Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 27 November 2013

Jejak Seni Jalanan: Tarikan Terbaru Kota Vintaj George Town (1)

Tak tahu nak cuti di mana? Bagaimana kalau saya cadangkan anda ke George Town,  Penang?

George Town telah diiktirafkan sebagai bandar Warisan Dunia oleh UNESCO. Di sini banyak tarikan utama. Banyak tinggalan kolonial Inggeris. Banyak sejarah perdagangan. Tidak kurang juga sejarah agama dan budaya. Tarikan kota Warisan ini menjadi-jadi setelah adanya seni jalanan (street art) yang berupa mural dan ukiran karikatur daripada besi tempaan di dinding-dinding bangunan tua.



Oleh kerana banyaknya seni jalanan (street art) di kota vintaj ini dan ia bukannya berada di satu tempat, maka saya membahagikan entri 'Jejak Seni Jalanan: Tarikan Terbaru Kota Vintaj Georgetown' ini kepada 2 bahagian.

Cara Pergi:

 

Kota Warisan UNESCO ini letaknya tidak berjauhan dengan Jeti dan Pelabuhan Pulau Pinang. Sekiranya anda datang dari tanah besar Semenanjung, anda boleh menyeberangi ke pulau ini dengan feri lama yang masih beroperasi dengan baik. Tambangnya murah sangat. Seringgit lebih saja untuk pergi-balik! (Kali terakhir saya - naik tahun lepas - tambangnya RM1.20)

Tetapi kalau sukakan pemandangan di atas jambatan, bolehlah merentasi Selat Melaka ke pulau ini melalui Jambatan Pulau Pinang. Tol yang perlu dibayar untuk sebuah kereta ialah RM7.00 dan hanya bayar sekali sahaja.

Apabila sudah sampai ke kawasan Warisan UNESCO ini anda boleh memilih untuk berjalan kaki, mengayuh basikal sewa, menaiki beca, menunggang motosikal atau memandu kereta. Dapatkan peta di Pusat Informasi yang letaknya di Lebuh Pantai (Beach Street), KOMTAR dan lapangan terbang Bayan Lepas. Atau di laman web (sila Google sendiri kerana ada banyak pilihan).




Kedai basikal sewa terdapat di sekitar kawasan George Town. Ia boleh disewa dengan harga RM10 untuk 6 jam. Peta juga disediakan.




Beca terdapat di mana-mana kawasan ini. Harganya hendaklah dirundingkan dengan pengayuhnya.





Kalau anda memandu, tempat letak kereta juga disediakan di tepi jalan secara bermeter atau cara bertiket di tempat letak kereta berdekatan.

Terdapat juga bas Rapid Penang  (hop on hop off) yang membawa anda mengelilingi kota ini dengan percuma. Perhatikan bas yang bertulis CAT ( Central Area Transit). Bas ini bermula di Weld Quay kemudian melalui Chulia Street Gaut, Lebuh Victoria, Lebuh Pantai, Light Street, Penang Road dan sebagainya dan berakhir ke Weld Quay semula. Ia bergerak secara lingkaran (loop bus).

Cara saya: Saya memandu kereta, meletakkannya di tempat letak kereta di Lebuh Victoria dan berjalan kaki. Saya tidak memerlukan peta kerana saya tinggal di pulau ini dan sudah biasa dengan lorong-lorong di kota ini. Saya datang pada hari Ahad, kerana mudah untuk meletakkan kereta dan jalan tidak sibuk. (Cuma pada hari Ahad banyak urusniaga dan urusan rasmi tidak dijalankan).

Anda boleh mula menjejak seni jalanan ini dari mana-mana jalan.


Jalan Armenian

 



Kalaulah anda mulakan jejak anda di Jalan Armenian anda boleh menyaksikan sebuah karikatur yang diukir pada besi tempaan. Ia diletakkan pada dinding bangunan yang terdapat di tepi jalan. Sejarah nama jalan ini diceritakan melalui karikatur dan tulisan dalam bahasa Inggeris. Cara ini lebih menarik berbanding dengan infomasi pada papan tanda. Ini disebabkan pengunjung akan tertarik untuk mengetahui tentangnya, berhenti membaca, lalu merakamkan gambar.



Tidak berjauhan dengan karikatur ini, anda mudah ternampak sebuah mural yang unik iaitu dua orang budak yang menaiki basikal. Basikal yang dinaiki itu adalah basikal sebenar. Mural ini terletak di tepi jalan pada dinding bangunan tua. Ia diilhamkan dan dilukis oleh Ernest Zacharevic seorang pelukis mural dari Lithuanian pada tahun 2012 sempena dengan Festival George Town.







Kemudian berjalanlah di sepanjang Jalan Armenian. Bolehlah  membeli-belah di kedai-kedai barangan antik, kedai seni kraftangan tempatan dan gerai-gerai menjual ole-ole.



