Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 27 November 2013

Jejak Seni Jalanan: Tarikan Terbaru Kota Vintaj George Town (1)

Tak tahu nak cuti di mana? Bagaimana kalau saya cadangkan anda ke George Town,  Penang?

George Town telah diiktirafkan sebagai bandar Warisan Dunia oleh UNESCO. Di sini banyak tarikan utama. Banyak tinggalan kolonial Inggeris. Banyak sejarah perdagangan. Tidak kurang juga sejarah agama dan budaya. Tarikan kota Warisan ini menjadi-jadi setelah adanya seni jalanan (street art) yang berupa mural dan ukiran karikatur daripada besi tempaan di dinding-dinding bangunan tua.



Oleh kerana banyaknya seni jalanan (street art) di kota vintaj ini dan ia bukannya berada di satu tempat, maka saya membahagikan entri 'Jejak Seni Jalanan: Tarikan Terbaru Kota Vintaj Georgetown' ini kepada 2 bahagian.

Cara Pergi:

 

Kota Warisan UNESCO ini letaknya tidak berjauhan dengan Jeti dan Pelabuhan Pulau Pinang. Sekiranya anda datang dari tanah besar Semenanjung, anda boleh menyeberangi ke pulau ini dengan feri lama yang masih beroperasi dengan baik. Tambangnya murah sangat. Seringgit lebih saja untuk pergi-balik! (Kali terakhir saya - naik tahun lepas - tambangnya RM1.20)

Tetapi kalau sukakan pemandangan di atas jambatan, bolehlah merentasi Selat Melaka ke pulau ini melalui Jambatan Pulau Pinang. Tol yang perlu dibayar untuk sebuah kereta ialah RM7.00 dan hanya bayar sekali sahaja.

Apabila sudah sampai ke kawasan Warisan UNESCO ini anda boleh memilih untuk berjalan kaki, mengayuh basikal sewa, menaiki beca, menunggang motosikal atau memandu kereta. Dapatkan peta di Pusat Informasi yang letaknya di Lebuh Pantai (Beach Street), KOMTAR dan lapangan terbang Bayan Lepas. Atau di laman web (sila Google sendiri kerana ada banyak pilihan).




Kedai basikal sewa terdapat di sekitar kawasan George Town. Ia boleh disewa dengan harga RM10 untuk 6 jam. Peta juga disediakan.




Beca terdapat di mana-mana kawasan ini. Harganya hendaklah dirundingkan dengan pengayuhnya.





Kalau anda memandu, tempat letak kereta juga disediakan di tepi jalan secara bermeter atau cara bertiket di tempat letak kereta berdekatan.

Terdapat juga bas Rapid Penang  (hop on hop off) yang membawa anda mengelilingi kota ini dengan percuma. Perhatikan bas yang bertulis CAT ( Central Area Transit). Bas ini bermula di Weld Quay kemudian melalui Chulia Street Gaut, Lebuh Victoria, Lebuh Pantai, Light Street, Penang Road dan sebagainya dan berakhir ke Weld Quay semula. Ia bergerak secara lingkaran (loop bus).

Cara saya: Saya memandu kereta, meletakkannya di tempat letak kereta di Lebuh Victoria dan berjalan kaki. Saya tidak memerlukan peta kerana saya tinggal di pulau ini dan sudah biasa dengan lorong-lorong di kota ini. Saya datang pada hari Ahad, kerana mudah untuk meletakkan kereta dan jalan tidak sibuk. (Cuma pada hari Ahad banyak urusniaga dan urusan rasmi tidak dijalankan).

Anda boleh mula menjejak seni jalanan ini dari mana-mana jalan.


Jalan Armenian

 



Kalaulah anda mulakan jejak anda di Jalan Armenian anda boleh menyaksikan sebuah karikatur yang diukir pada besi tempaan. Ia diletakkan pada dinding bangunan yang terdapat di tepi jalan. Sejarah nama jalan ini diceritakan melalui karikatur dan tulisan dalam bahasa Inggeris. Cara ini lebih menarik berbanding dengan infomasi pada papan tanda. Ini disebabkan pengunjung akan tertarik untuk mengetahui tentangnya, berhenti membaca, lalu merakamkan gambar.



Tidak berjauhan dengan karikatur ini, anda mudah ternampak sebuah mural yang unik iaitu dua orang budak yang menaiki basikal. Basikal yang dinaiki itu adalah basikal sebenar. Mural ini terletak di tepi jalan pada dinding bangunan tua. Ia diilhamkan dan dilukis oleh Ernest Zacharevic seorang pelukis mural dari Lithuanian pada tahun 2012 sempena dengan Festival George Town.







Kemudian berjalanlah di sepanjang Jalan Armenian. Bolehlah  membeli-belah di kedai-kedai barangan antik, kedai seni kraftangan tempatan dan gerai-gerai menjual ole-ole.



Apabila anda berjalan lagi di Jalan Armenian itu anda boleh melihat mural seorang tua di dinding yang dilukis oleh Ernest Zacharevic. Mural in sudah hampir luntur warnanya akibat cuaca dan hakisan.



