Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 3 April 2012

Great Ocean Road: Keajaiban Alam Yang Memukau, Mesti Tengok

Great Ocean Road, satu lagi keajaiban alam. Kawan-kawan sering menceritakan keindahan Great Ocean Road kepada saya. Kebanyakannya menaiki bas pelancongan. Ada yang gembira. Ada yang pening dan muntah kerana terpaksa melalui jalan-jalan yang berliku-liku.



Sudah lama saya bercita-cita melihat keajaiban fenomena alam di Great Ocean Road ini. Tetapi disebabkan terlalu sibuk menyiapkan tesis Ph.D saya tidak berpeluang ke sana. Kesempatan ini akhirnya tercapai apabila saya dan keluarga saya ke sana bersama dengan kawan-kawan setelah saya menerima ijazah kedoktoran. Pendek kata, ekskursi ke Great Ocean Road ini adalah sempena meraikan saya sebagai seorang yang bergelar Doktor. Jadi ekskursi ini amat menenangkan jiwa saya kerana kepala otak saya tidak berserabut dengan tesis. Semuanya sudah selesai, jadi raikanlah!

Hari rasmi aku bergelar Doktor
Kami pergi bersama 3 keluarga. Keluarga saya, keluarga Kak Fatimah dan keluarga Aida. Kak Fatimah asalnya dari Ipoh, dia adalah residen tetap Australia kerana berkahwin dengan orang Australia. Aida pula ialah calon Ph.D di Monash University, asalnya dari Penang.

Kami memandu sendiri ke Great Ocean Road. Keluarga saya dan keluarga Kak Fatimah menaiki satu kenderaan pacuan 4 roda. Manakala keluarga Aida menaiki sebuah kereta. Jadi 2 buah kenderaan semuanya.

Inilah dua buah kenderaan yang kami gunakan ke Great Ocean Road.
Setelah membaca peta yang dicetak dari internet dan memahami jalannya kamipun bercadang bertolak pada waktu pagi. Kami sudah masak makanan tengahari awal-awal pagi untuk bekalan dalam perjalanan nanti. Kami merancang untuk pergi dua hari dan bermalam di sana semalam.

Oleh kerana pacuan 4 roda Kak Fatimah baru selesai servis pada pagi itu, kami bertolak sudah hampir tengahari. Kami bertolak dari Box Hill. Apabila sampai di Geelong, kami berhenti di taman dan makan tengahari.

Berhenti makan tengahari dalam perjalanan ke Great Ocean Road
http://0.tqn.com/d/studenttravel/1/0/H/N/great-ocean-road-map.jpg

1. Torquay


Great Ocean Road adalah jalan pinggir pantai. Panjangnya Great Ocean Road ialah 263 km. Jalannya berliku dan tebingnya tinggi. Ia bermula di Torquay, di selatan Geelong. Jauhnya Torquay ini dengan Melbourne lebih kurang 185 km (2.5 jam). Had lajunya 80km dan kadang-kadang 50km. Ekskursi kami di Great Ocean Road ini kami lakukan pada bulan Oktober 2007, ketika itu musim bunga. Cuaca amat baik sekali ketika itu.


Perjalanan ke Great Ocean Road
Pantai Torquay ini terkenal dengan tempat orang meluncur (surfing)
Berhenti berehat dan bermain di tepi pantai
Pantai Bells Beach, Torquay yang berbentuk bulan sabit

Sepanjang jalan kami dapat melihat pekan-pekan kecil menghadap pantai yang berpasir putih. Kami sampai di Bells Beach. Pantainya berlekuk sedikit seperti bentuk bulan sabit. Sungguh cantik. Sungguh dramatik. Suasananya sunyi. Kami berhenti rehat dan bermain-main di tepi pantai itu.

Kami melalui Anglesea dan dapat melihat perkampungan nelayan.

2. Lorne

Kami sampai di Lorne, sebuah pekan kecil yang cantik. Lorne ini disempadani dengan lautan dan hutan. Oleh kerana ia masih di Great Ocean Road, maka pekan ini sudah pastinya menghadap laut Selat Bass yang cantik.


Hotel di Lorne yang menghadap Selat Bass
Pekan di Lorne

3. Apollo Bay (Teluk Apollo) dan Otway National Park (Taman Negara Otway)

Kami ke Apollo Bay. Sepanjang jalan kami melihat rumah-rumah dibina menghadap laut yang terbentang luas. Suasana aman dan romantik. 

