Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 30 Ogos 2016

10 Strategi untuk mengelak kecurian ketika mengembara

R amai yang mengalami kecurian ketika mengembara di luar negara. Ini termasuklah kehilangan pasport, duit, kad kredit, kamera, laptop dan telefon pintar. Pengembara asing seringkali menjadi sasaran penyeluk saku dan pencuri kerana mereka menganggap pengembara adalah orang yang beruang berwang.

Pengembara asing sering menjadi sasaran pencuri

Ketika mengembara, kita inginkan keseronokan, tetapi ia musnah sekiranya kecurian berlaku. Ini sesuatu yang menyedihkan. Jadi bagi mengelakkan perkara buruk ini berlaku, di sini saya senaraikan beberapa strategi untuk mengelakkan kecurian:

1. Simpan duit dan dokumen penting dalam poket rahsia


Simpan barang-barang berharga ini di dalam poket rahsia yang dijahitkan pada pakaian dalam. Poket rahsia ini boleh dijahit sendiri atau beli yang sudah siap.  Ada yang berzip dan ada yang berbutang.

Poket rahsia yang siap dijahit pada pakaian dalam boleh dibeli di kedai-kedai menjual barangan haji


Pengalaman saya:  Saya menggunakan cara-cara ini ketika mengembara ke luar negara terutama ketika mengerjakan umrah dan haji

2. Simpan barang berharga di dalam kantung bertali pinggang 


Kantung bertali pinggang yang diikat pada pinggang di dalam pakaian amat sesuai dipakai ketika mengembara. Kantung pada tali pinggang ini boleh memuatkan duit, paspot, kad kredit dan telefon pintar. Ia murah dan boleh didapati di pasar-pasar yang menjual beg dan kedai-kedai menjual barang-barang haji/umrah. Pilihlah kantung yang nipis dan mempunyai banyak bahagian simpanan yang berzip.

Letakkan hanya sedikit duit di dalam kantung ini. Isikan hanya duit yang hendak digunakan segera pada hari itu, tetapi yang selebihnya disimpan dalam poket rahsia. Pencuri yang mempunyai pengalaman tahu ada orang yang menggunakan tali pinggang untuk mengisi duit, tetapi ia adalah agak sukar bagi penyeluk saku itu menariknya kerana kedudukannya di bahagian dalam pakaian.


Kantung bertali pinggang ini mudah diperolehi di pasar-pasar pagi/malam. Ia amat berguna untuk menyimpan wang, paspot, dokumen penting, telefon bimbit dan kamera ketika mengembara

Pengalaman saya:  Saya menggunakan tali pinggang ini ketika di tanah suci.


3. Simpan kamera besar di dalam beg silang


Kamera DSLR berjenama mahal seperti Nikon, Canon dan sebagainya agak besar dan memerlukan beg khas.  Simpan kamera bersaiz besar di dalam beg silang. Jangan masukkan dalam beg galas kerana beg galas boleh digunting oleh pencuri yang menunggu mangsa.

Sandang beg kamera anda di bahagian hadapan badan seperti ini. Ia menyelamatkan beg anda daripada diragut oleh pencuri ketika anda leka membeli-belah

Beg galas yang diletak dengan cara begini boleh mengundang pencuri untuk menggunting beg kita ketika kita sedang leka membeli-belah

Cara yang mana menjadi pilihan anda ketika membeli-belah di pasar ketika mengembara - menggalas beg di belakang atau menyilang beg di hadapan badan?


Pengalaman saya: Saya pernah ditegur oleh peniaga-peniaga di pasar-pasar di Medan, Indonesia kerana saya menggalas backpack saya di belakang. Menurut mereka perbuatan saya ini memudahkan pencuri menggunting backpack saya.


Mengepit beg begini juga memudahkan peragut untuk meragut


4. Jangan terlalu mesra dengan orang yang tidak dikenali 


"Don't talk to stranger" seringkali dipesan oleh ibu bapa kepada anak-anak kecil mereka. Perkara ini patut dijadikan pedoman kepada pengembara. Jangan terlalu mesra dengan orang yang baru kita kenali. Perhatikan tingkah lakunya. Percayalah pada naluri dan gerak hati anda. Kalau terlalu mesra dan mencurigakan, lebih baik hindarkan diri anda. Lebih baik kesunyian daripada merana kemudian nanti.

