Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 29 April 2014

Bagaimana Saya Menghabiskan Hujung Minggu Di Kampung? (Bhg 2): Berendam di Kolam Air Panas, Menyeberangi Sungai Perak dan Makan Laksa Goreng

Entri ini adalah sambungan daripada entri "Bagaimana Saya Menghabiskan Hujung Minggu Di Kampung? (Bhg 1): Berendam di Lata dan Meligan Lembu." Yang terlepas sila klik SINI.

 

4) Berendam di Kolam Air Panas Ara Panjang


Selepas berendam lama sampai kecut di Lata Ulu Kenas, saya dan keluarga ke Kolam Air Panas Ara Panjang. Hah... Kolam Air Panas ini tak ramai yang tahu kecuali penduduk tempatan.

Rasa sangat-sangat best bila kaki yang sejuk dan kejang direndamkan dalam kolam air panas ini. Anak-anak saya pun tak henti-henti bercerita tentang keseronokan merendam kaki ke dalam kolam air panas ini.

Ara Panjang adalah sebuah kampung yang letaknya berdekatan dengan pekan Manong, kira-kira 16 km dari pekan Kuala Kangsar. Mudah je nak ke sini.  Cara perginya nanti akan saya tunjukkan melalui gambor.


Papan tanda ini boleh kita lihat di jalan raya menuju ke Manong dari Kuala Kangsar. Selepas papan tanda ini beloklah ke kiri dan masuk ke jalan kampung.
Masuklah jalan kampung ini. Selepas jumpa papan tanda ini terus memandu ke hadapan kira-kira 1-2 minit dan kome akan bertemu dengan sebuah jambatan. Belok ke kanan sebelum jambatan itu. Tak jauh kemudian kome akan jumpa Kolam Air Panas
Inilah Kolam Air Panas Ara Panjang. Cantik, kan?
Kolam Air Panas Ara Panjang semulajadi ini tidak pernah kering-kering.
Walaupun air kolam ini panas namun pokok-pokok tetap tumbuh sekeliling Kolam Air Panas Ara Panjang ini. Hebatnya ciptaan Allah.
Air panas yang menggelegak dan berbuih serta berbau sulfur

Try rendam telur
Telur yang direndam dalam kolam air panas. Ia memerlukan masa yang lama untuk keras.
Buakan air panas yang mengandungi sulfur semulajadi dari perut bumi

Pokok-pokok yang mati dan tumbang di kolam air panas
Boleh duduk di benteng ini dan rendamkan kaki ke dalam air panas. Terdapat kemudahan seperti bilik air di tempat ini. Namun kurang mendapat penjagaan daripada pihak tertentu.
Ranting-ranting yang patah di Kolam Air Panas Ara Panjang


Hah macam mana? Lepas ni tak payahlah jauh-jauh pergi rendam kaki. Kat kampung saya pun boleh.



5) Menyeberang Sungai Perak dengan Bot dan Mengutip Durian di Dusun


Lepas penat mandi dan merendamkan kaki di Lata dan Kolam Air Panas Ara Panjang, kami pun pergi melihat pekan Manong. Kemudiannya kami ke penambang melihat bot kecil yang menyeberangi Sungai Perak. Kami selalu naik bot ini. Kalau musim durian kami akan ke dusun mengutip buah durian. (Bagi tahun ini musim durian dah berlalu).

Bot yang digunakan untuk menyeberangi Sungai Perak dari Manong ke Seberang Manong
Bot ini membawa penumpang dan motorsikal
Anak-anak saya mengutip durian di dusun kami di Kampong Bekor. (Ini gambor lama, jangan tertipu pulak. Gambar ni masa anak-anak saya kecil lagi, sekarang dah jadi anak teruna he he).
Durian  yang dikutip dimasukkan ke dalam bakul.  (Ini pun gambor lama. Gambar ni ditangkap masa anak-anak saya kecil lagi, berbelas-belas tahun dulu he he he ...jangan marah ya, maaf stok gambar baru tak ada ).

