Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 9 September 2016

10 Tempat Makan Sedap di Ipoh

K alau anda ke Ipoh apakah yang ingin anda cari? Limau Bali? Kacang tanah Mengelembu? Gua Batu kapur? Cafe Hipster?

Kalau perut sudah berkeroncong, makanlah yang paling menjadi keutamaan, kan? Tapi yang mana satu yang sedapnya? 

Kali ini saya ingin mengajak anda ke tempat-tempat makan kegemaran saya dan keluarga saya di Ipoh, Perak. Juga, sebagaimana entri-entri tentang tempat makan sedap-sedap yang lepas, saya tidak dibayar atau disogok untuk mengiklankan tempat-tempat makan ini. Ini hanyalah tempat makan kegemaran keluarga saya.


1. Mee Rebus Ramli


Mee Rebus Ramli cukup popular. Kalau anda ke Ipoh pasti anda tak mahu ketinggalan memakan makanan  ini. Ia adalah resepi istimewa yang telah lama bertapak di Ipoh. "Betul-betul Ipoh Mali!"

Terdapat 3 restoren Mee Rebus Ramli. Iaitu di Taman Tasek Jaya, Jalan Raja Ekram dan Taman Bercham Raya.

Yang sering saya kunjungi ialah di Taman Tasek Jaya, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh. Senang saja untuk mengunjunginya kerana ia jelas kelihatan di tepi jalan raya utama. Ia juga tidak berjauhan dengan Masjid Cina, Ipoh.

Sangat sedap meenya...tak sedar licin dah pinggan......

Mee Rebus Ramli yang pekat kuahnya. Ia sarat dengan cucur gebu dan telur rebus ...nyumm....

Restoren Mee Rebus Ramli ini letaknya di Tasek (Jalan Kuala Kangsar) Ipoh

2. Tom Yam Sri Okid


Tidak berjauhan dengan restoren Mee Rebus Ramli di Jalan Kuala Kangsar terdapat sebuah gerai tom yam yang menjual makanan Thai yang sedap-sedap. Antaranya: Ikan Siakap 3 Rasa, Tomyam Seafood,Tomyam Poktek, Siakap Stim Limau, Bawal Pedas, Ikan Masak Masam Manis, Ikan Masak Kicap, Ikan Masak Merah, Ikan Masak Halia, Nasi Paprik, Sotong Goreng Tepung dan macam-macam lagi jenis makanan Thai yang sedap-sedap.

Tom Yam Sri Okid ini terletak di simpang jalan di antara Jalan Kuala Kangsar dan Jalan Kelebang Selatan. Kalau anda datang dari Plaza Tol Jelapang iaitu terletak selepas Pizza Hut dan Peladang dan sebelum sampai ke AEON Mall Klebang. Di seberang jalannya (sebelah kanan jalan) terdapat Eastern Decorator.

Kedai ini beroperasi pada pukul 7.00 malam sehingga 3.00 pagi. Orang sentiasa ramai di kedai ini terutama selepas maghrib.


Macam-macam pilihan yang segar di sini

Udang celup tepung menjadi kegemaran kami. Manakala sambal belacan dan ulam timun diberikan percuma

Siakap Stim menjadi kemestian kami setiap kali makan di sini. Rasanya yang pedas-pedas, masam-masam manis ini membuatkan ia licin dalam sekelip mata.

Tomyam putih

Macam-macam jenis mee ada di sini


3. Tomyam Rizwan


Masakan Siam yang dimasak oleh tukang masak dari Selatan Thailand yang telah berhijrah di tanahair kita terdapat dengan banyak di Ipoh. Salah sebuah yang menjadi kegemaran saya dan suami ialah di Tomyam Rizuan yang letaknya di Taman Klebang Putra, Jalan Putra, Chemor, Perak.

Di sini kami suka makan Ikan Siakap Stim, Telur Dadar, Kailan Goreng dan Sup Ekor. Menu lain boleh didapati di sini ialah Tomyam Poktek, Udang Goreng Tepung, Ayam Masak Paprik, Kerabu Mangga, Somtam, Ikan Masak Tiga Rasa, Nasi Pattaya dan macam-macam lagi.

Waktu perniagaan: Setiap hari, 4.00 ptg-10.00 malam.

Kailan Goreng, Telur Dadar, Sup Ekor dan nasi putih di Rizwan Tom Yam

Ikan Siakap Stim yang enak!

4. Tomyam Aliesha


Tomyam Aliesha di Meru, Ipoh menjadi kegemaran keluarga saya. Kalau kami datang sekeluarga, kami tempah 5-6 meja kerana keluarga kami besar. Antara masakan kegemaran kami ialah Ayam Gajus, Tomyam Poktek, Ikan Tiga Rasa, Pulut Mangga, Somtam, Nasi Padprik dan macam-macam lagi. Tukang masak dan pekerja-pekerja restoren ini semuanya dari Selatan Thailand.

