Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Sabtu, 31 Ogos 2013

Backpack ke Madinah dan Mekah (Bhg 2): Apa Ada Di Madinah?

M adinah juga adalah tanah haram. Tanah haram bermaksud tanah yang dilarang Allah bagi penumpahan darah, ditebang tumbuh-tumbuhannya dan dibunuh binatangnya. Tanah haram di Madinah ditandakan dengan gerbang tinggi di tepi jalan. Saya dapat melihatnya ketika Zahari membawa kami ke Bukit Uhud, Universiti Madinah, Bukit Magnet dan kilang cetakan Al-Quran.

Gerbang penanda sempadan tanah haram di Madinah

 

Masjid Quba, Masjid yang Dibina Atas Dasar Taqwa

 

Papantanda jalan di Madinah


Kami memandu ke masjid-masjid bersejarah di kota Madinah. Antaranya ialah Masjid Qiblatin dan Masjid Tujuh. Zahari menjadi pemandu dan menjelaskan sejarah masjid-masjid ini. Masjid Qiblatin ialah masjid yang mempunyai sejarah. Rasulullah SAW pernah bersolat di sini. Ketika baginda SAW sedang solat tiba-tiba baginda menerima wahyu supaya menukarkan arah qiblat dari Baitul Muqaddis ke Mekah.  Ketika sedang solat itulah baginda SAW mengalihkan arah kiblat ke arah Kaabah. Masjid Tujuh adalah  tempat perlindungan tentera Islam semasa perang Khandak. Kami tidak masuk ke dalam masjid-masjid ini cuma melihat dari dalam kereta.

Nabi SAW datang ke Masjid Quba pada setiap hari Sabtu dan solat dua rakaat di dalamnya


Masjid yang benar-benar kami masuki dan mengerjakan solat di dalamnya ialah Masjid Quba. Masjid Quba ialah masjid pertama yang dibina oleh Nabi Muhammad SAW setelah baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah. Masjid Quba ialah masjid yang dibina atas dasar takqwa. Adalah sunat mengunjungi masjid ini. Ia adalah masjid keempat penting setelah Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

Masjid Quba - di dalam dan di luar


Bagi memperolehi fadhilat mengerjakan solat sunat di Masjid Quba kita perlu mengambil wudhu dari tempat penginapan kita dan hendaklah menjaga wudhu tersebut sehingga selesai solat. Fadhilatnya ialah bagi setiap solat sunat dua rakaat, ganjarannya ialah sama dengan mengerjakan satu umrah. Ini adalah berdasarkan hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Majah, Ahmad bin Hambal, Al-Hakim dan At-Tabrani dengan Sanad mereka Sahl Ibn Hanif r.a. sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang bersuci  di rumahnya  kemudian datang ke Masjid Quba serta solat di dalamnya satu solat adalah ganjaran untuknya seperti  ganjaran satu umrah."

Masjid Quba sentiasa dikunjungi ramai


Ketika kami mengunjungi masjid ini orang terlalu ramai. Saya yakin wudhu saya boleh tahan lama. Entah macam mana ketika hendak memasuki pintu masjid wudhu saya terbatal kerana tangan seorang lelaki terkena tangan saya. Saya pun mengambil semula wudhu di tempat wudhu masjid itu dan mengerjakan solat tahiyatull masjid dan solat-solat sunat. Maka saya tidak memperolehi ganjaran satu umrah itu. Saya rasa amat terkilan dan rugi yang amat sangat.

Sejak itu apabila saya mengunjungi Masjid Quba pada tahun-tahun berikutnya saya pastikan tangan saya disimpan di dalam telekong labuh dan kadang-kadang saya memakai sarung tangan.


Ke Ladang Unta


Di Madinah kami pergi ke ladang unta. Ia letaknya di sebuah padang pasir yang gersang. Hanya bukit batu, batu-batu kerikil, pasir dan pokok-pokok renek yang ada di situ. Terdapat beberapa buah khemah kecil berdiri di tengah-tengah padang pasir itu. Di tengah-tengah cuaca panas dan terik itu kami menuju ke kandang unta. Kami melihat beberapa orang Badui sedang memerah susu unta. Zahari berbual dengan mereka dan bertanyakan tentang susu unta. Saya amat kagum dengan kefasihan Zahari bertutur dalam bahasa Arab Hami itu. Orang Badui itu kemudiannya menapis susu unta yang diperah itu ke dalam mangkuk.

Kami masuk ke dalam khemah dan duduk di dalamnya. Terasa sejuk di dalam khemah itu. Saya rasa sangat gembira kerana berpeluang berada di khemah Badui di kawasan gersang yang selama ini saya hanya saksikan di dalam filem. Kamipun minum susu unta yang dituangkan ke dalam mangkuk. Rasa susu unta ini amatlah sedap. Inilah pertama kali saya minum susu unta yang segar.

Ladang unta di Madinah. Susu unta mengandungi banyak khasiat.

Menikmati susu unta segar di khemah Badui




Oleh kerana saya sudah tiga kali ke Madinah dan Mekah maka saya sudah tiga kali minum susu unta. Saya berpendapat susu unta di Madinah inilah yang paling sedap.


Ke Kilang Al-Quran


Kaunter membeli Al-Quran cetakan Madinah

Selain itu kami ke kilang mencetak Al-Quran dan membeli beberapa naskah Al-Quran. Al-Quran yang bersaiz A4 berharga 50 rial, yang kecil sedikit 30 rial. Al-Quran cetakan Madinah inilah yang diterima untuk diwakafkan di Masjidil Nabawi dan Masjidil Haram. Sekiranya kita mewakafkan Al-Quran cetakan lain, ia akan dikeluarkan dari masjid dan diberikan Al-Quran ini ke negara-negara lain. Saya pernah menyaksikan pekerja-pekerja Masjidil Haram mengutip Al Quran yang bukan cetakan Madinah sebanyak sebuah lori kecil dan membawanya keluar dari masjid.