6) Makan Laksa Goreng Pak Ngah


Pak Ngah terkenal dengan laksa. Tak ada orang Kuala Kangsar yang tak tahu Laksa Pak Ngah. Kalau ada yang tak tahu tu maknanya dia bukanlah pure Kuale... he he he.. (Jangan marah ya...)

Seperti biasa kami pasti makan laksa Pak Ngah yang terkenal sejak 1955 lagi. Tetapi pada kunjungan kami kali ini, ada perubahan pada konsep kedai dan menu Pak Ngah. Menu tambahan yang ada ialah Laksa Goreng Special, Laksa Goreng Banjir, Mee Rebus dan macam-macam lagi. Kali ini kami try Laksa Goreng. Pertama kali makan memang hmmm... pergh!!! SEDAP!!!

Kedai Laksa Pak Ngah  letaknya di belakang Sekolah Menengah Tsung Wah, Talang,  Kuala Kangsar
Cendol, RM5.00
Laksa Goreng Special, RM5.00

Amacam? Ate, kalau belum terai lagi, moh le kite  :)

Selasa, 22 April 2014

Bagaimana Saya Menghabiskan Hujung Minggu Di Kampung? (Bhg 1): Berendam di Lata dan Meligan Lembu

 
H ujung Minggu saya biasanya balik kampung di Kuala Kangsar. Ada banyak tempat menarik di Kuala Kangsar. Tak sempat saya meletakkan kesemuanya dalam entri yang lalu.  Bagi yang terlepas tentang "15 Tempat Menarik di Kuala Kangsar dan Sekitarnya" sila klik di SINI 

Antara aktiviti yang saya dan keluarga lakukan ialah:

 

1) Mandi dan Berendam di Lata Ulu Kenas


Minggu lepas saya dan keluarga pergi berendam dan mandi di Lata Ulu Kenas, Kuala Kangsar. Best sangat-sangat berendam di sini. Airnya sejuk. Apabila mandi di sini, badan rasa sangat segar.

Lata ini amat bersih dan dijaga dengan baik. Di sini juga terdapat kemudahan seperti bilik air/tandas, gerai makanan dan Kem Bina Negara.



Lata Ulu Kenas tidak begitu dalam. Ia sesuai untuk kanak-kanak
Pokok-pokok jadi teduhan.

Jeram-jeram
Air lata yang sejuk amat menyegarkan badan dan minda
Di hujung minggu ramai datang mandi dan berkelah
Seronoknya mereka ni jumpa air
Kalau nak menyendiri dan mencari ilham tak siapa yang ganggu
Meranduk air dan memanjat batu adalah cabaran yang menyeronokkan
Arus air melalui celah-celah batu
Tak puas rasanya mandi dan berendam di sini. Rasa tak mahu balik.

Cara Pergi:




Peta Menuju Lata

Bagi mereka yang belum pernah ke sana, untuk menuju ke tempat ini anda perlu  ke pekan Kuala Kangsar dahulu dan kemudian mengambil jalan yang menuju ke Manong atau Beruas. Kira-kira 15 minit memandu anda boleh lihat papan tanda Hutan Lipur Ulu Kenas dan masuklah ke sebelah kanan. Kira-kira 1-2 minit dah nampak sungai dengan batu-batu serta jeram-jeram.


2) Meligan Lembu


Kemudian kami ke lata-lata yang terdapat di daerah Manong, lebih kurang 16 km dari Kuala Kangsar. Lata-lata ini terletak tidak berjauhan di antara satu sama lain.

Untuk menuju ke Lata Guar, kami masuk lorong kampung di Guar. Ada papan tanda di tepi jalanraya untuk memudahkan tujuan.

Dalam perjalanan menuju ke Lata Guar itu kami nampak lembu-lembu sedang meragut rumput di ladang. Pemandangan di situ sangat cantik. Macam kat New Zealand pulak rasanya. Saya geram melihat lembu-lembu itu. Rasa nak ligan lembu-lembu itu, tapi bila saya datang dekat dengan pagar mereka, mereka lari. Pemalu sangatlah lembu ni! Macam mana nak ligan he he he..

