Melihatkan gambar-gambar Mahligai di Werribee dalam buku Visit Melbourne, membuatkan hati saya teruja untuk berada di dalamnya walaupun seketika. Saya rancang lawatan saya itu bersama keluarga dan rakan saya, Ira.
Pada suatu hujung minggu, kami ke Mahligai ini. Letaknya di Werribee, agak jauh dari tempat tinggal kami. Tidak berjauhan dengan Mahligai ini terdapat Werribee Open Range Zoo (Zoo Terbuka Werribee). Jadi kami rancang untuk pergi kedua-dua tempat itu.
Untuk lebih 'adventurous' kami pergi sendiri menaiki kenderaan awam.
Kami naik keretapi dari Springvale ke stesen Southern Cross. Lebih
kurang 45 minit perjalanan. Lepas itu kami turun dan pergi ke Werribee Train Line
di Southern Cross. Perjalanan dari Southern Cross ke Werribee memakan masa kira-kira 30
minit. Werribee berada jauh di luar kotaraya Melbourne, kira-kira 32
km.
Menaiki bas ke Werribee Open Range Zoo dan Werribee Mansion |
Setelah berada di Werribee kami ambil bas menuju ke Werribee Open Range Zoo. Letaknya di K Road, Werribee. Kami ke Zoo dahulu kemudian barulah ke Mansion. Sebabnya, takut ketinggalan bas. Tak banyak bas di sini. Bas terakhir dari Zoo itu, kalau tak silap saya, pukul 4.30 petang.
Di sini saya pautkan cara menaiki kenderaan awam dan jadual perjalanan bas ke Zoo ini:
http://navigatormelbourne.com.au/?p=6
Werribee Open Range Zoo (Zoo Terbuka Werribee)
Kalau di Aquarium Melbourne saya 'up closed and personal' dengan ikan, di Werribee Open Range Zoo saya 'up closed and personal' dengan singa, badak, zirafah, cheetah dan kuda belang. Untuk berada dekat dengan binatang-binatang ini saya perlu menaiki bas Safari yang disediakan di kawasan itu. Bas ini mengelilingi kawasan zoo terbuka yang luas. Kawasan zoo ini dibuat berkonsepkan bumi Savannah di Afrika. Jadi kita dibawa seolah-olah berada di Afrika dengan pondok-pondok tradisional Afrika siap dibina di situ. Binatang-binatang ini lepas bebas di kawasan rimba Savannah yang luas, tetapi berpagar rendah, sedangkan saya duduk terkurung di dalam bas. Ironinya, binatang lepas bebas, tetapi manusia terkurung.
Menaiki bas dalam Werribee Open Range Zoo sambil merakam gambar binatang liar lepas bebas. |
Melihat cheetah dari bilik berkaca |
Jeep ini diletakkan di sini supaya kita dapat merasai suasana bersafari |
Sambil bas bergerak di rimba Savannah ini kami melihat binatang-binatang. Kami tidak lepas memetik kamera merakamkan saat-saat yang jarang-jarang kami alami ini. Tetapi kebanyakan binatang ini tidur di waktu kami datang. Mungkin cuaca panas membuatkan mereka mengantuk.
Apabila sudah mengelilingi kawasan binatang liar ini, kami sekeluarga dan kawanku Ira berjalan kaki di denai-denai Savannah, menyeberangi titian gantung dan duduk di atas sampan yang ada di situ.
Meniti denai-denai rimba Savannah, terasa seperti di Afrika. Cuaca terlalu panas terik. Lihatlah warna gambar ini sudah cukup membuktikan keterikannya. |
Cuaca terik. Apabila
penat berjalan, kami berhenti rehat. Kami masuk ke pondok tradisional Afrika ini. Kemudian duduk di meja berkelah. Kami menghidangkan makanan yang telah dimasak di rumah. Ira bawa bihun goreng. Saya bawa nasi goreng dan 'tuna sandwich'. Terasa makanan itu enak sekali walaupun dah sejuk.
Kemudian kami solat di bawah pokok di rimba Savannah itu. Pengalaman solat di bawah pokok di rimba Afrika ini mengembirakan anak-anak saya. "Solat jangan sekali-kali ditinggalkan," kata saya kepada anak-anak saya.
Untuk melihat video promosi Werribee Open Range boleh tengok di sini: http://www.youtube.co/watch?v=JaOFFnWbNnI
Pada
pandangan saya, binatang-binatang di rimba Savannah ini ada di
kebanyakan zoo
di Malaysia. Zoo Air Keroh Melaka lebih bagus! Binatang-binatang di zoo
Air Keroh lebih sihat dan aktif, berbanding dengan binatang di rimba
Savannah ini yang lebih banyak tidur. Di Werribee badak airnya menyelam tak
timbul-timbul. Zirafahnya nun jauh di sana. Yang seronok cuma melihat
telatah meerkat yang cergas dan ligat.
Meerkat yang comel, cergas dan ligat |
Werribee Mansion (Mahligai Werribee)
Di luar pagar kawasan mahligai itu terdapat taman bunga mawar yang indah. Inilah Victoria State Rose Garden (Taman Mawar Negeri Victoria) yang memenangi anugerah dari Persatuan Bunga Mawar di Victoria. Bunga mawar itu ada pelbagai warna: kuning, merah, merah jambu, putih dan jingga. Dwi-warna pun ada. Harum semerbak taman itu dengan bau mawar. Terdapat beratus-ratus pokok bunga mawar di sini. Oleh kerana saya dan Ira, "Minah Bunga", maka kami bergambar di celah-celah bunga mawar itu walaupun dahannya berduri.
