Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 10 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #2: Melawat Kota Larangan (Forbidden City)

Di entri kali ini saya ingin mengajak anda meneruskan pengembaraan di Tian’ Anmen Square. Pada entri yang lepas saya ceritakan lawatan saya ke Memorial Pengerusi Parti Komunis iaitu Mao Tze Tong. Saya terpancing untuk melihat di sebalik tembok Memorial Presiden Mao itu disebabkan ramainya manusia.

Dengan perasaan ingin tahu sayapun melangkah mengikuti aliran orang ramai itu. Apabila sampai di sebalik Memorial Presiden Mao itu, saya dapati ada lagi sebuah bangunan yang megah dan gagah. Ramai pula manusia pelbagai bangsa beratur untuk memasukinya.

Memorial Mao Tze Tong



Istana Maharaja


Itulah Muzium Istana yang sebelum ini dipanggil Kota Larangan atau Forbidden City. Ia adalah kediaman Maharaja-maharaja China suatu ketika dulu seperti Maharaja Ming dan Qing. Inilah kota istana yang luas dan dipagari tembok tinggi. Ketika itu kota ini tidak dibenarkan dikunjungi oleh rakyat. Malahan untuk melihat Maharaja juga dilarang.

Teringat saya akan kisah kunjungan raja Melaka ke China pada abad ke-15 yang saya baca dalam buku sastera dan Sejarah Melayu. Untuk melihat Maharaja China, orang Melaka membuat helah dengan meminta diberikan mereka makan kangkong, oleh kerana memakan kangkong perlu mendongak, maka orang Melaka dapat melihat Maharaja Ming.

Tetapi hari ini kota ini dibuka untuk sesiapa sahaja mengunjunginya. Kita juga tak perlu makan kangkong dan mendongak untuk melihat wajah Maharaja China kerana kita boleh melihat lukisannya di dalam Muzium Istana ini.

Istana di Kota Larangan. Kota Larangan ini mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai salah satu daripada Warisan Dunia


Saya beratur dan membayar 60 yuan (RM30) untuk memasuki Kota Larangan ini. Cuaca ketika itu panas. Setelah memperolehi tiket sayapun masuk. Kawasan Kota Larangan Maharaja Cina itu memanglah luas seluas 720,000 meter persegi dengan 9,000 buah bangunan. Banyak istana-istana besar, dewan-dewan persemayaman dan istana-istana kecil dibina. Terdapat juga Menara Sudut di setiap penjuru kota.



Pagar di Dewan Taihemen di kawal oleh dua pasang singa. Di sebelah kiri, yang memegang bola, adalah singa jantan. Ia melambangkan kekuasaan raja dan perpaduan negeri

Ukiran binatang seperti naga dan singa terdapat pada bumbung dewan

Naga tanpa tanduk dijadikan ukiran pada kebanyakan tiang-tiang dalam senibina pada zaman Maharaja China

Orang ramai berkerumun menyaksikan dan mengambil gambar keadaan dalam tempat persemayaman Maharaja. Mereka cuma dibenarkan menyaksikannya dari luar pintu dewan

Dewan Harmoni Tengah ini digunakan oleh Maharaja untuk melakukan upacara sambutan rasmi.

Tanglung merah ini digantung pada langit-langit dewan bersebelah dengan tahta Maharaja

Jangkaukur matahari ini digunakan sebagai jam

 

Istana Kecil dan Gundik





Istana-istana kecil di dalam Kota Larangan


Istana-istana kecil di bahagian belakang Kota Larangan adalah milik gundik-gundik Maharaja dan isteri-isterinya. Sebagai Maharaja yang berkuasa dan kaya sudah pasti Maharaja itu mempunyai gundik-gundik yang ramai sehingga beribu-ribu bilangannya.