Apabila anda berjalan lagi di Jalan Armenian itu anda boleh melihat mural seorang tua di dinding yang dilukis oleh Ernest Zacharevic. Mural in sudah hampir luntur warnanya akibat cuaca dan hakisan.



Sekiranya anda terus berjalan anda boleh melihat markas Dr Sun Yat Sen dan Muzium Islam Pulau Pinang yang sedang direnovasi.



Lebuh Cannon





Teruskan perjalanan hingga ke Lebuh Cannon. Di sini anda dapat melihat ukiran karikatur tentang sejarah Lebuh Cannon  yang dibuat daripada besi tempaan dan diletakkan di dinding bangunan lama.
 




Sebuah seni jalanan seorang budak yang berdiri di atas kerusi untuk mengambil sebuah tin minuman boleh anda jejaki sekiranya meneruskan perjalanan anda menuju ke Masjid Acheh di Lebuh Acheh.  Mural ini juga hasil karya Ernest Zacharevic.


Lebuh Acheh





Di hadapan mural ini adalah sebuah masjid Acheh yang dibina oleh seorang saudagar dari Acheh pada tahun 1808. Ia penting sebagai tempat persinggahan jemaah haji pada suatu masa dahulu.




Sejarah Jalan Acheh ini dicatatkan pada ukiran karikatur besi tempaan yang mudah dilihat di tepi jalan Gat Lebuh Acheh/Leboh Victoria pada dinding bangunan lama. Sebelum perkhidmatan kapalterbang diadakan, orang Malaysia dan Indonesia menggunakan Pulau Pinang sebagai tempat persediaan untuk mengerjakan haji. Sebelum berangkat mereka berkumpul di Jalan Acheh, menghadiri kursus haji, membeli tiket kapal, membeli-belah dan berangkat melalui Pelabuhan Pulau Pinang.





Di sebelah masjid Acheh ini anda boleh melihat deretan kedai-kedai lama dengan ukiran awan larat yang penuh seni.

 

Lebuh Ah Quee





Anda bergerak pula ke Lebuh Ah Quee. Sekali lagi anda akan mudah ternampak karikatur yang diukir dengan besi tempaan dan diletakkan di tepi jalan dengan berlatarbelakangkan dinding tua.  Karikatur ini menceritakan sejarah jalan ini mendapat namanya melalui tulisan dan dialog dalam 'belon'. Ianya menarik dan melucukan seolah-olah kita membaca sebuah buku komik yang besar.





Di sini anda akan melihat sebuah lagi seni jalanan yang diilhamkan oleh Ernest Zacharevic. Iaitu seorang budak sedang menaiki motorsikal dengan memakai topi keledar yang tidak diikat talinya sambil menoleh ke belakang. Motorsikalnya ialah motorsikal sebenar. Motorsikal itu disandarkan pada sebuah pintu bangunan lama.




Di belakang 'budak motor' ini  terdapat mural seorang budak sedang menarik seekor dinosaur. Mural ini juga hasil karya Ernest Zacharevic. Ia sudah hampir luntur akibat cuaca.



Sekiranya anda dahaga, bolehlah berhenti minum di kedai-kedai yang banyak terdapat di sepanjang jalan.


Lebuh Victoria





Kemudian pergilah ke Lebuh Victoria. Di sini kita boleh melihat karikatur saudagar Cina dan India berurusniaga, ia hasil karya Lefty.





Di sini juga terdapat gudang-gudang dan kedai-kedai lama yang telah dibina sejak abad ke-18.


Lebuh Gat Chulia





Di sebuah lorong bernama Lebuh Gat Chulia, berhadapan dengan sebuah kedai kopi, anda boleh melihat sebuah mural dua orang budak bermain bola jaring. Ia diilhamkan oleh Louis Gan seorang artis kelahiran Pulau Pinang.




Tidak berjauhan dari mural budak bermain bola jaring tadi, lintaslah jalan dan masuklah ke lorong sebelah kiri. Di sini anda boleh melihat mural dua orang budak bermain buaian di Step by Step Lane. Ia juga telah dilukis, dicatkan dan dibina oleh Louis Gan. Anda boleh duduk di buaian kayu yang ada di situ dan bermain dengan dua orang kanak-kanak itu yang pasti senyum melihat anda.


Chew Jetty


Teruskan perjalanan anda ke Chew Jetty yang terletak di tepi pantai. Ia adalah perkampungan nelayan tradisional yang masih kekal walaupun Georgetown adalah sebuah bandaraya.



Di sini anda boleh melihat rumah yang dibina di atas air. Anda mesti menaiki jeti/pelantar papan untuk berada di perkampungan ini. Anda boleh juga menjenguk ke dalam rumah-rumah nelayan ini dan juga membeli ole-ole yang dijual di hadapan rumah mereka.





 
Di hujung pelantar anda boleh melihat pemandangan laut di Selat Melaka. Duduklah di pelantar papan itu dan juntaikanlah kaki anda, nikmatilah pemandangan yang mengasyikkan dengan kapal kecil dan feri merentasi selat itu.



