Di
entri kali ini saya ingin mengajak anda meneruskan pengembaraan di
Tian’ Anmen Square. Pada entri yang lepas saya ceritakan lawatan saya ke Memorial Pengerusi Parti
Komunis iaitu Mao Tze Tong. Saya terpancing untuk melihat di sebalik
tembok Memorial Presiden Mao itu disebabkan ramainya manusia.
Dengan perasaan ingin tahu sayapun melangkah mengikuti aliran orang ramai
itu. Apabila sampai di sebalik Memorial Presiden Mao itu, saya dapati ada lagi
sebuah bangunan yang megah dan gagah. Ramai pula manusia pelbagai bangsa
beratur untuk memasukinya.
|
Memorial Mao Tze Tong |
Istana Maharaja
Itulah Muzium Istana yang sebelum ini dipanggil Kota Larangan atau Forbidden
City. Ia adalah kediaman Maharaja-maharaja China suatu ketika dulu seperti Maharaja
Ming dan Qing. Inilah kota istana yang luas dan dipagari tembok tinggi.
Ketika itu kota ini tidak dibenarkan dikunjungi oleh rakyat. Malahan untuk
melihat Maharaja juga dilarang.
Teringat saya akan kisah kunjungan raja Melaka
ke China pada abad ke-15 yang saya baca dalam buku sastera dan Sejarah
Melayu. Untuk melihat Maharaja China, orang Melaka membuat helah dengan meminta
diberikan mereka makan kangkong, oleh kerana memakan kangkong perlu mendongak, maka orang Melaka dapat melihat Maharaja Ming.
Tetapi hari ini kota ini dibuka untuk sesiapa
sahaja mengunjunginya. Kita juga tak perlu makan kangkong dan mendongak untuk melihat wajah Maharaja China kerana kita boleh melihat lukisannya di dalam Muzium Istana ini.
|
Istana di Kota Larangan. Kota Larangan ini mendapat pengiktirafan UNESCO sebagai salah satu daripada Warisan Dunia
|
|
Saya beratur dan membayar 60 yuan (RM30) untuk memasuki Kota Larangan ini.
Cuaca ketika itu panas. Setelah memperolehi tiket sayapun masuk. Kawasan Kota Larangan Maharaja Cina itu memanglah luas seluas 720,000 meter persegi dengan 9,000 buah bangunan. Banyak istana-istana
besar, dewan-dewan persemayaman dan istana-istana kecil dibina. Terdapat juga Menara Sudut di setiap penjuru kota.
|
Pagar di Dewan Taihemen di kawal oleh dua pasang singa. Di sebelah kiri, yang memegang bola, adalah singa jantan. Ia melambangkan kekuasaan raja dan perpaduan negeri |
|
Ukiran binatang seperti naga dan singa terdapat pada bumbung dewan |
|
Naga tanpa tanduk dijadikan ukiran pada kebanyakan tiang-tiang dalam senibina pada zaman Maharaja China |
|
Orang ramai berkerumun menyaksikan dan mengambil gambar keadaan dalam tempat persemayaman Maharaja. Mereka cuma dibenarkan menyaksikannya dari luar pintu dewan |
|
Dewan Harmoni Tengah ini digunakan oleh Maharaja untuk melakukan upacara sambutan rasmi. |
|
Tanglung merah ini digantung pada langit-langit dewan bersebelah dengan tahta Maharaja |
|
Jangkaukur matahari ini digunakan sebagai jam |
Istana Kecil dan Gundik
|
Istana-istana kecil di dalam Kota Larangan |
Istana-istana kecil
di bahagian belakang Kota Larangan adalah milik gundik-gundik Maharaja dan isteri-isterinya. Sebagai Maharaja
yang berkuasa dan kaya sudah pasti Maharaja itu mempunyai gundik-gundik yang
ramai sehingga beribu-ribu bilangannya.
Teringat saya tentang kisah seorang tua yang mempunyai ramai isteri dalam filem China iaitu
Raise the Red Lantern arahan pengarah filem China yang terkenal Zhang Yimou dan dilakonkan oleh Gong Li. Tanglung merah yang digantung di dalam istana di Kota Larangan ini juga mengingatkan saya kembali pada filem itu. Orang tua dalam filem itu yang ingin
bermalam dengan isterinya akan menyuruh orang menggantungkan tanglung merah di
hadapan rumah isterinya. Isteri yang rumahnya bernyala tanglungnya akan
bersiap-siap untuk bersama suaminya pada malam itu. Jadi berlaku perebutan antara isteri-isteri (madu-madu) itu untuk memenangi hati suami mereka supaya rumahnya digantung tanglung merah. Salah seorang isteri itu membunuh diri kerana kecewa rumahnya tidak lagi digantung tanglung merah. Seting dalam filem ini adalah sama seperti
dalam Kota Larangan ini. Kawasan halaman dan istana-istana ini juga
mengingatkan aku pada filem-filem Kungfu China.