Kami kemudian melalui hutan-hutan yang ada di situ. Di sini ada hutan hujan yang tebal dan sunyi. Di sinilah Taman Negara Otway. Dapatlah kami lihat flora dan fauna hutan itu yang cantik dan menghijau. Antaranya ialah paku-pakis gergasi dan pokok pine. Di sini juga kami dapat lihat banyak papan tanda jalanraya yang lain daripada yang lain seperti kangaroo dan koala. (Alamak tak ambilah pulak gambar!). Kemudian kami masuk semula ke jalan tepi laut.

Sepanjang perjalanan, Kak Fatimahlah yang memandu pacuan empat roda itu, kerana dia gemar memandu. Saya tawarkan diri untuk memandu, tetapi Kak Fatimah kata, "I'm ok".

Apabila hari menjelang petang kami terus mencari tempat menginap. Kami "walk-in" sahaja. Kami cari sebuah rumah yang muat 3 keluarga ini. Lebih kurang 10 orang. Rumah itu besar. Ada 3 bilik. 2 bilik air. Satu dapur, ruang tamu dan ruang makan. Ada balkoni. Kami kongsi bayar. Tapi saya dah tak ingat berapa entah. Nama rumah penginapan inipun saya tak ingat. Malam itu kami rehat di rumah itu. Masak nasi, makan malam, cuci pinggan, main dengan budak-budak dan sembang-sembang.

Rumah tempat kami menginap di Great Ocean Road. Kelihatan kami sedang check-in, berehat-rehat di sofa dan membuat kerja di dapur.

4. Twelve Apostles Marine Park di Port Campbell

Pagi besoknya kami masak bekalan makan tengahari. Selepas sarapan, kami meneruskan perjalanan di Great Ocean Road.


Bersiap untuk meneruskan perjalanan dari rumah penginapan di Great Ocean Road.

Kami ke Twelve Apostles di Port Campbell. Kami melalui ladang-ladang. Ada juga kami berhenti mengabadikan gambar kami di ladang-ladang yang ada kambing biri-biri dan lembu sedang meragut rumput.

Melalui ladang-ladang

Dalam perjalanan kami berhenti rehat sebentar dan melihat sebuah tebing yang tinggi. Angin terlalu kencang ketika itu. Rasa macam nak melayang. Tudung rasa nak tercabut. Pergerakan kami jadi 'slow motion," langkah kaki terpaksa kami beratkan kerana kalau tidak dilakukan begitu badan kami mungkin melayang ditolak angin yang kuat. Itulah pengalaman pertama saya berjalan melawan tiupan angin kencang. Tetapi menyeronokkan.

Kami meneruskan perjalanan ke Twelve Apostles di Port Campbell. Sesampainya di sana kami ke tandas dan ke Pusat Informasi dahulu.

Tandas awam di Twelve Apostles. Inilah tandas awam pertama yang aku jumpa di Australia yang ada "tandas tinggung/cangkung" macam di Malaysia. Kebiasaannya, tandas di sini "tandas duduk".

Kemudian kami mengambil gambar di papan tanda "Twelve Apostles" lalu menuju ke tepi pantai. Cuaca ketika itu berangin. Angin semakin kuat apabila kami berada benar-benar di tepi tebing. Di sini saya dapat saksikan fenomena alam yang amat ajaib. Terkesima saya melihatnya. Saya tak tahu apakah perkataan yang sesuai untuk saya gambarkan keajaibannya. 

Twelve Apostles memang memukau. Ada lapan tunggul batu pasir yang berdiri dengan kukuh di dalam laut Selat Bass. Ia telah diukir dan dipahat menjadi skulptur yang unik oleh Sang Angin dan Sang Air Laut. Saya telah ceritakan tentang fenomena yang hampir sama ini di Petra tou Romiou di Cyprus dalam entri saya yang lepas, saya rasa Twelve Apostles telah mengalahkan Petra tou Romiou. Subhanallah!

Dikatakan pada masa dahulu, ada 12 batu  pasir seumpama ini, tetapi lama kelamaan terhakis, 1cm setiap tahun dan akhirnya hilang. Sekarang tinggal 8 buah.



Di sinilah alam mahu bermesra dengan kita. Hanya satu di Australia, hanya satu yang benar-benar membawa kita jauh dari kesibukan kotaraya. Jadi saya cadangkan kalau anda ke Victoria, Australia carilah kesempatan melawat keajaiban dunia ini.

5. Menaiki Feri di Sorrento

Setelah puas bermesra dengan Twelve Apostles, kami menuju ke Sorrento. Untuk ke Sorrento kami menaiki feri. Sorrento letaknya di Semenanjung Mornington.