Baru-baru ini Restoren Aliesha Seafood telah menambah menu makanannya di atas permintaan ramai pelanggan. Antaranya ialah nasi bubur, chicken chop dan makanan barat lain.

Restoren ini luas dan selesa. Anda boleh pilih untuk duduk di dalam bilik yang berhawa dingin atau di luar. Saya dan suami saya suka ke restoren ini kerana makanannya sedap dan tuan punya restoren ini sangat peramah. Apabila kami sampai tuan punya restoren ini suami isteri pasti menyambut kami dan bersalaman dengan kami. Kadang-kadang mereka duduk semeja dengan kami, berbual-bual dengan kami sambil menemani kami makan.

Restoren ini dibuka pada pukul 6.00 petang hingga 3.00 pagi.

Saya pernah menulis entri tentang restoren ini. Anda boleh mengimbas kembali tentang restoren ini DI SINI


Tomyam Poktek ini paling sedap


Ikan 3 Rasa pun sedap


Ayam Gajus ini kegemaran saya



5. Tomyam Kelapa Awina


Pernahkah anda makan Tomyam Kelapa? Tomyam Kelapa yang pertama kali saya makan ialah di Restoren Awina Tomyam di Ulu Kinta, Ipoh. Tomyam ini sangat sedap rasanya. Dalam mangkuk tomyam ini diisi dengan makanan laut, seperti udang, sotong dan ikan, sayur-sayuran dan isi kelapa yang dipotong-potong dalam bentuk persegi kecil. Kuahnya ada rasa masam-masam-manis, kemanisannya itu terbit dari air buah kelapa yang dijadikan kuahnya. Setelah sekali mencubanya terasa sangat keenakannya, saya hendak mengulanginya lagi. Kalau boleh,  ia disediakan dalam buah kelapa, tentu lebih membangkitkan selera.

Makan sekali nak lagi...itulah keenakan Tomyam Kelapa Awina.


Tomyam Kelapa Awina yang diisi dengan kepingan isi kelapa, sotong, ikan, udang dan sayur-sayuran.

Restoren Awina letaknya di pinggir jalanraya

6. Mee Kicap Daud Mat Jasak


Mee Kicap juga popular di Ipoh. Mee Kicap yang istimewa yang menjadi kegemaran saya dan suami ialah Mee Daud Mat Jasak, yang letaknya di Jalan Datuk Onn Jaafar.

Mee Kicapnya istimewa kerana ia direbus dengan kuah yang dicampur dengan bebola ikan. Kita boleh pilih bebola ikan kegemaran kita. Ia dihidangkan secara berasingan, dan terpulang kepada kita untuk makan dengan cara tersendiri.

Mee Kicap Daud Mat Jasak memang asli rasanya. Tak dapat rasa yang macam ini di tempat lain. "Betul-betul Ipoh Mali!"

Selain daripada Mee Kicap, terdapat Mee Goreng, Sotong Kangkong, Nasi Lemak dan macam-macam lagi.

Pada kunjungan saya baru-baru ini iaitu pada hari Jumaat, pelanggan boleh mendapatkan bubur gandum secara percuma. Ceduk saja bubur itu dengan sendiri dan makanlah sebanyak mana yang anda suka! Sedapnya!!!!

Waktu perniagaan: Isnin-Sabtu 8.00 pagi- 10.00 malam.



Warong Mee Daud Mat Jasak ini di tepi jalan aje...tapi apabila kita duduk makan...hmm tak mahu bangkit-bangkit

Mee dan sayur-sayur di dalam pinggan berasingan. Bebola ikan dan fish cake pilihan kita di dalam mangkuk yang lain.


Suami saya satukan mee, sayur-sayuran dan bebola ikan itu ke dalam satu mangkuk

Ini mee kicap pilihan saya

Ceduk sendiri bubur gandum yang diberi percuma ini



7. Sup Ekor di  Medan Selera Taman Kanak-kanak


Sup Ekor yang paling sedap yang pernah saya makan, dijual di Medan Selera Taman Kanak-kanak yang bersebelahan dengan Gerbang Malam. Terdapat beberapa gerai di situ, tetapi gerai makcik (Gerai Arjuna) yang letaknya di tengah-tengah, menjual sup ekor yang sangat sedap. Sup Ekor ini amat lembut sesuai sangat untuk gigi warga emas macam saya ni dan rasanya.... perghhhhh!!!!!!....  sukar untuk diceritakan. "Betul-betul Ipoh Mali!" Kenalah cuba sendiri, baru tahu kesedapannya..... :)

Hanya tangan makcik tu masak saja yang  sedap. Kalau makcik tu tak ada, jangan order, kerana rasanya tak sama macam makcik ni masak.

