Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Selasa, 23 Februari 2016

Pengalaman Sebagai Pekerja Ladang di Australia

Bekerja di ladang sebagai pemetik buah-buahan di Australia adalah satu pengalaman yang amat berharga. Walaupun saya pernah tinggal lama di Australia, saya tidak pernah bekerja di ladang, namun saya telah menemui beberapa orang yang pernah bekerja di ladang. Saya pernah catatkan pekara ini dalam entri saya beberapa tahun lalu. Sila klik Di Sini untuk membacanya. Sejak itu saya telah menerima beberapa pertanyaan dari pembaca blog ini tentang bekerja di ladang di Australia, khasnya di Melbourne. 

Baru-baru ini saya telah berjumpa kawan sekolah saya yang baru pulang dari Australia. Menurutnya dia bekerja ladang dan menceritakan pengalamannya di sana. Saya lalu meminta kawan saya itu menulis pengalamannya ini untuk dijadikan panduan dan sedikit sebanyak dapat menjawab persoalan beberapa orang pembaca blog ini yang ingin menimba pengalaman sepertinya.

Berikut adalah pengalaman kawan saya itu...


Pengalaman Sebagai Pekerja Ladang di Australia

oleh Azam Yusof (bukan nama sebenar)




Pendahuluan


Sejak 2 hingga 3 tahun kebelakangan ini, iaitu sejak 2013, ramai orang Asia telah mula berkerja di ladang-ladang di Australia. Ini adalah disebabkan orang Australia tidak mahu lagi berkerja di negara mereka sendiri kerana gaji yang terlalu murah. Mereka telah berhijrah ke United Kingdom untuk berkerja di ladang-ladang kerana upah yang mahal dan nilai mata wang yang tinggi. 

Oleh kerana itulah pekerja-pekerja dari negara-negara Asia berhijrah ke Australia dan termasuklah rakyat Malaysia. Oleh kerana kos sara hidup yang tinggi dan peluang pekerjaan yang terhad di Malaysia, maka ramailah rakyat Malaysia ingin mencuba nasib berkerja di sana dengan mengharapkan pendapatan yang lumayan kerana nilai mata wang Australia yang tinggi berbanding Malaysia. 

Saya mengetahui permintaan bekerja ladang di Australia pada September 2015 melalui iklan di media massa tempatan. Saya pun menghubungi agen dalam iklan tersebut. 

Setelah berjumpa, saya pun bersetuju untuk mencuba dan mencari pengalaman berkerja di sana. Agen tersebut pun mengaturkan pergerakan saya ke sana bersama dengan seorang lagi dari Kulai, Johor. 

Di sini saya ingin menceritakan pengalaman saya selama hampir 3 bulan berkerja di ladang-ladang di Selatan Australia iaitu di Victoria dan New South Wales. Tempoh saya tinggal d Australia adalah dari 23 Oktober 2015 sehingga 13 Januari 2016 iaitu 10 hari sebelum visa pelancong saya tamat. Saya tinggal selama 2 bulan di Swan Hill dan 3 minggu di Mildura.


Peta menunjukkan kedudukan Swan Hill dan Mildura di negeri Victoria yang bersempadan dengan New South Wales


Sekumpulan orang Malaysia yang bekerja di ladang peach 

Kategori Kerja dan Pendapatan


Terdapat 2 kategori pekerjaan di ladang di  Australia:

Pertama, bekerja mengikut cara kontrak iaitu pembayaran gaji adalah berdasarkan hasil kerja. 


Jumlah pembayaran gaji adalah mengikut berapa banyak kerja yang dapat dihasilkan. Contohnya, jika petik buah peach, ianya bergantung jumlah bin yang dapat dihasilkan. Satu bin, ada yang AUD28, AUD35, bergantung kepada kualiti buah. Jenis picking pula, ada first pick dan second pick

Kedua, berkerja mengikut  tempoh waktu berkerja berdasarkan jumlah jam. 


Gaji dibayar mengikut jumlah jam seseorang itu berkerja dengan kadar bayaran di antara AUD13 hingga AUD15 sejam. Tempoh waktu berkerja tidak tetap bergantung kepada samada cepat atau lambat kerja itu disempurnakan. Ianya juga bergantung samada banyak atau sedikit hasil yang dapat diperolehi dari ladang. Sebagai contohnya, hasil ladang yang sedikit disebabkan buah-buahan yang tidak banyak.

Buah nectarine yang dipetik dimasukkan ke dalam bin

Jenis Pekerjaan


Terdapat beberapa jenis perkerjaan iaitu prunning, soothing, picking, covering dan beberapa lagi. Senarai kerja ini adalah yang pernah saya lakukan. 

Prunning adalah mencantas dahan-dahan pokok yang tidak berguna dan tidak diperlukan untuk mendapatkan buah yang berkualiti tinggi. Soothing pula adalah mencantas daun-daun pucuk yang tumbuh pada batang anak-anak pokok di tapak semaian untuk menghasilkan pokok yang baik.

Picking ialah kerja mengutip buah-buahan, manakala covering ialah kerja mengawal buah-buahan daripada terkena cuaca terlalu panas atau hujan berlebihan.


