Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Jumaat, 1 Februari 2013

Backpack ke Kota Ais Haerbin (2): Sun Island yang Dingin dan Penuh Skulptur Salji

Pagi kedua di Kota Ais Haerbin (Harbin) memberi semangat baru kepada saya dan kawan backpack saya Yanie. Ini kerana suasananya baru, dinginnya melampau, malamnya panjang dan siangnya pendek. Suhu paginya sekitar -20°C, tengahari pula -17°C dan malamnya suhu turun mendadak sehingga -30°C.

Setelah memakai pakaian yang tebal, berlapis-lapis, bersarung tangan tebal, bersarong kaki tebal dan berkasut boot yang bertapak mencengkam kami keluar untuk bersarapan di restoren halal di lorong kiri Hotel Green Tea. Jalan amat licin dan saya sangat berhati-hati berjalan takut tergelincir. Kadang-kadang tergelincir juga dan hampir jatuh. Yanie menyambut dan memegang saya. Ini disebabkan saya terpijak lantai yang dibuat daripada batu marmar. Jadi sejak itu, apabila berjalan, saya selalu memerhati ke bawah dan mengelak daripada terpijak lantai marmar.

Restoren halal berdekatan dengan Hotel Green Tea pada waktu pagi


Restoren itu sudah dibuka, tetapi kelihatan sunyi. Ketika itu sudah 8 pagi. Yanie masuk dan bertanyakan pemilik restoren itu,  "Sarapan dah siap?" Malangnya, mereka belum masak untuk sarapan dan mungkin lambat lagi.

Jadi kamipun kembali semula ke hotel dan membuat sarapan kami sendiri. Kami cuma bancuh kuah kacang dengan air panas dan makan dengan nasi impit yang telah direbus Yanie di rumahnya di Wudaokou pagi semalam. Oleh kerana cuaca amat sejuk, seperti tinggal di dalam peti ais, maka makanan tak basi walaupun sudah dimasak berminggu-minggu.


Ke Sun Island dan Cabarannya


Kami akan ke Sun Island pagi ini. Orang kata, kalau tak ke Sun Island, maknanya kita belum sampai di Haerbin lagi. Sun Island terletak di utara Sungai Songhua dan berkeluasan 38 meter persegi. Ia adalah resort percutian urban pada musim panas. Pada musim sejuk, Sun Island memamerkan salji yang telah dibentuk dan diukir dengan penuh kesenian. Ia menjadi tumpuan ramai dan sangat popular. Selain daripada melihat skulptur salji, kita boleh bermain ski, mengelusur di atas salji dan melihat keindahan taman dan gunung-ganang di situ.

Selepas sarapan di bilik hotel, kami berjalan kaki ke simpang jalan berdekatan hotel dan menahan teksi yang lalu-lalang. Ada yang tidak mahu berhenti. Ada yang sudah ada penumpang tetapi berhenti dan bertanya destinasi kami, sekiranya menuju hala yang sama maka mereka akan membawa kami pergi sekali. Teksi begini menggunakan meter. Tetapi ada juga teksi yang tidak menggunakan meter. Pemandu teksi begini menghampiri kami dan bertanya kami, tetapi mendengarkan bayaran yang mereka minta itu melampau sangat, jadi kami tolak. Biasanya mereka minta 400 yuan (RM200) sebab kita orang luar. Kaki songlap betul!

Setelah menahan dua tiga buah teksi, akhirnya berhentilah sebuah teksi bermeter. Yanie menunjukkan alamat destinasi kami iaitu Sun Island dalam tulisan China dan pemandu itu bersetuju membawa kami ke sana. Apabila kami duduk sahaja di dalam perut teksi, meternya menunjukkan angka 11 yuan. Perjalanan ke Sun Island tidaklah jauh, lebih kurang 15-20 minit. Apabila sampai, kami cuma bayar 20 yuan (RM10) sahaja mengikut meter. Ini membuatkan kami senyum.

