Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 12 September 2017

Umrah 2017 (Bhg. 6) | Beribadat dan Ziarah di Mekah

Baitullah di Mekah adalah tempat yang saya suka kunjungi. Saya sentiasa bermohon kepada Allah semoga saya dapat ke sini lagi walaupun ini sudah kali ke-4. Syukur kerana Allah mengabulkan permintaan saya.

Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadah) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkahi dan menjadi petunjuk bagi semua manusia. Padanya terdapat tanda-tanda yang nyata, (di antaranya) maqam Ibrahim; barangsiapa memasukinya (Baitullah itu) menjadi amanlah dia; mengerjakan haji adalah kewajiban manusia terhadap Allah, yaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah; Barangsiapa mengingkari (kewajiban haji), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam. (Surah Ali Imran:96-97)

Tawaf


Tawaf Keliling Kaabah diutamakan apabila masuk ke kawasan Baitullah


Tawaf mengelilingi Kaabah adalah perkara utama yang saya lakukan apabila saya berada di Baitullah Mekah. Kawasan sekeliling Kaabah sentiasa penuh dengan manusia dari pelbagai pelosok dunia. Walaupun berada dalam lautan manusia, saya dan suami masih mempunyai ruang untuk tawaf dan tiada masalah langsung. Kami berdua sama-sama berzikir dan berdoa ketika tawaf.

Walaupun jemaah umrah datangnya dari pelbagai sudut dunia dan mempunyai pelbagai warna kulit, apabila solat semuanya menghadap ke arah yang satu iaitu Kaabah. Apabila berjemaah mereka berdiri dalam saf yang lurus, melambangkan kekuatan dan kesatuan ummah yang mana sekiranya musuh-musuh Islam melihatnya mereka akan merasa gentar. Perasaan ukhuwah ini amat terasa di sanubari saya apabila berada bersama-sama mereka.

Pancuran emas dari Hijir Ismail


Merenung dekat-dekat Kaabah yang menjadi arah kiblat umat Islam sedunia, menjadi idaman kebanyakan Muslim. Jemputan dari Allah ini tidak disia-siakan dan pasti disambut dengan gembira. Sudut-sudut yang menjadi tarikan utama seperti Hajarul Aswad, Multazam, Hijir Ismail, Rukun Yamani, Makam Nabi Ibrahim direbuti mereka untuk solat, berdoa dan berzikir.

Terasa amat rugi kalau saya tidak dijemput ke sini.


Saie



Saie dari Safa ke Marwa

Mengerjakan saie adalah salah satu daripada rukun umrah dan dilakukan dengan berjalan kaki atau berlari-lari anak bagi kaum lelaki dari Bukit Safa ke Bukit Marwa.

Saya turut berulang-alik dengan berjalan kaki perlahan-lahan bersama suami saya. Disebabkan faktor usia yang sudah menjangkau setengah abad, kekuatan saya berjalan tidak sepantas dahulu. Tapi syukur ke hadrat Illahi kerana saya masih mampu menggunakan kedua-dua kaki saya untuk melakukannya.
'
Berdoa di Bukit Safa

Bukit Safa adalah permulaan bagi ibadah saie. Kini saya dapat melihat dengan jelas jemah di kawasan Bukit Safa dari tingkat atas Masjidil Haram disebabkan pembangunan renovasi yang dilakukan.


Laluan saie untuk mereka yang menggunakan kerusi roda ini terletak di tingkat 1 Masjidil Haram

Pembangunan Kota Mekah


Banyak perubahan yang saya saksikan di kawasan saie sejak kunjungan saya tiga tahun dahulu. Kini kawasan saie sudah bertambah dan bertingkat-tingkat, dan dilengkapi dengan kemudahan bagi jemaah.


Kompleks membeli-belah, hotel dan Menara Jam di hadapan Masjidil Haram

Begitu juga di kawasan luar Masjidil Haram, sudah dilakukan banyak pembangunan.