Di sini anda boleh melihat seni jalanan atau mural yang dilukis oleh pelukis Ernest Zacharevic kelahiran Lithuanian itu. Mural ini dilukis pada dinding sebuah rumah nelayan yang betul-betul menghadap laut. Tetapi ia kini telah luntur dan hampir lenyap dek cuaca dan air laut.



Tapi jangan kecewa dengan seni mural yang luntur itu kerana penduduk di sini amat memahami perasaan anda. Mereka telah menggantikan mural itu dengan sebuah mural lain yang terdapat pada dinding sebuah rumah nelayan.

Bagaimana suka tak?

Ada banyak lagi seni jalanan yang harus anda jejaki di George Town. Untuk mengetahuinya ikutilah entri saya akan datang.

...bersambung


Sabtu, 23 November 2013

Georgetown Dalam Fotoku

Entri kali ini agak istimewa kerana ia ditulis oleh penulis undangan iaitu Hazirien. Hazirien telah menulis tentang Georgetown yang diterokainya baru-baru ini. Beginilah kisah Hazirien:
______________

Georgetown Dalam Fotoku

- oleh Hazirien -

 
A ku bersama kawanku Zana, Biela dan Syida bercadang untuk melawat Georgetown untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh pensyarah kami. Sudah hampir sebulan setengah kami bergelar mahasiswa di sebuah universiti tempatan. 

Sebagai pelajar Komunikasi major Kewartawanan, kami diwajibkan untuk mengambil subjek Kewartawanan Foto untuk menimba pengalaman sebagai wartawan. Aku dan rakanku perlu mengambil gambar dari segi penataan cahaya untuk tugasan yang baru diberikan. Bagi mendapatkan gambar yang menarik, kami bercadang untuk menerokai Georgetown yang kaya dengan sejarah dan budaya terutamanya kaum Cina.

"Macam mana nak ke Georgetown ni? Jalan pun tak tahu," soal aku. 

Pada permulaannya kami mempunyai masalah dari segi kenderaan. Biela dan Syida merupakan anak jati Terengganu, manakala aku pula berasal dari Perak. Kami bertiga hanya mengharapkan Zana yang agak mahir dengan jalan di Pulau Pinang. Akhirnya Zana memberi cadangan untuk menggunakan perkhidmatan kereta sewa pelajar. Dengan perbelanjaan sebanyak RM15 seorang kami mempunyai kenderaan untuk ke sana. 

Keesokan harinya tepat jam 7.30 pagi kami bertolak dari Desasiswa Indah Kembara, asrama kami. Lebih kurang 30 minit kamipun sampai ke Georgetown. Pertama kali menjejakkan kaki ke Georgetown merupakan pengalaman yang mengujakan. Georgetown, adalah sebuah bandar yang masih mengekalkan sisi tradisionalnya pada abad ke-21 yang serba moden ini. 

Perkara pertama yang kami cari ialah kedai yang menawarkan perkhidmatan menyewa basikal. Mungkin disebabkan hari masih awal, agak sukar kami mencari tempat yang menyediakan basikal sewa.

"Adoi, mana kedai basikal ni...takkanlah satu pun tak buka?" keluhku.

Lebih kurang beberapa minit kami mundar-mandir akhirnya jumpa juga dengan kedai basikal sewa yang bernama Lee KS berhampiran dengan Jalan Chulia. Harga yang ditawarkan oleh Pak Cik Lee ialah RM10 selama enam jam. Peta juga disediakan bagi memudahkan perjalanan kami.

Selesai berurusniaga kami mula mengayuh. Sejujurnya walaupun peta telah disediakan kami masih menghadapi kesukaran untuk mencari setiap lokasi yang ada di dalam peta tersebut. Pada permulaannya kami hanya mengikut gerak hati untuk bergerak ke sesuatu kawasan.

 

Lama kelamaan kami mula faham dengan lorong-lorong di sini dan makin pandai membaca peta. Kebanyakan lorong di Georgetown mempunyai mural dan ukiran besi yang melambangkan setiap jalan. 

Syida yang tertarik dengan mural di Lebuh Armenian berkata, "Hazirien, tolong ambil gambar aku dengan mural ni."

Gambar yang ditangkap menggunakan Canon 40D.


Mural pada dinding sebuah bangunan di Jalan Chulia itu adalah lukisan dua orang budak - yang lelaki melontar bola ke dalam jaring, yang perempuan melompat ke udara untuk menghalang bola itu dari masuk ke dalam jaring. Manakala jaring dan bola adalah alat yang sebenar.

Setiap lorong mempunyai mural yang berbeza. Di Jalan Armenian, terdapat dua orang budak yang menaiki basikal. Mural tersebut adalah gambar seorang budak perempuan yang kelihatan sedikit besar seakan-akan mengayuh basikal, manakala budak lelaki yang lebih kecil membonceng di belakang.  Basikal yang dinaiki kedua-dua budak tersebut adalah basikal sebenar.


