Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Jumaat, 27 Jun 2014

Backpacker Ciput Main Redah di Jepun (5): Kembali Ke Masa Lalu di Naramachi, Nara

Bersebelahan dengan Nara ada sebuah lagi pekan kecil yang menarik untuk diterokai. Nama pekan itu ialah Naramachi.

Eh, nama tempat ini ada kena mengena dengan nama penulis blog ni ~ Naramachi & Naramas. Apakah ada chemistry di antara kedua-duanya? Apakah maksud Naramachi?
Naramas + Naramachi = Naramakcik atau Makcik Naramas...he he he.. Gurau je.

Sebenarnya Naramachi bermaksud Nara Old Town. Naramachi ialah ibu negara Jepun yang pertama. Ia telah wujud pada abad ke-17.

 

Berjalan Kaki ke Naramachi, Menemui Rusa dan Kuil Tua


Jadi pagi itu selepas sarapan masak sendiri di dapur rumah tradisional Jepun Guesthouse Nara Backpackers, kamipun berjalan kaki ke Naramachi. Kami tak mahu naik basikal lagi sebab tanahnya berbukit-bukit, tak larat mengayuh.

Dalam perjalanan menuju ke Naramachi kami melalui Nara Park. Sudah tentu kami lihat banyak rusa. Cuaca pada hari itu pula amat baik. Tidak panas macam semalam. Redup sahaja. Jadi bolehlah kami jalan kaki lebih jauh.

Aleh...seronokle tuuu..dapat masuk blog....
Jom mengumpat...!

Kofukuji Temple adalah antara kuil tertua di Jepun. Ia menjadi mercu tanda Nara.

Kemudian kami terlihat sebuah kuil tua di hadapan kami, betul-betul tepi jalan. Namanya Kofukuji Temple. Di Naramachi terdapat terlalu banyak temple. Di mana-mana sahaja kami pergi pasti ada temple. Disebabkan kami ini tak suka temple-menemple ni, maka kami ikut sahaja kaki kami nak ke mana. Kalau ternampak temple kami hanya lihat di luar sahaja.

Rusa-rusa di hadapan Kofukuji Temple. Rusa dipercayai oleh penganut Shinto sebagai utusan dewa.

Di hadapan Kofukuji Temple itu kami lihat ada beberapa ekor rusa dan beberapa orang mengambil gambar dengan rusa itu.

Uneme-Jinja Shrine letaknya di seberang jalan Kofukuji Temple

Kami terus berjalan kaki dan di seberang jalan kami lihat ada sebuah tokong ~ Uneme-Jinja Shrine.
 
Kemudiannya kami menuruni bukit dan ternampak Kolam Sarusawa-ike dan taman.


Kofukuji Temple dari bawah bukit di Naramachi

Kolam Sarusawa-ike ini letaknya di bawah bukit menghadap Kofukuji Temple. Di dalamnya ada kura-kura dan ikan kap.


Pekan Tua Naramachi


Apabila kami melepasi Kolam Sarusawa-ike tadi kami sudah masuk ke Naramachi. Berada di Naramachi seperti kembali ke masa lalu. Di hadapan kami ada deretan kedai. Kedai-kedai dan rumah-rumahnya amat klasik. Ia telah dibina pada abad ke-17 iaitu sejak zaman Edo dan Meiji. Jalan di pekan tua Naramachi ini sempit, hanya muat untuk sebuah kereta.

Pekan di Naramachi yang sunyi dan lorongnya kecil. Pekan Naramachi sudah berusia ratusan tahun. Ia telah wujud sejak abad ke-17
Ramai berbasikal di Naramachi
Ada juga yang memandu kereta. Bahagian depan kedainya sempit. Tak ada kaki lima.
Kedai barang-barang keperluan dapur. Lebih kurang macam kat kampung saya je ni.
Batu peringatan Gango-ji. Gonga-ji adalah kuil yang telah dianggap bersejarah dan mendapat pengiktirafan UNESCO

Disamping kedai-kedai tua terdapat juga kuil tua ~ Gonga-ji ~ dan monumen bersejarah di Naramachi yang mendapat pengiktirafan UNESCO. Kami tidak masuk ke dalam kuil itu, cuma lalu di luar sahaja.