 

 

Keajaiban Bukit Magnet (Jabal Maghnatis)


Pernahkah anda meletakkan free gear pada kereta anda dan kereta itu kemudiannya bergerak sendiri di atas jalan rata tanpa perlu dipandu oleh pemandu? Fenomena ajaib ini boleh dirasai dan dicuba di Bukit Magnet tidak berjauhan dari Kota Madinah.

Kami ke sana dengan dibawa oleh Zahari. Zahari memandu kereta ke Bukit Magnet yang letaknya kira-kira 40 km dari kota Madinah. Apabila kami sampai di sana kami lihat kawasannya amat tandus dan gersang. Terdapat padang pasir yang luas dan bukit batu lada. Terdapat juga unta-unta berkeliaran. Orang Madinah suka ke sini untuk berkelah.

Saya lihat Zahari memandu menghala ke arah Madinah. Enjin diletakkan pada kelajuan yang amat rendah iaitu kira-kira 30 km/jam. Gear diletakkan pada free. Zahari kemudiannya membebaskan tangannya daripada memegang steering. Kereta itu bergerak sendiri. Ada sejenis kuasa menarik kereta itu di atas jalan. Saya memerhatikan meter kereta itu - dari 30 km/jam kepada 90 km/jam. Kemudian meter itu semakin naik. Sehinggalah melebihi 120 km/jam. Kereta yang kami naiki semakin lama semakin laju dan terasa ia seperti ditarik.

Bukit Magnet mempunyai daya tarikan yang kuat sehingga boleh menarik kereta atau bas yang berpenumpang. Inilah keajaiban yang ditunjukkan oleh Allah. Tetapi tidak ramai manusia yang memikirkan.

nilah kawasan Bukit Magnet yang punya kuasa magnet yang ajaib sehingga boleh menarik kenderaan berpenumpang



Bukit Uhud Bukti Perjuangan Para Syuhada


Bukit Uhud telah saya kenali melalui kelas Sejarah Islam dan Agama Islam. Selama ini saya hanya mendengar ceritanya. Tetapi kali ini saya dapat melihat bukit itu dengan mata sendiri. Di sinilah bukti perjuangan para syuhada. Mereka mati syahid kerana memperjuangkan Islam dalam Perang Uhud pada Syawal 3 Hijrah. Antaranya ialah Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib iaitu bapa saudara Rasulullah SAW.  Jenazah Saidina Hamzah telah dicincang dengan kejam oleh Hindon yang mana hati Saidina Hamzah dilapah oleh Hindon. Jenazahnya disemadikan di Bukit Uhud. Bukit Uhud itu berwarna merah seperti darah para syuhada itu.

70 orang sahabat Rasulullah SAW telah syahid di sini dan disemadikan di sini. Pernah suatu ketika banjir melanda di kawasan ini dan telah mengakibatkan jenazah para syuhada itu terkeluar dari kuburnya. Namun jenazah para syuhada itu masih kelihatan sempurna seperti jasad manusia yang masih hidup walaupun mereka telah disemadikan bertahun-tahun lamanya. Kemudian jenazah Saidina Hamzah dipindahkan di kaki bukit. Dan kini ia dipagar. Diceritakan oleh seorang Ustaz bahawa sebuah bukit bergerak menghadap ke arah jenazah Saidina Hamzah dikuburkan semasa pemindahan itu demi menghormati perjuangan jihad beliau.

Di situ terdapat Bukit Pemanah yang mana di sinilah harta rampasan perang diletakkan. Nabi Muhammad SAW telah berpesan supaya jangan sesiapapun ke bukit itu tanpa arahan baginda. Namun pesanan baginda tidak diendahkan. Malahan mereka sibuk mengambil harta rampasan perang. Disebabkan keingkaran mematuhi arahan baginda maka pihak musuh mengambil kesempatan ini dan mengakibatkan Islam kalah.

Kami ke makam para syuhada ini, memberi salam dan berdoa untuk mereka.


Warna merah darah pada Bukit Uhud. Bukit Pemanah dan makam para syuhada dalam peperangan Uhud.

Jual beli di kaki Bukit Uhud



Kurma Madinah

 


Pokok kurma di Madinah


Kurma tumbuh subur di bumi Madinah. Antara kurma yang terbaik dan berkhasiat ialah kurma Ajwa atau kurma Nabi.  Ia boleh dibeli di kedai-kedai, ladang-ladang kurma, pasar kurma atau di Masjid Quba. Harga kurma Ajwa berbeza mengikut gred. Ada yang berharga 40 rial (RM38.20) sekilo dan ada yang mencecah sehingga 80 rial (RM78.20) sekilo. Saya membeli pelbagai jenis kurma samada kurma kering atau kurma segar.  Kurma adalah makanan sunnah dan kita dianjurkan supaya sentiasa mempunyai kurma di rumah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Rumah yang tidak ada kurma di dalamnya, maka kelaparanlah bagi penghuninya atau laparlah penghuninya.”   (Hadis riwayat Muslim dan Tirmizi)

Hadis mengenai kelebihan kurma Ajwa pula terbukti melalui kata-kata Aisyah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Pada kurma ‘ajwah ‘aliyah dipermulaan pagi sebelum sarapan adalah penyembuh daripada setiap sihir dan racun.”  (Hadis riwayat  Ahmad)

Pasar Kurma di Madinah

 

Kesucian Tanah Madinah Jadi Penawar



Perkuburan Baqi sentiasa dikunjungi orang.


