Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 8 Julai 2013

Lari Ke Lombok (2) : Pelik Di Mataku Tapi Tidak di Mata Mereka

B anyak perkara pelik saya lihat semasa di Lombok. Perkara itu pelik sebab saya tak pernah tengok sebelum ini. Tapi bagi orang Lombok itu adalah perkara biasa. Di sini saya senaraikan perkara-perkara pelik itu:

#1: Masjid Kuno Bayan Beleq, Masjid yang Tidak Digunakan untuk Solat Harian


Pernahkah anda ke masjid tetapi tidak dibenarkan masuk dan solat? Tentu tidak, bukan? Masjid adalah tempat ibadat orang Islam dan kita boleh masuk ke dalamnya untuk solat fardhu. Masjid-masjid biasanya luas, terang dan bersih. Lantainya dilepa dengan jubin atau simen yang cantik. Tapi ini semua tiada di Masjid Kuno Bayan Beleq.

'Cucu murid' saya iaitu Laura dan Friska bawa saya dan keluarga saya ke Masjid Kuno Bayan Beleq dengan menaiki pacuan empat-roda milik Laura. Oleh kerana Laura dan Friska tidak tahu menuju jalan ke Masjid itu, maka Laura telah mengupah Pak Udin untuk memandu mobil itu.

Kami sampai di Masjid Kuno Bayan Beleq sebaik-baik sahaja masuk waktu zohor. Kami terus memberitahu Pak Udin bahawa kami hendak solat di situ.

Tetapi menurut Pak Udin, "Masjid itu tidak digunakan untuk solat."

Saya hairan.

"Tak boleh solat?" tanya saya lagi pada Pak Udin minta kepastian.

"Ngak!" Pak Udin menggelengkan kepala lalu mengajak kami ke situ.

Ada masjid, tapi tak boleh solat! Anda pernah dengar tak? Pelik, kan?

Masjid itu letaknya di atas bukit. Ada sebuah bangsal kecil di bawah bukit dan terdapat seorang penjaga masjid itu. Dia lalu membawa kami ke masjid itu. Masjid itu dibuat dengan anyaman buluh dan rumbia.  Berdekatan dengan masjid ini ada sawah padi.

"Hasil sawah padi yang diusahakan ini diberikan untuk masjid," jelas penjaga masjid itu.

Kamipun mendaki anak-anak tangga di bukit itu menuju ke pintu masjid. Pintunya tertutup rapat. Di luar pintu ada tempayan dan sebatang colok berlilin.

"Nggak boleh masuk, buk. Liat dari luar aja!" kata penjaga masjid.

Saya ternganga.

Dia lalu membuka pintu daun nipah masjid itu. Kami berdiri di luar pintu lalu menjenguk ke dalam. Kelihatan ruang dalam yang gelap. Lantainya tanah. Inilah pertama kali saya melihat masjid gelap dan lantainya tanah. Menurut penjaga itu, apabila orang datang untuk sembahyang, mereka membawa tikar masing-masing.

Di ruang tengah ada sebuah tabuh. Di belakangnya terdapat sebuah kerangka yang pada mulanya saya sangka adalah mimbar. Tetapi kemudiannya saya mendapat tahu ia adalah pura iaitu tempat sajian yang selalu digunakan oleh orang Hindu.

"Masjid ini tidak digunakan untuk solat seharian tetapi hanya digunakan untuk perayaan Aidil Fitri, Aidil Adha, Mauludin Rasul," jelas penjaga itu lagi.


Masjid Kuno Bayan Beleq dari depan



Masjid ini telah dibina pada tahun 1530 S.M. Namun Masjid Kuno ini bukanlah digunakan sebagaimana orang Islam beramal. 

"Islam mereka adalah Islam waktu telu. Ini bermakna Islam mereka tidak murni. Mereka mencampurkan lebih banyak adat dan agama Hindu dengan agama Islam. Sembahyang mereka tidak seperti solat kita, "jelas Pak Udin.


"Mereka sembahyang 3 waktu dalam sehari." Friska menambah

Kata Pak Udin pula, "Pada hari lebaran mereka datang ke masjid tetapi cara sembahyang mereka amat berbeda. Mereka memulakan dengan persembahan sajian di pura dengan menggunakan lilin [colok] yang dapat kita lihat di luar masjid."