Mencari Kediaman Tua di Naramachi

 

Tidak berjauhan dengan deretan kedai tua tadi, terdapat kawasan perumahan. Ada juga rumah-rumah tua yang dibuat daripada kayu, tanah liat dan bertingkap shoji. Kediaman pedagang yang dipanggil machiya terdapat di sini dan masih dipelihara.

Rumah lama Jepun yang dibuat daripada kayu. Jaringan kayu atau koshi, membuatkan penghuninya dapat melihat jalan.
Tembok dan pagar yang mengepung kediaman di Naramachi

Kami kemudiannya berjalan kaki untuk melihat contoh rumah machiya yang terkenal. Menurut peta yang kami lihat pemilik rumah machiya itu bernama Imanishi. Kami pun bergurau kerana namanya Imanishi, mungkin orangnya beriman?

Peta ini terletak di tepi-tepi jalan di Naramachi untuk dirujuk, jadi kami tidak bimbang berjalan di sini kerana pasti kami tak sesat.
Papan tanda di simpang di Naramachi. Ada banyak kuil di sini

Kami mencari kediaman Imanishi itu berpandukan papantanda yang dapat di lihat di tepi-tepi jalan. Tetapi kami masih tidak menemui kediaman Imanishi itu. Yang kami jumpa ialah kedai Harushika Sake (minuman keras dibuat daripada beras).


Kedai lama yang menjual sake iaitu minuman keras yang dibuat daripada beras. Sake terkenal di Nara. Nara ialah tempat sake mula-mula dibuat.

Bunga-bunga musim panas di tanam di kawasan rumah di Naramachi

Kami tidak putus asa, terus mencari kediaman Imanishi, dengan membaca peta, memasuki lorong-lorong dan belakang rumah penduduk di situ. Kediaman  Imanishi masih belum kami temui. Yang kami jumpa kali ini ialah Kozenji Temple.


Telaga di Kozenji Temple

Berdasarkan peta dan papantanda, kami sudah ke tempat yang betul. Iaitu kedai Harushika Sake tadi.  Kami sudah menemui kediaman Imanishi tetapi kediaman itu sudah bertukar menjadi kedai sake. Jadi kami pun bergurau lagi, "Apa dah jadi dengan Imannya?"

Apabila saya pulang dan membaca di internet, saya dapati bahawa Harushika Sake itu ialah Kediaman Imanishi. Jadi betullah tekaan kami tadi.

Menurut sumber internet itu Harushika Sake ditemui pada 1884 dan letaknya di kuaters Naramachi. Harushika bermaksud "Spring Deer". Menurut sejarahnya Nara ialah tempat sake mula-mula  dibuat. Falsafah produksi Harushika Sake ialah “Polish the rice, polish the water, polish the technique and polish the mind.” Wah, sampai begitu sekali!


Kolam Sagi-ike, Rumah dan Kedai di Selatan/Timur Naramachi


Kami juga berjalan-jalan di bahagian selatan dan timur Naramachi sambil melihat kolam, taman, kedai-kedai, rumah-rumah dan sistem letak kereta mereka. Suasana di sini amat tenang, sunyi, tak ramai orang dan very layback kata orang kampung saya.

Kolam Sagi-ike ini tutup pada hari Isnin. Oleh kerana hari itu hari Isnin kami hanya melihat kolam ini dari luar pagar.
Jambatan di Kolam Sagi-ike (Daijoin Garden) yang saya ambil dari celah-celah pagar. Jadi jangan datang ke sini hari Isnin ya. 
 
Kenderaan di atas jalan raya di Naramachi

Rumah-rumah dan kedai-kedai di bahagian selatan dan timur Naramachi bercampur di antara rumah lama dan rumah modern. Rumah modernnya berbentuk bungalow dan apartment yang dipanggil danchi. Kami mendapati bahawa di setiap kawasan perumahan terdapat kuil/tokong dan tempat letak kereta yang luas yang dikongsi bersama-sama. Kereta tidak diletakkan di garaj rumah kerana halaman rumah mereka terlalu sempit. Kereta penduduk di sini diletakkan di kawasan letak kereta khas yang bersebelahan dengan deretan rumah.

Kereta diletakkan mengiring di ruangan sempit hadapan rumah
Patung menghiasi jalan di Naramachi
Menjemur kain di balkoni sebuah danchi di Naramachi
Kawasan perumahan dan tempat letak kereta di Naramachi
Sistem letak kereta di Naramachi menggunakan mesin. Ada kunci yang mengunci tayar. Apabila duit dibayar melalui mesin, kunci tayar terbuka. 