Sesampainya di Sun Island, dinginnya amat terasa. Bibir dan hidung terasa terlalu sejuk dan kering. Saya tutup dengan mafela bulu. Tudung dan anak tudung saya pakai dua lapis, setokin 4 lapis dan sarung tangan dua lapis. Namun jari-jemari saya terasa membeku. Saya takut akan terkena "snow bite" atau ada yang memanggilnya "frost bite" dan ini boleh membahayakan kesihatan saya. "Snow/frost bite" ini boleh menjadikan darah tidak berjalan, urat saraf membeku, jari-jemari mati dan kita boleh tumbang.

Saya nampak penjual sarung tangan dan kasut boot untuk suhu melampau ini berniaga di luar pintu masuk Sun Island. Saya hendak membeli sarung tangan yang tebal dan sesuai untuk cuaca melampau ini. Yang saya tanyakan itu berharga 60 yuan (RM30). Mahal! Saya minta kurang tetapi peniaga itu enggan. Jadi saya beli jugalah walaupun tidak setuju dengan harganya. Yanie kemudiannya membeli kasut boot yang dijual di situ supaya dia tidak tergelincir.

Kami membeli tiket yang berharga 240 yuan (RM120) dan masuk ke dalam Sun Island. Yanie menunjukkan kad pelajar untuk mendapatkan harga diskaun tetapi tidak diterima. "Hanya untuk pelajar di Haerbin sahaja," kata penjual tiket itu. Hampa.


Jambatan, salji dan sungai beku di Sun Island. Gambar diambil dari sudut bawah jambatan di Sun Island


Di dalam kawasan Sun Island. Gambar diambil dari atas jambatan mengarah ke pintu masuk/keluar  Sun Island




Tidak jauh dari pintu masuk ada kenderaan yang boleh membawa kami masuk dengan bayaran 10 yuan (RM5) seorang. Kamipun naik. Cuaca yang amat sejuk itu membuatkan kami memilih jalan pintas. Naik dan duduk saja.

Masalah saya ialah saya memakai cermin mata, jadi apabila saya memakai mafela bulu untuk menutupi mulut dan hidung saya dari menjadi keras dan kering, wap mulut naik ke atas dan mengaburkan cermin mata saya, jadi saya tidak nampak apa-apapun. Saya sudah cuba lap beberapa kali, namun wap tetap menutupi cermin mata saya. Jadi saya give-up, dan tidak menutup mulut saya lagi. Apabila bibir saya rasa dingin semacam, barulah saya tutup dengan sarung tangan saya, kemudian lepaskan semula. Alangkah baiknya kalau saya beli sejenis spray yang boleh menahan wap pada cermin mata. Tapi sebelum ini saya tidak terfikir ia akan menjadi masalah pada saya.

Masalah saya lagi satu ialah untuk mengambil gambar. Oleh kerana sarung tangan terlalu tebal, nak petik kamerapun susah. Lensa kamera juga selalu berkabus dan kena dilap selalu. Dalam cuaca yang dingin melampau ini kamera juga mudah jam, jadi kena selalu disorokkan di dalam jaket. Ini dibuktikan apabila 30 minit saya mengambil gambar tanpa menyimpannya di dalam jaket, kamera Digital SLR saya sudah mula ditumbuhi ais dan berkaca-kaca pada lensa dan display screen. Saya rasa kamera SLR saya ini tidak akan panjang hayatnya kerana saya kurang menjaganya dengan baik.

Ketika ini barulah saya teringat, alangkah bagusnya kalau saya menggunakan barney blimp untuk membuat penggambaran ketika suhu dingin melampau. Barney blimp ialah sejenis sarung khas untuk membalut kamera filem supaya tidak beku dan malfunctioning ketika penggambaran di musim sejuk. Tetapi saya tidak membuat persediaan itu. Saya terlupa. Banyak makan semut kot...he..he..he. Saya pernah menggunakan barney blimp untuk melindungi kamera filem ketika membuat penggambaran di musim sejuk semasa saya di Amerika Syarikat dulu.


Keretapi dalam Sun Island

Semuanya Salji


Apabila kami sudah sampai ke dalam Sun Island, kami lihat banyak skulptur yang diukir dengan indah. Mata bertambah sejuk memandang. Nasib baiklah biji mata tak beku menjadi ais batu!

