Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Isnin, 16 Disember 2013

British Columbia (2): Baiknya Budi Orang Kanada

H ari pertama saya di British Columbia, saya transit di Vancouver. Kemudian tukar pesawat kecil ke Victoria yang letaknya di Vancouver Island.

Sebagaimana yang saya beritahu pada entri yang lalu, pulau nombor satu Kanada ini letaknya di Lautan Pasifik.  Ia mengambil masa 20 minit untuk sampai dari Vancouver.

Ketika pesawat terbang turun, saya merenung keluar jendela pesawat. Alangkah gembiranya saya. Mata saya dimanjakan dengan kebiruan air laut yang tenang. Kabus yang menyelubungi ruang angkasa membuatkan saya bagaikan berada di kayangan. Asyiknya saya!

Saya tidak dapat menjelaskan keindahan pulau itu dengan perkataan. Ia terlalu indah. Senang cerita, cer tengok poskad di bawah ini:

Pemandangan indah Vancouver Island dari udara, pada 1998. 

 

Perkhidmatan Bas Awam Yang Paling Mesra Penumpang


Penulis duduk berdekatan Lapangan Terbang Victoria. Saya terpaksa duduk macam ini sebab kamera  self-timer saya letakkan di atas batu.

Sesampainya saya di lapangan terbang Victoria di Vancouver Island, saya terus mengambil bagasi dan mencari airport bus. Bas sudah sedia menunggu. Saya terus berjumpa dengan pemandu bas tersebut lalu memintanya menurunkan saya di Renouf House, Stanley Avenue. Pemandu bas itu memberitahu saya bahawa bas ini tidak lalu di jalan tersebut. Alamak! Mulalah saya rasa sedikit cemas. Tetapi...katanya dia akan menurunkan saya di sebuah tempat berhampiran dengan Stanley Avenue. Dari situ saya perlu mengambil teksi untuk ke Renouf House.

Pada mulanya saya menyangka ini amat merumitkan saya. Tetapi tanpa diminta, pemandu bas itu terus menelefon seorang pemandu teksi dan meminta dia menunggu saya di situ. Saya rasa amat kagum dengan cara pemandu bas itu melayan saya. Ini amat membantu saya dan kita perlu mencontohi sikap pemandu bas ini. 

Sayapun naik bas itu.

Bas itu pun melalui jalan-jalan indah di pulau itu. Ketika itu Musim Bunga.


Pemandangan tepi jalan di Vancouver Island. Gambar ini diambil ketika bas bergerak

Kira-kira 30 minit kemudian, bas itu berhenti di sebuah kawasan perumahan. Pemandu itu menoleh ke arah saya dan memberitahu yang saya perlu turun di situ. Tidak saya sangka, pemandu bas itu dengan ringan tangan mengangkat beg saya dan membawanya turun. Dia lalu memasukkan beg saya ke dalam but teksi yang sudah sedia menunggu di tepi jalan. Rupa-rupanya itulah teksi yang dihubungi oleh pemandu bas tadi. Pemandu teksi itu sudah sedia menanti saya. Alangkah kagumnya saya kerana keprihatinan dan layanan orang di Victoria ini. Segalanya diatur dengan lancar tanpa diminta. Superb!

Ketika itu terdetik di hati saya, nilai-nilai murni ini sudah semakin lenyap di kalangan orang Malaysia. Ini disebabkan saya dulu sering dimarahi oleh pemandu bas di Malaysia kalau saya bertanya sesuatu kepadanya. Mengapa, orang kita suka marah-marah, ya? Salah siapa?

Saya juga kagum dengan cara pemandu bas awam lain di Victoria Island ini. Ini saya saksikan pada hari-hari berikutnya di pulau indah itu. Ini disebabkan mereka sentiasa menjaga keselamatan penumpangnya. Apabila penumpang menaiki bas, pemandu akan menanti penumpang sehingga penumpang duduk dengan betul-betul. Setelah pasti penumpang duduk barulah pemandu menekan minyak dan menggerakkan bas. Begitulah juga dengan cara menurunkan penumpang.

Pemandu juga peramah dan mempunyai masa untuk bertanya khabar penumpangnya. Ini membuatkan kita rasa dihargai.