Teringat saya tentang kisah seorang tua yang mempunyai ramai isteri dalam filem China iaitu Raise the Red Lantern arahan pengarah filem China yang terkenal Zhang Yimou dan dilakonkan oleh Gong Li. Tanglung merah yang digantung di dalam istana di Kota Larangan ini juga mengingatkan saya kembali pada filem itu. Orang tua dalam filem itu yang ingin bermalam dengan isterinya akan menyuruh orang menggantungkan tanglung merah di hadapan rumah isterinya. Isteri yang rumahnya bernyala tanglungnya akan bersiap-siap untuk bersama suaminya pada malam itu. Jadi berlaku perebutan antara isteri-isteri (madu-madu) itu untuk memenangi hati suami mereka supaya rumahnya digantung tanglung merah. Salah seorang isteri itu membunuh diri kerana kecewa rumahnya tidak lagi digantung tanglung merah. Seting dalam filem ini adalah sama seperti dalam Kota Larangan ini. Kawasan halaman dan istana-istana ini juga mengingatkan aku pada filem-filem Kungfu China.

Gundik-gundik ini juga mengingatkan saya tentang hubungan Kerajaan Melayu Melaka dengan Kerajaan China pada abad ke-15 yang mana Maharaja China menghadiahkan Putri Hang Li Po kepada Sultan Melaka. Turut mengiringi Putri Hang Li Po ialah beberapa orang perempuan China (tak silap saya gundik-gundik raja ini) dan mereka kemudian berkahwin dengan penduduk tempatan yang kita kenali dengan keturunan Baba dan Nyonya.

 

Ukiran dan Senibina Istana




Ukiran dan senibina istana Maharaja China di Kota Larangan ini amatlah tinggi nilai seninya dan ia dibuat berdasarkan kepercayaan masyarakat ketika itu, mempunyai kegunaan tertentu dan masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.

Senibina zaman Maharaja China terlihat pada setiap bahagian bangunan

Ukiran pada pemegang tangga besi ini berbentuk naga dan masih terpelihara dengan baik

Ukiran batu pada tepi tangga di belakang Dewan Harmoni Tinggi ini mempunyai motif naga, gunung, awan dan laut melambangkan penyatukan negara oleh Maharaja

Motif naga dan bunga diukir dengan halus pada daun pintu dewan

Tombol-tombol tembaga yang terdapat pada pintu bangunan di Kota Larangan ini juga mempunyai makna kebaikan

Tempayan tembaga ini diisi air dan digunakan untuk memadam kebakaran

Selain dari motif-motif naga, laut, awan dan bunga pada bangunan di sini, terdapat patung-patung bangau dan kura-kura di hadapan dewan. Kesemuanya mempunyai makna tertentu dan melambangkan keagungan Maharaja China. Bangau melambangkan panjang umur dan kura-kura melambangkan nasib baik.


Kedai Cendermata & Cafe


Saya terus melihat-lihat kawasan Kota Larangan dan terdapat juga kedai-kedai cenderamata dan cafe. Sayapun membeli beberapa buah magnet petisejuk (fridge magnet) yang harga setiap satu ialah 12 yuan (RM6). Pada masa itu saya ingat magnet ni dah murah. Tapi apabila saya ke kedai lain, saya dapati harganya lebih murah iaitu 10 yuan (RM5). Lebih murah lagi apabila saya ke Lorong Sutera di Yonganli yang letaknya berhampiran dengan rumah saya. Harga setiap fridge magnet itu ialah 5 yuan (RM2.50). Saya ingat dah murah dah tu. Tapi bila saya pergi ke kedai sebelah di Yonganli, saya boleh dapati dengan harga 3.33 yuan (RM1.66) sebuah sahaja. Barulah saya tahu.


Cafe dalam Kota Larangan

Kedai cenderamata ini menjual pelbagai barang kenang-kenangan.

Fridge magnet di Kota Larangan ini berharga 12 yuan (RM6)


Tiba waktu solat zohor saya mencari tempat yang sesuai. Ternyata amat sukar kerana setiap sudut dan lorong memang terdapat ramai pengunjung. Saya mengambil satu sudut Kota Larangan itu dan membentangkan tikar, lalu solat. Selesai solat saya dapati beberapa orang memerhati saya dengan kehairanan.