Tandas di bina berhadapan dengan Masjidil Haram

Tandas tidak dibina di dalam masjid tetapi dibina di luar kawasan masjid berdekatan dengan kompleks membeli-belah. Disebabkan pengeluasan kawasan Masjidil Haram maka jarak tandasnya lebih jauh berbanding dengan yang dahulu.  

Saya ternampak sistem locker sudah disediakan di kawasan ini untuk kemudahan jemaah menyimpan barang-barang sebelum masuk ke dalam masjid.

Skrin digital lebar terpampang di pinggir-pinggir jalan yang mengandungi pengumuman dan peringatan kepada jemaah, memperlihatkan kecanggihan teknologi di Mekah.


Suasana di dataran hadapan Masjidil Haram

Kawasan di dalam dan di luar Masjidil Haram sentiasa dijaga bersih dan dikawal.

Di hari lain, sekiranya tidak melakukan ibadat di Masjidil Haram, saya dan rombongan pakej TH dibawa menziarahi Mekah. Walaupun saya pernah menziarahi tempat-tempat ini sebelum ini, saya masih berminat untuk mengunjunginya lagi kerana ingin mengingati sejarah dan perjuangan Nabi Muhammad S.A.W menegakkan Islam. Berikut adalah tempat-tempat yang saya ziarahi semasa berada di Mekah:


Jabal Thur


Jabal Thur, terpahat sejarah Rasulullah S.A.W dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi dari ancaman Quraisy


Jabal Thur adalah bukit yang terletak di selatan Mekah, kira-kira 5 km dari Baitullah. Ketika kami sampai, kami dapat lihat ramai orang mendaki bukit itu menunju ke puncak. Kami tidak ikut mereka mendaki, cuma melihat dari bawah.

Di Jabal Thur ini terdapat sebuah gua yang pernah dijadikan tempat persembunyian Nabi Muhammad S.A.W dan Saidina Abu Bakar AsSiddiq dari ancaman kaum Quraisy.  Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad S.A.W diperintahkan Allah untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Baginda S.A.W dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di sini selama 3 hari. Orang yang menghantar makanan kepada mereka di sini ialah puteri Saidina Abu Bakar. Saidina Abu Bakar sentiasa bersama Rasullullah S.A.W dan memastikan keselamatan baginda S.A.W walaupun kakinya digigit binatang berbisa.

Orang Quraisy ingin menghentikan dakwah Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W, lalu memberi berbagai ganjaran kepada sesiapa yang berjaya membunuh baginda S.A.W.

Ketika orang Quraisy datang mencari Nabi Muhammad S.A.W sehingga sampai ke sini, labah-labah membina sarangnya dan menghalang orang Quraisy untuk mendekati baginda. Orang Quraisy itu pun membatalkan rancangan mereka untuk memasuki terus ke dalam gua. Tetapi cicak telah berbunyi, ini membuatkan orang Quraisy itu mengesyaki ada manusia di dalam gua itu. Oleh kerana gua itu terlalu rendah mereka tidak berani untuk memasukinya, tetapi membaling batu ke dalamnya. Balingan batu ini menyebabkan gigi Nabi Muhammad S.A.W berdarah/patah. Kerana itulah, kita disunatkan membunuh cicak. Wallahu'alam.

Peristiwa ini dinyatakan di dalam Al-Quran yang bermaksud:

Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. Dan Allah sebaik-baik Pembalas tipu daya. (Surah Al Anfal: 30)


Jabal Rahmah


Jabal Rahmah tempat pertemuan Nabi Adam  A.S dan Siti Hawa


Jabal Rahmah adalah sebuah bukit yang letaknya tidak jauh dari Padang Arafah (tempat wukuf ketika mengerjakan haji). 


