Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 28 September 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 5) : Beriktikaf di Masjid al-Haram

S ebenarnya agak sukar untuk saya menulis entri kali ini. Kalau ditulis lebih-lebih ia boleh menimbulkan riak. Saya ingin sekali mengelakkan perasaan itu. Namun memberi gambaran pengalaman berada di hadapan Kaabah boleh dijadikan panduan kepada mereka yang belum pernah ke sini tetapi mempunyai cita-cita untuk ke sini. Begitu juga kepada mereka yang pernah ke sini, tentu ada pengalaman yang hampir sama atau berbeza yang boleh dikongsi bersama. Saya harap entri kali ini tidak menimbulkan perasaan negatif terhadap saya. Ambillah perkara yang baik dari entri ini.

Liza dan keluarganya berkelah di ladang Syeikh Toriq di Jeddah. Syeikh Toriq memakai ketayap putih


Liza mengajak saya berkelah di ladang Syeikh Toriq di Jeddah. Hari ini saya tidak mahu ke mana-mana. Saya mahu beriktikaf di Masjid. Saya rasa masa kami berada di Mekah adalah terlalu singkat. Jadi saya ingin menghabiskan masa saya beribadat. Jadi pada hari itu Liza dan keluarganya ke ladang Syeikh Toriq manakala saya tinggal di Masjid al-Haram sehinggalah ke malam.

Dalam Masjid al-Haram


Hajarul Aswad oh Hajarul Aswad

 
Merenung dan menghadap Kaabah adalah ibadah. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :“Pada Kaabah itu ada 120 rahmat kepada pengunjungnya pada setiap hari, iaitu 60 untuk tawaf, 40 untuk solat sunat dan 20 untuk melihat Kaabah”


Di Masjid al-Haram saya berzikir, solat dan baca Quran. Saya juga berdoa mohon keampunan daripada segala dosa saya. Air mata tidak berhenti-henti menitis membasahi pipi. Saya merenung dan merenung Kaabah tanpa jemu-jemu. Mengenang kejahilan dulu air mata tidak dapat dibendung lagi. Saya malu pada Allah dengan kejahilan dan dosa-dosa saya terutama di zaman remaja saya.  "Ya Allah, ya Tuhanku, ampunilah dosa-dosaku sama ada yang kecil, yang besar, yang nyata dan yang tersembunyi." Berhamburan air mata saya lagi. Tanpa saya sedari gelagat saya diperhatikan. Seorang jemaah lelaki dari Pakisan yang berada hampir dengan saya menghulurkan tisu kepada saya. Saya menyambutnya dan mengesat pipi saya yang bercucuran air mata.

Kadang-kadang ada juga jemaah berbual-bual dengan saya dan meminta saya membacakan Quran untuk mereka dengar. Walaupun saya tidak fasih membaca Quran, saya baca juga dan mengharapkan mereka menegur kesilapan bacaan saya. Ada yang datang dari Turki. Ada dari Iran. Ada dari Pakistan. Saya kemudian duduk di tangga menghadap pintu Kaabah. Ketika saya merenung Kaabah saya melihat ribuan manusia mengelilinginya. Saya masih tidak nampak Hajarul Aswad. Dan tertanya-tanya di dalam hati, "Di mana Hajarul Aswad? Kenapa aku tak nampak? Mungkin Tuhan marah padaku kerana dosa-dosaku yang terlalu banyak? Ya Allah ampunilah dosaku. Ya, Allah berilah aku dapat melihat Hajarul Aswad." Saya merintih.

Tiba-tiba datang seorang wanita lalu duduk di atas anak tangga masjid bersebelahan saya. Katanya dia dari Pahang dan telah ke sini beberapa kali. Saya belajar sesuatu daripada wanita ini. Dia memberitahu saya bahagian-bahagian Kabaah seperti Multazam, Rukun Yamani, Hijir Ismail dan perkara-perkara lain tentang umrah. Saya mengambil kesempatan ini untuk bertanya kepadanya, "Mana Hajarul Aswad? Saya tak nampak?" Beliau memberi tahu saya, "Tu dekat dengan yang pakai uniform, yang berdiri pegang tali tu!" Dia menunding jari ke arah polis beruniform yang sedang memukul beberapa jemaah dengan tali pintalnya disebabkan mereka berebut-rebut untuk menyentuh Hajarul Aswad. Ada juga yang memanjat Hajarul Aswad. Dia memberitahu saya, "Mana nak nampak. Hajarul Aswad itu sentiasa ramai orang!" Barulah saya memahaminya. Saya tidak dapat melihat Hajarul Aswad disebabkan ia tidak pernah lepas daripada dikerumuni orang ramai.

