Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 11 Oktober 2017

Umrah 2017 (Bhg. 7) | Makan-makan di Mekah


W  alaupun pakej umrah kami menyediakan makanan 3 kali sehari, namun saya dan suami saya sempat juga makan di kedai-kedai makan yang terdapat di sekitar Masjidil Haram.



Ais Krim Mekah



Ais krim vanilla bercampur ais krim mangga ini hanya 5 rial sahaja


Kami suka ais krim Mekah yang dijual di tepi jalan di hadapan Al Safwah Towers. Ada ais krim vanilla, ada ais krim mangga, cokolat dan strawberi. Rasanya sangat lembut dan sedap. Setiap kali ke Mekah, pasti kami memakannya.



Kedai ais krim Alasema ini letaknya di tepi jalan bersebelahan dengan Al Safwah Towers


Apabila  kami berjalan kaki pulang dari Masjidil Haram untuk menuju ke hotel, kami sering singgah membeli ais krim di situ. Kami duduk di batu berdekatan dengan gerai jual ais krim itu sambil memakan ais krim.


Roti Canai, Murtabak dan Gulai Kari Kambing


Sepupu saya yang bekerja di Mekah membelanja saya dan suami makan

Bertemu saudara mara di Mekah adalah satu kegembiraan.

Saya sempat bertemu sepupu saya yang bekerja di syarikat keretapi di Mekah.  Beliau bekerja secara kontrak setiap tahun dan hanya pada musim haji sahaja. Dia sudah berada di Mekah pada bulan Jun 2017 dan akan pulang semula ke Malaysia pada bulan Oktober 2017.  Sepupu saya bertugas menguruskan pekerja-pekerja di syarikat itu. Gajinya dibiayai oleh kerjaan Arab Saudi dan amat lumayan sekali pendapatannya. 




Pertemuan kami ini diadakan di menara kompleks membeli-belah di hadapan Masjidil Haram di Malaysian Restaurant


Roti canai, murtabak dan gulai kari kambing yang kami makan 

Semasa pertemuan dengan sepupu saya ini, kami makan roti canai dan murtabak dengan dicicahkan dengan gulai kari kambing.

Sangat sedap rasanya.


Jus avocado dan ais krim Baskin Robbins

Nasi Mandy



Nasi mandy dan ayam panggang


Nasi mandy adalah makanan orang Arab. Ia seperti nasi briyani dan dimakan dengan ayam, atau daging, atau kambing panggang.  Nasi mandy mudah didapati di kedai-kedai makan di  Mekah. Rasanya sangat 'mild', kalau saya hendakkan lebih 'spicy' saya tambah kuah daging ke atasnya. 


Gulai daging


Makan nasi mandy cara Arab di sebuah restoren di Mekah




Kebab



Kebab, udang dan ikan untuk dimakan bersama nasi atau roti pita


Kebab adalah daging kisar yang bercampur rempah ratus dan dikepalkan menjadi bebola dan dicucukkan pada batang buluh. Ia biasanya dimakan dengan nasi putih atau roti pita.

Sehidang kebab dengan nasi berharga di antara 23 rial hingga 25 rial.



Kofta


Telur, daging, kentang dan sayur-sayuran yang dicampurkan ke dalam hidangan makanan


Kofta adalah daging kisar yang dicampur dengan rempah ratus dan dibentukkan menjadi bebola. Ia digoreng, bakar atau direbus. Sehidang kofta dengan nasi berharga di antara 23 rial hingga 25 rial.




Shawarma



Harga shawarma mengikut saiz

Shawarma adalah ayam atau daging panggang yang dicampurkan dengan rempah ratus lalu dibungkus di dalam roti pita. Ia biasanya dicampurkan dengan sayur-sayuran segar yang dicincang seperti tomato, timun, daun salad, jeruk timun dan lada. Ia elok dimakan ketika masih panas kerana kalau sudah sejuk, rotinya liat.  Harganya antara 5 rial hingga 10 rial.


Burung merpati di kaki lima

Shawarma mudah didapati di kedai-kedai sepanjang jalan dari Masjidil Haram ke tempat penginapan

Saya dan suami sering membeli shawarma apabila lalu di kedai tepi jalan semasa pulang ke hotel selepas solat asar.