Menaiki feri ke Sorrento

Sampai di seberang kami berhenti makan, solat jamak dan rehat di taman tepi pantai. Sorrento adalah kawasan yang cantik, tepi pinggir pantai. Terdapat banyak rumah-rumah dan kampung-kampung di atas tebing. Ladang-ladang anggur dan strawberi juga banyak di sepanjang jalan.


Masore (makan tengahari, solat dan rehat) di taman tepi pantai di Sorrento


Dari Sorrento, kami menuju ke Pulau Philip. Kami mahu melihat satu lagi habitat semulajadi yang digemari iaitu tempat tinggalnya Little Penguin. Little Penguin ini berarak beramai-ramai di pantai Pulau Philip ini pada waktu senja. Untuk menyaksikan ini, kami perlu sampai sebelum matahari terbenam.

6. Perarakan Penguin Kecil di Philip Island

Kami sampai ke Philip Island pada pukul 7.00 malam. Sudah hampir senja. Kami nyaris-nyaris terlambat, kalau tidak peluang untuk melihat perarakan penguin terlepas. Ini disebabkan penguin yang seharian keluar mencari ikan berarak pulang beramai-ramai pada waktu senja, selepas matahari terbenam.

Apabila sampai di kawasan penguin yang dijaga dan dikawal, kami terus mencari parkir. Kelihatan banyak bas-bas pelancongan sudah sedia meletakkan bas mereka di parkir. Kamipun beratur untuk bayar tiket. Bayarannya agak mahal. AUD65.00 (RM195.00) seorang.

Tiket jualan

Harga tiket


Kami masuk, berjalan meniti pelantar kayu ke arah pantai Selat Bass dan duduk di bangku panjang yang dibuat di atas pantai. Sudah ada beberapa orang menunggu. Tidaklah terlalu ramai. Kami duduk menunggu penguin pulang dari mencari makan seharian di lautan. Kami pindah duduk depan sekali, di atas pasir di pantai. Kami  ingin benar-benar melihat penguin dekat dengan kami.

Selat Bass

Kami tidak dibenarkan merakam gambar atau video. Ada pekerja yang sentiasa mengawal dan memeriksa sesiapa yang mengambil gambar. Ada yang rakam gambar, kameranya dirampas!  Pekerja di situ memberi amaran kepada semua orang supaya jangan mengganggu penguin ini dengan kamera yang berflash.

"Ini yang tak syok, tak boleh ambil gambar," kesal saya.

Rasa teringin sangat nak petik kamera saya itu. Kamera saya boleh ambil gambar tanpa flash. Tetapi pengawal mundar-mandir di hadapan saya. Jadi saya tak mahu kamera saya dirampas, jadi simpan sahajalah.

Pengawai di situ katakan bahawa kamera menganggu penguin itu. Mereka katakan secara halus. Sebenarnya bukan sebab itu, tapi sebab mereka hendak duit, kalau nak ambil gambar kena ambil di studio mereka. Cekik darah betul!

Koloni penguin ini adalah dari jenis Little Penguin (Eudyptula minor) yang berumah di pantai Philip Island ini.  Saiznya kecil sahaja. Tingginya lebih kurang 1 kaki dan beratnya antara 1.0 ke 1.2 kg. Inilah spesis penguin yang paling kecil. Penguin ini makan ikan kecil seperti ikan bilis dan sardin. 

Papan tanda di luar pintu masuk

Kami menunggu sebentar. Tidak berapa lama kemudian, saat yang kami nanti-natikan pun tiba. Di sini saya dapat melihat hebatnya ciptaan Allah. Haiwan yang Allah jadikan ini juga mempunyai sifat-sifat kemanusiaan. Beginilah kisahnya:

Datang seekor penguin yang kecil badannya dan mendarat di pantai. Inilah ketua koloni penguin ini. Dia berdiri menunggu di pantai. Kemudian beberapa ekor penguin lain mendarat seekor demi seekor. Mereka ini menunggu-nunggu penguin-penguin lain sampai. Ketua penguin tadi kemudiannya berjalan ke arah darat bersendirian. Kemudian dia berhenti dan meninjau-ninjau kawasan darat. Setelah diperhatikan keadaannya selamat, dia kemudiannya berpaling semula ke arah penguin-penguin lain yang baru mendarat itu. Setelah 6 hingga 8 ekor penguin mendarat dan terkumpul, maka ketua penguin kelihatan bercakap-cakap dengan penguin-penguin itu. Barangkali mengira-ngira bilangan penguin yang terkumpul dan bertanya-tanya, "Sianu dan Sipolan dah balik tak?" Setelah itu  ketuanya membawa jemaahnya masuk sarang. Penguin ini berjalan terkedek-kedek. Dari jauh, warna bahagian depan badan penguin yang putih itu nampak seperti orang memakai jubah putih.

