Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 29 Disember 2013

British Columbia (4): Menyusuri Lautan Pasifik di Pulau Nombor 1 Kanada

H ari-hari terakhir saya sebagai pengembara wanita solo di Vancouver Island (Pulau Nombor 1 Kanada), saya habisi dengan meneroka kawasan perairan pantai yang popular di situ. Perairan pantai ini amat indah dan damai. Saya seronok berjalan kaki.
 
Poskad dermaga Victoria yang saya beli. Inilah Hotel Fairmont  Empress yang menjadi mercu tanda popular di kawasan dermaga pulau nombor 1 Kanada ini.

Hotel Fairmont Empress yang menjadi mercu tanda perairan pantai Victoria berdiri megah menghadapi Lautan Pasifik. Elegannya senibina bangunan ini membuatkan ramai selebiriti filem Hollywood dan keluarga Diraja Wales menginap di sini.

Di kawasan Hotel Empress itu terhampar pemandangan dermaga yang cantik. Banyak kapal-kapal layar dan bot-bot kecil berlabuh di dermaga. Kilauan airnya dengan biasan imej persekitaran memukau mata saya.

Kelihatan orang bersiar-siar di kawasan dermaga itu dengan menaiki kereta kuda. Suasana ini membuatkan saya seperti kembali ke zaman silam era Victoria.

Suasana tenang dan damai ini membuatkan orang mudah sahaja berbasikal, malahan berjalan kaki.

Saya berjalan-jalan di tebing dermaga sambil menghirup udara segar yang ditiupkan oleh angin laut. Bagpiper, busker dan pelukis tempatan menyerikan lagi suasana, membuatkan hati saya terpaut dan kaki saya berat  meninggalakan tempat ini.

Seronoknya melihat orang menaiki kereta kuda mengelilingi kota Victoria

Ramai orang suka lalu-lalang di hadapan Hotel Empress yang letaknya di dermaga di kota Victoria. Hotel Empress ini adalah mercu tanda dermaga.

Bersiar-siar makan angin di pesisir dermaga sambil mendengar pemuzik jalanan bermain muzik

Busking di tebing dermaga

Pelukis jalanan pun ada dan boleh melukis karikatur kita

Bangunan Parlimen yang terletak di kawasan menghadap perairan dermaga Victoria

Bagpiper  di hadapan Bangunan Parlimen. Tiang berukir di sisi bagpiper ini adalah Totem Pole iaitu seni ukir orang asli Kanada.





Menaiki Kapal Layar dan Belayar di Lautan Pasifik



Pemandangan laut di kota Victoria, Vancouver Island


Anda suka tak naik kapal layar?

Saya suka. Oleh kerana Vancouver Island ini di kelilingi oleh Lautan Pasifik (Utara), sudah tentu saya tidak mahu melepaskan peluang belayar di atas lautannya.

Saya ini jenis orang yang tak takut air sebab saya tahu berenang sejak kecil. Jadi saya mengintai-intai peluang untuk belayar di Lautan Pasifik (Utara) yang luas itu.  Dapat sekejap pun tak apa.


Bolehlah cuba naik kapal layar ini

Setelah meninjau-ninjau di kawasan dermaga Victoria, saya pun menaiki sebuah kapal layar.  Saya pilih 3 jam pelayaran dengan bayaran CAD$34.00. BEST!

Bersama-sama saya belayar ketika itu ada dua orang Mat Salleh lelaki dan dua orang Mat Salleh perempuan. Saya pun joint mereka mengembangkan layar.

Cuaca sejuk ketika itu. Angin bertiup. Nak katakan sepoi-sepoi bahasa pun tidak. Entah apa bahasa pun saya tidak tahu. Yang saya tahu angin itu bertiup dengan dingin sekali. Angin itu semakin sejuk apabila kapal layar itu belayar semakin jauh meninggalkan daratan. Jari-jemari saya semakin sejuk. Saya tak tahan. Saya lalu memakai sarung tangan nylon bercampur kulit tiruan. Sarung tangan itu dapat menebat angin dingin masuk ke dalam tulang-tulang saya dan melegakan saya.

Terdapat banyak pulau-pulau di kawasan ini. Fiord dan serokan boleh dilihat samar-samar di balik kabus sejuk. Ombak ketika itu tenang. Ikan-ikan yang ada di lautan itu ialah ikan salmon, herring, halibut dan kod. Tapi kami tidaklah memancing, cuma menikmati belaian angin sejuk Lautan Pasifik. Katanya, kalau belayar jauh ke tengah lautan, kami boleh lihat ikan paus. Tapi kami tidak ke situ.

Gembiranya saya ketika itu kerana saya dapat belayar di kawasan air yang paling luas di dunia. 3 jam sudah cukup untuk saya menikmati pengalaman indah itu.