Jabal Rahmah adalah bukit pertemuan di antara Nabi Adam A.S dan Siti Hawa setelah mereka terpisah bertahun-tahun kerana diperintahkah oleh Allah keluar dari syurga dan turun ke dunia. Mereka dikeluarkan dari syurga kerana melanggar larangan Allah memakan buah kuldi di syurga. Dikatakan melalui beberapa sumber Nabi Adam diturunkan di India/Sri Lanka manakala Siti Hawa di Irak. Setelah kedua-duanya bertaubat, mereka dipertemukan semula di Jabal Rahmah dan meneruskan kehidupan sehingga melahirkan anak serta keturunannya sehingga sekarang.

Ketika kami sampai, tempat ini sudah ada ramai manusia. Di bawahnya terdapat ramai peniaga sehinggalah ke atas bukit. Di atas puncak bukit terdapat sebuah batu peringatam dan ramai yang bergambar di hadapannya. Saya mendaki ke atas bukit itu perlahan-lahan sehingga ke puncak. Dari puncak Jabal Rahmah saya dapat melihat sekeliling dan kawasan padang Arafah. 

Ramai juga orang berdoa di atasnya.  Sempena pertemuan kembali Nabi Adam dan Siti Hawa di sini, maka doa untuk mendapat jodoh amat sesuai dilakukan di sini. Tetapi kami sudah dipesan oleh mutawif supaya berdoa menghadap ke arah luar bukit bukannya menghadap batu yang terdapat di puncak bukit itu untuk mengelakkan perkara bidaah.


Khemah di Mina


Khemah di Mina ini akan penuh sesak selama 3 hari di musim haji, tetapi sepi di hari-hari lain

Kami dibawa melihat kawasan perkhemahan di Mina. Kami hanya melihat khemah-khemah tetap yang kosong. Saya teringat ketika saya berada di sini pada musim haji, saya perlu beratur lama dan panjang untuk ke tandas, tetapi ketika saya menziarahinya baru-baru ini, saya hanya melihat khemah-khemah dan tandas-tandas yang kosong.

Kawasan perkhemahan ini hanya penuh dengan jemaah haji ketika hari Tasyrik selama 3 hari dalam bulan Zulhijjah untuk ibadat melontar jamrah. Tetapi tempat ini menjadi sepi selepas selesai ibadat melontar.  

Masjid di Mudzalifah



Perkuburan Maala



Perkuburan Maala menempatkan jenazah penduduk Mekah. Di sinlah Siti Khadijah dimakamkan.

Tidak berjauhan dari Baitullah terdapat tanah perkuburan Maala iaitu tanah perkuburan untuk penduduk Mekah. Di sini bersemadinya jasad Siti Khadijah iaitu isteri Rasulullah S.A.W, putra baginda S.A.W, ibu dan bapa Siti Khadijah, sebahagian besar keluarga Bani Hashim dan para sahabat.

Penghuni perkuburan Maala adalah antara orang yang pertama dibangkitkan di akhirat setelah perkuburan Baqi di Madinah.



Bangunan dan bukit-bukit di Mekah


Masjid Jaaranah


Masjid Jaaranah adalah salah satu daripada miqat untuk niat umrah


Masjid Jaaranah dikunjungi kerana ia adalah tempat bagi jemaah umrah  untuk berniat umrah. Ia terletak lebih kurang 24 km dari kota Mekah. Kami hanya singgah sebentar. Sebagaimana biasa, terdapat peniaga berniaga di perkarangan masjid.


Begitulah ibadat dan ziarah saya di Mekah dan semoga mereka yang belum lagi ke sini dijemput Allah.



Baca juga:

Backpack Ke Madinah dan Mekah (Bhg 3): Baitullah Oh Baitullah, Ku Sampai Jua
Backpacke ke Madinah dan Mekah (Bhg 4): Orang Melayu Mekah
Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 5): Beriktikaf di Masjid al Haram
Naik Haji (1): Wukuf di Arafah dan Mabit di Muzdalifah
Naik Haji (2): Dugaan di Mina, Berkorban dan Melontar
Naik Haji (3): Umrah, Ziarah dan Membeli-belah pada Musim Haji di Mekah

...bersambung