Gembira sangat kami melihatnya. Gerak-geri penguin yang berjemaah itu amat menggelikan hati kami. Penguin ini naik ke darat dan masuk ke dalam sarangnya yang terletak di belakang kami. Yang paling menarik dan tidak dapat saya lupakan, seekor penguin lalu betul-betul di hadapan saya, kira-kira setengah kaki jaraknya dari saya. Selamba sahaja, tanpa takut. Geram sangat melihatkan penguin itu. Comelnya.

Setelah masuk ke dalam sarang, iaitu di rumput-rumput dan lubang pasir, datang pula seekor penguin lain dari laut. Maka berulanglah kembali perarakan berjemaah itu sekali lagi tetapi dari jemaah yang berlainan. Perarakan ini berlaku berulang kali sehinggalah habis semua penguin itu pulang dari mencari rezeki di lautan dan masuk ke sarang mereka. Keadaan penguin yang berkerjasama, berukhwah dan berkumpulan itu mengagumkan kami. Subhanallah! Satu kejadian ciptaan Allah yang maha hebat.

Sepatutnya kita ambil iktibar daripada sikap penguin ini, yang rajin berusaha mencari makan di lautan yang luas dan bergelora sehari suntuk dan pulang pada waktu senja. Mereka hidup berkerjasama, bersatupadu, bermesyuarah dan berukhwah. Tetapi kita manusia, adakah kita lakukan begitu?

Setelah seronok melihat penguin-penguin itu, kamipun kembali ke darat. Kami meniti semula pelantar kayu tadi, barulah kami perasan sarang penguin itu ada di situ. Kami dapat lihat penguin itu masuk ke dalam sarang belukar. Ada juga yang masuk ke dalam lubang pasir dan ada yang duduk di bawah batang kayu. Ada yang tidur berkumpulan, ada yang tidur bersendirian, ada yang  mengawan. Sambil berjalan kami dapat dengar bunyi penguin itu. Seronoknya.

Bila sampai hampir di pintu keluar, kami pergi membeli-belah di kedai cenderamata. Ada yang menawarkan khidmat mengambil gambar dengan penguin itu, tetapi kami tak minat sebab itu hanya penguin palsu (gambar dan patung) sahaja.

Patung penguin dipamerkan di ruang hadapan kawasan melihat penguin berarak 


Seramik leper bergambar penguin ini saya beli di sini. Seramik cantik ini saya gunakan sebagai pelapik teko di meja makan


Kalau anda berminat hendak mengetahui perarakan penguin ini boleh lihat di Youtube. Ada yang berjaya mencuri-curi tangkap gambar video ini. Tetapi perasaan dan sudut pandangan saya tidak sama seperti dalam video itu. Saya cadangkan tengok yang ini: http://www.youtube.com/watch?v=odp38PZKC_8 atau yang ini http://www.youtube.com/watch?v=3b47OUWPgok&feature=related
"Tiadalah haiwan yang melata di bumi dan tiada pula burung yang terbang dengan sayap-sayapnya, melainkan semuanya itu adalah umat-umat yang seumpama kamu jua." (Al An Aam:38)
Teruskan bersama Naramas Aman dalam entri yang akan datang.


14 ulasan:

  1. Tiket masuk ke tempat penguin tu agak mahal. Kalau pergi secara berjemaah pasti kopak. Bertuah orang yang dapat belajar dan tinggal di sana... :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. Memang mahal tiket tu. Habis kopak kami satu keluarga, hampir seribu ringgit lesap. Dahlah mahal, nak ambil gambarpun tak boleh. Tetapi pengalaman itu amat berharga sekali. Alhamdulillah, saya dapat belajar dan tinggal di sana, semuanya atas izin Allah.