Selain itu, besi diukir menjadi karikatur terdapat di dinding lorong. Padanya terdapat penerangan yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Ia adalah salah satu tanda bahawa Georgetown telah diperakui sebagai bandar yang bersejarah oleh UNESCO (UN Educational, Scientific and Cultural Organization) atau dalam bahasa Melayu ialah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan. 

Setiap ukiran yang wujud di setiap lorong memberi sedikit informasi mengenai lorong tersebut. Misalnya, di Jalan Ah Quee terdapat seorang lelaki Cina yang berpakaian seperti orang berada, memakai topi serta mempunyai rantai di lehernya. Dia bersalaman dengan seorang Inggeris yang memakai kot bangsawan. Daripada tulisannya, nama jalan ini diambil dari nama seorang pelombong bijih timah berjaya, Chung Keng Kwee yang telah memberi dana membangunkan jalan tersebut.


Georgetown juga kaya dengan kuil-kuil Cina yang telah dibina oleh komuniti Cina sendiri. Yang kami temui ialah Kuil Tua Pek Kong yang terletak di Jalan King. Tokong penganut Toaisme ini  dibina oleh penduduk Cina tempatan pada abad ke-18. Ia berwarna merah dan mempunyai hiasan naga di atas atapnya. Aku tidak melepaskan peluang untuk menangkap gambar tokong ini sebagai salah satu gambar tugasan.


Kami juga berpeluang untuk merasai pengalaman berada di India dengan melalui "Little India" di sepanjang Jalan Chulia. "Little India" adalah tempat orang India berniaga barangan seperti sari, alat-alat sembahyang dan barang kemas.  Pendek kata, segala barangan kaum India boleh diperolehi di sini.

Keadaan agak sibuk kerana orang ramai ke situ untuk membeli-belah menyambut Deepavali.  Aku dan rakan-rakan terpaksa memperlahankan kayuhan.

Destinasi terakhir kami di Georgetown ialah Padang Kota. Ia berdekatan dengan laut. Kami singgah di medan selera dan makan nasi ayam. Mungkin disebabkan terlalu lapar, kami menghabiskan nasi ayam itu dalam masa yang singkat.



Tepat jam 12 tengahari kami berkayuh semula ke tempat basikal yang kami sewa.

Aku dan kawanku berjaya menangkap gambar yang menarik. Bandar Georgetown memberikan lebih makna kepada gambar yang telah kami ambil. Tetapi terasa sayang pula kerana kami tidak sempat untuk meneroka sepenuhnya kota Georgetown. Namun begitu, aku berpuas hati dengan hasil gambar yang telah ditangkap. Moga-moga aku mempunyai peluang lagi untuk menerokai bahagian lain di Georgetown yang penuh sejarah dan budaya ini.


Ahad, 17 November 2013

"Tang Mana Makan Sedap Kat Penang?" (1)

T ang mana makan sedap kat Penang ni?" Itulah soalan yang sering orang tanya pada saya apabila mereka datang ke Pulau Pinang. Jawapan saya, "Banyak!" Apabila saya menjawab begitu, ramai yang tersenyum. Maklumlah saya ni dah lama merantau di Pulau Pinang sejak tahun 1980an lagi.

Saya juga tersenyum sebabnya saya tidak perlu memasak untuk mereka. Mereka siap-siap beritahu saya, "Jangan masak. Kami nak makan kat luar!" Bukan bermakna masakan saya tak sedap. Bukan! (Cewah  tak mau kalah..kik kik kik). Ini disebabkan Pulau Pinang terkenal dengan "syurga makanan." Orang yang sekali-sekala datang ke sini, pasti nak merasa akan nikmat dan suasana makan di "syurga makanan" ini.

Kalau nak tahu tempat makan sedap di sesuatu tempat itu kenalah tanya orang tempatannya, ya tak? Ask the local, bak kata suku sakat Francis Light yang kononnya the founder of Penang. Kenyataan mat salleh yang mengatakan orang putih yang jumpa dulu Pulau Pinang ini seolah-olah menunjukkan bahawa Pulau Pinang ini dulunya dunia gelap, tak bertamaddun, tak pernah dijumpai oleh manusia luar. Kenyataan begini memperendahkan-rendahkan dan memperlekeh-lekehkan orang kita. Memang tak patut betul penjajah ni...ish ish ish...

Tugu Francis Light di Fort Cornwallis, Penang

Berbalik pada fasal makan sedap, entri kali ini ingin menceritakan tempat-tempat makan yang orang Tanjung (tempatan) suka pergi terutama saya. 

Kalau anda merujuk kepada media arus perdana atau brosur pelancongan, mereka membariskan banyak tempat makan sedap, tapi itu mungkin sudah berbaur dengan unsur-unsur komersialisme dan tujuan-tujuan  lain.