Beraneka bentuk skulptur salji di situ. Ada yang besar-besar. Ada yang tinggi-tinggi. Ada bentuk rumah-rumah tradisional. Ada bentuk watak-watak terkenal. Ada juga yang dipertandingkan. Ada juga dipamerkan sahaja.


Dunia filem Disney dalam bentuk salji

Dunia filem Disney dalam bentuk salji dari sudut kiri

Salji dibentuk dan diukir menjadi teddy bear dan watak-watak yang comel

Telaga lama salji

Rumah dan pokok salji


Ibu dan anak


Di dalam Sun Island juga terdapat Pusat Khidmat, tandas, kedai cendermata, gerai, tempat bermain ski, dog sled, ski scooter, gunung dan hutan. 

Sleddogs bersedia untuk menarik sesiapa saja dan mengelunsur di atas salji

Suasana di dalam Sun Island

Seronoknya dapat naik dog sled


Apabila saya merasa tangan saya semakin membeku dan risau akan terkena "snow/frost bite" maka saya masuk ke dalam sebuah bangunan Pusat Khidmat yang disediakan di situ. Di situ saya memanaskan tangan dan jari-jemari saya dengan pengering tangan yang terdapat di luar tandas. Di situ juga disediakan air halia panas dan diberikan percuma. Saya duduk berehat sehingga badan panas semula. Ketika ini Yanie masih lagi di luar dan sibuk mengambil gambar. Yanie masih muda remaja, jadi tenanganya lebih kuat dan segar. Tak macam saya yang hendak masuk kategori warga emas. Jadi sendiri mau ingat.


Matahari menyimbah skulptur topeng salji

Tangan salji

Putri Duyung bermain dengan ikan lumba-lumba di terumbu karang

Setelah badan dan jari-jemari serta kamera panas semula, saya  pergi ke bahagian belakang Sun Island itu. Saya lihat ada penari-penari sedang menari di atas salji. Wow! Mereka memakai kostium tradisional, props, topeng, solekan dan menari mengiringi muzik tradisional China. Mereka menari di atas salji yang lapang di hadapan sebuah skulptur salji besar berukiran wanita, ikan dan sampan. Ada juga pengunjung-pengunjung yang menari bersama mereka, mengambil gambar dan bebas mendekati mereka. Saya mendekati mereka untuk mengambil gambar. Penari-penari itu senang hati melihat saya mengambil gambar mereka dan sentiasa tersenyum.

Dayung sampan, dayung dayung sampan...
Lenggang lenggang kangkong, kangkong tepi perigi...

Ketika mengambil gambar dan merayau-rayau di Sun Island, saya bertemu dengan 3 orang pengembara dari Malaysia. Mereka tiga beranak dari Sintok, Kedah. Kamipun berkenalan dan bergambar. Kemudian kami pergi membeli fridge magnet. Fridge magnetnya berharga 10 yuan (RM5) sebuah. Tidaklah murah, tetapi saya beli juga 4 buah sebagai tanda ingatan.


Berteduh di hutan

Naga Sakti

Seruling Di Lembah Sunyi


Apabila puas melihat skulptur salji yang indah dan merasai kepayahan suhu dingin yang melampau, kamipun berjalan keluar dan menahan teksi. Teksi susah juga untuk dapat. Setelah berkali-kali menahannya lalu berhentilah sebuah teksi. Dia minta 50 yuan (RM25), kami setuju sahaja kerana kami sudah kesejukan. 


Makan Tengahari Yang Menyelerakan

 

Kami kemudiannya makan tengahari di resoten halal yang semalam dan pagi tadi kami kunjungi dan menikmati makan tengahari yang enak. Makanan itu ialah daging lembu masak kicap ala Muslim Haerbin. Ia dihidangkan di dalam kuali besi panas yang ditutupi dengan sejenis penutup seperti kulit popiah yang boleh dimakan. Ketika dihidangkan ia masih mendidih dan berasap-asap. Aromanya amat menyelerakan. Ia harus dimakan segera bersama nasi dan sup. Yumm!!!