Taman Diraja

 




Lorong-lorong di antara halaman istana yang berpagar tembok ini terdapat di bahagian belakang Kota Larangan


Taman Diraja yang digunakan oleh Maharaja dan keluarganya untuk berhibur


Bunga peony yang mekar di Taman Diraja


Bunga-bunga cantik dan segar begini menambah keserian Taman Diraja China

Bertemu Etnik Minoriti


Saya duduk rehat di bangku yang terdapat di kota itu. Datang seorang lelaki yang berkulit putih seperti orang Itali, lalu duduk di sebelah saya. Saya bertanya beliau dalam bahasa Inggeris, tetapi dia tidak faham sepatahpun. Dia hanya menggeleng-geleng kepala. Dia kemudiannya menunjukkan tulisan pada tanda namanya yang tergantung di lehernya. Ada tulisan Cina. Ada tulisan jawi. Lalu saya baca yang jawi. Bacapun secara merangkak-rangkak. Ia berbunyi "Turkuz Kirgiz..." Saya sendiri tidak faham apa yang saya baca. Saya ulang sekali lagi. Dia kata yang saya baca itu betul. Dia bercakap dalam bahasa Cina. Saya sudah faham sedikit-sedikit bahasa Cina. Tapi saya tidak yakin apa yang saya baca. "Betul ke? Pelik je bunyinya," bisik hati saya. Tetapi dia kata betul. Dia kata dia dari Xinjiang. Lalu saya tanya, “Uyghur?” Dia mengangguk gembira sebaik sahaja saya menyebut perkataan Uyghur. Saya tahu mengenai Uyghur melalui kawan saya Arafat yang juga orang Uyghur. Mereka orang Islam.

Bila saya pulang dan saya semak di internet, memang ada etnik Kirgiz. Ketika itu saya rasa nak melompat kegembiraan. Rasa nak "kungfu" macam Michelle Yeoh saja pada ketika itu. Kerana saya TAK BUTA HURUF. Saya boleh baca Jawi ...he.. he.. he.

Berbalik semula ke Kota Larangan...Kemudian saya lihat ramai lagi orang Uyghur melawat kota itu secara rombongan. Saya perasan yang mereka asyik memerhati saya. Mungkin kerana saya  memakai hijab. Saya memberi salam kepada mereka dan mereka menjawab. Saya memberitahu mereka yang saya  orang Islam dari Malaysia. Ketika ini saya bercakap dalam bahasa Cina. Bunyinya begini..."Wo shi Malaisia ren. Wo shi Muselin.” Setelah mengetahui saya orang Islam mereka bergilir-gilir bergambar dengan saya. Mereka gembira dan terus saja mesra sebagai saudara seagama. Mereka mengajak saya mengikuti rombongan lawatan mereka tetapi ketika itu saya sudah penat dan saya menolak ajakan mereka.

Inilah orang etnik Kirkiz dan Uyghur dari Xinjiang yang saya temui di Kota Larangan. Mereka gembira bertemu dengan saya kerana saya orang Islam dan bergambar dengan saya.


Saya tidak dapat melihat keseluruhan Kota Larangan itu kerana kaki saya sudah mula lenguh. Tumitpun  melecet. Lututpun terbengkok (Eh macam lagu Pok Pok Bujang Lapok je).


Di luar Kota Larangan Bahagian Belakang


Setelah saya keluar dari Kota itu saya melalui sebuah takungan air di luar kota itu. Pemandangannya amat cantik.  Takungan air ini mengelilingi kota ini dan dibina sebagai penghormatan dan taat setia kepada Maharaja Ming yang terakhir.

Takungan air ini sudah dibina pada zaman terakhir Dinasti Ming. Berkeluasan  52 meter dan berkedalaman 6 meter.


Terdapat ramai orang termasuklah peminta sedekah. Sepasang peminta sedekah datang kepada saya melihatkan saya orang Islam. Mereka kata mereka orang Islam. Tetapi apabila saya bagi salam pada mereka,  jawapannya agak pelik, tak bunyi seperti orang Islam menjawab salam. Dua tiga kali saya ulang ucapan salam itu, tapi masih pelik benar jawapannya. Betul ke mereka Islam? Setelah memberi sedikit yuan, saya cepat-cepat meninggalkan mereka kerana saya perasan ada peminta sedekah yang lain hendak datang mengerumuni saya.

