Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Sabtu, 10 Disember 2011

Abu Dhabi: Kota Tumpuan Dunia

Pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Emiriah ini tentu berdebar-debar kerana saya tidak kenal sesiapa pun. Tambahan pula dalam musim sejuk (winter). Agak teruja saya, kerana selalunya dalam filem, negara Timur Tengah ini dilihatkan panas dan berpadang pasir!

Sebagaimana kaburnya gambar yang saya ambil ini, begitu jugalah kaburnya pengetahuan saya tentang bumi Emiriah Arab Bersatu sebab inilah pertama kali saya menjejakkan kaki di tanah padang pasir ini. (Gambar ini adalah billboard besar yang saya lihat di pameran dan persidangan Alam Sekitar di Abu Dhabi 2009)

Persiapan yang amat rapi saya lakukan untuk ke sana. Hotelnya saya tempah awal-awal melalui internet. Telah juga saya hubungi melalui telefon untuk memastikan ada tempat untuk bermalam. Hotel yang saya tempah itu RM600 satu malam, tanpa sarapan pagi. Mak oooi! Itulah hotel yang ada pada masa itu. Hotel yang lebih murah daripada itu semua sudah fully booked. Yang tinggal cuma yang RM1,000 ke atas. Masa ini Abu Dhabi jadi tumpuan dunia. Pelbagai acara, pesta, seminar, persidangan dan sukan diadakan.

Tanpa sengaja saya khabarkan pemergian saya ke Abu Dhabi kepada pelajar saya. Khaled pelajar saya dari Palestin ini terus menghubungi kawan-kawannyanya yang bekerja di Abu Dhabi dan Dubai, tanpa saya minta. Khaled beritahu saya mereka akan menanti saya di lapangan terbang. Nombor telefon mereka juga sudah diberikannya kepada saya.

Lalu saya suruh Khaled tanyakan mereka, "Ada tak hotel yang lebih murah lagi?"

Setelah menyemak 2-3 hari, kawan-kawan Khaled di Abu Dhabi memberitahu bahawa hotel yang saya tempah itu "kira ok harganya". Mereka pun sudah semak tentang keadaan hotel itu. Ternyata semuanya "mafi mushkila" - No problemo. :) Jazakallahu khair Khaled.


Sampai di Abu Dhabi


Sesampai di lapangan terbang Abu Dhabi, saya disambut dengan senyum lebar oleh pegawai Imigresen yang memakai jubah putih. Proses kemasukan ke negara itu amat mudah, tiada langsung mereka periksa beg saya. "Mafi mushkila"!

Tiba di muka pintu lapangan terbang, saya sudah disambut oleh dua orang kenalan Khaled. Seorang orang Palestin yang bekerja di Abu Dhabi sebagai jurutera. Yang seorang lagi asalnya dari Mesir. Juga jurutera. Mereka terus menghantar saya ke hotel dengan kereta mereka. Ketika itu sudah lewat. Kira-kira pukul 1.30 pagi.

Alhamdulillah, saya selamat sampai dan terus mereka tolong saya angkat beg dan "check in" hotel. Baiknya kawan-kawan Khaled ini.

Gadis yang menyambut saya di kaunter hotel itu terus menegur saya. Dia kenal nama saya, kerana saya pernah berbual dengannya di telefon semasa buat tempahan. Gadis ini orang Filipina yang bekerja di sini.

Semoga Allah membalas segala kebaikan mereka yang berbuat baik kepada saya.

Beginilah keadaan sepanjang jalan di Abu Dhabi. Pohon kurma menghiasi jalan. Jalannya teratur dan bersih.
Bangunan tinggi-tinggi belaka di kota Abu Dhabi. Di jalan raya orangnya memakai jubah sebagai pakaian rasmi.


Abu Dhabi, kota mahal

Kota Abu Dhabi adalah antara kota termahal dunia.

Masjid di mana-mana

Perkara yang menarik di bumi Emiriah ini ialah masjid. Masjid ada di mana-mana. Jarak di antara satu masjid dengan masjid yang lain amatlah dekat. Kalau ada satu di sebelah kiri jalan, tak berapa jauh berjalan kaki ada lagi sebuah. Kadang-kadang Azan berkumandang tak putus-putus. MashaAllah. 

