Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Memaparkan catatan dengan label China. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label China. Papar semua catatan

Selasa, 13 Oktober 2015

Panduan Menaiki Kenderaan Awam di Beijing

B agaimanakah sekiranya anda backpack di Beijing dan hendak berjalan ke merata-rata tempat? Sudah tentu pengangkutan awam menjadi pilihan.

Pengangkutan awam yang paling utama untuk digunakan ialah keretapi. Bacalah panduan menaiki keretapi di Beijing dalam 3 siri yang lepas dengan mengklik di sini: 1, 2, 3.

Selain daripada itu bas, teksi, basikal dan beng beng juga adalah pengangkutan awam yang penting di Beijing.


Bas


Bas terdapat dengan banyak di stesen di Beijing

Bas awam banyak terdapat di bandaraya Beijing. Ia beroperasi dari 5:30 hingga 23:00. Ada juga yang tamat pada 18:00.

Harga tiket dikenakan mengikut jarak. Bayaran minimum ialah 2 yuan untuk 10 km pertama dan 1 yuan dikenakan bagi 5 km berikutnya. Untuk menaiki bas di bandaraya anda boleh menggunakan kad pintar Pengangkutan Awam Beijing dan menikmati 50% diskaun. Kalau anda ke pinggir bandar, anda boleh mendapat diskaun 30%.  Kad pintar ini juga boleh digunakan untuk menaiki keretapi bawah tanah. Apabila menaiki bas, imbaslah kad pintar itu pada mesin pengimbas yang terdapat berdekatan pintu masuk bas. Sekiranya anda tidak memiliki kad itu, anda boleh membayar secara tunai kepada kondaktor bas yang sentiasa ada di dalam bas.

Pengumuan dalam bahasa China dan tulisan nama tempat singgahan/destinasi dipaparkan pada skrin di hadapan pemandu. Bahasa Inggeris juga digunakan selepas bahasa China.

Bas mini mengangkut penumpang dalam jarak berdekatan iaitu dari stesen keretapi bawah tanah ke kawasan perumahan

Selain itu bas mini juga terdapat dengan banyak. Sebuah bas mini boleh membawa 13 orang penumpang. Bas mini beroperasi di kawasan perumahan, kampus universiti dan stesen keretapi. Tambangnya 2 yuan bagi jarak 2-4 km.


Teksi


Teksi di Beijing kadang-kadang enggan berhenti apabila melihat orang asing menahannya

Teksi terdapat banyak di jalan-jalan raya di Beijing, namun kadang kala adalah sukar untuk mendapatkan teksi kerana ramai pemandu teksi di Beijing tidak mahu berhenti apabila melihat orang asing menahan mereka. Ini disebabkan mereka tidak tahu berbahasa Inggeris dan kebanyakan orang asing tidak tahu berbahasa China.

Untuk itu anda perlu menulis destinasi anda di dalam tulisan China dan berikan kepada pemandu teksi. Cara kedua ialah meminta kawan-kawan anda yang fasih berbahasa China untuk menelefon pemandu dan memberitahunya destinasi anda.

Tambang teksi ialah 13 yuan untuk setiap 3 km pertama dan tambahan 2.30 yuan untuk 3 km berikutnya.

Basikal


Satu cara lain untuk menggunakan pengangkutan awam ialah dengan berbasikal.

Penduduk Beijing gemar berbasikal dan boleh dikatakan setiap orang memiliki basikal. Kedai menjual dan memperbaiki basikal ada di mana-mana. Kedai-kedai sewa basikal juga mudah ditemui di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

Stesen docking Beijing Bike Sharing terdapat di tepi stesen keretapi bawah tanah Chaoyangmen (Exit A) 

Di Beijing terdapat program Beijing Bike Sharing yang mana kita boleh menyewa basikal dengan hanya menggunakan kad pintar yang dioperasi secara sendiri oleh pengguna (automated self service). Basikalnya cantik dan diletakkan di stesen docking tertentu seperti di kebanyakan setesen keretapi utama, kawasan perniagaan dan kawasan awam utama Beijing.