Sebelum ke Madinah saya sudah membaca buku tentang Madinah. Salah sebuah buku yang saya baca menyatakan tanah di Madinah amat suci dan kesuciannya itu boleh digunakan sebagai penawar. Saya bertanyakan pandangan Liza tentang ini dan dia menyetujui kebenarannya. Saya mengambil segenggam tanah suci Madinah itu yang terdapat betul-betul di hadapan Masjid al-Nabawi kerana di situ terdapat kerja-kerja pembinaan. Tanah itu saya sapukan pada kulit badan saya dan memohon kepada Allah supaya menghilangkan alahan pada kulit saya.


Masjid al-Nabawi masih dalam pembinaan pada tahun 2010. Di kawasan inilah saya mengambil tanahnya untuk penawar penyakit



Meninggalkan Madinah untuk Ke Mekah


Menara Masjid al-Nabawi di waktu malam

Orang ramai memulakan aktiviti harian pada musim panas di Madinah

Kawasan luar hotel penulis pada waktu pagi


Halaman Masjid al-Nabawi di waktu pagi

Menara Masjid al-Nabawi di waktu siang

Disunatkan menziarahi makam Rasulullah SAW, mengucapkan salam dan selamat tinggal sebelum meninggalkan Madinah


Amat berat meninggalkan kota Madinah al-Munawarah. Setelah dua hari berada di Madinah kamipun meninggalkan Madinah untuk ke Mekah pula. Sebelum keluar dari hotel saya sudah mandi sunat ihram.

Kami memandu sendiri ke kota Mekah. Zahari yang pandu.

Kami kemudiannya berhenti di Masjid Bir Ali (juga dikenali dengan Zulhulaifah). Bir Ali ialah miqat untuk kita memulakan niat ihram sebelum ke Mekah, bersesuaian dengan sunnah Rasulullah SAW. Di kawasan luar masjid terdapat gerai-gerai menjual pakaian ihram dan peralatan beribadah. Terdapat juga pohon-pohon rendang menghiasi kawasan masjid.

Saya masuk ke dalam masjid, mencari tempat berwuduk lalu mengambil wudhu. Orang tidaklah ramai di dalam masjid ketika itu. Ada ruang untuk saya solat jamak zohor/asar dan sunat ihram. Setelah itu saya berniat ihram. Maka bermulalah 13 pantang larang dalam ihram sehinggalah saya mengerjakan tawaf, saie dan bertahalul. Saya amat menjaga pantang larang itu dan amat berhati-hati.

Setelah masing-masing masuk ke dalam kereta semula dan berpesan-pesan, "Dah niat Ihram? Dah niat ihram?" kamipun menyambung perjalanan kami. Sepanjang saya berihram saya tidak mengambil sebarang gambar kerana saya khuatir niat saya mengerjakan umrah akan terpesong.

Nota: Blog ini bukan bertujuan untuk memberi panduan lengkap mengerjakan umrah, tetapi sekadar memberi gambaran ringkas perjalanan saya di tanah suci. Untuk cara-cara melakukan ibadat yang lengkap serta terperinci, sila rujuk kepada guru anda atau menghadiri kursus haji dan umrah atau merujuk kepada bacaan dari penerbit yang bertauliah.


Pemandangan di tepi jalan di antara Madinah dan Mekah. Gambar ini saya ambil pada Jun 2013 setelah selesai mengerjakan umrah iaitu pada kunjungan ketiga saya ke tanah suci.


Sesekali terdapat bangunan berdiri di tengah-tengah padang pasir


Perjalanan dari Madinah ke Mekah memakan masa lebih kurang 5 jam. Perjalanan yang agak jauh ini tidak terasa kerana saya dapat melihat pemandangan di tepi jalan. Sepanjang perjalanan saya dapat lihat pokok kurma, pokok renek, bukit batu, padang pasir, unta, rumah dan masjid. Kadang-kadang kami berhenti membeli minuman di kedai. Pernah juga kami berhenti mengisi petrol kereta. Amat murah sekali harga petrol di sini. Maklumlah Arab Saudi adalah antara negara pengeluar petroleum terbesar di dunia.


Sukar sekali melihat penempatan manusia di sepanjang jalan ke Mekah dari Madinah

Bukit-bukau berbatuan di sepanjang jalan dari Madinah ke Mekah

Tanah berpasir, berbatuan dan gersang ini menginsafkan saya tentang perjalanan Nabi Muhammad SAW yang menempuhinya ketika baginda pergi mengerjakan haji dengan menaiki unta dan berjalan kaki. Baginda SAW menghabiskan masa kira-kira 9 hari untuk sampai ke Mekah. Kesusahan baginda ini amat saya rasai.

Dalam kereta kami bertalbiah dengan diketuai oleh Zahari siswa Universiti Madinah itu sambil beliau memandu kereta milik Syeikh Toriq. Talbiah ialah menyahut seruan beribadah:

لبيك اللهم لبيك لبيك لا شريك لك لبيك إن الحمد ونعمة لك والملك لا شريك لك
(Labaik Allahumma Labaaik, labaaik Laa Syarika Laka Labaaik Inal Hamda Wan Ni’mata Laka Wal Mulka La Syarikalah)

Daripada Abdullah bin Umar r.a, sesungguhnya Rasulullah SAW setelah duduk di atas kenderaannya bertolak dari Masjid Zi al-Hulaifah, baginda membaca talbiyah yang bermaksud: 


“Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Ya Allah! Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, (Tuhan) yang tidak ada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan pemerintahan adalah kepunyaan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.”  (Hadis riwayat Muslim)

Kami bertalbiah berulang kali sehinggalah saya tertidur.