Saya pernah trauma menaiki bas sekolah di Malaysia. Ini disebabkan, pemandu bas tidak berhenti betul-betul ketika mengambil saya naik. Ketika saya masih di pintu bas, bas sudah bergerak dan membuatkan saya hampir terjatuh. Saya memaut kuat besi pemegang pada pintu bas untuk mengelakkan daripada jatuh. Mujurlah saya sudah sarapan, kalau tidak mungkin saya lemah dan jatuh. Kejadian saya hampir jatuh dari bas itu diusik-usik pula oleh budak-budak nakal yang ada dalam bas itu, "Hooi, terrer kamu stunt ye!" Aduhai, kenapalah orang kita macam ni, ya?

Seperkara lagi yang menarik di Victoria ini: penumpang boleh membawa basikal bersama menaiki bas! Macam mana tu? Caranya - bas menyediakan tempat letak basikal di hadapan kepala bas. Dengan cara ini, kita boleh menaiki bas sekiranya penat mengayuh basikal. Menarik, kan?


Bas di Vancouver Island menyediakan tempat meletak basikal di hadapan bas supaya kita boleh berbasikal dan naik bas. Lihatlah palang besi pada kepala bas ini. Inilah tempat letak basikal,


Sampai di Renouf House-Bed & Breakfast


Berbalik kepada pemandu teksi saya tadi, pemandu teksi itu membawa saya ke Renouf House yang letaknya di kawasan perumahan yang luas. Tambangnya adalah mengikut kiraan meter pada teksi dan tiada penipuan berlaku.

Kawasan perumahan di Stanley Avenue, tempat saya menginap.

Pokok cherry blossom banyak terdapat di kawasan perumahan di Stanley Avenue

Saya lihat Renouf House adalah sebuah ruman bersenibina Victorian yang besar. Saya lalu memicit loceng pintu rumah itu. "Ting tong ting tong!"

Saya terdengar bunyi kaki berjalan menuju ke pintu. Harap-harap inilah Sean. Sean tahu saya akan sampai hari ini.

Sebentar kemudian seorang lelaki Mat Salleh membuka pintu dan menyambut saya dengan tersenyum.

"Hi! Named Sean. I have been expecting you!" sapa Sean.

Sean membawa saya ke bilik saya yang letaknya di tingkat atas. Di dalam bilik itu terdapat 2 buah katil. Saya memilih bunk bed yang di bawah sekali. Saya dimaklumkan akan berkongsi dengan seorang perempuan yang akan sampai pada malam hari. Memang Sean sediakan bilik yang perempuan berkongsi dengan perempuan.

Sean membawa saya melawat rumah itu, menunjukkan bilik air, bilik-bilik, dapur, peralatan memasak dan mesin basuh. Saya dibenarkan untuk memasak, membasuh dan menukar bilik sekiranya saya mahu.

Sean memberitahu saya waktu sarapan. Dia akan mengadun roti pada malam hari sebelum tidur dan akan membakarnya pagi esok.

Terdapat sebuah bilik kelamin di hujung tingkat satu. Ia disewakan oleh sepasang suami isteri dari Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Tapi saya tak nampak mereka hari itu.


Bunga tulip di mana-mana pada musim bunga di Victoria Island 1998

Malam Yang Dingin Bersama Gadis Red Indian di Renouf House


Malam itu dingin sekali. Saya menghirup udara Musim Bunga di Vancouver Island. Bau Musim Bunga begini amat saya kenal. Ia sama dengan bau Musim Bunga di Ohio, Amerika Syarikat. Dulu saya pernah tinggal di Amerika. Sudah lama saya tidak menghirup udara Musim Bunga begini. Jadi, terubatlah sudah rindu saya pada bau Musim Bunga.

"Achum!"Achum!" tempias mula tersembur dari lubang hidung saya. Hidung saya memang sensitif dengan cuaca sejuk dan debunga Musim Bunga.

Saya berbaring di bunk bed saya. Terasa sunyi. Mulalah saya terkenangkan anak-anak saya yang saya tinggalkan di Malaysia. Rasa ralatpun ada. Alangkah bagusnya kalau mereka ada bersama. Tapi apakan daya...Tiba-tiba....