Makanan dihidangkan panas-panas serta menggelegak di dalam kuali besi dan ditutup dengan sejenis kulit (tak tahu nama)

Apabila kulit itu dibuka, maka terserlahlah daging masak kicap yang menggelegak dan berasap.

Daging masak kicap yang dihiasi daun ketumbar ini menerbitkan aroma harum dan membangkit selera. Hmmm sedapnya.


Petang itu kami berehat di bilik. Sambil berehat saya terkenangkan seorang budak di Sun Island tadi, nyenyaknya dia tidur. Walaupun beratus-ratus orang lalu-lalang dan mengambil gambarnya, dia tetap tidur lena.

Nyenyaknya tidur..


Petang itu kami membuat persediaan untuk cabaran yang lebih hebat iaitu ke Ice and Snow World dengan suhu -30°C pada waktu malam. Kenapa nak pergi waktu malam? Bukankah malam lebih sejuk?

Ice and Snow World ini lebih indah pada waktu malam kerana lampu beraneka warna yang dinyalakan membiaskan cahaya gemerlapan melalui ais yang lutsinar dan menyerikan lagi taman itu.

Teruskan bersama Naramas Aman dengan kejutan demi kejutan di Ice and Snow World dengan suhu dingin melampau dalam entri yang akan datang.

...bersambung

Baca sambungannya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (3)"DI SINI

Baca kisah sebelumnya "Backpack ke Kota Ais Haerbin (1) DI SINI

19 ulasan:

  1. Balasan
    1. Ye ke Kak Mahh?

      Sejuk mata memandang sejuk lagi badan yang menanggungnya, Kak Mahh :)

      Padam
  2. assalamualaikum akak, lama x jengah busy terlampau. wahhh! dah sampai harbin ni. sgt2 laaa cantekkkkkk! risau sungguh sy dgn kamera kalo dah timbul2 ais tu sume.

    tak sabar nk tgk yg ice and snow world pulakkk! stay safe!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Henry Fox aka John/Danny/Kaki Berangan,
      Waalaikumusalam. Akak perasan Danny busy terlampau, lama tak update/publish entry. Awal tahun mestiah banyak kerja, kan? Ya, akak dah sampai harbin, akak tak sangka dah sampai. Memang cantik salji di sini, ukiran salji pun mempersonakan.

      Akak risau dengan kamera akak tu, dah macam nak tumbuh fungus pun ada hu hu hu...balik Malaysia nanti nak hantar servislah nampak gayanya.

      Ice and Snow World lagi cantik...tak lama lagi akan keluar cerita tu...coming soon. InsyaAllah. Thanks.

      Padam
  3. Salam Prof

    Uish....ngeri keme dengor frost bite tu...risiko betoi pada pengembara sejuk tegar yang suker seksa diri tu yang tak peghonah kenal erti sejuk sampai tulang itam.....haha

    Pakai baju bungkus badan tu tak rasa dah macam robot ker bejalan ?

    Macam best jer dog sled tu....Yong naik ker ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Frost bitelah yang paing risau tu. Masa jari teman rasa macam nak kebas tu, teman cepat-cepat berlari masuk bangunan. Tak sio teman kalau tumbang.

      Siang tu tak macam robot lagi, tapi malam tu masa pergi ke Ice and Snow World, memang macam robot, sebab lagi tebal baju teman pakai, akan teman ceritakan dengan lebih detail lagi di lain entry.

      Teman nangkap gambor je dog sled tu, naiknya idak...entah masa tu tak teringin pulak nak naik.

      Padam
  4. Ni kira macam taman tema untuk musim sejuk sajalah ye... Berapa lama agaknya ukiran ais tu dapat bertahan...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mie,
      Ini lebih kepada urban resort. Pada bulan December-February jadi winter resort, boleh main ski, dogsledding, ice climbing, etc. Pada Jun-Ogos jadi summer resort. Boleh berkelah, berenang, panjat bukit, etc.

      Ukiran ais itu dapat bertahan sepanjang musim sejuk (December-February) dan mungkin lama daripada itu kalau tidak dimusnahkan. Ini disebabkan di Harbin sejuknya lebih panjang sehingga 6 bulan. Suhu musim sejuknya boleh mencecah -50C. Suhu purata musim panasnya pun 20C dan tak lama.