 ...bersambung




Selasa, 27 Ogos 2013

Backpack Ke Madinah & Mekah (Bhg 1): Ke Madinah Melalui Thailand dan Qatar

S aya teringin sekali menjejakkan kaki ke Mekah. Tetapi panggilan untuk mengerjakan ibadat haji belum lagi diterima. Giliran saya selepas mendaftar pada tahun 2006 mengambil masa sepuluh tahun lagi.

Pada tahun 2009 perasaan untuk ke tanah suci begitu membuak-buak. Saya ke Tabung Haji Pulau Pinang meminta mereka mencalonkan nama saya. Tetapi saya diberitahu bahawa saya perlu menunggu 5 tahun selepas mendaftar untuk membuat rayuan. Banyak lagi alasan-alasan yang diberikan yang membuatkan saya tidak dapat pergi. Kesemua alasan yang diberikan menggambarkan untuk ke Mekah ianya terlalu sukar. Antara faktor lain ialah usia dan mahram.

Setiap kali melihat jemaah di tanah suci di kaca tv saya rasa amat terharu. Setiap hari saya berdoa, solat taubat dan solat hajat supaya dijemput Allah.

Entah mengapa pada hari itu saya rasa ingin menghubungi kawan saya Liza yang sudah 10 tahun tidak saya hubungi. Ingat tak pada Liza? Saya pernah ceritakan pengambaraan saya dengan Liza ke Jinan China. (Kalau ingin imbas kembali kisah itu sila klik di sini).

Ketika saya menghubungi Liza melalui telefon, Liza memberitahu saya yang dia sedang berada di hadapan Kaabah mengerjakan Haji. Menurutnya dia baru sahaja mendaftar haji sebulan yang lalu. Dan dia pergi tanpa mahram. Mahramnya ialah jemaah wanita yang lain. Saya amat terkejut.  Selama ini saya mendapat maklumat yang tidak tepat. Saya meminta Liza mendoakan saya di hadapan Kaabah supaya Allah menjemput saya pula. Saya terlalu ingin ke sana. Perasaan itu tidak dapat dibendung lagi. Kata Liza, "Pekerjaan yang baik dipermudahkan Allah." Saya percaya dan yakin dengan kata-kata Liza itu.

Liza berada di hadapan Kaabah ketika musim haji 2009.

Sekembalinya dari mengerjakan Haji, Liza memaklumkan saya bahawa dia amat gembira berada di Mekah dan ingin mengulangi ke sana setiap tahun. Diapun merancang untuk mengerjakan umrah bersama keluarganya. Akhirnya saya mengikut Liza sahaja ke Mekah mengerjakan umrah iaitu pada Jun 2010. Pada mulanya saya bercadang membawa anak-anak sekali melakukan umrah. Tetapi disebabkan oleh mereka menghadapi peperiksaan penting di sekolah dan universiti, maka hasrat untuk membawa mereka tidak kesampaian.

Kami pergi tidak melalui ejen pelancongan atau pakej umrah. Kami backpack! Bagaimanakah caranya?


Mendapatkan Visa Umrah


Ada dua cara untuk ke Mekah dengan cara backpack ini. Sama ada menggunakan visa perniagaan atau visa umrah. Liza dan suaminya mempunyai visa perniagaan, jadi tidaklah susah untuk masuk ke Mekah dan Madinah menggunakan visa itu dan mereka boleh memasukkan nama saya sekali dalam permohonan itu. 

Tapi akhirnya kami memilih menggunakan visa umrah. Kami isi borang dan memohon sendiri di kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur. Liza menjadi mahram saya. Visa kami berempatpun diluluskan dalam masa beberapa hari.


Penang-Haadyai-Bangkok-Qatar-Jeddah


Ketika musim umrah itu kesemua kapalterbang dari Pulau Pinang dan KLIA ke Jeddah tiada yang kosong. Jadi kami mengambil keputusan untuk melalui Thailand. Lagipun Thailand dengan Pulau Pinang tidaklah jauh.

Kami memandu kereta sendiri ke Hadyaai dan meninggalkan kereta kami untuk dijaga oleh seorang lelaki Thailand iaitu kenalan suami Liza di sana. Kami ke lapangan terbang Haadyai untuk ke Bangkok pula. Semasa di lapangan terbang Haadyai kami sempat membeli-belah buah tangan untuk diberikan kepada kenalan yang menyambut kami nanti di Bangkok, Jeddah, Madinah dan Mekah.

Kemudian kami menaiki Air Asia ke Bangkok. Di Bangkok kami menginap di sebuah rumah kawan suami Liza sebelum terbang ke Qatar dengan Qatar Airways. Kami transit di Qatar 4 jam. Dari Qatar barulah kami ke Jeddah. Semasa di Qatar kami bertemu dengan ramai jemaah dari negara lain yang sudah siap berpakaian ihram. Sepanjang perjalanan dan menunggu di lapangan terbang Qatar mereka tidak berhenti-henti bertalbiah. Sungguh amat terharu mendengarnya.

Kalau dilihatkan perjalanan (route) kami ini amatlah jauh. Banyak singgah singgah dan transit di empat buah negara. Namun kami amat menyenanginya dan tidak pula terasa penat. Sepanjang jalan ini kami menemui pelbagai kenalan dan dapat menjalin hubungan yang erat. Hubungan ini amat bermakna kerana ia tidak boleh dijual beli.

