Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 17 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (5): Menjejak Masjid Daowai dan Makan Jiaozi

Pada entri yang lepas saya ceritakan tentang Moscow di Timur iaitu pengaruh Russia yang ketara di Haerbin (Harbin). Pada entri ini saya akan ceritakan tentang masjid dan makanan Islam di Haerbin pula.

Setelah puas berjalan di kawasan yang meninggalkan pengaruh Russia itu saya dan Yaniepun bercadang untuk menjejak sebuah masjid dan makan tengahari di situ.

Dalam entri yang lepas saya tunjukkan gambarfoto jangkasuhu yang menunjukkan -18°C pada pukul 11.15 pagi di Haerbin. Tetapi untuk pengetahuan anda suhu itu hanya sebentar sahaja. Apabila pukul 1 petang suhunya turun kepada -20°C, kemudian semakin menurun kepada -22°C, -24°C, -26°C apabila hari semakin petang dan turun mendadak kepada -30°C pada waktu malam.

Jadi petang itu sebelum suhu turun dengan amat melampau di Kota Ais Haerbin saya dan Yanie gunakan untuk menjejak Masjid Daowai. Masjid ini terletak di Daerah Daowai, di Jalan Shisandao, Haerbin. Untuk memudahkan kami mencarinya kami menahan teksi di Jalan Zhongyang. Yanie tunjukkan alamat masjid itu dalam tulisan China kepada pemandu teksi. Pemandu itu menghantar kami melalui jalan raya yang agak sesak di Haerbin dan kenderaan di jalannya bergerak perlahan. Walau bagaimanapun dalam masa dua puluh minit kamipun sampai. Dari dalam teksi lagi kami sudah nampak menara masjid.

Masjid Daowai dari tepi jalan

Masjid itu letaknya di tepi jalan. Kami terpesona. Ia sangat besar dan dibina di kawasan yang luas. Binaannya juga menarik kerana terserlah ciri-ciri senibina Islam dengan bauran senibina China dan Russia.

Petang di Masjid Daowai pada musim sejuk 2013

Salji di atas bumbung dan kubah Masjid Daowai

Pagar depan Masjid Daowai. Dewan solat utama di hadapannya.

Setelah melihat-lihat dari luar pagar, kamipun masuk ke dalam kawasan pagar masjid mengikut pintu pagar belakang.

Kami mencari dewan solat wanita. Kami lihat beberapa orang Islam berjalan menuju ke satu bangunan kecil di dalam kawasan masjid itu. Yanie pergi menjenguk ke bangunan kecil yang ada orang itu. Tetapi Yanie mendapat tahu yang mereka semua menziarahi jenazah di situ.

Setelah bertanya, ada beberapa orang memberitahu kami supaya pergi ke dewan solat utama untuk solat. Dewan solat utama itu letaknya di tengah-tengah kawasan masjid dan betul-betul di hadapan pagar hadapan. Kamipun menjenguk ke dewan solat utama itu. Tidak ada sesiapa di dalam dewan solat utama itu.

Kami belum ada wudhu, lalu bertanya di mana tempat mengambil wudhu kepada beberapa orang yang lalu-lalang di luar dewan solat utama itu. Mereka menunjukkan ke arah sebuah bangunan bersebelahan dengan dewan solat utama itu.

Kamipun masuk ke dalam dewan itu. Kami dapati ada tangga menuju ke bilik atas. Di situlah tempat solat wanita. Dewan itu tiada ada orang. Kami mencari tempat mengambil wudhu di dalamnya tetapi tak jumpa-jumpa. Di dalam bangunan ini, kami dapati bahawa banyak ruangan dikepung dengan tabir. Kami menyelak tabir itu dan mendapati ia berselerak dengan barang-barang. Jadi kami menjangka bahawa tempat mengambil wudhu itu ditutup kerana sedang direnovasi.

Kemudian kami keluar untuk mencari tempat wudhu, tetapi semua bilik mengambil wudhu di kawasan masjid itu bertutup dan berkunci. Orang yang tadinya hadir di masjid menziarahi jenazah juga sudah tiada. Tinggallah kami berdua sahaja di masjid itu. Oleh kerana kami tidak berjumpa dengan tempat wudhu dan banyak bilik berkunci kamipun bercadang akan solat jamak di dalam bilik hotel sajalah.

Masjid Daowai ikut pagar belakang

Masjid Daowai dari sudut dekat

Masjid ini telah dibina pada 1935

Dewan solat utama

Bersebelahan dengan masjid itu terdapat kedai-kedai qingzhen (halal). Kebanyakannya kedai daging dan terdapat sebuah kedai makan. Di seberang jalan pula ada kedai roti halal. Jadi di sini kami dapat membuat kesimpulan bahawa orang Islam ramai tinggal di kawasan ini dan Islam tersebar luas di serata China.


