Tagline

A Blog About Traveling Around The World From The Lens and Eyes of A Malaysian-Muslim Woman

Select Your Preferred Language


Select Your Preferred Language
BAHASA MELAYU | ENGLISH

Jadilah Rakan Kembara Naramas Aman ~ Sila daftar di sini

Adsense



Rabu, 29 April 2015

Fenomena Seni Jalanan di Kelantan

Seni jalanan (street art) telah mendapat tempat di Pulau Pinang dan Ipoh. Kelantan juga tidak kurang. Nurul Atiqah Binti Ahmed iaitu pembaca blog ini telah bermurah hati menghantar cerita untuk dikongsi bersama-sama pembaca. Jom kita ketahui kisah seni jalanan ini sebagaimana yang ditulis oleh Nurul Atiqah.
* * * * * * * * *

“Fenomena Seni Jalanan di Kelantan”

Oleh Nurul Atiqah Binti Ahmed (yuyuatiqa.blogspot.com)

K elantan terkenal dengan keunikan makanannya, tempat-tempat bersejarah, lokasi membeli-belah, pantai-pantai yang cantik dan sebagainya. Salah satu lokasi terbaru yang menjadi tarikan pengunjung ke negeri Kelantan ialah Laman Seni, Lorong Cek Mek Molek yang terletak di daerah Machang. 

Laman seni ini tidak sukar untuk dijumpai. Pengunjung hanya perlu mencari satu-satunya Kedai Buku Banggol yang ada di Bandar Machang, kemudian secara tidak langsung pengunjung akan menemui laman seni ini di bahagian belakang kedai buku tersebut.

Laman Seni ini pada asalnya hanyalah sebuah lorong lama yang suram sepi dan tidak dilalui orang awam. Namun begitu, satu projek bertemakan kelestarian alam iaitu Pertandingan Toyota Eco Youth Peringkat Kebangsaan 2014 telah diadakan. Projek ini melibatkan penyertaan daripada 16 buah sekolah seluruh Malaysia untuk melukis mural, grafiti dan arca di sepanjang lorong yang telah dipilih.

Projek ini merupakan usaha sama antara sebuah syarikat besar iaitu UMW Toyota Motors dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia. Projek yang melibatkan lorong terbiar seperti Lorong Cek Mek Molek ini adalah satu inisiatif bagi memupuk kesedaran orang awam khususnya golongan belia tentang kepekaan mereka terhadap alam sekaligus dapat menggalakkan golongan ini untuk berterusan memulihara alam sekitar.

Penulis di hadapan mural tarian Melayu

Berdasarkan pengamatan penulis sepanjang melewati lorong ini, pelbagai jenis mural dan arca yang dilukis atau dilekatkan pada dinding. Hasil seni tersebut membawa mesej-mesej tertentu di sebaliknya. Ada lukisan, apabila memandangnya, kita akan dapat terus membuat tafsiran tetapi ada juga yang memerlukan penelitian terlebih dahulu bagi mencerap maksud yang tersirat.

Mural dan arca yang dipaparkan secara tidak langsung menarik perhatian orang awam untuk lebih menghargai sentuhan hasil seni anak-anak tempatan. Keadaan ini menaikkan lagi semangat dan kesungguhan mereka dalam usaha meningkatkan kemahiran dalam bidang seni.

Marilah bermain wayang kulit Kelantan bersama penulis di Laman Seni

Terdapat beberapa mural yang dilukis pada dinding yang berunsurkan kebudayaan. Contohnya, mural wayang kulit yang tidak asing lagi dikenali sebagai tarikan kebudayaan negeri Kelantan. Mural tersebut dilukis dengan sangat menarik dan menimbulkan keinginan dalam diri penulis untuk lebih mengambil tahu mengenai kebudayaan yang ada di negeri Kelantan.


Penulis di hadapan mural Tugu Negara

Selain itu, penulis berpeluang merakamkan gambar kenangan di hadapan mural tugu negara. Mural berunsurkan patriotisme ini memang layak untuk dipaparkan di Lorong Cek Mek Molek. Hal ini kerana, ia dapat memupuk kesedaran patriotik dalam diri segenap lapisan masyarakat supaya sentiasa bersemangat waja untuk terus setia dan sedia berkorban bagi mempertahankan tanah air yang tercinta. 
Penulis di hadapan mural akuarium piranha

Hasil seni seterusnya yang berjaya menarik perhatian penulis ialah mural akuarium ikan piranha. Mural tersebut dilukis dengan sangat cantik. Lukisannya seakan-akan timbul. Mural akuarium ikan tidak menggunakan gabungan warna yang pelbagai. Ia banyak menggunakan warna hitam sebagai latar belakang dan warna putih untuk lukisan ikan.