... seorang perempuan memasuki bilik saya dengan beg galas. Badannya besar dan tinggi.

Kamipun berkenalan. Dia seorang Red Indian iaitu orang asli dari utara Kanada. Sepanjang malam itu kami berbual-bual. Saya kagum dengannya kerana keberaniannya mengembara sendirian. Daripadanya saya dapat mengetahui bahawa bahasa Red Indian sudah hampir pupus kerana semua mereka menggunakan bahasa Inggeris. 

Ketika hendak tidur, saya menarik tabir hitam yang direntangkan khas pada bunk bed saya untuk memberi saya keselesaan tidur dan sedikit privasi. Rakan Red Indian saya itu tidur di bunk bed di atas saya.

Malam di Victoria amat dingin bagaikan musim sejuk di Amerika walaupun pada ketika itu Musim Bunga. Mujurlah Sean telah menyediakan banyak selimut tebal untuk saya pakai.


Inilah Renouf House - Bed & Breakfast. Kelihatan Sean berbaju merah sedang menyiram sayur-sayuran dan herba di belakang rumah.


Berlegar dalam Aroma Home-made Bread dan Canadian Breakfast Yang Enak


Di waktu pagi saya dapati gadis Red Indian itu sudah keluar dan meninggalkan Renouf House. Saya kemudiannya pergi ke dapur dan melihat Sean sedang membakar roti.

"Hi! Good morning! Did you have a good sleep?" sapa Sean apabila melihat saya tersembul di pintu dapur.

"Yes, I did, " jawab saya. 

Sebentar kemudian...

"Ting!"

Loceng pada ketuhar Sean berbunyi. Roti itu sudah masak. Sean membuka ketuharnya. Bau harum roti itu semerbak di sekitar dapur. Aroma home-made bread ini begitu menyenangkan saya. Inilah aroma yang berlegar di rumah Victorian ini setiap pagi. Aroma ini membuatkan saya rindukan suasana pagi di Kanada.

Sean memotong roti itu lalu meletakkannya di meja sarapan yang terletak berhampiran dengan tingkap dan pintu menuju ke laman belakang. Di atas meja terdapat bijirin, buah-buah kering, kekacang, pisang Del Monte, strawberi segar, susu lembu segar, jem, mentega, mentega kacang serta pinggan mangkuk.

Pasangan suami isteri dari Seattle yang menginap di bilik hujung sudah sedia duduk di meja sarapan. Sayapun duduk. Kamipun menyapu mentega dan jem lalu menyantap roti yang baru dibakar oleh Sean. Home-made bread masakan Sean itu amat sedap. Saya tidak pernah makan roti sebegini enak seumur hidup saya.

Kami berbual dan berjenaka dari satu topik ke satu topik. Pasangan suami isteri ini sering menginap di Renouf House dan merupakan penyewa tetap Sean setiap Musim Bunga. Mereka datang dari Seattle, Amerika Syarikat, merentasi Lautan Pasifik ke pulau itu dengan menaiki kapal.

Pasangan ini mengingatkan saya pada filem Sleepless in Seattle. Niat untuk meneroka Seattle memang ada dalam hati. Tak jauh dah. Saya boleh menaiki feri ke Seattle dari Victoria. Saya anggap Seattle amat indah. Tetapi orang Seattle ini tidak bersetuju.

 "No! Vancouver Island is better!'"

Terpaku saya seketika. Niat saya untuk menerjah Seattle menjadi tawar tiba-tiba apabila orang Seattle sendiri menyatakan tempat kelahirannya tidak seindah Vancouver Island.

Pasangan suami isteri itu kagum dengan saya. Bagi mereka saya ini fasih berbahasa Inggeris.

"Where did you learn English?" tanya mereka kehairanan.

Saya memaklumkan mereka bahawa saya pernah menuntut di universiti di Amerika Syarikat dan tinggal di sana selama lebih empat tahun.

Sean tidak turut serta bersarapan pada pagi itu kerana dia perlu pulang melihat isterinya yang down syndrome dan sedang sakit. Sean tidak tinggal di Renouf House tetapi tinggal di rumah belakang.