Kawasan perniagaan Islam

Kedai-kedai halal bersebelahan Masjid Daowai


Makan Tengahari Dengan Jiaozi (Dumpling)


Kami singgah di sebuah kedai makan. Kedainya kecil sahaja, tetapi kami disambut dengan mesra oleh pemilik kedai itu yang berketurunan Hui. Seperti biasa peniaga Islam berketurunan Hui memakai ketayap putih di kepala dan pasti bertanya kami, "Datang dari mana? Orang Islam ke?" Setelah mengetahui kami orang Malaysia dan beragama Islam mereka sangat gembira. Pelanggan yang datang makan di situ juga senyum-senyum dan asyik memandang-mandang gelagat kami. Rasa malupun ada. Rasa seronokpun ada.

Kami memesan jiaozi. Anda pernah makan jiaozi? (dumpling).

Terdapat beberapa jenis jiaozi dan ia dipanggil berlainan nama mengikut cara ia dimasak. Yang direbus dipanggil shuǐjiǎo. Ia dihidangkan di dalam mangkuk dengan air rebusannya. Yang dikukus dipanggil zhēngjiǎo. Ia dicicah dengan kicap. Manakala yang digoreng dipanggul guōtiē. Ia boleh dimakan begitu sahaja.

Saya pernah belajar membuat jiaozi daripada Leah, kawan saya yang berasal dari Xian. Bahan-bahan untuk membuatnya amat mudah. Cuma tepung gandum yang dibancuh dengan garam dan air. Ia dibancuh dan diadun sehingga menjadi doh yang lembut dan boleh digentelkan menjadi bebola kecil. Doh yang telah menjadi bebola itu dibiarkan sebentar kira-kira 30 minit. 

Sambil itu intinya disediakan. Intinya juga mudah untuk dibuat. Intinya dibuat daripada sayur-sayuran (kobis, daun bawang, atau sayur kegemaran masing-masing), daging kisar, lada putih, bawang putih, halia, minyak bijan, kicap dan garam.

Semasa saya dan Yanie ke restoren halal di kawasan Islam di Haerbin ini kami dapat menyaksikan jiaozi dibuat. Ia dibuat di hadapan pelanggan di restoren itu.

Adunan dibualt-bulatkan menjadi bebola kecil

Doh yang menjadi bebola kecil itu dicanai nipis-nipis atau digelek menjadi kepingan bulat yang lebarnya kira-kira 3 inci


Inti daging dan sayur-sayuran diletakkan ke dalam adunan yang dicanai nipis tadi

Satu sudu besar inti diletakkan ke atas kepingan bulat yang dicanai nipis tadi

Tepi kepingan bulat tadi yang telah diisikan inti dicantumkan menjadi seperti bulan sabit.  Macam buat karipap, tetapi tepinya tidak dikelimkan. Cuma tekan-tekankan tepinya supaya melekat dan tidak terbuka. Air dicalitkan ditepinya supaya ia melekat

Jiaozi (dumpling) yang sudah sedia untuk dikukus/direbus/digoreng

Kamipun dihidang dengan sepinggan jiaozi yang panas dan enak. Ia baru sahaja dikukus dan kami makan dengan kicap.

Jiaozi yang sudah direbus dan sedia untuk dimakan. Yumm!

Jiaozi ini enak dimakan, berkhasiat dan mengenyangkan. Inilah makanan kegemaran di China. Saya juga amat gemar memakannya. Jadi kalau anda ke China jangan ketinggalan memakannya.


Beli Roti, Kek dan Biskut Halal


Sebelum pulang ke hotel kami sempat singgah di kedai kek halal di situ. Tuan punya kedai itu seorang lelaki Hui (pastinya Islam), amatlah peramah dan dia memberi kami makan beberapa biji biskut percuma. Seronoknya kami dapat merasa beraneka biskut halal China yang banyak dengan percuma. Peniaga kek ini sering bersyahadah dan menyebut beberapa ucapan dalam bahasa Arab yang diketahuinya.

Kedai kek, roti dan biskut halal

Roti cokolat berlapis-lapis yang dicadangkan oleh peniaga kedai kek ini untuk dicuba



Masalah Mendapatkan Teksi

 

Apabila sudah jumpa masjid, makan jiaozi, kenyang makan biskut percuma dan beli roti halal kamipun pulang ke hotel dan menahan teksi. Tetapi punyalah susah untuk mendapatkan teksi. Banyak sudah teksi yang kami tahan tetapi semua tidak mahu menghantar kami ke hotel. Dengan suhu yang terlampau sejuk, berdiri lama-lama di tepi jalan dengan jari-jari kaki yang mula hendak kebas, tentulah mencemaskan kami. Yanie menyuruh saya berteduh di bawah bumbung di hadapan sebuah kedai sementara Yanie menunggu di tepi jalan dan tidak jemu-jemu menahan teksi.

Akhirnya kami dapat satu idea, kami akan naik teksi sehingga ke Jalan Zhongyang. Kemudian dari Zhongyang kami akan mengambil teksi lain untuk ke hotel.

Banyak sudah teksi yang kami tahan, tetapi tidak berhenti. Saya berdoa semoga Allah mempermudahkan urusan kami. Saya membaca surah Al-Fatihah dan Ayatul Kursi.