Kapal terbang terapung-apung di permukaan air ketika mendarat/berlepas. Gambar ini saya ambil ketika kapal layar saya meninggalkan tebing. Kelihatan Hotel Empress di latarbelakang.

Mat Salleh yang turut sama dalam pelayaran itu menaiki tangga kapal, meninjau lautan luas dan membetulkan layar.


Penulis duduk di atas kapal layar bersama dua perempuan Mat Salleh lalu penulis menyarung tangan keranan tidak tahan dengan kesejukan

Penulis ikut sama melebarkan layar kapal

Penulis duduk di hujung kepala kapal layar


Begitulah indahnya pengalaman saya belayar di Lautan Pasifik berdekatan dengan Vancouver Island.


Malam itu saya berehat di Renouf House dengan tenang dan mengemas barang-barang untuk pulang ke tanah air.


Meninggalkan Renouf House


Pagi terakhir saya di Vancouver Island itu saya bersarapan bersama isteri Sean yang down syndrome dan pasangan suami isteri dari Seattle. Home-made bread masakan Sean itu saya nikmati dengan sepuas-puasnya dan saya pasti merindui keenakannya.

Saya amat menggemari roti buatan Sean. Dan Sean tahu itu. 

Setelah sarapan, saya menjenguk ke dapur dan melihat Sean di situ. Di dapur ada banyak roti. Sean telah membakar roti lebih pagi itu. Saya hairan. Sean lalu membungkus roti itu. Tanpa saya duga Sean menghulurkannya pada saya.

"Something to bring home, for your kids," kata Sean.

Tergamam. Terkejut. Gembiranya saya dengan pemberian Sean itu.  Tentu anak-anak saya dapat merasai keenakan roti masakan Sean itu. Sean, tuan rumah Renouf House yang baik hati mampu membuat saya mengukir seribu senyuman, seribu kenangan indah.

Setelah membayar harga sewa Renouf House - Bed & Breakfast dengan harga diskaun yang amat berbaloi, saya lalu mengucapkan selamat tinggal kepada Sean dan penghuni Renouf House. Pengalaman indah, budi baik orang Vancouver Island dan ilmu yang saya perolehi amat bernilai sekali. Hati saya kini terpaut. Ingin sekali saya membawa keluarga saya menjejak kaki ke pulau indah permai ini. Tapi adakah impian saya itu akan terlaksana? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. 

Renouf House- Bed & Breakfast, tempat saya tinggal selama di Vancouver Island, British Columbia, Kanada.


Di Malaysia, keluarga saya menanti saya dengan sabar. Ada ole-ole yang ala kadar saya sediakan untuk mereka sebagai tanda ingatan dan kesabaran mereka ketika ketiadaan saya.


T-shirt 100% kapas, bergambar beruang Kanada yang saya beli di Vancouver Island gemar dipakai oleh anak-anak saya sehingga lusuh.

Ahad, 22 Disember 2013

British Columbia (3): Musim Bunga di Vancouver Island

P agi Musim Bunga 1998 di Vancouver Island sangatlah dingin. Selepas sarapan roti masakan tuan rumah bernama Sean, saya ke University of Victoria. Saya naik bas. Jadual bas dan informasi pulau indah itu diberikan oleh Sean kepada saya.


Kampus University of Victoria, British Columbia, Kanada

Walaupun hari ini saya demam selsema, saya gagahi juga untuk ke persidangan Asian Popular Culture di universiti itu. Ini disebabkan hari ini adalah hari perasmian persidangan. Kertas kerja saya pula perlu dibentangkan pada hari ini. Nama saya sudah disenaraikan dalam buku aturcara persidangan, tak kan tak datang pula. Demam pun demamlah.

Berdebarnya saya pada hari itu.

Persidangan diadakah secara serentak dalam bilik persidangan yang berlainan. Peserta boleh pilih untuk menghadiri pembentangan mana yang mereka minati. Sesi Malaysia berjalan serentak dengan Jepun dan China.


Saya masuk sesi Malaysia. Tidaklah ramai peserta yang datang mendengar. Ini adalah perkara biasa di mana-mana persidangan antarabangsa yang pernah saya hadiri. Sesi tentang Malaysia agak kurang berbanding dengan negara-negara gergasi itu. Maklumlah ikan bilis bersaing dengan jerung. Jerunglah yang menang, kan?

Tetapi para pembentang terdiri daripada lebih ramai Mat Salleh daripada orang Malaysia. Handal-handal sarjana Mat Salleh ini. Kagum saya melihat mereka membuat kajian tentang budaya popular Malaysia. Tak terfikir kita untuk membuatnya, tetapi mereka sudah jauh ke hadapan. Salah seorang daripada sarjana Mat Salleh itu mengkaji tentang Ella, artis Rock kita dan lagu-lagunya. Untuk ini, beliau belajar bahasa Melayu dan mampu menterjemah dan mentafsir senikata lagu-lagu Ella.