Di hadapan lukisan 3D

Selain itu, terdapat juga lukisan 3D yang berwarna-warni dan menimbulkan mood keceriaan di sepanjang Lorong Cek Mek Molek. Penulis begitu teruja untuk bergambar di hadapan salah sebuah lukisan 3D seolah-olah menampakkan seperti penulis sedang masuk melalui pintu yang terbuka. Ia secara tidak langsung membuatkan pengunjung merasakan seperti turut berada dalam lukisan tersebut.

Kembali ke zaman batu

Secara peribadi, penulis sangat tertarik dengan salah satu mural yang terdapat di Laman Seni tersebut iaitu mural yang melambangkan keluarga orang zaman batu. Pada awalnya, sekali pandang, mural tersebut mengingatkan penulis kepada keluarga penjaga harta karun dalam cerita "Ahmad Albab" lakonan allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Warna yang digunakan begitu menarik ditambah pula dengan kerusi sebagai prop yang disediakan untuk pengunjung merakamkan gambar kenangan bersama mural tersebut.

Penulis berasa begitu puas hati dan berbangga dengan inisiatif yang diwujudkan bagi memelihara dan menjaga kebersihan lorong sebegini yang dulunya dipanggil lorong tikus. Lorong yang pada awalnya sunyi kini telah menjadi lorong yang selamat untuk dilalui.

Harapan penulis agar keceriaan dan kebersihan Laman Seni, Lorong Cek Mek Molek ini dapat dikekalkan penjagaannya. Semoga ia kekal sebagai salah sebuah lokasi yang dapat menjadi tumpuan pengunjung.

Sabtu, 18 April 2015

Escape Park: Kegilaan Terbaru

Tahukah anda ada sebuah taman baru di Penang yang suka dikunjungi orang? Taman itu adalah Escape Park. Salah seorang pembaca blog ini iaitu Safwan telah berpeluang ke sana dan ingin berkongsi keseronokannya. Apa yang seronok tu? Kita ikuti pengalaman Safwan melalui tulisannya di bawah ini:


ESCAPE PARK: KEGILAAN TERBARU

Oleh: Muhamad Safwan Bin Fadzil


Terletak kira-kira 27km dari susur keluar Jambatan Pulau Pinang, Escape Park di 828 Jalan Teluk Bahang, Pulau Pinang kini menjadi tarikan terbaru pelancong. Menawarkan aktiviti-aktiviti lasak dan menggunakan fizikal sepenuhnya, Escape Park ternyata menjadi kegilaan baru kepada penggemar aktiviti lasak.

Permainan-permainan di taman ini tidak menawarkan permainan tipikal taman tema seperti “roller coaster” dan “ferris wheel” sebaliknya taman tema ini menawarkan permainan yang diinspirasikan daripada permainan tradisional seperti galah panjang, tarik upih dan konda-kondi.

Pengasasnya, Sim Choo Kheng yang dibesarkan dalam suasana kampung menyedari nilai kenangan bermain permainan tradisional bersama rakan-rakan dalam suasana aman damai kampung. Oleh itu, apabila tender terbuka diiklankan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2009 untuk membina tempat tarikan terbaru di Pulau Pinang, beliau lantas menyertai persaingan tender tersebut menerusi syarikatnya, Sim Leisure dan berjaya memenangi tender itu. 


Teruja dengan Aktiviti Lasak


Pada 23 November 2014 penulis telah berkesempatan untuk merasai sendiri pengalaman keseronokan aktiviti lasak yang disediakan taman tema ini bersama lima rakan yang lain. Saat pertama kali melihat pemandangan pintu Escape Park, hati penulis telah teruja untuk menerokanya. Hal ini kerana, dekorasi yang disajikan oleh ESCAPE sangat berunsurkan kampung dan penulis seperti berada di dalam filem “Journey To The Earth” lakonan Dwayne Johnson apabila melihat permainan-permainan dalam taman itu.