Tidak lama kemudian berhentilah sebuah teksi. Melihatkan kami orang Islam diapun dengan gembiranya memberitahu kami yang dia juga orang Islam (orang Hui). Kamipun sangat gembira kerana mendapat pemandu Islam. Dia berasal dari Lanzhou iaitu sebuah provinsi berdekatan dengan Inner Mongolia yang juga terdapat ramai orang Islam. Jadi mungkin dia sudi menghantar kami kerana melihatkan yang kami Islam dan dia juga orang Islam.

Pemandu Hui ini menghantar kami ke Jalan Zhongyang (Central Street). Di dalam teksi kami meminta kalaulah pemandu Hui itu boleh hantar kami ke hotel. Menurut pemandu itu teksinya tidak dibenarkan oleh undang-undang menghantar penumpang di kawasan  hotel kami itu. Dia hanya boleh mengambil dan menghantar penumpang di kawasan sebelah Jalan Zhongyang dan masjid tadi sahaja. Dia lalu menunjukkan kepada kami tempat untuk mengambil teksi ke hotel.

Setelah itu kamipun menahan teksi dari Jalan Zhongyang dan pulang ke hotel.

Pada hari itu kami dapat menimba pengalaman baru tentang Islam di Haerbin, makanannya, kemesraan sesama Islam dan sistem pengangkutan awam di Haerbin.

Teruskan bersama Naramas Aman backpack ke Kota Ais Haerbin dalam entri akan datang.

...bersambung



Baca kisah seterusnya  "Backpack ke Kota Ais Haerbin (6)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (2)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (3)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (4)" DI SINI



Rabu, 6 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (4): Jalan Zhongyang, Moscow di Timur

Pagi ini suhu di Haerbin (Harbin) ialah -20°C. Pagi ini kami berjalan-jalan di kota Ais Haerbin yang juga mendapat jolokan "Moscow di Timur" (Oriental Moscow). Ini disebabkan oleh pengaruh Russia yang amat ketara di Haerbin. Haerbin letaknya di utara China dan bersempadan dengan Russia. Sila klik di sini untuk melihat peta Haerbin.
 
Kami pergi ke Daerah Daoli pagi itu. Di situ ada sebuah dataran yang mempunyai senibina Byzantine. Di   dataran itu kami dapat melihat sebuah gereja Ortodok yang benar-benar bercirikan senibina bangunan di Russia. Di atas atapnya terdapat bentuk kubah, kon dan salib. Nama gereja ini ialah Saint Sophia Cathedral. Ia telah siap dibina pada tahun 1932.

Saya lihat lantai dataran di sekeliling gereja itu dibuat daripada batu empat segi yang kelihatan amat antik. Mungkin lantai ini dibina mengikut gaya kesenian Russia kerana ia kelihatan agak berlainan dengan senibina China.

Suasana pagi masih dingin dan jalan-jalan penuh salji. Di bumbung gereja itu juga dipernuhi salji. Kami hanya melihat dari luar sahaja dan mengambil gambar. Gereja itu tidak digunakan lagi sebagai gereja tetapi kini digunakan untuk memamerkan senilukis dan senibina Haerbin. Untuk pengetahuan anda, banyak gereja telah dimusnahkan oleh kerajaan China pada suatu ketika dahulu, jadi yang ini salah satu yang ditinggalkan.

Saya dapat melihat burung merpati yang jinak terbang melepasi bumbung gereja dan kadang-kadang terbang ke bawah mematuk makanan. Ketika itu Yanie sudah pergi ke belakang gereja mengambil gambar. Kami berjanji akan bertemu di bangunan yang berhadapan dengan gereja itu.


Dataran dan bangunan bercirikan senibina Russia

Gereja St Sophia ini tidak lagi berfungsi sebagai sebuah gereja

Ramai orang memberi makan burung merpati di luar gereja Saint Sophia

Setelah berada di luar dengan suhu yang dingin, saya terasa jari tangan saya hampir kebas dan bengkak. Saya cepat-cepat masuk ke dalam bangunan yang terdekat di situ. Di dalam bangunan itu ada restoren McDonald. Saya lalu membeli secawan air cokolat panas dan duduk di situ memanaskan badan. Saya lihat Yanie sudah ada di situ sedang duduk, minum-minum.

Oleh kerana suhu terlampau sejuk, saya asyik hendak buang air saja. Jadi saya  mencari tandas yang ada di bangunan itu yang juga adalah sebuah Mall. Sambil mencari tandas itu saya melalui kedai-kedai dalam Mall itu. Di situ juga ada menjual pakaian, kasut, roti dan macam-macam lagi. Saya dapati kasut boot di sini amat murah.


Dalam Mall


Setelah badan panas semula saya dan Yanie berjalan kaki menuju ke Jalan Zhongyang atau Central Street atau dalam bahasa Russianya Kitaiskaya. Jalan Zhongyang ini tidak berjauhan dengan gereja tadi. 