Saya pun membentangkan kertas kerja saya mengenai arah tuju filem Malaysia. Pembentangan disusuli dengan sesi Soal & Jawab. Selesai pembentangan saya pun lega.


Persidangan Asian Popular Culture di University of Victoria - sesi Malaysia. Kelihatan sarjana Barat membentangkan kajian mereka tentang Budaya Popular Malaysia.

Penulis bergambar di dalam kampus University of Victoria.




Bonfire Night di Cordova Bay


Cordova Bay di Vancouver Island pada waktu petang. Pantai ini penuh dengan pasir, batu-batu kerikil dan kayu balak. Di belakang ialah Mount Douglas Park.


Hari-hari berikutnya saya masih menghadiri persidangan antarabangsa itu sehingga tamat. Saya juga turut mengikuti aktiviti persidangan itu seperti majlis makan malam, persembahan hiburan dan 'bonfire night'. 

Untuk makan malam itu saya tidak perlu risau. Setiap tetamu dikenakan mengisi borang memesan makanan dua tiga hari sebelum majlis makan malam itu.

Bonfire itu diadakan di pantai Cordova Bay. Di tepi pantainya terdapat banyak hanyutan batang kayu. Cottage dan restoren kelihatan di sepanjang pantai. Pantai ini popular pada musim panas untuk berenang dan berjemur.

Bonfire tepi pantai sambil membakar mashmallow


Itulah pertama kali saya menyertai bonfire. Ramai-ramai berkumpul mengelilingi unggun api. Batang kayu yang tersadai di pantai Cordova Bay itu dijadikan bahan bakar. Malam yang dingin di tepi pantai itu membuatkan semua orang mendekati unggun api untuk memanaskan badan. 

Sambil itu mereka mencucuk mashmallow pada hujung besi dan membakarnya. Mashmallow yang sudah dibakar itu lalu dibubuh ke dalam air cokolat panas. Mashmallow yang manis dan gebu itu cair dan berbaur dengan air cokolat panas itu lalu diminum. Ia adalah cara untuk memanaskan badan di malam yang dingin.

(Namun saya tidak makan mashmallow itu kerana saya tahu mashmallow mengandungi gelatin yang saya ragui kehalalannya).


Merayau-rayau di Vancouver Island


Selama saya di Vancouver Island saya mengambil peluang melawat tempat-tempat menarik di pulau ini.


Bandar Victoria


Kedai-kedai di bandar Victoria

Saya berpeluang merayau-rayau di bandar Victoria. Inilah ibu negeri British Columbia. Bandar ini mempunyai sejarah penjajahan Inggeris yang paling ketara sekali di Kanada. Nama bandar Victoria ini diambil dari nama Permaisuri Victoria yang mencipta Koloni Inggeris di sini. Penduduk berketurunan Inggeris mendominasi populasi di British Columbia ini iaitu kira-kira 29.6%.

Chinatown pun ada. Ada golongan minoriti China. Mereka mewakili 10% populasi penduduk Britsih Columbia. Mereka telah berhijrah ke Kanada sejak 1858 kerana bekerja sebagai pelombong emas. Ada yang berhijrah kerana membina jalan keretapi.

Daripada perbulan saya dengan beberapa orang di sana, wanita China hari ini dibawa masuk ke Kanada melalui penajaan orang Kanada. Wanita itu diberi status defacto oleh penajanya. Defacto bermaksud dua orang dewasa yang tinggal bersama sebagai pasangan. Dengan status itu wanita itu memperolehi visa dan mendapat taraf penduduk tetap. Sebenarnya, ramai orang British Columbia menggemari orang Asia terutamanya China sebagai pasangan hidup mereka.

Orang Korea dan Vietnam juga ada di sana. Kebanyakan mereka membuka kedai runcit. Mereka ini masih tidak fasih berbahasa Inggeris.

 

Buchart Gardens dan Victoria Butterfly Gardens





Sebuah tempat yang saya suka pergi ialah Butchart Gardens. Taman indah ini letaknya di Brentwood Bay. Saya pergi menaiki bas. Tambangnya murah - lebih kurang CAD$2.00. Taman ini letaknya agak jauh juga dari Victoria - kira-kira 40 minit perjalanan bas. Tetapi saya tak kisah kerana saya berpeluang melihat keindahan pulau ini. 

Taman Rama-rama Victoria

Dalam perjalanan saya sempat singgah di Victoria Butterfly Gardens. Ia agak luarbiasa kerana ia adalah taman tropika yang panas di negara yang sejuk. Taman tropika ini dibuat khas untuk memelihara spesis ini. Beribu-ribu spesis rama-rama dipelihara. 