Dulu di kawasan berdekatan sini ada ladang rusa. Ladang rusa ini milik bapa saudara saya. Tapi dia sudah meninggal dunia. Jadi ladang tu pun tiada siapa lagi yang mengusahakannya. Kalau tidak bolehlah saya ligan rusa-rusa tu...

Ladang ternakan lembu di Guar
Lembu ini lari apabila saya datang dekat
Lembu ini takut melihat saya

Lata Guar

3) Lata Pecah Batu


Kemudian kami ke Lata Pecah Batu tak berjauhan dengan Lata Guar tadi. Di sini terdapat kawasan berkelah dan mandi-manda. Terdapat juga chalet berupa pondok-pondok kecil yang boleh memuatkan 2 orang di dalamnya. Di sini kami berbual-bual dengan penguasaha kawasan ini. Beliau menyediakan tapak untuk mendirikan khemah atau menyediakan aktiviti "team building" seperti Program Pimpin Siswa.

Air Lata Pecah Batu mengalir turun ke bahagian bawah
Air terjun kecil di Lata Pecah Batu. Kalau rajin naik ke tanah tinggi, boleh jumpa air terjun lagi besar/tinggi
Chalet di Lata Pecah Batu

...bersambung



Ahad, 20 April 2014

10 Hadiah Menarik Untuk Komentator Paling Rajin

 
B erita gembira buat pembaca blog Nota Kembara Naramas Aman !!!





Sudah  2 tahun  4 bulan usia blog saya ini. Daripada tak siapa mengenali saya, kini dah ramai pembaca dan kenalan. Banyak yang positif saya perolehi setelah menulis di blog ini. Ramai yang menyokong blog ini. Dengan sokongan ini membuatkan blog Nota Kembara Naramas Aman terus hidup.

Sempena dengan ini saya ingin menghargai sumbangan pembaca yang paling rajin meninggalkan komen setiap kali saya pos entri.  Mereka ini telah 2 tahun lebih membaca blog saya dan rajin sangat-sangat mengulas entri saya. Seramai 10 orang yang saya kenalpasti. Jadi saya bahagikan hadiah  untuk mereka yang bertuah ini kepada 2 tahap:

 

I) 4 Pemenang Utama (Komentator Paling Rajin - Tahap Pertama)


Setiap 4 Komentator Paling Rajin - Tahap Pertama  bakal menerima hadiah sebuah topi Utagha dan sehelai t-shirt  = (1 topi + 1 t-shirt). Topi dan T-shirt ini direka khas oleh SHAZETVISUALS dan kesemuanya limited edition. Ada 4 warna topi dan rekaan  t-shirt. 4 Pemenang Utama ini diberi peluang untuk memilih topi dan t-shirt pilihan mereka.



Inilah rupa topi yang akan saya hadiahkan kepada 4 pemenang itu. Utagha bermaksud Utara. http://www.shazetshowbiz.bigcartel.com

Sehelai t-shirt juga akan saya dihadiahkan bersama topi tadi. http://www.shazetshowbiz.bigcartel.com
Salah satu design t-shirt yang boleh dipilih. http://www.shazetshowbiz.bigcartel.com

4 Pemenang Utama tersebut ialah:


1. Mie  (http://mymiee.blogspot.com)

2. Aku Seorang Pengembara  (http://atlas-pengembara.blogspot.com/)

3. Zila  (http://akulovetravel.blogspot.com)

4. Janggel/Rain/Ren  (http://janggeltrekking2.blogspot.com)


Jadi kepada Mie, Aku Seorang Pengembara, Zila dan Janggel/Rain/Ren, sila nyatakan topi dan t-shirt yang anda suka,  termasuk warna dan saiznya. Untuk memilih topi dan t-shirt anda, sila lihat di laman web ini: http://www.shazetshowbiz.bigcartel.com

(Nota: topi dan t-shirt dalam laman web http://www.shazetshowbiz.bigcartel.com ini adalah milik anak saya, jadi jangan risau kesemuanya ada dalam simpanan saya, insyaAllah).