Terdapat lebih kurang 60-120 stesen docking basikal di Beijing. Untuk mengetahui stesen docking  ini sila lihat laman web ini: http://www.beijingbikeshare.com/

Mesin menyewa basikal Beijing Bike Sharing yang dioperasikan sendiri oleh pengguna 
Mesin ini digunakan untuk mengimbas kad pintar dan setelah diimbas, kuncinya boleh dibuka untuk mengeluarkan basikal

Sebagai orang asing yang ingin menyewa basikal ini, anda perlulah 

  1. Mempunyai kad Beijing Public Transport dengan tanda "c" di bucu kanan kad. Kad ini sama dengan kad yang digunakan untuk menaiki keretapi dan bas. Kad ini diperolehi di stesen keretapi bawah tanah atau bas.
  2. Membawa ID asal (pasport anda) dan permit residensi asal. 
  3. Pergi ke pejabat Beijing Bike Share pada waktu pejabat untuk mengaktifkan kad anda. Waktu pejabat ialah pada Isnin hingga Jumaat, pukul 9.30 hingga 11.30, 13.30 hingga 16.00 .
  4. Membayar wang pendahuluan sebanyak 400 yuan.
  5. 1 jam pertama menggunakan basikal ini adalah percuma, untuk masa selebihnya anda dikenakan caj 1 yuan sejam, dengan maksimum 10 yuan sehari. Sekiranya basikal tidak dipulangkan dalam masa 3 hari  20 yuan akan ditolak setiap hari dari wang pendahuluan.
  6. Pastikan terdapat baki lebih daripada 30 yuan pada kad.

Pemuda ini menyewa basikal Beijing Bike Sharing dan wanita ini merekodkan maklumatnya

Beng Beng 


Beng beng muat untuk 2 orang penumpang

Beng Beng ialah motosikal yang diubah suai menjadi pengkangkutan yang membawa penumpang. Ia mempunyai tempat duduk yang biasanya muat untuk dua orang dan bertutup dengan plastik tebal serta keras atau zink dan disambungkan kepada motorsikal itu.

Beng Beng digunakan untuk membawa penumpang dalam jarak yang dekat kira-kira 2-5 km. Ia beroperasi dengan banyak di kawasan tumpuan ramai di antara stesen keretapi/bas dengan kawasan perumahan. Tambang menaiki Beng Beng perlulah dirunding terlebih dahulu dengan pemandunya. Untuk jarak dekat sekitar 2-5 km tambangnya ialah 4.00-6.00 yuan

Risiko menaiki Beng beng ialah ia tidak seimbang dan boleh rebah

Untuk pengetahuan anda saya tidak lagi tinggal di Beijing, jadi sekiranya ada perubahan maklumat harap maklumkan kepada saya.

Isnin, 5 Oktober 2015

Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (3): Dari Beijing ke Bandar-bandar Utama di China

B agaimanakah kalau anda hendak ke bandar-bandar utama di luar Beijing? Untuk tujuan itu anda mestilah tahu mencari stesen keretapi yang betul kerana terdapat banyak stesen keretapi di Beijing disediakan untuk menghubungkan Beijing dengan bandar-bandar utama di China. Setiap stesen ini terletak di tempat yang berlainan, destinasinya berbeza dan jenis-jenis keretapinya juga berbeza. Berikut adalah 4 stesen keretapi utama yang terdapat di kota Beijing:


 1. Stesen Běijīng Xī Zhàn (北京西站) (Stesen Keretapi Beijing Barat)  

Stesen Běijīng Xī Zhàn menyediakan perkhidmatan keretapi ke bahagian tengah, selatan, barat daya dan barat laut China. Antara bandar-bandar singgahannya ialah Hohhot (Inner Mongolia), Xian, Xinjiang, Guilin, Hong Kong, Guangzhou, Shenzen, Wuhan, Zhengzhou, Chengdu,  Chongqing, Taiyuan, Fuzhou, Xiamen, Kunming, Hangzhou, Urumqi, Shanghai dan lain-lain lagi.

Stesen ini letaknya di East Lianhuachi Road. Běijīng Xī Zhàn adalah salah sebuah stesen yang terbesar di China. Terdapat 200 buah keretapi setiap hari dari sini.

Stesen Běijīng Xī Zhàn ini menyediakan perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi (high-speed train), keretapi peluru (Bullet train), keretapi laju (fast train), keretapi ekspres, keretapi ekspres penginapan malam (express overnight sleeper) dan keretapi biasa.

Inilah stesen Běijīng Xī Zhàn yang besar dan sentiasa penuh dengan penumpang
Penumpang begitu ramai ketika menunggu panggilan untuk memasuki platform keretapi di stesen Běijīng Xī Zhàn
Penulis bersama kawan-kawan baru turun di Hohhot (Inner Mongolia) dari stesen Běijīng Xī Zhàn 
Tiket keretapi yang saya beli dari stesen Běijīng Xī Zhàn ke Xian
Keadaan sesak di dalam keretapi biasa (Kelas 3) dalam perjalanan saya ke Xian dari Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis mengenai kembara saya ke Xian menaiki keretapi biasa (Kelas 3). SILA KLIK DI SINI untuk membacanya.