Sup Ekor ini sedap dimakan dengan nasi atau makan begitu sahaja. Di dalamnya adalah lebih kurang 6 ketul ekor lembu. Dikatakan makan sup ekor bagus untuk kesihatan terutamanya untuk orang demam selsema dan untuk membangkitkan tenaga batin.


Selain itu makanan lain yang sedap di sini ialah Koew Teow Goreng, Nasi Ayam Penyek dan Bakso.


Lembut dagingnya. Rempah sup ekornya amat terasa 








q























8. Makanan India Utara di Pakeeza Restaurant


Kalau anda suka makan makanan India Utara, Pakeeza Restaurant adalah tempat yang sesuai untuk anda menjamu selera, terutama bersama keluarga. 

Ketika kami makan malam sekeluarga di sini, kami tempah sehingga 5 meja kerana keluarga kami besar. Saya sangat menggemari Puri di sini. Purinya sedap dan lembut. Saya suka memakannya dengan kuah kari. Harganya tidaklah mahal, cuma RM1.20 sekeping.

Bagi mereka yang suka maka Roti Nan terdapat pelbagai jenis roti nan di sini seperti  Garlic Nan, Onion Nan dan Cheese Nan yang harganya RM4.50. Roti lain yang boleh dimakan ialah Capati (RM 2.00) dan Roti Tandoori (RM2.50)

Nasi Briyani kosong yang berharga RM4.90 sepinggan bolehlah dimakan dengan Daging Masala dan Pakeeza Beef yang masing-masing berharga RM 7.50 sepiring. Kalau suka, tambahlah Pajeri Terong yang hanya RM5.50 sepiring.

Kesemua makanan di sini HALAL!

Untuk membasahkan tekak, lassi mangga amat sesuai, harganya RM5.50. Minuman lain seperti jus carrot, nenas dan honey dew berharga RM 4.50 juga boleh didapati di sini.

Restoren ini letaknya di Jalan Dato Seri Ahmad Said, Kampung Jawa, Ipoh, Perak. 

Sebahagian dari keluarga saya menjamu selera di Pakeeza Restaurant. Di hadapan sekali ialah Puri yang sedap itu! Kami tempah sampai 5 meja di sini sebab keluarga kami besar.

9. Nasi Ganja Greentown, Ipoh


Nasi Ganja yang terkenal di Ipoh, letaknya di sebuah restoren yang bercampur dengan Kedai Kopi Yong Suan di Jalan Yang Kalsom, Taman Jubilee.

Nasi Ganja ini sebenarnya adalah nasi kandar dengan gulai kari ayam, udang, daging dan macam-macam jenis gulai kari. Ia dinamakan Nasi Ganja kerana sesiapa yang memakannya biasanya akan datang lagi kerana ketagihan memakannya, disebabkan sedapnya nasi itu.

Saya pernah makan tengahari di sini, tetapi orang punyalah ramai...sehingga kena beratur panjang. Meja pula sudah penuh dan terpaksa menunggu sekejap.


Nalaa........

10. Kacang Putih


Ini bukanlah restoren atau tempat makan-makan, tetapi ia adalah kudap-kudapan yang kita beli untuk dibawa pulang.

Kalau anda hendak mengadakan majlis makan, kenduri kawin atau berhari raya dan tak ada idea bagaimana hendak menghidang tetamu anda, datanglah ke Kampung Kacang Puteh, Buntong, Ipoh. Di Kampong Kacang Puteh ini ada banyak kedai-kedai yang menjual kacang putih dan muruku dengan banyak dan harganya murah.

Boronglah kacang putih, muruku dan goreng-gorengan pilihan anda di mana-mana kedai kacang putih di Kampong Kacang Putih ini. Nak yang putih? Hijau? Kuning? Merah? Pedas? Tawar? Manis? Masin? Semuanya ada di sini.

Kalau anda borong banyak-banyak di kedai D.N.S, anda pasti diberi beberapa bungkus kacang putih PERCUMA! Tak ke best tu! "Betul-betul Ipoh Mali!"



Macam-macam pilihan kacang putih dan muruku boleh didapati di sini dengan harga yang murah


Begitulah 10 tempat makan sedap di Ipoh.  Kalau ada tempat makan sedap yang belum saya cuba dan senaraikan, beritahulah saya ya... :)


Selasa, 30 Ogos 2016

10 Strategi untuk mengelak kecurian ketika mengembara

R amai yang mengalami kecurian ketika mengembara di luar negara. Ini termasuklah kehilangan pasport, duit, kad kredit, kamera, laptop dan telefon pintar. Pengembara asing seringkali menjadi sasaran penyeluk saku dan pencuri kerana mereka menganggap pengembara adalah orang yang beruang berwang.

