Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 8 Disember 2011

Vietnam | 8 : Raya Korban di Vietnam

Meraikan ibadah korban di Vietnam adalah pengalaman indah yang tidak dapat saya lupakan. Pengalaman ini terlaksana setelah sahabat saya Sayang mengajak saya ke Hoh Chin Minh atau nama lamanya Saigon.  Sayang pernah tinggal di Vietnam lebih lima tahun. Kali ini dia ke Vietnam untuk mengerjakan ibadat korban. 

Di Vietnam terdapat ramai orang Islam. Oleh kerana kebetulan waktu itu saya mengambil cuti panjang dan tiket kapalterbang juga ada dan murah, maka saya pun mengambil keputusan untuk ke sana. Saya menaiki kapalterbang MAS pada 4 November 2011. Tambangnya memang murah ketika itu lebih kurang RM780 sahaja untuk penerbangan pergi balik dari Kuala Lumpur. Hotel telah ditempah oleh Ustaz Yusof iaitu orang Vietnam yang Sayang kenali semasa beliau tinggal di sana. Bersama Sayang ada lagi dua orang yang turut mengikutinya iaitu Kak Gi dan Evi. Jadi kesemuanya kami berempat.

Perjalanan dari KLIA ke Hoh Chih Minh memakan masa kira-kira satu jam setengah. Memang tak lama. Ketika menaiki kapalterbang, kami melintasi ruang udara Terengganu, Laut China Selatan dan Cambodia.

Sesampainya kami di Hoh Chih Minh, kami disambut oleh Ustaz Yusof dan isterinya Fatimah. Mereka orang Vietnam yang amat fasih berbahasa Melayu. Saya kagum kerana mereka tidak pernah datang ke Malaysia tetapi sudah fasih berbahasa Melayu. Beliau belajar bahasa Melayu dari orang Malaysia yang datang ke sana. Hanya dengan berurusan dengan orang Malaysia Ustaz Yusuf dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Isterinya pula menguasai bahasa Melayu kerana setiap hari mendengar perbualan telefon Ustaz Yusuf dengan orang Malaysia.


 


Kami menaiki teksi terus ke Hotel Gia Huy yang terletak di pusat bandar, berdekatan dengan Pasar Ben Than iaitu pasar yang terkenal di kotaraya Hoh Chin Minh ini. Hotel itu kami berkongsi berempat. Kami perlu membayar RM200 semalam untuk satu bilik. Hotel itu sangat luas dan selesa. TV flatscreen disediakan sebanyak 2 buah. Satu di ruang tamu dan satu di dalam bilik tidur. Internet dan PC disediakan di dalam bilik hotel. Kami tinggal selama 4 malam di hotel ini. 

Pada malam itu kami memberi segala maklumat dan wang kepada Ustaz Yusuf untuk dibeli lembu dan kambing buat korban pada hari Raya nanti. Ustaz Yusuf memasukkan segala maklumat ke dalam iPad beliau. Canggihnya Ustaz ni, ada iPad. Saya sendiri pun tak ada iPad. Menurutnya daging-daging korban akan diagih-agihkan kepada beberapa orang di masjid-masjid dan kampung-kampung tertentu. Sebanyak 50 ekor binatang diamanahkan kepada Ustaz Yusuf untuk dikorbankan. Mereka yang melakukan ibadat ini kebanyakannya dari Malaysia, samada yang tinggal di Vietnam ataupun yang tinggal di Malaysia.

Pada pagi Hari Aidil Adha, Sayang mengajak saya ke Masjid Niamatul Islamiyah. Masjid itu letaknya di Cach Mang Thang Tam. Terdapat banyak masjid di Hoh Chi Minh tetapi yang disarankan oleh Sayang untuk saya merayakan hari Raya Aidil Adha ialah di masjid Niamatul Islamiyah kerana menurutnya, di sini penduduk tempatan ramai ke masjid ini. Dengan ini saya boleh dapat mengetahui cara sebenar mereka beraya. Barulah rasa "lokal" dan rapat dengan masyarakatnya. Memang inilah yang saya suka.



"Penduduk Islam Vietnam peramah dan memuliakan orang luar," kata Sayang pada saya. Masjid yang saya hadiri pada pagi Aidil Adha 2011 ini adalah masjid yang biasa dihadiri oleh golongan muallaf. Mereka gembira melihat kami. Sudah tentu kami ini nampak asing. Mereka nak berbual pun rasa malu, mungkin mereka tak tahu nak guna bahasa apa.