Saya takut akan berlaku masalah pada diri saya sebagaimana yang pernah saya alami ketika di Mina, Arab Saudi dahulu. Selepas melontar jamrah saya bersama sekumpulan jemaah haji keluar dari kawasan melontar. Ketika itu ada peminta sedekah menghulurkan tangan lalu saya memberi sedikit wang kepadanya, tidak semena-mena sahaja sekumpulan peminta sedekah menyerbu dan mengerumini saya dari pelbagai arah. Saya terperangkap dalam kerumunan itu dan hampir membahayakan saya. Jemaah-jemaah haji yang lain menjerit-jerit kepada saya, "Jangan mulakan Hajah! Jangan mulakan!" Jemaah-jemaah haji itu kemudiannya terpaksa menyelamatkan saya dari kerumunan itu. Kalau mereka lewat bertindak, mungkin saya sudah lama dirompak dan tercedera.

Pemuzik jalanan dan peminta sedekah berkeliaran di luar pintu Kota Larangan


Saya terus berjalan menuju ke stesen subway Tian' Anmen Barat dengan kaki yang lenguh dan tumit yang melecet. Di satu sudut saya dapat melihat beberapa pasangan pengantin sedang bergambar dengan latarbelakang takungan air dan Menara Sudut milik Kota Larangan. Sayapun "tumpang sekaki." Saya turut mengambil gambar mereka. Mereka gembira apabila saya mengambil gambar mereka. Jadi hari itu saya melalui hari yang baik. Inilah gambar-gambar pasangan pengantin itu yang sempat saya abadikan. Oleh kerana ruang yang terhad di sini saya cuma memilih tiga keping gambar. Sayau suka gambar-gambar yang saya ambil ini. (Saya syok sendiri). Anda bagaimana?







Setelah itu saya berjalan ke stesen subway yang tidak berapa jauh dari Kota Larangan itu, tetapi kaki saya terasa amat lenguh. Saya harus pulang segera sebelum waktu Asar berakhir. Tiba-tiba datang seorang lelaki dengan Beng Beng. Beng beng ialah motorsikal yang diubahsuai untuk dijadikan kenderaan mengangkut penumpang.  Dia mengajak saya menaiki Beng Beng itu? Lalu.....Apakah yang terjadi pada saya selepas ini? Adakah dia orang baik? Adakah dia berniat jahat? 

Hilang terang timbul gelap....Sebenarnya ada kisah Hilang Suka Timbul Duka...yang ingin saya kongsikan bersamamu. Tetapi akan akan ceritakan dalam entri akan datang.

...bersambung


Jumaat, 8 Jun 2012

Tempat Menarik di Beijing #1: Melawat Pengerusi Mao di Tian' Anmen

Destinasi Kembara Solo saya di negara Tembok Besar yang ingin sekali saya kunjungi ialah Tian' Anmen Square. Mengapa begitu ingin sekali saya jejaki? Bukankah ada tempat-tempat lain yang menarik untuk diterokai di Beijing?

Ini kerana Tian' Anmen Square begitu terkenal, terutama sekali selepas demonstrasi besar-besaran dan mogok lapar golongan siswa di sini pada tahun 1989. Berita demonstrasi di Tian' Anmen Square itu amat hangat diperkatakan di media-media serata dunia. Ketika itu saya juga seorang siswa yang baru bergraduat daripada Sarjana Muda di USM dan sedang menanti keputusan penerimaan kemasukan ke universiti di Amerika Syarikat untuk peringkat Sarjana.

Tahun berikutnya saya diterima masuk ke universiti di Amerika Syarikat dan ketika di sana bahang demonstrasi di Tian' Anmen Square masih hangat diperkatakan, tambahan pula ada rakan-rakan sekuliah saya dari China. Jadi bantahan siswa itu amat signifikan dengan siswa yang sezaman dengan saya.

Tian' Anmen Square adalah tempat sejarah dan tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara. Di sini jugalah Presiden Mao Tze Tong (Mao Zedong) mengisytiharkan negara China sebagai sebuah Republik.