Tempat-tempat yang akan saya sebutkan di sini tiada unsur-unsur komersial, tiada hubungan saudara-mara atau kenalan, jauh sekali saya disogok untuk mempromosikannya, cuma inilah tempat yang sering saya bawa saudara-mara saya tiap kali mereka tanya saya, "Tang mana makan sedap kat Penang ni?"

 

 

1. Nasi Campur Melayu ala Kampung di Awet Muda


Awet Muda bukan tempat makan yang ekslusif. Biasa-biasa sahaja. Tiada penghawa dingin, tiada berdinding, tiada dihidangkan oleh pelayan, tapi makanan di sini sedap!

Masakannya ala kampung: ada petai, jering, ulam-ulaman, sambal tempoyak, sambal belacan, ikan keli bakar, gulai lemak rebung, gulai nangka, cendawan goreng, sayur campur, goreng kailan, gulai kari kijang (hanya pada hari Jumaat), dan macam-macam lagi.  Setiap kali saya ke sini pasti ramai yang sudah beratur menceduk makanan dan layan diri.

Restoren Awet Muda ini letaknya di Lorong Sungai Dua, berdekatan dengan pintu masuk Universiti Sains Malaysia. Mudah dicari kerana ia letaknya di tepi jalan sebelum membeluk kiri ke JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).

Waktu berniaganya dari 10.00 pagi hingga 4 petang (makan tengahari), Isnin hingga Jumaat. Sabtu & Ahad tutup. 

Anggaran belanja sepinggan nasi dengan ulam, ikan bakar dan gulai ialah RM4.00-5.00.

Masakan Melayu di Awet Muda

 

2. Masakan Asli Melayu di Pen Mutiara


Yang ini pula, agak ekslusif tempatnya. Setingnya kemas, berhawa dingin, makanan dihidangkan oleh pelayan dan sambil makan pengunjung dihiburkan dengan nyanyian dan muzik secara live. Makanannya sangat ringkas tetapi sedap. Misalnya walaupun telur dadar atau ayam goreng dengan kunyit sahaja sudah amat menyelerakan.

Makanan lain yang sedap ialah Kari Kepala Ikan Istimewa,  Sotong Goreng Tepung, Udang Goreng Tepung, Kerabu Mangga, Tom Yam, Sup Ekor, Ikan Siakap Tiga Rasa, Kailan Ikan Masin, ulam-ulaman dan macam-macam lagi masakan asli Melayu. Minuman yang menjadi kegemaran saya ialah air limau kasturi bercampur asam boi.

Lokasinya ialah di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Batu Maung, Bayan Lepas. Oleh kerana ia terletak di Dermaga Batu Maung dan di kawasan nelayan maka ikan, sotong dan udangnya didatangkan segar setiap hari dari dermaga itu yang letaknya di belakang restoren ini sahaja.

Surau yang cantik, bersih dan selesa juga di sediakan di hadapan restoren. Waktu operasi Pen Mutiara ialah dari pukul 12.00 tengahari hingga 10.00 malam.

Satu set hidangan makanan untuk seorang yang mengandungi nasi, Kari Kepala Ikan, Siakap Tiga Rasa, Sotong Goreng Tepung, Kangkung Goreng Belacan, Kerabu Mangga, Telur Dadar, buah-buahan dan Air Limau Kasturi Asam Boi beranggaran RM30.00-41.00.

Masakan Asli Melayu dan Thai di Pen Mutiara
Udang, ikan, sotong didatangi segar dari Dermaga Batu Maung

3. Mee Udang Teluk Kumbar


Teluk Kumbar terkenal dengan Mee Udang. Udangnya besar-besar dan segar, dibawa naik terus dari laut yang berdekatan. Di sini meenya di hidang penuh dengan udang besar-besar. Seolah-olah kita kena cari dan gali mee dalam timbunan udang! Rupanya macam Mee Bandung, tapi rasanya berbeza: ada rasa manis-manis udang, ada rasa masam-masam tomato dan pedas-pedas sedikit.

Lokasi Mee Udang ini ialah di Jalan Gertak Sanggul, Teluk Kumbar. Ia terletak di halaman rumah kampung. Terdapat 3 buah gerai yang popular di sini seperti Mee Udang Salwa, Mee Udang Pak Long dan Mee Udang Ayu. Kedai-kedai ini sudah beroperasi lebih 25 tahun.

Kedai-kedai makan Mee Udang ini dibuka dari 1.00 petang sehingga ke 10.00 malam. Namun ia cepat kehabisan. Jadi kena datang lebih awal. Saya selalu datang dalam pukul 6.00 petang atau 8.00 malam.

Satu pinggan mee udang berharga di antara RM13-14.00 bergantung kepada saiz udang.