      Padam
  5. Prof NA terima kasih kerana berkongsi entri ni dan apabila lihat semua sculpture ais tue subhanallah sgguh kreatif dan berseni :-). Ini mrmbuatkan JM menyimpan impian untuk ke sana in sha allah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Jarimanis,
      Terima kasih kepada Jarimanis juga kerana sudi singgah, baca dan tinggalkan ulasan di sini. Memang kreatif, halus kerjanya. Saya pun kagum dengan kegigihan mereka. Pekerja-pekerja yang menjaga skulptur ini pun gigih, sentiasa menyapu dan berdiri berjam-jam di atas salji.

      Semoga Jarimanis dapat ke Harbin suatu hari nanti. Ambillah yang baik-baik daripada pengalaman saya ini untuk dijadikan panduan ke sana nanti.

      Padam
  6. Salam kak! Sungguh cantik pemandangan kat sana tu, putihhhhhhhhh saujana mata menandang dan tak dapat saya gambarkan mcmana sejuknya kat harbin tu. bile baca cara akak pakAi berlapus2 tu kompom mmg sangat sejuk!

    Sayangnya kamera dslr tu, kena hati2 takut nanti ada fungus pulak di lens tu. kena pastikan ianya dibalut selalu supaya ia berada dlm keadaan kering.

    Bila tgok part mskanan tu, terus rasa lapar hahaga mesti best kan mkn panas2 dalam cuaca sejuk.

    Kalau ada kuah pecal senang, bancuh je dengan air panas dan mkn dgan nasi impit atau roti.

    BalasPadam
  7. Lupa nak komen, subhanallah cantiknya ukiran2 ais tu!!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Janggel/Rain,
      Ini baru siang hari, malamnya nanti akak tambah lagi lapisan baju, sampai dah jadi macam robot pulak. Memang sejuk GILER!!!!

      Tulah kamera akak tu mungkin dah ada fungus..silica gelpun tak bawa, apa protectionpun akak tak sediakan...kena hantar servislah nanti, kan?

      Makan daging masak kicap tu panas-panas memang sedap, harganya taklah mahal manapun...

      Ya, kuah pecal ready made memang berguna kalau mengembara.

      Ukiran ais yang cantik tu boleh jadi sumber inspirasi untuk set teater tak?

      Padam
    2. Wah set teater? Kat sana boleh la, tp kalo kat Malaysia, baru nak rehearsal dah cayor setnya. Hihihi

      Padam
    3. Janggel/Rain,
      Ha ha ha gelak dulu ..sebab lawak sangat Janggel ni...tak sempat ape cayor dah setnya kalau kat Malaysia.

      Padam
  8. Ya Allah sejok nya Prof..teringin gak tapi takut lak pasal sejuk giler tu..beku nekcik maunya!! cantiknya ciptaan Allah untuk di hayati!!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nekcik,
      Memang sejuk giler!! Mula-mula tu memang tak berapa berani nak pergi. Tetapi bila dicuba sikit pada malam pertama, jadi ada keyakinan pada hari berikutnya. Perlu pakai banyak lapis kalau pergi dan jangan lama-lama di luar. Semakin jauh saya berjalan, semakin saya dapat melihat anugerah Allah yang maha hebat.

      Padam
  9. Woowww yang ampun, cantik bangat ukiran ais tu, sungguh berseni hehe, boleh buat tarian lagi kan. Unik sangat, plus huhu sejuknyaaaaa...suhu cecah -30c! Selalunya org cerita pasal beijing, shanghai, tak banyak org explore harbin, best-best!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Orga,
      Memang cantik dan keren banget dong! Dinginnya, ya ampun :D

      Saya kagum melihat mereka menari dan menjaga skulptur itu dalam kedinginan, berdiri berjam-jam lamanya.

      Tak banyak orang Malaysia explore dan cerita pasal Harbin ni, jadi entri ini diharapkan memudahkan sesiapa saja nak buat rujukan :) Orgapun nanti boleh pergi dengan orang yang tersayang.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.