Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 1 Disember 2013

Jejak Seni Jalanan: Tarikan Terbaru Kota Vintaj George Town (2)

D isamping dikenali sebagai Kota Warisan Dunia, kini George Town juga mendapat jolokan sebagai "City of Murals" kerana terdapatnya lambakan street art (seni jalanan) dan grafitti di kota ini.

Andy: "Where are we going now?"....Michelle: "Let's go right"

Mural yang dilukis oleh seniman tempatan dan luar negara di dinding bangunan di George Town ini telah menambat hati ramai pengunjung.

Lukisan mural di George Town adalah luahan hati seniman yang melihat kehidupan masyarakat tempatan dan persekitarannya. Ia boleh  diinterpretasikan sebagai satu sindiran sosial dan politik.

Malahan ada juga mural yang dibuat sebagai satu kempen kesedaran kepada masyarakat.

Lebuh Armenian


"Love Me Like Your Fortune Cat"

Mural bertajuk "Love Me Like Your Fortune Cat" yang saya ambil pada 30 November 2013 di Lebuh Armenian ini adalah projek '101 Lost Kittens' yang dijalankan oleh sekumpulan artis yang menggelarkan diri mereka ASA (Artist for Stray Animals). Mereka menjalankan kempen menyelamatkan kucing hilang dan terbiar. Ia adalah projek yang baru dijalankan sempena menyambut Festival George Town 2013.


"Skippy to Penang for Animal Awareness"

"Skippy to Penang for Animal Awareness"

Tidak berjauhan dengan mural "Love Me Like Your Fortune Cat" sesiapa sahaja pasti mudah melihat mural seekor kucing besar berbulu kuning sedang duduk. Di belakang kucing besar ini terdapat tiga ekor kucing kecil sedang meniti batang paip. Mural cantik bertajuk "Skippy to Penang for Animal Awareness" ini juga adalah ilham daripada ASA. Ketika saya ke sini pada 30 November 2013, saya dapati ramai pengunjung datang dan tidak henti-henti bergambar dengan Skippy.


"I Can Help Catch Rats"


Di jalan yang sama, masuklah ke lorong yang menuju ke Lorong Soo Hong. Di sini terdapat mural seekor kucing menangkap tikus pada dinding sebuah kedai. Ini juga adalah projek '101 Lost Kittens.' Kucing ini diberi perhatian utama kerana ia diletakkan di dalam bulatan warna merah. Lukisan ini menggalakkan kita memelihara kucing kerana kucing boleh membantu menghapuskan tikus di rumah kita.

Mural 'Wo Aii Nee Chinese Malay Indian' pada dinding sebuah kedai di Lorong Armenian

Nampaknya keda-kedai di kota vintaj ini amat menyokong seni jalanan kerana pada dinding kedai I-Box Museum of Glass di Jalan Armenian juga sudah dihiasi dengan mural yang berwarna-warni. Lihatlah betapa manisnya tiga dara Melayu, Cina dan India ini berpakaian tradisional Cina ini. Mural yang meluahkan perasaan sayang menyayangi antara tiga bangsa utama Malaysia ini baru sahaja disiapkan pada September 2013 yang lalu.


Mural kartun pada pintu kedai barangan antik

Kedai-kedai barangan antik juga turut sama memeriahkan "City of Murals" ini dengan melukis mural kartun bermain silap mata pada pintu kedai.

 

Lorong Soo Hong

 

"No Animal Discrimination Please"

Mural tiga ekor kucing berjalan juga adalah projek "101 Lost Kittens." Mural tentang jangan mendiskriminasi binatang tidak kira kucing atau anjing ini terdapat di sebuah lorong yang sempit, di belakang sebuah cafe, menghadap Lorong Soo Hong.


Lanca digunakan di kota ini pada suatu masa dahulu


Lorong Soo Hong adalah lorong yang paling sempit di kota vintaj George Town, sehinggakan lanca yang dahulunya digunakan di kota ini tidak boleh mencelusi lorong ini. Sejarahnya diketahui melalui tulisan pada karikatur yang diukir daripada besi tempaan. Sungguh melucukan melihat lanca ini tercabut akibat tersangkut di antara dua tiang bangunan di lorong paling sempit ini.

