Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini



Selasa, 27 November 2012

Jinan: Naik Bullet Train dan Berniaga di China


Apakah yang anda lakukan sekiranya anda ke Jinan? Jinan terletak di Barat daya Shandong iaitu di Timur China. Jinan ialah ibu kota provinsi Shandong. Ia terletak tidak jauh dari tempat kelahiran Confucius. 

Klik di sini untuk melihat peta Jinan


 

Menaiki Bullet Train dari Beijing ke Jinan


Saya ke Jinan baru-baru ini kerana menemani kawan saya Liza untuk urusan perniagaannya di situ. 

Liza sampai di Beijing dari Penang pada pukul 3 pagi dan dia terus ke stesen keretapi Beijing Selatan. Dia mengambil bullet train ke Jinan pada pukul 7.30 pagi kerana dia ada temujanji dengan seseorang di Jinan dan dia tidak mahu terlambat. Saya menyusul kemudian kerana perkhidmatan keretapi subway dari rumah saya di Chaoyang bermula pada pukul 6.00 pagi.

Menaiki bullet train dari Beijing ke Jinan amat mudah walaupun saya tidak fasih berbahasa China. Tiket saya ambil setengah jam sebelum keretapi bertolak. Liza yang sudah bertolak pada pukul 7.30 pagi sudah berpesan kepada saya supaya membeli tiket ke Jinan bukan Jinan Barat. Tetapi malangnya tiket untuk ke stesen Jinan pada sebelah pagi kehabisan. Yang ada cuma selepas pukul 2 petang.  Penjual tiket (yang hanya tahu bahasa China) itu menyuruh saya membeli tiket untuk ke Jinan Barat sekiranya hendak bertolak pada pukul 8.00 pagi. Saya lalu membeli tiket pada 8 pagi ke Jinan Barat dan bercadang akan mengambil teksi ke Jinan.  

Setelah membeli tiket saya ke tingkat atas stesen keretapi Beijing Selatan dan mencari platform keretapi (bullet train) berlepas. Keretapi yang berkepala peluru dengan mudah ditemui. Tidak berapa lama selepas saya duduk di kerusi, keretapi peluru (bullet train) ini pun bergerak. Keadaan dalam bullet train ini amat selesa.

Bullet train ke Jinan ini mempunyai pramugari seperti menaiki kapal terbang

Minuman, makanan ringan dan cenderamata dijual di dalam bullet train ke Jinan

Bullet train ini sentiasa dijaga bersih

Kalau kita naik keretapi biasa dari Beijing ke Jinan ia memakan masa 5 jam. Tapi dengan menaiki bullet train ia hanya memakan masa 1.5 jam. Bullet train ini bergerak laju sehingga 340 km/jam. Bullet train ini juga pergi ke Shanghai dan mengambil masa 3.5 jam dari Jinan.

Stesen Jinan Barat yang luas dan moden ini terletak di suburb Jinan barat di daerah Huaiyin iaitu di luar pusat metropolitan Jinan

Bullet train yang saya naiki itu berhenti di Stesen Jinan Barat (Jinan West Station). Apabila sampai, sahabat saya Liza yang bertolak setengah jam lebih awal daripada saya pun baru sampai di Stesen Jinan, yang jaraknya kira-kira 30 km dari stesen Jinan Barat. Jadi bullet train yang saya naiki tadi bergerak lebih pantas daripada bullet train yang Liza naiki. Liza juga terkejut melihatkan saya sampai pada waktu yang sama dengannya!



Sewa Hotel Pun Boleh Ditawar


Sesampainya di Jinan Liza mencari hotel berdekatan dengan stesen Jinan lalu memberikan saya alamatnya dalam tulisan China. “Hotel Shandong,” katanya. Saya pun menaiki teksi ke hotel itu.  

Hotel yang saya inapi itu 180 yuan semalam. Pada pandangan saya ia mahal kerana hotel begini biasanya berharga 130 yuan semalam. Menurut Liza hotel itu pada mulanya berharga 250 yuan semalam, tetapi setelah Liza menolak dan mahu meninggalkan hotel itu, mereka memanggilnya semula dan mengurangkan harga sewa hotel itu kepada 180 yuan. Barulah saya tahu bahawa harga hotel pun boleh ditawar di China ni! Kelakar, kan?

 
Hotel Shandong letaknya di hadapan stesen keretapi Jinan yang terletak di Sentral Jinan


Hotel Shandong menyediakan komputer dan wifi

Bilik air di Hotel Shandong yang berdinding cermin. Lambang kemodenan China


Restoren Halal di Sekitar Hotel Shandong


Hotel Shandong terletak berdekatan dengan beberapa buah restoren halal. Saya jumpa 3 buah restoren halal yang letaknya di tepi, di belakang dan di kanan hotel Shandong. Jadi tidak ada masalah makan langsung di sini.

Restoren halal ini letaknya di sebelah hotel Shandong

Lam mien (mee tarik) yang popular di restoren halal di Jinan dan serata China


Jinan adalah pusat sajian makanan Shandong.

Pemilik restoren halal ini (berdiri) bergambar dengan kawan saya Liza (duduk). Telah mejadi kelaziman pemilik restoren halal di China bergambar dengan kami kerana bagi mereka  kunjungan kami  amat bermakna

Sebuah restoren halal berdekatan Hotel Shandong

Satay kambing halal adalah makanan yang mesti dicuba di Jinan. Ia dijual di  kawasan perniagaan Muslim di Yongchang Lu


Kerabu sengkuang Jinan ini amat enak. Ia terdapat di kawasan perniagaan Muslim Yongchang Lu

 

Sentral Jinan

 

Sentral Jinan


Hotel Shandong terletak di  Sentral Jinan.