Gerbang masuk Escape Park

Penulis tiba di sana pada jam 10 pagi setelah memulakan perjalanan selama kira-kira 45 minit dari Universiti Sains Malaysia. Tiket yang dikenakan bagi setiap kategori adalah berbeza-beza. Bagi kategori dewasa, RM68.00 dikenakan dan bagi kanak-kanak pula, mereka dikenakan bayaran RM48.00.

Ia beroperasi pada setiap hari Selasa hingga Ahad bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang. Hari Isnin taman tema ini ditutup dan hanya akan dibuka jika ada cuti umum sahaja. Apabila berkunjung ke sini, pihak pengurusan taman menggalakkan pengunjungnya untuk memakai pakaian yang bersesuaian iaitu, berkasut sukan, berpakaian sukan dan juga bertopi bersesuaian dengan aktiviti “outdoor” di sini.

Gelang tangan yang disediakan untuk memasuki Escape Park

Satu nasihat penulis kepada pengunjung baharu ialah, makan terlebih dahulu di luar atau di rumah sebelum ke taman tema ini. Hal ini kerana makanan dan minuman mahupun botol air adalah tidak dibenarkan di bawa masuk ke dalam. Walaupun makanan dan minuman ada disediakan di dalam, namun harga yang dikenakan agak mahal bagi penulis dan sangat tidak berbaloi.

Selain itu, kemudahan lain yang disediakan kepada pengunjung ialah loker untuk menyimpan barang dan harga loker ini ialah RM10.00 bagi satu loker. Tandas, bilik mandi, bilik menukar pakaian dan juga surau turut disediakan kepada pengunjung. Namun surau yang disediakan agak kecil bagi penulis dan perlu dilakukan penambahbaikan oleh pihak taman tema ini bagi memberi lebih lagi keselesaan kepada pengunjung Muslim.

Penulis (berbaju belang hitam & putih) bersama rakan-rakan di Escape Park

Gayat dan Tinggi

    
Meniti batang kayu ke atas pokok tinggi menguji keberanian

Antara aktiviti yang disediakan di sini adalah “Monkey Business”, “Zoom Bug”, “Gecko Tower”, “Atan’s Leap”, Tubby Racer”, “Tarzan Rope” dan pelbagai lagi permainan menarik. Setiap aktiviti yang disediakan mempunyai keunikan dan memberikan pengalaman yang tersendiri kepada pengunjung. Namun bagi pengunjung yang takutkan ketinggian dan gayat, permainan di sini agak kurang sesuai kepada mereka.

Permainan "Monkey Business"
Pelbagai tahap ketinggian

‘Monkey Business’ adalah permainan pertama yang dicuba oleh penulis dan permainan ini sememangnya menjadi “signature” kepada taman tema ini. Mempunyai 3 tahap ketinggian, pengunjung boleh memilih tahap pertama yang mempunyai ketinggian 5 meter, 8 meter bagi tahap kedua dan 15 meter bagi tahap ketiga. Penulis telah mencuba pada tahap 3 dan sememangnya, aktiviti ini sangat mencabar fizikal dan minda penulis.


Penulis mencuba permainan "Monkey Business"
Eee gayatnya!!!

Pelbagai halangan terpaksa dilalui oleh penulis untuk sampai ke hujung permainan. Antaranya, penulis terpaksa berjalan di atas seutas tali sejauh 15 meter. Ketika melalui tali ini, penulis hampir tergelincir dan terjatuh. Mujurlah tali yang di ikat pada badan penulis berjaya menyelamatkan penulis dari terjatuh.

'Gecko Tower'

Permainan kedua yang telah dicuba oleh penulis ialah ‘Gecko Tower’. Dalam permainan ini, ia menguji kepantasan penulis untuk memanjat dinding berhalangan. Bentuk halangan pada dinding itu adalah seperti paip air, jaring besi dan juga kotak pendingin hawa.

‘Gecko Tower’ perlu dimainkan bersama pasangan kerana objektif permainan ini menguji skil memanjat dan kepantasan memanjat. Penulis telah mencuba permainan ini bersama rakan penulis. Masa yang dicatatkan oleh penulis ialah 19 saat untuk sampai ke puncak.  