Pengembara asing sering menjadi sasaran pencuri

Ketika mengembara, kita inginkan keseronokan, tetapi ia musnah sekiranya kecurian berlaku. Ini sesuatu yang menyedihkan. Jadi bagi mengelakkan perkara buruk ini berlaku, di sini saya senaraikan beberapa strategi untuk mengelakkan kecurian:

1. Simpan duit dan dokumen penting dalam poket rahsia


Simpan barang-barang berharga ini di dalam poket rahsia yang dijahitkan pada pakaian dalam. Poket rahsia ini boleh dijahit sendiri atau beli yang sudah siap.  Ada yang berzip dan ada yang berbutang.

Poket rahsia yang siap dijahit pada pakaian dalam boleh dibeli di kedai-kedai menjual barangan haji


Pengalaman saya:  Saya menggunakan cara-cara ini ketika mengembara ke luar negara terutama ketika mengerjakan umrah dan haji

2. Simpan barang berharga di dalam kantung bertali pinggang 


Kantung bertali pinggang yang diikat pada pinggang di dalam pakaian amat sesuai dipakai ketika mengembara. Kantung pada tali pinggang ini boleh memuatkan duit, paspot, kad kredit dan telefon pintar. Ia murah dan boleh didapati di pasar-pasar yang menjual beg dan kedai-kedai menjual barang-barang haji/umrah. Pilihlah kantung yang nipis dan mempunyai banyak bahagian simpanan yang berzip.

Letakkan hanya sedikit duit di dalam kantung ini. Isikan hanya duit yang hendak digunakan segera pada hari itu, tetapi yang selebihnya disimpan dalam poket rahsia. Pencuri yang mempunyai pengalaman tahu ada orang yang menggunakan tali pinggang untuk mengisi duit, tetapi ia adalah agak sukar bagi penyeluk saku itu menariknya kerana kedudukannya di bahagian dalam pakaian.


Kantung bertali pinggang ini mudah diperolehi di pasar-pasar pagi/malam. Ia amat berguna untuk menyimpan wang, paspot, dokumen penting, telefon bimbit dan kamera ketika mengembara

Pengalaman saya:  Saya menggunakan tali pinggang ini ketika di tanah suci.


3. Simpan kamera besar di dalam beg silang


Kamera DSLR berjenama mahal seperti Nikon, Canon dan sebagainya agak besar dan memerlukan beg khas.  Simpan kamera bersaiz besar di dalam beg silang. Jangan masukkan dalam beg galas kerana beg galas boleh digunting oleh pencuri yang menunggu mangsa.

Sandang beg kamera anda di bahagian hadapan badan seperti ini. Ia menyelamatkan beg anda daripada diragut oleh pencuri ketika anda leka membeli-belah

Beg galas yang diletak dengan cara begini boleh mengundang pencuri untuk menggunting beg kita ketika kita sedang leka membeli-belah

Cara yang mana menjadi pilihan anda ketika membeli-belah di pasar ketika mengembara - menggalas beg di belakang atau menyilang beg di hadapan badan?


Pengalaman saya: Saya pernah ditegur oleh peniaga-peniaga di pasar-pasar di Medan, Indonesia kerana saya menggalas backpack saya di belakang. Menurut mereka perbuatan saya ini memudahkan pencuri menggunting backpack saya.


Mengepit beg begini juga memudahkan peragut untuk meragut


4. Jangan terlalu mesra dengan orang yang tidak dikenali 


"Don't talk to stranger" seringkali dipesan oleh ibu bapa kepada anak-anak kecil mereka. Perkara ini patut dijadikan pedoman kepada pengembara. Jangan terlalu mesra dengan orang yang baru kita kenali. Perhatikan tingkah lakunya. Percayalah pada naluri dan gerak hati anda. Kalau terlalu mesra dan mencurigakan, lebih baik hindarkan diri anda. Lebih baik kesunyian daripada merana kemudian nanti.

Say "No" to stranger

Pengalaman saya: Saya pernah ditegur dengan begitu mesra oleh beberapa orang lelaki ketika saya mengembara di Cyprus dan mengajak saya keluar minum. Tetapi permintaan mereka itu saya tolak dengan baik dan tidak menghiraukan ajakan mereka.