Masjid ini letaknya di celah-celah kota Abu Dhabi.


Persidangan antarabangsa yang besar di Abu Dhabi

Kunjungan saya ke Abu Dhabi kerana membentangkan kertas kerja di Persidangan dan Pameran Alam Sekitar 2009. Persidangan ini amat besar. Saya mewakili Malaysia di persidangan ini yang disertai pelbagai negara dunia. Ia diadakan pada 19-21 Januari 2009 di ADNEC (Abu Dhabi National Exhibition Centre).

Persidangan ini dibawah naungan Sheikh Khalifa Bin Zayed Al Nahyan, Presiden Emirat Arab Bersatu. Ia memfokuskan kepada penyelesaian komprehensif dalam peralatan, teknologi dan sektor perkhidmatan alam sekitar. Ini adalah kali ke-5 setelah persidangan pertama berjaya diadakan pada 2001.

Syarikat besar membuat pameran di persidangan antarabangsa ini

Persidangan ini juga ditaja oleh syarikat-syarikat gergasi Emiriah. Antara konglomeratnya ialah Masdar iaitu syarikat minyak dan gas. Pameran Alam Sekitar juga diadakan di sini dimana teknologi baru tentang alam sekitar dipamerkan. Dilaporkan 220 pameran dari 77 negara diadakan di sini.

Pameran

Pada awal pagi hari persidangan, saya sudah sampai di ADNEC dengan menaiki teksi. Pusat pameran ini amat besar dan bangunannya tersergam kukuh dari luar. Di belakangnya terdapat sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan.

Di dalam ruang legar yang luas ADNEC ini,  pameran alam sekitar diadakan oleh pelbagai organisasi dan syarikat yang berkaitan dengan alam sekitar. Di sini saya bertemu dengan pelbagai orang. Di sini juga saya ditegur oleh seorang lelaki muda ketika saya melihat-lihat pameran.

"Orang Malaysia ke?", tanya pemuda itu.

Saya amat gembira kerana dialah lelaki Melayu pertama yang saya jumpa di bumi Emiriah ini. Dia juga gembira kerana sayalah orang Malaysia pertama yang dia temui di persidangan itu. Kami berkenalan.

Ally adalah seorang jurutera bangunan di sebuah syarikat Jerman di Abu Dhabi. Dia sudah bekerja di sini setahun. Dialah jurutera yang sedang membina bangunan besar yang terletak di belakang ADNEC yang saya nampak tadi.

Ally ini seperti adik kepada saya kerana dia jauh lebih muda daripada saya. Ally sungguh baik. Sejak mengenalinya, dia sentiasa menelefon saya kerana risaukan saya bersendirian di sini. Persahabatan saya dan Ally berkekalan sehingga ke hari ini.

Pemuda ini menghidangkan saya kopi Emiriah dan kuih-muih tradisi Arab ketika saya mengunjungi pamerannya

Pameran berprestij ini mendapat liputan di media-media seluruh Emiriah Arab Bersatu.  Saya dilayan dengan cara Emiriah di sini.

Baklava yang manis dan berkacang

Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, manisan Arab yang saya gemari iaitu baklava dihidangkan kepada saya ketika saya mengunjungi sebuah pameran. Berbagai bentuk dan jenis. Ada yang berkacang. Ada yang berinti kurma. Hmmm sungguh enak!

Inilah antara orang yang menghadiri pembentangan kertas kerja penyelidikan saya tentang NGO air di Malaysia.

Kertas kerja saya dijadualkan pembentangannya pada hari pertama persidangan. Terdapat banyak bilik untuk pembentangan dan pembentangan dilakukan secara serentak mengikut subjek masing-masing. Terdapat 4 orang pembentang di sesi saya. Salah seorangnya ialah Profesor AR dari American University of Sharjah, yang terletak di Sharjah, Emiriah Arab Bersatu. Dia membentangkan inovasinya dalam kejuruteraan alam sekitar. Setelah sesi pembentangan selesai Profesor AR pun berkenalan dengan saya. Profesor AR kemudian menjadi sahabat saya sehingga ke hari ini.