      Padam
  2. Sayangnya saya tak tengok penguin…kiranya dari Gread Ocean Road, Doktor naik ferry ek?? Tak bahaya ke sebab saya tgk laut tu mcm menakutkan ombaknya.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Zila,
      Saya harap Zila dapat tengok penguin tu suatu hari nanti. Seronok juga dpt tengok kelakuan penguin tu. Ya, dari Great Ocean Road tu kami menyeberangi ke Philip Island ikut feri. Maknanya, pergi ikut jalan lain balik ikut jalan lain. Kereta masuk sekali dalam feri Sorrento. Ferinya macam feri Penang, cuma anginnya kuat di Sorrento. Tidak merbahaya feri Sorrento tu, kami siap jalan-jalan di atas feri (bhg luar) dan turun naik tangga feri. Bila sejuk duduk di dalam, order minuman panas.

      Padam
    2. Ooo..kiranya balik ke Melbourne ikut Monington Peninsula lah ek?? Bestnya boleh rasa jalan darat dan laut. Masih terbayang lagi dari jauh nampak corak putih2 tengah laut..mulanya xtau benda apa..rupa2nya ombak..

      Atas ferry tu berapa lama ek doktor?? Cakap pasal angin kt sana..saya still boleh terasa betapa freshnya angin tu..tenang smuanya..begitu indah ciptaan Allah!!!

      Padam
    3. Zila,
      Ya, balik ke Melbourne ikut Mornington Peninsula via feri Sorrento sebab nak cuba jalan lain, nak merasa naik feri dan nak ambil jalan pintas. Feri itu memakan masa 45 minit untuk menyeberangi ke Philip Island. Kita boleh lepak di dalam feri sambil minum atau makan fruit cake atau Fish and Chips. Tapi kami tak makan fruit cake di sini, sebab fruit cake di Australia ini biasanya letak brandy untuk bagi tahan lama dan sedap.

      Kita juga boleh lepak di atas dek feri dan tengok pemandangan, kapal belayar, dolphin berenang. Tapi masa kami pergi tu angin terlalu kuat, tak nampak dolphin pun. Duduk sekejap saja di atas dek (luar/atas) sebab sejuk sangat.

      Saya seronok tengok gambar Zila di Great Ocean Road :)

      Padam
  3. Great Ocean Road ni biasa saya dengar, tapi belum berkesempatan jejak kali bumi Aus lagi. Cantik photo pemandangan yang diambil dan nak tanya kenapa tak culik seekor pengiun boleh bela kat belakang rumah kan....

    BalasPadam
  4. AndaQue,
    InsyaAllah AndaQue akan sampai ke Great Ocean Road. Mungkin cara kembara AndaQue jauh lebih mencabar dan "adrenaline' berbanding dengan kembara saya. Mungkin AndaQue naik kapal atau berbasikal atau hitchhike ke Great Ocean Road. Lepas itu culik penguin bawa naik basikal balik Ipoh...he he he...

    BalasPadam
  5. Ha ah memang nak culik sekor dua nanti

    BalasPadam
    Balasan
    1. AndaQue,
      Penguin tu nak dibela atau nak dibuat rendang tok? Kalau nak bela kena letak dalam cold storage. Kalau nak buat rendang kena letak dalam kuali he he he...

      Padam
  6. kak, nak tanya skit. Kalau kite booking hotel for 2, then check in ada 3 diorang boleh terima ke? or memang kene booking for 3 jugak?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Avdore,
      Selamat datang dan terima kasih kerana melawat blog ini.

      Kalau booking utk 2 tapi check in 3 org, yang ke-3 tu tak ada katil. Kalau badannya kecil, tak ada masalah, boleh kongsi katil. Tapi kalau besar, kesian padanya kerana kena tidur atas lantai yg sejuk.

      Kalau kita hendak tinggal 3 orang dalam bilik yang ada dua katil atau utk 2 org, mereka akan bagi extra bed, dan charge dikenakan tidaklah terlalu banyak. Mungkin 30-40% dari harga bilik hotel tu. Dlm laman web booking.com ada dimaklumkan extra charge for extra bed.

      Tapi kalau nak masuk juga 3 org tapi booking utk 2 orang, kena pandai-pandailah. Kemudian, bergantung kepada budibicara yg menguruskan check in itu, kalau dapat yg tak kisah tidak mengapa. Kalau dapat yg cerewet dan ikut peraturan betul2 mungkin menghadapi masalah. Jadi, jangan check in sekali. Masuk asing-asing. Selalunya mereka tak check dalam bilik kita, berapa orang yang menginap.

      Padam
  7. Sempat tak pi Ocean road (GRO) dan Philip Island dalam sehari ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, sempat kalau memandu kereta sendiri atau menaiki bas pelancongan. Tetapi perlu keluar awal pagi dan balik malam. Untuk melihat perarakan penguin di Philip Island, masa yang sesuai ialah waktu senja.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.