Di Jalan Zhongyang terdapat banyak bangunan yang bersenibina barat. Ia dibina sejak tahun 1898. Terdapat 75 buah bangunan yang bergaya Byzantine, Baroque dan Nouveau. Mengikut sejarahnya, Russia pernah berkuasa di sini. Ramai orang Russia berpindah ke sini, membuka perniagaan,  membina bangunan dan jalan keretapi. Tetapi setelah China mengambilalih provinsi ini pada tahun 1925, jalan ini ditukarkan nama kepada Zhongyang. Jalan dan bangunan di sini kini sudah dianggap sebagai "muzium senibina Eropah" dan ini dinyatakan pada papantanda di sebuah bangunan yang terdapat di pangkal jalan.

Semasa kami berjalan-jalan di Jalan Zhongyang ini kami dapat melihat ukiran ais dipamerkan di tepi-tepi jalan. Jadi sesiapa yang tidak mahu ke Ice and Snow World dan Sun Island bolehlah datang ke sini melihat skulptur ais dan salji kerana di sini kita tidak perlu bayar.

Keunikan Jalan Zhongyang ini ialah jalannya dibina dengan batu empat segi yang berukuran 18 x 10 cm yang direka oleh jurutera Russia pada tahun 1924.  Ia berbentuk roti Russia. Senibina begini amat jarang dilakukan di China


Jalan Zhongyang yang dikunjungi ramai

Lorong pejalan kaki di Jalan Zhongyang yang dibuat daripada batu mengikut senibina Russia

Keisitimewaan dan kemahiran skulptur ais dipamerkan di pinggir jalan di Jalan Zhongyang

Skulptur ais di sepanjang Jalan Zhongyang yang kukuh dan tidak cair

Beruang salji dan Coca Cola

Gangnam Style...ukiran skulptur salji ini  menjadi tarikan kepada pengunjung untuk bergambar dan bergaya sepertinya


Jalan Zhongyang ini adalah lorong pejalan kaki yang popular dan jadi tumpuan ramai. Terdapat perlbagai jenis kedai, restoren, pasar raya dan hotel. Kami singgah di beberapa kedai untuk membeli cenderamata. Kebanyakan cenderamatanya adalah cenderamata Russia seperti fridge magnet Russia, anak patung Russia, barang kemas Russia dan macam-macam lagi. Saya hanya membeli tiga keping fridge magnet berbentuk pembuka botol dan buah anggur dan ia diukir dengan kesenian Russia. Gambar fridge magnet ini akan saya tunjukkan dalam entri akan datang. Kebanyakan fridge magnet di sini berbentuk gereja Ortodok Russia dan gambarnya mengenai komunisme Russia, jadi saya tidak membelinya kerana ia bertentangan dengan akidah saya.

Kedai jualan barangan Russia di Lorong Zhongyang

Bauran pelbagai tulisan pada papantanda: China, Russia, Inggeris

Jangkasuhu besar bergaya Baroque yang menunjukkan suhu -18°C di Haerbin  pada pukul 11.15 pagi pada musim sejuk Januari 2013

Senibina Russia pada bangunan dan kiosk

Jalan Zhongyang ini adalah semata-mata jalan komersial yang bersenibina Eropah, Russia dan China. Jadi sambil jalan-jalan melihat bangunan ini, kami jamu mata dengan barangan-barangan Russia yang dijual di sini dan menghargai kesenian skulptur ais dan salji yang dipamerkan di tepi jalan. Jadi kami telah menimba ilmu baru pada pagi itu.

Begitulah kami menghabiskan pagi kami di Jalan Zhongyang. Kami bercadang untuk makan tengahari di restoren halal berdekatan dengan masjid yang terbesar di Haerbin. Dapatkah kami berjumpa dengan masjid itu? Teruskan bersama Naramas Aman dalam menjejak masjid itu dalam entri akan datang.

...bersambung

Baca kisah seterusnya  "Backpack ke Kota Ais Haerbin (5)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (2)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (3)" DI SINI




Isnin, 4 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (3): Ice and Snow World, Bagai Hidup di Alam Fantasi

Di Haerbin (Harbin) Sang Purnama amat cemburu dengan Sang Suria. Pada pukul 4.15 petang lagi Sang Suria sudah disuruh masuk cepat-cepat ke kamar peraduan dan Sang Purnama segera mengambil alih menghiasi langit.

Saya dan Yanie sudah siap memakai pakaian tebal malahan ditambah lagi lapisan pakaian kami berbanding siang tadi, kerana kami akan melalui malam yang amat dingin dalam seumur hidup kami: -30°C, namun menurut laporan kaji cuaca, walaupun -30°C tetapi "rasanya seperti" -40°C. Atau dalam bahasa orang kampung saya, 
"The temperature in Haerbin tonight is -30°C but feels like -40°C". 
Begitulah suhu di utara China ini, walaupun angka menunjukkan -30°C tetapi rasa dinginnya lebih dingin daripada angka yang ditunjukkan. "Rasa seperti" atau "feels like" itulah yang membuat kami gerun. Tak lalu nak dengar. Boleh tahankah? Mulalah saya seriau.

Untuk mengelakkan dari serangan "snow/frost bite", thermal dalam, setokin, sarung tangan, tudung dan jaket dipakai berlapis-lapis sehinggakan badan terasa terlalu berat, gedempul dan leher tak dapat berpaling ke kiri dan kanan sangat. Jadi dah rasa macam robot pulak.