Sekiranya anda terus berjalan anda boleh melihat markas Dr Sun Yat Sen dan Muzium Islam Pulau Pinang yang sedang direnovasi.



Lebuh Cannon





Teruskan perjalanan hingga ke Lebuh Cannon. Di sini anda dapat melihat ukiran karikatur tentang sejarah Lebuh Cannon  yang dibuat daripada besi tempaan dan diletakkan di dinding bangunan lama.
 




Sebuah seni jalanan seorang budak yang berdiri di atas kerusi untuk mengambil sebuah tin minuman boleh anda jejaki sekiranya meneruskan perjalanan anda menuju ke Masjid Acheh di Lebuh Acheh.  Mural ini juga hasil karya Ernest Zacharevic.


Lebuh Acheh





Di hadapan mural ini adalah sebuah masjid Acheh yang dibina oleh seorang saudagar dari Acheh pada tahun 1808. Ia penting sebagai tempat persinggahan jemaah haji pada suatu masa dahulu.




Sejarah Jalan Acheh ini dicatatkan pada ukiran karikatur besi tempaan yang mudah dilihat di tepi jalan Gat Lebuh Acheh/Leboh Victoria pada dinding bangunan lama. Sebelum perkhidmatan kapalterbang diadakan, orang Malaysia dan Indonesia menggunakan Pulau Pinang sebagai tempat persediaan untuk mengerjakan haji. Sebelum berangkat mereka berkumpul di Jalan Acheh, menghadiri kursus haji, membeli tiket kapal, membeli-belah dan berangkat melalui Pelabuhan Pulau Pinang.





Di sebelah masjid Acheh ini anda boleh melihat deretan kedai-kedai lama dengan ukiran awan larat yang penuh seni.

 

Lebuh Ah Quee





Anda bergerak pula ke Lebuh Ah Quee. Sekali lagi anda akan mudah ternampak karikatur yang diukir dengan besi tempaan dan diletakkan di tepi jalan dengan berlatarbelakangkan dinding tua.  Karikatur ini menceritakan sejarah jalan ini mendapat namanya melalui tulisan dan dialog dalam 'belon'. Ianya menarik dan melucukan seolah-olah kita membaca sebuah buku komik yang besar.





Di sini anda akan melihat sebuah lagi seni jalanan yang diilhamkan oleh Ernest Zacharevic. Iaitu seorang budak sedang menaiki motorsikal dengan memakai topi keledar yang tidak diikat talinya sambil menoleh ke belakang. Motorsikalnya ialah motorsikal sebenar. Motorsikal itu disandarkan pada sebuah pintu bangunan lama.




Di belakang 'budak motor' ini  terdapat mural seorang budak sedang menarik seekor dinosaur. Mural ini juga hasil karya Ernest Zacharevic. Ia sudah hampir luntur akibat cuaca.



Sekiranya anda dahaga, bolehlah berhenti minum di kedai-kedai yang banyak terdapat di sepanjang jalan.


Lebuh Victoria





Kemudian pergilah ke Lebuh Victoria. Di sini kita boleh melihat karikatur saudagar Cina dan India berurusniaga, ia hasil karya Lefty.





Di sini juga terdapat gudang-gudang dan kedai-kedai lama yang telah dibina sejak abad ke-18.


Lebuh Gat Chulia





Di sebuah lorong bernama Lebuh Gat Chulia, berhadapan dengan sebuah kedai kopi, anda boleh melihat sebuah mural dua orang budak bermain bola jaring. Ia diilhamkan oleh Louis Gan seorang artis kelahiran Pulau Pinang.




Tidak berjauhan dari mural budak bermain bola jaring tadi, lintaslah jalan dan masuklah ke lorong sebelah kiri. Di sini anda boleh melihat mural dua orang budak bermain buaian di Step by Step Lane. Ia juga telah dilukis, dicatkan dan dibina oleh Louis Gan. Anda boleh duduk di buaian kayu yang ada di situ dan bermain dengan dua orang kanak-kanak itu yang pasti senyum melihat anda.


Chew Jetty


Teruskan perjalanan anda ke Chew Jetty yang terletak di tepi pantai. Ia adalah perkampungan nelayan tradisional yang masih kekal walaupun Georgetown adalah sebuah bandaraya.



Di sini anda boleh melihat rumah yang dibina di atas air. Anda mesti menaiki jeti/pelantar papan untuk berada di perkampungan ini. Anda boleh juga menjenguk ke dalam rumah-rumah nelayan ini dan juga membeli ole-ole yang dijual di hadapan rumah mereka.





 
Di hujung pelantar anda boleh melihat pemandangan laut di Selat Melaka. Duduklah di pelantar papan itu dan juntaikanlah kaki anda, nikmatilah pemandangan yang mengasyikkan dengan kapal kecil dan feri merentasi selat itu.



Di sini anda boleh melihat seni jalanan atau mural yang dilukis oleh pelukis Ernest Zacharevic kelahiran Lithuanian itu. Mural ini dilukis pada dinding sebuah rumah nelayan yang betul-betul menghadap laut. Tetapi ia kini telah luntur dan hampir lenyap dek cuaca dan air laut.