"Ini berlaku ketika Islam disebarkan oleh seorang pedagang Gujerat bernama Gous Abdul Razak. Tetapi telah pergi meninggalkan tempat ini tanpa habis mengajarkan Islam di sini. Jadi pengajian Islam mereka terhad dan tidak mengikut syariat."

"Adakah mereka bersyahadah?" tanya saya.

"Mereka bersyahadah,  tetapi sembayang mereka tidak macam kita solat."

"Mereka berpuasa Ramadhan tak?"

"Tidak berpuasa pada bulan Ramadhan tetapi menyambut Aidil Fitri," jelas Pak Udin.

Ruang dalam masjid yang gelap dan berlantaikan tanah




#2: Nasi Goreng 2 Jam dan "Gile" Nama Air Terjunnya


Sendang Gile. Itulah nama air terjun yang kami pergi di Lombok Utara. Agak pelik juga nama ini apabila pertama kali saya mendengarnya.

Laura, Friska dan Pak Udin membawa kami ke situ. Sendang Gile ialah sebuah air terjun yang cantik. Letakkanya agak jauh di sebuah kampung di Seneru. Ia memakan masa dua jam memandu dari Sengigi. Dalam perjalanan, kami singgah dulu untuk makan tengahari. Kami singgah di sebuah kedai di sebuah kampung yang berada di atas sebuah bukit. Di bawahnya terdapat sawah yang berteres-teres. Sangat indah!

Teres-teres sawah padi di Kampung Seneru

Tidak ada pelanggan di kedai itu. Cuma Pak Udin, Laura, Friska dan keluarga saya. Kami melihat menu dan memesan makanan. Tetapi makanan yang diminta satupun tidak ada. Kami lalu meminta apa yang ada. Peniaga itu kata, "Cuma nasi goreng biasa aja. Ayamnya nggak ada." Kamipun minta nasi goreng biasa itu dan teh.

Setelah itu kami menunggu nasi goreng dihidangkan. Tunggu dan tunggu. Tetapi nasi goreng masih belum dihidangkan. Sebentar kemudian peniaga itu datang ke meja kami. Katanya, "Ayamnya udah sampe. Mau ayam apa nggak?" Dua orang daripada kami ingin makan ayam dan anak saya ingin makan sup. Kamipun menunggu dan menunggu lagi. Tetapi makanan belum siap-siap lagi. Kami mulalah bergurau yang peniaga itu baru menunggu ayam bertelur, baru nak tangkap ayam, baru petik sayur di kebun, baru tuai padi. Apa tidaknya, lebih 2 jam lamanya kami menunggu.

Setelah dua jam berlalu barulah air minum yang dipesan siap. Itupun katanya air ais belum beku kerana baru buat. Selepas menunggu lagi, barulah nasi goreng itu siap tetapi dia terlupa untuk buat sup untuk anak saya. Anak sayapun makanlah dengan tidak berselera nasi goreng yang tidak diminta. Nasi goreng yang kami makan itu pula tidaklah sedap. Kami semu merungut.


Nasi goreng yang memakan masa 2 jam untuk siap dihidang


Air Terjun Sendang Gile berada di kaki Gunung Ranjini. Di Gunung Ranjini kita boleh melihat kawah gunung berapi yang dalam dan cantik. Saya lihat keindahannya pada gambar-gambar di dinding kedai makan itu.

"Kita akan ke sanakah, Pak Udin?" tanya saya.

 "Oh nggak. Mau 3 hari, kalo pengen langsung ke puncak," kata Pak Udin.


"Kok jauh banget si!"

"Harus nginap lagi di sono. Nggak nyampe kalo satu hari," jelas Pak Udin

Dipendekkan cerita, kamipun ke Sendang Gile. Tapi kata Pak Udin, "Sekarang udah ada peraturan. Harus ada tor guidenya, kalau gak, gak bisa masuk."

