Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Khamis, 26 Februari 2015

Liburan Di Jakarta (3): Bogor dan Kehijauannya

A da dua destinasi kami pada hari ini di Bogor. Bogor letaknya di Jawa Barat. Untuk ke sana dari Jakarta Timur memakan masa hampir 2 jam pemanduan. Di Bogor kami dicadangkan untuk melawat Kebun Raya Bogor dan Puncak. 

Namun pada kali ini, bukan Yan mengatur rancangan kami tetapi student saya yang lain iaitu Putri dan Indra. Dengan itu mereka telah menyediakan seorang supir dan sebuah kereta yang boleh memuatkan kami sekeluarga. Semuanya dibiayai oleh Putri dan Indra. Namun Putri dan Indra tidak bersama kami kerana mereka bekerja.

Sebelum berangkat, kami mengisi perut kami dengan sarapan masakan Sunda yang dimasak oleh pembantu rumah Yan.

Mengalas perut dengan sarapan pagi Sunda sebelum keluar rumah hari ini

Rusa Di Hadapan Istana Bogor


Hampir tengahari, kamipun sampai di Bogor. Destinasi utama kami ialah Kebun Raya Bogor.

Untuk menuju ke Kebun Raya Bogor, kereta kami melalui Istana Bogor yang dipagari dan terletak di satu kawasan padang rumput hijau yang luas. Dikhabarkan bahawa istana itu ialah tempat kediaman Presiden. Dahulunya ia didiami oleh Gabenor Belanda.

Tidak berjauhan dari kawasan istana itu ~ kejutan berlaku ~ kami ternampak beratus-ratus ekor rusa sedang meragut rumput di padang itu. Saya menjerit kegembiraan. Suasana begini mengingatkan saya pada rusa yang berkeliaran di Nara, Jepun yang saya lihat 6 bulan sebelum ini. (Sila lihat entri lepas DI SINI dan SINI). Geram melihat rusa-rusa comel itu, sayapun turun sebentar untuk mengambil gambar rusa itu.

Taman di kawasan Istana Bogor ini penuh dengan rusa mengingatkan saya pada rusa di Nara, Jepun.
Pelukis potret di luar kawasan Istana Bogor

Kebun Raya Bogor



Tidak jauh dari kawasan Istana Bogor tadi, kami dapat melihat papan tanda Kebun Raya Bogor atau Bogor Botanical Gardens. Kebun Raya Bogor ini adalah taman yang memelihara pokok-pokok yang sudah berusia ratusan tahun.

Apabila kami sampai, kami dapati Kebun Raya ini amat luas. Banyak pokok-pokok hijau, bunga-bungaan, sungai dan jambatan di situ.

Ada sejenis bunga yang dipanggil Bunga Bangkai tumbuh di situ. Ia adalah sejenis bunga besar dan mengeluarkan bau busuk seperti bangkai. Namun bunganya belum muncul lagi ketika kami datang. Yang dapat kami lihat ialah pokok dan gambar bunganya pada papan tanda.

Papan tanda bunga Bangkai di Kebun Raya Bogor

Taman yang didandan rapi di Kebun Raya Bogor
Tumbuh-tumbuhan di dalam Kebun Raya Bogor
Bunga berguguran di Kebun Raya Bogor
Kebun Raya Bogor juga dijadikan tempat untuk penggambaran
Buah-buahan berwarna merah di celahan daun hijau
Melihat hijau
Putik durian yang kami temui di Kebun Raya Bogor
Mesra di Kebun Raya Bogor
Titi gantung merah menyeberangi sungai di dalam taman Bogor
Patung rusa di Kebun Raya Bogor
Kenangan bersama keluarga di Kebun Raya Bogor

Makan Tengahari di Gumati


Selesai melawat Kebun Raya Bogor, kamipun makan tengahari di Gumati yang terletak di Paledang, tidak jauh dari Kebun Raya Bogor.

Setelah itu Pak Supir mencari lokasi Gumati yang dia sendiri tidak tahu. Setelah bertanya beberapa orang, akhirnya kami bertemu dengan Gumati, iaitu sebuah kafe yang berlatarbelakangkan perumahan dan sungai.

Perumahan dan sungai ini  dapat dilihat dengan jelas dari ruang makan Gumati.