Jus Mangga, Jus Delima dan Laban



Dapatkan jus dan laban ini di pasaraya Ben Dawood atau di kedai-kedai runcit di Mekah


Jus yang sedap dan tidak tidak saya tinggalkan semasa berada di Mekah ialah jus mangga. Jus mangga ini sangat pekat dan rasa mangga aslinya masih terasa.

Jus delima juga saya suka. Tetapi saya pasti memilih jus delima yang berjenama Nadec kerana ia sangat manis. Jus delima jenama Nadec lebih mudah didapati di Madinah berbanding di Mekah. Jus delima yang berjenama selain Nadec mempunyai rasa masam. 

Laban adalah sejenis dadih Arab yang selalu saya makan kerana ia baik untuk kesihatan terutama ketika diserang batuk selsema ketika musim panas terik di Mekah. Ia mempunyai rasa masam masam manis dan berlemak. Apabila meminumnya ia menurunkan suhu badan dan meningkatkan ketahanan sistem badan terhadap serangan bakteria.


Susu Unta dan Daging Unta



Susu unta yang diisikan ke dalam botol dan dijual segar di ladang unta

Unta di ladangnya

Saya berpeluang memakan daging unta dan minum susu unta di Mekah. Susu unta didapati dengan membelinya di ladang unta. Rasanya sangat sedap dan baik untuk kesihatan.

Begitulah antara makanan yang saya sering makan apabila berada di Mekah. Anda pula bagaimana?

Baca juga:
Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 4) : Orang Melayu Mekah
Naik Haji (3): Umrah, Ziarah dan Membeli-belah Pada Musim Haji di Mekah

...bersambung

Selasa, 12 September 2017

Umrah 2017 (Bhg. 6) | Beribadat dan Ziarah di Mekah

Baitullah di Mekah adalah tempat yang saya suka kunjungi. Saya sentiasa bermohon kepada Allah semoga saya dapat ke sini lagi walaupun ini sudah kali ke-4. Syukur kerana Allah mengabulkan permintaan saya.

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. (Surah Ali Imran:96-97)

Tawaf


Tawaf Keliling Kaabah diutamakan apabila masuk ke kawasan Baitullah


Tawaf mengelilingi Kaabah adalah perkara utama yang saya lakukan apabila saya berada di Baitullah Mekah. Kawasan sekeliling Kaabah sentiasa penuh dengan manusia dari pelbagai pelosok dunia. Walaupun berada dalam lautan manusia, saya dan suami masih mempunyai ruang untuk tawaf dan tiada masalah langsung. Kami berdua sama-sama berzikir dan berdoa ketika tawaf.

Walaupun jemaah umrah datangnya dari pelbagai sudut dunia dan mempunyai pelbagai warna kulit, apabila solat semuanya menghadap ke arah yang satu iaitu Kaabah. Apabila berjemaah mereka berdiri dalam saf yang lurus, melambangkan kekuatan dan kesatuan ummah yang mana sekiranya musuh-musuh Islam melihatnya mereka akan merasa gentar. Perasaan ukhuwah ini amat terasa di sanubari saya apabila berada bersama-sama mereka.

Pancuran emas dari Hijir Ismail


Merenung dekat-dekat Kaabah yang menjadi arah kiblat umat Islam sedunia, menjadi idaman kebanyakan Muslim. Jemputan dari Allah ini tidak disia-siakan dan pasti disambut dengan gembira. Sudut-sudut yang menjadi tarikan utama seperti Hajarul Aswad, Multazam, Hijir Ismail, Rukun Yamani, Makam Nabi Ibrahim direbuti mereka untuk solat, berdoa dan berzikir.

Terasa amat rugi kalau saya tidak dijemput ke sini.


Saie



Saie dari Safa ke Marwa

Mengerjakan saie adalah salah satu daripada rukun umrah dan dilakukan dengan berjalan kaki atau berlari-lari anak bagi kaum lelaki dari Bukit Safa ke Bukit Marwa.