Bilik dan katil yang terdapat di dalam keretapi penginapan malam (overnight sleeper) dalam perjalanan saya dari Xian ke Běijīng Xī Zhàn

Saya pernah menulis tentang perjalanan saya dari Xian ke stesen Běijīng Xī Zhàn menaiki keretapi penginapan malam (overnight sleeper). Sila KLIK DI SINI untuk membacanya.



2. Stesen Běijīngnán Zhàn (北京南站) (Stesen Keretapi Beijing Selatan) 


Inilah Stesen Běijīngnán Zhàn

Stesen Běijīngnán Zhàn terletak di sempadan daerah Xicheng, Dongcheng dan Fengtai. Ini adalah stesen keretapi terbesar di Asia, berkeluasan lebih kurang 70 buah padang bola.

Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke Shanghai, Suzhou, Haerbin, Jinan, Tianjin, Nanjing dan banyak lagi destinasi. Terdapat banyak perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train disediakan di sini.


Ruang menunggu di stesen Běijīngnán Zhàn yang selesa, bersih dan lengkap dengan pelbagai kemudahan

Terdapat banyak kemudahan di stesen ini seperti kedai-kedai, cafe, McDonald, KFC, tandas, air panas dan tempat menunggu.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Shanghai ke Stesen Keretapi Beijing Selatan

Saya pernah menaiki keretapi di stesen Běijīngnán Zhàn ini sebanyak 4 kali untuk ke Tianjin, Jinan, Haerbin dan Shanghai.

Keadaan di dalam keretapi berkelajuan tinggi dari Stesen Běijīngnán Zhàn ke Jinan yang selesa. 
Stesen Keretapi Jinan Xi
Bullet Train yang saya naiki dari Běijīngnán Zhàn ke Tianjin
Keadaan yang selesa di dalam Bullet Train ke Tianjin

Saya pernah menaiki Bullet train ini ke Tianjin dan Jinan. Untuk membacanya SILA KLIK DI SINI  (Tianjin) dan SINI (Jinan).



 3. Stesen Běijīngběi Zhàn (北京北站) (Stesen Keretapi Beijing Utara) Untuk ke Badaling Great Wall 


Stesen Běijīngběi Zhàn terletak di Xizhimen di daerah Xicheng, Jinzhang Railway Line. Stesen keretapi ini beroperasi untuk membawa penumpang ke Baotau, Hohhot, Tongliao dan Manzhouli. Namun begitu terdapat 13 buah keretapi disediakan dari stesen ini untuk ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling. Perjalanan ke Badaling memakan masa lebih kurang 70-80 minit dan tiketnya berhaga 6 yuan.

Keretapi ini membawa penumpang ke Tembok Besar China yang terletak di Badaling
Keadaan di dalam gerabak keretapi menuju ke Tembok Besar China di Badaling
Tembok Besar China yang kelihatan dari tingkap keretapi

Saya pernah menulis tentang trip saya menaiki keretapi ini ke Tembok Besar China. Untuk membacanya sila KLIK DI SINI.


4. Stesen Běijīngzhàn (北京站) (Stesen Keretapi Beijing) 


Stesen Běijīngzhàn terletak di Chongwen Gate dan Dongbian Gate berdekatan dengan pusat bandar iaitu di Daerah Dongcheng. Ini adalah stesen lama. Keretapi dari stesen ini membawa penumpang ke bahagian utara China seperti Haerbin, Shanghai, provinsi timurlaut dan provinsi tenggara.

Ini juga adalah stesen untuk laluan antarabangsa ke Pyongyang, Ulan Bator, dan Moscow. 

Selain perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi, ia juga menyediakan perkhidmatan keretapi biasa.

Platform keretapi di Haerbin dalam perjalanan saya dari Haerbin ke Běijīngzhàn 
Keadaan di dalam keretapi Berkelajuan Tinggi dari  Běijīngzhàn ke Haerbin
Stesen Keretapi Haerbin Barat
Pemeriksaan keselamatan dilakukan ketika memasuki stesen keretapi Haerbin

Saya pernah menceritakan tentang kembara saya ke Haerbin dari Běijīngzhàn dengan menaiki keretapi Berkelajuan Tinggi. Untuk membacanya KLIK DI SINI.




Membeli Tiket


Tiket boleh dibeli di kaunter yang terdapat di dalam setiap stesen keretapi yang saya nyatakan di atas. Bagi rakyat Malaysia, mestilah menunjukkan pasport ketika membeli tiket. Oleh kerana perlu menunjukkan pasport, maka membeli tiket menggunakan mesin tiket tidaklah boleh dilakukan di sini.