Pada bulan Mei 2012 (2 minggu lalu) saya sudah berjaya menjejakkan kaki di persegi yang luas ini dan dikatakan antara yang terluas di dunia. Saya pergi sendirian kerana ia amat mudah dan hampir dengan rumah sewaku di Daerah Chaoyang, Beijing. Chaoyang berada di lingkaran kedua Beijing manakala Tian' Anmen Square letaknya di lingkaran pertama Beijing. 

Cara Pergi:

Saya pergi menaiki subway dari Universiti Komunikasi China menaiki laluan Batong, kemudian turun di Sihui dan tukar ke laluan 1 menuju ke Tiananmen Barat. Saya keluar melalui pintu B dan terus bertemu dengan bangunan memorial yang terpampang wajah Pengerusi Mao Tze Tong (Mao Zedong), yang selama ini saya kenali dalam kelas sejarah di bangku sekolah. Tambang subwaynya terlalu murah. Saya cuma membelanjakan 4 yuan (RM2) untuk pergi balik.




 
  
Di sinlah saya bertemu dengan Pengerusi (gambar saja) yang telah banyak meninggalkan impak yang besar kepada rakyat China dan Republik ini. Pengerusi Mao Tze Tong (Mao Zedong), adalah pengerusi pertama Republik Rakyat China, dan amat disayangi oleh rakyat China. Orang ramai berpusu-pusu datang melawat dan mengambil gambar di memorial ini. Ada yang datang secara rombongan dan ada yang datang berkeluarga. Memorial ini telah dibina pada 1977.  Berikut adalah gambar yang saya rakamkan:




Di seberang jalan saya dapat melihat kawasan demonstrasi golongan muda yang berlaku pada tahun 1989 itu. Saya cam itulah kawasan demonstrasi itu, kerana saya sering lihat ia di dada-dada akhbar pada tahun kejadian itu.




Berbondong-bondong manusia membanjiri kawasan persegi itu. Apakah yang ada di situ? Ingin sekali saya ke sana. Tetapi untuk menyeberangi jalan, tidak dibenarkan. Tiada laluan. Kereta bertali-arus tiada henti-henti. Ia perlu melalui jalan bawah tanah yang saya tidak nampak di mana?




Kedua-dua belah jalan di persegi Tian' Anmen itu sesak dengan manusia. Jadi yang mana satu hendak saya tuju dahulu? Saya mengambil keputusan untuk menangguhkan niat saya ke seberang jalan, kerana di sebelah sini juga saya dapat melihat tidak kurang orang berpusu-pusu dan beratur memasuki ke satu kawasan di belakang Memorial Pengerusi Mao Zedong. Amat ramai sekali. Suasana ini memancing minat saya untuk turut serta. Barangkali ia lebih menarik. Apakah yang ada di situ? Apakah yang menariknya? Nantikan pada siri yang akan datang. Akan saya ceritakan kunjungan menarik saya ke destinasi yang seterusnya.

Bersambung....


Khamis, 31 Mei 2012

Kembara Solo di China: Profesor Buta Huruf (Bhg 3/3: Menjalin Hubungan)

Sebelum saya berangkat ke China ramai yang memberi pandangan. Ada yang negatif. Ada yang positif. Mana satu yang harus saya percayai? Saya mengambil sikap - Lihat sendiri. Alami sendiri.

Setiap manusia punya nota yang berbeza untuk dicatatkan dalam dairi kembaranya. "Jomlah ushar"  nota kembara saya yang menarik yang telah saya  alami  pada minggu pertama, kedua dan ketiga di negara Tembok Besar ini.


Hari ke-5: Menerima Undangan Makan Malam bersama Menteri



Hari ini saya menerima undangan makan malam daripada Puan Fatimah yang bekerja di Kedutaan Malaysia Beijing. Saya belum pernah bersua dengan Puan Fatimah. Cuma saya berhubung dengannya melalui emel dan telefon sahaja. Saya memperolehi contact Puan Fatimah melalui Sayang dan Kak Gi yang sekarang ini bertugas di Kedutaan Malaysia di Sweden. Ingat tak Sayang dan Kak Gi? Mereka adalah sahabat lama saya. Merekalah yang membawa saya mengembara dan berhari raya korban di Vietnam tahun lepas. Kalau lupa lihat pautannya di sini.