Saya turut berulang-alik dengan berjalan kaki perlahan-lahan bersama suami saya. Disebabkan faktor usia yang sudah menjangkau setengah abad, kekuatan saya berjalan tidak sepantas dahulu. Tapi syukur ke hadrat Illahi kerana saya masih mampu menggunakan kedua-dua kaki saya untuk melakukannya.
'
Berdoa di Bukit Safa

Bukit Safa adalah permulaan bagi ibadah saie. Kini saya dapat melihat dengan jelas jemah di kawasan Bukit Safa dari tingkat atas Masjidil Haram disebabkan pembangunan renovasi yang dilakukan.


Laluan saie untuk mereka yang menggunakan kerusi roda ini terletak di tingkat 1 Masjidil Haram

Pembangunan Kota Mekah


Banyak perubahan yang saya saksikan di kawasan saie sejak kunjungan saya tiga tahun dahulu. Kini kawasan saie sudah bertambah dan bertingkat-tingkat, dan dilengkapi dengan kemudahan bagi jemaah.


Kompleks membeli-belah, hotel dan Menara Jam di hadapan Masjidil Haram

Begitu juga di kawasan luar Masjidil Haram, sudah dilakukan banyak pembangunan.

Tandas di bina berhadapan dengan Masjidil Haram

Tandas tidak dibina di dalam masjid tetapi dibina di luar kawasan masjid berdekatan dengan kompleks membeli-belah. Disebabkan pengeluasan kawasan Masjidil Haram maka jarak tandasnya lebih jauh berbanding dengan yang dahulu.  

Saya ternampak sistem locker sudah disediakan di kawasan ini untuk kemudahan jemaah menyimpan barang-barang sebelum masuk ke dalam masjid.

Skrin digital lebar terpampang di pinggir-pinggir jalan yang mengandungi pengumuman dan peringatan kepada jemaah, memperlihatkan kecanggihan teknologi di Mekah.


Suasana di dataran hadapan Masjidil Haram

Kawasan di dalam dan di luar Masjidil Haram sentiasa dijaga bersih dan dikawal.

Di hari lain, sekiranya tidak melakukan ibadat di Masjidil Haram, saya dan rombongan pakej TH dibawa menziarahi Mekah. Walaupun saya pernah menziarahi tempat-tempat ini sebelum ini, saya masih berminat untuk mengunjunginya lagi kerana ingin mengingati sejarah dan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W menegakkan Islam. Berikut adalah tempat-tempat yang saya ziarahi semasa berada di Mekah:


Jabal Thur


Jabal Thur, terpahat sejarah Rasulullah S.A.W dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi dari ancaman Quraisy


Jabal Thur adalah bukit yang terletak di selatan Mekah, kira-kira 5 km dari Baitullah. Ketika kami sampai, kami dapat lihat ramai orang mendaki bukit itu menunju ke puncak. Kami tidak ikut mereka mendaki, cuma melihat dari bawah.

Di Jabal Thur ini terdapat sebuah gua yang pernah dijadikan tempat persembunyian Nabi Muhammad S.A.W dan Saidina Abu Bakar AsSiddiq dari ancaman kaum Quraisy.  Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W diperintahkan Allah untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Baginda S.A.W dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di sini selama 3 hari. Orang yang menghantar makanan kepada mereka di sini ialah puteri Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar sentiasa bersama Rasullullah S.A.W dan memastikan keselamatan baginda S.A.W walaupun kakinya digigit binatang berbisa.

Orang Quraisy ingin menghentikan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, lalu memberi berbagai ganjaran kepada sesiapa yang berjaya membunuh baginda S.A.W.

Ketika orang Quraisy datang mencari Nabi Muhammad S.A.W sehingga sampai ke sini, labah-labah membina sarangnya dan menghalang orang Quraisy untuk mendekati baginda. Orang Quraisy itu pun membatalkan rancangan mereka untuk memasuki terus ke dalam gua. Tetapi cicak telah berbunyi, ini membuatkan orang Quraisy itu mengesyaki ada manusia di dalam gua itu. Oleh kerana gua itu terlalu rendah mereka tidak berani untuk memasukinya, tetapi membaling batu ke dalamnya. Balingan batu ini menyebabkan gigi Nabi Muhammad S.A.W berdarah/patah. Kerana itulah, kita disunatkan membunuh cicak. Wallahu'alam.