Menu di Gumati

Pelbagai menu dari masakan Indonesia sehinggalah masakan barat dipaparkan pada kad menu. Kamipun membuat pesanan mengikut menu yang diberikan. 

Suami saya memesan nasi dengan gulai udang dan membayangkan bahawa udang merah yang segar dihidangkan untuknya. Saya memesan bakso. Saya membayangkan bahawa bakso itu pasti ada bebola daging sebagaimana yang biasa saya makan.

Apabila makanan dihidangkan suami saya menyuapkan seekor udang daripada hidangannya untuk saya makan. Saya rasa udang itu sudah lama dan tak sedap. Tetapi saya mendiamkan diri. Selepas itu kakak saya memakannya lalu menegur yang udang itu sudah busuk. Mendengarkannya, suami saya pun mencuba udang itu. Dia merasa kecewa kerana dia dapati udang yang dimasak itu sudah busuk. Diapun mengadu dan minta ditukarkan dengan udang yang segar. Tidak lama kemudian chef memasak udang baru dan menghidangkannya kepada kami.

Bakso yang saya pesan pula tidak mengandungi bebola daging tetapi hanya tauhu sahaja. Ini membuatkan saya juga kecewa. Manakala kopi yang dipesan oleh suami saya pula berkelodak dengan serbuk kopi yang tidak bertapis. Nampaknya inilah pertama kali kami komplen pasal makanan di Indonesia. Pengurus kafe itu datang memohon maaf dan menggantikan dengan yang baru dan memberi makan sepiring pemanis mulut dengan percuma.

Kami sekeluarga sedang makan di Gumati dengan latarbelakang perumahan dan sungai
Nasi uduk ini pilihan kakak saya
Pisang bakar ini ditaburi keju dan coklat. Ini pilihan anak saya
Ini pilihan suami saya. Udang yang dihidang sudah busuk. 
Bakso ini pilihan saya. Tetapi Bakso ini tanpa bebola daging, hanya tauhu dan sayur sahaja. Ini mengecewakan saya.
Pemanis mulut ini diberikan kepada kami dengan percuma sebagai menggantikan kekecewaan kami.

Hujan di Bogor


Bogor adalah kota yang sering dilanda hujan disebabkan kedudukannya di tanah tinggi. Air hujan ini mengalir ke Jakarta dan membuatkan banjir di Jakarta. Ini membuatkan orang tempatan menghasilkan ungkapan, "Hujannya di Bogor, banjirnya di Jakarta".

Hujun turun ketika kami di Bogor
Masjid Raya Bogor, masjid terbesar di Bogor
Laluan masuk di dalam Masjid Raya Bogor
Kaunter menyimpan kasut di dalam Masjid Raya Bogor
Singgah solat di Masjid Raya Bogor



Ke Puncak


Destinasi seterusnya apabila ke Bogor ialah ke Puncak. Sudah lama Putri menyarankan saya ke Puncak. Puncak ialah sebuah kawasan pergunungan yang dingin dan cantik. Ia menjadi tarikan kepada pelancong tempatan untuk merehatkan diri dengan suasana dingin, hijau dan mesra alam.

Hujan dan macet ketika menuju ke Puncak

Kami pun ke Puncak. Namun hari itu hujan. Jalan pula 'macet' teruk. Ini disebabkan musim cuti Krismas dan Tahun Baru, maka  ramai pelancong berbondong-bondong ke Puncak.

Kami telah cuba ke Puncak melalui beberapa jalan, namun kesemua jalan di situ penuh sesak dengan kenderaan sehinggakan kenderaan bergerak seperti siput, malahan ada yang tidak bergerak. Ramai penduduk lelaki di situ berdiri di dalam hujan di tengah jalan. Mereka ini adalah informan kepada semua pemandu. Kami dinasihatkan oleh informan itu untuk mengambil jalan lain. Cara orang di sini ialah setiap kali mereka memberi makluman itu, mereka meminta upah. Ini adalah perkara biasa di sini.

Kamipun mengambil jalan lain pula. Hal yang sama berlaku. Begitulah seterusnya sehingga hari gelap.