Aktiviti Terakhir


Jika inginkan pengalaman bermain tarik upih, penulis menyarankan pengunjung untuk mencuba permainan “Tubby Racer”. Penulis sempat mencuba permainan ini bersama rakan-rakan penulis. Aktiviti ini juga memerlukan tenaga fizikal yang banyak kerana penulis terpaksa menarik pelampung untuk sampai ke puncak permulaan permainan.

Namun ketika di puncak, segala penat lelah terasa berbaloi kerana pemandangan di atas puncak sangat cantik dan menenangkan. Permulaan permainan ini, penulis perlu duduk di atas pelampung dan pelampung itu akan ditolak oleh pekerja mengelongsor turun ke bawah. Semasa mengelongsor di atas pelampung, penulis berasa sangat teruja melihat pemandangan indah alam sekeliling.

Penulis dan rakan-rakan selepas menamatkan permainan "Tubby Racer"
           
“Tubby Racer” menjadi permainan terkhir yang dicuba penulis kerana terlalu penat. Walaupun masih belum mencuba semua permainan yang disediakan, penulis terpaksa akur tubuh penulis terlalu penat untuk meneruskan aktiviti seterusnya. Namun, hati penulis berasa sangat puas dengan segala permainan yang disajikan taman tema ini.

Pekerja membantu mengikat tali keselamatan

Soal keselamatan bagi taman ini tidak harus dipersoalkan kerana semua pekerja yang mengendalikan permainan adalah terlatih dan professional selain berpengalaman. Bantuan perubatan juga turut disediakan bagi pengunjung yang tercedera ketika bermain.  

Penulis di pintu keluar Escape Park

Kesimpulannya, bagi yang dahagakan aktiviti lasak, penulis boleh katakan Escape Park merupakan salah satu taman tema yang wajib dilawati oleh mereka jika melancong ke Pulau Pinang. Permainan yang disajikan di sini ternyata berbeza daripada taman tema yang lain.

Rabu, 15 April 2015

Penghargaan Buat Pembaca Blog Nota Kembara: Naramas Aman

S udah tiga tahun saya berblogging. Daripada blog yang sunyi sepi kerana sedikit pengunjung kini menjadi ceria disebabkan ramai pembaca.  Kini pembacaan blog ini telah melebihi sejuta dan secara puratanya pengunjung blog ini mencecah 3,000 orang sehari.


Sumber Inspirasi dan Rujukan


Ada pembaca yang menulis kepada saya dan menganggap blog ini memberi inspirasi dan dijadikan panduan kembara mereka.

Pembaca blog ini iaitu Siti menghargai perkongsian saya tentang Beijing di blog ini







Meor Safawi seorang pembaca blog saya berpuas hati dengan info yang saya catatkan tentang Beijing. Beliau telah mencetak entri tentangnya dan menggunakannya sepanjang perjalanannya di Beijing.


Pembaca juga ingin tahu cara-cara menaiki kenderaan awam ke Xian

Abuzone mengikuti jejak langkah saya mengembara solo ke Beijing dan Xian. Beliau sering menghubungi saya dan menjadikan blog saya sebagai panduan.



Panduan Buat Yang Menjalani Kehidupan Baru di Luar Negara


Melalui blog ini ramai juga yang mendapat manafaat melalui pengalaman saya selama saya tinggal di luar negara seperti di Australia, Amerika Syarikat dan China. Berikut adalah beberapa contoh emel yang dihantar kepada saya bertanyakan macam-macam perkara dalam menjalani kehidupan baru di luar negara:

Tidak kurang juga yang menjadikan blog saya sebagai panduan untuk mengembara, bekerja, belajar dan tinggal di Melbourne, Australia.

Ada juga yang hendak berhijrah ke Melbourne dan bertanya saya



Mohd Nizam sering mengubungi saya dan bertanya tentang banyak perkara termasuk pengangkutan awam sebelum mula bertugas di China


Pembaca yang ingin tahu cara-cara ke Cyprus juga tidak melepaskan peluang untuk bertanya

Gambar Pengganti Diri dan Tanda Terima Kasih


Yang menyeronokkan saya ialah apabila mereka menghantar gambar kepada saya hasil dari kembara mereka.

Pembaca blog yang mengirim gambar kepada saya setelah mengikuti pengembaraan saya di Beijing


Lagi pembaca yang mendapat manfaat dari blog saya


Mengambil Hasil Tulisan Saya Ke Dalam Media


Ada juga pihak media yang meminta saya menulis untuk media mereka dan ada juga yang memohon kebenaran untuk mengambil hasil tulisan saya di blog ini ke dalam media mereka.