Peristiwa ini dinyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya. (Surah Al Anfal: 30)


Jabal Rahmah


Jabal Rahmah tempat pertemuan Nabi Adam  A.S dan Siti Hawa


Jabal Rahmah adalah sebuah bukit yang letaknya tidak jauh dari Padang Arafah (tempat wukuf ketika mengerjakan haji). 


Jabal Rahmah adalah bukit pertemuan di antara Nabi Adam A.S dan Siti Hawa setelah mereka terpisah bertahun-tahun kerana diperintahkah oleh Allah keluar dari syurga dan turun ke dunia. Mereka dikeluarkan dari syurga kerana melanggar larangan Allah memakan buah kuldi di syurga. Dikatakan melalui beberapa sumber Nabi Adam diturunkan di India/Sri Lanka manakala Siti Hawa di Irak. Setelah kedua-duanya bertaubat, mereka dipertemukan semula di Jabal Rahmah dan meneruskan kehidupan sehingga melahirkan anak serta keturunannya sehingga sekarang.

Ketika kami sampai, tempat ini sudah ada ramai manusia. Di bawahnya terdapat ramai peniaga sehinggalah ke atas bukit. Di atas puncak bukit terdapat sebuah batu peringatam dan ramai yang bergambar di hadapannya. Saya mendaki ke atas bukit itu perlahan-lahan sehingga ke puncak. Dari puncak Jabal Rahmah saya dapat melihat sekeliling dan kawasan padang Arafah. 

Ramai juga orang berdoa di atasnya.  Sempena pertemuan kembali Nabi Adam dan Siti Hawa di sini, maka doa untuk mendapat jodoh amat sesuai dilakukan di sini. Tetapi kami sudah dipesan oleh mutawif supaya berdoa menghadap ke arah luar bukit bukannya menghadap batu yang terdapat di puncak bukit itu untuk mengelakkan perkara bidaah.


Khemah di Mina


Khemah di Mina ini akan penuh sesak selama 3 hari di musim haji, tetapi sepi di hari-hari lain

Kami dibawa melihat kawasan perkhemahan di Mina. Kami hanya melihat khemah-khemah tetap yang kosong. Saya teringat ketika saya berada di sini pada musim haji, saya perlu beratur lama dan panjang untuk ke tandas, tetapi ketika saya menziarahinya baru-baru ini, saya hanya melihat khemah-khemah dan tandas-tandas yang kosong.

Kawasan perkhemahan ini hanya penuh dengan jemaah haji ketika hari Tasyrik selama 3 hari dalam bulan Zulhijjah untuk ibadat melontar jamrah. Tetapi tempat ini menjadi sepi selepas selesai ibadat melontar.  

Masjid di Mudzalifah



Perkuburan Maala



Perkuburan Maala menempatkan jenazah penduduk Mekah. Di sinlah Siti Khadijah dimakamkan.

Tidak berjauhan dari Baitullah terdapat tanah perkuburan Maala iaitu tanah perkuburan untuk penduduk Mekah. Di sini bersemadinya jasad Siti Khadijah iaitu isteri Rasulullah S.A.W, putra baginda S.A.W, ibu dan bapa Siti Khadijah, sebahagian besar keluarga Bani Hashim dan para sahabat.

Penghuni perkuburan Maala adalah antara orang yang pertama dibangkitkan di akhirat setelah perkuburan Baqi di Madinah.



Bangunan dan bukit-bukit di Mekah


Masjid Jaaranah


Masjid Jaaranah adalah salah satu daripada miqat untuk niat umrah


Masjid Jaaranah dikunjungi kerana ia adalah tempat bagi jemaah umrah  untuk berniat umrah. Ia terletak lebih kurang 24 km dari kota Mekah. Kami hanya singgah sebentar. Sebagaimana biasa, terdapat peniaga berniaga di perkarangan masjid.


Begitulah ibadat dan ziarah saya di Mekah dan semoga mereka yang belum lagi ke sini dijemput Allah.



Baca juga:

Backpack Ke Madinah dan Mekah (Bhg 3): Baitullah Oh Baitullah, Ku Sampai Jua
Backpacke ke Madinah dan Mekah (Bhg 4): Orang Melayu Mekah
Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 5): Beriktikaf di Masjid al Haram
Naik Haji (1): Wukuf di Arafah dan Mabit di Muzdalifah
Naik Haji (2): Dugaan di Mina, Berkorban dan Melontar
Naik Haji (3): Umrah, Ziarah dan Membeli-belah pada Musim Haji di Mekah

...bersambung

Khamis, 24 Ogos 2017

Umrah 2017 (Bhg. 5) | Apa Yang Patut Dibeli Di Madinah?