Akhirnya Pak Supir mengambil jalan kampung yang berbukit, berliku, curam, gelap dan sempit. Kenderaan juga tidak putus-putus naik-turun dan berselisih di tengah jalan. Silap-silap kenderaan kami boleh jatuh terjunam ke dalam parit. Suasana begini memerlukan kemahiran memandu dan kesabaran. Ketika kenderaan kami yang dipandu Pak Supir menaiki bukit dan pada masa yang sama perlu menukar gear, ketika itulah sebuah lori kecil merembat masuk dari arah simpang jalan di belakang dan menghimpit kenderaan kami. Kenderaan kami dilanggar di bontot. Pak Supir turun, lalu seorang penduduk di situ mengambil alih kenderaan kami dan memandunya ke tempat yang rata. Kemalangan itu harus diselesaikan serta merta.

Saya diberitahu bahawa terdapat sedikit calar pada bahagian belakang kereta dan lampunya pecah. Yang paling 'brengsek' kereta yang melanggar kenderaan kami cabut lari.

Calar di bontot kereta dan lampu belakang pecah

Hari semakin gelap pekat. Apakah yang boleh dilihat ketika itu? Akhirnya kami mengambil keputusan untuk membatalkan sahaja hasrat untuk naik ke Puncak dan pulang semula ke Kota Bogor.


Membeli-belah di Pusat Membeli-belah Bogor


Di Kota Bogor kami pergi ke pusat membeli-belah.  Di situ kami membeli-belah di Body Shop dan Wacoal yang sedang mengadakan jualan diskaun.

Berhenti makan donut dan minum kopi di cafe di pasaraya di Bogor
Membeli-belah pada harga diskaun di pasaraya di kota Bogor

Piscox untuk Makan Malam


Begitulah keadaan 'macet' di Bogor ketika musim cuti Krismas. Kerana ini tidak banyak tempat yang dapat kami terjah.

Apabila hari sudah jauh malam, kamipun pulang ke Jakarta Timur. Sesampainya di rumah Yan, piscox sudah siap terhidang oleh Yan dan adiknya. Mereka tahu kami sukakan pisang itu. Kamipun makan pisang itu tetapi tidak dapat menghabiskannya kerana sudah keletihan.


Piscox yang dihidang tidak dapat dihabiskan kerana keletihan

Kamipun mempersiapkan diri untuk beradu. Saya sungguh bahagia malam itu kerana dapat berbaring di atas 'kasur' di sebuah bungalow damai di tengah-tengah kota Jakarta Timur. Alunan merdu celotehan tokek di hujung dahan berdekatan perumahan Malaka Asri itu menjadi muzik alam yang membuai tidur saya dan sang suami, namun ternyata seperti dipukau, nyanyian tokek itu membuat tidur kami semakin nyenyak dalam dingin malam Jakarta Timur.

...bersambung

Isnin, 16 Februari 2015

Liburan di Jakarta (2): Jalan-jalan ke Tempat Menarik

Menjadi tetamu di Jakarta, tidak perlu runsing. Semuanya diatur oleh Yan iaitu student saya berserta keluarganya.

Hari ini kami sarapan dengan masakan Sunda, yang dimasak khas oleh pembantu rumahnya. Yan, pula hari ini semakin sihat selepas pembedahan. Khabar yang menggembirakan kami, jari-jemari tangannya yang semalam masih belum bergerak kini sudah mula bergerak-gerak. 

Selesai sarapan pagi, kami dibawa makan angin oleh Pak Sukiyo, iaitu supir Nia Nescaya (adik Yan). Kami dibawa ke kotaraya Jakarta dan kawasan persekitarannya.




Taman Mini (Tamini)


Pak Sukiyo membawa kami sekeluarga ke Taman Mini (Tamini) yang terletak tidak berjauhan dengan rumah Yan di Jakarta Timur. Perjalanan ke Tamini memakan masa kira-kira sejam. Ini disebabkan 'macet' di sepanjang jalan.


Macet di jalan raya Jakarta
Sudah hampir ke Taman Mini 
Kereta kabel di Taman Mini

Hari ini Ahad. Pelancong tempatan amat ramai berkunjung ke Tamini membuatkan jalan di situ 'macet' dan tiada pakir untuk kami berhenti turun. Jadi kami cuma duduk di dalam kereta 6 seater yang dipandu Pak Sukiyo sambil melihat sekeliling. Di situ kami dapat melihat banyak rumah-rumah dari pelbagai daerah Indonesia yang dijadikan pameran.

Kira-kira setengah jam kemudian, kami berhenti di sebuah taman burung yang terdapat di hujung Tamini. Di situ kami mendapat pakir dan membeli tiket untuk masuk ke dalam taman burung itu. Di taman itu terdapat banyak jenis burung seperti helang, bangau, angsa, pelican dan macam-macam lagi.