Pengetahuan saya tentang haji dan umrah sudah terlalu lapuk iaitu semasa saya bersekolah menengah dulu. Beberapa bulan sebelum mengerjakan umrah saya cuma membaca buku, membaca di internet, mendengar CD dan memanggil guru Tajwid saya datang ke rumah untuk memberitahu saya cara-cara mengerjakan umrah. Tetapi hari ini saya dapat teori dan amali sekaligus. Barulah saya sedar banyak lagi hal-hal umrah yang masih cetek dari pengetahuan saya.


Tawaf, solat, berzikir, membaca quran, merenung Kaabah, bersedekah dan segala jenis ibadat di sini digandakan 100,000 kali ganda. Sebagaimana dijelaskan dalam sepotong hadis riwayat Ibnu Majah, maksudnya: "Satu solat di masjidku lebih baik daripada seribu solat di tempat lain kecuali Masjid al-Haram dan satu solat di  Masjid al-Haram lebih baik daripada seratus ribu solat di tempat lain."


Masuk ke Hijir Ismail


Setelah itu saya berjalan masuk ke Hijir Ismail. Alangkah gembiranya saya kerana dapat masuk ke situ. Ini ialah bahagian dalam Kaabah. Saya mencari tempat kosong di dalam Hijir Ismail yang sempit itu. Ia dipenuhi ramai jemaah. Semua berhimpit-himpit. Saya mencari dan mencari tempat untuk solat. Tetapi tidak ada. Semua dipenuhi manusia. Saya hanya mampu berdoa sahaja ketika itu. Tetapi tiba-tiba saya terlihat ada ruang yang kecil untuk saya solat. Saya segera solat dan berdoa. Ketika saya menadah tangan memohon doa dan mengangkat muka saya ke atas saya terlihat pancuran emas yang terdapat pada dinding Kaabah tepat di atas muka saya.

Saya memohon semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya dan meminta dijauhi dari api neraka. Berulang-ulang kali. "Allahuma ajirna minan nar. Allahuma ajirna minan nar." Saya menangis terisak-isak. Entah mengapa air mata terlalu murah ketika itu.

Bahagian yang dilengkungi batu itu ialah Hijr Ismail iaitu sebahagian daripada dalam Kaabah. Orang Quraisy telah meninggalkan bahagian ini di luar ketika membina semula Kaabah. (Disebabkan kekurangan dana maka ia tidak dapat diteruskan).



Hingga Ke Malam


Beriktikaf di Masjid al-Haram dari pagi hingga ke malam membuatkan saya merasa amat tenang. Saya sempat melakukan ibadat-ibadat lain, menyaksikan sendiri kehebatan Allah, mengenang sejarah pembinaan Kaabah dan memerhati umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia. Saya juga tidak jemu-jemu merenung Kaabah dan dapat menyaksikan keadaannya setiap waktu.

Kaabah semakin sesak menjelang senja dan hari Jumaat. Ramai yang mengambil peluang berbuka puasa dan solat jemaah. Imam tersohor seperti Sheikh Dr AbdurRahman bin Abdil Aziz al-Sudais dan Sheikh Mahir bin Hamd al-Mu'aiqli biasanya menjadi imam pada solat Maghrib dan Isya. MasyaAllah! Bacaan imam-imam ini amatlah bagus! Hati-hati mereka terlalu lembut! Imam-imam ini dengan mudah terharu dan menangis terisak-isak apabila membaca ayat-ayat suci Allah. Bergenang air mata saya mendengarkan bacaan mereka ini. Saya amat bersyukur kerana dapat menjadi makmum kepada imam-imam ini yang sebelum ini saya dengar suaranya dari CD sahaja.


Jemaah semakin bertambah ketika menunggu waktu Maghrib

Mereka yang berpuasa bersedia untuk berbuka

Beriktikaf di Masjid al-Haram (Tingkat 1) pada waktu malam

Berkata Imam al-Azraqi, "Bahawa Anas bin Malik r.a datang ke Kota Madinah, maka datanglah Umar bin Abdul Aziz kepadanya menanyakan, "Manakah yang lebih afdhal di antara tawaf dengan umrah untuk orang asing (pendatang ke Tanah Haram). Maka jawabnya, "Bahkan tawafnya (yang lebih afdhal)".

Pada malam Jumaat lebih ramai orang datang




Menyentuh Hajarul Aswad


Melihatkan orang ramai sentiasa mengerumuni Hajarul Aswad, saya merasakan ia agak mustahil bagi saya menyentuhnya. Tambahan pula kaum lelaki yang lebih mendominasi kawasan itu dan lebih berpeluang. Kekuatan tenaga mereka membuatkan mereka berjaya berasak-asak, menepis orang ramai dan menyentuhnya. Sebagai orang perempuan untuk berasak-asak di tempat itu tentu menggerunkan dan lebih menyusahkan diri sendiri.

Namun kuasa Allah kesemua kemustahilan itu boleh ditepis oleh-Nya. Sekiranya Allah menghendaki sesuatu itu berlaku maka ia akan terjadi. "Kun fayakun".