Zahari (berjubah putih) anak angkat Liza menyambut kami di lapangan terbang Jeddah


Zahari, anak angkat Liza adalah seorang siswa Universiti Madinah. Beliau menyambut kami di Jeddah dan melakukan urusan imigresen. Zahari mengambil jurusan bahasa Arab di Universiti Madinah dan fasih berbahasa Arab samada Arab formal atau Arab Hami (bahasa pasar). Dengan kefasihan beliau berbahasa Arab Hami membuatkan urusan di imgresen menjadi mudah kerana orang Arab akan secara spontan menyukai orang bukan Arab yang fasih menguasai bahasa pasar mereka.


Memandu Dari Jeddah ke Madinah


Pemandangan dalam perjalanan ke Madinah


Kami menaiki kereta milik Syekh Toriq iaitu seorang ahli perniagaan, kenalan Liza yang berasal dari Jeddah. Zahari yang pandu kereta itu menuju ke Madinah. Dalam perjalanan menuju ke Madinah kami melalui kawasan yang gersang dan sesekali hanya ada beberapa buah rumah di tepi jalan.

Kami singgah makan cara tradisional Arab. Kami makan nasi mande di sebuah restoren. Itulah pertama kali saya makan nasi mande. Nasi dihidang di dalam dulang dengan lauk-pauk di dalamnya. Ia dimakan beramai-ramai dan berkongsi makan satu dulang.

Penulis makan nasi mande beramai-ramai yang dihidangkan di atas dulang


Apabila terasa ingin buang air saya pergi terus ke tandas yang letaknya agak jauh ke belakang. Apabila keluar tandas saya dapati Zahari menunggu saya di luar. "Ini bukan Malaysia, Auntie. Di sini lain. Orang perempuan tak keluar seorang diri. Bahaya," kata Zahari yang sudah tiga tahun tinggal di Madinah. Mendengarkan pesanan Zahari itu saya menjadi risau dan tidak lagi berani ke tandas tanpa ditemani sesiapa.


Madinah Al-Munawarah


Madinah al-Munawarah bermaksud Kota Bercahaya.

Bacalah doa ketika masuk kota Madinah


Memandu ke Madinah memakan masa kira-kira 6 jam. Apabila kami sampai di Madinah, saya dapat melihat bangunan yang tinggi-tinggi. Hati saya amat berdebar-debar apabila sampai ke kota suci ini. Liza dan saya membaca doa masuk ke Kota Madinah. Inilah kota suci yang disayangi Nabi Muhammad SAW. Daripada Siti Aishah r.a. sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ya Allah kurniakanlah kepada kami cinta kepada Madinah seperti mana cinta kami kepada Mekah atau lebih daripada itu."

Madinah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai tempat kekuatan keimanan di akhir zaman nanti berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.; sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

"Sesunggunya keimanan itu akan kembali ke Madinah sepertimana kembalinya ular ke sarangnya."

Kereta kami melalui jalan di celah-celah kota. Kelihatan menara Masjid al-Nabawi dari celah-celah bangunan. Ia kelihatan dari semua arah kerana kedudukannya di tengah-tengah kota. Saya sangat gembira menyaksikan menara itu dari kejauhan dan tak sabar-sabar untuk melihatnya dari dekat.

Zahari memandu lebih hampir dengan menara itu lalu kami mencari tempat letak kereta tetapi ia penuh sesak lalu Zahari meletakkan kereta di tepi jalan sahaja.


Masjid al-Nabawi dari pintu hotel

Sepuluh ribu  orang  sahabat disemadikan di Perkuburan Baqi termasuklah  isteri-isteri, putera dan puteri Rasulullah SAW


Zahari membawa kami ke hotel. Hotel kami amat dekat dengan Masjid al-Nabawi. Boleh nampak dengan jelas menara Masjid al-Nabawi dari pintu hotel. Hotel ini juga betul-betul di hadapan tanah perkuburan sahabat-sahabat dan keluarga Rasulullah SAW yang dikenali dengan Perkuburan al-Baqi.

Hotel ini amat luas dan selesa. Maaf saya lupa nama hotel ini.


Hotel itu kami sewa 500 rial (lebih kurang RM500) sehari. Biliknya luas dan mempunyai dua buah katil (double bed), televisyen, meja dan bilik mandi yang selesa. Dalam bilik mandi terdapat tab mandi, sinki dan dua buah mangkuk tandas. Saya amat berpuas hati dengan hotel itu. Oleh kerana saya seorang sahaja di dalam bilik itu, ia amat amat selesa bagi saya. Ketika inilah saya rasa agak terkilan kerana anak-anak saya tidak dapat turut serta. Kalau tidak tentu merekalah yang tidur di katil sebuah lagi yang kosong itu.

Kedai  di Madinah yang menjual pelbagai keperluan 

Tawar-menawar di bazaar 


Sebelum ke masjid kami turun dari bilik hotel untuk membeli barang-barang keperluan seperti selipar, sejadah, jubah dan kopiah di kedai yang terdapat di bawah dan sebelah hotel kami. Setelah itu kamipun ke Masjid Nabawi untuk solat jemaah. Terlalu ramai orang di dalam Masjid Nabawi.


Masjid Al-Nabawi



Halaman Masjid Nabawi yang sentiasa dipenuhi manusia


Di pintu masuk Masjid al-Nabawi ada polis wanita berpurdah yang mengawal serta memeriksa semua beg yang dibawa masuk oleh setiap wanita. Mereka juga meraba-raba badan setiap wanita yang masuk. Saya telah diberitahu Liza bahawa telefon bimbit yang berkamera tidak boleh dibawa masuk, lalu saya menyorokkan telefon bimbit saya di dalam poket rahsia di dalam baju saya.  Mujur ia tidak ditemui oleh polis wanita itu walaupun badan saya diraba.