Lorong Soo Hong, lorong paling sempit di George Town.


Gambar di atas ini adalah Lorong Soo Hong yang sebenarnya. Hanya motorsikal, basikal dan pejalan kaki sahaja yang boleh mencelusinya.


Ke Lebuh Victoria dan Bertemu Kartunis Lat



"Shade Me If You Love Me"

Lebuh Victoria  memperolehi nama daripada nama Queen Victoria. Di jalan ini terdapat sebuah mural tentang kucing-kucing terbiar yang memerlukan perlindungan.

Festival Sastera 2013 George Town di Sekeping Victoria

Ketika saya berjalan di Lebuh Victoria semalam, saya terlihat iklan tentang Festival Sastera yang sedang diadakan di situ. Yang menarik hati saya, kartunis negara kita Dato' Lat berada di situ. Ia diadakan di sebuah gudang tua yang telah diubahsuai menjadi tempat lepak-lepak dan sembang-sembang artis.

Sayapun menjenguk ke dalam gudang itu, yang kini dinamakan Sekeping Victoria. Saya disambut baik oleh dua orang penyambut tetamu. Menurut mereka Dato' Lat sudah berada di dalam dan Bual Bicara dengannya akan diadakan sebentar lagi.

Sayapun masuk dan mendapati Dato' Lat berada di situ. Lalu saya menyapanya dan meminta kebenaran mengambil gambarnya. Dato' Latpun senyum dan posing. Sebentar kemudian Bual Bicara dengan Dato' Lat pun dimulakan.


Bual Bicara dengan kartunis Dato' Lat di Sekeping Victoria

Penonton dan peminat Lat sedang mendengar Bual Bicara dengan Lat di dalam gudang tua yang kini dinamakan Sekeping Victoria..


Di dalam gudang tua ini hiasan dalamannya nampak 'cool' dan santai. Ia masih mengekal ciri-ciri gudang tua. Pecahan serta retakan pada dinding dan susunan batu-bata lama dikekalkan. Memang nampak vintaj. Penonton duduk di kerusi yang 'sempoi' dengan hiasan dinding yang penuh dengan grafitti.  Pelbagai bangsa dari pelbagai negara datang mendengar Bual Bicara bersama kartunis yang tersohor ini.

Komik Lat dijual di sini

Usai Bual Bicara Bersama Dato' Lat saya melihat buku-buku dijual di kedai seberang jalan. Untuk menambah koleksi, saya membeli senaskah komik Lat yang bertajuk "Lat Gets Lost" yang berharga RM14.90. Saya meminati komik Lat dan membesar dengan komik beliau. Banyak persamaan kisah Lat dengan kisah saya semasa di kampung. Ini disebabkan kedua-dua kami orang Perak.

Saya juga telah menulis sebuah bab tentang filem animasi Lat di dalam buku Asian Futures, Asian Traditions. Buku ini telah diterbitkan oleh Global Oriental di Kent, United Kingdom pada tahun 2005. Bab yang saya tulis itu bertajuk, "Lat's The Kampung Boy: Rural Malays in Tradition and Transition."

Dato' Lat melayani peminat

Ramai orang beratur meminta tandatangan beliau. Sayapun turut sama beratur. Gembiranya saya apabila Dato' Lat menandatangani buku yang saya beli tadi, menulis nama saya dan tarikhnya iaitu 30 November 2013.

 

Lebuh Chulia


"Double Role"

Di Gat Lebuh Chulia terdapat sebuah Balai Bomba dan di hadapannya ada sebuah karikatur besi seorang Jaga/Pengawal keturunan Punjabi yang berdiri di sebelah senapang patah dan hos air. Karikatur ini melucukan — pengawal ini menoleh ke kiri ke kanan dengan penuh keliru kerana terpaksa menanggung dua tugas dalam satu masa.


"Yeoh Only"

Tidak jauh dari karikatur pengawal itu tadi ada sebuah karikatur tentang Mr Yeoh yang menguruskan kedatangan keluarga Yeoh yang baru sampai di Penang pada 1836.


Rumah kedai lama


Di Lebuh Chulia anda boleh melihat banyak rumah kedai tua yang masih kukuh.