Saya hanya sebentar sahaja di Taman Rama-rama Victoria ini kerana rama-ramanya sudah biasa saya lihat di halaman rumah saya di kampung. Jadi kalau tak pergi pun tak mengapa. 

Penulis di hadapan Victoria Butterfly Gardens


Setelah itu saya menaiki bas semula. Kira-kira 5 minit kemudian saya pun sampai ke Butchart Gardens. Butchart Gardens adalah sebuah tempat yang saya rasakan menarik untuk dilawati kalau berada di Vancouver Island. Ia adalah taman yang penuh dengan bunga mengikut musim. Ada banyak taman-taman kecil yang mempunyai tema-tema tersendiri di dalamnya. Ada bertemakan taman Jepun, ada bertemakan taman Itali, dan pelbagai tema lagi.

Papantanda dan lanskap yang terdapat di luar pintu masuk Butchart Gardens

Inilah hasilnya tangkap gambar sendiri. Batu dijadikan tripod kamera.


Ketika itu Musim Bunga, maka banyaklah spesis bunga tulip dan rhododendron yang saya lihat. Macam-macam warna. Ia memukau mata saya.

Selepas Musim Bunga, Musim Panas pula menyusul. Ketika di Butchart Gardens itu ranting bunga ros sudah mula dipangkas untuk persediaan musim panas pula. Dikatakan Butchart Gardens mempunyai koleksi bunga ros yang paling banyak sekali di dunia.

Oleh kerana saya solo, maka mudahlah saya mendapat kawan. Semasa merayau-rayau di dalam Butchart Gardens saya ditegur oleh seorang wanita dari Amerika. Dia juga lone ranjer macam saya. Jadi dialah kawan saya sepanjang hari itu.

Di bawah ini adalah gambar-gambar di Butchart Gardens yang cantik itu.


Pokok-pokok dan bunga-bunga ditanam rapi di dalam Butchart Gardens

Bunga dafodil juga terdapat banyak di sini

 Bunga rhododendron yang berbagai warna menghiasi cafe dan kedai cenderamata dalam Butchart Gardens

Tulip pelbagai warna


...bersambung


Isnin, 16 Disember 2013

British Columbia (2): Baiknya Budi Orang Kanada

H ari pertama saya di British Columbia, saya transit di Vancouver. Kemudian tukar pesawat kecil ke Victoria yang letaknya di Vancouver Island.

Sebagaimana yang saya beritahu pada entri yang lalu, pulau nombor satu Kanada ini letaknya di Lautan Pasifik.  Ia mengambil masa 20 minit untuk sampai dari Vancouver.

Ketika pesawat terbang turun, saya merenung keluar jendela pesawat. Alangkah gembiranya saya. Mata saya dimanjakan dengan kebiruan air laut yang tenang. Kabus yang menyelubungi ruang angkasa membuatkan saya bagaikan berada di kayangan. Asyiknya saya!

Saya tidak dapat menjelaskan keindahan pulau itu dengan perkataan. Ia terlalu indah. Senang cerita, cer tengok poskad di bawah ini:

Pemandangan indah Vancouver Island dari udara, pada 1998. 

 

Perkhidmatan Bas Awam Yang Paling Mesra Penumpang


Penulis duduk berdekatan Lapangan Terbang Victoria. Saya terpaksa duduk macam ini sebab kamera  self-timer saya letakkan di atas batu.

Sesampainya saya di lapangan terbang Victoria di Vancouver Island, saya terus mengambil bagasi dan mencari airport bus. Bas sudah sedia menunggu. Saya terus berjumpa dengan pemandu bas tersebut lalu memintanya menurunkan saya di Renouf House, Stanley Avenue. Pemandu bas itu memberitahu saya bahawa bas ini tidak lalu di jalan tersebut. Alamak! Mulalah saya rasa sedikit cemas. Tetapi...katanya dia akan menurunkan saya di sebuah tempat berhampiran dengan Stanley Avenue. Dari situ saya perlu mengambil teksi untuk ke Renouf House.

Pada mulanya saya menyangka ini amat merumitkan saya. Tetapi tanpa diminta, pemandu bas itu terus menelefon seorang pemandu teksi dan meminta dia menunggu saya di situ. Saya rasa amat kagum dengan cara pemandu bas itu melayan saya. Ini amat membantu saya dan kita perlu mencontohi sikap pemandu bas ini. 

Sayapun naik bas itu.

Bas itu pun melalui jalan-jalan indah di pulau itu. Ketika itu Musim Bunga.


