Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Ahad, 4 November 2012

Backpack ke Mongolia Dalam (6): Menunggang Unta dan Berlemoskan Pasir di Gurun Kubuqi

S uhu malam di padang rumput Xilamuren turun mendadak sehingga 14 darjah celsius. Teramat dingin. Dinginnya sehingga menusuk tulang hitam saya. Selimut tebal yang terdampar di atas katil dalam khemah ger seolah-olah meggamit-gamit saya untuk memeluknya. Saya pun mendakap selimut gebu dan tebal itu. Terasa nyaman bila disentuh dan didakap. Tapi ia agak berbau bagaikan berbulan-bulan tidak didobi.

Kedinginan malam yang mencengkam sehingga ke tulang hitam itu membuatkan saya tidak segan-silu menarik selimut tebal Mongol yang berbau itu. Bau itu tidak saya hiraukan. Pedulikan! Yang penting saya tidak mati kejang kerana kesejukan.
 

Dingin subuh di padang rumput Xilamuren

Malam di khemah ger/yurt Mongol berlalu dengan tenang, sunyi dan indah. Saya terus dibuai mimpi-mimpi indah sebaik-baik sahaja tubuh saya dihangatkan oleh selimut tebal itu. Entah apakah yang berlaku di keliling khemah ger itu, tidaklah saya ketahui. Unggas-unggas malam padang rumput Xilamuren sahaja yang mendodoi saya dan rakan-rakan backpakers saya sepanjang malam itu. Barangkali  saya berdengkur? Tapi saya tidak peduli. Yang penting saya lena dan tidur saya puas! 

Tiba-tiba,
"Its time to get up. The time is 4.30!" jerit telefon bimbit saya yang boleh bercakap. Dia bagaikan begitu cemburu melihatkan tidur saya yang lena.

Saya bingkas bangun dan bersiap untuk solat subuh dan seterusnya berlari keluar untuk menikmati keindahan matahari terbit di padang rumput Xilamuren.

Subuh padang rumput Xilamuren, Mongolia Dalam yang tenang


Subuh yang dingin itu saya rejah. Saya berjalan dan berjalan mencari matahari di kaki langit. 


Saya ke sebuah kelompok ger yang tidak berjauhan dengan khemah kami. Ada bangsal kuda. Ada pagar mata punai mengepong kelompok ger itu. Saya terus berjalan menuju ke situ.



Suasana matahari terbit di perkhemahan ger Xilamuren



Itu dia! Saat yang dinanti-nantikan tiba. Sang Suria bagaikan gadis pingitan yang pemalu, mengintai-intai di kaki langit. Ia keluar dari peraduan. Sedikit demi sedikit wajahnya yang bersinar kelihatan. Cahayanya yang segar menembusi di celah-celah bangsal dan khemah-khemah ger.

Segerombolan kuda-kuda berlari-lari menuju ke padang rumput yang lebih luas di Xilamuren



Tidak semena-mena, tanpa saya duga, segerombolan kuda yang gagah lalu di hadapan saya. Si Hitam, Si Cokolat, Si Kelabu dengan selamba lalu dengan ekor tocang yang berambu-rambu. Mereka berlari-lari menuju ke padang rumput yang luas dengan girang. Saya pun turut girang! Terasa ingin berlari-lari seperti mereka. Degupan bumi Xilamuren terasa dek detapan kaki-kaki kuda yang bersepatu ladam itu. Tap, tap, tap, tap. Bunyinya yang seragam bagaikan muzik syahdu, memecah kesunyian subuh.

"Selamat pagi! Moh kita ke padang rumput tu!" Mungkin itu yang kuda-kuda itu ucapkan pada saya kalaulah saya mengerti bahasa mereka. Dan semua keindahan ini berlaku dalam masa yang pantas. Berlalu bagaikan tidak akan datang-datang lagi. Indahnya suasana pagi padang rumput Xilamuren ini! Kesempatan yang jarang sekali saya perolehi!

Tidak lama kemudian saya lihat Najibah datang, turut sama menikmati keindahan matahari terbit itu. Tapi saya tidak pasti adakah Najibah dapat melihat apa yang saya lihat sebentar tadi?