Untuk pengetahuan anda, rata-rata penjual tiket tidak tahu berbahasa Inggeris. Jadi untuk memudahkan anda yang tidak tahu berbahasa China, anda hendaklah menulis nama stesen destinasi anda, tarikh serta jam bertolak dalam tulisan China. Mintalah kawan-kawan yang tahu menulis tulisan China membantu anda.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket keretapi melalui agen yang terdapat di merata-rata tempat utama seperti di kawasan universiti, kedutaan  dan kediaman. Agen ini membuka kaunter berbentuk pondok kecil di tepi-tepi jalan atau pun di dalam bangunan besar. Agen ini mengenakan sedikit cas di atas setiap tiket yang dibeli.

Selain daripada itu, anda boleh membeli tiket melalui agen secara atas talian. Agen ini mengenakan cas di atas khidmat mereka. Tetapi saya tidak pernah membelinya dengan cara ini, jadi tidaklah dapat saya menceritakan pengalaman ini.

Oleh kerana penumpang terlalu ramai menggunakan perkhidmatan keretapi (terutamanya keretapi biasa - Kelas 3), maka selalunya tiket kehabisan dengan cepat. Tiket juga tidak boleh dibeli terlalu awal. Ia biasanya mula dibuka untuk dijual di antara 2 minggu atau 1 minggu sebelum tarikh bertolak. Keadaan ini menjadi masalah sehingga ada penumpang yang tidak mendapat tempat duduk, mereka sanggup berdiri berjam-jam lamanya dalam perjalanan menaiki keretapi walaupun membayar tiket. 

Namun begitu sekiranya anda menggunakan perkhidmatan keretapi Berkelajuan Tinggi dan Bullet Train, ia tidak mempunyai masalah kehabisan tiket. Ini disebabkan keretapi ini banyak beroperasi, jadual perlepasannya terlalu kerap di dalam sehari dan penumpang tidak terlalu ramai kerana harga tiketnya lebih tinggi berbanding dengan keretapi biasa (Kelas 3).

Orang ramai beratur untuk membeli tiket di kaunter dan juga menggunakan mesin
Kaunter untuk mereka yang berbahasa Inggeris di Stesen Běijīng Xī Zhàn
Tandas yang bersih di stesen keretapi 
Pelbagai kemudahan disediakan di dalam stesen keretapi 

Begitulah panduan menaiki keretapi dari Beijing ke bandar-bandar utama di China.

...bersambung

Ahad, 26 Julai 2015

Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (2): Dari Lapangan Terbang Beijing ke Pusat Bandar

P ada entri lepas saya telah memberi panduan kepada anda yang ingin menaiki keretapi bawah tanah (subway train) di dalam bandar-bandar di Beijing. Pada entri ini saya akan memberi panduan kepada anda yang ingin menaiki keretapi ekspres (Airport Express Train) ke pusat bandar Beijing dari lapangan terbang Beijing (Peking).

Lapangan terbang Beijing. Ikuti papan tanda untuk mencari platform keretapi ekspres 

Apabila anda sampai di lapangan terbang antarabangsa Beijing iaitu di Terminal 2 atau 3, anda turunlah ke tingkat paling bawah lapangan terbang tersebut. Anda boleh menggunakan lif atau eskalator ke situ. Di situ anda akan lihat platform keretapi ekspres.

Pergilah ke kaunter pembayaran dan bayarlah 25 yuan (RM 12.50) untuk satu hala. Selain membayar tunai anda juga boleh menggunakan kad pintar (sekiranya ada) untuk pengangkutan di Beijing (yang saya ceritakan dalam entri lepas).



Laluan-laluan

Hanya terdapat 2 sahaja destinasi. Anda boleh pilih untuk turun di Sanyuanqiao atau Dongzhimen. Ia mengambil masa hanya 20 minit sahaja ke Dongzhimen. Kelajuan keretapi ekspres ini boleh mencecah hingga 110 kilometer/jam.

Guna peta ini sebagai panduan

Waktu operasi: 
Terminal 2 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Peking →  Sangyuanqiao → Dongzhimen 

Stesen
Mula
Akhir
Pertukaran
T2
06:35
23:10
---
T3
06:21
22:51
---
Sanyuanqiao
06:52
23:27
Subway Line 10
Dongzhimen
---
---
Subway Line 2 dan Subway Line 13

Dongzhimen  →  Sangyuanqiao → Terminal 2 dan Terminal 3 Lapangan Terbang Peking 

Stesen
Mula
Akhir
Pertukaran
Dongzhimen
06:00
22:30
Subway Line 2 dan Line 13
Sanyuanqiao
06:04
22:34
Subway Line 10
T3
---
---
---
T2
---
---
---

Imbaskan atau jolokkan tiket pada lubang di pintu masuk platform

Setelah itu masuklah ke kawasan platform untuk bertolak/berlepas. Tetapi untuk memasukinya anda perlu imbas barang-barang dahulu menggunakan mesin pengimbas (pemeriksaan keselamatan) yang terdapat di pintu masuk platform.