Jinan adalah kota yang pernah dijajah oleh German dan Jepun. Kini Jinan mempunyai ekonomi yang kukuh dalam industri keluli, peralatan pengangkutan, IT dan tekstil. Jinan juga mempunyai Zon Pembangunan Industri Teknologi Tinggi (hi-tech) dan National Heavy Duty Truck Group. Ramai pelabur asing melabur di Jinan dan ini membuatkan Jinan antara 50 kotaraya utama di China.


Penduduk di Jinan becakap dalam dialek yang berbeza dengan Mandarin Beijing. Mereka menggunakan Mandarin Jinan. Kebanyakan pekerja di sini adalah pekerja imigran yang datang dari luar Jinan tetapi mereka telah belajar menggunakan dialek Jinan. Kebanyakan penduduk di sini adalah dari etnik Han dan diikuti oleh orang Hui (Islam) dan Manchu.


Urusniaga di Jinan 


Menemani kawan berurusniaga di Jinan adalah pengalaman yang menarik bagi saya. Selain daripada dapat melihat jenis-jenis perniagaan yang boleh dilakukan, saya juga dapat mengetahui cara orang China bekerja.

Penulis menemani Liza mengadakan perbincangan perniagaan di bangunan ini

Penulis (bertudung ungu) menemani Liza (bertudung biru) menjalankan urusniaga di Jinan. Turut sama ialah rakan perniagaan Liza  iaitu dua orang wanita China

Kota Jinan waktu petang

 

Membeli-belah di Jinan



Membeli-belah pakaian di sebuah pusat membeli-belah di Jinan


Selain melakukan urusan perniagaan, saya menemani Liza membeli-belah. Turut menemani kami ialah dua orang gadis Jinan yang berurusniaga dengan Liza.

Kebanyakan kedai menjual pakaian, beg dan aksesori wanita. Kami dapati bahawa harga barangan di sini lebih kurang sama dengan harga di Beijing.

Penulis bersama Liza dan rakan-rakan niaganya di luar pusat membeli-belah di Jinan (Quancheng Square)



Taman Mata Air Baotu


Selain daripada itu kami melawat taman dan kolam mata air yang amat popular di Jinan, Shandong iaitu Mata Air Baotu. Jinan dikenali sebagai Kota Mata Air (Quan Cheng) kerana lebih 700 buah mata air semulajadi melalui bawah tanah kota Jinan. Antara semua mata air itu Mata Air Baotulah yang paling terkenal. Mata air ini mengalir dari bawah gua. Luas taman Mata Air Baotu ini ialah 10.5 hektar.

Air mata air ini boleh diminum. Maharaja Qing Long dari Dinasti Qing telah mencubanya, beliau mendapati teh yang dibuat dari mata air ini wangi lalu menamakan tempat ini sebagai “Mata Air Pertama di bawah Syurga" (The First Spring Under Heaven). Terdapat juga pelbagai taman di dalam Taman Baotu ini seperti taman buah delima, taman buluh, taman bunga kekwa dan bangunan-bangunan purba China. Dikatakan tidak lengkap ke Jinan sekiranya tidak melawat Taman Mata Air Baotu.


Taman Mata Air Baotu ini perlu dibayar 40 yuan (RM20) sekali masuk


Banyak syair yang ditulis mengenai keindahan Mata Air Baotu ini.

Kolam Mata Air Baotu yang mata airnya terbit dari bawah tanah. Ia terletak bedekatan dengan Tasik Daming


Berjalan-jalan sambil berbincang tentang bisnes di Taman Mata Air Baotu

Taman buah delima di Taman Mata Air Baotu

Lukisan dalam Botol Kaca, Seni Kraftangan Jinan Yang Unik

Lukisan bunga-bungaan Jinan dan pemandangan Jinan dalam botol kaca yang saya terima sebagai hadiah


Lukisan indah dalam botol kaca seperti di dalam gambar di atas adalah seni kepandaian orang Jinan. Seni ini hanya boleh didapati di Jinan. Botol kaca indah ini dihadiahkan kepada saya oleh Mawar. Ingat tak Mawar? Kalau lupa siapa Mawar, sila imbas balik di sini. Mawar ialah orang China yang belajar bahasa Melayu di Universiti Komunikasi China di Beijing. Mawar berasal dari Jinan. Mawar selalu membantu saya menterjemah dan mengalih bahasa semasa saya di  China. Lukisan dalam botol dari Jinan yang dihadiahkan oleh Mawar ini amat bernilai kepada saya. 

Mengembara sambil menemani kawan berurusniaga selama 4 hari di Jinan telah membuka fikiran saya dan dapat melihat perbezaan kemajuan dan pembangunan di China. Saya dapati bahawa kemajuan di China tidak sekata. Tidak semua negeri di China menerima arus pembangunan yang sama rata. Wilayah Autonomi seperti Mongolia Dalam, Xinjiang dan Ningxia tidak menerima pembangunan yang sepatutnya. Umpamanya perkhidmatan keretapi dan tandas awam mereka amat buruk berbanding dengan Jinan, Tianjing dan Beijing. Mengapakah feneomena anak tiri dan anak emas berlaku di sini?


Setakat ini sahaja yang dapat saya ceritakan tentang Jinan. Jumpa lagi di lain entri!

2 ulasan:

  1. Bahagian utara China hampir katam NA lawati...

    Kat sini ke asalnya kacang Shandong tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Mie,
      Alhamdulillah bahagian utara China saya hampir khatam. Hanya bahagian utara sahaja yang mampu saya lawati buat masa ini. Bahagian selatan dan yang lainnya Allahualam.

      Ya, Shadong menghasilkan antara kacang yang terbaik/terbanyak di China. Ini disebabkan oleh cuacanya yang sederhana, tanahnya yang berpasir dan mengandungi phosphate.

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...