Kolam dan gua buatan di dalam Taman Mini
Penulis di hadapan gua di Taman Mini
Angsa, itik dan burung di tasik di dalam Taman Mini
Burung enggang
Burung helang
Burung mencari makan di kolam
Bersama yang tersayang di Tamini

Jus Alpokat dan Piscox


Jus alpokat penghilang dahaga di waktu panas terik Jakarta.

Setiap kali di Indonesia, minuman kegemaran keluarga kami ialah jus alpokat yang lemak berkerim. Jadi sambil menunggu anak-anak dan kakak-kakak saya yang masih berada di dalam taman, saya dan Mr Hubby membeli jus alpokat di sebuah kedai di hadapan. Jus alpokat ini sangat istimewa kerana ia bercampur dengan coklat dan air kelapa. 

Setelah puas berjalan-jalan melihat burung-burung dan tanaman di Tamini, kami pun meminta Pak Sukiyo membawa kami ke masjid berdekatan untuk menunaikan tanggungjawab. Dalam perjalanan, kami terlihat gerai tepi jalan menjual 'Piscox' iaitu pisang goreng yang bercampur coklat. Selama ini saya hanya mendengar nama pisang goreng ini sahaja, tetapi belum pernah memakannya. Tertarik untuk mencuba memakannya, saya pun turun membelinya.

'Piscox' itu berbentuk seperti popia dan di dalamnya mengandungi pisang yang dicampur coklat. Terdapat kuali dengan minyak panas di tepi gerai. Penjualnya sedang menggoreng pisang itu. Selain daripada itu terdapat juga pisang goreng bercampur keju, nenas, kacang hijau, pulut dan tapai. Saya pun membeli kesemua jenis pisang goreng ini untuk dicuba. Ia enak dimakan panas-panas. Saya merasa kagum dengan kreativiti orang Jakarta ini kerana mereka mempunyai pelbagai cara untuk menggoreng pisang.

Gerai tepi jalan yang menjual piscox
Piscox sedang digoreng

Masjid Sunan Kalijaga


Sunan Kalijaga adalah salah seorang wali songo yang terkenal di Indonesia.  Masjid yang kami tuju ini bernama Masjid Sunan Kaljaga. Saya tidak pasti adakah masjid ini mempunyai signifikan dengan wali tersohor ini atau tidak? Ini disebabkan Sunan Kalijaga di Jawa Timur. Saya berpendapat masjid ini cuma mengambil nama walinya sahaja.


Di luar Masjid Sunan Kalijaga
Papantanda yang ada di Masjdi Sunan Kalijaga
Di dalam Masjid Sunan Kalijaga
Kenangan sekeluarga di Masjid Sunan Kalijaga

TARASO Masakan Padang


Untuk mengisi perut kami yang kebuluran, kami sekeluarga singgah di sebuah restoren masakan Padang iaitu Taraso Masakan Padang. Lokasinya di Jalan Jati Waringin, Pondok Gede, Bekasi.

Boleh pakir dengan mudah di hadapan Restoren Taraso Masakan Padang
Suasana jalan di hadapan restoren Taraso Masakan Padang
Suasana yang kemas dan bersih di restoren Taraso Masakan Padang. Musolla juga disediakan di sini.
Kami sekeluarga menjamu selera di Taraso Masakan Padang, Jakarta.
Macam-macam lauk dihidangkan di atas meja. 

Seperti restoren masakan Minang, Taraso  Masakan Padang juga menghidangkan kesemua lauk-pauk ke atas meja: rendang, gulai lemak, masak gurame berlado, asam pedas, sambal goreng hati, dendeng balado, ulam-ulaman, kari ayam, kari ikan dan sebagainya.  Namun kami hanya memilih beberapa lauk sahaja yang kami gemar untuk dimakan. Memang 'terasa' masakan Padangnya apabila  makan di sini.


Monumen Nasional (Monas)


Setelah mengisi perut, kamipun ke Monument Nasional (Monas) yang terkenal di Jakarta. Di sini kami dapat melihat monumen yang tinggi yang diabadikan sebagai tugu peringatan terhadap wira-wira Indonesia yang berjuang dari didominasi oleh penjajah.