Rukun Hajarul Aswad ialah tempat permulaan  dan pengakhiran tawaf dan di situlah batu hitam dari syurga diletakkan oleh Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s. Mengucup Hajarul Aswad adalah sunat pada permulaan tawaf, jika mampu. Jika tidak mampu memadailah dengan istilam atau memberi isyarat dengan melambaikan tangan ke arahnya dari garisan penjurunya.



Keesokan harinya saya bersama anak Liza berjalan menghampiri Kaabah dengan tujuan untuk menyentuh Hajarul Aswad. Ketika itu hampir 3 petang. Orang terlalu ramai. Berdekatan dengan sudut Hajarul Aswad hanya ada orang lelaki. Polis dengan tali pintal di tangan berdiri di tepi Hajarul Aswad bersedia untuk memukul orang lelaki yang memanjat dan memijak Hajarul Aswad. Ada juga lelaki yang memanjat bahu-bahu jemaah dijadikan titi menuju ke Hajarul Aswad lalu berdiri di atas kepungan Hajarul Aswad itu. Jemah-jemaah yang dipijaki bahunya itu menjerit-jerit kemarahan dan mengucapkan kata-kata yang tidak sedap didengar kepada sipemanjat itu. Apalagi polis yang mengawal Hajarul Aswad itupun memalu-malu sipemanjat itu tadi dengan tali pintalnya. Namun sipemanjat itu berdegil tidak mahu turun.

Kami datang menghampir Hajarul Aswad dengan berjalan merapati sisi Kaabah. Pengawal itu melihat saya hampir ke situ. Melihatkan perempuan beliau lalu meminta orang lelaki ke tepi sedikit supaya memberi laluan kepada saya. Semua orang lelaki yang perasan saya perempuan terus ke tepi sedikit dan memberi laluan. Anak Liza pergi dahulu, saya mengekorinya. Tidak kami sangka dalam keadaan kaum lelaki penuh sesak mengerumuni Hajarul Aswad, kami berkesempatan menyentuh dan mengucup Hajarul Aswad. Batu kecil itu terletak agak jauh ke dalam. Ia diletakkan di dalam kepungan berbentuk bujur. Saya menyentuh batu itu dengan tangan saya. Untuk mengucupnya saya perlu menjengkek sedikit kerana kedudukannya agak tinggi. Sentuhan dan kucupan itu saya lakukan dalam masa yang pantas dan singkat. Ketika itu kami sudah berada di dalam kepungan orang ramai yang menanti giliran untuk menyentuh Hajarul Aswad selepas kami. Setelah berada di dalam kepungan orang ramai yang menanti giliran, tentunya sukar untuk keluar. Melihatkan saya terperangkap anak Liza menarik tangan saya keluar dari kepungan itu. Kamipun berjaya keluar. Sebaik-baik sahaja kami keluar orang ramai yang sudah menanti kami tadi menerpa ke arah Hajarul Aswad. Hilanglah Hajarul Aswad dari pandangan mata kami akibat terpaan orang ramai itu.

Kedua-dua kami tersenyum gembira kerana berjaya menyentuh dan mengucup batu yang didatangkan dari syurga itu.  Kesemuanya ini atas izin Allah. Syukur Alhamdulillah. 

 

Umrah Lagi

 

Mengambil van untuk ke Tanaim

Tapak kelahiran Nabi Muhammad SAW yang sentiasa dikunjungi


Pada  hari lain kami mengerjakan umrah lagi. Kalau sebelum ini miqatnya ialah di Bir Ali, kali ini ia terletak kira-kira 5 km dari kota Mekah iaitu Tanaim. Inilah miqat yang paling dekat. Untuk ke sana kami menahan van yang terdapat di kaki bukit, berhampiran dengan rumah kelahiran Rasulullah s.a.w. Terdapat beberapa buah van yang sudah sedia menunggu penumpang. Kamipun menghampiri mereka dan meminta dibawakan ke Tanaim. Sudah tentulah Zahari yang fasih berbahasa Arab Hami yang melakukan urusan dengan mereka. Setelah tawar-menawar kamipun naik. Tambangnya tidaklah mahal, kira-kira 5 rial seorang pergi balik.


Masjid Tanaem

Perjalanan tidaklah jauh. Kira-kira 20 minit kamipun sampai. Pemandunya berjanji untuk menunggu kami di luar Masjid Tanaim untuk mengambil kami pulang.

Kamipun masuk ke Masjid Tanaim. Orang ramai di dalam masjid tetapi masih ada banyak ruang untuk solat. Setelah solat kamipun berniat ihram.

Setelah itu kami pergi mencari van yang berjanji menanti kami tadi. Banyak van terdapat di tepi jalan yang menyebut "Haram"! "Haram!" Tentu ada yang  menyangka pemandu itu tidak membenarkan orang menaiki vannya. Yang  sebenarnya ia bermaksud mereka hendak ke Masjid al-Haram. 