Saya dan Liza masuk ke dalam ruang solat wanita. Saya sangat gembira kerana dapat solat di Masjid Nabawi iaitu masjid yang dibina oleh Nabi Muhammmad SAW ketika berhijrah dari Mekah. Tapak pemilihan masjid ini telah ditentukan oleh unta yang membawa Nabi SAW dari Quba'.

Selepas solat subuh

Kami berjalan kaki pulang ke bilik hotel untuk berehat. Sebelum masuk waktu subuh kedengaran azan untuk solat tahajud jelas dari hotel saya. Saya perhatikan di jendela dan kelihatan ramai orang berbondong-bondong menuju ke masjid. Terasa amat kagum dengan cara mereka beribadah. Kami pun keluar ke masjid turut solat tahajud dan subuh.

Masjid Nabawi terlalu indah binaannya dan amat luas. Masjid ini sentiasa dikunjungi ramai. Ini ialah masjid yang kedua penting selepas Masjidil Haram.

Ziarah ke Masjid al-Nabawi adalah sunat. Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Tidak harus kamu bersusah payah musafir kecuali kepada tiga masjid. Masjid aku ini, Masjid al-Haram dan Masjid Al-Aqsa." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Kelebihan menunaikan solat di Masjid Nabawi dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dengan sanadnya yang sahih daripada Abu Hurairah r.a. sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Solat di Masjid aku ini lebih baik daripada seribu solat di tempat-tempat lain kecuali di Masjid al-Haram" 

Peniaga mula berniaga selepas solat subuh

Peniaga mengambil kesempatan berniaga di halaman Masjdil Nabawi


Kemodenan senibina Masjid al-Nabawi amat mengagumkan. Lampu-lampunya menyerikan lagi keindahan masjid suci ini. Ia kelihatan amat bersih dan tenang. Jemaah yang ramai melimpah sehingga ke halaman masjd untuk bersolat dan beribadat. Payung-payung yang mengembang dan menguncup secara automatik di halaman masjid menarik hati sesiapa sahaja.


Payung-payung automatik di halaman Masjid al-Nabawi yang menguncup pada waktu pagi

Pintu masuk Masjid al-Nabawi

Payung di hadapan Masjid al-Nabawi pada jarak dekat

Payung-payung di  halaman Masjid al-Nabawi mengembang secara automatik apabila matahari muncul di waktu pagi




Raudah Al-Syarif  (Taman Syurga)


Ruang solat wanita di dalam Masjidil Nabawi


Raudah al-Syarif ialah sebuah tempat di dalam Masjd al-Nabawi. Ia terletak di antara rumah Rasulullah SAW dan mimbar baginda. Daripada Abdullah ibn Zaid al-Mazani r.a  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Yang di antara rumahku dan mimbarku ialah Raudah iaitu antara taman-taman syurga." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Raudah al-Syarif adalah tempat yang disukai dan menjadi kebiasaan Rasulullah SAW duduk melakukan ibadat kepada Allah.

Semasa di Madinah setiap hari saya ke Raudah. Mula-mula ditunjuki oleh Liza caranya kerana Liza sudah mempunyai pengalaman sebelum ini. Oleh kerana kami pergi pada waktu siang selepas solat zohor orang terlalu ramai dan perlu berlari apabila pintu di dalam masjid untuk ke Raudah dibuka. Kami menunggu bersama-sama dengan kumpulan wanita dari Turki dan kemudian dibawa masuk ke dalam ruangan satu lagi berdepan dengan pintu Raudah.

Pengalaman ke Raudah pertama kami amat sukar dilupakan. Amat susah untuk mendapatkan ruang di atas permaidani hijau kerana orang penuh sesak. Permaidani hijau inilah penanda kawasan Raudah. Ia tidaklah luas. Ruang yang kecil itu perlu menampung orang yang beratus-ratus sekali masuk. Kami solat sunat dua rakaat. Sebaik-baik sahaja kami duduk tahiyat akhir polis yang menjaga kawasan itu cepat-cepat suruh kami keluar. "Hajah keluar. Sudah Hajah. Keluar," kata polis Arab itu dalam bahasa Melayu. Kamipun melangkah keluar sambil menadah tangan berdoa. Berdoa sambil berjalan keluar. Walaupun begitu saya amat gembira kerana dapat menjejakkan kaki di Raudah iaitu salah satu daripada taman-taman syurga. 

Setelah pengalaman pertama itu saya berulang kali ke Raudah selepas solat fardu terutamanya selepas isyak dan sudah mula mahir cara-cara untuk ke sana supaya tidak berebut-rebut dengan jemaah lain. Saya dapati pada waktu lewat malam lebih sesuai untuk ke Raudah. Saya tidak perlu bergelut dengan ramai orang. Saya juga dapat solat di ruangan yang lebih luas dan lebih lama berbanding dengan waktu siang.

Sejak itu setiap kali saya ke sini pada tahun-tahun berikutnya saya hanya pergi selepas 11.00 malam


Makam Rasulullah SAW



Di bawah kubah hijau terdapat makam Rasulullah SAW dan kubah putih ialah makam Saidina Abu Bakar r.a.  Manakala makam Saidina Umar r.a. di sebelahnya.