Pak Udin menyuruh kami menggunakan pemandu pelancong untuk ke Sendang Gile.  Dia akan sediakan pemandu pelancong itu, iaitu peniaga "nasi goreng 2 jam" itu tadi. Kami mulalah protes. Lebih-lebih lagi Laura dan Friska. "Aneh. Mau ke water fall aje harus pake tor guide. Mana mungkin. Bisa mati berdiri gue kayak ginik!"  Kami kemudiannya tidak memperdulikan undang-undang yang direkacipta Pak Udin itu.

Laura dan Friska terus ke kaunter tiket dan membayar tiket masuk dengan harga lokal iaitu cuma 5 ribu rupiah sahaja. Tetapi kalau orang luar perlu bayar lebih. Laura dan Friska telah menyelamatkan duit poket kami daripada kena sembelih.

Kamipun menuruni anak-anak tangga untuk ke ke Air Terjun Sendang Gile. Di kiri kanan kami adalah hutan malar hijau yang tebal. Ada juga kera-kera di dalam belukar. Laura dan Friska menjerit-jerit dan berlar-lari apabila disergah kera-kera itu. 

Kira-kira 20 minit kemudian kamipun sampai ke air terjun itu. Kami menjerit, "Wow!". Kami gembira dan bergurau yang kami tidak perlukan pemandu pelancong untuk terangkan kepada kami, "Ini namanya Air Terjun Sendang Gile!" 

Kami syak Pak Udin bersekongkol dengan peniaga 'Nasi Goreng 2 Jam' tadi untuk sembelih kami.

Suasana amat dingin dan deruman air memecah kesunyian belantara hijau itu. Sudah pasti kami ingin mandi. Kamipun mandi di bawah terjunan air itu. Dingin! Air terjun itu sangat kuat dan tajam. Terasa amat ia jatuh ke atas badan dan kepala. Terasa diurut-urut. Tajam dan kuatnya air terjun itu membuatkan tudung saya terlucut lalu hilang di bawa arus air yang deras itu. Puas saya mencarinya tetapi tidak berjumpa. 

Sehingga kini saya masih tidak faham mengapa air terjun ini mendapat nama "Gile." Pelik!


Mendaki anak-anak tangga dari Air Terjun Sendang Gile



Dikejar monyet



Air Terjun Sendang Gile di Lombok


Penulis di Air Terjun Sendang Gile




#3: Mata Air Taman Narmada untuk Muda 10 Tahun

 

Salah sebuah kolam matair di Taman Narmada. Flying Fox merentasinya amat menyeronokkan


Di Indonesia sering terdapat tempat wisata yang kononnya mempunyai air awet muda. Taman Narmada di Kecematan Narmada, Kabupaten Lombok Barat ada salah satu daripadanya. Semasa kami ke sana kami lihat ada banyak kolam air mata air  di taman itu.

Ada sebuah tempat yang menjadi tumpuan. Terdapat tiga buah mata air yang bertemu  di satu tempat dan ia menghasilkan air yang dianggap suci oleh orang Hindu. Ia kemudiannya dipercayai menjadikan seseorang itu muda sepuluh tahun.

Air mata air ini terdapat dalam sebuah rumah kecil di taman itu. Pintunya berkunci dan akan dibuka sekiranya ada orang yang ingin masuk. Mereka dikenakan bayaran dan diikatkan tali pinggang kuning di pinggang sebelum masuk. Semasa kami ke situ ada seorang pendeta yang menjaga air mata air itu. Seorang pembantunya menyediakan sajian makanan untuk memanggil roh-roh halus. Setelah dijampi dan dibacakan mentera pendeta itu menyuruh orang yang hadir di situ untuk meminta kebaikan lalu mencelupkan tangan ke dalam air itu dan disapukan ke muka.

"Friska, Laura kamu duaan udah keren. Udah cakep. Nggak usah nyoba!" nasihat saya.


Air mata  air yang kononnya boleh buat orang awet muda terdapat dalam rumah kecil  ini


Pendeta sedang memuja

Tiga mata air bertemu di sini

Sebagai orang Islam kita dilarang mempercayai pekara ini dan dianggap syirik. Sentiasalah berwudhu dan mengerjakan solat. Tidak ada air yang lebih baik dan suci melainkan air zam zam di Mekah.