Kemudian imbaslah tiket di pintu masuk. Pastikan anda menyimpan tiket ini sepanjang perjalanan kerana tiket itu nanti akan diimbas ketika keluar di stesen Sanyuanqiao atau Dongzhimen nanti. Sekiranya anda hilangkan tiket itu, anda perlu membayar denda sebanyak 250 yuan.

Keretapi ekspres lapangan terbang ini amat laju dan tepat waktu perjalanannya

Naiklah keretapi ekspres yang sampai setiap 15-20 minit. Perjalanan memakan masa 20 minit dan anda boleh turun di Sanyuanqiao atau Dongzhimen. 

Keadaan di dalam keretapi ekspres lapangan terbang Beijing yang bersih dan selesa

Apabila sampai ke stesen keretapi Sanyuanqiao atau Dongzhimen anda turun dan keluar dengan mengimbas tiket yang anda beli tadi. Anda perlu tukar (transfer) ke keretapi dalam bandar.  Anda perlulah membeli tiket lain untuk ke destinasi seterusnya. (Untuk panduan membeli tiketnya, sila lihat entri lepas).

Sekirannya anda turun di stesen Sanyuanqiao, anda boleh tukar (transfer) ke laluan/line 10 (warna biru muda).

Sekirannya anda turun di stesen Dongzhimen, anda boleh tukar (transfer) ke laluan/line 2 (warna biru tua) dan 13 (warna kuning)

Anak-anak saya baru sampai dari Malaysia dan menaiki Airport Express Train dari lapangan terbang Peking ke Sanyuanqiao

Untuk kembali semula ke lapangan terbang anda boleh menggunakan keretapi yang sama dengan tambang yang sama. Anda boleh memilih untuk naik dari stesen Dongzhimen atau Sanyuanqiao.

Sekiranya anda berlepas dari Dongzhimen ke Lapangan terbang, anda hendaklah masuk ke stesen subway melalui pintu E dan ambillah lif turun ke B1, kemudian belilah tiket dan lalui pemeriksaan keselamatan, kemudian ambil lif turun ke B4 dan tunggulah di platform berlepas dan naiklah keretapi ekspres.

Oleh kerana perkhidmatan keretapi ini beroperasi dari 6.21 pagi dari lapangan terbang Beijing dan sekiranya anda menaiki Air Asia dan sampai pada pukul 3 pagi, anda boleh tunggu di lapangan terbang sehingga pukul 6.21 pagi untuk menaiki keretapi ekspres ini.

Nota: Untuk pengetahuan anda, terdapat sebuah restoren halal di Terminal 2 lapangan terbang Beijing, tetapi ia hanya dibuka pada siang hari. Kemudahan surau tidak disediakan di Terminal 2 tetapi ia disediakan di Terminal 3.

Pada entri akan datang saya akan memberi panduan untuk menaiki keretapi dari Beijing ke bandar-bandar utama di negeri China.

...bersambung

Isnin, 13 Julai 2015

Panduan Menaiki Keretapi di Beijing (1): Dalam Bandar

T erdapat pelbagai jenis kenderaan awam yang boleh dinaiki di Beijing seperti teksi, bas, keretapi, beng-beng dan basikal. Namun keretapi ialah pengangkutan yang paling cekap, pantas dan tepat di Beijing. Saya katakan begini kerana keretapi sentiasa beroperasi dan amat kerap. Sekiranya anda terlepas satu, dalam masa 2 minit keretapi berikutnya pun sampai. Ketepatan masa dan kekerapan perjalanan keretapi di Beijing membuatkan kita mudah mengagak masa perjalanan. Jadi sekiranya anda sudah membuat temujanji dengan seseorang di sesuatu tempat di Beijing, anda pasti tidak akan mengecewakan orang itu kerana anda boleh datang tepat waktunya.

Keadaan di dalam keretapi yang selesa dan kurang penumpang begini jarang berlaku di Beijing terutamanya di laluan pusat bandar seperi Laluan 1 dan 2. Gambar ini saya ambil ketika menaiki keretapi di laluan yang jauh dari pusat bandar.

Beribu-ribu orang menaiki keretapi di Beijing setiap hari dan keretapi sentiasa sesak terutama pada waktu kemuncak iaitu pada waktu orang keluar bekerja (7.00-9.00 pagi) dan balik kerja (6.00petang-8.00 malam). Anda perlu berasak-asak dengan orang ramai, berebut-rebut masuk, berebut-berebut mencari tempat duduk, bergayut di penyangkut tangan dan mungkin anda lemas dengan bau hapak manusia (terutama pada musim panas) atau dihimpit oleh badan-badan yang besar atau terpaksa memekakkan telinga kerana orang ramai bercakap-cakap.