Mengunjungi makam Rasulullah SAW adalah kemestian yang saya lakukan. Makam baginda terletak di kawasan Masjid Nabawi. Ia dapat dilihat melalui luar kerana ia telah dipagar.  Ketika pertama kali saya mengunjungi makam Rasulullah SAW dan memberikan salam kepada baginda saya dapati ramai orang menekapkan tangan dan badan mereka pada dinding pagar makam itu. Tetapi lama kelamaan mereka disuruh pergi oleh seorang lelaki yang berjubah dan berserban putih. Dia adalah pengawal di situ. Saya juga disuruh pergi dan tidak boleh berdiri lama di situ. Dia hanya memberi masa kepada saya sepuluh minit sahaja.

Tetapi pada kujungan saya pada Jun 2013 yang lalu saya hanya diberi masa 3 minit sahaja untuk memberi salam kepada baginda. Dia menyuruh saya memberi salam sambil berjalan meninggalkan makam baginda SAW.

Saya berpendapat bahawa mereka mengenakan peraturan ini untuk mengelakkan berlakunya perbuatan khurafat atau bidaah.

Saya memastikan yang saya mengunjungi makam Rasulullah SAW. Mengunjungi makam Rasulullah SAW adalah sama seperti mengunjungi baginda semasa baginda masih hidup.

Dari Ibnu Umar, telah bersabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

"Sesiapa menziarahiku setelah aku meninggal, maka seakan-akan dia menziarahiku semasa aku masih hidup." (Hadis riwayat al-Baihaqi, Daruqutni dan Tabrani)


Makan-makan dan Membeli-belah


Makan makanan Arab

Oleh kerana kami pergi secara backpack maka kamipun mencari makan di gerai-gerai makan yang berdekatan dengan Masjid Nabawi. Kami cuba memakan makanan orang Arab seperti roti, gulai kambing, nasi dan sayur. Cara makanpun cara orang Arab.

Oleh kerana Zahari adalah pelajar Universiti Madinah, maka saya dapat juga berkenalan dengan kawan-kawan Zahari yang merupakan pelajar-pelajar Universiti Madinah yang berasal dari Malaysia. Kadang-kadang kami dibawa oleh pelajar-pelajar Unviersiti Madinah ini makan di restoren-restoren yang terdapat di kota Madinah. Kami juga sempat melihat Universiti Madinah.

Kedai-kedai yang terdapat di kota Madinah



Membeli-belah di kota Madinah al-Munawarah amat menyeronokkan. Kita boleh mendapatkan jubah yang cantik, minyak wangi, sejadah, tudung dan macam-macam lagi dengan harga yang murah.


Bertamu Ke Rumah Penduduk Madinah


Kami juga ke rumah penduduk Madinah dan dapatlah melihat kehidupan mereka dengan lebih dekat. Ini disebabkan Zahari fasih berbahsa Arab Hami, ini membuatkan orang Arab Madinah menyukainya,  maka dengan mudah dia mempunyai ramai kenalan penduduk tempatan. Kami diajak oleh sebuah keluarga Madinah ke rumah mereka melalui Zahari.

Penulis (berbaju serba putih) menjadi tetamu di sebuah rumah penduduk asal Madinah. Dua orang gadis Madinah bertudung hitam ini melayan kami dengan baik walaupun hanya tahu berbahasa Arab sahaja.


Ketika ke rumah seorang penduduk Madinah yang bersebelahan dengan Bukit Uhud, kami dapati bahawa ruang tamu lelaki dan wanita diasingkan. Semasa di rumah mereka saya dan Liza tidak dapat melihat kaum lelakinya. Kami hanya masuk ke ruang tamu wanita dan berbual-bual dengan wanita sahaja. Saya mendapati bahawa mereka semua tidak tahu bahasa lain selain daripada Arab. Saya pula tidak tahu bahasa Arab ketika itu. Jadi komunikasi kami amatlah sukar. Semasa itulah saya merasa amat rugi tidak tahu bahasa Arab. Sejak itu saya mula mempelajari bahasa Arab Hami sehingga boleh berkomunikasi dengan orang Arab.

Hidangan yang disediakan oleh penduduk Madinah ketika itu ialah jus mangga yang amat pekat. Rasanya amat sedap dan dingin. Oleh kerana cuaca terlalu panas di luar, orang tempatan tidak keluar rumah. Rumah mereka juga ditutup tingkapnya untuk mengelakkan bahang panas masuk ke dalam rumah.

Mengunjungi makam Rasululllah SAW, beribadat di Masjid Nabawi, menziarahi perkuburan Baqi', membeli-belah, makan-makan dan mengunjungi rumah penduduk Madinah, adalah pengalaman yang amat menarik bagi saya.

Ikutlah kisah backpack saya ke Madinah dan Mekah dalam entri akan datang. Ada banyak lagi kisah menarik saya di sana.

...bersambung


Ahad, 4 Ogos 2013

Ramadhan di Pulau Pinang Yang Bakal Pergi

S elamat memburu Lailatul Qadar kepada pengunjung blog saya yang beragama Islam. Entri blog saya bulan Ramdhan ini agak "slow' sedikit. Maklumlah bulan yang penuh keberkatan ini saya agak sibuk dengan macam-macam aktiviti.

 

Sukarelawan Memasak Juadah Berbuka di Masjid


Kalau ada kelapangan saya yang kerdil dan lemah ini membantu penyediaan berbuka puasa di Masjid Al-Khalid, Universiti Sains Malaysia. Iftar di masjid ini diadakan setiap hari. Sesiapa sahaja boleh datang berbuka di masjid ini tidak kira agama, bangsa dan negara (eh macam lagu patriotik pulak bunyinya he he he).