Saya sempat juga ke belakang masjid dan melihat beberapa ekor kambing dan lembu yang bakal dikorbankan. Tempat ambil wuduk, tandas dan bilik mandi ada di bahagian belakang. Setelah mengambil wudhu dan memakai telekung, saya pun duduk bersama-sama dengan jemaah wanita. Merekapun semuanya memakai telekung putih, sama macam kita. Seorang kenalan Sayang hadir di situ, lalu saya bersalaman dengannya. Beliau lalu menyuruh saya duduk di saf depan. Saya rasa dihormati.


Gambar di atas ini adalah antara jemaah wanita Vietnam yang hadir untuk solat Aidil Adha. Sebentar kemudian solat sunat dua rakaat dilakukan. Saya masih ingat lagi surah yang dibaca oleh Imam selepas Al-Fatihah ialah Surah Al-A'la. Selepas solat sunat, Imam membacakan khubah dalam bahasa Vietnam. Sepatahpun saya tidak faham, cuma apabila beliau menyebut beberapa perkataan Arab dan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran barulah saya mengerti sedikit topik khutbah beliau.

Setelah selesai solat sunat Aidil Adha dan khutbah, kamipun bersalam-salaman dan mahu beredar. Namun kami ditahan oleh seorang kenalan Sayang. Dia suruh kami tunggu untuk makan bersama mereka. Kamipun tunggu.

Saya pun melihat ke bahagian dapur. Saya dapati kaum hawa Vietnam sibuk menyediakan makanan untuk dijamu pada hari raya Aidil Adha ini. Berbagai-bagai juadah disediakan. Pagi itu kami belum bersarapan. Hidangan istimewa ini sudah tentu akan memenuhi perut kami yang berkeroncong itu.



Nasi goreng Vietnam akan dihidang sebentar lagi. Buah-buahan Vietnam juga disediakan. Kaum Adam menanti dengan sabar untuk menjamu selera.

Pada mula-mulanya sup atau bubur nasi dihidangkan panas-panas. Wap bubur nasi yang panas itu berkepul-kepul keluar dari mangkuk kecil yang dihidang. Tidak sabar rasanya hendak mencubanya. Tetapi doa dibacakan dahulu oleh pihak kaum Adam di suatu sudut masjid berhampiran dengan dapur.




Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang kamipun menjamu selera sebaik-baik sahaja doa habis dibaca. Sup seperti bubur nasi membuka selera. Kemudian saya menyantap nasi goreng, cucur udang dan buah-buahan. Pizza pun ada, tapi saya tak makan sebab sudah kenyang. Alhamdulillah. Selepas perut terisi kami diajak bergambar beramai-ramai. Benar kata Sayang, orang di sini meraikan orang luar. Setelah mengucapkan terima kasih dan Selamat Hari Raya Aidil Adha kami pun beredar. Saya membawa pulang pizza yang diberikan tadi.



Setelah itu saya dan Sayang serta dua orang kawan kami menuju ke rumah Ustaz Yusuf dan Fatimah untuk beraya di sana pula. Untuk ke rumah Ustaz Yusuf dan Fatimah kami perlu menaiki teksi, kemudian melalui pasar-pasar dan celah-celah rumah orang.

Kami disambut dengan senyum lebar oleh tuan rumah. Makanan tradisional Vietnam dimasak oleh Fatimah. Antara makanannya ialah popia basah (ada nama Vietnamnya, tapi saya lupa), keropok, kari ayam, bengkang dan rambutan.



Kami berpeluang melihat anak-anak Ustaz Yusuf membantunya menulis nama-nama orang yang melakukan ibadat korban di atas kad manila. Nama-nama itu dipamerkan di masjid-masjid tempat korban itu dilakukan. Mereka yang melakukan ibadat korban itu juga berpeluang melihat binatang yang dikorbankan samada hadir ke masjid-masjid atau melihat melalui gambar-gambar yang dihantar melalui emel.




Saya berpeluang melihat lembu dilapah di masjid yang terletak berdekatan dengan rumah Ustaz Yusuf dan beraya di rumah jiran-jiran Ustaz Yusuf. Dapatlah saya melihat masyarakat Islam Vietnam dengan lebih dekat. Dapatlah saya melihat kesusahan hidup sebahagian daripada mereka. Meraikan ibadah korban di Vietnam ini adalah kesempatan yang sangat bernilai dalam hidup saya.

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah memberi engkau (ya Muhammad) akan kebajikan yang banyak. Oleh itu sembahyanglah engkau pada Hari Raya Haji  dan sembelihlah (binatang) korban" (Al-Kauthar: 1-2).


2 ulasan:

  1. Terima kasih Dr kerana sudi melawat blog saya. Saya juga kagum dgn Dr yg dah sampai ke serata dunia :)

    BalasPadam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.