Selain ini kami dapat melihat ramai orang berjual beli di hadapan monumen itu. Ia seperti sebuah pasar malam yang besar. Pelbagai barang, cenderamata, buah-buahan, minuman dan makanan dijual di situ. Orang pula ramai. Kami berjalan kaki di situ sambil melihat-lihat jualan yang dilambakkan di situ.  Kami hanya membeli beberapa keping fridge magnet dan buah mempelam yang dijual di situ.


Penulis di hadapan Monas
Penjaja menjaja makanan
Beg tangan dan pakaian yang dijual
Rantai kunci, fridge magnet dan cenderamata sesuai dibawa pulang.
Persembahan jalanan
Penonton terhibur dengan jenaka dari pemain persembahan

Masjid Istiqlal Masjid Terbesar di Asia Tenggara


Apabila kami meninggalkan Monas hari sudah hampir senja. Tidak berjauhan dengan Monas terdapat sebuah masjid yang terkenal di Indonesia iaitu Masjid Istiqlal. Masjid Istiqlal adalah masjid terbesar di Asia Tenggara. Ia terletak di Jalan Wijaya Kusuma, di Daerah Khusus Ibukota Jakarta. Istiqlal bermaksud kemerdekaan dan ia dinamakan begitu sempena dengan kemerdekaan Indonesia.

Kamipun singgah di masjid itu. Ketika sampai di halaman masjid, azan isyak kedengaran dengan jelas dari suara muazzin yang amat lunak. Hati terasa sangat sejuk dan nyaman mendengarkan suara muazzin itu. 

Masjid ini amat luas dan bertingkat-tingkat. Kami membuka kasut dan memasukkannya ke dalam beg plastik. Seperti masjid-masjid lain di Jakarta, kita boleh juga menyimpan kasut kita di kaunter titipan kasut sekiranya kita mahu. 

Kami ke tempat wudhu wanita dan mendapati bahawa di situ terdapat banyak paip air dan ramai wanita sedang mengambil wudhu. Tetapi saya dan kakak-kakak saya merasa tidak senang untuk membuka tudung di situ kerana kami ternampak seorang lelaki menanti di bahagian pintu masuk tempat wudhu itu mengutip duit. Nampaknya tiada siapa yang melarang lelaki itu berdiri di kawasan tempat wudhu wanita dan mengutip duit (secara tidak sah) itu.

Kami kemudiannya ke tingkat atas dan solat jamak di ruangan wanita.

Bemo di luar Masjid Istiqlal
Azan berkumandang dari menara Masjid Istiqlal ketika kami sampai
Di dalam Masjid Istiqlal

Dengan keadaan 'macet' di Jakarta hanya tiga tempat sahaja yang sempat kami lawati.


Makan Malam di Apartment di Tengah-tengah Kotaraya Jakarta


Setelah solat di Masjid Istiqlal, kami diundang makan oleh Ira Puspawati (adik Yan) dan keluarga di aparmentnya di tengah-tengah kotaraya Jakarta. Apartment Ira adalah apartment mewah yang rekabentuknya seperti sebuah hotel. Ketika menaiki lif, kami terserempak beberapa orang Timur Tengah. Ini memberi gambaran bahawa apartment ini diduduki oleh golongan expatriate dan berpendapatan tinggi. Ira adalah seorang CEO sebuah syarikat besar di Jakarta. Walaupun begitu, Ira adalah seorang wanita yang merendah diri.

Kami diperkenalkan dengan suami Ira dan anak-anaknya yang sebaya anak-anak saya. Ira menyediakan nasi dengan gulai kari ayam yang sedap. Ketika itu Yan dan anak saudaranya juga sampai dan makan bersama-sama kami.

Makan malam di aparment Ira di tengah-tengah kotaraya Jakarta
Gulai kari ayam dihidangkan oleh Ira untuk kami sekeluarga
Kami sekeluarga bergambar bersama Ira (no 3 dari kiri)  dan keluarganya di apartment mewahnya di tengah-tengah kotaraya Jakarta
Pemandangan kotaraya Jakarta dari dinding kaca apartment Ira

Setelah dijamu dengan makan malam yang enak oleh Ira dan keluarganya di kotaraya Jakarta kamipun pulang semula ke rumah Yan di Jakarta Timur. Malam itu kami tidur nyenyak setelah penat makan angin dan kekenyangan.

...bersambung