Untuk persediaan dan ketahanan pada suhu dingin melampau ini, Yanie sudah membeli warm pad di Watsons di Beijing. Warm pad ini ditepekkan saja di bahagian anggota badan yang mudah sejuk. Jadi saya menepeknya di tapak kaki, betis dan poket jaket saya. Ia mesti ditepek di atas setokin atau kain dahulu. Bukan ditepek terus di atas kulit. Setelah ditepek, bahagian anggota badan saya yang mudah sejuk itu terasa panas. Warm pad ini dapat menahan kepanasan selama 4 jam. Jadi saya tidaklah bimbang sangat yang kaki dan jari-jemari saya akan kebas dan beku.




Selain daripada itu saya telah menelan tiga biji penawar kedinginan musim sejuk dari perubatan homeopathy. Penawar homeopathy sentiasa saya bekalkan dan saya dapatkan daripada doktor homeopathy saya di Ipoh, Perak. Saya dan keluarga saya telah mengamalkan perubatan homeopathy sudah duapuluh lima tahun lamanya. Keistimewaan perubatan homeopathy ini ialah tidak mengandungi dadah dan tidak ada kesan sampingan. Alhamdulillah dengan izin Allah perubatan homeopathy serasi dengan saya dan keluarga saya.

Satu lagi cara untuk tidak mahu menanggung risiko terkena "snow/frost bite" kami menaiki van yang disediakan oleh Hotel Green Tea. Kami bayar 310 yuan (RM155) untuk pengangkutan dan tiket masuk. Kami boleh berjalan di Ice and Snow World selama 2-3 jam dan menelefon van itu kalau mahu pulang semula ke hotel.  Ice and Snow dengan Hotel Green Tea ini bukannya jauh sangat. Kira-kira 15-20 minit perjalanan sahaja. Harga tiket untuk masuk ke situ ialah 300 yuan, jadi kami tidak rugi langsung menggunakan khidmat ini.

Pada pukul 5.00 malam/petang kami sudah bersedia menaiki van. Van itu penuh dengan penumpang tempatan dan rupa-rupanya ada sebuah keluarga dari Malaysia turut serta. Mereka tiga beranak dari Terengganu. Suami isteri itu kawin campur. Suaminya Cina. Isterinya Melayu. Anaknya Cinayulah kot. Tetapi mereka semua pandai cakap China. Mereka tolong terjemahkan kepada kami segala arahan yang diberikan oleh pemandu van dan pembantunya. Mereka suruh kami tunggu di luar pintu berdekatan dengan tempat parkir pada 7.30 malam kerana dia akan berada di sana mengambil orang pulang ke hotel.

Apabila kami sampai di Ice and Snow World, orang terlalu ramai. Panjang beraturnya untuk membeli tiket. Tetapi alhamdulillah, tiket sudah dibelikan untuk kami oleh pembantu pemandu van kami dan dia yang membawa kami masuk terus, tanpa perlu beratur. Mereka dah buat kerja ini bertahun-tahun agaknya. Jadi mereka sudah ada kabel. Ini telah menyelamatkan masa kami dan tidaklah kami perlu beratur lama-lama dan merana kesejukan.

Pintu masuk Ice and Snow World yang dihiasi lampu berwarna-warni

Di dalam Ice and Snow World itu kami terpukau dengan keindahan ukiran ais batu yang dijadikan bangunan yang tinggi-tinggi dan besar-besar. Lampu menghiasi bangunan itu dan imbasannya menyilaukan dan menyerikan malam yang gelap dan dingin itu.


Kereta kuda di hadapan istana aid


Ada sebuah castle tersergam indah seperti dalam Fairytale. Kereta kuda menunggu di luar castle. Nampak klasik dan eksklusif.

Mulalah saya berangan-angan menjadi Cinderella yang terlucut sepatu tumit tinggi di tangga castle kerana bergegas menaiki kereta kuda yang karavannya berbentuk labu. Dan siapakah Prince Charming yang akan mengutip sepatu itu dan menyarungkannya ke kaki saya?

Adakah Prince Charming itu? Mahukah dia datang mencari saya? Sudikah Prince Charming itu dengan saya?

Fairy Godmother salji


Bolehkah tanya pada Fairy Godmother?

Taman yang dibina dengan ais


Kalaulah Prince Charming itu menyunting saya. Dia mungkin membawa saya berbulan madu di Taman Syurgawi dan Inderaloka.

Papan gelungsur ais

Lalu kami sama-sama bermain gelungsur di papan gelungsur ais.

Bangunan ais


Tetapi disebabkan Prince Charming itu mat salleh  mungkin dia bawa saya ber'gumbira' ? Eeee..yuk? :(




Tetapi ... mungkin dia bawa saya ke gereja? :(




Atau bawa  ke pagoda? :(




Atau candi? :(

Masjid ais yang dihiasi dengan lampu nampak indah pada waktu malam


Atau ke masjid? :)

Menara masjid ais


Mendengar azan? :)

Masjid ais


 Lalu dia mengucap syahadah :)


Masjid yang dibuat dengan ais ini menjadi tarikan ramai


Lalu kami disatukan di masjid dan ramai tetamu yang datang meraikan kami. :)

Saya lalu mencubit pipi saya. "Aduh!" Saya di Alam Fantasi rupanya. Saya mengerak-gerakan jari-jemari saya. Oh masih bergerak. Tetapi rasa macam hendak beku pula.