Pemandangan tepi jalan di Vancouver Island. Gambar ini diambil ketika bas bergerak

Kira-kira 30 minit kemudian, bas itu berhenti di sebuah kawasan perumahan. Pemandu itu menoleh ke arah saya dan memberitahu yang saya perlu turun di situ. Tidak saya sangka, pemandu bas itu dengan ringan tangan mengangkat beg saya dan membawanya turun. Dia lalu memasukkan beg saya ke dalam but teksi yang sudah sedia menunggu di tepi jalan. Rupa-rupanya itulah teksi yang dihubungi oleh pemandu bas tadi. Pemandu teksi itu sudah sedia menanti saya. Alangkah kagumnya saya kerana keprihatinan dan layanan orang di Victoria ini. Segalanya diatur dengan lancar tanpa diminta. Superb!

Ketika itu terdetik di hati saya, nilai-nilai murni ini sudah semakin lenyap di kalangan orang Malaysia. Ini disebabkan saya dulu sering dimarahi oleh pemandu bas di Malaysia kalau saya bertanya sesuatu kepadanya. Mengapa, orang kita suka marah-marah, ya? Salah siapa?

Saya juga kagum dengan cara pemandu bas awam lain di Victoria Island ini. Ini saya saksikan pada hari-hari berikutnya di pulau indah itu. Ini disebabkan mereka sentiasa menjaga keselamatan penumpangnya. Apabila penumpang menaiki bas, pemandu akan menanti penumpang sehingga penumpang duduk dengan betul-betul. Setelah pasti penumpang duduk barulah pemandu menekan minyak dan menggerakkan bas. Begitulah juga dengan cara menurunkan penumpang.

Pemandu juga peramah dan mempunyai masa untuk bertanya khabar penumpangnya. Ini membuatkan kita rasa dihargai.

Saya pernah trauma menaiki bas sekolah di Malaysia. Ini disebabkan, pemandu bas tidak berhenti betul-betul ketika mengambil saya naik. Ketika saya masih di pintu bas, bas sudah bergerak dan membuatkan saya hampir terjatuh. Saya memaut kuat besi pemegang pada pintu bas untuk mengelakkan daripada jatuh. Mujurlah saya sudah sarapan, kalau tidak mungkin saya lemah dan jatuh. Kejadian saya hampir jatuh dari bas itu diusik-usik pula oleh budak-budak nakal yang ada dalam bas itu, "Hooi, terrer kamu stunt ye!" Aduhai, kenapalah orang kita macam ni, ya?

Seperkara lagi yang menarik di Victoria ini: penumpang boleh membawa basikal bersama menaiki bas! Macam mana tu? Caranya - bas menyediakan tempat letak basikal di hadapan kepala bas. Dengan cara ini, kita boleh menaiki bas sekiranya penat mengayuh basikal. Menarik, kan?


Bas di Vancouver Island menyediakan tempat meletak basikal di hadapan bas supaya kita boleh berbasikal dan naik bas. Lihatlah palang besi pada kepala bas ini. Inilah tempat letak basikal,


Sampai di Renouf House-Bed & Breakfast


Berbalik kepada pemandu teksi saya tadi, pemandu teksi itu membawa saya ke Renouf House yang letaknya di kawasan perumahan yang luas. Tambangnya adalah mengikut kiraan meter pada teksi dan tiada penipuan berlaku.

Kawasan perumahan di Stanley Avenue, tempat saya menginap.

Pokok cherry blossom banyak terdapat di kawasan perumahan di Stanley Avenue

Saya lihat Renouf House adalah sebuah ruman bersenibina Victorian yang besar. Saya lalu memicit loceng pintu rumah itu. "Ting tong ting tong!"

Saya terdengar bunyi kaki berjalan menuju ke pintu. Harap-harap inilah Sean. Sean tahu saya akan sampai hari ini.

Sebentar kemudian seorang lelaki Mat Salleh membuka pintu dan menyambut saya dengan tersenyum.

"Hi! Named Sean. I have been expecting you!" sapa Sean.

Sean membawa saya ke bilik saya yang letaknya di tingkat atas. Di dalam bilik itu terdapat 2 buah katil. Saya memilih bunk bed yang di bawah sekali. Saya dimaklumkan akan berkongsi dengan seorang perempuan yang akan sampai pada malam hari. Memang Sean sediakan bilik yang perempuan berkongsi dengan perempuan.

Sean membawa saya melawat rumah itu, menunjukkan bilik air, bilik-bilik, dapur, peralatan memasak dan mesin basuh. Saya dibenarkan untuk memasak, membasuh dan menukar bilik sekiranya saya mahu.

Sean memberitahu saya waktu sarapan. Dia akan mengadun roti pada malam hari sebelum tidur dan akan membakarnya pagi esok.

Terdapat sebuah bilik kelamin di hujung tingkat satu. Ia disewakan oleh sepasang suami isteri dari Seattle, Washington, Amerika Syarikat. Tapi saya tak nampak mereka hari itu.


