Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Rabu, 14 Disember 2011

Dubai: Membeli-belah Gaya Sempoi (Bhg I)

Kalau sebelum ini saya asyik menceritakan tentang membeli-belah gaya mewah, kali ini saya hendak menceritakan membeli-belah gaya sempoi pula.... gaya inilah yang paling saya suka...kerana inilah gaya yang paling "happening".

Tempat yang menjadi tumpuan ialah Muara Sungai Dubai. Muara Sungai Dubai adalah jantung dan nadi Dubai. Ia memisahkan dua daerah iaitu Deira dan Bur Dubai. Muara Dubai ini adalah kawasan air laut yang sempit yang memasuki tanah daratan. Ia adalah pelabuhan perdagangan lama di Dubai. Pelabuhan lama ini masih digunakan untuk aktiviti pengangkutan barang-barang dagangan. Tidak sah ke Dubai kalau tidak ke Muara Sungai Dubai ini. Tempat ini telah menjadi tumpuan ramai dan terdapat souk (pasar) untuk mereka yang gemar membeli-belah dengan gaya sempoi.

Ketika saya ke sini sudah masuk musim dingin (winter) iaitu bulan Januari 2009. Musim dinginnya memang nyaman.


Di musim dingin air Muara Dubai mengalir segar. Anginnya bertiup sepoi-sepoi bahasa. Aduhai nyaman sekali...Burung-burung camar melebarkan sayap dan terbang berkawan-kawan menikmati angin musim dingin di Muara Dubai. Sesekali mereka menjunam membasahi diri ke dalam air laut yang dingin ini. Saat-saat yang tak sanggup saya lepasi. Aduhai..aduhai..aduhai...

 

Menghirup udara petang musim dingin di Muara Dubai ini boleh menghilangkan lelah setelah penat bekerja.


Muara Sungai Dubai memisahkan dua daerah iaitu Deira di seberang sini dan Bur Dubai di seberang sana. Asyiknya saya menikmati pemandangan Muara Dubai ini. Tubuh saya dibelai angin musim sejuk yang nyaman. Ohh..tidak ingin saya lepasi.



Hari ini hari Jumaat, hari cuti di Dubai. Petangnya amat besesuaian untuk menyusuri Muara Dubai dengan abra (teksi air). Bukan mahal pun tambangnya. Cuma dua dirham (RM1.80) saja!



Kalau lapar, kita boleh pilih untuk makan di restoren dalam bot atau di restoren tepi sungai. Tapi kenalah bayar lebih. 


Makan sehidang kofta dan shish di tepi Muara Dubai sebenarnya kita bayar untuk pemandangannya bukan makanannya. “We pay for the view”, kata kawan baru saya yang sudah 13 tahun menjadi profesor di Sharjah berhampiran Dubai. Yang sempoinya, Profesor AR yang belanja saya makan...Ingat tak dalam pos yang lepas saya beritahu saya kenal Profesor ini semasa persidangan Alam Sekitar di Abu Dhabi? Apabila saya ke Dubai dia membawa saya makan di sini.


Souk atau pasar tradisional terdapat di merata-rata Dubai. Tetapi yang sering menjadi tumpuan ramai ialah di pinggir Muara Dubai.

 

Oleh kerana petang ini Jumaat, maka ramailah orang berpusu-pusu membeli-belah. Sungguh ramai sekali! Tapi saya tak rasa takut dicopet kerana Dubai adalah antara kotaraya yang terselamat di dunia.


Di souk tradisional ini kita boleh membeli-belah dengan harga yang murah. Boleh tawar-menawar pulak tu. Peniaga-peniaganya terdiri daripada orang keturunan Pakistan. Terdapat kain ela, stokin, kasut, beg, pakaian, makanan dan macam-macam lagi.

 

Peniaga ni melambakkan kain-kain jualan di pintu hadapan kedai mereka sambil memanggil-manggil orang yang lalu-lalang. Betul-betul sempoi.

 

Antara peniaga-peniaga di situ ada yang cam saya orang Malaysia, lalu bercakap Melayu dengan saya. “Murah, murah, lima dirham, lima dirham..ini samosa, ini pisang goreng!” katanya. Sayapun beli samosa ini untuk makan malam. Dengan 5 dirham (RM4.80) sahaja saya dapat sebungkus samosa, kira-kira 10 biji. Hmm cukup mengenyangkan.

 

Peniaga stokin ini juga boleh berbahasa Melayu. Katanya dia pernah bekerja di Malaysia. Kita boleh tawar menawar dengan beliau dengan harga yang murah, dalam bahasa Melayu pulak tu. Hmmm..memang sempoi.


 

Selain ke souk tradisional saya juga ke souk rempah. Kita boleh membeli rempah-ratus dan kekacang dengan harga yang murah. Sebagaimana di souk tradisional, peniaga-peniaganya terdiri daripada orang keturunan Pakistan.


Di souk rempah ini peniaganya menjual kekacang, shisha, wangi-wangian, herba dan manisan. Bolehlah beli sebuah botol shisha untuk kenang-kenangan.


Sempoinye...Kekacang dan rempah ratus ini diletakkan dalam guni dan dibiarkan terbuka. Hidung saya pastinya menghidu aroma rempah ratus ini ketika melalui souk (pasar) rempah ini.


Emas 24 karat boleh di beli di souk (pasar) emas tidak jauh dari Muara Dubai di daerah Deira ini. Inilah pasar emas terbesar di dunia.




Emas-emas ini dipamerkan di ruangan kedai yang berkaca. Dikatakan harga emasnya paling rendah di dunia. Kalau tak membeli semayam emaspun, paling kurang menjamu mata seperti saya sudah memadai.


Di souk emas ini bukan kaum hawa saja yang berminat tetapi kaum adam pun turut sama.



Berduyun-duyun manusia membanjiri souk (pasar) emas ini. Yang paling sempoinya tidak ada pegawai keselamatan dengan senapang patahnya berdiri mengawal kedai. Anda tahu kenapa? Berbelanja di tempat-tempat ini tidaklah mahal. Yang penting tahu memilih tempat yang sesuai dengan selera masing-masing. Di siri yang akan datang akan saya ceritakan bagaimana untuk sampai ke tempat-tempat ini, di mana nak letakkan kepala bila sudah mengantuk dan berapa fulusnya. Nantikan siri "Membeli-belah Gaya Sempoi (Bhg II)" pada siri yang akan datang.

...bersambung

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...