Nabi SAW menjelaskan yang bermaksud:

"Sesungguhnya, Zam zam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandungi khasiat.” Nabi SAW menambahkan: “Air zam zam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan engkau. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah untuk Ismail.” (Hadis riwayat Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas)

#4: Kahwin Lari, Nyongkolan dan Kecimol



Kebanyakan penduduk di Lombok beragama Islam. Ada juga wali Allah yang muncul di kalangan mereka.

Kubur seorang wali di Batu Layar

Wali Allah ini meninggal ketika berusia 114 tahun



Kata Pak Udin, "Lombok mendapat jolokan Seribu Masjid, Sejuta Maling".

Apakah maksud Pak Udin?

"Lombok ini banyak masjid. Ramai orang Islam. Tapi ramai yang mengamalkan adat mencolek anak dara untuk mengahwininya. Anak dara dilarikan oleh seorang lelaki dan disimpan di rumah lelaki itu. Setelah tiga hari, keluarga gadis itu dihubungi oleh pencolek itu. Pencolek itu memaklumkan yang anak gadisnya berada di rumahnya dan untuk membebaskannya, ibubapa gadis itu hendaklah menikahkan anak gadisnya itu dengan pencolek itu. Keluarga gadis terpaksa bersetuju tanpa mengenakan wang hantaran. Ini adalah adat yang biasa dilakukan di Lombok kerana si lelaki tidak mampu membayar hantaran perkahwinan."

Sebaik-baik sahaja Pak Udin menceritakan tentang adat kahwin lari itu, secara kebetulan lalulah sebuah perarakan pengantin di hadapan kami. Jadi kamipun dapatlah menyaksikan upacara perarakan menghantar pengantin perempuan pulang ke rumah ibubapanya. Upacara perarakan menghantar pulang pengantin perempuan ke rumah ibubapanya ini dipanggil Nyongkolan dan ia diiringi dengan Kecimol iaitu sejenis muzik berkumpulan.

Inilah Nyongkolan dan Kecimol. Pengantin perempuan (baju merah jambu, paling depan) diarak pulang ke rumah  ibubapanya dari rumah pengantin lelaki

Menenun kain adalah satu kemahiran yang telah dilatih kepada setiap wanita suku Sasak sejak dari kecil. Bagi masyarakat suku Sasak, wanita yang tidak tahu menenun tidak boleh berkahwin.



#5: Makan Sate Bulayak Sambil Dihiburkan oleh Pengamen Sengau!


Sate Bulayak. Pelik bunyinya pertama kali saya mendengarnya. Laura dan Friska perkenalkan sate ini pada kami. Apa rasanya? Kami mengambil sikap: "Terai dulu, baru tau."

Kami dibawa 'cewek keren' ini ke medan selera yang juga amat eksotik. Terdapat banyak gerai di medan itu dan di hadapan gerai ada padang rumput. Di padang rumput itu ada meja-meja makan yang rendah dan terhampar tikar plastik di bawahnya. Kamipun duduk bersila di situ lalu memesan Sate Bulayak.

Makan bersila di hadapan gerai makan

Laura dan Friska memesan Sate Bulayak dan menjelaskan menu yang pelik-pelik kepada kami




Setelah menunggu seketika, Sate Bulayakpun dihidangkan.

Sate Bulayak adalah daging lembu yang dicampur dengan rempah-ratus khas Lombok dan dibakar dengan arang tempurung kelapa. Ia dimakan dengan sos kacang dan ketupat nasi yang dibalut dengan daun aren iaitu sejenis daun palma. Daun aren ini menghasilkan aroma yang membuatkan ketupat ini rasa berbeza. Apabila kami cuba terai, rasanya: "Bolehlah."

Seperti biasa apabila kita makan di tempat-tempat begini pasti ada sahaja pengamen (penyanyi/pemuzik jalanan) datang ke meja kita. Setelah menyanyi sebuah lagu kita terpaksa-rela menghulurkan sekeping dua rupiah. Tetapi kali ini pengamen yang datang semasa kami makan Sate Bulayak ini ialah pengamen perempuan yang sudah separuh umur. Pengamen ini menyanyi lagu dengan suara sengau sambil memetik gitar sumbang (out of tune). Amat pelik kedengarannya. Tapi itu mungkin tidak pelik bagi orang di sini kerana mengamen adalah perkara biasa  di sini.