Say "No" to stranger

Pengalaman saya: Saya pernah ditegur dengan begitu mesra oleh beberapa orang lelaki ketika saya mengembara di Cyprus dan mengajak saya keluar minum. Tetapi permintaan mereka itu saya tolak dengan baik dan tidak menghiraukan ajakan mereka.

5. Jangan tinggalkan barang-barang berharga di bilik hotel


Jangan tinggalkan barang-barang berharga di dalam bilik hotel. Ataupun mengambil minuman di dalam peti ais di dalam hotel. Ini disebabkan di dalam hotel terdapat pekerja-pekerja hotel yang keluar masuk untuk mengemas bilik dan melakukan tugas-tugas lain. Mereka boleh lakukan apa sahaja untuk menganiaya kita.

Peti barang-barang berharga disediakan di dalam bilik hotel. Tapi adakah anda yakin barang anda selamat di sini?

Pengalaman saya: Saya pernah menginap di sebuah hotel di Haatyai, Thailand. Ketika check out, saya pernah diminta membayar lebih kerana saya dituduh mencuri semua minuman di dalam peti ais di dalam bilik hotel itu oleh pengemas bilik hotel itu. Tetapi saya berkeras untuk tidak membayarnya kerana saya tidak melakukan perkara itu. Malahan saya mengugut pengurus hotel itu yang saya akan buat aduan kepada pihak berkuasa. Oleh kerana ugutan saya itu, mereka gagal menyonglap duit saya.

6. Buat salinan semua dokumen penting


Sebelum keluar mengembara, cetak dokumen-dokumen penting seperti pasport, gambar foto sendiri, kad kredit, tiket perjalanan, dll. Buat back-up di dalam digital dan simpankan di dalam folder yang senang diakses di mana-mana. Contohnya dalam dropbox, emel, telefon pintar atau pendrive. Simpan juga di dalam beg kawan anda yang mengembara bersama anda.


Buat salinan pasport dan dokumen penting untuk dibawa bersama ketika mengembara

Pengalaman saya: Saya pernah hilang pasport ketika saya mengembara dari Itali ke Peranchis. Apabila sampai di sempadan Perancis saya mendapati pasport saya hilang. Puas saya mencari dan masih tidak menemuinya. Kejadian ini membuatkan saya panik dan pucat lesi. Saya kembali semula ke hotel tempat saya menginap iaitu di Rome dan meminta penjaga hotel membenarkan saya masuk semula ke dalam bilik hotel. Saya mendapati pasport saya tercicir di bawah katil.  Sejak itu saya sentiasa menjaga pasport saya dengan baik-baik dan membuat salinannya.


7. Bawa hanya kad ATM yang boleh digunakan di luar negara.


Sekiranyanya anda ketiadaan wang ketika berada di luar negara dan ingin mengeluarkannya melalui mesin ATM, anda boleh melakukannya.

Sebelum ke luar negara, pergilah ke bank anda dan minta pegawai bank mengemaskini kad anda untuk digunakan di luar negara. Pastikan ia telah diaktifkan untuk tarikh dan tempat yang hendak dituju. Kebiasaannya kad ATM yang mempunyai logo MEPS, CIRRUS boleh digunakan di kebanyakan negara.  Misalnya di China, Australia dan lain-lain negara.


Kad bank Malaysia yang mempunyai logo CIRRUS, MAPS, Union Pay boleh digunakan pada ATM di China


Pengalaman saya: Saya lakukan pengaktifan dan pengemaskinian kad ATM sebelum saya ke China dan saya sering mengeluarkan wang tunai melalui mesin ATM di sana.


8. Jangan simpan beg anda di bawah tempat duduk bas atau keretapi


Beg yang disimpan di bawah tempat duduk keretapi atau bas juga mudah dijadikan sasaran pencuri. Ada yang mengalami kecurian dan kehilangan barang. Mereka menyimpan beg di bawah tempat duduk bas dan tidur. Apabila sampai mereka mendapati beg mereka telah berlubang akibat digunting atau ditebuk oleh pencuri dan kesemua barang-barang mereka telah tiada. Kejadian ini sering berlaku di negara Eropah.