Disebabkan jari-jemari saya hampir membeku, saya masuk ke dalam pusat khidmat yang ada di situ. Di situ ada heater dan sayapun memanaskan badan saya di situ. Semasa memanaskan badan itu, saya berkenalan dengan seorang lelaki dari Singapura. Menurutnya dia tidak dapat mengambil gambar kerana terlalu sejuk. Dia terlihat ada orang yang tergelincir dan jatuh lalu tangannya patah. Katanya, "Kalau tergelincir, rebahlah di atas punggung, jangan tahan dengan tangan, nanti tulang patah." Tips yang berguna tu.


Di luar Ice and Snow World

Setelah puas berfantasi di Ice and Snow World, saya dan Yaniepun menanti van di tempat yang dijanjikan. Kami pulang ke hotel dengan rasa gembira dan penuh dengan kenangan indah. Alhamdulillah, kami semua sihat dan tidur lena pada malam yang dingin itu.

Besok kami akan mengembara melihat destinasi yang menarik di Haerbin. Oleh kerana Haerbin adalah bersempadan dengan Russia, maka ia menerima pengaruh Russia yang kuat. Kami akan melihat pengaruh-pengaruh Russia itu. Jadi teruslah mengikut Naramas Aman Backpack ke Kota Ais Haerbin dalam entri yang akan datang.

...bersambung

Baca sambungannya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (4)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (2)" DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1)" DI SINI

Jumaat, 1 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (2): Sun Island yang Dingin dan Penuh Skulptur Salji

Pagi kedua di Kota Ais Haerbin (Harbin) memberi semangat baru kepada saya dan kawan backpack saya Yanie. Ini kerana suasananya baru, dinginnya melampau, malamnya panjang dan siangnya pendek. Suhu paginya sekitar -20°C, tengahari pula -17°C dan malamnya suhu turun mendadak sehingga -30°C.

Setelah memakai pakaian yang tebal, berlapis-lapis, bersarung tangan tebal, bersarong kaki tebal dan berkasut boot yang bertapak mencengkam kami keluar untuk bersarapan di restoren halal di lorong kiri Hotel Green Tea. Jalan amat licin dan saya sangat berhati-hati berjalan takut tergelincir. Kadang-kadang tergelincir juga dan hampir jatuh. Yanie menyambut dan memegang saya. Ini disebabkan saya terpijak lantai yang dibuat daripada batu marmar. Jadi sejak itu, apabila berjalan, saya selalu memerhati ke bawah dan mengelak daripada terpijak lantai marmar.

Restoren halal berdekatan dengan Hotel Green Tea pada waktu pagi


Restoren itu sudah dibuka, tetapi kelihatan sunyi. Ketika itu sudah 8 pagi. Yanie masuk dan bertanyakan pemilik restoren itu,  "Sarapan dah siap?" Malangnya, mereka belum masak untuk sarapan dan mungkin lambat lagi.

Jadi kamipun kembali semula ke hotel dan membuat sarapan kami sendiri. Kami cuma bancuh kuah kacang dengan air panas dan makan dengan nasi impit yang telah direbus Yanie di rumahnya di Wudaokou pagi semalam. Oleh kerana cuaca amat sejuk, seperti tinggal di dalam peti ais, maka makanan tak basi walaupun sudah dimasak berminggu-minggu.


Ke Sun Island dan Cabarannya


Kami akan ke Sun Island pagi ini. Orang kata, kalau tak ke Sun Island, maknanya kita belum sampai di Haerbin lagi. Sun Island terletak di utara Sungai Songhua dan berkeluasan 38 meter persegi. Ia adalah resort percutian urban pada musim panas. Pada musim sejuk, Sun Island memamerkan salji yang telah dibentuk dan diukir dengan penuh kesenian. Ia menjadi tumpuan ramai dan sangat popular. Selain daripada melihat skulptur salji, kita boleh bermain ski, mengelusur di atas salji dan melihat keindahan taman dan gunung-ganang di situ.

Selepas sarapan di bilik hotel, kami berjalan kaki ke simpang jalan berdekatan hotel dan menahan teksi yang lalu-lalang. Ada yang tidak mahu berhenti. Ada yang sudah ada penumpang tetapi berhenti dan bertanya destinasi kami, sekiranya menuju hala yang sama maka mereka akan membawa kami pergi sekali. Teksi begini menggunakan meter. Tetapi ada juga teksi yang tidak menggunakan meter. Pemandu teksi begini menghampiri kami dan bertanya kami, tetapi mendengarkan bayaran yang mereka minta itu melampau sangat, jadi kami tolak. Biasanya mereka minta 400 yuan (RM200) sebab kita orang luar. Kaki songlap betul!