Mee Udang di Teluk Kumbar

4. Popia Basah Taman Tun Sardon


Popiah Basah sedap ini ada dijual di Pasar Malam di Taman Tun Sardon, Jalan Hilir Pemancar, Gelugor, setiap hari Rabu. Gerai Popiah Basah ini sentiasa ada ramai orang beratur membelinya.  Ia digulung dan disediakan di gerai itu. Inti utamanya ialah tauge, sengkuang dan ubi kentang. Kulit popianya lembut dan nipis. Kuahnya pula ada yang pedas dan ada yang manis.

Dengan RM2.00 kita boleh dapat 4 ketul popiah.

Gerai ini sudah beroperasi berpuluh-puluh tahun lamanya. Sudah berpuluh-puluh ketul saya memakannya dan rasanya tetap sedap.

Popia Basah Pasar Malam Taman Tun Sardon


5. Pasembur Kassim Union Street


Pasembor (atau "pasemboq" disebut mengikut loghat Tanjung) ialah masakan terkenal di Penang. Ia seperti rojak sayur-sayuran yang terdiri dari tauge, hirisan timun dan hirisan sengkuang. Bezanya ia mesti dilengkapi dengan cucur udang, cucur udang garing, cucur kacang atau cucur Kupaai. Pilihan tambahan ialah tauhu, sotong, telur rebus goreng, fish cake, ubi kentang dan lain-lain lagi. Ia dituang dengan kuah kacang yang manis-pedas.

Resepi Pasembur yang asli berasal dari Penang. Orang Tanjung kata rasanya, "NALA!" Maksudnya SEDAP!  Pasembur yang nala ini terdapat di Pasar Malam Tun Sardon, Gelugor, Pesiaran Gurney dan Union Street.

Yang hendak saya ceritakan di sini ialah Pasembor Kassim Union Street. Rasanya memang NALA!

Harga semangkuk Pasembor Campur (saiz kecil) ialah RM4.00, manakala Pasembor Campur (saiz besar)  ialah RM7.00.

Gerai roda tiga Pasembor Nana Kassim in letaknya di Union Street di belakang Shanghai Bank yang juga bertemu dengan Beach Street, tidak berjauhan dengan Menara Jam Queen Victoria.

Ia beroperasi setiap hari dari Isnin hingga Sabtu pada waktu pejabat. Ahad tutup.

Kita boleh duduk di gerai sambil makan Pasembur Union Street dengan teh tarik secawan.


6. Nasi Kandar Beratur Jalan Kapitan Keling


Nasi Kandar Beratur memang banyak di Penang. Gerai-gerai ini bukannya ekslusif. Tepi jalan saja. Tetapi ramai yang beratur menunggu giliran untuk memakannya. Ia dioperasikan oleh peniaga tempatan. Antaranya ialah di Jalan Kapitan Keling, Gelugor, Jelutong, Line Clear, Bayan Lepas,  Relau, Flat Kampung Melayu dan banyak lagi.

Yang saya hendak ceritakan di sini ialah Nasi Kandar Beratur yang letaknya betul-betul di hadapan Masjid Kapitan Keling. Ia telah lama beroperasi sejak tahun 1943 dan dikatakan mempunyai resepi asli.  Ia dibuka mulai 10 malam sehingga pagi.

Lauk-pauk yang boleh anda pilih ialah ayam ros, ayam goreng, ayam madu, telur ikan, ikan bawal goreng, kari kambing, kari ayam, papadum, kobis goreng, kacang buncis dan ikan goreng. Untuk satu hidangan nasi kandar, kambing dan bendi kita cuma perlu bayar dalam anggaran RM5.60. Untuk memastikan kesedapannya mintalah "kuah campuq" kerana kesedapan nasi kandar terletak pada kuah campurnya itu.

Mai pekena nasi kandaq beratuq lepas tengah malam depan Masjid Kapitan Keling
Nasi Kandar Beratur Masjdi Kapitan Keling ini akan dikunjungi ramai pada lewat malam hingga ke pagi.

7.  Nasi Mendi di Ivory Plaza


Nasi Mendi atau Nasi Arab ini terdapat di Ivory Plaza, Halaman Bukit Gambier, bersebelahan dengan USM. Terdapat 3 buah kedai nasi Arab di kawasan ini yang diusahakan oleh orang Arab seperti AlShami Restaurant, Nasi Bukhari Mendi Sajid Khan dan lain-lain lagi. Ini disebabkan ramai komuniti Arab yang datang dari Yaman, Palestin dan Syria tinggal di sini.

Sepinggan Nasi Mendi berharga kira-kira RM8.00-12.00. Selain daripada Nasi Mendi terdapat resepi masakan Arab yang lain seperti Kambing Biri-biri Maklouba, Briyani Ayam, Shish Kebab, Kambing Biri-biri Hanith  dan lain-lain lagi.

Kebiasaannya nasi Arab dihidang dengan kambing atau ayam bersama dengan laban (dadih), sup dan kadang-kadang roti. Shai (teh) Arab dan kopi Arab boleh juga dipesan.