Disamping menguruskan penginapan Bed & Breadfast, Sean mempunyai perniagaan berkayak dan memiliki beberapa buah kapal layar untuk disewakan.

Sean pernah memberitahu saya bahawa dia dan isterinya akan bercuti pada tahun hadapan selama setahun dan akan mengembara mengelilingi dunia dengan menaiki kapal milik mereka. Kagumnya saya mendengar cita-citanya itu kerana dia mempunyai isteri yang down syndrome, mengambil berat tentangnya dan bersemangat tinggi untuk mengembara dengan kapal layar bersama isterinya yang down syndrome itu. Satu lagi nilai murni dalam peribadi seorang Mat Salleh.

Victoria Island, British Columbia, Kanada pada tahun 1998.

Saya tidak lupa pada kebaikan Sean. Keesokan harinya saya diserang demam selsema.

"You have a bad cold," kata Sean dengan simpati.

Tanpa diminta Sean merebus halia seperiuk untuk saya minum bagi menyembuhkan demam selsema saya itu.

"Ginger is the best remedy for cold,' kata Sean sambil menuang halia panas ke dalam mug untuk saya minum.


Kedai yang terdapat di kawasan perumahan di Stanley Avenue


...bersambung



22 ulasan:

  1. blog yg menarik, terima kasih berkongsi cerita..
    ayat2 nya mcm membaca sebuah novel..tersusun dan kemas,
    seolah2 saya turut berada dlm situasi yg prof lalui..
    bermakna apa yg prof ceritakan telah terkesan di hati saya..
    update cepat2 yer..

    -julie-

    BalasPadam
    Balasan
    1. Julie,
      He he he..berangan-angan saya ni nak jadi penulis novel...Terima kasih Julie kerana menghayati cerita kembara saya ni. :)
      InsyaAllah saya akan cuba update bila ada masa dan dapat idea menulis.

      Padam
  2. bestnya akak cerita balik pasal kanada ni. mmg dah lama tunggu... kalo zaman sekarang pakai kamera digital, tentu kawasan bed&bfast akak tu nampk sgt cantik dgn cherry blossomnya! tp dalam ni pun dah boleh imagine betapa cantiknya kawasan tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Henry Fox,
      Permintaan Henry nak akak cerita pasal Kanada, akak tunaikan. Terima kasih kerana minta cerita ni, sebab barulah semangat menulis meningkat sebab dah tahu ada orang nak baca :)

      Yalah, kalau ada kamera digital, mesti gambar yang diambil sharp, cherry blossompun tentu lagi cantik dan geram tengok..Kamera akak pula masa tu, jenis murah cap ayam je he he he.

      Padam
  3. Wahh prof bertuahnya prof. Driver bus yang baik hati..layanan org yang tak dikenali dengan menyelesakan..melihat gelagat org yang jarang ditemui..saya yg membaca terasa bangga pulak..hehe. Saya setuju dengan pendapat prof psl driver bus negara kita..sejak dulu2 saya naik bus tak pernah driver bus nak tunggu saya duduk baru dia nak jalan..kdg2 baru nak pjak tangga naik dia dah jalan. Muka jgn ckp la..masam mencuka. Yang di driver cab pulak..sori la nak tolong angkat beg masuk bonet..kdg2 siap chrge lg sebab guna bonet dia...isk2 berbeza sungguh.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zila,
      Betullah. Kadang-kadang malu pun ada tengok orang kita perangai tak elok. Bila kita berjalan-jalan kat tempat orang, barulah kita nampak bagaimana nilai murni diamalkan oleh orang bukan Islam. Nilai murni inilah yang patut menjadi tunjang kehidupan kita.

      Padam
  4. dr...seronoknya...bersemangatlah nk ikut jejak dr...:)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cempaka_kasih,
      Memang seronok...rasa nak pergi lagi bawa keluarga.

      Padam
  5. Seronok membaca entri ni..kagum pada keberanian mengembara seorang diri..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Linen,
      Memang kena berani dan sanggup berada dalam kesunyian. Tapi kerana keseorangan itulah, membuatkan kita dapat kenal orang baru dan dapat ramai kawan.