Tidak lama kemudian kamipun berjumpa dengan van yang kami naiki tadi. Kami menaiki bersama penumpang lain. Antaranya ialah beberapa orang Bangladesh yang bekerja di Mekah dan pernah juga bekerja di Malaysia. Mereka bercakap Melayu dengan kami.

Di dalam van kami bertalbiah.

Pekan di Tanaim


Kami masuk ke Masjid al-Haram dan menuju ke Kaabah. Sekali lagi kami melakukan tawaf 7 keliling, solat sunat tawaf, minum air zam-zam, bersaie dan bertahalul.

Disunatkan seseorang yang telah selesai tawafnya agar melakukan dua rakaat sunat tawaf di belakang makam Nabi Ibrahim, berdasarkan kepada riwayat Jabir r.a yang bermaksud: "Sesungguhnya Rasulullah SAW tawaf di Baitullah tujuh pusingan dan solat di belakang Maqam Ibrahim dua rakaat" (Hadis Riwayat Muslim). Di dalam gambar sangkar emas itu ialah makam Nabi Ibrahim

Berjalan dari Safa ke Marwa

Menuruni Bukit Marwa

Berlari-lari anak bagi lelaki apabila sampai di kawasan berlampu hijau. Orang perempuan tidak perlu berlari-lari anak.

Berjalan ke Bukit Safa

Tidak ramai orang di tingkat atas kawasan saie

Berdoa di atas batu di Bukit Marwa sambil menghadap Qiblat.

Bertahalul di atas Bukit Marwa. Sesunggunya Nabi SAW berkata kepada orang Ansar, "Adapun engkau mencukur rambutmu, maka bagi engkau setiap rambut yang engkau cukur satu hasanah (pahala) dan dihapuskan dengan setiap helai satu dosa. (Hadis riwayat Razar dan Thabrani dan Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya)



Sabda Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan sanad yang sahih daripada Aisyah r.a. katanya: Aku berkata: "Wahai Rasullah, apakah wanita wajib berjihad?" Sabda Baginda: "Ya, jihad yang tiada peperangan padanya iaitu haji dan umrah".

...bersambung

Sabtu, 21 September 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 4): Orang Melayu Mekah

S etelah dua hari berada di kota Mekah, kami sudah banyak makan makanan Arab. Puas. Kami juga terima undangan tidak putus-putus dari penduduk Mekah. Mereka orang Melayu yang dilahirkan di Mekah. Ibubapa mereka telah berhijrah ke Mekah bertahun-tahun lamanya dan menetap di situ. Walaupun mereka dilahirkan dan dibesarkan di Mekah tetapi masih pandai bertutur dalam bahasa Melayu. 

Salah seorang daripada mereka ialah Mashitah. Mashitah tinggal di atas bukit betul-betul di hadapan Masjid al-Haram yang menghala ke Babus Salam, juga tidak berjauhan dari rumah kelahiran Rasulullah SAW. Rumah mereka adalah rumah tradisional Arab yang dibuat  daripada batu-batu kasar. Mashitah adalah kawan Liza yang dikenali semasa Mashitah berkunjung ke Malaysia.


Rumah-rumah tradisional Arab di atas bukit berhadapan Masjid al-Haram. Gambar ini diambil dari pintu berdekatan Babus Salam



Mendaki Anak-anak Tangga ke Rumah Tradisional Arab


Untuk ke rumah Mashitah kami perlu mendaki bukit yang tinggi. Kami terpaksa mendaki puluh-puluh anak tangga kecil dan kasar. Kami tercungap-cungap menaiki anak-anak tangga itu. Peluh meleleh-leleh di badan kami. Kami kagum dengan kegigihan Mashitah yang setiap hari naik-turun tangga ini. Mashitah menjalankan perniagaan makanan (catering) di rumahnya dengan memasak untuk jemaah haji dan umrah. Disamping itu Mashitah menjahit pakaian dan telekung untuk dijual.

Mendaki anak-anak tangga ke rumah tradisional Arab. Gambar diambil dengan menggunakan telefon bimbit.


Ketika melalui rumah tradisional Arab ini, saya teringatkan kawan saya semasa saya menuntut di Amerika Syarikat dahulu. Dia seorang Melayu-Patani tetapi dilahirkan di Mekah. Menurutnya dia tinggal berdekatan dengan Masjid al-Haram. Saya mencari kawan saya itu, tetapi menurut Mashitah mereka sudah berpindah ke tempat yang lain jauh dari kota Mekah. Ini disebabkan oleh semua orang yang tinggal di rumah tradisional berdekatan dengan kawasan Masjid al-Haram diminta pindah dan rumah mereka ini akan dirobohkan. Tidak lama lagi rumah Mashitah ini juga akan dirobohkan. (Ketika  ini tahun 2010).

Pada kunjungan saya pada tahun 2013, semua rumah tradisional Arab di atas bukit ini habis dirobohkan. Terasa sayang dan sayu kerana saya pernah mengunjungi rumah ini tetapi kini ia hanya tinggal debu.