Kami cuba untuk rasa macam orang tempatan. Kami singgah di kedai-kedai membeli sayur-sayuran, bawang dan cendawan Jepun untuk dimasak di rumah. Di pintu masuk kedai di Naramachi biasanya digantungkan tangkal merah yang dipanggil migawari-zaru. Bagi mereka ia adalah simbol tuah dan menolak keburukan.

Kedai payung di Naramachi. Lihat migawari-zaru berwarna merah digantungkan di pintu.

Apabila dahaga kami singgah membeli minuman di vending machine yang terdapat banyak di tepi-tepi jalan. Kami duduk berehat sambil minum air itu di bangku yang disediakan oleh kedai-kedai di luar kedai.


Mesin minuman begini ada banyak terdapat di tepi jalan di Naramachi. Jadi kalau kami dahaga, kami berhenti minum dan mencuba macam-macam jenis minuman.

Mesin jual rokok pun ada
Kedai menyewa kimono di Naramachi.
Kedai menyewa kimono di Naramachi ini menyediakan tempat duduk di luar kedai untuk kita berehat

Dari pagi hingga petang kami berjalan kaki di Naramachi. Kami main redah je untuk melihat kediaman dan kehidupan penduduk Naramachi. Kaki kamipun dah lenguh. 

Terdapat banyak juga muzium dan galeri di situ tetapi kami tidak pergi sebab kami lebih gemar melihat muzium hidup iaitu suasana di persekitaran yang sebenar berbanding dengan pameran artifak dan replika yang sering terdapat di muzium.

Ada lagi kisah menarik kami di sini, tetapi akan saya ceritakan dalam entri akan datang

...bersambung                                                                                  ...baca entri akan datang di sini


27 ulasan:

  1. Tak ada org Islam ke di kawasan ni?
    Kedai makanan halal?
    Maaf banyak bertanya...namun urutan entri kali ni menarik & tersusun mcm jalan cerita Oshin...itu kelebihan blog ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Puan Nasa,
      Tak ada orang Islam di sini. Apa lagi makanan halal. Itu sebab kami masak sendiri. Di setiap sudut pekan ini pasti ada kuil dan tokong. Sake berasal dari sini. Jadi Islam mungkin tak sampai di sini lagi.

      Padam
    2. Puan Nasa,
      Tak apa bertanya. Saya akan cuba menjawabnya.

      Saya menghadapi masalah nak susun entri ini sebenarnya, sebab banyak sangat gambar. Alhamdulillah ada orang yang suka.

      Padam
  2. tu dia akak dah pandai melawak sekarang ye. ^__^, rusa2 tu ade bintik2 kat badan dia. dulu time saya pegi takde lak nampak rusa berbintik putih kat badan dia tu.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sesekali nak juga melawak John. Entri ini agak dry, jadi melawak sikit mungkin boleh hilangkan dry tu.

      Mungkin masa John pergi dulu musimnya sejuk, jadi rusa tu pakai coat kot.

      Padam
  3. Lupa....macam mana tentang key chain @ FM?...mungkin ada key chain rusa bintik putih...hi..hi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sudah tentu key chain dan FM ada gambar rusa bintik tu. Rusa ada di dinding, di tiang, di badan bas dan di mana-mana di Nara ni.

      Padam
  4. Walaupun bandar lama, nampak terjaga sangat tempatnya.

    Kyo wa takusan arukimashita ne.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jepun memang pandai dalam bab memelihara dan memulihara tempat lama dan bersejarah. Kalau sesebuah bangunan itu terbakar dan musnah, mereka bina semua dan ada yang dibuat replika.

      Hai, watashi wa takusan arukimashita. Yoi tenki datta node watashi ga aruite. Kore wa atte imasuka?

      Padam
  5. kagum sangat dengan disiplin rakyat jepun.Walaupun vending machine ada merata rata tepat rakyat jepun tidak pula menjahanamkan mesin tersebut.Kalau kat Malaysia letak vending machine macam tu saje 2 hari semuanya dah hilang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul sangat tu Cik Cerita. Saya suka dengan keprihatinan Cik Cerita.