Jangan letak beg anda jauh dari tempat duduk anda dan tidak dapat dilihat oleh mata anda. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan anda berbuat demikian, letakkan dokumen-dokumen penting sahaja berdekatan dengan anda.


Pastikan anda meletakkan tag nama dan alamat anda pada beg atau letakkan riben/tanda pada beg anda supaya beg anda tidak bertukar ke tangan orang lain.


Jangan letak beg terlalu jauh dari tempat duduk. Letaklah di bahagaian atas tempat duduk berdekatan anda dan dapat dilihat oleh mata anda.

Sentiasa letak beg yang mengandungi dokumen penting di pangkuan atau berdekatan di hadapan anda ketika menaiki keretapi

Pengalaman saya: Saya pernah mendapati bagasi saya tidak ada di bahagian baggage claim di lapangan terbang Bayan Lepas. Iaitu ketika saya pulang dari Cyprus ke Malaysia. Saya memaklumkan perkara ini di bahagian baggage claim dan mengisi borang. Dalam borang itu mereka suruh saya maklumkan jenama dan warna beg saya serta tanda nama pada beg tersebut. Saya dimaklumkan berlaku kelambatan kapalterbang (flight delay) sebelum ini. Mereka suruh saya pulang dahulu dan akan menghantarnya ke rumah saya apabila bagasi saya itu sudah sampai. Selang beberapa jam kemudian mereka datang ke rumah saya dan menghantar bagasi saya. Perkhidmatan ini dilakukan oleh MAS.

Kawan saya pula, pernah kehilangan beg ketika menaiki bas dari Kelantan ke Pulau Pinang kerana beg itu diletakkan di bahagian simpanan beg di bahagian bawah bas. Mungkin begnya telah diambil oleh orang lain. Ini disebabkan sistem tagging dan baggage claim tidak digunakan.

Semasa saya mengembara di Jepun, basnya menggunakan sistem tagging  dan baggage claim. Beg penumpang ini disimpan di bahagian penyimpanan beg di bahagian bawah bas, ini menjamin beg kita tidak terlepas ke tangan orang lain. Sistem tagging dan baggage claim  ini patut dibuat di negara kita juga.

(Untuk membaca pengalaman saya menaiki bas yang menggunakan sistem ini sila KLIK DI SINI )


9. Solat sunat musafir sebelum keluar mengembara


Untuk menjamin keselamatan sepanjang perjalanan jangan lupa melakukan soat sunat musafir sebelum keluar mengembara. Namun begitu perlulah diingatkan bahawa pengembaraan ini mestilah bertujuan baik, bukan untuk melakukan maksiat.

Solat sunat musafir ini dilakukan sebanyak 2 rakaat di rumah sebelum bermusafir. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 
"Perkara terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah menunaikan solat dua rakaat."

Solat dan berdoa mestilah dilakukan oleh pengembara

Pengalaman saya: Saya sering lakukan solat sunat musafir sebelum keluar mengembara kerana tujuan saya mengembara adalah untuk mencari ilmu/beribadat/bertugas/menziarahi seseorang.


10. Berdoa ketika menaiki kenderaan


Ketika menaiki kenderaan bacalah doa menaiki kenderaan: 

سُبْحانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ . وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ

Allah berfirman yang bermaksud: 

"Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali." (Surah Az-Zukruf Ayat 13-14)

Pengalaman saya: Saya pernah menaiki kapalterbang dari Abu Dhabi ke Malaysia yang mana doa menaiki kenderaan ini dibaca dengan jelas oleh juruterbang. Alangkah baiknya kalau semua juruterbang dan pemandu kenderaan awam Muslim membaca doa ini untuk kebaikan bersama.

Apakah tips paling baik yang anda lakukan untuk mengelakkan kecurian/kehilangan barangan/dokumen  penting ketika mengembara? Kongsilah pendapat anda di sini :)