Gundik-gundik ini juga mengingatkan saya tentang hubungan Kerajaan Melayu Melaka dengan Kerajaan China pada abad ke-15 yang mana Maharaja China menghadiahkan Putri Hang Li Po kepada Sultan Melaka. Turut mengiringi Putri Hang Li Po ialah beberapa orang perempuan China (tak silap saya gundik-gundik raja ini) dan mereka kemudian berkahwin dengan penduduk tempatan yang kita kenali dengan keturunan Baba dan Nyonya.
Ukiran dan Senibina Istana
Ukiran dan senibina istana Maharaja China di Kota Larangan ini amatlah tinggi nilai seninya dan ia dibuat berdasarkan kepercayaan masyarakat ketika itu, mempunyai kegunaan tertentu dan masing-masing mempunyai makna yang tersendiri.
|
Senibina zaman Maharaja China terlihat pada setiap bahagian bangunan |
|
Ukiran pada pemegang tangga besi ini berbentuk naga dan masih terpelihara dengan baik |
|
Ukiran batu pada tepi tangga di belakang Dewan Harmoni Tinggi ini mempunyai motif naga, gunung, awan dan laut melambangkan penyatukan negara oleh Maharaja |
|
|
Motif naga dan bunga diukir dengan halus pada daun pintu dewan |
|
Tombol-tombol tembaga yang terdapat pada pintu bangunan di Kota Larangan ini juga mempunyai makna kebaikan |
|
Tempayan tembaga ini diisi air dan digunakan untuk memadam kebakaran
|
|
Selain dari motif-motif naga, laut, awan dan bunga pada bangunan di sini, terdapat patung-patung bangau dan kura-kura di hadapan dewan. Kesemuanya mempunyai makna tertentu dan melambangkan keagungan Maharaja China. Bangau melambangkan panjang umur dan kura-kura melambangkan nasib baik.
Kedai Cendermata & Cafe
Saya terus melihat-lihat kawasan Kota Larangan dan terdapat juga kedai-kedai
cenderamata dan cafe. Sayapun membeli beberapa buah magnet petisejuk (fridge magnet) yang harga setiap satu ialah 12 yuan (RM6). Pada masa itu saya ingat magnet ni dah murah. Tapi apabila saya ke kedai lain, saya dapati harganya lebih murah iaitu 10 yuan (RM5). Lebih murah lagi apabila saya ke Lorong Sutera di Yonganli yang letaknya berhampiran dengan rumah saya. Harga setiap fridge magnet itu ialah 5 yuan (RM2.50). Saya ingat dah murah dah tu. Tapi bila saya pergi ke kedai sebelah di Yonganli, saya boleh dapati dengan harga 3.33 yuan (RM1.66) sebuah sahaja. Barulah saya tahu.
|
Cafe dalam Kota Larangan |
|
Kedai cenderamata ini menjual pelbagai barang kenang-kenangan. |
|
Fridge magnet di Kota Larangan ini berharga 12 yuan (RM6) |
Tiba waktu solat zohor saya mencari tempat yang sesuai. Ternyata amat sukar
kerana setiap sudut dan lorong memang terdapat ramai pengunjung. Saya mengambil
satu sudut Kota Larangan itu dan membentangkan tikar, lalu solat. Selesai solat saya dapati beberapa orang memerhati saya dengan kehairanan.
Taman Diraja
|
Lorong-lorong di antara halaman istana yang berpagar tembok ini terdapat di bahagian belakang Kota Larangan |
|
|
Taman Diraja yang digunakan oleh Maharaja dan keluarganya untuk berhibur |
|
Bunga peony yang mekar di Taman Diraja |
|
Bunga-bunga cantik dan segar begini menambah keserian Taman Diraja China |
Bertemu Etnik Minoriti
Saya duduk rehat di bangku yang terdapat di kota itu. Datang seorang lelaki
yang berkulit putih seperti orang Itali, lalu duduk di sebelah saya. Saya bertanya
beliau dalam bahasa Inggeris, tetapi dia tidak faham sepatahpun. Dia hanya
menggeleng-geleng kepala. Dia kemudiannya menunjukkan tulisan pada tanda
namanya yang tergantung di lehernya. Ada tulisan Cina. Ada tulisan jawi. Lalu saya baca yang jawi. Bacapun secara merangkak-rangkak. Ia berbunyi
"Turkuz Kirgiz..." Saya sendiri tidak faham apa yang saya baca. Saya ulang sekali lagi. Dia
kata yang saya baca itu betul. Dia bercakap dalam bahasa Cina. Saya sudah faham sedikit-sedikit bahasa Cina. Tapi saya tidak yakin apa yang saya baca. "Betul ke? Pelik je bunyinya," bisik hati saya. Tetapi dia kata
betul. Dia kata dia dari Xinjiang. Lalu saya tanya, “Uyghur?”