Keretapi bawah tanah di Beijing sentiasa penuh dengan penumpang. Selalunya penumpang perlu berdiri. Ini ialah keretapi bawah tanah laluan 1 yang selalu sesak.


Selalu juga pengemis-pengemis masuk gerabak dan menyua-nyua koleh untuk meminta habuan dari anda. Macam-macam ragam pengemis ini: ada yang menyanyi dengan pembesar suara yang kuat, ada yang menaiki kerusi roda, ada yang menjual brosur, ada yang menjual tisu, ada yang menjual peta keretapi bawah tanah ...

Pada waktu kemuncak apabila orang terlalu ramai dan gerabak tidak muat untuk mengisi penumpang, pekerja-pekerja beruniform yang mengawas penumpang-penumpang naik akan menolak-nolak dan menyumbat-nyumbat anda ramai-ramai sehingga gerabak sendat macam ikan sadin dalam tin! Ketika ini anda kena menahan nafas dan mengecilkan badan supaya anda dapat muat dalam tin sadin itu!

4 Jenis perkhidmatan keretapi di Beijing


Terdapat 4 jenis perkhidmatan keretapi di Beijing:

1) Keretapi bawah tanah (subway train)

  •  Keretapi ini menghubungkan bandar-bandar di dalam Beijing.
2) Keretapi ekspres (express train)

  • Keretapi ini menghubungkan lapangan terbang Peking dan pusat bandar Beijing;
3) Keretapi antara bandar-bandar utama di China (intercity train)

  • Keretapi ini menyambungkan Beijing dengan bandar-bandar utama di China. Terdapat 3 jenis iaitu: 1) Keretapi Biasa, 2) Keretapi Berkelajuan Tinggi (High-Speed Train), 3 ) Keretapi Peluru (Bullet Train).
4) Keretapi antarabangsa
  • Keretapi ini menyambungkan Beijing dengan negara-negara lain seperti Korea Utara (Pyongyang), Vietnam (Hanoi) dan Rusia (Moscow).

Di dalam entri ini saya akan memberi panduan kepada anda yang ingin menaiki keretapi bawah tanah (subway train). Panduan menaiki keretapi ekspres dan keretapi antara bandar-bandar utama di China (intercity train) akan saya berikan pada entri-entri akan datang. Manakala keretapi antarabangsa, tidak akan saya beri sebarang panduan kerana saya tidak pernah menggunakannya.


Bagaimanakah cara menaiki keretapi bawah tanah di Beijing?


Peta keretapi bawah tanah ini terdapat di stesen-stesen keretapi di Beijing. Lihat nombor laluan dan warnanya. Misalnya warna merah adalah laluan nombor 1, warna biru tua adalah laluan nombor 2, warna kuning ialah lalu nombor 13...

1. Bawa peta keretapi bawah tanah Beijing (Beijing Subway Map)

Dapatkan jadual dan peta keretapi bawah tanah Beijing (Beijing Subway map). Anda boleh beli di kedai-kedai atau dapatkan melalui laman web. Bawalah bersama-sama anda yang berbahasa Inggeris (bagi anda yang tidak tahu bahasa China) kerana kalau anda tidak melakukannya, anda pasti kecewa apabila tiba di setesen subway anda dapati hampir kesemua arah ditulis di dalam bahasa China.

Sentiasalah merujuk pada peta ini ketika menaiki keretapi di Beijing

Bacalah peta ini dan kenalpasti stesen yang hendak dituju serta warna laluan dan nombornya. Kenalpasti juga sekiranya anda perlu menukar stesen. Kalau bertukar stesen bermakna anda perlu mengetahui nombor laluan dan warna laluan. Pertembungan warna laluan yang berbeza menunjukkan pertukaran laluan/keretapi perlu dilakukan.


Kaunter tiket. Jangan terkejut kerana rata-rata penjual tiket tidak tahu berbahasa Inggeris

2. Beli tiket

Belilah tiket samada di kaunter yang terdapat di stesen-stesen keretapi atau di mesin tiket. Harganya hanyalah 2 yuan (RM1). Bayaran ini adalah sama untuk semua destinasi di Beijing. Jauh atau dekat bayarannya ialah 2 yuan asalkan anda tidak keluar dari stesen. Tetapi sekiranya anda keluar dari stesen bawah tanah ini dan masuk semula, anda kena membeli tiket yang lain.