Setelah menahan dua tiga buah teksi, akhirnya berhentilah sebuah teksi bermeter. Yanie menunjukkan alamat destinasi kami iaitu Sun Island dalam tulisan China dan pemandu itu bersetuju membawa kami ke sana. Apabila kami duduk sahaja di dalam perut teksi, meternya menunjukkan angka 11 yuan. Perjalanan ke Sun Island tidaklah jauh, lebih kurang 15-20 minit. Apabila sampai, kami cuma bayar 20 yuan (RM10) sahaja mengikut meter. Ini membuatkan kami senyum.

Sesampainya di Sun Island, dinginnya amat terasa. Bibir dan hidung terasa terlalu sejuk dan kering. Saya tutup dengan mafela bulu. Tudung dan anak tudung saya pakai dua lapis, setokin 4 lapis dan sarung tangan dua lapis. Namun jari-jemari saya terasa membeku. Saya takut akan terkena "snow bite" atau ada yang memanggilnya "frost bite" dan ini boleh membahayakan kesihatan saya. "Snow/frost bite" ini boleh menjadikan darah tidak berjalan, urat saraf membeku, jari-jemari mati dan kita boleh tumbang.

Saya nampak penjual sarung tangan dan kasut boot untuk suhu melampau ini berniaga di luar pintu masuk Sun Island. Saya hendak membeli sarung tangan yang tebal dan sesuai untuk cuaca melampau ini. Yang saya tanyakan itu berharga 60 yuan (RM30). Mahal! Saya minta kurang tetapi peniaga itu enggan. Jadi saya beli jugalah walaupun tidak setuju dengan harganya. Yanie kemudiannya membeli kasut boot yang dijual di situ supaya dia tidak tergelincir.

Kami membeli tiket yang berharga 240 yuan (RM120) dan masuk ke dalam Sun Island. Yanie menunjukkan kad pelajar untuk mendapatkan harga diskaun tetapi tidak diterima. "Hanya untuk pelajar di Haerbin sahaja," kata penjual tiket itu. Hampa.


Jambatan, salji dan sungai beku di Sun Island. Gambar diambil dari sudut bawah jambatan di Sun Island


Di dalam kawasan Sun Island. Gambar diambil dari atas jambatan mengarah ke pintu masuk/keluar  Sun Island




Tidak jauh dari pintu masuk ada kenderaan yang boleh membawa kami masuk dengan bayaran 10 yuan (RM5) seorang. Kamipun naik. Cuaca yang amat sejuk itu membuatkan kami memilih jalan pintas. Naik dan duduk saja.

Masalah saya ialah saya memakai cermin mata, jadi apabila saya memakai mafela bulu untuk menutupi mulut dan hidung saya dari menjadi keras dan kering, wap mulut naik ke atas dan mengaburkan cermin mata saya, jadi saya tidak nampak apa-apapun. Saya sudah cuba lap beberapa kali, namun wap tetap menutupi cermin mata saya. Jadi saya give-up, dan tidak menutup mulut saya lagi. Apabila bibir saya rasa dingin semacam, barulah saya tutup dengan sarung tangan saya, kemudian lepaskan semula. Alangkah baiknya kalau saya beli sejenis spray yang boleh menahan wap pada cermin mata. Tapi sebelum ini saya tidak terfikir ia akan menjadi masalah pada saya.

Masalah saya lagi satu ialah untuk mengambil gambar. Oleh kerana sarung tangan terlalu tebal, nak petik kamerapun susah. Lensa kamera juga selalu berkabus dan kena dilap selalu. Dalam cuaca yang dingin melampau ini kamera juga mudah jam, jadi kena selalu disorokkan di dalam jaket. Ini dibuktikan apabila 30 minit saya mengambil gambar tanpa menyimpannya di dalam jaket, kamera Digital SLR saya sudah mula ditumbuhi ais dan berkaca-kaca pada lensa dan display screen. Saya rasa kamera SLR saya ini tidak akan panjang hayatnya kerana saya kurang menjaganya dengan baik.

Ketika ini barulah saya teringat, alangkah bagusnya kalau saya menggunakan barney blimp untuk membuat penggambaran ketika suhu dingin melampau. Barney blimp ialah sejenis sarung khas untuk membalut kamera filem supaya tidak beku dan malfunctioning ketika penggambaran di musim sejuk. Tetapi saya tidak membuat persediaan itu. Saya terlupa. Banyak makan semut kot...he..he..he. Saya pernah menggunakan barney blimp untuk melindungi kamera filem ketika membuat penggambaran di musim sejuk semasa saya di Amerika Syarikat dulu.


Keretapi dalam Sun Island

Semuanya Salji


Apabila kami sudah sampai ke dalam Sun Island, kami lihat banyak skulptur yang diukir dengan indah. Mata bertambah sejuk memandang. Nasib baiklah biji mata tak beku menjadi ais batu!

Beraneka bentuk skulptur salji di situ. Ada yang besar-besar. Ada yang tinggi-tinggi. Ada bentuk rumah-rumah tradisional. Ada bentuk watak-watak terkenal. Ada juga yang dipertandingkan. Ada juga dipamerkan sahaja.