Dia mengangguk gembira sebaik sahaja saya menyebut perkataan Uyghur. Saya tahu mengenai Uyghur melalui kawan saya Arafat yang juga orang Uyghur. Mereka orang Islam.
Bila saya pulang dan saya
semak di internet, memang ada etnik Kirgiz. Ketika itu saya rasa nak melompat
kegembiraan. Rasa nak "kungfu" macam Michelle Yeoh saja pada ketika itu. Kerana saya TAK BUTA HURUF.
Saya boleh baca Jawi ...he.. he.. he.
Berbalik semula ke Kota Larangan...Kemudian saya lihat ramai lagi orang Uyghur melawat kota itu secara rombongan. Saya perasan yang mereka
asyik memerhati saya. Mungkin kerana saya memakai hijab. Saya memberi
salam kepada mereka dan mereka menjawab. Saya memberitahu mereka yang saya orang
Islam dari Malaysia. Ketika ini saya bercakap dalam bahasa
Cina. Bunyinya begini..."Wo shi Malaisia ren. Wo shi Muselin.” Setelah
mengetahui saya orang Islam mereka bergilir-gilir bergambar dengan saya. Mereka
gembira dan terus saja mesra sebagai saudara seagama. Mereka mengajak saya mengikuti rombongan
lawatan mereka tetapi ketika itu saya sudah penat dan saya menolak ajakan mereka.
|
Inilah orang etnik Kirkiz dan Uyghur dari Xinjiang yang saya temui di Kota Larangan. Mereka gembira bertemu dengan saya kerana saya orang Islam dan bergambar dengan saya.
|
|
Saya tidak dapat melihat keseluruhan Kota Larangan itu kerana kaki saya sudah
mula lenguh. Tumitpun melecet. Lututpun terbengkok (Eh macam lagu Pok Pok Bujang Lapok je).
Di luar Kota Larangan Bahagian Belakang
Setelah saya keluar dari Kota itu saya melalui sebuah takungan air di luar
kota itu. Pemandangannya amat cantik. Takungan air ini mengelilingi kota ini dan dibina sebagai penghormatan dan taat setia kepada Maharaja Ming yang terakhir.
|
Takungan air ini sudah dibina pada zaman terakhir Dinasti Ming. Berkeluasan 52 meter dan berkedalaman 6 meter. |
Terdapat ramai orang termasuklah
peminta sedekah. Sepasang peminta sedekah datang kepada saya melihatkan saya
orang Islam. Mereka kata mereka orang Islam. Tetapi apabila saya bagi salam pada
mereka, jawapannya agak pelik, tak bunyi seperti orang Islam menjawab salam.
Dua tiga kali saya ulang ucapan salam itu, tapi masih pelik benar jawapannya.
Betul ke mereka Islam? Setelah memberi sedikit
yuan, saya cepat-cepat meninggalkan mereka kerana saya perasan ada peminta sedekah yang lain hendak datang mengerumuni saya.
Saya takut akan berlaku masalah pada diri saya sebagaimana yang pernah saya alami ketika di Mina, Arab Saudi dahulu. Selepas melontar jamrah saya bersama sekumpulan jemaah haji keluar dari kawasan melontar. Ketika itu ada peminta sedekah menghulurkan tangan lalu saya memberi sedikit wang kepadanya, tidak semena-mena sahaja sekumpulan peminta sedekah menyerbu dan mengerumini saya dari pelbagai arah. Saya terperangkap dalam kerumunan itu dan hampir membahayakan saya. Jemaah-jemaah haji yang lain menjerit-jerit kepada saya, "Jangan mulakan Hajah! Jangan mulakan!" Jemaah-jemaah haji itu kemudiannya terpaksa menyelamatkan saya dari kerumunan itu. Kalau mereka lewat bertindak, mungkin saya sudah lama dirompak dan tercedera.