II) 6 Pemenang Kedua (Komentator Paling Rajin - Tahap Kedua)


Seterusnya pemenang berikut bakal menerima souvenir yang saya beli semasa mengembara ke pelbagai tempat, contoh souvenir: Fridge Magnet atau lain-lain yang sesuai/mudah diposkan:

1. Danny/John/Henry Fox  (http://kakiberangan.blogspot.com/)
2. Orga  (http://skampung.blogspot.com/)
3. Chawanna Na/BlueEwoke  (http://blueewoke09.blogspot.com/)
4. Farikica  (http://farikicasworld.blogspot.com/)
5. Nekcik  (http://terataknekcik.blogspot.com/)
6. Muhammad Khairuddin Lim (http://kakitravelkhairuddin.blogspot.com/


Sila hantarkan alamat anda (mesti di Malaysia ya, sebab nak jimat belanja pos... he he he) dan maklumat yang berkaitan kepada notakembara@yahoo.com atau mesej saya di facebook saya supaya saya boleh poskan hadiah-hadiah tersebut.

Bagi "pembaca senyap" blog ini jangan marah ya...saya ucapkan terima kasih juga kepada anda semua. Rajin-rajinlah tinggalkan ulasan di blog ini.

Kepada anda yang belum lagi menjadi pengikut blog ini atau belum "Like" facebook saya sila lakukan sekarang :)


Isnin, 14 April 2014

Tasik Banding (2): Tinggal di Kampung Orang Asli Paling Bersih

K ami sudah bermalam di Kampung Semelor sebuah kampung Orang Asli di Tasik Banding, Gerik Perak. Yang perempuan tidur di surau. Yang lelaki tidur di dewan orang ramai. Sejuk ya amat! Nasib baik kami bawa selimut, sleeping bag dan bantal. Yang tak bawa mengadu sejuk kejang! Hah ..siapa suruh tak bawa?

Subuh-subuh sepie saya sudah bangun sorang-sorang dan mandi dengan air sejuk-gedi. Berdetap-detap gigi. Kalau lambat kena Q panjang. Bilik airnya satu. Gelap gelita, tak ada lampu...siap meraba-raba saya mencari paip. Nasib baik tak teraba Mak Lampir...kalau tak ...dah lama kojol...he he he

Kemudian kami memasak. Saya disuruh Presiden Persatuan bertugas menjadi ketua memasak. Cewah naik pangkat pulak..macamlah terror bebenor..Masak nasi pun mentah. Kalau tidak kenapalah nasi tu bertukar jadi bubur? ...Kwang kwang kwang...

Sarapan  dengan kanji nasi ..yang asalnya nasi mentah semalam ditukar menjadi bubur he he he

AJK masak-memasak terdiri daripada sekumpulan siswa-siswi, saya ketuanya dan dibantu oleh seorang jururawat. Kami semua ini tetiba tukar profesyen jadi tukang masak... Selama ni pegang pen, hari tu pegang senduk...maka nasi banyak-banyak yang dimasak semalam itu mentah...kik kik kik...Mulalah salahkah dapurlah, apilah, periuklah...padahal memang tak pandai masak... :P

Kesian bebudak tu tak dapat makan nasi malam tu...makan roti je dengan muka kelat...tak seorang pun berani komplen...Tapi...jeng jeng...jeng..pagi esoknya AJK memasak dah selamatkan nasi mentah tu jadi bubur nasi...he he he...SELAMAT! Kalau tak jadi habuan ayam ajelah.

Kami dapat tahu bahawa semalam ada satu kumpulan yang sesat masa jalan kaki, tak jumpa jalan ke Kampung Semelor. Ini disebabkan jalan gelap, ada simpang tak bertanda pulak tu. Jadi bebudak ni dah terlajak, masuk jalan salahlah kaedahnya. Jalan punya jalan punya jalan...baru perasan tak sampai-sampai. Apa hal? Mujurlah mereka berpatah balik dan jumpa jalan betul. Kalau tidak...ish ish...macam mana nak jawap ni?