Antara menu berbuka puasa ialah kanji nasi, nasi dengan lauk-pauk seperti kari daging dan dalca. Kadang-kadang ayam masak merah dengan jelatah dan nasi briani. Kadang-kadang ayam masak kicap dan nasi kacang. Nasi Arab juga tidak ketinggalan disediakan oleh masyarakat Arab yang ramai di sini.

Kira-kira 2,000 orang datang ke masjid ini setiap hari untuk berbuka. Perbelanjaan untuk juadah berbuka ini adalah sumbangan daripada warga dalam dan luar kampus USM. Kerajaan Arab Saudi juga menaja beratus-ratus kotak kurma yang didatangkan khas dari sana. Jadi sesiapa sahaja boleh menjimatkan belanja sepanjang bulan Ramadhan dengan berbuka di sini. Kalau ada pengunjung blog ini yang datang ke Pulau Pinang singgahlah di Masjid Al-Khalid, USM untuk berbuka. Jangan datang lambat sangat tau, nanti kehabisan.

Sukarelawan yang membantu memotong bawang, halia, kentang dan lobak merah untuk masakan berbuka puasa di Masjid Al-Khalid, USM.

Daripada Zaid bin Khalid al-Juhhani r.a, daripada Nabi SAW sabdanya:

"Sesiapa yang memberi makan (berbuka) kepada orang yang berpuasa, ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan pahala orang yang berpuasa itu tidak berkurangan walau sedikitpun." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Aktiviti di masjid ini dimeriahkan dengan solat tarawikh dan Qiamulail yang diimamkan oleh imam dari Madinah, pelajar-pelajar tahfiz sekitar Pulau Pinang dan imam jemputan dari negeri-negeri lain di Malaysia.

Penulis mengacau kanji nasi di dapur masjid

Membantu Golongan Miskin


Selain itu saya yang kerdil dan lemah ini turut menjalankan aktiviti amal untuk membantu golongan yang memerlukan. Saya dan kawan-kawan saya memungut wang daripada sesiapa yang kami kenali untuk disumbangkan kepada golongan ini. Ada yang memberi zakat, fidayah dan sedekah. Hasil daripada kutipan wang ini kami beli bahan-bahan makanan untuk disumbangkan kepada mereka yang memerlukan ini. Antaranya ialah beras, gula, tepung, bihun, teh, minyak masak, biskut, garam dan sos tomato. Saya suka melakukan kerja ini kerana ia dapat menenangkan jiwa saya.

Aktiviti amal penulis dengan masyarakat setempat
Bersedekah dengan wang atau perbuatan  adalah perintah Allah SWT kepada kita semua. Dalilnya:

Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu jatuhkan dirimu ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang yang berbuat baik. (Al-Baqarah: 195)

 

Majlis Ilmu


Pada hari Ahad saya biasanya menghadiri majlis ilmu yang diadakan berdekatan dengan rumah saya. Antara Ustaz-ustaz yang terkenal yang tinggal berdekatan dengan rumah saya ialah Dr Danial Zainal Abidin dan Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Majlis Ilmu bersama Dr Danial Zainal Abidin setiap hari Ahad di Batu Uban, Pulau Pinang

Menuntut ilmu amat digalakkan oleh Islam dan mendapat kelebihan sebagaimana firman Allah:


Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai ilmu pengetahuan jika kamu tidak mengetahui. (An Nahl :43)


Hai orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: Berlapang-lapanglah kamu dalam majlis, maka hendaklah kamu berlapang-lapang, nescaya Allah melapangkan untukmu. Dan apabila dikatakan: Bangunlah (berdirilah) kamu, maka hendaklah kamu berdiri, nescaya Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang berilmu beberapa darjat. Allah maha amat mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al Mujaadalah 11)

 

Masak Kuih Raya


Beberapa hari sebelum hari raya saya mengambil cuti untuk memasak biskut, kek dan kuih raya. Kebiasaannya saya membuat kuih raya sendiri. Tetapi tahun ini kuih-kuih tradisional yang sukar untuk dibuat saya beli sahaja. Belipun demi membantu kawan-kawan menambahkan pendapatan. Manakala kuih yang modern saya buat sendiri. Antara kuih raya yang sering saya buat ialah Madeline Cake, kuih goyang, biskut cornflakes, shortbread, cupcake dan cashew nut cookies.

Kuih Raya yang saya buat sendiri tahun-tahun lepas.Strawberry  Cheese Cake (kiri-atas), Mirror Cake (kanan-atas), Kuih Goyang (kiri-bawah), Marble Cake (kanan-bawah), Madeline Cake (tengah). Tapi tahun ni tak pasti menjadi atau tidak.

Rasanya sudah lama saya tidak membuat kuih-kuih ini. Maklumlah tahun lepas saya menyambut Ramadhan dan Aidil Fitri di Xian dan Beijing China. Alat-alat untuk membuat kuih tidak ada. Anak-anak saya datang beraya bersama dengan saya di Beijing dengan membawa kuih raya dari Malaysia. Untuk mengimbas kembali Ramadhan dan Raya saya di China sila klik di sini (Beijing) dan sini (Xian).


Balik Kampung


Biasanya saya menyambut hari raya pertama di Pulau Pinang dan kemudiannya pulang ke kampung halaman saya di Perak selepas solat sunat Aidil Fitri. Anda pula bagaimana?

Kepada umat Islam di mana jua anda berada, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya, maaf zahir batin dan jangan jadikan jalan raya sebagai pusara.

Oklah, saya nak periksa ketuhar saya yang dah lebih setahun sejuk. Lepas itu nak keluarkan acuan yang mungkin dah mula berlapuk, mungkin juga sudah nak berkarat. Tak pasti pula menjadi atau tidak kuih raya saya tahun ini.