Saya terima undangan Makan Malam di Kedutaan Malaysia di Beijing itu kerana saya tidak ada sebarang acara pada hari itu. Puan Fatimah beritahu saya supaya saya naik teksi sahaja. Senang. Dia lalu menyuruh jurucakap Kedutaan Malaysia, menulis alamat Kedutaan dalam tulisan Cina dan menghantarkannya ke dalam telefon bimbit saya. Tetapi saya hendak naik keretapi subway, sebab saya nak belajar cara naik subway. Sampai bila nak naik teksi, bukan?

Saya tanyakan kepada Jingling cara untuk ke Kedutaan Malaysia itu dengan subway. Mengetahui saya akan ke Kedutaan Malaysia secara bersendirian, Jingling susah hati. Jingling menyuruh pelajarnya Mawar untuk menemani saya ke Kedutaan. Saya memohon kebenaran Puan Fatimah untuk membawa Mawar bersama ke majlis rasmi itu.

Setelah memakai pakaian rasmi, saya dan Mawarpun pergi menaiki subway. Saya rasa pakaian rasmi saya itu nampak pelik dari kaca mata orang China. Sebab saya perasan mereka pandang-pandang saya ketika saya menaiki subway. Tapi pada orang Malaysia, pakaian saya itu biasa aje. Alah busana muslimah ke pejabat.

Itulah pertama kali saya naik subway di China. Mawar yang bawakan.

Pertama kali menaiki subway di Beijing dalam perjalanan menuju ke Kedutaan Malaysia di Beijing

Bangunan di persekitaran Kedutaan di Beijing

Kedutaan Malaysia di Daerah Chaoyang, Beijing. Kedutaan ini letaknya satu daerah dengan rumah saya.


Sampai di Kedutaan saya dan Mawar disambut dengan baik oleh Puan Fatimah. Saya tidak perlu menunjukkan pasport saya pada pengawal untuk masuk kerana Puan Fatmah yang menjemput saya. Saya berbual seketika dengan Puan Fatimah. Oleh kerana dia yang menguruskan majlis Makan Malam itu, dia sangat sibuk. Saya amat memahaminya. Saya biarkan dia melaksanakan tanggungjawabnya. Dia kemudian menyuruh saya mengambil tempat duduk di sebelah meja VIP.

Di malam itu saya tidak menyangka akan bertemu dengan ramai siswa Melayu. Mereka belajar di Universiti Beiyu dan Beiwai, Beijing. Semua mereka belajar bahasa China. Mereka ditaja oleh KPM dan MARA.

Majlis Makan Malam dengan Menteri Dalam Negeri dan pelajar-pelajar Malaysia di Beijing

Malam itu saya dapat ramai kawan. Tidakklah saya kesunyian. Mawar juga dapat ramai kawan. Mawar mendapat perhatian ramai orang kerana dia orang China yang fasih berbahasa Melayu. Manakala pelajar-pelajar Melayu pula sedang belajar bahasa Cina. Memang ada kerasian. Kebanyakan mereka menyuruh saya mengambil Mawar sebagai anak angkat. Bagus juga cadangan mereka itu, kan?

Majlis makan malam itu dihoskan dan dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato' Lee Chee Leong. Kami dapat makan sedap-sedap: satay, mee, nasi, udang, ayam dan macam-macam lagi. Dato' Lee seorang yang peramah. Selepas beliau makan di meja VIP, beliau datang duduk berbual dengan kami. Kamipun mengambil gambar bersama-samanya.



Dato' Lee Chee Leong (duduk di tengah)

Gadis yang berbaju biru itulah Mawar. Mawar bergambar dengan Dato' Lee Chee Leong (gambar sebelah kiri). Mawar pelajar bahasa Melayu bergambar dengan Ros pelajar  bahasa China (gambar sebelah kanan).