Kalau terlepas entri yang lepas sila klik di SINI

 

Memasak Untuk Orang Kampung


Menyediakan masakan tengahari untuk orang kampung
Tomyam untuk tengahari sedang dimasak

Kami juga menyediakan makan tengahari, petang dan malam untuk Orang Asli Kampung Semelor. Terdapat seramai 350 Orang Asli di sini. Mereka dari suku Temiar dan mempunyai bahasa mereka sendiri. Contohnya: "Kebesh" bermaksud mati.

Makanan Orang Asli di sini ialah ubi kayu. Tetapi disebabkan oleh aktiviti haram orang tidak bertanggungjawab menebang hutan Belum, maka banyak binatang seperti gajah, babi hutan dan beruk melarikan diri ke kampung-kampung dan merosakkan tanaman. Kini Orang Asli di situ kurang menanam ubi tetapi beralih kepada memakan nasi yang berasnya dibeli di pekan Gerik atau dibawa oleh agen  ke Kampung itu.


Orang Asli sekampung datang mengambil makanan tengahari yang kami masak untuk mereka
Jangan malu-malu...bawalah tupperware boleh isi banyak-banyak
Nak tembikai tak dik...?  Sambal Belacan?

Burger yang kami sediakan untuk makan petang


Program dengan Orang Asli



Banner kami yang kami rentang. Program bersama Orang Asli ini adalah di bawah Sekretariat Rukun Negara. Dapat tajaan pelbagai pihak

Sambil itu kami melakukan aktiviti bersama orang-orang Asli seperti bermain dan beramah mesra dengan kanak-kanak, bermain dam, bermain sepak raga dan menyumpit.


Jadi jurumekap Orang Asli sekejap.

"Meh saya mekap akak"
"Pejam mata dik, akak nak sapu kat mata adik ni kasi lagi lawa"
Amboi Orang Asli pun tahu selfie...
Chicken Dance la la la la
"Cute tak gambar adik? Akak?"

Kampung Semelor, Kampung Orang Asli Paling Bersih


Kampung Semelur yang bersih. Sudah ada bekalan elektrik dan Astro di sini. Tetapi talian telefon dan Internet tidak ada.

Kampung Semelor adalah kampung Orang Asli paling bersih di Malaysia. Ia mendapat pengiktarafan daripada Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia dan pemenang anugerah ini menerima wang RM500,000.000. 

"Wow banyaknya...setengah juta beb! Mana nak dapat?"

Memang kampung itu bersih sangat sangat. Memang terkejut beruk matyeh saya dibuatnya. Susah nak lihat sampah di merata-rata. Tiada langsung kelihatan plastik dibuang. Sangat hijau. Amat lestari. 

Tahun 2014 ini Kampung Semelor berharap mereka memenangi lagi anugerah Kampung Asli Paling Bersih.

Tahun 2014 mereka harap menang lagi.

"Kalau menang kami akan dapat RM1 juta," kata salah seorang penduduk di situ.

WOW!!! Terkejut beruk matyeh lagi....

"Tapi, wang 1 juta itu akan diberikan dalam bentuk projek. Mereka kena usahakan sesuatu untuk bangunkan kampung ini," kata Puan Aizah pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang datang memantau program kami.

Wah best giler!!!!! Siapa yang tak nak, kan? Semoga berjaya Kampung Semelor!


Rumah Orang Asli Kampung Semelor mendapat peruntukan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Gerik, Perak
Yang biru tu surau tempat kami tinggal



Aktiviti Petang



Main dam bawah pokok. Ada juga antara mereka yang belum memohon untuk memiliki kad pengenalan Malaysia.

Saya mengambil peluang berbual-bual dengan Orang Asli di sini. Dari perbualan ini saya mendapat banyak maklumat.

"Apa punca pendapatan orang sini?" tanya saya.

"Rutin kami ialah menoreh getah di waktu pagi," kata seorang pemuda orang Asli di situ.

Amboi! Dia guna perkataan 'rutin' beb! Terkejut beruk matyeh akak tau!

"Ramai tak orang Islam di sini?" tanya saya lagi.