Dunia filem Disney dalam bentuk salji

Dunia filem Disney dalam bentuk salji dari sudut kiri

Salji dibentuk dan diukir menjadi teddy bear dan watak-watak yang comel

Telaga lama salji

Rumah dan pokok salji


Ibu dan anak


Di dalam Sun Island juga terdapat Pusat Khidmat, tandas, kedai cendermata, gerai, tempat bermain ski, dog sled, ski scooter, gunung dan hutan. 

Sleddogs bersedia untuk menarik sesiapa saja dan mengelunsur di atas salji

Suasana di dalam Sun Island

Seronoknya dapat naik dog sled


Apabila saya merasa tangan saya semakin membeku dan risau akan terkena "snow/frost bite" maka saya masuk ke dalam sebuah bangunan Pusat Khidmat yang disediakan di situ. Di situ saya memanaskan tangan dan jari-jemari saya dengan pengering tangan yang terdapat di luar tandas. Di situ juga disediakan air halia panas dan diberikan percuma. Saya duduk berehat sehingga badan panas semula. Ketika ini Yanie masih lagi di luar dan sibuk mengambil gambar. Yanie masih muda remaja, jadi tenanganya lebih kuat dan segar. Tak macam saya yang hendak masuk kategori warga emas. Jadi sendiri mau ingat.


Matahari menyimbah skulptur topeng salji

Tangan salji

Putri Duyung bermain dengan ikan lumba-lumba di terumbu karang

Setelah badan dan jari-jemari serta kamera panas semula, saya  pergi ke bahagian belakang Sun Island itu. Saya lihat ada penari-penari sedang menari di atas salji. Wow! Mereka memakai kostium tradisional, props, topeng, solekan dan menari mengiringi muzik tradisional China. Mereka menari di atas salji yang lapang di hadapan sebuah skulptur salji besar berukiran wanita, ikan dan sampan. Ada juga pengunjung-pengunjung yang menari bersama mereka, mengambil gambar dan bebas mendekati mereka. Saya mendekati mereka untuk mengambil gambar. Penari-penari itu senang hati melihat saya mengambil gambar mereka dan sentiasa tersenyum.

Dayung sampan, dayung dayung sampan...
Lenggang lenggang kangkong, kangkong tepi perigi...

Ketika mengambil gambar dan merayau-rayau di Sun Island, saya bertemu dengan 3 orang pengembara dari Malaysia. Mereka tiga beranak dari Sintok, Kedah. Kamipun berkenalan dan bergambar. Kemudian kami pergi membeli fridge magnet. Fridge magnetnya berharga 10 yuan (RM5) sebuah. Tidaklah murah, tetapi saya beli juga 4 buah sebagai tanda ingatan.


Berteduh di hutan

Naga Sakti

Seruling Di Lembah Sunyi


Apabila puas melihat skulptur salji yang indah dan merasai kepayahan suhu dingin yang melampau, kamipun berjalan keluar dan menahan teksi. Teksi susah juga untuk dapat. Setelah berkali-kali menahannya lalu berhentilah sebuah teksi. Dia minta 50 yuan (RM25), kami setuju sahaja kerana kami sudah kesejukan. 


Makan Tengahari Yang Menyelerakan

 

Kami kemudiannya makan tengahari di resoten halal yang semalam dan pagi tadi kami kunjungi dan menikmati makan tengahari yang enak. Makanan itu ialah daging lembu masak kicap ala Muslim Haerbin. Ia dihidangkan di dalam kuali besi panas yang ditutupi dengan sejenis penutup seperti kulit popiah yang boleh dimakan. Ketika dihidangkan ia masih mendidih dan berasap-asap. Aromanya amat menyelerakan. Ia harus dimakan segera bersama nasi dan sup. Yumm!!!


Makanan dihidangkan panas-panas serta menggelegak di dalam kuali besi dan ditutup dengan sejenis kulit (tak tahu nama)

Apabila kulit itu dibuka, maka terserlahlah daging masak kicap yang menggelegak dan berasap.

Daging masak kicap yang dihiasi daun ketumbar ini menerbitkan aroma harum dan membangkit selera. Hmmm sedapnya.


Petang itu kami berehat di bilik. Sambil berehat saya terkenangkan seorang budak di Sun Island tadi, nyenyaknya dia tidur. Walaupun beratus-ratus orang lalu-lalang dan mengambil gambarnya, dia tetap tidur lena.

Nyenyaknya tidur..


Petang itu kami membuat persediaan untuk cabaran yang lebih hebat iaitu ke Ice and Snow World dengan suhu -30°C pada waktu malam. Kenapa nak pergi waktu malam? Bukankah malam lebih sejuk?

Ice and Snow World ini lebih indah pada waktu malam kerana lampu beraneka warna yang dinyalakan membiaskan cahaya gemerlapan melalui ais yang lutsinar dan menyerikan lagi taman itu.

Teruskan bersama Naramas Aman dengan kejutan demi kejutan di Ice and Snow World dengan suhu dingin melampau dalam entri yang akan datang.

...bersambung

Baca sambungannya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (3)"DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1) DI SINI