Setiap pagi kami mendaki anak-anak tangga ini untuk bersarapan cara Melayu di rumah Mashitah orang Melayu Mekah. Gambar diambil menggunakan telefon bimbit.



Sarapan Nasi Lemak di Rumah Tradisional Arab Milik Orang Melayu Mekah


Apabila sampai di rumah Mashitah, kami dihidangkan dengan masakan Melayu yang enak: nasi lemak, timun, sambal, telur rebus, kacang goreng dan ikan bilis goreng. Saya tidak lupa akan keenakan masakannya. Sejak itu kami ke rumah Mashitah setiap pagi untuk menikmati sarapan nasi lemak Melayu di rumah tradisional Arab Mekah.

Teringat pula saya pada salah satu daripada peristiwa ketika bersarapan di situ. Ketika itu saya berada di dalam ihram. Saya memasuki tandas di rumah Mashitah. Ketika itu saya nampak terlalu banyak semut dalam tandas itu. Saya lalu menjirus air supaya semut-semut itu jatuh ke dalam lubang tandas dan mudahlah saya untuk buang air. Setelah saya keluar, saya teringat yang saya berada dalam ihram. "Alamak! Saya dah buatkan semut-semut itu lemas dan mati! Saya dah bunuh semut! Saya dalam ihram." Saya mula menyesal dan risau. Membunuh binatang adalah larangan dalam ihram. Saya fikir saya sudah melanggar pantang larang dalam ihram dan berdosa. Saya bertanya kepada Zahari dan Liza. Ketika itu semua tidak pasti. Lalu Zahari menelefon pensyarahnya yang berada di Universiti Madinah. Tetapi pensyarah Zahari tidak menjawab telefon ketika itu. Ini membuatkan saya bertambah risau. Seharian saya risau.

Keesokan harinya barulah kami dapat jawapan dari pensyarah Zahari bahawa ia bukan satu kesalahan. "Membunuh serangga seperti semut dibolehkan dalam ihram kerana kita tidak makan semut. Cuma kita dilarang membunuh bintang yang boleh dimakan seperti ayam atau kambing, " kata Zahari menyampaikan penjelasan pensyarahnya. Fuhh! Barulah saya lega. Maklumlah saya belum biasa mengerjakan umrah, ilmu tentang umrah belum cukup lagi.


Di hadapan pintu rumah Mashitah. Gambar diambil menggunakan telefon bimbit

Menerima Undangan Makan Malam di Rumah Orang Melayu Mekah 


Kami juga banyak menerima undangan makan di rumah orang Melayu Mekah. Semasa kami di Mekah ini musim panas. Cuaca sangat panas di siang hari dan sejuk pada waktu malam. Orang Mekah kurang menjalankan aktiviti mereka di luar rumah pada siang hari tetapi lebih aktif pada malam hari.

Kami dilayan oleh orang Melayu Mekah di rumah mereka


Undangan makan malam di Mekah biasanya dilakukan selepas solat isyak iaitu selepas 10 malam. Apabila kami sampai di rumah mereka, jam sudah menunjukkan pukul 11.00 malam. Setelah duduk, berbual-bual dan minum-minum dahulu barulah kami diajak menyantap makan malam yang enak. Ketika itu sudah pukul 12.00 tengah malam.  Pada pukul 1.00 pagi barulah kami pulang ke apartment kami. Keadaan begini agak ganjil bagi kita di Malaysia, tetapi ia adalah perkara biasa bagi penduduk Mekah.

Makan malam di rumah orang Melayu Mekah pada pukul 12 malam.


Orang Melayu Mekah kebiasaannya tinggal sekeluarga beramai-ramai. Mereka berhijrah ke Mekah pada tahun 1970-an dan menetap di sana. Anak-anak mereka dilahirkan di Mekah, bersekolah di sana dan berpakaian seperti orang Arab. Namun mereka masih mengamalkan budaya Melayu serta bertutur dalam bahasa Melayu di rumah. Walaupun begitu ada juga orang Melayu yang dilahirkan di Mekah yang tidak tahu berbahasa Melayu. 

Kebanyakan orang Melayu Mekah menjalankan perniagaan dan bekerja di pejabat kerajaan Arab. Wanita tidak dibenarkan bekerja, memandu kereta dan keluar rumah bersendirian. Sekiranya seorang wanita itu menjadi ibu tunggal pergerakannya agak sukar kerana ia harus menunggu saudara lelakinya menemaninya. Sekiranya dia mempunyai anak lelaki, anak lelakinya dibenarkan memandu kereta untuk membawa ibunya walaupun ketika itu anak lelakinya itu baru berumur 10 tahun. Saya pernah melihat kanak-kanak lelaki yang berusia kira-kira 10-12 tahun memandu kereta di kota Mekah. 