Hari ke-7 & 8: Menjalin hubungan yang erat dengan rakan-rakan  China Islam di Beijing


Tiga orang sahabat Muslim saya di China. Arafat (bertudung hitam) adalah keturunan Uyghur, Sofea (berkaca mata) adalah keturunan Hui Hui dan Zulfia (berbaju merah jambu) adalah berketurunan Uyghur.


Hari-hari berikutnya saya menjalin hubungan erat dengan rakan-rakan China yang seagama dengan saya seperti Mahmud dan Arafat. Pertemuan kami ialah di restoren halal di CUC. Dari situ saya mengenali lebih ramai orang Islam. Saya juga menerima pertolongan dari mereka. Ada yang menawarkan pertolongan untuk mencari basikal second hand untuk saya.

Tea seed, serbuk pencuci dari tumbuh-tumbuhan ini boleh digunakan untuk membasuh pinggan mangkuk dan rambut. Ia dihadiahkan oleh Arafat kepadaku.


Arafat memberi saya hadiah dan membantu saya membeli barang-barang dan makanan halal berdekatan dengan CUC. Saya amat bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan mereka.

"Pertemuan kita ini telah diatur oleh Allah," kata Arafat.

Kata-kata yang sama telah diucapkan Mahmud padaku minggu lepas. Alhamdulillah.

Mahmud adalah lelaki Islam pertama yang saya kenali di China dan Arafat adalah wanita Islam pertama yang saya kenali di China. Kedua-dua mereka amat saya hargai.

Roti nan halal ini dimasak oleh orang Uyghur menggunakan resepi asli Uyghur.  Dibelikan oleh Arafat untuk saya di Restoren Makam 12

Restoren Makam 12
Arafat membawa saya ke restoren halal Makam 12 bersebelahan dengan CUC. Yang kami kesali walaupun restoren ini halal dan terdapat ayat-ayat Al-Quran di dalamnya, kami dapat lihat orang  minum arak di dalamnya.

Minggu Ke-2: Pertemuan dengan Profesor Guan Ling di Fakulti Sinema dan Televisyen, Communication University of China


Tanpa diminta atau disuruh, Jingling telah membuatkan temujanji saya dengan Profesor Guan Ling. Profesor Guan Ling adalah orang yang bertanggungjawab mengundang saya ke Communication University of China (CUC). Tanpa keizinan beliau saya tidak mungkin berada di negara Tembok Besar ini untuk 9 bulan. 

Pertemuan itu diadakan pada minggu kedua kerana Profesor Guang Ling baru pulang dari luar negara. Profesor Guan Ling ialah Timbalan Dekan bagi Fakulti Sinema dan Televisyen di Universiti Komunikasi China (CUC). Kelihatannya Profesor Guang Ling adalah seorang yang amat sibuk.

Oleh kerana saya BUTA HURUF maka Jingling menemani saya dalam pertemuan itu. Sudah tentulah Jingling yang menjadi penterjemah saya dalam perbincangan saya dengan Profesor Guan Ling. Profesor Guan Ling kemudiannya memperkenalkan saya dengan Profesor Chou dan pensyarah lain di fakultinya. Oleh kerana Jingling ada mesyuarat di fakutlinya, maka dia tinggalkan saya bersama Profesor Guan Ling.

Pertemuan dan perbincangan dengan Profesor Guan Ling di Fakulti Sinema dan Televisyen di Universiti Komunikasi China (CUC). Profesor Guan Ling ialah wanita yang memakai kot hitam dalam gambar ini


Kemudian saya dibawa oleh Profesor Guan Ling ke studio penggambaran. Di sini saya dapat menyaksikan projek yang dilakukan oleh siswa di Fakulti Sinema dan Televisyen di CUC. Saya beruntung pada hari itu kerana saya dapat menyaksikan pertunjukan fesyen dan rakaman televisyen.











Minggu ke-3: Pertemuan dengan Profesor Lee, Profesor Zhang dan Profesor Lee  Zuo Wen di Fakulti Bahasa Asing di Communication University of China


Hari ini saya dipertemukan dengan Profesor Lee. Profesor Lee adalah pensyarah yang mengajar subjek Bahasa Melayu di CUC. Beliau adalah bekas wartawan penyiaran di Radio Antarabangsa China. Setelah bersara daripada menjadi wartawan, perkhidmatannya diperlukan di CUC kerana kefasihannya berbahasa Melayu. Kami berbual-bual dalam bahasa Melayu.