Bunga tulip di mana-mana pada musim bunga di Victoria Island 1998

Malam Yang Dingin Bersama Gadis Red Indian di Renouf House


Malam itu dingin sekali. Saya menghirup udara Musim Bunga di Vancouver Island. Bau Musim Bunga begini amat saya kenal. Ia sama dengan bau Musim Bunga di Ohio, Amerika Syarikat. Dulu saya pernah tinggal di Amerika. Sudah lama saya tidak menghirup udara Musim Bunga begini. Jadi, terubatlah sudah rindu saya pada bau Musim Bunga.

"Achum!"Achum!" tempias mula tersembur dari lubang hidung saya. Hidung saya memang sensitif dengan cuaca sejuk dan debunga Musim Bunga.

Saya berbaring di bunk bed saya. Terasa sunyi. Mulalah saya terkenangkan anak-anak saya yang saya tinggalkan di Malaysia. Rasa ralatpun ada. Alangkah bagusnya kalau mereka ada bersama. Tapi apakan daya...Tiba-tiba....

... seorang perempuan memasuki bilik saya dengan beg galas. Badannya besar dan tinggi.

Kamipun berkenalan. Dia seorang Red Indian iaitu orang asli dari utara Kanada. Sepanjang malam itu kami berbual-bual. Saya kagum dengannya kerana keberaniannya mengembara sendirian. Daripadanya saya dapat mengetahui bahawa bahasa Red Indian sudah hampir pupus kerana semua mereka menggunakan bahasa Inggeris. 

Ketika hendak tidur, saya menarik tabir hitam yang direntangkan khas pada bunk bed saya untuk memberi saya keselesaan tidur dan sedikit privasi. Rakan Red Indian saya itu tidur di bunk bed di atas saya.

Malam di Victoria amat dingin bagaikan musim sejuk di Amerika walaupun pada ketika itu Musim Bunga. Mujurlah Sean telah menyediakan banyak selimut tebal untuk saya pakai.


Inilah Renouf House - Bed & Breakfast. Kelihatan Sean berbaju merah sedang menyiram sayur-sayuran dan herba di belakang rumah.


Berlegar dalam Aroma Home-made Bread dan Canadian Breakfast Yang Enak


Di waktu pagi saya dapati gadis Red Indian itu sudah keluar dan meninggalkan Renouf House. Saya kemudiannya pergi ke dapur dan melihat Sean sedang membakar roti.

"Hi! Good morning! Did you have a good sleep?" sapa Sean apabila melihat saya tersembul di pintu dapur.

"Yes, I did, " jawab saya. 

Sebentar kemudian...

"Ting!"

Loceng pada ketuhar Sean berbunyi. Roti itu sudah masak. Sean membuka ketuharnya. Bau harum roti itu semerbak di sekitar dapur. Aroma home-made bread ini begitu menyenangkan saya. Inilah aroma yang berlegar di rumah Victorian ini setiap pagi. Aroma ini membuatkan saya rindukan suasana pagi di Kanada.

Sean memotong roti itu lalu meletakkannya di meja sarapan yang terletak berhampiran dengan tingkap dan pintu menuju ke laman belakang. Di atas meja terdapat bijirin, buah-buah kering, kekacang, pisang Del Monte, strawberi segar, susu lembu segar, jem, mentega, mentega kacang serta pinggan mangkuk.

Pasangan suami isteri dari Seattle yang menginap di bilik hujung sudah sedia duduk di meja sarapan. Sayapun duduk. Kamipun menyapu mentega dan jem lalu menyantap roti yang baru dibakar oleh Sean. Home-made bread masakan Sean itu amat sedap. Saya tidak pernah makan roti sebegini enak seumur hidup saya.

Kami berbual dan berjenaka dari satu topik ke satu topik. Pasangan suami isteri ini sering menginap di Renouf House dan merupakan penyewa tetap Sean setiap Musim Bunga. Mereka datang dari Seattle, Amerika Syarikat, merentasi Lautan Pasifik ke pulau itu dengan menaiki kapal.

Pasangan ini mengingatkan saya pada filem Sleepless in Seattle. Niat untuk meneroka Seattle memang ada dalam hati. Tak jauh dah. Saya boleh menaiki feri ke Seattle dari Victoria. Saya anggap Seattle amat indah. Tetapi orang Seattle ini tidak bersetuju.

 "No! Vancouver Island is better!'"

Terpaku saya seketika. Niat saya untuk menerjah Seattle menjadi tawar tiba-tiba apabila orang Seattle sendiri menyatakan tempat kelahirannya tidak seindah Vancouver Island.

Pasangan suami isteri itu kagum dengan saya. Bagi mereka saya ini fasih berbahasa Inggeris.

"Where did you learn English?" tanya mereka kehairanan.

Saya memaklumkan mereka bahawa saya pernah menuntut di universiti di Amerika Syarikat dan tinggal di sana selama lebih empat tahun.