Orang Melayu Mekah kebiasaannya mencari pasangan hidup dari kalangan orang Melayu juga dan kurang berminat untuk memilih orang Arab. "Orang Melayu lebih bersifat lemah lembut berbanding dengan orang Arab," kata sepupu Liza yang dilahirkan dan dibesarkan di Mekah.

Ikutilah kisah Naramas Aman Backpack ke Madinah dan Mekah dalam entri akan datang. Ada lagi kisah menarik yang bakal menanti.

...bersambung


Rabu, 11 September 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 3): Baitullah Oh Baitullah, Ku Sampai Jua

P emanduan kereta kami dari Madinah lancar. Kami sampai di sebuah bandar. Saya yakin ini ialah Mekah. "Dah sampai Mekah ke?" tanya saya. Liza angguk. Hati saya amat berdebar-debar apabila melihat kota Mekah. Bangunannya tinggi-tinggi dan rapat-rapat. Perasaan gembira berbaur dengan degupan jantung yang kencang tidak dapat dirungkaikan dengan kata-kata. Saya dan Liza pun menadah tangan membaca doa tatkala melihat kota Mekah al-Mukarramah.

Kota Mekah


Zahari terus memandu kereta milik Syeikh Toriq ahli perniagaan Jeddah. Kami tidak perlu membayar apa-apa kepada Syeikh Toriq kerana menggunakan keretanya itu. Kemudian kami melalui terowong dan flyover serta kesesakan jalanraya. Kami melalui perkuburan Ma'la. "Di sinilah bersemadinya Siti Khadijah isteri Rasulullah SAW," beritahu Liza. Kami menuju ke tempat penginapan. Letaknya di atas sebuah bukit.


Menginap di Apartment Milik Syeikh Toriq


Tidak lama kemudian kami pun sampai ke tempat penginapan kami. Ia adalah sebuah apartment yang tingginya kira-kira 20 tingkat. Kawasan apartment itu amat sunyi. Jarang sekali kami nampak orang di kawasan apartment itu. Cuma ada seorang pengawal keselamatan yang tinggal di tingkat bawah. Apartment ini milik Syeikh Toriq. Syeikh Toriq memberi kami tinggal di apartmentnya ini dengan percuma selama kami berada di Mekah. Menurut Liza, "Pada musim haji apartment ini disewakan dengan harga 1,000 rial (lebih kurang RM840-900) sehari." Sungguh mulia hati Syeikh Toriq kerana segala perbelanjaan pengangkutan dan penginapan yang mahal di Mekah itu dibiayai olehnya.

Kami masuk dan melihat di dalam apartment itu. Ada tiga bilik, dua bilik mandi dan dapur berserta dengan peti sejuk. Tiada ruang tamu. Saya ambil bilik di tengah yang mempunyai dua buah katil bujang. Bilik ini mempunyai tingkap dan dari tingkap ini saya dapat melihat menara Masjid al-Haram.

Menara Masjid al-Haram dari tingkap apartment Syeikh Toriq


Oleh kerana kami sampai dari Madinah sudah hampir tengah malam kamipun tidur. Kami masih lagi dalam ihram. Kami bercadang untuk melakukan tawaf pada keesokan paginya.



Ke Masjid al-Haram


Menara Masjid al-Haram yang bercahaya  menggamit saya ke sana. Gambar diambil dari tingkap apartment Syeikh Toriq



Kira-kira pukul 3.30 pagi saya bangun, mandi dan mengambil wudhu. Saya ingat saya masih dalam ihram. Saya sentiasa memerhati bantal dan lantai untuk melihat rambut saya yang gugur. "Tetapi kalau rambut itu gugur dengan sengaja secara semulajadi tidak mengapa, jangan sengaja menarik rambut," kata Liza.

Sebentar lagi subuh akan masuk. Saya teruja untuk ke masjid. Tetapi yang lainnya kepenatan kerana perjalanan yang jauh semalam. Kaki Zahari kebas-kebas. Liza pula rasa nak demam. Alhamdulillah saya rasa ok. Tapi hendak ke masjid bersendirian adalah merbahaya bagi orang perempuan. Mahu tidak mahu saya perlu menunggu semua orang segar semula. Solat subuh di bilik sahaja.

Menuruni Bukit ke Masjid al-Haram


Menara Masjid al-Haram dan kota Mekah pada waktu pagi dari tingkap apartment yang diduduki penulis

Setelah hari siang dan pagi masih awal kami semua bersiap untuk mengerjakan tawaf dan saie. Kami menuruni bukit dan melalui terowong untuk ke Masjid al-Haram.

Kira-kira 15 minit kami berjalan kaki kamipun sampai di kawasan Masjid al-Haram. Itulah pertama kali saya melihat Masjid al-Haram yang selama ini saya dengar dan lihat di dalam gambar sahaja. Ia kelihatan sangat besar dan bersih. Hati saya sangat gembira tetapi masih berdebar-debar kerana saya belum lagi masuk ke dalam dan melihat Kaabah. Saya pernah mendengar ada orang yang tidak dapat melihat Kaabah walaupun sudah berada di hadapannya. Saya memohon kepada Allah supaya Allah membenarkan saya berada di hadapan Kaabah dan melihatnya. "Ya Allah, izinkanlah aku melihat rumah-Mu. Izinkanlah."