Setelah bersarapan ala Mongol dengan telur rebus. Kami berkemas-kemas untuk meninggalkan ger padang rumput Xilamuren.


Mengangkat barang-barang meninggalkan ger di padang rumput Xilamuren


"Selamat Tinggal padang rumput Xilamuren! Selamat tinggal khemah ger! Jumpa lagi kuda-kuda bersepatu ladam! Terima kasih kerana mendamaikan jiwa-jiwa kami!"


Menuju ke Gurun Kubuqi


Kami kemudiannya menaiki sebuah bas 40 penumpang yang tersedia menunggu di kawasan parkir. Hari ini kami akan ke Gurun dan menunggang unta! Gurun yang kami tuju ialah Gurun Kubuqi (disebut 'Kubuchi'). Ia terletak di daerah Baotou, iaitu di sebahagian daripada Gurun Ghobi yang terkenal itu.

Perjalanan memakan masa agak lama iaitu selama 4 jam. Di dalam bas itu cuma kami berlima sahaja "makhluk asing" dari Malaysia. Yang lain semuanya orang China. Di dalam bas itu ada kejadiah perang mulut berlaku. Kami difahamkan bahawa ada krisis dan ketidakpuasanhati salah seorang penumpang terhadap ketua pemandu pelancong. Mungkin kerana duit. Saya lihat Najibah menarik keluar surah Yasin. Syafiqa pula mengumat-ngamit berdoa supaya kami dijauhkan daripada menjadi mangsa scam!

Oleh kerana perjalanan yang jauh itu sudah tentulah kami disinggahkan untuk membuang air. Bas kami berhenti di sebuah kawasan jauh yang entah di mana. Sayapun turun dari bas menuju ke tandas yang satu. Saya lihat pemandu pelancong iaitu seorang perempuan muda turut turun dari bas lalu menangis teresak-esak. Mungkin hatinya terguris kerana dimarahi kliennya. Saya lalu masuk ke tandas. Syafiqa ikut saya dari belakang.

Sama seperti semalam,  tandas awamnya sungguh tidak bertamadun! Malahan lebih teruk dari itu. Sudahlah air tidak disediakan, lubang-lubang tandasnya pula dikorek dalam tanah yang dalam dan tidak berdinding. Pengguna-pengguna tandas yang lain yang terdiri daripada orang China berbual-bual menghadap di antara satu sama lain sambil membuang air. Lagilah saya hairan bin ajaib melihat mereka yang tidak mempunyai adab beristinjak!

"Nightmare of Elm Street!" kata saya pada Syafiqa apabila dia tanya keadaan tandas itu sebaik-baik sahaja saya keluar. Tapi kami tidak ada pilihan, kami terpaksa masuk walaupun keadaan tandas yang amat teruk itu!

Kami sampai sudah lepas tengahari. Menu utama makan tengahari kami ialah ikan talipia keras masak-apa-entah yang masin dan bertulang seribu. Tidaklah memenuhi selera saya walaupun saya bukanlah seorang yang cerewet makan.


Menaiki Unta di Gurun Kubuqi


Setelah mengisi perut yang kebuluran kamipun menuju ke Gurun Kubuqi. Gurun itu berada di atas tanah tinggi dan bercerun. Untuk ke situ kami menaiki kenderaan pacuan empat roda. Pacuan empat roda itu membawa kami merentas padang pasir itu dengan laju dan melambung-lambung. Ketika itu angin kuat dan pasir masuk ke muka kami dan mata kami. Habislah muka dan tubuh kami berlemos dengan pasir halus Gurun Kubuqi. Untuk mengelakkannya kami menutup muka kami dengan tudung, seperti memakai purdah wanita Arab.


Kenderaan pacuan empat roda yang meredah padang pasir Kubuqi



Gurun itu terlalu gersang dan tandus. Tidak ada pokok-pokok tinggi yang tumbuh. Cuma rumput-rumput pendek dan renek sahaja.

Apabila sampai di tengah-tengah kawasan padang pasir itu. Kami melihat banyak unta. Ramai yang pergi menaiki unta itu secara berkumpulan. Pada mulanya Adi Putra tidak mahu naik unta kerana pada pandangannya ia terlalu mahal -  240 yuan! Tapi bagi saya ia berpatutan. Harga begini tidak dapat di tempat lain seperti di Abu Dhabi dan Dubai.