Mahligai Peranakan mengimbas kembali legasi ketua Kongsi Gelap Hai San

Mahligai Peranakan yang penuh kesenian dan dipenuhi dengan koleksi perabut antik

Mahligai Peranakan juga terdapat di Jalan Chulia dan ia masih kukuh dan dilawati orang ramai. Ia adalah mahligai seorang Kapitan China yang juga mengetuai Kongsi Gelap Hai San.

Peranakan juga dikenali dengan Baba dan Nyonya. Mereka mempunyai cara kehidupan yang berbeza kerana percampuran dengan budaya Melayu, China dan Inggeris. Ini dilihat daripada pertuturan, pemakaian dan masakan mereka.

Jalan Gereja

 


Ukiran besi Street Fighter ini menceritakan tentang kumpulan Kongsi Gelap Ghee Hin yang berpusat di Lebuh Gereja


Suatu masa dahulu, Pulau Pinang adalah tempat kumpulan Kongsi Gelap Ghee Hin beroperasi dan sejarahnya ini diukir pada besi tempaan yang diletakkan di Jalan Gereja.


Grafitti di Lebuh Gereja

Grafitti adalah seni contengan dinding yang sangat popular di kotaraya besar dunia seperti di Melbourne atau New York. Seiring dengan perkembangan seni hip hop dan b-boy, grafitti yang asalnya dilukis oleh mereka yang menggunakan cat semburan secara tidak sah itu, kini telah menjadi satu hasil seni yang dihargai.

Oleh kerana seni grafitti ini mendapat tempat di kalangan golongan muda, maka satu tembok grafitti telah dibina oleh Majlis Perbandanran Pulau Pinang. Tembok grafitti ini dibina di Taman Belia Pulau Pinang untuk memberi kebebasan kepada peminat seni berkarya.

Kedai-kedai pakaian India dan rempah-ratus di "Little India"


Kawasan yang dikenali dengan "Little India" juga mudah dijumpai di kawasan ini. Pelbagai produk yang sesuai untuk kaum India terdapat di sini.



Masjid Kapitan Kling


"Nasi Kandar"

Nasi Kandar amat terkenal kerana ia adalah masakan yang berasal dari sini. Cara Nasi Kandar ini dijual juga direfleksikan melalui karikatur yang terdapat pada dinding sebuah kedai tidak berjauhan dengan Masjid Kapitan Kling.

Masjid Kapitan Kling di Lebuh Pitt. Kubahnya mendapat pengaruh senibina India

Bahagian dalam Masjid Kapitan Kling

Terdapat banyak restoren Nasi Kandar terdapat di sekeliling Masjid Kapitan Kling. Jadi janganlah tak singgah menerai Nasi Kandar asli di sini.

Masjid Kapitan Kling adalah masjid tertua di Pulau Pinang. Ia telah dibina pada abad ke-18 oleh tentera Syarikat India Timur semasa mereka datang ke sini. Ketua kaum India Muslim pada masa itu —Kadir Mydin yang dikenali sebagai Kapitan Kling— telah meminta sebidang tanah seluar 18 ekar untuk membina masjid ini. Apabila Kapitan Kling meninggal dunia, tanah itu tidak lagi diiktiraf sebagai miliknya. Lama kelamaan ia semakin mengecil disebabkan pertumbuhan jalan-jalan awam dan rumah-rumah di sekelilingnya.

Jalan Penang


"Awaiting Trishaw Paddler"


Mural seorang pengayuh beca tua duduk menanti di atas beca terdapat pada dinding bangunan yang berhadapan dengan Jalan Penang.

Jalan Muntri



Townhouse di Jalan Muntri

Di Jalan Muntri anda boleh melihat banyak townhouse yang sudah lama dibina. Kini ia menjadi kedai, cafe dan hotel bajet. 

Cafe yang berkonsepkan retro

Mural "Girl in Blue"


Penang Ta Kam Fong adalah Persatuan Tukang Emas Pulau Pinang yang tertua di Malaysia dan ditubuhkan pada 1800 di Lorong Muntri. Sebuah mural seorang budak perempuan berpakaian biru yang dilukis oleh Ernest Zacharevic boleh dilihat di sebelahnya.