"Separuh dari kami Islam. Yang lainnya animisme," kata pemuda itu.

Amboi! Dia guna perkataan 'animisme' pulak. Terkejut beruk matyeh lagi...beruk matyeh pun tak terkejut macam ni.

Apa tak terkejut beruk matyehnya? Penduduk kampung ini kebanyakannya mendapat pendidikan sekolah rendah. Sekolah mereka terletak agak jauh dari kampung ini iaitu mereka perlu menunggang motorsikal meredah jalan yang tidak rata dan berlekuk-lekuk. Ia memakan masa 50 minit untuk sampai ke sekolah. Mereka bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 atau 9.00 pagi. Kalau keluar rumah terlalu awal mereka bimbang diganggu gajah yang keluar pada waktu itu. Guru sekolah mereka memahami keadaan mereka dan tidak menghukum mereka kerana lambat sampai ke sekolah.

Bagi yang mendapat pendidikan sekolah menengah mereka tinggal di asrama. Oleh kerana kini Orang Asli sudah mempunyai pendidikan mereka mula menuntut hak mereka seperti tanah adat.

Terdapat dua Orang Asli lulusan diploma di sini dan mengajar kanak-kanak tadika

Mandi sungai


Hari dah nak malam jom balik...tapi Peace dulu sebelum balik dari mandi sungai

Menyumpit



Orang Asli di sini memburu binatang menggunakan sumpit yang dibuat sendiri dengan buluh panjang. Di dalam sumpit itu diletakkan jarum yang dibuat daripada belahan buluh yang disapu racun pokok Ipoh. Binatang yang terkena racun Ipoh akan mati. Binatang yang sering disumpit ialah tupai dan burung.

Pertandingan menyumpit

Abdullah nak try pulak
Tiup kuat-kuat Abdullah
Macam ni kalau nak sumpit
Terror giler ....
Saya pun nak try jugak
Yay dapat hadiah!
"Kamilah orang yang paling ori ...Kau ada? He he he"

Sewang, Tarian dan Muzik Tradisional Orang Asli


Menganyam hiasan kepala untuk sewang malam nanti
Menyaksikan dan menyertai Sewang, tarian dan muzik Orang Asli

Pada waktu malam kami menyaksikan persembahan tarian muzik Orang Asli iaitu Sewang. Untuk persembahan Sewang kami perlu bayar RM600. Perbincangan diadakan untuk mengutip duit. Jadi kami kongsi ramai-ramai bayar. Jadi ada yang bayar RM5.00 dan ada yang bayar RM10.00 mengikut status keahlian.

Selain daripada dimainkan ketika pengunjung datang, Sewang dimainkan ketika hari perkahwinan.


Pulang dengan Kenangan Berilmu


Setelah 3 Hari 2 malam di Kampung Semelor kami pun pulang

Mengemas barang untuk meninggalkan Kampung Semelor
Mengangkat barang ke dalam bot
Naik bot yang sama untuk pulang
Jernihny air Tasik Banding di waktu pagi
Ketenangan Tasik Banding yang memukau
Mat Salleh menaiki bot kecil di Tasik Banding
 I love this place! I'll be back again!
Di dalam bot kami bermain permainan tradisional Orang Asli


Itulah pengalaman berharga kami tinggal di Kampung Orang Asli - 3 Hari 2 Malam.


Cara Pergi:


Bagi anda yang ingin melakukan program macam kami ni kenalah hubungi Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Gerik Perak untuk mendapatkan permit. Tanpa permit anda tidak boleh masuk ke dalam kampung ini.

Cara lain untuk memasuki kampung Orang Asli di sini ialah dengan menggunakan khidmat pakej.

Sewa house boat boleh dirunding dengan tauke bot. Sewaannya bergantung kepada jenis keperluan dan kemudahan yang disediakan. Ada yang berkadar RM1,800 sehari dan ada yang mencecah hingga RM3,000 sehari.

Untuk menyewa house boat dan mendapatkan khidmat lawatan/pakej ke kampung ini sila hubungi: