Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 1 Julai 2016

Shopping Raya 2016 ~ Adakah cara anda sama dengan saya?

H ari Raya tak lama lagi, berpakaian baru, hidangan kuih raya yang enak dan hiasan rumah yang cantik adalah pilihan kebanyakan kita, termasuklah saya sekeluarga. Macam-macam cara saya lakukan untuk shopping  Raya ini. Entri kali ini mengajak anda bercerita tentang cara yang sering kita lakukan ketika hendak shopping Raya. Yang mana satukah cara yang sering anda lakukan?


#1 ~ Menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Menempah baju mempunyai kelebihannya kerana kita membeli baju berdasarkan bentuk dan ukuran badan kita. Biasanya ia selesa dipakai. Menempah baju raya memerlukan persediaan yang lebih awal. Ini disebabkan kita perlu membeli kain terlebih dahulu dan mendapatkan tukang jahit.

Kadang-kadang saya menempah baju raya sebulan sebelum bulan Ramadhan, kerana kalau lambat ditempah, tukang jahit tidak mahu menerima tempahan lagi. Biasanya saya akan mencari kawan-kawan atau saudara mara yang bekerja sebagai tukang jahit untuk membuat baju raya saya. Disamping menyokong bisnes mereka, saya dapat harga yang lebih murah berbanding dengan harga yang dikenakan oleh tukang jahit yang tiada hubungan dengan saya.

Kadang-kadang saya terlalu sibuk sehingga tak sempat untuk membeli kain dan menempah baju, jadi saya membeli yang sudah siap dijahit. Cuma pilihannya agak terhad, terutama warnanya. Kadang-kadang baju yang saya suka itu terlalu sempit atau terlalu longgar bagi saya. Jadi saya akan memilih baju mengikut ukuran badan saya walaupun warnanya tidak saya gemari. 

Bagaimana dengan anda pula? Adakah anda menempah baju raya atau membeli yang sudah siap?


Suasana di bahagian kain ela di Jakel Kuala Lumpur ketika jualan murah dilakukan sebelum masuk bulan Ramadhan

#2 ~ Membeli baju raya pada bulan Ramadhan atau sebelumnya?


Ada yang suka membeli baju raya sebelum masuk bulan Ramadhan, ada pula yang suka membeli pada bulan Ramadhan.

Suami saya suka shopping raya sebelum masuk bulan Ramadhan lagi. Menurutnya, harga pakaian lebih murah berbanding dengan yang dijual pada bulan Ramadhan.

Tapi saya suka shopping baju raya pada bulan Ramadhan, dekat-dekat hendak masuk Syawal. Sebabnya mood membeli baju raya lebih tinggi pada bulan ini berbanding sebelum masuk bulan Ramadhan. Lagipun pada bulan Ramadhan fesyen-fesyen baru akan keluar. Pilihannya banyak. Tentu seronok memilih baju-baju dengan pilihan yang pelbagai.

"Yang mana elok? Purple ke merah?", tanya suami saya pada saya ketika membeli baju Melayu di Parkson Ipoh sebelum Ramadhan

 Parkson Ipoh  mengadakan jualan murah sebelum bulan Ramadhan. Sepasang baju Melayu ini berharga RM99.90.

#3 ~ Tema baju raya yang sama atau caca marba?


Adakah anda suka menggunakan tema yang sama atau caca marba pada baju Raya anda?

Keluarga saya suka memakai baju yang mempunyai tema yang sama. Ia menggambarkan sehati sejiwa. Apabila mengambil gambar, gambar kelihatan lebih menarik. Saya mempunyai keluarga yang besar, kalau bertemu sanak saudara yang ramai, saya mudah mengenali setiap ahli keluarga kalau mereka memakai pakaian yang sedondon. 


Dengan warna sedondon mudah untuk saya mengenali setiap ahli  keluarga, terutama ahli baru

Kami memilih tema hijau untuk raya tahun ini.  Anda bagaimana pula?

Bagaimana dengan kasut pula, adakah sedondon dengan warna baju atau tidak? Untuk lebih praktikal saya memilih kasut berwarna hitam kerana ia boleh disesuaikan dengan semua warna baju.

Kasut berwarna hitam atau cokolat mudah disesuaikan untuk semua warna pakaian. Parkson Ipoh menjual kasut dengan potongan separuh harga sebelum masuk Ramadhan.

#4~ Fesyen moden atau tradisional?


Adakah anda suka menggayakan fesyen moden atau tradisional pada hari raya?

Keluarga saya suka memilih baju Melayu dan baju kurung pada hari raya pertama. Semasa saya remaja dulu, saya suka memakai kebaya. Tetapi apabila sudah mencapai pertengahan umur, saya tidak lagi berminat memakai kebaya, saya lebih suka memakai jubah. Ini disebabkan jubah lebih selesa dipakai kerana ia longgar dan tidak menampakkan bentuk badan saya.

Tidak kira moden atau tradisional, pilihan untuk raya mestilah sesuai dengan perayaan yang mulia ini, kan?

Apakah fesyen baju raya kegemaran anda?

Adakah fesyen baju di AEON Mall Ipoh Klebang ini sesuai untuk dipakai pada hari Raya?

Adakah baju yang dijual di Jakel Kuala Lumpur ini menjadi pilihan anda?

Yang mana satu pakaian lelaki di Parkson Ipoh ini menjadi pilihan anda?

#5 ~ Membuat sendiri kuih raya atau membelinya?


Adakah anda membuat sendiri kuih raya atau membelinya?

Saya gemar membuat sendiri biskut raya dan kek raya. Ini disebabkan saya rasa lebih puas, dapat membuatnya dalam kuantiti yang banyak dan rasanya lebih sedap. Untuk tujuan ini saya mengambil cuti seminggu sebelum raya.

Kalau kuih raya itu sukar dibuat, saya tempah sahaja kuih itu. Misalnya kuih kapit/kuih sepit dan kek lapis. Biasanya saya menempah pada kawan-kawan yang sama yang membuat kuih raya setiap tahun. Disamping dapat membantu kawan-kawan saya menambah pendapatan, saya sudah pasti akan kesedapannya.

Sekiranya saya ingin membeli kuih raya yang siap dijual di pasaraya, saya akan membelinya pada malam raya, kerana pada masa itu peniaga-peniaga menurunkan harga kuih mereka dengan harga yang sangat rendah.

Kuih raya saya tahun ini

#6 ~ Jahit sendiri langsir atau tempah?


Adakah langsir di rumah anda sudah lama tidak berganti dan warnanya telah luntur? Kalau lama, sudah tiba masanya untuk anda menukar langsir rumah anda. Rayalah hari yang paling sesuai untuk menukar langsir baru.

Adakah anda jahit sendiri langsir itu atau tempah?

Bagi mereka yang pandai menjahit langsir sendiri, tentu  dapat menjimatkan belanja.

Jiran saya menempah langsir rumah mereka dengan pembuat langsir yang datang ke rumah, mengukur tingkap mereka, memberi pilihan corak kain langsir melalui katalog dan memasangkan rel dan langsir untuk mereka. Terdapat 13 buah bingkai tingkap kecil dan besar di rumah mereka. Langisr itu siap dalam masa sebulan. Mereka membelanjakan RM8,000.00 untuk itu!

Sebaliknya, kami hanya membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk saiz dan jumlah tingkap yang sama. Ini disebabkan kain langsir kami beli di kedai,  meminta kawan yang menjahitnya dan upah menjahitnya sangatlah murah. Siapnya pun dalam masa sehari sahaja. Rel langsir dan langsir dipasang sendiri oleh suami saya. Dengan cara ini kami dapat berjimat.

Langsir kami yang baru ditempah siap dalam masa sehari


Walau apapun cara anda berbelanja untuk raya tahun ini pastikan ia sesuai dengan bajet anda dan tidak membazir.

Bagaimana anda shopping raya? Adakah cara anda sama dengan saya? Kongsikan cara shopping anda di ruangan di bawah ini.