Dapatkan kad pintar berwarna biru seperti yang saya gunakan ini. Kad pintar ini boleh  juga digunakan untuk menaiki bas. Saya mendapat diskaun 50% kalau saya menggunakan kad pintar ini ketika menaiki bas.


Bagi anda yang mahukan tiket itu dalam bentuk kad pintar (yang keras, dibuat daripada plastik), anda boleh membelinya di kaunter dalam jumlah yang tertentu misalnya 50 yuan. Kemudian anda boleh menggunakannya pada bila-bila masa. Kredit akan ditolak dari kad pintar ini dan anda hanya menambah nilainya apabila kehabisan kredit. (Penambahan nilai ini boleh dibuat di kaunter tiket atau di mesin tiket). Dengan cara ini anda tidak membuang masa beratur membeli tiket setiap kali hendak naik keretapi. Kad begini sesuai bagi mereka yang ingin berada lama di Beijing.

Mesin tiket keretapi bawah tanah ini terdapat banyak di dalam stesen keretapi.

Sekiranya anda tidak mahu ke kaunter membeli tiket (kerana penjual tiket rata-rata tidak tahu bahasa Inggeris), anda boleh menggunakan mesin tiket. Mesin tiket ini terdapat di kesemua stesen keretapi. Harga tiketnya juga sama iaitu 2 yuan (RM1).

Cara-cara membeli tiket keretapi bawah tanah menggunakan mesin tiket


Berikut adalah langkah-langkah yang perlu anda lakukan ketika membeli tiket keretapi menggunakan mesin.

Langkah 1: Pilih bahasa

Terdapat dua bahasa iaitu bahasa China dan Inggeris. Pilihlah bahasa yang anda kehendaki.

Kelihatan anak-anak saya menggunakan mesin tiket automatik di stesen keretapi subway di Beijing

Langkan 2 : Pilih destinasi dan bilangan tiket

Pada paparan skrin terdapat nombor-nombor laluan, nama-nama bandar tujuan, bilangan tiket dan peta laluan. Pilihlah destinasi yang hendak anda tuju dan bilangan tiket yang hendak dibeli dengan menekan butang-butang pada skrin sesentuh (touch screen)


Paparan skrin menunjukkan nombor-nombor laluan serta warnanya, nama stesen berlepas iaitu Communication University of China, stesen tujuan iaitu Olympic Sport Center, 3 tiket dibeli dengan harga 6 yuan dan duit dimasukkan ke dalam slot bayaran.

Langkah 3: Masukkan duit 

Setelah memilih destinasi anda dan bilangan tiket, paparan skrin akan menunjukkan harga tiket yang perlu dibayar.

Masukkan duit syiling atau kertas ke dalam slot bayaran. Mesin tiket hanya menerima 1 yuan (syiling), 5 yuan (kertas) , 10 yuan (kertas), 20 yuan (kertas) dan 50 yuan (kertas) sahaja.

Gambar ini menunjukkan 6 yuan telah dimasukkan ke dalam slot bayaran dan butang "confirm" ditekan.

Langkah 4: Buat keputusan/ketetapan (confirm)

Setelah memasukkan duit ke dalam slot, buatlah ketetapan dengan bayaran yang dibuat tadi dengan menekan butang "confirm". Sekiranya anda tidak buat ketetapan lagi, anda boleh tekan butang "cancel" untuk membatalkannya.

Paparan skrin menunjukkan mesin ini sedang mengeluarkan tiket dan meminta kita menanti.

Langkah 5: Tunggulah tiket itu keluar

Setelah itu tunggulah tiket itu keluar dari lubangnya.

Tiket diambil melalui lubang di bahagian bawah mesin

Langkah 6: Ambil tiket

Ambillah tiket yang keluar melalui lubang yang terdapat di bahagian bawah mesin.

Anda perlu melalui pemeriksaan keselamatan. Imbas barang-barang anda melalui mesin ini.


Langkah 7: Pemeriksaan Keselamatan

Setelah mendapatkan tiket, sila masuk ke kawasan keretapi berlepas iaitu di bawah tanah dengan melalui pemeriksaan keselamatan terlebih dahulu.

Melepasi pemeriksaan keselamatan

Imbas beg anda melalui mesin pengimbas. Barang-barang yang dilarang ialah senjata, benda-benda tajam dan bahan-bahan mudah terbakar. Dalam keadaan tertentu air minuman juga kadang-kadang dilarang.

Langkah 8: Imbas tiket pada pintu masuk

Imbas tiket anda atau jolokkan ke dalam lubang pada mesin di bahagian masuk untuk berlepas. Simpanlah tiket itu di dalam tangan anda sehingga anda keluar nanti.