5. Jangan tinggalkan barang-barang berharga di bilik hotel


Jangan tinggalkan barang-barang berharga di dalam bilik hotel. Ataupun mengambil minuman di dalam peti ais di dalam hotel. Ini disebabkan di dalam hotel terdapat pekerja-pekerja hotel yang keluar masuk untuk mengemas bilik dan melakukan tugas-tugas lain. Mereka boleh lakukan apa sahaja untuk menganiaya kita.

Peti barang-barang berharga disediakan di dalam bilik hotel. Tapi adakah anda yakin barang anda selamat di sini?

Pengalaman saya: Saya pernah menginap di sebuah hotel di Haatyai, Thailand. Ketika check out, saya pernah diminta membayar lebih kerana saya dituduh mencuri semua minuman di dalam peti ais di dalam bilik hotel itu oleh pengemas bilik hotel itu. Tetapi saya berkeras untuk tidak membayarnya kerana saya tidak melakukan perkara itu. Malahan saya mengugut pengurus hotel itu yang saya akan buat aduan kepada pihak berkuasa. Oleh kerana ugutan saya itu, mereka gagal menyonglap duit saya.

6. Buat salinan semua dokumen penting


Sebelum keluar mengembara, cetak dokumen-dokumen penting seperti pasport, gambar foto sendiri, kad kredit, tiket perjalanan, dll. Buat back-up di dalam digital dan simpankan di dalam folder yang senang diakses di mana-mana. Contohnya dalam dropbox, emel, telefon pintar atau pendrive. Simpan juga di dalam beg kawan anda yang mengembara bersama anda.


Buat salinan pasport dan dokumen penting untuk dibawa bersama ketika mengembara

Pengalaman saya: Saya pernah hilang pasport ketika saya mengembara dari Itali ke Peranchis. Apabila sampai di sempadan Perancis saya mendapati pasport saya hilang. Puas saya mencari dan masih tidak menemuinya. Kejadian ini membuatkan saya panik dan pucat lesi. Saya kembali semula ke hotel tempat saya menginap iaitu di Rome dan meminta penjaga hotel membenarkan saya masuk semula ke dalam bilik hotel. Saya mendapati pasport saya tercicir di bawah katil.  Sejak itu saya sentiasa menjaga pasport saya dengan baik-baik dan membuat salinannya.


7. Bawa hanya kad ATM yang boleh digunakan di luar negara.


Sekiranyanya anda ketiadaan wang ketika berada di luar negara dan ingin mengeluarkannya melalui mesin ATM, anda boleh melakukannya.

Sebelum ke luar negara, pergilah ke bank anda dan minta pegawai bank mengemaskini kad anda untuk digunakan di luar negara. Pastikan ia telah diaktifkan untuk tarikh dan tempat yang hendak dituju. Kebiasaannya kad ATM yang mempunyai logo MEPS, CIRRUS boleh digunakan di kebanyakan negara.  Misalnya di China, Australia dan lain-lain negara.


Kad bank Malaysia yang mempunyai logo CIRRUS, MAPS, Union Pay boleh digunakan pada ATM di China


Pengalaman saya: Saya lakukan pengaktifan dan pengemaskinian kad ATM sebelum saya ke China dan saya sering mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM di sana.


8. Jangan simpan beg anda di bawah tempat duduk bas atau keretapi


Beg yang disimpan di bawah tempat duduk keretapi atau bas juga mudah dijadikan sasaran pencuri. Ada yang mengalami kecurian dan kehilangan barang. Mereka menyimpan beg di bawah tempat duduk bas dan tidur. Apabila sampai mereka mendapati beg mereka telah berlubang akibat digunting atau ditebuk oleh pencuri dan kesemua barang-barang mereka telah tiada. Kejadian ini sering berlaku di negara Eropah.


Jangan letak beg anda jauh dari tempat duduk anda dan tidak dapat dilihat oleh mata anda. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan anda berbuat demikian, letakkan dokumen-dokumen penting sahaja berdekatan dengan anda.


Pastikan anda meletakkan tag nama dan alamat anda pada beg atau letakkan riben/tanda pada beg anda supaya beg anda tidak bertukar ke tangan orang lain.


Jangan letak beg terlalu jauh dari tempat duduk. Letaklah di bahagaian atas tempat duduk berdekatan anda dan dapat dilihat oleh mata anda.

Sentiasa letak beg yang mengandungi dokumen penting di pangkuan atau berdekatan di hadapan anda ketika menaiki keretapi

Pengalaman saya: Saya pernah mendapati bagasi saya tidak ada di bahagian baggage claim di lapangan terbang Bayan Lepas. Iaitu ketika saya pulang dari Cyprus ke Malaysia. Saya memaklumkan perkara ini di bahagian baggage claim dan mengisi borang. Dalam borang itu mereka suruh saya maklumkan jenama dan warna beg saya serta tanda nama pada beg tersebut. Saya dimaklumkan berlaku kelambatan kapalterbang (flight delay) sebelum ini. Mereka suruh saya pulang dahulu dan akan menghantarnya ke rumah saya apabila bagasi saya itu sudah sampai. Selang beberapa jam kemudian mereka datang ke rumah saya dan menghantar bagasi saya. Perkhidmatan ini dilakukan oleh MAS.