Sedang menunggu arahan untuk petik anggur


Permit Kerja


Semua pekerja ladang dari Malaysia menggunakan visa pelancong untuk tempoh 3 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan tiada permit kerja untuk rakyat Malaysia kerana kerajaan Malaysia tiada memohon permit kerja untuk rakyatnya berkerja di Australia. 

Kebanyakan pekerja Malaysia adalah pendatang haram dan berkerja secara tidak sah kerana tinggal di Australia melebihi tempoh visa yang dibenarkan. Ianya berbeza dari negara-negara lain seperti Vietnam, India dan negara-negara Asia yang lain yang ada permit untuk berkerja di Australia.

Suasana di ladang peach Wood Wood, Swan Hill


Kontraktor dan Sub Kontraktor


Pemilik ladang (farmer) di Australia bergantung harap kepada kontraktor pekerja yang akan mendapatkan pekerja untuk ladang-ladang mereka. Kontraktor dan sub-kontraktor akan mendapatkan pekerja-pekerja melalui agen yang terdapat dari semua negara yang terlibat. Kontraktor-kontraktor dan sub kontraktor adalah warga asing dari Asia seperti China, India, Sri Lanka, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan beberapa negara Asia yang lain. 

Kebiasaannya pekerja-pekerja dari sesebuah negara akan diuruskan oleh kontraktor atau sub kontraktor dari negara mereka sendiri. Semua sub kontraktor dari Malaysia adalah orang Cina yang membekalkan dan menguruskan pekerja-pekerja dari Malaysia yang diperolehi melalui agen di Malaysia. Setakat ini saya tidak menemui kontraktor utama (main contractor) dari Malaysia.


Suasana di waktu pagi di ladang anggur menunggu arahan sebelum memulakan kerja

Jenis-jenis Ladang


Pengalaman saya berkerja adalah di ladang buah peach, nectarine dan anggur. Di Australia, banyak lagi ladang-ladang seperti epal, oren, mangga, tomato, cili dan bermacam-macam lagi. 


Pokok peach

Buah peach

Ladang nectarine

Pokok nectarine

Buah nectarine

Saya berkerja di ladang peach dan nectarine selama 2 bulan di Tooleybug, Victoria iaitu 45 km dari Swan Hill. Di ladang peach dan nectarine, saya membuat kerja prunning dan picking.


Anggur merah


Anggur hijau

Covering pokok anggur

Di Mildura, saya membuat kerja picking dan covering pokok anggur. Tujuan membuat covering pokok anggur adalah untuk melindungi buah anggur dari cepat layu akibat  panas matahari dan mengelak dari terkena air hujan terlalu banyak. Ianya akan menjejaskan kualiti buah anggur yang hendak diekspot. 

Di sini, saya hanya 3 minggu sahaja kerana saya sudah hendak balik ke Malaysia. Saya sekadar ingin mengetahui bagaimana berkerja di Australia  serta mencari pengalaman baru.


Berehat di bawah pokok anggur di ladang anggur Mildura


Kesimpulan


Rakyat Malaysia yang berkerja ladang di Australia kebanyakannya melakukan dua kesalahan: 


Pertama,  berkerja tanpa permit pekerjaan kerana menyalahgunakan visa sebagai pelancong. 

Kedua, tinggal melebihi tempoh visa iaitu melebihi 3 bulan.   


Oleh kerana itu, pekerja-pekerja rakyat Malaysia yang berkerja di Australia berada dalam keadaan berisiko tinggi. Ini adalah disebabkan tiada dokumentasi perjanjian atau ikatan di antara tuan punya ladang, kontraktor dan sub konktraktor.  Pekerja tiada dilindungi insuran dan undang-undang buruh. 

Bagi yang tinggal melebihi tempoh visa, mereka telah menjadi pendatang haram. Sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti kemalangan dan sebagainya, dan pihak imigresen mengetahui, mereka akan dihantar pulang. 

Pendapatan harian juga tidak menentu dan ianya bergantung kepada kemampuan seseorang. Pendapatan yang lumayan sebagaimana yang diberitahu oleh agen adalah tidak tepat sama sekali.


* Ini adalah pengalaman dan pendapat saya berdasarkan apa yang saya lalui dan saya memohon maaf sekiranya ada maklumat yang saya sampaikan kurang tepat.

Khamis, 4 Februari 2016

Jom Tengok Ola Bola

H ujung minggu ini ramai yang bercuti sempena Tahun Baru China. Ada yang mengambil cuti sehingga minggu depan. Ke manakah anda hendak pergi berjalan? Apa kata kita tengok Ola Bola? 

Ola Bola adalah sebuah filem Malaysia yang baru yang patut kita tengok. Ola Bola diarahkan oleh Chiu Keng Guan yang sebelum ini telah mengutip jualan tiket melebihi RM17.28 juta melalui filem The Journey

Berapakah pula yang berjaya dikumpulkan oleh Ola Bola pula? Menurut laporan sebuah akhbar di Malaysia, selepas 4 hari tayangan, filem Ola Bola telah berjaya mengumpulkan RM2.5 juta! Wow!