Saya dan Ira bergambar di Taman Mawar Negeri Victoria yang letaknya tidak berjauhan dengan Werribee Mansion. Masuk taman mawar di Werribee ini tak perlu bayar. |
Setelah puas melihat bunga-bunga mawar itu kami masuk ke kawasan mahligai. Keindahan sekeliling mahligai ini amat memeranjatkan saya. Indahnya! Besarnya! Luasnya! Keluasan tanahnya ialah 10 hektar. Saya dapat lihat sebuah kebun dan taman yang luas di sebelah mahligai itu. Bunga-bunga indah, kolam dan pokok-pokok segar seperti conifer, epal dan walnut menghiasi taman itu. Terasa ingin memiliki kawasan mahligai dan taman itu.
Di belakang mahligai itu terdapat kandang-kandang kuda dan ladang biri-biri. Ia kosong dan tua. Terdapat juga arca-arca abstrak dibina menghiasi halaman belakang.
Di sayap kanan mahligai terdapat hotel 5 bintang dan cafe untuk mereka yang mahu memanjakan diri dan lari dari kesibukan kotaraya.
Werribee Mansion telah dibina pada tahun 1870an dan ia adalah antara senibina Itali yang tertua di Australia |
Kami masuk ke dalam mahligai ini. Kami masuk bilik-bilik tidur, bilik makan, ruang tamu dan menaiki tangga mahligai itu. Senibina berkonsepkan Itali dan Victoria menjadi mahligai ini kelihatan klasik. Namun di dalamnya agak gelap dan kurang 'seri'. Kadang-kadang ada sedikit perasaan sunyi dan perasaan seram menghinggap sanubari saya apabila memasuki bilik-bilik yang ada patung-patung sedang duduk. Saya terbayangkan 'macam-macam'. Bagaimanakah keadaan mahligai ini pada waktu malam? Barangkali patung-patung ini bangun dan berjalan-jalan di dalam mahligai yang besar dan tidak dihuni ini? Lalu saya tidak berani mengusik-ngusik sebarang barang di mahligai ini. Maklumlah saya baru sahaja tengok filem Pontianak Harum Sundal Malam..."Pulangkan, pulangkan!" Eee tak pasal-pasal.
Ayatul Qursi meniti di bibir saya pada setiap langkah saya di dalam mahligai besar, sunyi dan tidak dihuni itu.
Ruang dalam Werribee Mansion yang gelap dan suram boleh mencerminkan peribadi pemiliknya |
Saya dapat tahu dahulunya mahligai ini dimiliki oleh orang kaya berasal dari Scotland. Dia membina mahligai itu untuk seorang wanita yang dikasihinya tetapi tidak dapat berkahwin dengannya. Apabila dia meninggal dunia, warisnya tidak dapat menguruskan kawasan ladang dan mahligai ini lalu menjualkannya kepada seorang kaya. Kemudian orang kaya itu menjualkannya kepada kepada pihak gereja. Kemudiannya kerajaan negeri Victoria mendapatkannya dari pihak gereja. Sekarang ianya milik Negeri Victoria dan dibuka untuk orang ramai melawatnya.
Mahligai ini juga boleh dilawati pada waktu malam. Anda dibawa masuk sebagai tetamu oleh seorang pelakon teater yang melakonkan watak seorang pembantu rumah.
Kami tidak lama menghabiskan masa di sini kerana hari sudah hampir petang. Takut ketinggalan bas. Kamipun pulang membawa seribu kenangan.
Untuk anda yang ingin melihat video promosi mahligai ini sila lihat di sini: http://www.youtube.com/watch?v=c-v7Nd-ZcP8&feature=related
Melbourne Zoo
Werribee Open Range ini juga mempunyai adik-beradik kembar dengan Melbourne Zoo. Di bawah ini saya kongsi gambar-gambar saya di Melbourne Zoo. Melbourne Zoo ini letaknya dekat dengan CBD (pusat bandar). Letaknya di Elliot Avenue, Parkville.Yang ini kami pergi masa lain. Pergi sendiri naik tram. Kami naik tram 55 dari William Street. Kalau naik keretapi, ambil dari Flinders Street Station di Upfield Line dan berhenti di Royal Park Station.
Yang menarik di zoo ini ialah dapat melihat beruang koala di atas pokok sedang makan daun eucalyptus (kayu putih). Inilah pertama kali saya dan keluarga saya tengok beruang koala. Seronoknya. Comelnya! Oleh kerana kamera saya masa tu koman sangat, tak boleh nak zoom lebih-lebih.
Koala sedang makan daun eucalyptus. |
Gebu |
Koala suka tidur. Ia tidur 20-22 jam di siang hari.
Kami bernasib baik dapat lihat koala tidak tidur ketika itu |
Emu di Zoo Melbourne |
Wallaby di Zoo Melbourne |
Little Penguin di Zoo Melbourne |
Wallaby |
Pelican juga terdapat di Zoo Melbourne |
Zirafah di Zoo Melbourne |
Buat kali ini saja. Dalam entri yang akan datang akan saya ceritakan lagi kembara saya di bumi kangaroo.