|
Pemuzik jalanan dan peminta sedekah berkeliaran di luar pintu Kota Larangan |
Saya terus berjalan menuju ke stesen subway Tian' Anmen Barat dengan kaki yang lenguh dan
tumit yang melecet. Di satu sudut saya dapat melihat beberapa pasangan
pengantin sedang bergambar dengan latarbelakang takungan air dan Menara Sudut milik Kota Larangan. Sayapun "tumpang sekaki." Saya turut mengambil gambar mereka. Mereka
gembira apabila saya mengambil gambar mereka. Jadi hari itu saya melalui hari
yang baik. Inilah gambar-gambar pasangan pengantin itu yang sempat saya abadikan. Oleh kerana ruang yang terhad di sini saya cuma memilih tiga keping gambar. Sayau suka gambar-gambar yang saya ambil ini. (Saya syok sendiri). Anda bagaimana?
Setelah itu saya berjalan ke stesen subway yang tidak berapa
jauh dari Kota Larangan itu, tetapi kaki saya terasa amat lenguh. Saya harus pulang
segera sebelum waktu Asar berakhir. Tiba-tiba datang seorang lelaki dengan Beng Beng. Beng beng ialah motorsikal
yang diubahsuai untuk dijadikan kenderaan mengangkut penumpang. Dia mengajak saya menaiki Beng Beng itu?
Lalu.....Apakah yang terjadi pada saya selepas ini? Adakah dia orang baik? Adakah
dia berniat jahat?
Hilang terang timbul gelap....Sebenarnya ada kisah Hilang Suka Timbul Duka...yang ingin saya kongsikan
bersamamu. Tetapi akan akan ceritakan dalam entri
akan datang.
...bersambung
Assalamualaikum prof.
BalasPadamdh lama tak masul sini sejak internet takde ni guna broadband je. tau jela bila kelembapan nya mengalahkan siput sedut. hahah.
sy suka forbidden city ni sbb cantik plus luas! dulu pegi ikut agent, so mcm tak sempat nak xplore sume. punyela luaskan...almost 2km panjang. kalo x salah sy. tu pn dh penah berjalan ke hulu ke hilir. hahah. tp mcm teringin jugak nak dtg time takde org. eh, ade ke situasi mcm ni?
psl fridge magnets tu mmg mahal. yg paling murah sy penah dpt ialah 3 ketul 10yuan. tu mmg murah abes dh kat kedai diamond near bird nest stadium. even hrga ni pn xleh dpt kat yashow market atau silk market. mmg mahal...dh puas tawar. hehehe.
gmbr pengantin tu comey sgt2! hehehe.
Waalaikumusalam Danny aka John aka Kaki Berangan,
PadamSaya di sinipun internet slow sangat-sangat. Jadi tak dapat sangat nak blogwalking.
Kalau nak jalan puas-puas boleh datang lagi ke sini. Buat sendiri (DIY), tak payah pakai agent. Senang je sebenarnya. Kalau Danny datang masa saya masih ada di sini, bolehlah saya tunjukkan...insyaAllah.
Payah nak cari masa orang tak ade. Di mana-mana saja di Beijing ni, sentiasa ramai orang.
Ya, membeli di Beijing ini, memang selalu rugi kalau tak pandai tawar. FM paling murah saya dapat pun 10 yuan 3 ketul di Silk Street Yonganli.
Ya, memang comey pengantin tu :) Seronok dapat tangkap gambar dia orang.
Menarik cerita NM ni. Jalan sorang2 saja ke? Wah dah boleh speaking Mandarin...
BalasPadamYa, saya jalan sorang2 je...Masa tu tak ada kawan..anak2pun tak dapat ikut ke China, ada kuliah..:( Speaking Mandarin sepatah, sepatah je...Itu je yg saya tahu. :)
PadamBest lah jalan sorang2 mcm tu, awak ada banyak masa so boleh jalan relex2 tak perlu tergesa2 kan. Insyaallah nanti setiap sudut kota Beijing ada dalam tangan awak :). Magnet kalau tempat tumpuan pelancung memang mahal kan, tentu ramai pelancung tertipu beli yang harga RM6 kat situ kan. So awak hanya ada masa jalan2 tiap Sabtu dan Ahad jer ker?