Baru-baru ini pengarah Chiu dan pelakonnya iaitu Luqman Hafidz dan Marianne Tan telah datang ke USM Penang iaitu tempat saya berkerja dan memperkenalkan filem ini. Daripada pembentangan pengarah dan pelakon-pelakon filem ini, saya rasa amat tertarik dengan kegigihan pengarah Chiu menghasilkan sebuah filem Malaysia bergenre sukan. 

Chiu, Luqman Hafidz dan Marianne datang ke Pusat Pengajian saya dan bergambar dengan pelajar-pelajar saya

Antara yang menambat hati saya ialah cara penggunaan green screen dan kesan khas dalam merealisasikan adegan-adegan menarik filem ini terutamanya babak ketika menaiki helikopter, menggelecek bola dan penonton bersorak. Latihan demi latihan dilakukan supaya pelakon-pelakonnya mahir bermain bolasepak dan menjadi pengulas sukan profesional. 

Filem ini cuba mengimbas kembali zaman kegemilangan bolasepak tanahair pada tahun 1980an. Penyelidikan yang mendalam dilakukan untuk mendapatkan fakta dan maklumat yang tepat. Wawancara-wawancara dilakukan dengan pemain-pemain bolasepak zaman itu dan pengulas sukan profesional seperti Hasbullah Awang supaya kelihatan lebih nyata.  Amat nostalgia sekali melihat seting, kostium, props, gaya dan penampilan mereka yang pernah berada di zaman itu dikembalikan di atas skrin.

Pengarah Chiu telah bermurah hati memilih saya menjadi salah seorang SUPERFAN Ola Bola dengan menghadiahkan saya sehelai baju-t yang amat unik. Siap dengan nombor jersi seperti seorang pemain bolasepak profesional! :)

T-shirt ini dihadiahkan oleh Chiu pengarah filem Ola Bola kepada saya
Di belakang t-shirt Ola Bola ini dituliskan saya sebagai Superfan dengan nombornya

Saya juga dapat sekeping pelekat (stickerOla Bola. Saya menerimanya dengan hati yang gembira. Saya menjangkakan filem ini akan dicatatkan sebagai salah sebuah filem terbaik dalam sejarah filem Malaysia.

Pelekat Ola Bola yang saya terima dari pengarah filem Ola Bola

Sekarang filem Ola Bola sedang di tayangkan di pawagam-pawagam. Pelajar-pelajar saya telah menonton filem ini. Ada yang telah menontonnya berkali-kali. Pada pandangan mereka ia amat menarik.

Mendengarkan cerita dari pelajar-pelajar saya, saya dan keluarga saya pun ke pawagam berdekatan dengan rumah kami iaitu di Queensbay Mall.

Penonton beratur membeli tiket di Golden Screen Cinema, Queensbay Mall, Penang

Kami tidak beratur membeli tiket, tetapi membelinya di rumah secara online. Bar code tiket itu dihantar melalui telefon pintar dan apabila sampai di pawagam, kami hanya imbas bar code tersebut di pintu masuk. Satu tiket berharga RM14.00.

Beratur membeli popcorn dan minuman di pawagam di Queensbay Mall, Penang
Dengan membeli secawan air Milo kami mendapat beg Ola Bola percuma

Apabila kami memasuki pawagam, kami mendapati penontonnya terdiri daripada pelbagai bangsa: Melayu, Cina dan India. Inilah filem yang berjaya mengajak penonton pelbagai bangsa menonton filem Malaysia.

Ceritanya menarik kerana ia memaparkan realiti kehidupan masyarakat Malaysia berbilang bangsa. Plotnya ringkas dan banyak diselit-selitkan dengan adegan-adegan lucu. Watak-watak pemain bolasepak mengingatkan saya kepada pemain bolasepak negara pada tahun 1980an seperti Soh Chin Aun, Mokhtar Dahari, Arumugam dan Santokh Singh. Betapa hebatnya Malaysia di peringkat antarabangsa melalui gabungan pelbagai kaum dalam sebuah pasukan bolasepak.

Lakonan Bront Palarae yang mantap sebagai pengulas sukan mengingatkan saya pada Rahim Razali iaitu komentator sukan yang terkenal pada tahun 1980an.

Lagu Arena Cahaya dendangan Zee Avi amat merdu didengari dan liriknya amat padan dengan tema filem ini.

Ketika menonton saya sempat mengambil beberapa syot dari filem Ola Bola dengan menggunakan telefon bimbit saya.

Berita kemenangan pasukan bolasepak negara di dalam filem Ola Bola
Marianne melakukan wawancara untuk rancangan tv terbitannya
Ali (lakonan Luqman Hafidz) bertarung dalam perlawan bolasepak Malaysia dalam Ola Bola
Bront Palarae berjaya mencuit hati penonton dengan lakonannya sebagai pengulas sukan untuk acara secara langsung
Kita dapat menyaksikan pemandangan indah dan sinematografi menarik dalam Ola Bola

Kepada yang belum menonton Ola Bola lagi, apa kata pergilah hujung minggu ni?