Kawan saya pula, pernah kehilangan beg ketika menaiki bas dari Kelantan ke Pulau Pinang kerana beg itu diletakkan di bahagian simpanan beg di bahagian bawah bas. Mungkin begnya telah diambil oleh orang lain. Ini disebabkan sistem tagging dan baggage claim tidak digunakan.

Semasa saya mengembara di Jepun, basnya menggunakan sistem tagging  dan baggage claim. Beg penumpang ini disimpan di bahagian penyimpanan beg di bahagian bawah bas, ini menjamin beg kita tidak terlepas ke tangan orang lain. Sistem tagging dan baggage claim  ini patut dibuat di negara kita juga.

(Untuk membaca pengalaman saya menaiki bas yang menggunakan sistem ini sila KLIK DI SINI )


9. Solat sunat musafir sebelum keluar mengembara


Untuk menjamin keselamatan sepanjang perjalanan jangan lupa melakukan soat sunat musafir sebelum keluar mengembara. Namun begitu perlulah diingatkan bahawa pengembaraan ini mestilah bertujuan baik, bukan untuk melakukan maksiat.

Solat sunat musafir ini dilakukan sebanyak 2 rakaat di rumah sebelum bermusafir. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
"Perkara terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah menunaikan solat dua rakaat."

Solat dan berdoa mestilah dilakukan oleh pengembara

Pengalaman saya: Saya sering lakukan solat sunat musafir sebelum keluar mengembara kerana tujuan saya mengembara adalah untuk mencari ilmu/beribadat/bertugas/menziarahi seseorang.


10. Berdoa ketika menaiki kenderaan


Ketika menaiki kenderaan bacalah doa menaiki kenderaan: 

سُبْحانَ الَّØ°ِÙŠ سَØ®َّرَ Ù„َÙ†َا Ù‡َØ°َا ÙˆَÙ…َا ÙƒُÙ†َّا Ù„َÙ‡ُ Ù…ُÙ‚ْرِÙ†ِينَ . ÙˆَØ¥ِÙ†َّا Ø¥ِÙ„َÙ‰ رَبِّÙ†َا Ù„َÙ…ُنقَÙ„ِبُونَ

Allah berfirman yang bermaksud: 

"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali." (Surah Az-Zukruf Ayat 13-14)

Pengalaman saya: Saya pernah menaiki kapalterbang dari Abu Dhabi ke Malaysia yang mana doa menaiki kenderaan ini dibaca dengan jelas oleh juruterbang. Alangkah baiknya kalau semua juruterbang dan pemandu kenderaan awam Muslim membaca doa ini untuk kebaikan bersama.

Apakah tips paling baik yang anda lakukan untuk mengelakkan kecurian/kehilangan barangan/dokumen  penting ketika mengembara? Kongsilah pendapat anda di sini :)

Jumaat, 1 Julai 2016

Shopping Raya 2016 ~ Adakah cara anda sama dengan saya?

H ari Raya tak lama lagi, berpakaian baru, hidangan kuih raya yang enak dan hiasan rumah yang cantik adalah pilihan kebanyakan kita, termasuklah saya sekeluarga. Macam-macam cara saya lakukan untuk shopping  Raya ini. Entri kali ini mengajak anda bercerita tentang cara yang sering kita lakukan ketika hendak shopping Raya. Yang mana satukah cara yang sering anda lakukan?


#1 ~ Menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Menempah baju mempunyai kelebihannya kerana kita membeli baju berdasarkan bentuk dan ukuran badan kita. Biasanya ia selesa dipakai. Menempah baju raya memerlukan persediaan yang lebih awal. Ini disebabkan kita perlu membeli kain terlebih dahulu dan mendapatkan tukang jahit.

Kadang-kadang saya menempah baju raya sebulan sebelum bulan Ramadhan, kerana kalau lambat ditempah, tukang jahit tidak mahu menerima tempahan lagi. Biasanya saya akan mencari kawan-kawan atau saudara mara yang bekerja sebagai tukang jahit untuk membuat baju raya saya. Disamping menyokong bisnes mereka, saya dapat harga yang lebih murah berbanding dengan harga yang dikenakan oleh tukang jahit yang tiada hubungan dengan saya.