S  ambil beribadat di Madinah, tentu ada sedikit masa untuk keluar membeli-belah. Tetapi apakah yang patut dibeli di Madinah?

Sejadah 


Memilih sejadah yang dijual di hadapan Masjid Nabawi


Sejadah boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai atau pun di gerai-gerai tepi jalan sekitar Masjid Nabawi. 

Pelbagai corak boleh dilihat pada sejadah, ada yang mempunyai gambar masjid, kaabah, motif abstrak, Islamik dan tumbuh-tumbuhan. Ada yang dibuat dengan kain kapas, kain baldu, kain berbulu seperti permaidani dan ada yang dibuat daripada sutera. Kebanyakan sejadah itu diimport dari Turki dan ada juga yang dihasilkan di Madinah.

Bagi sejadah yang berukuran  70 cm x 110 cm, dan ketebalan  5mm, harganya di antara 10 rial hingga 50 rial. Bagi sejadah kecil (mini) ia boleh didapati dengan harga 5-8 rial. Namun sejadah yang dibuat di Madinah yang diinspirasi dari Al Raudah lebih mahal harganya.


Perhiasan Dinding (Wall Hanging)



Kedai berdekatan dengan Masjid Nabawi ini menjual macam-macam perhiasan dinding, sejadah dan gegantung


Kain yang digantung sebagai perhiasan dinding pula terdapat di kedai-kedai dan di gerai-gerai yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Pelbagai corak: ada yang mempunyai gambar Masjid Nabawi, Masjidl Haram, Masjidl Aqsa dan Kaabah. Terdapat juga tulisan-tulisan khat yang dipetik dari ayat-ayat Al-Quran. Ada yang disulam dengan mesin, dijahit silang pangkah, ditekat dengan benang emas, dicap, dilukis tangan dan diambil gambar. 

Harganya berbeza-beza mengikut saiz, bahan dan corak. Hiasan ini diimport dari Pakistan, China dan Timur Tengah.




Tasbih 


Pelbagai jenis, warna dan bahan buatan tasbih di dapati di kaki Bukit Uhud


Tasbih pula adalah pilihan yang baik untuk dibeli. Terdapat macam-macam jenis tasbih, ada yang dibuat dari kayu, biji kurma, batu permata dan plastik. Ia didapati dengan mudah di kedai-kedai dan kaki lima di sekitar Masjdi Nabawi, di kawasan Bukit Uhud dan Masjid Quba.

Ia biasanya dijual dalam ikatan. Seikat mempunyai 10 utas tasbih dan harganya diantara 10 rial hingga 20 rial seikat bergantung kepada bahannya. Kalau tasbih itu dibuat daripada batu permata seperti zamrud dan fairuz ia boleh mencecah sehingga 100 rial seutas.


Al Quran



Al Quran cetakan Madinah


Al Quran cetakan Madinah patutlah dibeli kerana ia diiktirafkan oleh kerjaan Arab Saudi. Kertas dan kulitnya bermutu tinggi. Sekiranya anda hendak mewakafkan Quran di Masjid Nabawi dan Masjidil Haram, hanya Quran cetakan Madinah ini sahaja yang diterima. Untuk mengetahui ia cetakan Madinah atau tidak, sila lihat chop cetakan Madinah yang terdapat pada halaman akhir Al Quran tersebut.

Harga Quran ini berbeza mengikut saiz, dari 35 rial hingga 100 rial.


Kayu Sugi



Kayu sugi yang berbungkus dan tanpa berbungkus


Kayu sugi berguna untuk menggosok gigi dan gusi dan mendapat ganjaran menggunakannya kerana Rasulullah S.A.W menggunakan sugi. Ia mudah didapati di kaki-kaki lima dan tempat-tempat ziarah utama di Madinah. Ia biasanya  siap dipotong-potong dan dijual seikat.  Harganya 5-10 rial seikat.