Ada seorang gadis China keseorangan di situ. Kami berbual dengannya dan berbincang supaya harga menaiki unta itu dikurangkan. Namanya Sichee. Dia baru berusia 16 tahun, tetapi saiz badannya agak besar. Setelah berbincang, ibu gadis itu pergi ke kaunter tiket dan meminta harga menaiki unta dikurangkan. Akhirnya kami dapat harga yang lebih murah daripada orang lain. Penjual tiket di kaunter itu berpesan kepada kami supaya tidak memberitahu kepada orang lain harga diskaun yang kami dapat.

Setelah itu kami berlima bersama Sichee menaiki unta itu. Ibu Sichee tidak ikut sama. Unta-unta kami dipandu oleh seorang lelaki yang berjalan kaki di hadapan sekali. Kami tidak dibenarkan mengambil gambar. Kalau ambil, kamera kami dirampas. Kami juga ditengking apabila mengangkat kamera. Garang dan kurang ajarnya! Tetapi walaupun mereka berbuat begitu, kami curi-curi tangkap. Nak tengok gambar-gambarnya?


Sichee di hadapan sekali. Gambar ini diambil oleh ibu Sichee.  Saya di belakang sekali (yang angkat tangan tu)

Pertama kali menaiki unta di gurun, memang mengasyikkan

Kegembiraan menaiki unta dan berlemos dengan pasir Kubuqi melupakan kami pada kesibukan duniawi




Begitulah seronoknya kami menaiki unta di Gurun Kubuqi. Sichee yang kami kenali dalam eskursi menaiki unta ini, akhirnya menjadi kawan baik kami. Dia berasal dari Tianjin. Selepas kami pulang ke Beijing, kami ke Tianjin. Di Tianjin, Sichee membawa kami makan-makan dan jalan-jalan. InsyaAllah akan diceritakan dalam entri lain sekiranya berkesempatan.


Kembali Semula ke Hohhot


Pada petang itu kami kembali ke Hohhot tempat kami mula-mula menginap tempoh hari. Di Hohhot kami tidak lupa untuk menikmati hari-hari terakhir kami. Sudah tentu jalan-jalan dan makan-makan menjadi agenda utama kami.

Cendawan goreng yang sedap lagi halal yang kami nikmati kali terakhir di kakilima Hohhot. Penulis no 2 dari kanan (tudung hitam).

Esok, hari Jumaat, penghulu segala hari. Kami bercadang untuk menghabiskan masa-masa terakhir kami di Hohhot dengan sebaik-baiknya. Tetapi sesuatu yang tidak terduga dan tidak pernah kami rancang berlaku. Apakah yang terjadi kepada kami? Ikutilah Naramas Aman Backpack ke Mongolia Dalam dalam entri akan datang.


20 ulasan:

  1. Dalam curi-curi tangkap gambar naik unta, gambar pun masih lawa. Memang berbaloi curi-curi, hahaha!
    Tapi apasal diorang tak kasi ambil gambar?

    BalasPadam
    Balasan
    1. @R.a.W,
      Sebab sebenarnya mereka nak duit lebih. Mereka charge kami 10 yuan setiap satu shot gambar kami ambil walaupun guna kamera sendiri.

      Padam
  2. Salam Yong

    Tebal2 bulu unta tu dan untanyer pun sihat2...suker ker bau unta tu Yong, ker sama jer ngan bau gebor tu ?

    Yong citer jer bab toilet, lemah semangat keme dibuatnyer...hehe

    Sampai bila di China Yong?, pulun sakan berjalan....

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam Yong ASP,
      Bau unta tu lebih kuat dari bau gebor tu. Badan kami semua berbau unta sepanjang hari tu. Lepas m.andi baru hilang bau unta tu.

      Bab toilet memang melemahkan semangat, tapi apa nak buat, itu saja pilihan yang ada. Terpaksa!

      InsyaAllah sampai Februari ni saya di China. Berjalan itu adalah sebahagian daripada ilmu yang perlu saya timba semasa di sini. Dengan berjalan itu saya dapat memahami dengan mendalam masalah, isu semasa dan masyarakat di situ. Ini banyak membantu kajian saya.