      Kalau di Malaysia, bukan sahaja diletakkan di tepi jalan, letak di kawasan masjidpun, habis punah ~ dirompak, ditumbangkan, dipecahkan, dilarikan. Di mana salahnya kita?

      Padam
  6. Wahh prof..tempat yang nampak mententeramkan..suka tengok gambar rusa mengumpat tu..haha. Sure penduduk area yang prof jalan2 tu hidup dalam keadaan harmoni dan tenteram..dah lah keadaan bersih jer. Dulu2 saya kje kilang ada la org jepun dtg..dorang macam respect org sungguh..berdiripun xberapa tegak sebab dok bongkok badan kut..haha. So far prof kat sana org jepun ni berbahasa tak??

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tempat ini tenang, selamat, bersih dan tersusun. Pertama kali sampai ke Jepun, terus tengok suasana kehidupan begini, terus jatuh cinta. Orang Jepun memang macam tu, mereka tunduk hormat pada orang semasa bekerja, misalnya apabila kita menaiki bas atau keretapi mereka. Saya tak tahu cakap Jepun, tapi dari pemerhatian saya mereka berbudi bahasa kepada pelanggan atau penumpang keretapi/bas. Semasa jalan-jalan di Nara, orang Jepun menegur kami dengan memberi ucapan "Koniciwa" walaupun tak kenal.

      Padam
  7. Sngt aman damai la naramachi ni nmpknya... blh naik basikal...deer kt sini still ade antlers mereka ya. ..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Ya, aman damai Naramachi ni. Orang pun tak ramai di jalan. Kalau ada mereka naik basikal kebanyakannya. Rusa tu ada yang bertanduk. Apabila tiba masanya tanduk mereka akan dipotong. Ada acara khas untuk potong dan disaksikan orang ramai.

      Padam
  8. Bestnya prof boleh explore area nara ni, biasa klau sebut nara hanya akan fokus ke nara park shj tetapi ada view yg lebih cantik dari itu naramachi dan naramas mcm 2 adik beradik kemvar pulak
    Huhuhu dulu waktu bergambar d depan tofukuji temple tu mmg x ada rusan bintik dan cantik tu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selain Nara, Naramachi juga satu tarikan di sana. Naramachi adalah ibu negeri Jepun yang pertama, jadi banyak tinggalan sejarah seperti UNESCO Heritage site, kedai lama, rumah lama dan kuil lama.
      Naramachi & Naramas, kembar tak seiras he he he...
      Masa Jari Manis bergambar di KofujiTemple tu, cuacanya sejuk agaknya, rusa tu pakai coat, itu pasal tak nampak bintik-bintiknya :)

      Padam
  9. kemas rapi and tersusun aja ceruk mana pun Nara ni.. orang jepun ni memang berdisiplin sungguh.
    tergoda tengok tempat ni tapi belum ada kekuatan nak travel ke jepun. :D katanya semua mahal-mahal.. hihi..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jepun sangat berdisiplin dan kemas. Susah nak tengok sampah merata-rata. Puntung rokokpun tak pernah saya jumpa di tepi-tepi jalan.

      Makanan mahal di sini. Jadi kalau CT nak ke Jepun bawa makanan dari Malaysia, lebih menjimatkan.

      Padam
  10. itulah bila kita pergi tempat orang..rasa sedih teringatkn kampong sendiri...dari segi kebersihan..disiplinnya jauh berbeza walaupun mereka bukan islam

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orang Jepun di sini sudah mengamalkan banyak ajaran Islam walaupun mereka bukan Islam. Sedangkan kita yang Islam, tak mempedulikannya.

      Padam
  11. as salam

    tengok rusa tu, teringat macam di Deerland Kuala Gandah
    tapi rusa jepun ni lagi cun :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumusalam Tihara,
      Deerland Kuala Ganda spesis lain, saya rasa. Rusa Jepun ni cun mungkin sebab ia bebas dan manja dengan orang walaupun tak kenal.

      "Lain padang lain belalang"

      Padam
  12. Cantik..klasik..ahhh..semuanya nampak so awesome!

    BalasPadam
  13. Best juga ke naramachi... Jarang orang pi sana.. Saya pun akan muntah lawat banyak temple sangat.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Best juga Naramachi ni sebab ia pekan tua yang kecil dan tenang....memang banyak sangat temple di sana, setiap sudut pekannya pasti ada temple, berdekat-dekatan pula tu.....memang boleh muntah :D

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...