Kadang-kadang saya terlalu sibuk sehingga tak sempat untuk membeli kain dan menempah baju, jadi saya membeli yang sudah siap dijahit. Cuma pilihannya agak terhad, terutama warnanya. Kadang-kadang baju yang saya suka itu terlalu sempit atau terlalu longgar bagi saya. Jadi saya akan memilih baju mengikut ukuran badan saya walaupun warnanya tidak saya gemari. 

Bagaimana dengan anda pula? Adakah anda menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Suasana di bahagian kain ela di Jakel Kuala Lumpur ketika jualan murah dilakukan sebelum masuk bulan Ramadhan

#2 ~ Membeli baju raya pada bulan Ramadhan atau sebelumnya?


Ada yang suka membeli baju raya sebelum masuk bulan Ramadhan, ada pula yang suka membeli pada bulan Ramadhan.

Suami saya suka shopping raya sebelum masuk bulan Ramadhan lagi. Menurutnya, harga pakaian lebih murah berbanding dengan yang dijual pada bulan Ramadhan.

Tapi saya suka shopping baju raya pada bulan Ramadhan, dekat-dekat hendak masuk Syawal. Sebabnya mood membeli baju raya lebih tinggi pada bulan ini berbanding sebelum masuk bulan Ramadhan. Lagipun pada bulan Ramadhan fesyen-fesyen baru akan keluar. Pilihannya banyak. Tentu seronok memilih baju-baju dengan pilihan yang pelbagai.

"Yang mana elok? Purple ke merah?", tanya suami saya pada saya ketika membeli baju Melayu di Parkson Ipoh sebelum Ramadhan

 Parkson Ipoh  mengadakan jualan murah sebelum bulan Ramadhan. Sepasang baju Melayu ini berharga RM99.90.

#3 ~ Tema baju raya yang sama atau caca marba?


Adakah anda suka menggunakan tema yang sama atau caca marba pada baju Raya anda?

Keluarga saya suka memakai baju yang mempunyai tema yang sama. Ia menggambarkan sehati sejiwa. Apabila mengambil gambar, gambar kelihatan lebih menarik. Saya mempunyai keluarga yang besar, kalau bertemu sanak saudara yang ramai, saya mudah mengenali setiap ahli keluarga kalau mereka memakai pakaian yang sedondon. 


Dengan warna sedondon mudah untuk saya mengenali setiap ahli  keluarga, terutama ahli baru

Kami memilih tema hijau untuk raya tahun ini.  Anda bagaimana pula?

Bagaimana dengan kasut pula, adakah sedondon dengan warna baju atau tidak? Untuk lebih praktikal saya memilih kasut berwarna hitam kerana ia boleh disesuaikan dengan semua warna baju.

Kasut berwarna hitam atau cokolat mudah disesuaikan untuk semua warna pakaian. Parkson Ipoh menjual kasut dengan potongan separuh harga sebelum masuk Ramadhan.

#4~ Fesyen moden atau tradisional?


Adakah anda suka menggayakan fesyen moden atau tradisional pada hari raya?

Keluarga saya suka memilih baju Melayu dan baju kurung pada hari raya pertama. Semasa saya remaja dulu, saya suka memakai kebaya. Tetapi apabila sudah mencapai pertengahan umur, saya tidak lagi berminat memakai kebaya, saya lebih suka memakai jubah. Ini disebabkan jubah lebih selesa dipakai kerana ia longgar dan tidak menampakkan bentuk badan saya.

Tidak kira moden atau tradisional, pilihan untuk raya mestilah sesuai dengan perayaan yang mulia ini, kan?

Apakah fesyen baju raya kegemaran anda?

Adakah fesyen baju di AEON Mall Ipoh Klebang ini sesuai untuk dipakai pada hari Raya?

Adakah baju yang dijual di Jakel Kuala Lumpur ini menjadi pilihan anda?

Yang mana satu pakaian lelaki di Parkson Ipoh ini menjadi pilihan anda?

#5 ~ Membuat sendiri kuih raya atau membelinya?


Adakah anda membuat sendiri kuih raya atau membelinya?

Saya gemar membuat sendiri biskut raya dan kek raya. Ini disebabkan saya rasa lebih puas, dapat membuatnya dalam kuantiti yang banyak dan rasanya lebih sedap. Untuk tujuan ini saya mengambil cuti seminggu sebelum raya.

Kalau kuih raya itu sukar dibuat, saya tempah sahaja kuih itu. Misalnya kuih kapit/kuih sepit dan kek lapis. Biasanya saya menempah pada kawan-kawan yang sama yang membuat kuih raya setiap tahun. Disamping dapat membantu kawan-kawan saya menambah pendapatan, saya sudah pasti akan kesedapannya.