Inilah Sate Bulayak!

#6: Kopi Luwak, Kopi Termahal Di Dunia Ada di Lombok


Kopi Luwak adalah kopi yang dihasilkan daripada biji kopi yang telah ditelan dan dikeluarkan kembali oleh musang dalam proses perkumuhan. Semasa musim buah kopi, musang ini makan buah-buah kopi yang cukup masak dan terbaik. Tetapi bijinya yang keras tidak hancur. Ia keluar semula melalui saluran najisnya. Biji-biji kopi ini kemudian dibersihkan, dijemur dan dikisar menjadi kopi yang termahal di dunia.

Kopi hasil dari perkumuhan najis musang? Tapi diminum? Pelik bukan? Adakah kopi luwak ini halal atau haram dimakan? Mula-mulanya saya ragu-ragu. Tetapi setelah bertanya ramai orang di sana disamping itu membuat rujukan di internet saya dapati banyak fatwa yang dikeluarkan menyatakan bahawa kopi ini halal dimakan. Tetapi disebabkan saya ragu-ragu, saya memilih tak meminumnya. Kerana ada hadith menyatakan bahawa kita hendaklah meninggalkan perkara yang meragukan.


Kopi Luwak  ini berharga RM40


#7: Cicak Dijadikan Hiasan


Orang Malaysia tidak suka cicak. Malahan kita bunuh cicak yang ada di rumah kita. Kita dapat pahala kerana membunuh cicak.  Berdasarkan hadis riwayat Muslim daripada Saad bin Abi Waqqas Nabi Muhammad SAW memerintahkan untuk membunuh cicak dan menyebutkannya sebagai haiwan perosak. Kita juga belajar Sirah Nabi bahawa cicaklah binatang yang memberitahu musuh-musuh Rasulullah SAW yang baginda SAW bersembunyi di dalam gua.

Tetapi cicak amat disukai oleh orang Lombok. Apabila kami pergi membeli-belah kami dapati banyak barangan seperti t-shirt, pinggan, lukisan, rantai kunci dan magnet peti sejuk diukir dengan bentuk cicak. Orang Lombok menjadikan cicak sebagai hiasan. Ia dianggap penunggu rumah dan lambang keberuntungan. Pelik, bukan?

Disamping nama Allah dan Nabi Muhammad SAW, cicak juga menjadi hiasan utama Lombok


Pekerja seni kerajinan tangan sedang mengecat cabai

#8: Cidomo Sebagai Kenderaan Awam


Kereta kuda terdapat banyak di pekan-pekan dan tepi jalan sebagai kenderaan awam. Saya amat menyenangi suasana ini. Sangat eksotik. "Di Malaysia kuda amat sukar kita lihat. Hanya orang kaya atau keluarga diraja sahaja ada kuda. Atau kita hanya melihat kuda di pesta atau di zoo." Laura dan Friska hairan dengan kata-kata saya itu. Bagi mereka, kereta kuda adalah untuk orang berpendapatan rendah.

Kereta kuda di sini dipanggil Cidomo iaitu singkatan daripada Cikar, Dokar dan Motor. Yang membezakan kereta kuda ini dengan yang terdapat di tempat lain ialah tayarnya dibuat daripada tayar kereta terpakai.

Cidomo di pasar

Cidomo di pekan

Cidomo di desa


Walaupun terdapat banyak perkara pelik dimataku tetapi ia tidak pelik di mata mereka. Ini semua adalah asam garam kehidupan yang membuatkan setiap masyarakat itu berbeza. Lain padang lain belalang. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Hijaunya bukit-bukau Lombok

Air laut yang biru membuat jiwa tenang

Kami meninggalkan Lombok dengan menaiki Merpati dari Mataram


16 ulasan:

  1. salam kak

    sesebuah perjalanan atau pengembaraan akan membuatkan kita memerhati lantas berfikir lalu yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan

    jauh perjalanan membuatkan kita sentiasa menghargai setiap kurniaan Allah pada kita samada yang kecil atau sebaliknya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Rezeki,
      Semakin jauh kita berjalan semakin kita merasa insaf akan kebesaran Allah. Saya masih lagi bertahtih dalam menimba ilmu. Semoga Allah sentiasa memberi saya kefahaman dan menunjukkan ilmuNya yang luas kepada saya.

