya dapat lebih daripada yang saya tangkap. :)

      Padam
  2. Salam Prof,

    Selamat berpuasa prof. Wahh cantik2 photo. Besar2 ek sotong yg dicandat. Sy plg suka photo sunset tu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zila,
      Selamat berpuasa Zila. Sotong di sini besar-besar. Puas makan! Terima kasih sebab suka gambar-gambar ni.

      Padam
  3. wah, candat sotong... memang best kan? sayapun balik mencandat hari tu - tapi hasilnya tak seberapa sebab kami lewat pergi. tapi dapatlah jugak rasa sotong goreng celop tepung atas bot. hehehe. btw, boleh tahan harga bot tu, hari tu saya dapat sewa bot dengan harga rm600/bot - kami muat sampai 18 orang termasuk tekong dan anak-anak kapal :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. PM,
      Memang best candat sotong. Rasa nak pergi lagi. Makan sotong di atas bot, best kan? Ya, harga bot tu 1,000 satu malam termasuk dengan alatan memancing. Tekong bawa anak kapal 3 orang. Harga yang PM dapat lebih murah nampaknya, tapi alatan memancing sendiri ke?

      Padam
  4. nampak menarik mencandat sotong ni :))

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nanadhoi,
      Memang BEST! Pengalaman mencandat itu yang paling menarik. Barulah merasa jadi nelayan sekejap. Kalau tidak tahu makan aje :)

      Padam
  5. Salam kak

    Saya tak pernah berkesempatan pegi candat sotong di laut, selalu candat sotong kat pasartani je hehehe
    Byk foto menarik dapat capture sepanjang aktiviti tu, dah HDR kan jadi lebih menyerlah dan menarik

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Rezeki,
      Kebanyakan kita mencandat sotong di Pasar Tani. Ini memang kerja senang,kita cuma bayar je :) Tapi mencandat di laut tu memang cabaran dan menguji kesabaran, sambil-sambil itu dapatlah kita berfikir tentang kekuasaan Allah: tentang rezeki, tentang ciptaanNya dan tentang nikmat yang Allah kurniakan.

      Saya suka tangkap gambar keindahan alam, terutama laut, suasana ketika matahari terbenam atau terbit. Terima kasih kerana menyukai gambar-gambar ini.

      Padam
  6. Bak sotong sekilo!!!

    Untungla dapat tekong yang pandai cari lokasi...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie nak semua sotong tu pun tak apa. :) Sotong tu besar-besar, puas makan. Kalau setiap hari makan sotong besar-besar ni tentu tak lalu atau dapat alahan gatal-gatal kulit, kan?

      Tekong kami, ok. Kalau kurang sotong di tempat itu, dia ajak kami ubah.

      Padam
  7. bestnya!!! skang ni baca blog lain pun pegi mencandat sotong. seronoknya dapat makan terus atas bot tuh. dah la banyak pulak tuh dapat! best best!

    BalasPadam
    Balasan
    1. BEST! Sekarang memang musim mencandat sotong, itu pasal semua cerita pasal sotong. Makan fresh gitu memang sedap, manis dan tak gatal-gatal badan. Orang lain banyak dapat, letak kail aje dapat, tapi saya tak dapat banyak.

      Padam
  8. lamanya kak mencandat sotong, sampai ke subuh...gambar-gambar pun cantik, memang lain pengalaman kan dapat mencandat sotong sendiri, sikit pun takper, tapi sotong yang dapat pun semua besar-besar, okay lah tu kak, hehe...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lama juga kami mencandat dari asar sampai ke subuh. Tidur beratapkan langit, berlampukan bintang dan bertilamkan peti ikan he he he. Memang betul Orga, bilangan sotong yang dapat tidak penting, yang penting pengalaman mencandat tu, memang lain daripada yang lain. Sotongnya besar-besar, kalau di pasar susah nak cari saiz begini.

      Padam
  9. Besarnya sotong2 tu... kalau kat pasor tu mau bepuluh2 ringit tu. saya pon tak pernah mencandat sotong sebab ada masalah mabuk laut.. tapi kalau teringin nak cuba juga, terpaksa la pegi kalau ada org ajak hehehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kalau kat pasor sotong besar-besar gitu saya tak pernah beli. Tak mampu rasanya. Lagipun saya tak pernah nampak jual di pasar.

      Kalau orang ajak mencandat janganlah Rain rasa terpaksa, pergilah dengan sukarela dan penuh gembira. Jadi, kalau mabuk laut sekalipun Rain tetap enjoy :) Gunalah tips supaya tak mabuk yang saya beri di atas.

      Padam
    2. Salam ramadhan prof...da puas di darat mnjelajah lautan lah pulak.....prof sotong goreng tepong sepinggan...

      Padam
    3. Ramadhan Kareem Nekcik,
      Bumi Allah ni luas, tak habis kita menjelajahnya seumur hidup kita. Sotong goreng memang sedap, tapi kalau makan di atas kapal, yang masih segar tu, tak payah letak tepong, letak garam sahajapun sudah cukup.. nyum nyum....

      Padam
  10. Salam

    Boleh dapatkan contact untuk candat sotong? tq

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Puan Asilah,
      Hajah Salwa akan mengadakan candat sotong sekali lagi pada 1-3 Mei ini di Terengganu. Kalau nak boleh joint, sila hubungi beliau di 0194542020 atau Azwan 0174172047.

      Padam
  11. Blog Myrodreel menarik. Terima kasih Bro :)

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.