Ada kisah menarik saya bersama dengan Profesor AR. Akan saya ceritakan nanti dalam pos yang akan datang.

Berbalik pula dengan sesi pembentangan tadi. Saya membentangkan kajian saya tentang NGO air di Malaysia, masalah yang mereka hadapi dan cara mereka menangani masalah itu. Selepas persidangan ini berlalu, kertas kerja saya ini diterbitkan di dalam sebuah jurnal antarabangsa.

Bicarawara TV-CNBC tentang "Inspiring Future Energy" yang diadakan di sebuah bilik ketika pameran dan persidangan Environment 2009 di Abu Dhabi

Gambar ini saya rakam ketika siaran langsung bicarawara  televisyen CNBC  diadakan di persidangan Environment 2009 Abu Dhabi. Bicarawara ini menampilkan perbincangan ketua-ketua di jabatan kerajaan dan  swasta yang berkaitan dengan tenaga dan alam sekitar. Kelihatan di atas pentas ialah CEO Masdar (paling kanan) iaitu Dr Sultan Al Jabar.

Ketika persidangan ini satu bicarawara tv (tv talkshow) diadakan oleh CNBC. Bicarawara ini diadakan dalam bahasa Inggeris dan dipancarkan di seluruh dunia. Bicara ini menampilkan ketua-ketua jabatan dan swasta untuk membincangkan masa depan tenanga dan alam sekitar di negara Emiriah Arab Bersatu. Ini disebabkan negara ini menghadapi perkembangan ekonomi yang pesat dan kepesatannya meninggalkan kesan serious terhadap tenaga dan alam sekitar. Kerajaan Emiriah menyedari akan perlunya pemerhatian segera untuk pemuliharaan sumber semulajadi dan kelestarian alam sekitar.

Yang seronoknya menghadiri persidangan berprestij ini ialah saya dapat macam-macam hadiah (door gift) yang mahal-mahal dan banyak pulak tu. Antaranya ialah beg, pen, pen drive, buku, dll.

Pengunjung Talk show CNBC

Di sini juga saya berkenalan dengan Mariam, seorang peniaganita. Mariam tinggal di Dubai. Tapi dia berasal dari India. Kemesraan terus wujud di antara kami. Persahabatan saya dengan Mariam juga baik dan berkekalan hingga ke hari ini. Ada kisah menarik saya bersama dengan Mariam. Akan saya ceritakan nanti dalam pos yang akan datang.

...bersambung


6 ulasan:

  1. Great informative site. I'm really impressed after reading this blog post. I really appreciate the time and effort you spend to share this with us!

    property shop abu dhabi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thank you. Keep on reading and visiting my blog.

      Padam
  2. Assalam, boleh saya bertanya? saya akan ke abudhabi untuk conference juga Nov 2013 nnt. Macam mana dengan Visa ye? apply di mana ye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Teh Rasyidah,
      Semasa saya ke sana pd tahun 2009, amat senang sekali. Sesampai di Abu Dhabi, passport saya terus di chop: 'kemasukan untuk 30 hari' (30-day entry). Ini bermakna visa diberikan sebaik-baik sahaja kita sampai di lapangan terbang sana - visa on arrival. Jadi tidak perlu memohon visa lebih awal di Malaysia. Visa jenis ini diberikan kepada Malaysia dan beberapa negara tertentu. Saya rasa status ini kekal sehingga ke hari ini. Untuk kepastian sila hubungi travel agent anda yang menempah tiket anda.

      Padam
  3. Perkongsian yang sangat menarik...gambar2 yang dipaparkan sangat2 menarik...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas respons Islamic Traveller. Teruslah membaca setiap entri tentang pengalaman dan kembara saya di Emiriah Arab Bersatu ini.

      Gambar-gambar yang diambil itu taklah cantik mana sebab ada gambar yang gelap dan kabur...saya hanya guna kamera poket saja, tetapi itulah yang saya mampu.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.