Genggam Fatimah


Genggam Fatimah yang banyak dijual di kaki Bukit Uhud


Genggam Fatimah adalah sejenis herba gurun dan ia terkenal kerana keupayaannya tumbuh dalam cuaca panas dan kekeringan. Tumbuhan ini berbentuk akar kering yang merengkok menjadi bebola ketat  dan akan mengembang apabila direndam di dalam air. Ia berguna untuk kesihatan rahim wanita, memudahkan bersalin dan mengimbangkan perjalanan haid.

Genggam Fatimah dijual dengan banyak di kaki Bukit Uhud. Harga sebungkus (3 pokok) cuma 2 rial sahaja.

Jadi, belilah untuk dibawa pulang terutama sebagai air selusuh bagi wanita yang hendak bersalin.  Ia digunakan dengan merendamnya di dalam air selama semalam atau sehingga kembang lalu diminum. Setelah digunakan, keringkan dengan menggantungkannya dan boleh digunakan lagi berkali-kali.



Beg


Kedai beg ini terdapat di belakang hotel-hotel utama berdekatan Masjidil Nabawi Madinah


Untuk mengisi barang-barang yang dibeli di Madinah,  belilah beg yang mudah didapati di kedai-kedai yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Ada beg pakaian, beg sandang dan beg bertroli yang dibuat dari kulit dan PVC. Harganya juga murah dan masih boleh ditawar.



Jubah 


Suami saya memilih abaya berwarna coklat, ungu, merah jambu dan biru untuk saya


Jubah amat banyak dijual di sekitar Madinah.

Jubah untuk wanita yang dikenali dengan abaya kebanyakannya berwarna hitam polos dan dijual lengkap dengan selendang (tudung panjang). Namun terdapat juga jubah yang berwarna selain hitam tetapi amat terhad.

Jubah-jubah ini diimport dari Pakistan, India, Timur Tengah dan China. Harganya diantara 40 rial hingga 150 rial, bergantung kepada jenis kain dan sulaman. Jubah yang sama yang dijual di Malaysia berharga dua kali ganda.

Jubah untuk lelaki pula biasanya berwarna putih atau cerah dan dibuat daripada kain kapas dan polyester. Harganya juga murah dan masih boleh ditawar.

Kedai-kedai menjual pakaian di Madinah


Kurma



Peniaga kurma di sini sangat peramah dan boleh berbahasa Melayu


Kurma yang baik ditanam di Madinah. Ada macam-macam jenis kurma: Ajwah, Anbarah, Safawim, Baydh, Helwah, Khalas, Khudry, Madjool, Mabroom, Tomoor dan Rabiah. 

Kurma Ajwa (kurma nabi) patutlah dibeli di Madinah. Kurma ini kaya dengan fiber dan pottasium. Ia disebut di dalam al-Quran dan menjadi makanan sunnah.

Kurma Ajwa adalah kurma yang paling mahal. Harganya di antara 40 rial hingga 100 rial sekilo bergantung kepada grednya. Harga kurma di Madinah lebih murah berbanding dengan harga di Mekah. Kurma Madinah lembut dan lembab, manakala di Mekah kurmanya kering. Jadi disarankan, membeli kurma di Madinah.

Kurma yang baru dipetik juga dijual


Kurma boleh didapati di pasar kurma yang terletak tidak berjauhan dengan Masjid Quba dan di kedai-kedai di sekitar Madinah. Terdapat juga kurma yang dijual di kebun kurma, tetapi harganya sangat mahal berbanding dengan yang dijual di pasar dan kaki lima. Ada juga yang menjual kurma segar/muda bertangkai.


Kurma yang dicampur dengan madu atau kekacang dibungkus di dalam kotak


Kurma diperlbagaikan cara memakannya, ada yang berbiji, ada yang tanpa biji, ada yang berinti kacang, ada yang dijadikan pes dan jus. Kurma dibungkus dengan macam-macam cara: berkotak, bertin, berbakul, bertalam dan dikrafkan dengan tangan yang mahir.



Buah-buahan Kering dan Kekacang



Kismis


Buah-buahan kering seperti buah tin, aprikot dan kismis pula menjadi kegemaran pembeli ketika berada di pasar kurma di Madinah.