Masjid al-Haram dari arah bukit menghala ke Babus Salam


Masjidil Haram dari luar


Kamipun masuk ke dalam masjid mengikut pintu Babus Salam lalu meletakkan kasut di dalam rak kasut. Orang ramai di dalam masjid. Kemudian saya bergerak ke hadapan. Terus saya nampak Kaabah. Kaabah! Ia adalah sebuah binaan empat segi yang dibaluti dengan kelambu berwarna hitam pekat dan disulami dengan benang emas. Bersih. Kukuh. "Allahu Akbar. Allahu Akbar!" Alhamdulillah saya telah dapat melihat Kaabah. Saya dan Liza terus menadah tangan membaca doa melihat Kaabah.



Manusia tidak putus-putus mendekati Baitullah



Tawaf Keliling Kaabah


"Ibadah utama ketika masuk ke dalam Masjid al-Haram ialah mengerjakan tawaf. Bukan solat sunat tahyatul masjid." Saya teringat kembali pesanan guru tajwid saya ini ketika mengajar saya cara-cara mengerjakan umrah seminggu sebelum saya berangkat ke tanah suci.

Kamipun berniat mengerjakan tawaf tujuh keliling lalu segera bertawaf. Liza memegang tangan saya dan memastikan saya tidak terlalu hampir dengan Kaabah kerana kalau tersentuh saya perlu bayar dam. Ini disebabkan kelambu Kaabah telah disapu minyak wangi. Memakai bau-bauan adalah salah satu daripada pantang larang dalam ihram.

Dalam kesesakan orang ramai itu kami berjalan perlahan-lahan mengelilingi Kaabah, berzikir dan berdoa sambil memastikan wudhu terpelihara dan bilangan mengelilingi Kaabah cukup 7. Sambil tawaf itu saya dapat melihat pintu Kaabah, makam Nabi Ibrahim dan bekas tapak kakinya. Saya beristilam setiap kali sampai di penjuru Hajarul Aswad. Namun sepanjang saya bertawaf itu saya tidak nampak batu Hajarul Aswad itu. Orang terlalu ramai.

Kami berjalan dengan langkah yang kecil dan perlahan disebabkan kawasan tawaf itu sudah penuh dan berhimpit-himpit dengan jemaah dari pelbagai pelusuk dunia. Pelbagai saiz dan warna kulit. Ada yang berdua-duaan. Ada juga yang bersendirian. Ada yang menjunjung anak di bahu. Ada yang berkerusi roda. Tidak kurang juga yang berpimpin tangan, memaut bahu pasangan dan mencangkuk lengan masing-masing. Ada yang berzikir perlahan-lahan. Ada yang berkumpulan dan membaca zikir dengan kuat dan serentak. Kadang-kadang membuat saya tersasul-sasul membaca doa dalam bahasa Arab. Walau apapun ragam mereka, mereka tetap tawaf mengikut arah lawan jam. Bertahlil. Bertahmid. Saya memuji kebesaran Allah. Memohon keampunan dan kebebasan dari azab api neraka.

Ketika itu musim panas. Suhu boleh mencecah sehingga 48 darjah celsius. Suhu ini dapat saya saksikan di sebuah jangkasuhu besar yang diletakkan tidak jauh dari tempat menginap saya. Walaupun hari masih pagi, bahang matahari sudah mula terasa. Matahari panas terik. Orang pula penuh sesak. Tapi ajaibnya, saya tidak rasa kepanasan itu. Di suatu penjuru di Rukun Iraqi, saya terasa sejuk. Angin meniup-niup ke arah saya. Saya perhatikan di langit dan meninjau dari mana datangnya angin itu. Langit terang dengan cahaya matahari. Saya renung ke masjid. Saya renung ke Kaabah. Dari manakah datangnya angin segar itu? Cuaca panas terik, tapi anginnya sejuk. Kedinginannya amat menyenangkan. Nyaman sekali rasanya. Kenyamanan ini saya rasai setiap kali saya lalu di situ. Subhanallah.

Saya amat terharu. Allah masih menerima saya di sana dan memberi peluang kepada saya walaupun saya adalah seorang manusia yang penuh dosa. Air mata menitis membasahi pipi tanpa saya sedari.



Kaabah sentiasa dikerumuni manusia


Solat Sunat Tawaf dan Minum Air Zam-zam


Selesai bertawaf kami solat sunat tawaf dua rakaat di belakang makam Nabi Ibrahim a.s. dan berdoa. Setelah itu kami minum air zam-zam yang terdapat dengan banyak di tepi tangga masjid. "Sebelum minum mohon doa supaya kita tidak dahaga di padang mahsyar nanti, disembuhkan penyakit dan dibersihkan hati," pesan Liza.