      Padam
  2. Wah banyak betul pengalaman yang boleh dikutip di Lombok...

    Nampaknya pengaruh hindu masih kuat di sana...

    Cara pemakaian pengiring pengantin pun nampak serupa dengan orang Bali...

    Satu yang saya suka, jus alpukat tu... hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Pengaruh Hindu masih kuat di Lombok. Ini terlihat pada adat resam dan kepercayaan mereka. Di Masjid Kuno itu amat ketara sekali pengaruhnya. Pemakaian kemban dan sarung batik di perkampungan adat adalah biasa.

      Bali tidak jauh dari Lombok, maka pemakaian mereka juga serupa dengan Bali.

      Saya pun suka jus alpokat tu. Saya selalu order jus ini.

      Padam
  3. I tengah verangan nak bawak family ke Lombok tahun depan.. angan2 tercetus masa balik dari Jogja.. nak tgk keindahan bumi Lombok then terus sambung ke Bali. angan2 baru..Masjid lama tpi tak berfungsi sebagai masjid.. ke mana perginya alim ulama depa. apa tak dapat ditegur cara ibadat mereka tu??pelik gak kan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tidak salah berangan-agan. Dari angan-angan tulah ia jadi kenyataan. Puan boleh teroka tempat-tempat eksotik yang saya tak pergi lagi seperti Gunung Ranjini dan 3 Pulau Gili.

      Masjid Kuno itu kini dijadikan obyek wisata. Walaupun ada alim ulama, tapi mungkin agak susah untuk menyampaikan dakwah apabila manusia enggan keluar dari comfort zone dan kebiasaan. Namun sudah ada kesedaran dalam kalangan mereka. Ada yang telah meninggalkan amalan ibadat waktu telu itu.

      Padam
  4. Early tahun depan ada plan pergi Lombok. Tapi bila baca 'Islam Waktu Telu' buat pikir dua kali nak makan dekat sana.. Banyak tempat makan Halal toyyiban ker dekat sana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Lombok tempat orang Islam, jadi sudah tentu makanan halal mudah didapati di mana-mana. Namun di tempat makanan halal ini ada juga yang menjual arak, terutama sekali di kawasan pelancongan. Ada juga makanan Barat dan ais krim yang dicampur wain. Nampak gayanya di sana, mereka tidak mengambil peduli sangat tentang halal-haram. Mereka yang mengamalkan "Islam Waktu Telu" itu hanya ada di kawasan Masjid Kuno itu dan beberapa kawasan perkampungan adat (suku Sasak) yang tertentu. Cuma Die Zehn harus berhati-hati sahajalah tentang bab makan ini.

      Padam
  5. Balasan
    1. Tak pasti lagi ke mana. InsyaAllah, kalau diluluskan cuti, nak pergi Baitulmuqaddis pula.

      Padam
  6. Salam Prof,

    Saya suka entry prof yg ni..byk info yg pelik2 ada.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Zila,
      Terima kasih Zila sebab suka entri ni walaupun agak panjang. Sebenarnya banyak perkara pelik di sana, tapi tak dapat nak ceritakan lebih-lebih.

      Padam
  7. Kalo berkunjung lagi Ke Lombok. Jangan lupa pergi ke pantai pink alias namanya pantai Tangsi. Lombok Timur dan jangan lupa bawa pasir pinknya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Intan Sasih,
      Terima kasih atas saranan itu. Pasirnya pink sekali ya. Sangat cantik dan unilk. Tapi saya cuma melihat keindahannya di dalam gambar sahaja. Belum lagi benar-benar melihat sendiri dan menyentuh pasirnya. Mudah-mudahan sampai ke sana suatu hari nanti.

      Padam
  8. Baru baca tentang Lombok. Akan kesana Sept nanti. Mudahke untuk dpat supir?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mudah atau tidak bergantung kepada tempat di mana Ain turun.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.