Permintaan pihak universiti untuk memuat naik catatan saya ke dalam web mereka.


Malu Kerana Dikunjungi Blogger Popular


Hasil dari menulis blog ini saya telah mendapat ramai kenalan. Mula-mulanya melalui alam siber, kini telah bersua muka. Ada yang datang berjumpa saya di Pulau Pinang. Saya mula-mulanya amat malu, apabila blogger popular ini menyatakan hasrat ingin berjumpa saya, tapi untuk tidak menghampakan permintaan mereka, saya tunaikan juga.

Berikut adalah blogger yang telah datang berjumpa saya di Pulau Pinang dan menjalin persahabatan:

John ~ blogger Kaki Berangan: Jom Travel!
Ren ~ blogger Janggeltrekker's Life
Na ~ blogger Chawanna
Icam ~ blogger Pengembara Tumpangan
MasMZ ~ blogger Kaki Jalan
Halimaton Ibrahim ~ blogger Moh Kembara
Yong ~ Aku Seorang Pengembara

Sarapan bersama blogger popular John, Ren, Na, Icam dan MazMZ di Transfer Road, Penang
Tasbih permata dan batuan Turki ini dihadiahkan oleh Haslimaton Ibrahim blogger Moh Kembara semasa kunjungannya bersama blogger Aku Seorang Pengembara ke Pulau Pinang


Hadiah yang Tiada Ternilai




Ramai juga rakan-rakan blogger yang memberi saya hadiah. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan jutaan terima kasih kepada blogger-blogger ini.

Ini hadiah yang saya terima dari Zila ~ blogger Travel and Food
Fridge magnet, penyepit dan sudu dari Korea ini dihadiah oleh Mie ~ blogger jalan-jalan
Fridge magnet dari Melbourne ini dihadiahkan oleh Cik Nun - blogger Penumpang Bumi

Hadiah Tanpa Dijangka 


Dalam menulis blog ini saya tidak meminta sebarang ganjaran atau populariti. Saya menulis dari kaca mata saya sendiri terhadap sesebuah tempat dan berharap akan memudahkan mereka yang mengembara ke sana. Ini disebabkan saya sering menghadapi masalah mencari tempat makanan halal, penginapan dan banyak perkara semasa mengembara. Jadi saya tidak mahu orang lain juga mengalami kesukaran seperti saya. 

Antara hadiah yang saya terima dan mengejutkan saya ialah dari Madura Indonesia. Ia diposkan kepada saya oleh Restoren Ole Olang, yang letaknya di Madura Indonesia kerana mereka berbesar hati di atas penulisan saya tentang restoren mereka itu. Lihat entrinya DI SINI. Pada hal saya tidak minta sebarang ganjaran pun!

Kain batik Madura dan t-shirt ini dihadiahkan kepada saya oleh Restoren Ole Olang, Madura, Indonesia dan dihantar melalui pos.
Buku kembara ini dihadiahkan oleh seorang pembaca blog ini

Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca blog saya kerana respons mereka membuatkan saya bersemangat untuk terus menulis.

Khamis, 9 April 2015

Liburan di Jakarta (8): Sarapan di Rumah Antik

Hari terakhir kami di Jakarta, kami menyempatkan diri bertamu ke rumah antik milik Idat adik kepada Yan. Rumah bertingkat-tingkat Idat kelihatan gah dari luar pagar. Kami masuk ke ruang dalam pagar. Kerusi kayu antik di patio menyambut kedatangan setiap orang daripada kami. Bunyi gemercik air kolah di taman kecil mengundang ketenangan sanubari.

Lalu muncullah Idat, tuan rumah yang sentiasa tersenyum. Dan ternyata tuan rumahnya amat cakna kerana sedulang ayam goreng garing paling enak di kawasan itu sudah siap terhidang. Adiknya Nia turut diundang dan tersenyum gembira bertemu kami. Baru inilah kami bertemu dengan Nia yang selama ini menaja perjalanan kami dan menyediakan supir selama kami di Jakarta.

Dapat saya simpulkan bahawa keluarga Yan yang berketurunan Sunda itu sanggup berhabisan kerana menyambut kedatangan kami walaupun sebelum ini tak pernah bersua muka. Mampukah kita berbuat demikian juga?