      Padam
  3. Sangat seronok,menarik pengalaman ini.

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Kak Mahh,
      Alhamdulillah saya telah melalui pengalaman menarik ini. Kak Mahh pun boleh.

      Padam
  4. Bestnye dapat naik unta plak dah..hehehe..cantik sunrise tu! Tapi apakah motif tak boleh amik gambar, memang tah apa2 la..

    BalasPadam
    Balasan
    1. @BlueEwoke,
      Naik unta di gurun jalan sutera ni memang seronok. Pengalamannya memang sukar untuk dilupakan walaupun dimarahi kerana mengambil gambar. Motif mereka tak bagi ambil gambar tu sudah tentulah untuk kikis duit kita. Sekali snap 10 yuan dia tuntut. Kamera kita punya, kita sendiri yang tangkap, tapi dia cas kita kalau dia tahu.

      Padam
  5. Tak sabar nak tunggu cerita seterusnya

    BalasPadam
    Balasan
    1. @eKa,
      InsyaAllah tak lama lagi akan muncul cerita seterusnya. Terima kasih kerana eKa setia mengikuti kisah kembara saya :)

      Padam
  6. alhamdulillah dah dapat tgok gambar! wah bestnya dapat naik unta pulak!

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Janggel/Rain,
      Alhamdulillah Janggel/Rain dah dapat tengok gambar :D. Lega rasanya.

      Padam
  7. Wah unta di sini nampak lebih gebu berbanding di negara Arab...

    NA juga semakin pandai berposing... :D

    BalasPadam
    Balasan
    1. @Mie,
      Ya ke lebih gebu? Mungkin rumputnya, tanahnya dan cuacanya berbeza.

      Sebenarnya saya malu posing2 ni? Saya ikut-ikut je. Acah-acah je tu :)

      Padam
  8. prof...pasal toilet tu ngeri pulak saya. Ada pulak camtu gayanya. Unta naik..kuda naik..fuhh!!! yang lain2 tu pun 1st time gi sana ke??

    BalasPadam
    Balasan
    1. @zila,
      Toilet memang NGERI! Macam zaman perang Dunia kedua (WWII)! Terkejut beruk saya dibuatnya.

      Semuanya first time datang ke tempat ni. Selalunya kalau first time tu, semua nak try, semua nak merasa...jakun le katakan he he he

      Padam
  9. Akak,nak tanye.adakah orang cine yang same group dengan akak tu buat muka loya bile masuk tandas tu?ade tak diorang tutup idung?
    Adoi laa..padan le orang cakap toilet kat China le paling teruk.ingtkn sekadar menyumbang bau je.rupenye camtu sekali ye..

    BalasPadam
    Balasan
    1. feeza fauzi,
      Orang China yang sama naik bas dengan kami tu, mereka langsung tak kisah dengan tandas busuk/teruk tu. Dia orang selamba je tak tutup hidung, buang air pula menghadap kawan-kawan mereka, sambil tu sembang-sembang. Buka seluarpun tak kisah depan orang, tanpa segan silu.

      Tandas di China ini ada yang bersih. Tetapi bergantung pada tempat-tempat. Kalau bandar-bandar yang besar dan lebih modern, tandasnya ok, selalu ada tukang cucinya. Tetapi tempat-tempat yang kurang dimajukan seperti Inner Mongolia, tandasnya rata-rata kotor, tidak berdinding dan ada yang tidak disediakan paip air.

      Padam
  10. Inspiratif! Anda menulis dalam bahasa santai tetapi teratur. Bukan mudah untuk menemui web log yang ditulis dalam bahasa standard yang teratur. Tahniah kerana info. Tahniah juga kerana bahasa dan gaya penulisan yang menarik dan amat profesional.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum ya Ustaz Rodzi,
      Terima kasih kerana sudi singgah di blog ini dan meninggalkan ulasan di sini. Seboleh-bolehnya saya hendak gunakan bahasa Melayu baku, tetapi kadang-kadang terpeleot juga.

      Jemputlah baca entri-entri yang lain ya. :)

      Padam

Kini giliran anda pula untuk memberi pandangan/ulasan.

Ulasan tanpa nama akan dipadamkan.