Nasi Bukhari Mendi Sajid Khan di Ivory Plaza

Nasi Mendi AlShami Restaurant, Ivory Plaza. (Gambar ihsan Iqa).


Itulah saja jawapan kepada persoalan, "Tang mana makan sedap kat Penang ni?" Tetapi kalau anda tahu ada tempat makan sedap lain di Penang ni,  tolong habaq mai! Boleh kita pakat-pakat pekena!

Untuk sambungan "Tang Mana Makan Sedap Kat Penang?" (2) sila KLIK DI SINI.

Selasa, 12 November 2013

Naik Haji (5): Ziarah Madinah Pada Musim Sejuk

S elepas tawaf wada saya dan rombongan haji saya ke Madinah menaiki bas. Bas kami sampai di Madinah 6 jam kemudiannya dan terus menginap di hotel Green Palace. Hotel ini amat hampir dengan Masjidil Nabawi, iaitu bersebelahan dengan pagar sahaja. Lokasi yang amat dekat ini memudahkan kami berulang alik ke masjid.

Hotel ini lebih luas dan selesa berbanding dengan hotel di Mekah tempoh hari.  Terdapat kemudahan wifi di dalam bilik dan ini memudahkan saya melayari Internet, tidak seperti hotel di Mekah dahulu yang saya terpaksa ke ruang lobi di tingkat 2 untuk mendapatkan wifi. Makanan yang disediakan  di hotel pula adalah makanan barat dan Arab yang disediakan oleh pihak hotel.

Cuaca di Madinah ketika itu sejuk dan nyaman. Ini disebabkan sudah masuk musim sejuk. Pakaian pula perlu ditambah selapis lagi untuk menahan kesejukan pada waktu malam dan subuh.  Kesihatan saya juga semakin pulih. Batuk dan selsema saya juga semakin berkurangan dan akhirnya hilang terus sebelum saya pulang ke tanahair.

Jarak Green Palace Hotel dari Masjidil Nabawi hanya beberapa tapak sahaja

 

Makam Rasulullah SAW



Menziarahi Rasulullah SAW dan berselawat kepada baginda


Perkara yang mula-mula sekali kami lakukan ialah melawat makam Rasulullah SAW. Kami memberi salam kepada baginda SAW dan sahabat baginda Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a. dan Umar Al-Khattab r.a. Kami juga menyampaikan salam saudara-mara dan sahabat-handai buat baginda SAW. Ketika itu sentiasa ada pengawal yang mengawal kawasan itu dan melarang orang ramai daripada berdiri lama di hadapan makam baginda. Kami dibenarkan berada di situ selama 10 minit.


Masjid Nabawi dan Suasananya


Kemudian barulah kami menunaikan solat di Masjid Nabawi dan ke Raudah. Keadaan di Masjdil Nabawi pada musim haji ini adalah berbeza dengan keadaan pada musim umrah lalu. Ia amat sesak dengan manusia. Pelbagai manusia tidak putus-putus mengunjungi makam Rasulullah SAW, Masjidil Nabawi dan Raudah.

Menanti solat berjemaah di luar Masjid

Kaum lelaki menanti isteri di pintu pagar Masjidil Nabawi selepas solat jemaah

Kaum wanita keluar masjid dan mencari pasangan masing-masing



Memerhati aktiviti jemaah juga menarik hati, ini disebabkan terdapat macam-macam bangsa dan warna kulit berkumpul di sini. Hati ini merasa gembira melihat ramainya umat Islam dari pelbagai pelosok dunia berkumpul di sini. Walaupun warna kulit dan bahasa mereka berbeza, namun hati mereka tetapi sama iaitu sujud ke hadrat Illahi dan sanggup menggadai masa, tenaga dan wang untuk berada di bumi suci ini.

Kehadiran ramai orang ini membuatkan ramai dermawan mengambil kesempatan untuk memberi makanan seperti kurma, gula-gula, coklat dan biskut kepada sesiapa sahaja. Pada waktu malam selepas solat isyak, saya pasti lalu di hadapan kedai emas yang berada di hadapan Hotel Green Palace untuk pulang ke hotel. Saya sering melihat ramai orang beratur di hadapan kedai emas itu. Mereka beratur bukan untuk membeli emas. Tetapi mereka beratur untuk dapatkan roti Arab yang besar gedebak! Rupa-rupanya peniaga kedai emas itu memberi sedekah roti Arab yang bersaiz besar kepada orang ramai dan dalam masa yang singkat kesemua roti itu habis. Seronoknya saya melihat suasana ini. Ketika ini saya teringat babak-babak dalam filem P. Ramlee, ramai pedagang-pedagang Arab memberi sedekah pada fakir miskin.

Kadang-kadang saya melihat ramai orang beratur untuk mendapatkan nasi bungkus berdekatan dengan tanah perkuburan Baqi. Suasana ini amat menyeronokkan.