Sean tidak turut serta bersarapan pada pagi itu kerana dia perlu pulang melihat isterinya yang down syndrome dan sedang sakit. Sean tidak tinggal di Renouf House tetapi tinggal di rumah belakang.

Disamping menguruskan penginapan Bed & Breadfast, Sean mempunyai perniagaan berkayak dan memiliki beberapa buah kapal layar untuk disewakan.

Sean pernah memberitahu saya bahawa dia dan isterinya akan bercuti pada tahun hadapan selama setahun dan akan mengembara mengelilingi dunia dengan menaiki kapal milik mereka. Kagumnya saya mendengar cita-citanya itu kerana dia mempunyai isteri yang down syndrome, mengambil berat tentangnya dan bersemangat tinggi untuk mengembara dengan kapal layar bersama isterinya yang down syndrome itu. Satu lagi nilai murni dalam peribadi seorang Mat Salleh.

Victoria Island, British Columbia, Kanada pada tahun 1998.

Saya tidak lupa pada kebaikan Sean. Keesokan harinya saya diserang demam selsema.

"You have a bad cold," kata Sean dengan simpati.

Tanpa diminta Sean merebus halia seperiuk untuk saya minum bagi menyembuhkan demam selsema saya itu.

"Ginger is the best remedy for cold,' kata Sean sambil menuang halia panas ke dalam mug untuk saya minum.


Kedai yang terdapat di kawasan perumahan di Stanley Avenue


...bersambung



Rabu, 11 Disember 2013

British Columbia (1): Bagaimana Saya Dapat Mengembara Ke Kanada dengan Percuma?

S eringkali orang menyangka saya banyak duit untuk mengembara. Sebenarnya tidak. Kebanyakan kembara saya adalah berbajet rendah dan ada yang percuma.

Entri saya kali ini ingin berkongsi dengan rakan-rakan cara saya mengembara di British Columbia, Kanada dengan percuma. Percuma? Tentu anda tak percaya, bukan?



Di mana Letaknya British Columbia, Kanada?



Peta British Columbia


Kanada adalah antara negara yang saya suka pergi. Sebelum ini saya telah mengembara secara backpack ke bahagian Timur Kanda iaitu Ontario dan Quebec tapi belum lagi ke bahagian Barat. Di bahagian Baratlah letaknya British Columbia.

Di dalam negeri British Columbia ini terdapat sebuah pulau yang cantik di Lautan Pasifik, iaitu Pulau Vancouver. Di pulau ini ada sebuah bandar yang bernama Victoria. Inilah ibu negeri British Columbia. Di sinilah saya pergi.

Pulau Vancouver menjangkau sejauh 460km dari Selat Juan de Fuca di selatan (memisahkan Kanda dari Amerika Syarikat) dekat dengan Victoria sehingga Queen Charlotte Sound di utara pulau. Keindahan pesisir pantainya yang seakan-akan fjord, kehijauan flora dan faunanya dan kedamaiannya membuatkan pulau ini telah dinobatkan sebagai pulau Nombor 1 di Kanda oleh beberapa badan. 


Peta Pulau Victoria



Cara Kembara Percuma ke British Columbia, Kanada


Caranya begini saya amat tertarik dengan persidangan antarabangsa Asian Popular Culture yang diadakan di University of Victoria, Victoria, British Columbia, Kanada pada April 1998. Lama dah tu! Tapi walaupun lama ia tetap tersemat di hati kerana kenangan manis yang saya alami di sana.

Oleh kerana saya membuat penyelidikan tentang Asian Popular Culture pada masa itu, maka saya menghantar abstrak kertas kerja saya ke sekretariat persidangan itu. Tapi...

Bayaran yuran untuk persidangan antarabangsa biasanya mahal. Menginap di hotel dan tiket kapalterbang juga mahal. Malangnya ketika itu saya tidak mempunyai cukup wang untuk ke persidangan itu. Ketika itu saya berkhidmat di sebuah universiti swasta tempatan dan tiada bajet diperuntukkan untuk persidangan. Ini disebabkan ketika itu negara kita mengalami masalah kewangan akibat penyangak matawang dan ia meninggalkan impak yang besar di seluruh Asia.

Saya ingin sekali pergi. Saya pun berikhtiar mencari jalan supaya saya dapat ke sana. Saya lalu menulis surat memohon mereka membiayai saya ke persidangan itu dengan menulis sebab-sebab saya patut menerima pembiayaan itu. Antara sebab yang kukuh ialah masalah ekonomi Asia yang merundum ketika itu.

Nak tahu tak apa respons Jawatankuasa Persidangan Antarabangsa itu?