Buah tin ialah buah yang disebutkan di dalam Al-Quran dan terdapat sebuah surah yang bernama At-Tin.

Kismis pula menjadi kegemaran kerana ia makanan sunnah dan berkhasiat untuk otak. Ia bersaiz besar, warnanya kuning/hitam dan lembut.

Kesemua buah tin, aprikot dan kismis ini berharga di antara 15 rial hingga 26 rial sebungkus.


Kacang kuda dan  biji gajus


Kekacang seperti pistachio, badam, biji gajus dan kacang kuda juga boleh didapati di pasar kurma. Pistachio (kacang cerdik)  menjadi kacang yang paling digemari jemaah untuk dibawa pulang. Ianya rangup dan mempunyai dua rasa samada manis atau masin. Harganya di antara 35-40 rial sekilo. Kacang ini mengandungi zat besi, kalium, niasin, riboflavin, folat dan zing yang boleh menurunkan kadar kolesterol. Kacang ini juga bagus untuk otak.

Buah-buahan kering dan kekacang ini menjadi kegemaran jemaah untuk dibawa pulang dan dijamu kepada tetamu yang menziarahi mereka.



Cokolat


Cokolat Arab


Jadikan cokolat Arab sebagai ole-ole yang diberikan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi orang dewasa apabila pulang nanti. Malahan ia boleh dijadikan hadiah yang istimewa. Pilihlah cokolat susu, coklat gelap, atau cokolat dengan inti kacang, kurma atau kismis. 

Ia dijual secara 'loose' dan ada juga yang sudah siap dibungkus dengan kertas timah dan aluminium berwarna-warni. Cokolat ini boleh didapati dengan mudah di kedai-kedai atau di gerai-gerai kaki lima sekitar Madinah.

Ia dijual secara timbangan di antara 25 rial sekilo hingga 40 rial sekilo. Pembeli boleh cuba merasa cokolat ini sebelum membelinya. Peniaga biasanya akan menyebut "halal" yang bermaksud boleh "cuba rasa."

Isnin, 14 Ogos 2017

Umrah 2017 (Bhg.4) | Panduan ke Raudah

D i dalam Masjid Nabawi terdapat sebuah tempat yang digemari oleh Rasulullah untuk beribadat. Ia dikenali sebagai Raudah yang bermaksud taman syurga.

Kawasan Raudah ini, bukannya luas, namun ramai jemaah ingin memasukinya kerana inilah tempat mustajab doa. Oleh kerana keluasannya yang kecil dan ramai pengunjung, maka adalah sukar untuk mendapatkan tempat di situ, terutama bagi kaum wanita.  

Jemaah lelaki lebih beruntung kerana mereka dapat menghampiri mihrab dan berada di Raudah lebih lama

Suasana di luar Masjid Nabawi yang berdekatan dengan makam Rasulullah S.A.W


Saya telah beberapa kali ke Raudah. Melalui pengalaman saya ini, saya pernah diberi kepercayaan untuk membawa jemaah haji wanita ke Raudah pada musim Haji 2010.  Di  sini ingin saya kongsikan beberapa panduan untuk ke Raudah bagi kaum wanita.

1. Kenalpasti waktu Raudah dibuka


Terdapat waktu-waktu tertentu yang mana Raudah dibuka untuk kaum wanita: iaitu pada waktu duha (10 pagi), selepas solat zohor, selepas solat asar dan selepas solat isyak. Pilihlah waktu yang anda rasa sesuai untuk ke situ.

Datanglah sejam lebih awal dari waktu ia dibuka, kerana kita perlu menunggu giliran dan berubah-ubah tempat.

Saya lebih suka ke Raudah selepas solat isya iaitu pada pukul 11.00 malam kerana jemaah kurang ketika itu dan saya berpeluang solat lebih lama.


Raudah yang terdapat di dalam Masjid Nabawi dibuka pada waktu tertentu dan lokasinya jauh ke dalam masjid

2. Solat sunat tahyatul masjid dan solat sunat hajat


Ketika masuk ke dalam masjid Nabawi untuk tujuan memasuki Raudah, lakukan solat tahyatul masjid terlebih dahulu dan diikut dengan solat sunat hajat. Berdoalah kepada Allah supaya anda dapat memasuki Raudah dengan mudah.