Idat, Nia dan Yan, tiga beradik yang cakna
Ayam goreng bersama tempe, tahu, ulam-ulaman dan sambal dijamu untuk sarapan pagi

Kami duduk di atas kerusi antik di hadapan meja antik dan menyantap nasi merah bersama ayam goreng garing, tempe goreng, tahu goreng, ulam-ulaman, sambal dan kicap. Makanan itu terasa bertambah enak kerana kemesraan dan kecaknaan tuan rumahnya.

Meskipun cenderung sederhana, tanaman hias yang dikombinasi dengan perabut kayu menghadirkan nuansa damai dan tenang bagi penghuninya.





Selepas makan kami dibawa melawat rumah antik milik Idat yang nyata dibuat khas dari barang-barang lama yang dikumpul dan dicari Idat sedikit demi sedikit. Ternyata Idat amat meminati kesenian Indonesia dan sanggup mencari ke merata-rata tempat untuk mendapatkan barangan antik yang bermutu. Pilihan aksesori dan hiasan dalamannya menterjemahkan peribadi diri tuan rumah ini.

Kesan antik dan eksotik makin terasa di rumah ini dengan lampu gantung dan piano lama mengisi ruang berhampiran pintu utama
Kesan pencahayaan lampu artifisal dan cahaya semulajadi menjadikan ruang rehat kecil ini tampak romantik
Pilihan warna lembut pada dinding meredakan warna kelam lantai kayu. Cahaya matahari yang masuk melalui celah-celah jendela melalui intensiti yang cukup memberi keserian pada tangga ke tingkat atas.
Lantai bilik airnya disusun rapi dengan batu-batu sungai dan diserikan dengan motif rama-rama tropika menambah asyik tatkala berada di sini
Sinki batu dan kepala paip air berbentuk labi-labi menyerlahkan ketelitian tuan rumah dalam pemilihan aksesori kamar mandi
Ilham alam semulajadi menjadi taruhan pada pintu bilik
Sudah terlalu lama rasanya tidak tidur menggunakan kelambu.
Motif bunga kuning dan daun hijau pada rangka katil ini dipengaruhi oleh nostalgia masa lalu
Jubin bermotifkan bunga berwarna hijau dan merah dikumpulkan sedikit demi sedikit dan dilepa untuk lantai kamar
Bingkai gambar aktiviti harian penduduk tempatan menjadi penyeri dinding berdekatan tangga ke tingkat atas
Ukiran sangkar burung menjadi taruhan tuan rumah bagi membangkitkan seri kediaman 
Kayu berukir hasil tangan tukang ukir yang mahir dipasang pada gerbang ruang solat
Setiap sudut rumah dimanafaatkan dengan efektif
Idat, Nia dan Yan sangat senang dengan kehadiran kami
Tidak lengkap kehadiran kami kalau tidak diabadikan bersama
Ole-ole dari Jakarta seperti kicap Bango, kopi dan saus pedas diberikan sebelum kami pulang. Hanya ucapan terima kasih mampu diberikan kepada tuan rumah


Transit di KLIA

Setelah sarapan di rumah Idat kami bersiap-siap untuk pulang ke Malaysia. Kemesraan telah terjalin di antara kelaurga Yan dan keluarga saya. Hari ini Yan menitiskan airmata kerana terasa berat melepaskan kami pergi.

Walau bagaimanapun, Yan sudah semakin sembuh dan kesihatannya lebih baik dari hari pertama kami di Jakarta. Kini kesemua jari-jari Yan sudah boleh bergerak dan ini menggembirakan semua orang.

Kami sampai di KLIA dengan pesawat MAS pada pukul 11 malam. Oleh kerana transit terlalu lama untuk ke Pulau Pinang, kamipun berjanji dengan kawan-kawan untuk bertemu di KLIA. Setelah bertemu kami dibawa kawan-kawan pula makan-makan di Kuala Lumpur.

Kawan sekolah yang menyambut saya di KLIA dan membawa saya makan-makan di KL

Keesokan paginya kamipun pulang ke Pulau Pinang. Ketika itu kami mendapat khabar bahawa kapalterbang Air Asia hilang dalam perjalanan ke Surabaya. Syukurlah kami selamat dan dapatlah saya menulis di ruangan ini dan berkongsi pengalaman dengan anda.