Tak lama kemudian saya menerima surat daripada mereka abstrak saya diterima! Ini satu berita gembira. Lebih menggembirakan mereka memahami situasi saya dan Asia yang mengalami kemerosotan ekonomi itu, maka persidangan itu telah menawarkan wang untuk saya menghadiri persidangan itu. Alangkah gembiranya saya! Saya diberi peruntukan sebanyak CAD$1,700 (RM 4,250)! Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu, kan?


Inilah berita baik yang saya terima. Nama dan tandatangan saya padamkan demi memelihara kerahsiaan.


Saya cuma perlu menggunakan wang saya dahulu dan membuat tuntutan selepas persidangan selesai. Saya bebas menggunakan 1,700 dollar itu dengan apa cara sekalipun dan membuat tuntutan dengan mengemukakan bukti seperti resit bayaran. Dengan wang ini saya membeli tiket kapalterbang MAS pergi balik, menaiki kenderaan awam, menyewa hotel dan membayar yuran persidangan. Yaay!!

Inilah cara saya membelanjakan wang itu:

PERKARA
(CAN$)
Tiket Kapalterbang MAS pergi-balik (K.Lumpur-Victoria, Victoria-K.Lumpur)
894.80
Yuran Pendaftaran Persidangan                                         
240.00
Sewa bilik (7 hari) [diskaun diberikan kerana menginap lebih 3 hari]
478.50
Tambang teksi/bas dari Lapanganterbang Victoria ke Renouf House  
  44.95
Tambang teksi/bas dari Renouf House ke Lapanganterbang Victoria  
  44.95
JUMLAH                                                                       
1,703.20


Kampus University of Victoria, British Columbia, Kanada

 

Mencari Penginapan Bed & Breakfast di Kanada

 

Rumah-rumah di Victoria Island


Ini cerita tahun 1998. Lihatlah gambar-gambar yang saya ambil semasa di sana. Masih belum digital lagi sebab ketika itu kamera digital baru sahaja diperkenalkan dan harganya terlampau mahal. Sebuah kamera digital ketika itu berharga RM2,800-4,500. Jadi saya menggunakan kamera analog jenis compact yang masih menggunakan rol filem.

Pada masa ini laman web amat kurang dan kecanggihannya tidak seperti sekarang. Jadi pencarian tempat penginapan amat terhad. Dengan pilihan yang terhad itu saya pun membuat tempahan di Renouf House - Bed & Breakfast, sebuah rumah milik seorang mat salleh Kanda bernama Sean. Semua urusan dan perhubungan saya lakukan melalui emel dan faksimile.

Sean menyediakan bilik yang boleh dikongsi bersama dengan penyewa lain atau bilik perseorangan. Beliau juga menyediakan sarapan pagi yang dimasaknya sendiri untuk semua penyewa biliknya itu. Saya cuma perlu membayar 79.80 dollar Kanada (RM199.50) sehari untuk semua ini. Kadar ini dianggap murah kerana sewaan bilik di hotel lebih mahal iaitu 300-400 dollar Kanada semalam.

Saya ke sana seorang diri kerana bajet 1,700 dollar Kanada itu hanya cukup untuk seorang. Lagipun ketika itu anak-anak saya terlalu kecil dan mereka semua adalah budak lelaki yang nakal serta aktif. Adalah agak sukar membawa anak kecil yang masih terlalu aktif pada umur 3-6 tahun. Lagipun mereka belum dapat menghargai erti kembara pada usia yang terlalu mentah.

Pernah suatu ketika saya membawa anak saya di sebuah bangunan di St Louis, Amerika Syarikat. Orang terlalu ramai di situ. Saya memegang erat tangan anak saya itu tetapi anak saya tidak suka tangannya dipegang.  Dia melucutkan tangannya dari pegangan saya lalu berlari. Sayapun segera mengejarnya. Lagi dikejar, lagi dia berlari. Sangkanya saya bermain kejar-kejar dengannya.

Dia kemudiannya menghilangkan diri di celah-celah orang ramai. Saya mencari-carinya ke sana sini selama 5 minit. Kehilangannya selama 5 minit ini membuatkan saya pucat lesi dan panik ya amat. Setelah mencarinya dan bertanya-tanya orang, akhirnya saya menemui anak saya di dalam bilik air sedang bermain air. FUHH!!! Jadi disebabkan itu saya kurang membawa anak kecil saya mengembara.


Hotel Empress ini adalah mercu tanda di waterfront Victoria


Sebelum berangkat, homework telah dilakukan dengan teliti. Maklumat dari Lonely Planet edisi lama dan bacaan yang saya perolehi telah membuatkan saya begitu teruja untuk sampai ke pulau yang belum pernah saya jejaki.

Indah! Pasti!




Sayapun menggalas beg, menyarung kasut but lalu melangkah keluar dengan penuh keterujaan.

Pada entri akan datang saya akan ceritakan cara saya sampai di Vancouver Island yang indah itu.

...bersambung