Jemaah wanita perlu berjalan di dalam Masjid Nabawi dari pintu masuk lebih kurang 5-10 minit untuk sampai ke Raudah

Bahagian siling Masjid Nabawi

3. Ikutlah arahan dan berada dalam kumpulan jemaah Malaysia


Duduklah dalam kumpulan jemaah wanita Malaysia sebagaimana yang diarahkan oleh polis wanita yang menjaga kawasan Raudah. Tunggulah giliran sehingga dipanggil untuk memasuki Raudah. Anda perlu beralih kedudukan berkali-kali di dalam masjid untuk ke Raudah kerana kedudukan Raudah itu jauh di dalam masjid.

Raudah terbentang di antara rumah Rasulullah SAW (kini makam baginda SAW) dan mimbar Rasulullah SAW.


Jemaah Malaysia dan Indonesia sedang duduk di pintu masuk Raudah menanti giliran. Amaran supaya jemaah tidak berebut-rebut memasuki Raudah diletakkan pada pintu masuk


4. Memasuki Raudah dan mencari permaidani hijau


Ketika dipanggil memasuki Raudah, masuklah dengan segera dan elakan dari berebut-rebut kerana ini boleh mencederakan diri sendiri.

Keluasan Raudah hanyalah 26 meter x 16 meter. Ia ditandakan dengan permaidani hijau yang dibentangkan di atas lantai. Perhatikan permaidani hijau itu. Sekiranya warna permaidani yang terbentang di kaki anda bukan bewarna hijau, maka anda masih bukan berada di kawasan Raudah.


Permaidani hijau ini menandakan inilah kawasan Raudah



5. Lakukan solat sunat di hadapan dinding putih


Bergeraklah ke hadapan sehingga ke dinding putih yang menghadang pandangan ke arah mimbar Rasulullah S.A.W. Pilihlah kawasan yang berhampiran dengan dinding putih supaya terhindar dari orang lalu-lalang di hadapan anda. Sekiranya ruangan di hadapan sudah penuh, lakukan solat di mana-mana bahagian tetapi pastikan anda berada di atas permaidani hijau.


Dinding putih yang menghadang pandangan mimbar dan makam Rasulullah SAW

Lakukan solat sunat 2 rakaat di sini. Anda boleh melakukan sebarang solat sunat seperti solat sunat mutlak. Ketika melakukan solat ini, mintalah kawan anda menjaga anda ketika solat, ini disebabkan orang terlalu ramai lalu lalang di hadapan anda, ruang solatnya sempit dan anda mudah dilanggari oleh jemaah lain. Setelah anda selesai solat dan berdoa, jagalah kawan anda pula. 

Lakukan solat sunat berhampiran dinding putih ini

Selesaikan solat dan doa anda, dan beredarlah segera supaya dapat memberi peluang kepada jemaah lain untuk solat di situ. Keluarlah ke arah pintu kanan. Anda akan dapati bahawa terdapat beberapa polis wanita yang memakai niqab hitam sentiasa mengawal anda. Sekiranya anda berada lama di situ, polis wanita itu akan segera menyuruh anda keluar.


Kawasan dalam Raudah bagi kaum wanita yang sesak

 Keluarlah ke arah kanan setelah selesai solat

Pintu keluar dari Raudah adalah sebelah kanan


6. Minum air zam-zam


Setelah keluar dari Raudah, berjalanlah ke muka pintu Masjid Nabawi dan berhentilah sebentar untuk meminum air zam-zam. Untuk mengelakkan serangan batuk, pilihlah air zam-zam yang disimpan dalam tangki bertulis NOT COLD kerana tangki yang lain diisi dengan ais batu.


Jemaah wanita dari Malaysia berjalan keluar dari Raudah menuju ke pintu utama Masjid Nabawi


Tangki betulis NOT COLD ini mengandungi air zam-zam yang tidak bercampur ais batu


Itulah panduan untuk memasuki Raudah. Semoga segalanya dipermudahkan Allah.

Untuk membaca kisah saya mengunjungi Raudah sebelum ini, sila baca entri berikut:

Backpack ke Madinah & Mekah (Bhg 1): Ke Madinah Melalui Thailand dan Qatar