BalasPadamJangan lupa try cari masa ke Tibet tau :)
Ya, yang syok jalan sorang2 ni kita tak perlu tergesa-gesa, ikut suka kita je...tapi kena hati2 juga..kadang-kadang ada orang yg berniat jahat...kisah pasal ni akan sy ceritakan dlm entri akan datang.Mmg, magnet tempat pelancongan memang mahal, kena pergi beli di kedai biasa di luar kawasan pelancongan tetapi kena pandai tawar. Ya, saya ada masa jalan2 hari Sabtu dan Ahad, tetapi dua minggu lagi cuti universiti di sini. Di sini kalau cuti, universiti tutup 2 bln, jadi akan ada banyak masa jalan2 :) Ke Tibet tu, saya nak juga pergi, tapi saya takut nak pergi sorang2. Travel agent pun saya tengok mahal. Andaque boleh tolong saya tak, bg tips mcm mana nak pergi sendiri?
PadamYa lah jika pergi kena ada keberanian dalam diri dan keyakinan tidak kira samaada lelaki ker atau perempuan, ramai juga lelaki yang takut jalan seorang2kan. Jalan paling mudah naik direct train dr Beijing ke Lhasa senang, tapi kena jugalah tgk budget awak kerana saya faham awak disana sedang belajarkan, tentu banyak duit yang nak digunakan lagi sepanjang tinggal disana... kena jimat2 jugakan awak ada lagi 8 bulan menetap disana tu, mcm saya cakap tadi jika ada duit lebih paling selamat naik train Beijing ke Lhasa, hotel di Lhasa cuba selak2 dalam buku lonely planet, kalau google saya tak pasti tapi rasanya ada tentang budget hotel disana. Masaalahnya sekarng agak sukar juga bagi seorang wanita nak pi sana sorng kan. Saya rasa saya faham situasi awak, tapi kalau ada kwn lagi bagus kan. Jika naik bas memang susah. Kalau train paling selesa.
PadamTerima kasih AndaQue bagi tips ke Lhasa. Amat berguna info tu. Tak tahulah samada saya boleh sampai ke sana atau tidak. Saya tidak seberani dan secekal awak. Kalau kawan saya jadi datang ke sini, mungkin kami pergi bersama. Kalau tidak saya kembara di China saja. China pun banyak tempat menarik yg hendak saya teroka. Kalau ikut travel agent pun dia kata, polisi visa/permit masuk ke Tibet dah bertukar. Dlm pakej tu kena semua pelancong dari negara yg sama, kalau tidak mereka tak benarkan. Jenoh le saya nak cari satu bas org Malaysia.
PadamYa ke...tak pa kalau kita ada niat sekadar nak tengok dan hayati keindahan bumi serta kehidupan ciptaan Allah insyaallah mudah2an Allah makbulkan keinginan kita tu kan
PadamPolisi baru permit itu bermula Mei 2012 ni.
PadamTibet memang unik dan menarik untuk kita lihat. InsyaAllah diizinkan Allah kita sampai. Amin
salam puan..saya akan bercuti ke bejing pada bulan nov ini..saya nak bertanya pd puan dimanakah tmpat atau theme park yg sesuai utk dilawati utk kanak2 memandangkan saya akan membawa anak2 nanti..boleh ke puan bg info tempat2 atau theme park dan cara2 utk pergi kesana?terima kasih..
BalasPadamSalam kembali Mama Tim,
PadamSaya tidak berminat untuk melawat Theme Park, jadi maklumat tentangnya tidak banyak yang saya ketahui. Tetapi saya ada 3 cadangan:
1) Kalau anak-anak Puan suka main dengan air boleh pergi ke Water Cube yang terletak bersebelahan dengan Stadium Olimpik Sarang Burung. Untuk mengetahui cara pergi ke situ sila baca entri saya tentangnya di sini:
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/06/tempat-menarik-di-beijing-4-stadium.html
2) Di World Park, ada diselit-selitkan beberapa ride di dalamnya yang boleh dinaiki oleh kanak-kanak. Tetapi tidaklah banyak. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang World Park sila baca entri yang pernah saya tulis tentangnya di sini:
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/08/tempat-menarik-di-beijing-9-world-park.html
3) Kalau anak-anak Puan suka binatang bawalah mereka ke zoo Beijing. Sila baca tentangnya dalam blog saya di sini:
http://nota-kembara.blogspot.com/2012/12/tempat-menarik-di-beijing-15-panda.html
Blog yang menarik, mengingatkan saya akan Ming Tombs di dekat Beijing, Kaisar Yongle memilih lokasi penguburannya dan mendirikan makamnya di sini, yang dinamakan Changling Tomb.
BalasPadamSaya mencoba menulis blog tentang Ming Tomb, semoga anda juga suka : https://stenote-berkata.blogspot.com/2018/10/beijing-di-ming-tombs.html
Terima kasih kerana stenote sudi singgah di sini. Selamat menulis.
Padam