Saya dan kawan saya pernah membeli beratus-ratus tasbih yang dijual di hadapan masjid lalu memberikannya kepada jemaah yang sedang duduk menanti solat fardhu di luar masjid. Ramailah yang datang mengerumuni kami untuk mendapatkannya. Seronoknya kami melihat reaksi setiap orang apabila mendapat tasbih itu. Ada yang tersenyum gembira. Ada yang  terus berdoa untuk kami. Dalam sekelip mata sahaja tasbih itu habis. Ramai juga yang datang merayu meminta kepada kami tasbih itu, tapi apakan daya kami kerana tasbih itu sudah kehabisan.


Di luar Masjidil Nabawi pada waktu malam

Para penunggu isteri.....Sabar menanti dalam kedinginan malam

Masjidil Nabawi selepas solat subuh


Sebagaimana di Masjdil Haram di Masjidil Nabawi juga solat fardhu diiringi dengan solat jenazah kerana ada sahaja orang yang meninggal dunia.

Pada waktu solat subuh pada hari Jumaat di Masjid Nabawi, imamnya pasti membaca surah As-Sajadah selepas bacaan Al-Fatihah dan melakukan sujud tilawah.  Tetapi ada juga jemaah wanita yang tidak ikut imam melakukan sujud tilawah. Ini disebabkan mereka tidak nampak imam atau terlupa atau tidak tahu akan keperluan sujud tilawah ini. Apabila selesai solat, ramailah yang berbincang tentang perkara itu. Ustaz Mat menyuruh jemaah mengulangi solat subuh itu sekiranya tidak mengikut imam sujud tilawah.


Membeli-belah dan Ziarah Madinah


Di sekeliling Masjidil Nabawi terdapat banyak pusat membeli-belah dan kedai-kedai. Saya turut membeli-belah jubah yang amat murah di situ. Kami juga ke pasar kurma dan menziarahi Masjid Quba, Jabal Uhud dan masjid-masjid lain di kota Madinah.

Masjid Quba masjid yang pertama dibina oleh Rasulullah SAW selepas berhijrah dari  Mekah ke Madinah

Bukit Pemanah di kawasan Jabal Uhud

Makam para syuhada yang gugur di medan peperangan Uhud

Pasar Kurma yang terkenal di Madinah

Pelbagai buah-buahan kering, cokolat, kekacang dan manisan dijual di dalam kedai kurma


Wanita dan Haid


Berada di Mekah dan Madinah pada musim Haji selama 50 hari benar-benar membawa kegembiraan dan ketenangan di jiwa saya. Saya dapat beribadat sepuas-puasnya.

Saya seorang wanita dan kedatangan haid setiap bulan adalah lumrah yang telah dijadikan oleh Allah. Ustaz Mat telah berpesan supaya kaum wanita jangan mengambil pil menahan haid, kerana ramai yang mengambil pil mendapat mudharat dan haid tetap datang juga. Saya bukan jenis orang yang makan pil atau mengambil dadah. Jadi sudah pasti saya tidak mengambilnya. Sepanjang 50 hari saya di Mekah dan Madinah, saya tidak kedatangan haid. Allah telah menangguhkan haid saya. Sebenarnya sebelum saya berangkat ke Mekah, saya berdoa kepada Allah supaya menangguhkan haid saya sepanjang saya berada di sana bagi memudahkan saya beribadat. Alhamdulillah, Allah telah mengabulkan doa saya dan saya sangat bersyukur.


Bermalam di Jeddah Pula


Setelah sepuluh hari di Madinah, saya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada baginda Rasullullah SAW kerana perlu ke Jeddah, menginap di sana semalam, dan kemudiannya barulah berangkat pulang ke Pulau Pinang. Di Jeddah kami menginap di sebuah asrama yang disediakan oleh pihak Tabung Haji Malaysia. Di sinilah kami bersiap sedia untuk packing dan menimbang bagasi.

Sepanjang saya berada di Mekah, Arafah, Muzdalifah, Mina, Madinah dan Jeddah saya telah bertemu dengan ramai kawan yang serombongan dengan saya. Hubungan kami amat erat sehingga berkekalan sehingga ke hari ini. Apabila pulang ke tanahair, kami tetap berhubung antara satu sama lain dan sering kunjung mengunjungi.

Hubungan erat dibina sepanjang perjalanan dan ibadat Haji. Penulis bergambar dengan kawan-kawan di Jeddah sebelum berangkat pulang ke Pulau Pinang



Melangkah Pulang Ke Tanahair


Semasa melangkah masuk untuk pemeriksaan imigresen di lapangan terbang setiap seorang daripada kami dihadiahkan sebuah Al-Quran oleh kerajaan Arab Saudi.

Saya berharap semoga kunjungan saya ke Mekah dan Madinah bukanlah kunjungan terakhir. Semoga Allah menerima segala  ibadat saya selama di sana.