One Leg Kicks All" hasil karyaMun Kian


Karikatur "One Leg Kicks All" terdapat di Jalan Muntri. Ia menceritakan seorang pembantu rumah yang datang dari Guandong ke sini dan cekap membuat pelbagai kerja-kerja rumah dalam sesuatu masa.



Love Lane dan Stewart Lane


Love Lane atau Lebuh Cinta adalah lorong di tengah-tengah pusat bandar yang telah tumbuh sejak sekian lama. Kenapa ia dinamakan Love Lane adalah tidak diketahui dengan jelas.

Rumah kedai di Love Lane yang sedang direstorasi

Love Lane juga adalah kawasan backpackers. Di sini terdapat banyak guesthouse dan hotel-hotel bajet yang digemari oleh backpackers

Di Love terdapat kedai-kedai lama yang mempunyai "Kaki Lima Paling Sempit." "Kaki Lima Paling Sempit" ini berkeluasan cuma lima kaki sahaja.

"Kaki Lima Paling Sempit" di Love Lane

Karikatur pada kaki lima paling sempit di Lebuh Cinta

Di antara Love Lane dan Stewart Lane terdapat karikatur yang diletakkan pada tiang bangunan yang mempunyai kaki lima yang paling sempit di George Town.

 

 

Lebuh Pantai



"Bruce Lee Yang Sebenar Tidak Pernah..Tidak Pernah! Membuat Sedemikian Terhadap Kucing Kesayangan"


Di Lebuh Pantai/Jalan An Quee terdapat sebuah mural memperingatkan kita tentang jangan menyiksa kucing. Ini juga adalah projek "101 Lost Kittens." Saya sukakan mural ini.

Mural ini adalah bersifat sementara. Dalam masa dua tahun ia mungkin luntur. Jadi bagi mereka yang ingin mengujunginya silalah datang ke sini segera. 


Ciri-ciri senibina kolonial Inggeris di Beach Street

Bangunan bersenibina kolonial Inggeris 1923


Anda bolehlah berjalan di sepanjang Lebuh Pantai @ Beach Street dan melihat bangunan bersenibina kolonial yang vintaj dan indah. Lebuh Pantai adalah kawasan komersial pada zaman dahulu kerana kedudukannya berdekatan dengan pelabuhan.

Union Street

Kareem Pasembor

Sekiranya anda berasa lapar dan dahaga singgahlah di Union Street. Di sini ada banyak cafe dan gerai makan. Singgahlah makan pasembur dan roti bakar di sini. Cerita tentang pasembur Union Street ini telah saya blogkan pada entri yang lepas.

Jam Besar Queen Victoria

Teruskan berjalanlah lagi sehingga anda sampai ke bulatan Jam Besar Queen Victoria. Di seberang jalan terdapat kubu Fort Cornwallis.




Rumah api Fort Cornwallis dari dalam bilik simpanan bahan senjata

Meriam di Fort Cornwallis
Tempat menyimpan bahan senjata di Fort Cornwallis



Fort Cornwalis menghadap laut di Padang Kota Lama. Ia adalah kubu yang mempertahankan kota ini pada suatu masa dahulu. Terdapat rumah api di situ.

Tidak berjauhan daripada Fort Cornwallis terdapat Majlis Bandaran.

 

 

Majlis Bandaran dan Skulptur "Theatre of Ships"



Skulptur "Theatre of Ships"


Joko Dwi Avianto seorang artis Indonesia telah membina skupltur unik bersebelahan dengan Majlis Bandaran. Ia direkacipta dengan menggunakan beribu-ribu batang buluh sempena dengan Festival George Town 2013. Ia diilhamkan daripada sejarah Pulau Pinang yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berkumpul dan melakukan persembahan. Joko menamakan skupltur ini sebagai "Theatre of Ships".


Jalan Magazine

 

"Penang: Past, Present & Future"


Di Jalan Magazine terdapat sebuah dinding yang panjang dan terdapat mural yang panjang juga. Lukisan pada dinding itu dibuat oleh artis yang berbeza. Ada gambar lukisan burung-burung sedang makan di hadapan sebuah tokong. Ada tentang orang membeli-belah di Pulau Pinang dan ada juga tentang kemajuan pengangkutan awam. Ia dianggap mural terpanjang di George Town. Semasa saya mengambil gambar ini beberapa bulan yang lalu ia masih belum siap. Tetapi kini ia telah siap sepenuhnya.