      Padam
  6. Wow entry pasal Canada pulak! Best ni sebab jarang dengar kisah org di Canada hehehe.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ren,
      Wow Ren tukar ejaan nama pulak. Ingatkan siapa tadi he he he.

      Kanadalah pulak! Pengunjung blog ini minta saya ceritakan kembara lama. Kaki Berangan pulak minta saya ceritakan pasal Kanada. Yalah, sesekali kita pun nak beralih angin jugak. Macam Ren jugak..dulu Rain sekarang Ren he he..

      Padam
  7. Assalamualaikum....bestnya baca travelog di Canada..simpan niat nak pegi sana nanti one day..hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Umai Kenzo,
      Umai Kenzo buat saya senyum hari ini. :)

      Tak mengapa simpan cita-cita nak ke Canada tu. Moga-moga Umai Kenzo dapat ke sana nanti.

      Sebenarnya banyak yang best di sana.

      Padam
  8. Bestnya..
    Nak juga rasa travel mcm ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Apa khabar Kak Mahh? Lama tak dengar berita.
      Memang best Kak Mahh. Bolehlah Kak Mahh try. Melihat budaya orang luar dengan lebih dekat, itu satu ilmu yang berharga. Kenangan manis macam ni memang tak mudah untuk dilupakan.

      Padam
  9. Wow! Seronoknya Prof, sy rasa mcm sy sedang ''mengembara" di sana. Terima kasih Prof.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hafsah,
      Terima kasih kerana sudi membaca setiap baris ayat dalam entri ini dan mengembara bersama saya. Tidak semua pembaca rajin membaca dan menghayati setiap perkataan yang ditulis di dalam blog.

      Padam
  10. Salam Prof ....

    Bijak Prof mengatur ayat ayat ... indah sangat untuk dibaca ....

    Kami sekeluarga bercuti ke Victoria pada summer yang lepas ... memang seronok ... Kanada memang banyak tempat tempat yang menarik dan indah , yakni keindahan semulajadi nya ...

    Memang betul, budi pekerti orang orang sini amat tinggi ....

    Datang ler lagi, cuba pulak Alberta dengan Rocky Mountainnya ....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam kembali Encik Ghazali,
      Terima kasih kerana menghayati cerita saya. Saya cuba sedaya upaya saya untuk menyampaikan perasaan indah saya semasa di sana melalui tulisan dan pemilihan kata-kata.

      Apakah tempat-tempat menarik yang Encik lawati di Victoria pada summer lepas? Tentu banyak perubahan yang berlaku dan mungkin perkara yang saya ceritakan di sini sudah tidak ada lagi.

      Kita patut mencontohi budi pekerti mereka.

      Kata-kata Encik memancing minat saya untuk menggalas beg ke Alberta. Memang banyak keindahan alam yang belum saya terokai di Kanada.

      Padam
    2. Salam Prof ...

      Hahahhaa rasa kelakar lak Prof panggil saya Encik hahahhaah ....

      Sebenarnya, Victoria yang saya lawati, sama macam dahulu yg Prof ziarahi ... mereka mengekalkan keasliannya .... Bouchart Garden tetap indah seperti dahulu ....

      Kalau ke mari, saya cadangkan cuba untuk Camping atau RV ... sebab ianya ssuatu yang lain dari yang lain ... namun ... cuaca agak dingin .... sekarang nih pun walaupun musim panas, namun, kalau petang atau malam, masih memerlukan jaket nipis ... kalau tak kesejukan !!!!

      Padam
    3. Salam kembali
      Saya dah mula takut nak panggil Encik ha ha ha... Maafkanlah saya kalau panggilan ini menyinggung perasaan saudara.

      Biasanya tempat-tempat menarik di sesebuah negara dikekalkan sebagai sumber pendapatan pelancongan kecuali berlaku malapetaka alam. Itu sebabnya tempat yang kita pernah kunjungi 20 tahun dulu masih tetap ada dan indah.

      Pergunungan di Alberta yang bersalji, ber'glacier' memang memukau. Terasa seperti berada di di dunia lain. Saya cuma dapat melihatnya melalui gambar-gambar dan video. Berkhemah di sana tentu menarik, cuma saya pasti tak tahan dengan kesejukan di sana. Mendaki gunung juga satu cabaran yang hebat.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.