Tapi jangan kecewa dengan seni mural yang luntur itu kerana penduduk di sini amat memahami perasaan anda. Mereka telah menggantikan mural itu dengan sebuah mural lain yang terdapat pada dinding sebuah rumah nelayan.

Bagaimana suka tak?

Ada banyak lagi seni jalanan yang harus anda jejaki di George Town. Untuk mengetahuinya ikutilah entri saya akan datang.

...bersambung


18 ulasan:

  1. Cantik seni nya..:) ciku pun penah tinggal di penang antara tahun 1990 -1995 di Georgetown

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ciku,
      Memang cantik seninya. Ada lagi seni jalanan yang masih belum siap lagi.

      Lama juga Ciku tinggal di Georgetown. Tentu Ciku biasa dengan kawasan yang saya tunjukkan dalam blog ini. Tapi kini Georgetown telah banyak berubah, berseni dan bersih.

      Padam
  2. Oh.. lukisan Ernest Zacharevic ada juga di sini. Lukisan muralnya yang berunsur satira dan menimbulkan kontroversi di JB telah dipadam oleh pihak berkuasa tempatan di sana...

    Agak menarik, cuma kena ada orang yang punya minat yang sama untuk mengekplorasi tempat ni...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Ya, betul tu Mie. Di Penang pun ada.

      Lukisan Ernest Zacharevic mendapat tempat di merata dunia termasuklah Singapura. Lukisan mempunyai pelbagai simbol, interpretasi dan subjektif untuk ditafsirkan. Bagi seseorang artis sepertinya, hasil seni yang kontroversi adalah petanda positif. Bermakna hasil seninya mendapat perhatian dunia.

      Bagi mereka yang meminati seni graffiti pasti tak akan melepaskan peluang melihatnya sendiri.

      Padam
  3. Salam kak

    E&O kat Lebuh Farquhar dekat tak dgn tempat2 yg akak nyatakan kat atas

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Rezeki,
      E &O Hotel di Lebuh Farquhar memang dekat dengan kawasan UNESCO yang saya sebutkan dalam entri ini. Tetapi kena naik kereta/teksi. Ia letaknya bersebelahan dengan kawasan UNESCO ini. Rezeki boleh memandu melalui Lebuh Light, Pengkalan Weld, Lebuh Pantai, Chulia Street atau Penang Road dari hotel itu untuk ke kawasan UNESCO ni.
      Peta ini boleh dirujuk:
      https://www.google.com.my/maps/ms?ie=UTF8&t=m&oe=UTF8&msa=0&msid=209356183284771006674.0004e5ae2b3256d812557

      Padam
  4. Thanks...at least I boleh dpt guideline masa nak jelajah nanti..cuma tgk.keupayaan diri je..or maybe I guna beca lah..nak jln mmg x larat kot..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Puan Azian,
      Elok naik beca atau basikal, lebih seronok :)

      Padam
  5. Penang always in my top list jika I nak jalan2.... good building, nice environment, makanan pun sedap2.... but unfortunately byk kes ragut yg melibatkan traveler ni yang tak sedap didgr..... nice info.... certain tempat tak penah pegi lain....~

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sekarang ni banyak aktiviti dan tarikan ditambah untuk menggalakkan lebih ramai orang datang ke Penang. Makananpun nak disenaraikan pun tak reti, sebab banyak yang sedap-sedap. Kejadian jenayah di bandar besar amat merisaukan dan perlulah berhati-hati, kalau bawa barang berharga kenalah simpan di tempat tersembunyi untuk mengelakkan diragut.

      Padam
  6. Brapa ringgit masuk smua tmpat ni?

    BalasPadam
  7. miss Penang so much....foto2 kat dalam blog ni pun awesome lah (y)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Arie,
      Kalau 'miss Penang so much', rajin-rajinlah datang sini. Bukannya jauhpun Penang dengan Acheh. Sekejap je dah sampai. Terima kasih Arie. Foto yang Arie tangkap dan masukkan dalam blog Arie pun awesome :)

      Padam
  8. Saya tak aware pula dengan mural di dinding. Next time saya ingin ke Penang lagi :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mas Indra,
      Mural di dinding ini perlu dicari di serata kota Georgetown seperti permainan mencari harta karun :) Sekarang ini Penang menjadi lebih menarik dan happening dengan adanya mural ini. Bilangan mural ini juga semakin bertambah. Kapan-kapan main di Penang lagi Mas!

      Padam
  9. Duk cari2 blog pasai penang heritage trail, last jumpa blog prof. Seronok baca kat sini, esok saya baru nak pergi jalan2 kat area penang heritage... Malu la, orang penang pun x sampai sini lagi...

    Saya lahir di penang, duk sungai nibong, dulu selalu jugak pi USM join star gazing dgn Dr. Chong Hon Yew...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Opps sorry Saffuan sebab baru perasan ulasan Safuan masuk.
      Apa nak malunya...biasalah tu orang dah duk kat sini, anytime boleh pi...saya pun lagu tu jugak...banyak tempat di Tanjung ni tak pi lagi.:D

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.