Deretan kedai vintaj di Jalan Magazine


Apabila anda berjalan di Jalan Magazine, anda pasti melihat banyak bangunan tua yang sedang direnovasi. Sebuah bangunan lama yang berupa deretan kedai yang berhadapan dengan 1st Avenue Mall kelihatan amat vintaj.

"Women Construction Workers"


Di sebelah deretan kedai vintaj tadi ada bangunan Persatuan Hui Aun. Di dindingnya ada sebuah mural wanita sedang bekerja. Mereka adalah ahli persatuan ini yang dahulunya datang ke sini dari China dan bekerja sebagai buruh bangunan. Ada yang kembali semula ke China dan ada yang berkahwin dengan penduduk tempatan dan menjadi rakyat Malaysia.


Jalan Macalister


"Nostalgic Meal Order"


Memesan makanan melalui tingkap atas

Apabila anda berjalan terus melalui Jalan Macalister, masuklah ke Lorong Kinta. Lorong Kinta ini terletak di antara Lorong Madras dan Lorong Macalister. Di sini terdapat mural seorang Nyonya muda yang berdiri di tingkat atas bangunan dan menjenguk keluar tingkap. Dia menghulurkan sebuah bakul ke bawah dan memesan mee dari seorang penjaja lelaki yang berdiri di bawah tingkap. Penjaja lelaki itu memegang mangkuk mee dan berkomunikasi dengan wanita itu.

Saya sukakan mural ini kerana cerita yang disampaikan amat berkaitan dengan cara Nyonya memesan makanan di tempat itu pada abad ke-20. Ini disebabkan pada ketika itu Nyonya tidak mahu dirinya dilihat oleh orang ramai. Mural ini dilukis oleh Louis Gan dan pemilihan warnanya amat menarik sekali.

Sebenarnya ada banyak lagi street art  di kota vintaj George Town. Tidak sempat saya menghabisinya walaupun sudah 4 kali saya mengulang dan menjejakinya. Bagaimana kalau anda sendiri menghabisinya untuk saya?

Mailah Penang!


10 ulasan:

  1. Terasa nak ke sana lah pulak.. last time pegi all the mural masih belum siap.. mmg nak kena jejak ni..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Erm..boleh x awak bagi no telefon nota kembara ...

      Padam
    2. Puan Azian,
      Eloklah pergi sebab setiap kali saya pergi ada saja mural baru dibuat. Semuanya menarik. Menjejaknya pun seronok. Ada yang jumpa, ada yang tidak. :)

      Padam
    3. Wahai pengunjung Tanpa Nama,
      Boleh tak perkenalkan diri dan beri email?

      Padam
  2. wahhhh seronok buat yg minat bergambar nih!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nanadhoi,
      Yang minat fotografi dan seni wajib datang sini.

      Padam
  3. Melihatkan mural-mural yang banyak dan serata tempat ini, pasti tak cukup satu hari. Sayang sekali, saya bakal buat trip satu hari sahaja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ariyatna,
      Kalau nak tengok mural dan masa terhad, pergi saja ke Lebuh Armenian, Lebuh An Quee dan Lebuh Victoria, banyak mural terdapat di situ dan kesemua jalan ini berdekatan di antara satu sama lain. Ariyatna boleh habiskan masa dalam 45-60 minit di sini. Kalau nak tengok kesemua mural itu kena datang 2-3 kali, tetapi kalau masa terhad tengok sikit pun jadilah.

      Padam
    2. Puan Naramas Aman, Alhamdulillah, trip satu hari saya memuaskan hati juga. Di Fort Conwalis, dapat pamplet yang ada peta untuk mural-mural tersebut. Saya kejar mural yang cantik dan popular sahaja. Agak berbaloi. Betul kata Puan, kebanyakannya di Lebuh Lebuh Armenian dan Lebuh An Quee. Terima kasih juga atas panduan Nota Kembara Pulau Pinang. Amat membantu. ;)

      Padam
    3. Baguslah Ariyatna dapat ke Fort Cornwalis, dapat pamphlet dan tengok mural terkenal di dua jalan itu.

      Sama-sama :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.