Pintu masuk ke setesen bawah tanah. Anda perlu masukkan tiket ke dalam lubang atau imbas tiket anda untuk melepasi pintu ini
Melepasi pintu masuk dan menuju platform bawah tanah.

Langkah 9: Masuk ke dalam kawasan keretapi berlepas

Masuklah ke dalam kawasan keretapi berlepas iaitu di bawah tanah. Sila lihat anak panah mengikut arah destinasi anda.

Penumpang menunggi keretapi bawah tanah di platform berlepas dan berdiri di belakang garisan kuning

Langkah 10: Turun ke platform bawah tanah.

Turunlah ke platform bawah tanah dan beraturlah di belakang garisan kuning. Pastikan anda berdiri di belakang garisan kuning ini kerana keretapi bergerak terlalu laju dan imbasan angin keretapi yang lalu boleh membuat anda tumbang dan terjatuh ke atas landasan.

Keretapi bawah tanah kelihatan menghampiri platform penumpang menunggu 

Langkah 11: Tunggu keretapi sampai

Tunggulah keretapi sampai. Keretapi biasanya sampai dalam masa 2 minit.

Penumpang sedang menaiki keretapi. Palang-palang besi disusun untuk memudahkan penumpang beratur dan menaiki keretapi ketika waktu kemuncak.

Langkah 12: Naik keretapi

Setelah keretapi sampai, naiklah. Ketika waktu kemuncak, palang-palang disusun supaya orang ramai beratur dengan cara sistematik. Masuklah ke dalam gerabak keretapi yang terbuka secara automatik sebaik-baik ia singgah. Keretapi akan singgah sebentar sahaja. Jadi anda kena cepat-cepat masuk. Pintu gerabak akan tutup secara automatik juga.

Amat susah untuk mendapat tempat duduk di dalam keretapi bawah tanah di Beijing kerana orang terlalu ramai. Jadi, selalunya anda terpaksa berdiri dan bergayut.

Keadaan sesak dalam gerabak keretapi ini adalah perkara lumrah di Beijing. Penumpang biasanya berdiri.

Dengarlah pengumuman yang keluar melalui pembesar suara dalam bahasa China dan diikuti dengan bahasa Inggeris yang mudah difahami. Pengumumannya memberitahu tentang nama stesen-stesen yang dilalui dan hentian yang berikutnya.

Amat mudah untuk mengetahui nama stesen sekarang dan stesen berikutnya melalui papan tanda yang terdapat pada tiang-tiang di setiap setesen subway. Papan tanda ini mudah dilihat dari dalam keretapi.

Peta keretapi, iklan, tempat berpaut dan pembesar suara disediakan di dalam keretapi

Anda hendaklah bersiap sedia ketika hendak turun di stesen berikutnya kerana penumpang biasanya ramai dan kalau anda duduk jauh dari pintu, anda mungkin terlepas stesen. Pintu juga ditutup dengan cepat kerana ia singgah sebentar sahaja.

Penumpang turun di stesen yang ditujunya dan menaiki tangga untuk keluar dari bawah tanah.
Oleh kerana terdapat banyak pintu keluar, sila pastikan exit yang  betul untuk ke destinasi yang seterusnya

Langkah 13: Turun di stesen destinasi

Turunlah di stesen destinasi anda dan carilah pintu keluar. Exit A atau B atau C atau D. Maklumat tentang arah tuju, semuanya dinyatakan pada papan tanda di dinding stesen. Oleh kerana terdapat 4 exit, anda  mesti pastikan exit yang betul supaya tidak sesat.

Pastikan exit yang betul supaya tidak sesat

Langkah 14: Tukar stesen/laluan (sekiranya perlu)

Sekiranya memerlukan penukaran laluan keretapi, carilah laluan penukaran (transfer line) tersebut dengan mengikut papan tanda dan anak panah.

Sentiasalah merujuk pada panduan laluan, tempat penukaran dan nama-nama stesen  sebegini yang terdapat di stesen-stesen bawah tanah

Selalunya, penukaran laluan keretapi berada jauh sedikit daripada stesen yang anda turun tadi. Anda perlu berjalan kaki melalui lorong-lorong di dalam stesen. Turn-naik tangga. Keadaan berjalan kaki di dalam stesen adalah perkara biasa di Beijing. Orang di Beijing pula berjalan pantas-pantas. Bagi kita orang Malaysia yang tidak biasa berjalan kaki begini, tentu memenatkan.

Dalam entri akan datang saya akan beri panduan kepada anda untuk menaiki keretapi ekspres yang menyambungkan lapangan terbang Peking ke pusat bandar di Beijing.

...bersambung