Tekak saya amat sejuk dan nyaman setelah meminum air zam-zam iaitu air yang terbaik sekali yang telah dijadikan Allah di mukabumi ini.

Sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud:
“Air zam zam itu penuh berkat. Ia makanan yang mengenyangkan (dan ubat bagi merawat penyakit).” (Hadis riwayat Muslim)

Kenangan di hadapan Kaabah



Saie


Kami kemudiannya menuju ke Bukit Safa yang tidak jauh dari situ untuk mengerjakan saie. Kami menghadap Kabaah yang kelihatan dari Bukit Safa lalu berniat dan berdoa untuk mengerjakan saie.

“Sesungguhnya Safa dan Marwah itu adalah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah. Maka sesiapa yang menunaikan ibadat haji ke Baitullah atau melaksanakan umrah, maka tiadalah menjadi salah ia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara kedua-duanya. Dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebaikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Baqarah: 158)

Dari Safa saya berjalan ke Marwa. Apabila nampak lampu hijau saya berdoa. Sampai di Marwa saya berdoa dan kembali semula ke Safa. Begitulah saya ulang sehingga 7 kali. Terasa penat kerana ia agak jauh. Kira-kira 3 km. Liza berjalan lebih pantas daripada saya dan telah meninggalkan saya. Saya terus berjalan dengan perlahan-lahan. Ketika inilah saya membayangkan kepayahan yang dialami oleh Siti Hajar semasa mencari air di tengah ketandusan padang pasir untuk anaknya Nabi Ismail a.s. yang menangis kehausan. Hentakan kaki Nabi Ismail a.s yang menangis kehausan itu akhirnya menyebabkan air terpancut keluar dari dalam bumi. Air ini dikenali dengan air zam-zam yang tidak kering-kering sehingga ke hari ini. Teladan yang saya pelajari dari kisah ini ialah kegigihan seorang wanita solehah dan melambangkan martabat wanita adalah tinggi dalam Islam.

Saya selesai saie di Marwa. Saya berdoa memohon Allah menerima ibadat umrah saya. Dengan berhati-hati saya menggunting sedikit rambut saya di balik tudung saya tanpa dilihat rambut saya oleh sesiapa. Selesailah umrah pertama saya. Gembiranya saya.

Menuruni Bukit Marwa ke Safa


Berjalan ke Bukit Safa

Lorong untuk kerusi roda di  kawsan Saie

Sunat untuk berlari-lari anak bagi kaum lelaki ketika melalui lampu hijau

Air zam-zam disediakan di kawasan saie

Solat dan berdoa di Marwa



Bertahalul (Bergunting/Bercukur)



Wanita-wanita bertahalul di Bukit Marwa selepas selesai saie
Ada juga kaum lelaki bertahalul di kawasan lapang di luar kawasan Saie

Penulis (paling kiri) bersama Liza duduk berehat di Bukit Marwa selepas kepenatan mengerjakan saie.


Mencari Sarapan


Penulis (di belakang sekali) berjalan menuju ke kedai makan di kota Mekah


Selesai mengerjakan umrah kami rasa lapar kerana belum bersarapan. Kamipun berjalan kaki menuju ke kedai makan. Kedai makan ini menyediakan roti Arab dengan kari kambing.  Kamipun makan dengan penuh berselera.

Setelah mengisi perut kami pulang semula ke aparment Syeikh Toriq berjalan kaki. Sepanjang berjalan kaki kami dapat melihat bukit-bukit batu pejal dan rumah tradisional Arab. Kami melalui rumah kelahiran Rasulullah SAW untuk sampai ke apartment Syeikh Toriq. Di belakang rumah kelahiran Rasulullah SAW ada terowong. Kami pun lalui terowong itu ke apartment. Di apartment kami berehat.

Bangunan putih di tengah-tengah itu adalah rumah kelahiran Rasulullah SAW. Rumah kelahiran Rasulullah SAW ini kami lalui untuk pulang ke apartment.

Berjalan melalui terowong pulang ke apartment

Apartment milik Syeikh Toriq di sebelah kiri jalan


Setelah berehat di siang hari, kami ke Masjid al-Haram lagi untuk solat zohor dan asar. Begitulah seterusnya kami pulang ke apartment berehat, kemudian datang semula ke Masjid al-Haram untuk solat maghrib dan isyak.


Masjid al-Haram dari Safwan Mall pada waktu malam



Hati saya amat tenang apabila berada di Masjid al-Haram. Pasrah di hadapan Kaabah adalah satu keindahan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Air mata saya menitis setitis demi setitis mengenangkan dosa yang telah banyak saya lakukan."Astaghfirullah al-azim.Ya Allah ampunilah dosa-dosaku. Aku bertaubat padaMu."

...bersambung