Sekiranya saya ingin membeli kuih raya yang siap dijual di pasaraya, saya akan membelinya pada malam raya, kerana pada masa itu peniaga-peniaga menurunkan harga kuih mereka dengan harga yang sangat rendah.

Kuih raya saya tahun ini

#6 ~ Jahit sendiri langsir atau tempah?


Adakah langsir di rumah anda sudah lama tidak berganti dan warnanya telah luntur? Kalau lama, sudah tiba masanya untuk anda menukar langsir rumah anda. Rayalah hari yang paling sesuai untuk menukar langsir baru.

Adakah anda jahit sendiri langsir itu atau tempah?

Bagi mereka yang pandai menjahit langsir sendiri, tentu  dapat menjimatkan belanja.

Jiran saya menempah langsir rumah mereka dengan pembuat langsir yang datang ke rumah, mengukur tingkap mereka, memberi pilihan corak kain langsir melalui katalog dan memasangkan rel dan langsir untuk mereka. Terdapat 13 buah bingkai tingkap kecil dan besar di rumah mereka. Langisr itu siap dalam masa sebulan. Mereka membelanjakan RM8,000.00 untuk itu!

Sebaliknya, kami hanya membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk saiz dan jumlah tingkap yang sama. Ini disebabkan kain langsir kami beli di kedai,  meminta kawan yang menjahitnya dan upah menjahitnya sangatlah murah. Siapnya pun dalam masa sehari sahaja. Rel langsir dan langsir dipasang sendiri oleh suami saya. Dengan cara ini kami dapat berjimat.

Langsir kami yang baru ditempah siap dalam masa sehari


Walau apapun cara anda berbelanja untuk raya tahun ini pastikan ia sesuai dengan bajet anda dan tidak membazir.

Bagaimana anda shopping raya? Adakah cara anda sama dengan saya? Kongsikan cara shopping anda di ruangan di bawah ini.

Khamis, 23 Jun 2016

Berbuka Puasa di Restoren Aliesha Seafood, Ipoh

B ulan puasa tahun ini kadang-kadang saya dan keluarga berbuka di rumah, kadang-kadang-kadang di masjid dan kadang-kadang di restoren.  Baru-baru ini kami berbuka di Restoren Aliesha Seafood yang letaknya di Hala Meru 13, Taman Meru, Ipoh Perak.

Restoren Aliesha Seafood yang menyajikan masakan Thai ini sentiasa dikunjungi ramai

Kami sampai di restoren itu pada pukul 7.00 petang. Kami disambut dengan senyuman dan bersalam-salaman dengan pegusaha restoren itu ~ suami isteri. Waktu berbuka pada hari itu ialah 7.29 malam.

Kami terus order makanan kegemaran kami iaitu Ikan Bawal Masak Tiga Rasa, Ayam Gajus, Telur Dadar dan Tomyam. Minuman pula ialah air sirap, air bandung cincau dan Nescafe ais.

Tak lama duduk, kami terus dihidangkan dengan buah kurma dan agar-agar. Kedua-duanya diberi percuma. Air kosong yang diletakkan di sebuah meja juga boleh diambil dengan percuma, sekiranya mahu.

Agar-agar dan kurma diberikan dengan percuma

Air Bandung Cincau, Sirap dan Nescafe ais dihidangkan dengan segera

Tidak lama menunggu makanan siap disaji.

Nasi putihnya disajikan dengan kobis dan lobak merah segar

Tomyam campur

Telur dadar

Ikan Bawal Masak Tiga Rasa ini kegemaran suami saya

Ayam Gajus ini kegemaran saya

Apabila masuk waktu berbuka, tuan punya restoren datang hampir kepada kami dan memberi tahu yang kami sudah boleh berbuka. Tuan punya restoren ini sangat kenal dengan kami kerana keluarga kami sering makan di restorennya.

Layanan yang mesra dan makanan yang sedap menjadikan kami sentiasa datang ke sini untuk menjamu selera. Restoren ini sentiasa dikunjungi ramai orang. Kalau anda belum pernah makan di sini, boleh mencubanya.

Tomyam Poktek dan tapai pulut juga disediakan

Masakan lain yang ada adalah Som Tam, Pulut Mangga, Tomyam Poktek, Tapai, Siakap Stim Limau, Kerabu Mangga, Kerabu Campur, Udang Goreng Tepung, Sotong Goreng Tepung dan macam-macam lagi masakan Siam. Pengusaha restoren ini, tukang masaknya dan pekerja-pekerjanya datang dari Thailand dan membuka perniagaan di sini. Restoren ini dibuka pada pukul 6 petang hingga 3 pagi.