Kemudian saya diperkenalkan kepada seorang rakyat China bernama Izati yang baru pulang dari Singapura kerana bertugas sebagai wartawan di cawangan Radio Antarabangsa China di Singapura.

Kemudiannya saya dipekenalkan juga kepada Profesor Zhang yang juga pensyarah bahasa Melayu di CUC. Kemudiannya saya dibawa masuk ke dalam dewan kuliah Bahasa Melayu dan diperkenalkan oleh Jingling kepada pelajar-pelajar China yang mengambil Sarjana Muda Bahasa Melayu. Setelah memberi sedikit ucapan kepada pelajar-pelajar itu, kamipun bergambar beramai-ramai.

Bergambar dengan siswa dan pensyarah bahasa Melayu di Communication University of China


Saya kemudiannya diundang oleh Profesor Lee Zuo Wen iaitu Dekan Fakulti Bahasa Asing di CUC untuk makan tengahari di sebuah restoren yang ditempah halal.

Dapatlah saya melihat adat budaya orang China makan. Terdapat pelabagai makanan dihidangkan. Ia dihidang secara course by course. Kebanyakannya saya tidak pernah makan, antaranya susu goreng dan itik panggang. Ini adalah masakan tradisional Beijing. Saya dapat menyaksikan bahawa mereka suka memberi ucapan penghormatan di antara satu sama lain dan melaga-lagkan gelas. Air minumnya cuma jus oren dan teh China. Saya rasa amat dihormati ketika itu kerana mereka memahami saya orang Islam.

Bersama-sama diundang ialah Presiden Parti CUC. Barulah saya mengetahui bahawa di China di setiap universiti ada parti politik, tidak seperti di Malaysia, parti politik tidak dibenarkan di kampus.

Keledek rebus yang digubah indah

Buah-buahan yang dihias indah sebagai pencuci mulut

Ini adalah susu goreng. Ia adalah susu yang disalut dengan tepung dan digoreng. Ia dimakan dengan susu pekat.

President Parti CUC sebagai salah seorang tetamu terhormat .
Ucapan dan melagakan gelas ketika makan adalah satu penghormatan

Peking Duck ialah makanan tradisional Beijing


Minggu ke-3: Mencari Bahan Masakan Halal di China


Keinginan untuk memasak makanan sendiri memuncak. Tetapi saya ragu-ragu dengan kandungan bahan makanan yang dijual di sini. Arafat, wanita Islam China yang pertama saya kenali di sini kata, makanan di sini amat meragukan. Orang di sini kebanyakannya tidak beragama dan mereka berani mencampurkan pelbagai bahan haram dalam makanan walaupun susu segar.

Setiap kali saya hendak membeli bahan untuk memasak, saya membaca kandungan bahan makanan itu. Malangnya saya tidak boleh membacanya. Saya BUTA HURUF. Semuanya dalam tulisan China.


Mahmud pemuda China Muslim yang pertama saya temui di sini, sekarang menjadi sahabat saya, sudah memberitahu saya sebutan "babi" dan tulisannya dalam bahasa China.

Saya juga bertanyakan siswi jurusan Bahasa Cina di Universiti Beiyu yang saya kenali semasa majlis Makan Malam di Kedutaan tempoh hari. Kamilah adalah orangnya. Dia memberitahu saya yang susu jenama Yi Li halal. Tapi bungkusannya, tak adapun logo halal atau tulisan HALAL dalam jawi. Rupa-rupanya halal dalam bahasa China disebut lain dan ada tulisannya.


Sekarang saya sudah tahu membaca tulisan halal dalam bahasa China dan sudah memasak sendiri.  Sayapun sudah dapat menikmati aiskerim, coklat dan biskut yang dibuat di China kerana saya sudah sedikit CELIK!

Apakah saya masih meraba-raba dan perlu sentiasa dituntun kerana buta huruf di China? Ikutilah Kembara Solo saya di negara Tembok Besar dalam entri akan datang.